MUTIARA KATA

"Dunia pergi sambil berpaling, dan akhirat datang sambil mengadap. Setiap satu dari keduanya mempunyai anak. Jadilah engkau anak akhirat, dan jangan menjadi salah satu anak dunia. Sebab, hari ini adalah hari untuk beramal; tidak ada hisab (perhitungan amal di akhirat). Sedangkan hari esok adalah hisab; tidak ada hari untuk beramal."


"Ilmu umpama hujan, yang tidak memberikan manfaat kecuali bagi tanah yang subur dan suci. Begitulah juga ilmu tidak memberi manfaat kecuali bagi jiwa yang suci, hati yang sedar dan naluri yang peka."

FIKRAH ISLAM





10 Oktober 2011

3.19 DOA TIDAK DAPAT MENGUBAH TAKDIR(QADAR ALLAH)

Ramai yang tersalah faham dan menganggap bahawa dengan berdoa boleh mengubah suratan takdir atau qadar Allah swt. Disebabkan kita berdoa bersungguh-sungguh, Allah swt mengubah qadar yang telah ditetapkan.

Hakikatnya, tiada siapa yang boleh mengubah qadar Allah swt. Ini telah dijelaskan dengan hadith Rasulullah saw;

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a ia berkata, "Aku pernah naik unta di belakang Nabi saw maka beliau bersabda: "Wahai anakku, sesungguhnya aku akan mengajarimu beberapa hal, yaitu; jagalah (hukum-hukum) Allah swt, niscaya Dia akan menjagamu. Jagalah (hukum-hukum) Allah swt, niscaya Dia akan selalu bersamamu. Jika kamu meminta sesuatu, maka mintalah hanya kepada Allah swt. Jika kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan hanya kepada Allah swt. Ketahuilah sekiranya umat manusia berkumpul dan sepakat untuk memberikan manfaat untukmu, maka mereka tidak akan dapat memberikan manfaat kepadamu, kecuali sesuatu yang telah ditetapkan Allah swt untukmu. Dan sekiranya mereka berkumpul dan sepakat untuk memberikan mudharat kepadamu, niscaya mereka tidak dapat memberikan mudharat kepadamu, melainkan sesuatu yang telah Allah swt tetapkan untukmu. Pena telah diangkat, dan tulisan-tulisan pada buku catatan telah kering." - HR Tirmidzi. Ia berkata, "Hadith ini hasan shahih."

Merujuk kepada kitab Syarah Riyadhush Shalihin, “Pena telah diangkat, dan tulisan-tulisan pada buku catatan telah kering.” Bermaksud apa yang berada dalam ilmu Allah swt atau apa yang telah ditetapkan oleh-Nya di dalam Ummul Kitab(Lauhul Mahfuzh) merupakan sesuatu yang sudah kekal, tidak dapat diubah, diganti dan tidak pula dihapuskan. Semua yang telah dan yang akan terjadi sudah berada dalam pengetahuan Allah swt. Iman kepada takdir merupakan kewajipan bagi seorang hamba.

Sebagai orang mukmin, kita juga tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada takdir Allah Azawajalla. Jika ini berlaku, maka termasuklah ia di dalam golongan yang beriktiqad dengan iktiqad Jabariah. Ada juga yang meyakini bahawa, setiap kejayaan dan kekayaan yang diperolehi adalah hasil usahanya yang bersungguh-sungguh. Jika ini berlaku, maka jadilah ia di dalam golongan yang beriktiqad dengan iktiqad Qadariah. Ia telah tidak meletakkan kekuasaan mutlak kepada Allah swt. Kita sepatutnya beriktiqad dengan iktiqad Ahli Sunnah Waljama’ah.

Justeru itu kenapa kita berdoa? Jawapan yang sepatutnya timbul di dalam fikiran kita ialah;
1. Kita berdoa kerana Allah swt menyuruh kita berdoa kepada-Nya.

“…Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Ku-perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari beribadah kepada-Ku(berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” – QS al-Mukmin:60

Perkataan ‘berdoalah’ bermaksud suruhan Allah swt kepada kita untuk berdoa. Perkataan ‘niscaya’ bermaksud Allah swt pasti akan menerima doa tersebut. Kepercayaan dan keyakinan kita kepada Allah swt mestilah kuat. Kadang-kadang, kepercayaan dan keyakinan kita kepada manusia atau yang lain selain Allah swt adalah lebih kuat. Inilah kelemahan kita.

Rasulullah saw bersabda; “Barang siapa tidak mahu memohon kepada Allah, niscaya Allah akan murka kepadanya.” – HR at-Tirmdzi dari Abu Hurairah r.a

Tidak terharukah kita dengan hadith di atas? Tidak terasakah betapa Pemurahnya Allah. Tidak terasa malu ke bahawa yang berkehendak ialah kita, yang boleh memberi ialah Allah swt. Tetapi itu pun kena suruh minta. Sepatutnya tidak payah dipaksa untuk meminta pertolongan Allah. Memang patut dituduh sombong kalau malas berdoa.

2. Apabila kita berdoa kehadrat Ilahi, menunjukkan bahawa kita mengakui dengan yakin hanya Allah swt sahaja yang berkuasa menunaikan hajat, berupaya memberi apa yang dipohon, Maha mendengar walaupun hanya berkata-kata di dalam hati, dan tiada yang lain selain Dia yang dapat menyampaikan hajat yang dihajati.

“Maka Allah memelihara kamu dari mereka. Dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” – QS al-Baqarah:137

“Dan tidak ada sesuatu pun yang setara dengan Dia.” – QS al-Ikhlas:4

Kita juga telah beriman dengan hadith riwayat dari Ibnu ‘Abbas di atas; “…..Jika kamu meminta sesuatu, maka mintalah hanya kepada Allah swt. Jika kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan hanya kepada Allah swt.”

3. Terbukti bahawa kita hanyalah seorang hamba yang lemah. Tidak dapat berbuat apa-apa dengan kehendak sendiri, melainkan dengan izin dan pertolongan Allah swt sahajalah dapat menjadikan impian kita menjadi kenyataan. Orang yang tidak berdoa adalah orang yang sombong. Ia seolah-olah tidak mengakui kebesaran Allah azawajalla dan tidak merendah diri di hadapan Allah yang Maha Berkuasa.

“ Berdoalah kepada Rabbmu dengan merendah diri dan suara yang lembut.” – QS al-A’raf:55

4. Doa merupakan satu senjata yang diberikan oleh Allah swt kepada orang-orang mukmin supaya digunakan sebaiknya sebagai suatu usaha. Setiap usaha yang dilaksanakan oleh orang mukmin akan pasti mendapat ganjaran pahala daripada Allah swt. Betapa pemurahnya Allah, perbuatan yang hanya mengangkat tangan dan memohon pertolongan kepada-Nya, akan diberi ganjaran pahala. Sedangkan pahala ini sangat bernilai di akhirat kelak. Lebih berharga dari emas dan permata. Maka kumpulkanlah pahala sebanyak mungkin untuk kesenangan masa hadapan.

5. Walaupun qadar Allah tidak akan berubah, kita sebagai hamba yang lemah dan pengetahuan yang sangat terbatas ini tidak pernah mengetahui qadar Allah terhadap diri kita. Namun dengan berdoa, kita telah pasti telah mendapat pahala walaupun sekiranya apa yang dihajati tidak tercapai. Hakikatnya kita telahpun mendapat ganjaran. Berbanding dengan orang yang tidak berdoa dan tidak mendapat apa yang dihajatinya. Maka rugilah ia tiada apa-apa ganjaran yang diperolehinya.

6. Di dalam pemikiran orang mukmin mestilah terpahat bahawa pengetahuan Allah swt tidak terbatas. Dia Maha Adil, Maha Pemurah dan Maha Mengasihani akan hamba-hamba-Nya. Setiap yang ditetapkan oleh-Nya ke atas hamba-Nya adalah untuk kebaikan hamba-hamba-Nya semata-mata. Oleh itu, apa yang dipohon oleh hamba-Nya mungkin setahun dua baru ditunaikan. Pemberian-Nya adalah mengikut ketepatan masa untuk dikabulkan. Tidak hairanlah, ada yang doanya segera termakbul, ada yang di usia tua baru doanya terkabul. Seorang ibu tidak mungkin membenarkan keinginan anaknya yang berusia dua tahun untuk menggoreng ikan di dapur tetapi si ibu akan membenarkannya berbuat demikian apabila si kecil telah berusia 11 atau 12 tahun ke atas.

7. Dengan berdoa, seorang mukmin akan merasa tenang dan bermotivasi. Selepas berusaha dan bekerja keras, ia akan bertawakkal dengan berdoa bersungguh-sungguh. Tetapan Allah sama ada ia berjaya atau tidak adalah baik baginya. Hanya Allah mengetahui nasibnya di dunia dan di akhirat. Allah akan memberi terbaik buatnya. Yang penting ia telah melaksanakan apa yang disuruh oleh Tuhannya kemudian dia menjadi tenang.

8. Kadangkala orang berdoa, tetapi tidak menjaga adab-adab berdoa. Makanan yang di makan ada yang tidak halal. Dia berdoa tetapi tidak berusaha selari dengan doanya. Masih banyak perkara-perkara maksiat yang dilaksanakannya. Perbuatan syirik masih dilaksanakan secara sedar atau tidak sedar.

Abu Hurairah r.a melaporkan, “Rasulullah saw bersabda, ‘Sesungguhnya Allah itu baik, tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang beriman sebagaimana Dia memerintahkan para Rasul-Nya dengan firman-Nya; Wahai para rasul, makanlah yang baik-baik dan beramal soleh. Dan Dia berfirman; Wahai orang yang beriman, makanlah yang baik-baik daripada apa yang Kami rezekikan kepada kalian. Kemudian Baginda menyebut, ada seorang melakukan perjalanan jauh dalam keadaan kotor dan berdebu. Dia menadahkan kedua-dua tangannya ke langit dan berkata; Ya Rabbi, ya Rabbi, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan keperluannya dipenuhi daripada sumber yang haram, maka (jika begitu keadaannya) bagaimana doanya akan dikabulkan.” – HR Muslim

9. Adalah lebih baik apabila doa disertakan dengan solat sunat 2 rakaat dan doa yang benar-benar ikhlas kerana Allah swt. Doa yang paling disukai oleh Allah swt ialah doa seseorang yang hatinya hadir semasa berdoa. Penuh harapan. Memahami apa yang didoakan. Bersabar, tidak tergopoh-gapah serta tidak berputus asa. Sentiasa mengulang-ulang doanya dengan merintih dan merayu-rayu.

Nabi Musa a.s berdoa dan diaminkan oleh Nabi Harun a.s supaya kumpulan fir’aun dimusnahkan. Setelah 40 tahun barulah doanya dimakbulkan. Itu seorang nabi, inikan kita. Maka bersabarlah.

7 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. salam: Pengarang yg mana satu ? Penulis blog tdk pernah membuang artikel ini. Apa maksud nora sebenarnya ?

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. Maaf ..berlaku sedikit kesilapan teknikal ...

    BalasPadam
  5. Mohon semua lihat ceramah ustaz Azhar Idrus yang menjawab persoalan ini : https://www.youtube.com/watch?v=OGBjDLyksew

    BalasPadam