MUTIARA KATA

"Dunia pergi sambil berpaling, dan akhirat datang sambil mengadap. Setiap satu dari keduanya mempunyai anak. Jadilah engkau anak akhirat, dan jangan menjadi salah satu anak dunia. Sebab, hari ini adalah hari untuk beramal; tidak ada hisab (perhitungan amal di akhirat). Sedangkan hari esok adalah hisab; tidak ada hari untuk beramal."


"Ilmu umpama hujan, yang tidak memberikan manfaat kecuali bagi tanah yang subur dan suci. Begitulah juga ilmu tidak memberi manfaat kecuali bagi jiwa yang suci, hati yang sedar dan naluri yang peka."

FIKRAH ISLAM





14 November 2011

4.10 SURAH QURAISH - سُوۡرَةُ قُرَیش

(Makkiyah)

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

لِإِيلَـٰفِ قُرَيۡشٍ (١) إِۦلَـٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ (٢) فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَـٰذَا ٱلۡبَيۡتِ (٣) ٱلَّذِىٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٍ۬ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۭ (٤)

“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Mekah) (1) (Iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam), (2) Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, (3) Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan.(4)”


Latar belakang surah:
Surah ini dinamakan sebagai surah Quraisy kerana ia menceritakan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada orang-orang Quraisy.

Surah Quraisy adalah kesinambungan dari surah Al-Fil. Dalam mushaf Ubay, kedua-dua surah ini dianggap satu surah sahaja. Tetapi dalam mushaf al-Imam, surah ini telah dipisahkan dari surah Al- Fil.

Surah Quraisy ini dibaca mengikut turutan susunan Musyhaf. Ia dibaca selepas surah al-Fi yang menceritakan tentang tentera bergajah. Ini adalah tauqifinya (susunan daripada Allah swt).

Apakah perkaitan antara tentera bergajah dengan kaum Quraisy? Pada zaman Nabi saw, kaum Quraisy tidak ingin mengikut seruan Baginda saw. Mereka adalah ‘penanda aras’ kepada orang-orang Arab yang lain tentang kebenaran pegangan mereka.Jika orang Quraisy beriman, orang-orang Arab yang lain akan turut beriman. Ini dapat dilihat dari peristiwa orang-orang Arab yang berbondong-bondong masuk Islam setelah kaum Quraisy masuk Islam selepas Fathu Makkah. Ini telah dinyatakan dalam surah al-Nasr.

Peristiwa kemenangan orang-orang Quraisy terhadap tentera bergajah menyebabkan mereka dihormati oleh seluruh penduduk Semenanjung Tanah Arab. Mereka beranggapan tidak mungkin kaum Quraisy dibantu oleh tentera Allah swt (iaitu burung-burung) jika pegangan mereka salah. Kaum Quraisy menjaga Ka’abah dan mendapat perlindungan Allah. Perlindungan ini membawa maksud pengiktirafan Allah kepada mereka. Walaupun dikala itu mereka masih menyembah berhala-berhala di sekeliling Ka'abah tersebut.

Memang menjadi tabi’at manusia melihat sesuatu perkara mengikut pandangan mata. Jika dia mendapat pertolongan Allah, tidak mungkin dia salah. Jika dia ramai pengikut, tak mungkin dia salah. Kaum Quraisy mendapat pertolongan Allah, sudah tentu Allah sayang kepada mereka.

Orang-orang Quraisy juga bebas kemana sahaja mereka pergi. Sama ada untuk perniagaan, kunjungan persahabatan atau melancong. Tiada siapa yang berani mengganggu mereka. Lanun pengacau jalanan pun tidak berani menyekat mereka. Allah telah memberi penghormatan dan rezeki yang luas kepada mereka.

Firman Allah swt:

أَوَلَمۡ يَرَوۡاْ أَنَّا جَعَلۡنَا حَرَمًا ءَامِنً۬ا وَيُتَخَطَّفُ ٱلنَّاسُ مِنۡ حَوۡلِهِمۡ‌ۚ أَفَبِٱلۡبَـٰطِلِ يُؤۡمِنُونَ وَبِنِعۡمَةِ ٱللَّهِ يَكۡفُرُونَ (٦٧)

“Tidakkah mereka melihat Kami jadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman sentosa, sedangkan manusia (di negeri-negeri) di sekeliling mereka rompak-merompak.” – QS Al-Ankabut: 67

Nabi Ibrahim pernah berdo’a;

وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِـۧمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنً۬ا وَٱرۡزُقۡ أَهۡلَهُ ۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٲتِ مَنۡ ءَامَنَ مِنۡہُم بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ ۥ قَلِيلاً۬ ثُمَّ أَضۡطَرُّهُ ۥۤ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلنَّارِ‌ۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ (١٢٦)

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab Neraka dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali. (126)” – QS Al-Baqarah:126

Mengikutkan faktor geografi, Tanah Arab adalah kering-kontang dan tiada apa yang istimewa kecuali kewujudan ka’abah. Mereka dikurniakan makanan yang banyak dan buah-buahan sebagai tanda kemewahan.disebabkan Ka’bah, tempat mereka menjadi tumpuan.

Berkat do’a Nabi Ibrahim a.s :

رَّبَّنَآ إِنِّىٓ أَسۡكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِى بِوَادٍ غَيۡرِ ذِى زَرۡعٍ عِندَ بَيۡتِكَ ٱلۡمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجۡعَلۡ أَفۡـِٔدَةً۬ مِّنَ ٱلنَّاسِ تَہۡوِىٓ إِلَيۡہِمۡ وَٱرۡزُقۡهُم مِّنَ ٱلثَّمَرَٲتِ لَعَلَّهُمۡ يَشۡكُرُونَ (٣٧)

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur. (37)” – QS Ibrahim:37

Nabi Ibrahim (berasal dari Iraq) telah membawa isterinya Hajar (berasal dari Mesir) bersama anak mereka Nabi Ismail a.s yang masih bayi ke tengah-tengah padang pasir (kedudukan Ka’abah sekarang). Baginda meninggalkan Hajar dan Ismail dengan hanya berbekalkan sekarung kurma dan sebekas penuh minuman. Nabi Ibrahim a.s kemudianya bergerak semula untuk ke Palestin.

Hajar bertanya kepada suaminya; “ Ya Ibrahim, adakah kamu akan meninggalkan kami di sini?”

Nabi Ibrahim menjawab; “Ya”

Hajar bertanya lagi; “Adakah Tuhanmu menyuruhmu berbuat seperti ini?”

Nabi Ibrahim menjawab; “Ya, Tuhanku menyuruh aku meninggalkan kamu di sini.”

Hajar kemudiannya berkata dengan yakin; “ Jika Tuhanmu menyuruhmu meninggalkan aku dan anak ini di sini, maka Dia tidak akan mensia-siakan kami.”

Kemudian berlaku peristiwa pencarian air oleh Hajar kerana kehausan. Hajar berlari dari bukit Safa ke bukit Marwah sebanyak 7 kali dan akhirnya Allah swt mengurniakan air zam-zam yang merupakan air terbaik berbanding dengan air-air yang lain. Air zam-zam adalah air bertenaga dan barakah.

Setelah kewujudan air zam-zam ini, datanglah kaum Jurhum (orang Arab) daripada Yaman meminta izin dengan Hajar untuk tinggal di kawasan itu. Maka mereka telah berkampung disitu sehingga Nabi Ismail a.s berkahwin dengan gadis Jurhum berketurunan Arab.

Nabi Ibrahim a.s telah datang melawat anaknya sebanyak 4 kali; iaitu dalam peristiwa Nabi Ibrahim a.s menyuruh Nabi Ismail a.s menukar isterinya, ketika pembinaan Ka’abah bersama-sama dan penyembelihan Nabi Ismail a.s sebagai korban.

Nabi Ibrahim a.s membawa agama tauhid disekitar tanah Arab. Oleh itu ramai di kalangan mereka ke Makkah untuk melakukan haji.

Kemunculan berhala di Makkah berpunca dari seorang Quraisy yang ke Syam. Semasa dia melalui suatu tempat di sana, dia melihat patung berhala. Maka dia bertanya; “Ini apa?”

Orang di situ menjelaskan; “Ini adalah patung memperingati nabi-nabi dan orang yang soleh. Kami buat seperti ini untuk mengambil berkat mereka. Kami menghormati mereka.”.

Lama kelamaan, seolah-olah mereka menyembah patung tersebut. Orang Quraisy meminta satu daripada patung-patung itu untuk dibawa pulang ke Makkah, meletakkannya di Ka’abah dan menceritakan kepada penduduk Makkah apakah maksud patung tersebut sebagaimana yang diceritakan kepadanya oleh orang di Syam. Kemudian bertambah ramai yang menyembah patung berhala itu. Orang Arab yang datang membuat haji juga turut membawa pulang berhala ke tempat mereka. Menjadikan patung berhala tersebar dan bertambah banyak sehingga mencapai angka 360 buah yang berada di dalam Ka’abah.

Adakah apa yang dilakukan oleh orang-orang Quraisy ini betul? Sudah semestinya tidak. Oleh itu surah ini diturunkan untuk mengingatkan kaum Quraisy supaya hanya menyembah Allah swt sebagai Tuhan mereka.

Perbincangan Ayat:

Ayat 1 – 2:

لِإِيلَـٰفِ قُرَيۡشٍ (١) إِۦلَـٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ (٢)

“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Mekah) (1) (Iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam), (2)”

Surah ini dikatakan sambungan dari surah al-Fil kerana ia bermula dengan ‘huruf jar’ dan ‘majrur’ iaitu dengan huruf ‘Lam’(ل) .Kebiasaannya, ia bergantung kepada perbuatan sebelumnya. Jika dibaca terjemahannya; “Kerana kebiasaan…” seolah-olah ia tergantung dan berkait dengan peristiwa sebelumnya. Apakah yang telah berlaku sehingga jawapannya; “Kerana kebiasaan..”.

Melihat kepada ayat terakhir surah al-Fil;

فَجَعَلَهُمۡ كَعَصۡفٍ۬ مَّأۡڪُولِۭ (٥)

“Lalu Dia menjadikan mereka binasa seperti daun-daun yang dimakan ulat.(5)”Allah swt menjadikan tentera bergajah binasa seperti daun-daun dimakan ulat. Kerana apa? Kerana ingin mengekalkan kebiasaan orang-orang Quraisy yang hidup aman damai. Mengekalkan kestabilan kehidupan mereka. Kenapa Allah swt tujukan ayat ini kepada orang Quraisy? Kerana Allah swt ingin mengingatkan kepada mereka supaya hanya bertuhankan Allah ‘Azzawajalla sahaja, bukan kepada berhala-berhala mereka sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 3 – 4.

Ayat 3 – 4:

فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَـٰذَا ٱلۡبَيۡتِ (٣) ٱلَّذِىٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٍ۬ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۭ (٤)

“Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, (3) Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan.(4)”

Huruf (فَ ) adalah huruf jar yang menunjukkan penekanan. Allah swt ingin menyatakan bahawa; “Maka kamu mestilah berterusan mengabdikan diri kepada Tuhan rumah(Ka’abah) ini.”

Allah swt telah memberi tiga (3) keistimewaan kepada kaum Quraisy;

1. Pertolongan menentang tentera bergajah.
2. Menghilangkan perasaan takut dan menimbulkan rasa aman walau kemana sahaja mereka pergi.
3. Mendapat ni’mat rezeki yang banyak sehingga tidak merasa lapar.

Kenapa orang-orang Quraisy dapat keistimewaan ini? Kerana Ka’abah-lah mereka mendapat semua ini. Bukan disebabkan mereka itu kaum Quraisy. Bukan juga kerana berhala yang mereka sembah.

Allah swt telah menempelak mereka kerana ingkar dengan seruan Rasulullah saw dan menyuruh mereka menyembah hanya kepada Allah swt, manakala patung-patung berhala itu bukanlah tuhan untuk disembah.

Pengajaran yang boleh diambil:

1. Orang yang hidup senang tidak semestinya betul. Orang yang mendapat pertolongan Allah swt tidak semestinya betul. Berlaku sesuatu keajaiban ke atas diri seseorang tidak semestinya dia betul. Orang yang mendapat karamah tidak semestinya dia betul. Jadi apa yang betul?
Seseorang itu akan betul selagi dia mengikut Al-Qur’an dan sunnah Nabi saw. Bermaksud dia telah mengikut syari’at.

Menghimbau kembali kepada peristiwa orang Islamyang telah kalah dalam peperangan Uhud dan orang Musyrikin telah menang. Kemenangan kaum Musyrikin ini tidak menunjukkan mereka adalah betul. Begitu juga dalam peristiwa-peristiwa aneh atau ajaib yang lain.

Imam Ghazali pernah berkata:

“Apabila kamu melihat seseorang boleh terbang di udara atau boleh berjalan di atas air tetapi dia telah menyalahi sunnah, maka saksikanlah bahawa dia adalah syaitan.”

Orang yang berjubah putih, bersarban dan banyak bertapa di dalam hutan atau gua tidak semestinya dia betul. Kenapa? Sebab dia tidak menunaikan solat Jumaat. Dia telah melanggar syari’at.

Berlaku keajaiban dalam perubatan secara batin. Perawat dapat melakukan pembedahan tanpa menggunakan peralatan seperti pisau bedah dan sebagainya. Pesakit diminta membaca ayat suci al-Qur’an dan berselawat kepada Nabi saw sebelum pembedahan dilakukan. Kemudian perawat dapat mengeluarkan segala usus dalam perut dengan tanpa berlaku pendarahan. Usus yang telah dikeluarkan dimasukkan kembali ke dalam perut dan perut yang dibedah ditutup dengan hanya menyapu tangan perawat keatas bahagian yang terbuka. Kemudian pesakit akan terus dapat bangun berjalan dan sihat. Adakah perawat ini betul atau dia ada karamah? Tidak semestinya betul walaupun dia menggunakan ayat suci al-Quran pada peringkat awal. Satu keajaiban telah berlaku. Tidak mungkin ia satu karamah kerana dia tahu dan pasti apa yang ingin dilakukan. Sedangkan karamah adalah suatu yang tidak pasti berlaku dan tidak diketahui boleh berlaku. Perawat telah menggunakan ilmu sihir dalam perubatannya. Sihir adalah sesuatu yang boleh dipelajari. Tetapi kita kena ingat, sihir adalah termasuk di dalam kategori dosa-dosa besar yang 7.

Kita sebagai orang awam, jangan terkeliru dengan keadaan-keadaan seperti beristidraj, karamah, wali, sihir dan mukjizat.

Mukjizat hanya berlaku kepada nabi dan rasul.

Istidraj adalah keadaan di mana seseorang itu mendapat kenikmatan dan kesenangan atau kemudahan dari Allah swt sehingga dia lupa diri, bangga diri, sombong, tamak dan penyakit-penyakit yang lain yang boleh membinasakannya hingga masuk neraka di akhirat kelak.

Karamah selalunya dikaitkan dengan wali. Wali bermaksud orang yang disayangi oleh Allah swt selepas Rasulullah saw. Karamah dianugerahkan kepada seorang wali sebagai anugerah. Sedangkan si wali itu sendiri tidak menyedari dia mempunyai karamah. Seorang wali tidak semestinya mempunyai karamah. Orang yang mengaku dirinya seorang wali adalah bukan wali. Kenapa? Kerana tiada siapa mengetahui dirinya adalah wali.

Dalam konteks surah ini, berlaku keajaiban, kenikmatan dan keamanan kepada kaum Quraisy. Ini tidak menunjukkan mereka adalah betul.

2. Allah Maha Memelihara rumah-Nya. Allah swt membiarkan semua ini berlaku ke atas kaum Quraisy kerana ada maslahah atau hikmahnya. Inilah qadar Allah swt dan inilah perancangan dan kehendak-Nya. Orang Arab masuk Islam beramai-ramai apabila melihat kepercayaan mereka kaum Quraisy masuk Islam. Rasulullah saw berjaya membuka Kota Mekah.

3. Manusia cepat lupa kepada Penciptanya setelah mereka dilalaikan oleh kesenangan dan kemewahan dunia yang sementara ini. Hanya kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan sunnah akan menetapkan hati-hati mereka ke jalan yang lurus dan bersedia untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi.

01 November 2011

3.20 HIKMAH DISEBALIK QADAR(TAKDIR) YANG TERSEMBUNYI

Abu Abdurrahman Abdullah bin Mas’ud melaporkan; “Rasulullah saw menyampaikan kepada kami dan baginda adalah orang yang benar dan dibenarkan, ‘Sesungguhnya penyempurnaan penciptaan kamu berlaku di perut ibunya sebagai setitis mani selama 40 hari, kemudian berubah menjadi setitis darah selama 40 hari, kemudian menjadi segumpal daging selama 40 hari. Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat, lalu ditiupkan roh padanya. Kemudian diperintahkan supaya menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kecelakaan atau kebahagiaannya. Demi Allah yang tidak ada tuhan selain –Nya, sesungguhnya antara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dan syurga tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya antara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dan neraka tinggal sehasta, tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga.” – HR Bukhari dan Muslim.

Dari hadith di atas, sahihlah bahawa 4 perkata telah tercatat di Luh Mahfuz sebagai qadar seseorang sehingga ajalnya. Allah swt telah menetapkannya sejak azali lagi. Apakah 4 perkara tersebut?

1. Rezekinya
2. Ajalnya(umur)
3. Amal kecelakaanya
4. Amal kebahagiaannya

Tiada siapa yang mengetahui qadarnya, hatta nabi dan rasul pun tidak mengetahui melainkan Allah swt.

Firman Allah swt:

وَعِندَهُ ۥ مَفَاتِحُ ٱلۡغَيۡبِ لَا يَعۡلَمُهَآ إِلَّا هُوَ‌ۚ وَيَعۡلَمُ مَا فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ‌ۚ وَمَا تَسۡقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعۡلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ۬ فِى ظُلُمَـٰتِ ٱلۡأَرۡضِ وَلَا رَطۡبٍ۬ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِى كِتَـٰبٍ۬ مُّبِينٍ۬ (٥٩

“Dan disisi Allah tersimpan anak-anak kunci segala perkara ghaib. Tiada siapa yang mengetahuinya kecuali Dia. Dan Dialah yang mengetahui segala sesuatu yang ada di daratan dan lautan. Dan tiada sehelai daun yang gugur melainkan diketahui oleh-Nya. Dan tiada sebutir biji di dalam kegelapan-kegelapan perut bumi dan tiada suatu yang basah dan tiada suatu yang kering melainkan semuanya tercatat di dalam sebuah buku yang amat jelas.” QS – Al-An’am:59

Begitulah kesyumulan pengetahuan Allah ‘Azzawajalla. Pengetahuan-Nya tidak terbatas di merata sudut alam buana. Komposisi daratan dan lautan, daun-daunan yang gugur, biji benih di dalam perut bumi dan apa benda yang basah dan kering, memang di luar keupayaan tenaga kerja manusia, bahkan di luar keupayaan pemikiran manusia. Tetapi ia mudah bagi Allah, semuanya telah tercatat di Luh Mahfuz. Kematian dan kemusnahan, pertumbuhan dan kesuburan, perkembangan dan kelayuan pada setiap makhluk yang hidup diketahui oleh-Nya.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a ia berkata, "Aku pernah naik unta di belakang Nabi saw maka beliau bersabda: "Wahai anakku, sesungguhnya aku akan mengajarimu beberapa hal, yaitu; jagalah (hukum-hukum) Allah swt, niscaya Dia akan menjagamu. Jagalah (hukum-hukum) Allah swt, niscaya Dia akan selalu bersamamu. Jika kamu meminta sesuatu, maka mintalah hanya kepada Allah swt. Jika kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan hanya kepada Allah swt. Ketahuilah sekiranya umat manusia berkumpul dan sepakat untuk memberikan manfaat untukmu, maka mereka tidak akan dapat memberikan manfaat kepadamu, kecuali sesuatu yang telah ditetapkan Allah swt untukmu. Dan sekiranya mereka berkumpul dan sepakat untuk memberikan mudharat kepadamu, niscaya mereka tidak dapat memberikan mudharat kepadamu, melainkan sesuatu yang telah Allah swt tetapkan untukmu. Pena telah diangkat, dan tulisan-tulisan pada buku catatan telah kering." - HR Tirmidzi. Ia berkata, "Hadith ini hasan shahih."

Ungkapan “Pena telah diangkat, dan tulisan-tulisan pada buku catatan telah kering.” Menunjukkan bahawa setiap qadar Allah yang telah tercatat itu tidak akan berganjak lagi atau berubah lagi. Oleh itu setiap apa yang telah berlaku ke atas diri seseorang itu adalah qadar Allah keatas dirinya.

“Tidak ada makhluk yang bernafas kecuali Allah telah menentukan tempatnya di syurga atau neraka, telah dituliskan celaka atau bahagia.” Seseorang bertanya, “Wahai Rasulullah , apakah kita berpegang dengan ketentuan tersebut dan meninggalkan amal?” Baginda menjawab, “Bekerjalah kalian dan setiap orang akan diberikan kemudahan sesuai dengan apa yang diciptakan baginya. Adapun orang-orang yang berbahagia akan dimudahkan untuk mengamalkan amalan-amalan kebaikan dan orang-orang celaka akan dimudahkan untuk mengamalkan amalan-amalan yang akan membawanya kepada kecelakaan.” – HR Bukhari.

Dari hadith di atas, jelas kepada kita bahawa kita harus terus bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh tanpa berputus-asa dan menunggu takdir kerana Rasulullah saw mengajar kita berusaha. Setiap yang daripada Nabi saw adalah daripada suruhan Allah jua.

Firman Allah swt:
وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ‌ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّہَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ (١٠٥)
Dan katakanlah, ‘Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta para mu’minin akan melihat pekerjaan kamu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala urusan yang ghaib dan segala urusan yang nyata dan Dialah yang akan memberitakan kepada kamu segala apa yang dilakukan kamu.” – QS At-Taubah:105

Ayat di atas ditujukan kepada kumpulan yang ponteng jihad di dalam perang Tabuk dan telah bertaubat. Allah swt ingin kita berpijak di bumi yang nyata. Tidak cukup hanya dengan perasaan dan berniat sahaja. Niat tersebut mestilah disertakan dengan tindakan atau pergerakan. Ini bermaksud kita kena berusaha. Tidak duduk diam menunggu takdir.

Jangan sampai kita menyimpang atau tergelincir iktiqad kepada iktiqad Jabariah atau iktiqad Qadariah(telah dibincang dalam “Doa tidak mengubah takdir” ) dan lain-lain iktiqad. Hanya iktiqad Ahli Sunnah Waljama’ah yang diterima oleh Allah swt. Oleh itu penting bagi kita mempelajari ilmu Tauhid secara mendalam dan terperinci.

Firman Allah swt:

لَا يُسۡـَٔلُ عَمَّا يَفۡعَلُ وَهُمۡ يُسۡـَٔلُونَ (٢٣)
“Dia tidak ditanya segala apa yang dilakukan-Nya tetapi mereka akan ditanyai(segala apa yang dilakukan mereka).” – QS Al-Anbiya’:23

Sekiranya kita mempertikaikan takdir Allah, seolah-olah kita tidak mempersetujui tetapan-Nya. Siapakah kita untuk tidak bersetuju ? Kemudian mengajukan pertanyaan yang sombong dan hairan seperti, mengapa Allah buat begini? Apakah tujuan Dia berbuat begitu? Seakan-akan ingin menyatakan tiada kelihatan apa-apa hikmat dan tujuan dari ciptaan Allah itu.

Hakikatnya, kita telah melampaui batas adab susila yang wajib terhadap Tuhan yang disembah. Sedangkan daya kefahaman kita terbatas dalam ruang lingkup yang terhad sahaja.

Ulama’ ada membahagikan takdir kepada 2 bahagian;
1. Qadar mubram( Yang telah mantap/tercatat – tidak boleh berubah lagi )
2. Qadar mu’allaq(Yang belum mantap/ belum tercatat – boleh berubah)

Sebagai orang awam yang begitu dangkal ilmu ini, amatlah sukar untuk membezakan diantara keduanya. Justeru itu adalah lebih baik mengambil pendekatan untuk tidak memikirkan apakah takdir atau qadar yang boleh berubah itu. Dibimbangi ia akan menambah kekeliruan dan paling parah lagi ia akan merosakkan iktiqad Ahli sunnah waljama’ah.

Dari Abdullah ibn Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:'Bahawa setiap sesuatu telah ditulis dengan Qadar (takdir) sehingga kebodohan dan kelemahan atau kecerdikan dan kepandaian seseorang'. - HR Muslim

Sebaliknya adalah lebih baik cuba memahami bahawa segala yang berlaku ke atas diri kita, itulah takdir kita. Ini kerana beriman kepada qada’ dan qadar adalah salah satu daripada rukun iman. Kita hanya perlu berusaha, kemudian bertawakkal kepada Yang Esa.

Di antara hikmah disebalik qadar yang tersembunyi ialah:

1. Bersedia untuk mati dan tidak panjang angan-angan.

Kematian adalah saat perpisahan roh dari jasadnya. Ia adalah suatu yang pasti terjadi. Kematian juga akan memotivasikan untuk memperbaiki amal dan tidak panjang angan-angan.

Firman Allah swt:

كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَڪُمۡ يَوۡمَ
ٱلۡقِيَـٰمَةِ‌ۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَ‌ۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ (١٨٥)

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari Kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” – QS Ali-‘Imran:185.

Dari ayat di atas Allah swt memperingatkan agar berhati-hati terhadap berbagai hal yang melalaikan yang menutupi seseorang dari hakikat kebenaran sehingga dia akan tertipu oleh dunianya serta melupakan Rabb-nya. Sesungguhnya dunia adalah keji dan sementara.

Firman Allah swt:
إِنَّ ٱللَّهَ عِندَهُ ۥ عِلۡمُ ٱلسَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ ٱلۡغَيۡثَ وَيَعۡلَمُ مَا فِى ٱلۡأَرۡحَامِ‌ۖ وَمَا تَدۡرِى نَفۡسٌ۬ مَّاذَا تَڪۡسِبُ غَدً۬ا‌ۖ وَمَا تَدۡرِى نَفۡسُۢ بِأَىِّ أَرۡضٍ۬ تَمُوتُ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرُۢ (٣٤)

“…Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui(dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati….” – QS Luqman:34

Ayat di atas memperingatkan orang yang suka bertangguh-tangguh dalam bertaubat dan membuat kebaikan.

Firman Allah swt:

فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمۡ لَا يَسۡتَـٔۡخِرُونَ سَاعَةً۬‌ۖ وَلَا يَسۡتَقۡدِمُونَ (٦١)….
“…..Maka apabila telah tiba waktu(yang ditentukan)bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak(pula) mendahulukannya.” – QS An-Nahl:61

Ibnu ‘Umar berkata, Rasulullah saw bersabda: “ Jika kamu berada pada petang hari, maka janganlah kamu menanti waktu pagi. Dan jika berada pada pagi hari, maka janganlah kamu menanti waktu petang. Dan pergunakanlah masa sihatmu sebelum masa sakitmu dan masa hidupmu sebelum masa kematianmu.” – HR Al-Bukhari.

2. Menjauhi sifat cintakan dunia.

Allah swt telah pun menentukah rezeki seseorang sejak 120 hari di dalam perut ibunya. Dia tidak perlu bimbang akan kelaparan, rezekinya pasti ada. Hatta ulat di dalam batupun ada rezekinya tersendiri. Maka mencari makan bukanlah menjadi matlamat utama untuk dia hidup.

Firman Allah swt:
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ (٥٦) مَآ أُرِيدُ مِنۡہُم مِّن رِّزۡقٍ۬ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطۡعِمُونِ (٥٧) إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِينُ (٥٨)

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mengabdikan diri kepada-Ku. Aku tidak mengkehendaki sebarang rezeki pun dari mereka dan Aku tidak sekali-kali mengkehendaki mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah itulah satu-satu-Nya pemberi rezeki yang mempunyai dan Maha Teguh kekuasaan-Nya.” – QS Al-Zaariyat:56-58

Amat merugikan bagi sesiapa yang mengumpul harta kekayaan tetapi tidak dapat dikecapinya kerana ajal sudah sampai. Tiada siapa mengetahui ajalnya, mungkin esok, mungkin hari ini, mungkin malam ini, malah mungkin kejap lagi. Oleh itu, usahlah terlalu mengejar dunia untuk kebahagiaan sementara buat diri, anak dan isteri. Kejarlah kebahagiaan akhirat kerana kebahagiaan akhiratlah yang abadi.

Rasulullah saw bersabda: “ Tidak ada hak bagi seorang muslim yang mempunyai sesuatu yang akan diwasiatkan, lalu dia bermalam sampai dua malam melainkan wasiatnya telah tertulis di sisinya.” – HR al-Bukhari

Ibnu ‘Umar berkata: “ Sejak aku mendengar Rasulullah saw mengucapkan kalimat itu, aku tidak pernah satu malam pun berlalu dariku melainkan wasiatku sudah ada bersamaku.”

Mungkin juga ajal lambat lagi, mungkin 5 tahun lagi, mungkin 10 tahun lagi, mungkin juga 20 tahun lagi dan mungkin lebih daripada itu. Maka orang mukmin akan berusaha atau bekerja bagaikan akan hidup selama-lamanya. Namun mengumpul harta bukan matlamatnya. Takut-takut ajal akan datang sekejap lagi.

Firman Allah swt:
وَٱللَّهُ يُحۡىِۦ وَيُمِيتُ‌ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ۬ (١٥٦)

“ Dan sebenarnya Allahlah yang menghidupkan dan yang mematikan.” – QS Ali-Imran:156

3. Melahirkan insan yang pemurah.

Firman Allah swt:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُلۡهِكُمۡ أَمۡوَٲلُكُمۡ وَلَآ أَوۡلَـٰدُڪُمۡ عَن ذِڪۡرِ ٱللَّهِ‌ۚ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡخَـٰسِرُونَ (٩) وَأَنفِقُواْ مِن مَّا رَزَقۡنَـٰكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِىَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوۡلَآ أَخَّرۡتَنِىٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍ۬ قَرِيبٍ۬ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (١٠) وَلَن يُؤَخِّرَ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِذَا جَآءَ أَجَلُهَا‌ۚ وَٱللَّهُ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ (١١)
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Barangsiapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu berkata, ‘Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang shalih.’ Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” – QS al-Munaafiquun:9 – 11

Oleh kerana tidak mengetahui ajal itu bila, maka menginfakkan sedikit rezeki yang Allah berikan kepada yang memerlukan adalah lebih baik. Pemberian yang ikhlas kerana Allah suruh itu akan menambah bekalan ke akhirat. Oleh itu lebih baik bersegera membuat kebajikan sebelum terlambat. Pahala yang diperolehi itulah hak kita yang hakiki. Simpanan di dalam bank belum tentu menjadi hak kita. Bila kita mati, ia akan menjadi hak waris. Perlu bijak dalam pengurusan kewangan. Tidak terlalu boros, tidak terlalu kedekut, langkah bijak ialah bersederhana. Gunakan harta untuk merebut akhirat. Menyara keluarga kerana Allah suruh adalah ibadah. Perlunya bekerja sebagai asbab untuk mendapatkan harta. Allah swt jua yang mengizinkan rezeki itu.

4. Menghindari diri dari penyakit-penyakit hati.

Penyakit hati seperti rasa riak(menunjuk-nunjuk), ujub(merasa hairan dengan diri sendiri), sombong, dan bangga diri sangat sukar dikawal. Dorongan nafsu dan syaitan selalu mengatasi iman. Oleh itu sangat penting menjaga kebersihan hati.

أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّه
أَلاَ وَهِيَ الْقَلْب - رواه البخاري ومسلم
“……….….. Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik, maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa itu adalah hati “. - HR Bukhari dan Muslim

Manusia sering lupa bahawa Allah swt telah menetapkan rezeki, ajal, kecelakaannya dan kegembiraannya sejak azali lagi. Cuma, mereka tidak mengetahui apakah rezeki itu, apakah kecelakaan itu, apakah kegembiraan itu dan bilakah ajalnya.

Segalanya telah ditentukan oleh Allah swt. Apa sahaja yang dia dapat, seperti rumah besar, kereta besar, pangkat besar, kepandaian, kemahiran, dan sebagainya adalah pinjaman Allah kepada dia. Maka Allah swt sahaja yang layak merasa bangga dengan kekuasaan-Nya. Mata, telinga, dan semua anggota tubuh adalah pinjaman Allah sebagai peralatan untuk tunduk patuh kepada-Nya. Manusia adalah makhluk. Dia hanya bertaraf seorang hamba yang tidak ada apa-apa. Kepunyaan Allah-lah segala-galanya. Bila-bila masa sahaja Allah swt boleh mengambil semuanya kembali dengan kematian. Oleh itu untuk apa ada perasaan riak, ujub atau bangga diri dalam diri. Perasaan itu menyebabkan kemurkaan Allah. Dia telah mengambil hak Allah kemudian mengaku miliknya. Itulah sifat orang yang tidak tahu malu. Orang yang tidak dapat mengengkang nafsu dan godaan syaitan sebagai ujian diri di atas pentas dunia yang fana ini.

Justeru itu, amatlah perlu melawan penyakit-penyakit ini melalui menasihati hati dengan cahaya keimanan serta kesabaran. Menggandingkan ilmu dengan amal. Berdoa sebagai usaha terakhir asbab bagi kejernihan hati. Kemudian bertawakkal kepada Allah swt. Segala-galanya dengan keizinan-Nya. Proses ini perlu disegerakan kerana tiada siapa mengetahui takdir kematiannya. Kematian bermaksud bermulanya alam akhirat iaitu bermulanya hari perhitungan.

Firman Allah swt:
 يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ قَدۡ جَآءَتۡكُم مَّوۡعِظَةٌ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَشِفَآءٌ۬ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدً۬ى وَرَحۡمَةٌ۬ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ (٥٧)
“ Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman” – QS Yunus:57

Pelajaran yang dimaksudkan ialah wahyu Allah swt di dalam al-Qur’an yang boleh menyembuhkan penyakit-penyakit di dalam dada iaitu penyakit hati. Bertadabbur al-Qur’an akan meningkatkan kefahaman terhadap ilmu wahyu. Inilah rahmat Allah kepada orang-orang yang beriman.

5. Menghindari diri dari kekecewaan dan berputus-asa.

Apabila segalanya telah ditetapkan oleh Allah swt. Tidak kira kecelakaan atau kegembiraan, sebagai seorang hamba patut meredhai apa jua ketentuan-Nya itu.

Semua orang inginkan kegembiraan. Maka usahanya mengarah kepada memperolehi kegembiraan. Dia tidak sedar bahawa kegembiraan yang dikejar itu sebenarnya bakal memberi kecelakaan kepadanya. Allah lebih mengetahui ketentuan hamba-Nya, maka Dia tidak mengizinkan kejayaan kepada usaha hamba-Nya itu.

Firman Allah swt:
كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلۡقِتَالُ وَهُوَ كُرۡهٌ۬ لَّكُمۡ‌ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ شَرٌّ۬ لَّكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ (٢١٦)

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan kamu mungkin sukakan sesuatu, sedangkan ia lebih buruk kepada kamu. Dan hanya Allah yang mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” – QS Al-Baqarah:216

Setiap qadar atau takdir Allah swt ke atas diri seseorang adalah baik buat dirinya. Jika kecelakaan itu baik, maka dia redha. Siapa dia untuk tidak redha. Allah swt lebih mengetahui jalan hidupnya. Maka tidak perlu terjun bangunan kerana kecewa dan berputus-asa. Lebih baik, bangkit semula kemudian usaha lagi. Cari jalan penyelesaian. Sesungguhnya Allah ingin memberi ganjaran yang banyak dari usaha-usahanya itu.

“Seorang mukmin itu amatlah dikagumi! Kerana seluruh urusannya baik belaka. Dan hal ini tidak dapat dicapai oleh sesiapa pun kecuali orang yang beriman, iaitu jika ia mendapat kesenangan dia bersyukur dan ini memberi kebaikan kepadanya, dan jika ia ditimpa kesusahan dia bersabar dan ini juga memberi kebaikan kepadanya.” – HR Muslim.

Tidakkah merasa seronok melihat Allah swt mentadbir hidup kita? Setiap saat dan setiap detik melihat ketentuan Allah swt ke atas diri sendiri. Dalam hati berbisik; “ Oooh…..ini rupanya takdir ku yang telah tercatat di Luh Mahfuz sejak dalam perut ibu dulu.”

Tidak perlu berputus-asa atau kecewa. Usaha sedaya mungkin. Itu yang Allah suruh. Kemudian bertawakkallah. Lihat apa pula takdir Allah keatas usaha tersebut. Jarang sekali Allah swt menyalahi sunnah-Nya. Adakah Allah ingin menguji dengan kesedihan atau kegembiraan? Tidakkah seronok melihat takdir itu? Kehidupan yang cantik ialah kehidupan yang bewarna-warni. Sambutlah ujian dan cabaran-cabaran itu dengan sabar dan berpandukan al-Qur’an serta sunnah Rasulullah saw. InsyaAllah, Allah akan memudahkan perjalanan hidup kita di dunia menuju akhirat.

6. Menyuburkan sifat sabar.

Orang yang beriman dengan qada’ dan qadar, meyakini setiap apa yang berlaku ke atas dirinya adalah takdirnya. Setiap yang telah ditakdirkan adalah baik baginya walaupun dia tidak mengetahui apakah takdirnya sebelum ini. Maka tidak perlu marah. Malah dia tidak layak untuk memarahi takdir itu. Seorang hamba tidak layak memarahi tuannya. Bersopanlah. Tunduk dan redha dengan ketentuannya.

Sifat sabar amat sukar dipupuk. Takdir yang rahsia menyebabkan seseorang yang beriman bersedia untuk menerima takdir yang seterusnya. Takdir yang baik, dia akan bersyukur. Takdir yang tidak baik, dia akan bersabar. Bersabar bererti tiada keluh kesah, tiada kesedihan, tiada penyesalan, tiada kemarahan dan tiada kebanggaan. Ini kerana dia tahu, segalanya dari Tuhannya. Tiada apa-apa dari dirinya. Dia hanyalah seorang hamba.