MUTIARA KATA

"Dunia pergi sambil berpaling, dan akhirat datang sambil mengadap. Setiap satu dari keduanya mempunyai anak. Jadilah engkau anak akhirat, dan jangan menjadi salah satu anak dunia. Sebab, hari ini adalah hari untuk beramal; tidak ada hisab (perhitungan amal di akhirat). Sedangkan hari esok adalah hisab; tidak ada hari untuk beramal."


"Ilmu umpama hujan, yang tidak memberikan manfaat kecuali bagi tanah yang subur dan suci. Begitulah juga ilmu tidak memberi manfaat kecuali bagi jiwa yang suci, hati yang sedar dan naluri yang peka."

FIKRAH ISLAM





04 Ogos 2013

6.1 ARBA’IN IMAM AN-NAWAWI: Pemahaman Hadith 1


عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى . فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ .
[رواه إماما المحدثين أبو عبد الله محمد بن إسماعيل بن إبراهيم بن المغيرة بن بردزبة البخاري وابو الحسين مسلم بن الحجاج بن مسلم القشيري النيسابوري في صحيحيهما اللذين هما أصح الكتب المصنفة]

Terjemahan Hadith / : ترجمة الحديث

Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khottob radiallahu’anhu, dia berkata:
Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan
bergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada (keridhaan) Allah dan RasulNya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dikehendakinya atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (akan bernilai mengikut) yang dia niatkan.

(Riwayat dua Imam Hadith, Abu Abdullah Muhammad bin Isma’il bin Ibrahim bin Al Mughirah bin Bardizbah Al Bukhori dan Abu Al Husain Muslim bin Al Hajjaj bin Muslim Al Qusyairi An Naishaburi. Kedua kitab Shahih mereka merupakan kitab yang paling shahih yang pernah dikarang).

Kedudukan Hadith:

Sangat besar kedudukan hadith ini di kalangan para Imam yang muktabar. Imam Ahmad dan Imam As-Syafi’i berkata hadith ini adalah sepertiga (1/3) ilmu. Sebabnya, perbuatan seseorang itu bergantung kepada perbuatan hati, lisan dan anggota badan (Iman). Perbuatan hati itu adalah niat.

Imam Abu Daud berkata bahawa hadith ini adalah setengah (½) dari agama Islam sebabnya, agama itu tertumpu kepada dua perkara utama  iaitu zohir(amal) dan batin(niat).

Hadith ini menjadi salah satu daripada intipati ajaran Islam. Imam As-Syafi’i juga berkata Hadith ini mencakupi 70 bab dalam fiqh.

Justeru itu, ia telah diletakkan sebagai hadith yang pertama dalam hadith-40 dan juga dalam buku induknya iaitu Riyadhus Sholihin (Taman-taman para solehin). Imam Bukhari juga meletakkan hadith ini di awal kitab Shahih-nya.

Disarankan kepada setiap muslim dan para da’i meneliti dan memahami hadith ini dengan bersungguh-sungguh agar dapat melaksanakan tuntutan-tuntutannya bagi mencapai مرضاة الله .

Perbincangan Hadith:

Rasulullah saw menegaskan setiap/semua amalan adalah terkurung (إِنَّمَا) dalam niat.  Ada hubungan yang sangat rapat di antara amal dan niat. Amal hendaklah diniatkan untuk Allah swt semata-mata; tiada berlaku percampuran dan tidak untuk yang selain dari-Nya. Jika tidak, amalan itu menjadi sia-sia.  Tersangat penting perkara `niat’ ini kerana ia adalah pintu gerbang kepada keikhlasan.

Amal Perbuatan dan Niat

Amal perbuatan terbahagi kepada 3 jenis; yakni amal yang maksiat,  amal ketaatan (ibadah) dan amal yang harus

1.    Amal maksiat

Amal perbuatan yang maksiat masih dikira `maksiat’ walaupun niatnya baik ataupun dilabelkan sebagai amal yang mulia oleh masyarakat. Neraca timbangan ialah dari Allah swt. Konsert amal umpamanya ataupun memberi infaq dengan wang riba.

2.    Amal ibadah

Amal keta’atan (Ibadah) dengan niat kerana Allah SWT dikira sebagai ibadah. Amal dibuat kerana Allah menyuruh kita berbuat demikian. Objektif amal keta’atan itu adalah untuk Allah dan bukan disebabkan perkara yang lain seperti pandangan manusia ataupun adat kebiasaan.

Seorang muslimah menutup auratnya kerana Allah minta dia berbuat demikian, maka ia adalah ibadah.  Bila ditanya kenapa dia memakai tudung? Maka dia menjawab dengan tegas “saya ta’at kepada Allah, saya menjalankan perintah Rasul, malu kepada Allah dan saya inginkan redha Allah”. Sangat jelas bahawa dia ta’at kepada Allah dan Rasul, dan tidak semata-mata kerana adat kebiasaan.

Usaha dakwah di jalan Allah untuk mendapat redha Allah juga ibadah. Malah Allah swt menerima amal perbuatan hamba-Nya yang beramal yang mengharap ganjaran pahala dan syurga Allah.

Amal yang pada zohirnya nampak kecil menjadi besar disisi Allah dengan niat kerana Allah. Sebaliknya, amalan yang besar tetapi niat yang tidak jelas ataupun bercampur dengan hal lain, maka amalan itu menjadi sia-sia dan tidak diterima.

Marilah kita cuba menjawab soalan-soalan berikut:

1.    Adakah di dalam amal kita ada niat yang bercampur?
2.    Apakah kita suka dilihat manusia ketika melakukan solat/membaca quran?
3.    Apakah kita suka orang memuji dan mengucapkan berterima kasih kerana perbuatan kita yang mulia?
4.    Apakah kita suka jika orang menganggap kita sebagai orang komited dalam dak’wah?

Jika ya jawapannya, maka hendaklah kita berusaha lagi untuk menyucikan amal kita dari segala campuran. Hendaklah kita berusaha agar perasaan amal perbuatan untuk dilihat orang digantikan dengan perasaan bahawa amal itu hanya untuk dilihat oleh Allah SWT semata-mata. Cukuplah untuk kita firman Allah SWT (maksudnya)  “Dan cukuplah Allah sebagai saksi..” (Al-Fath:28)

Allah SWT berfirman (maksudnya)

“Katakanlah, `Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Rabb semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan padaku…” (Al-An’am:162-163)

“Padahal mereka tidak diperintah kecuali agar menyembah Allah dengan memurnikan keta’atan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus dan agar mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Demikian itulah agama yang lurus.” – QS (Al-Bayyinah:5)

“Daging (qurban) dan darahnya itu sekali-kali tidak akan mencapai (keredhaan) Allah. Akan tetapi, ketaqwaan kamulah yang dapat mencapainya.” – QS (Al-Hajj:37)                                                              

Inilah keindahan ungkapan Al-Quran. Maka milik siapakah ketundukan yang murni itu? Milik siapakah ibadah yang murni itu, kalau bukan milik Allah SWT. 

Niat seseorang itu mestilah niat yang ikhlas. Ikhlas adalah kunci amalan hati. Semua amalan soleh tidak akan sempurna tanpa dilandasi oleh keikhlasan. Bahkan niat mengubah adat kebiasaan menjadi ibadah. Amal perbuatan seperti makan, minum ataupun bersukan menjadi ibadah jika diniatkan kerana Allah SWT.  

INGATLAH ! Niat dalam beramal adalah wajib hukumnya. Ikhlas dalam niat adalah syarat diterimanya amal.

Tingkatan pahala yang diperolehi bergantung kepada tingkatan keikhlasannya (Apa itu ikhlas?: Rujuk : ( http://bersamaummualiya.blogspot.com/2011/05/blog-post.html )

Kisah sebab lahirnya hadith ini menjadi sebagai contoh kepentingan niat yang ikhlas. Ibnu Mas’ud berkata, di antara kami ada seorang lelaki yang melamar seorang wanita dikenali sebagai Ummu Qais. Ummu Qais menolak lamarannya kecuali jika dia ikut berhijrah dari Mekah ke Madinah.  Maka lelaki itu turut berhijrah kerana cintanya kepada Ummu Qais dan beliau dapat bernikah dengan Ummu Qais. Para sahabat berselisih pendapat samada hijrahnya dapat diterima atau tidak. Akhirnya Rasulullah saw mensabdakan hadith diatas. Maka mereka pun menggelarnya Muhajiru Ummu Qais (orang yang berhijrah kerana Ummu Qais).

“Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada (keridhaan) Allah dan RasulNya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dikehendakinya atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (akan bernilai mengikut) yang dia niatkan.”

Keta’atan dalam beramal boleh dilakukan dengan beberapa niat. Para sahabat r.a adalah “saudagar niat”. Mereka melakukan satu amal sambil berniat dengan amal itu lima atau enam niat. Contohnya ketika mereka melakukan solat berjemaah di masjid; mereka beriktikaf; mereka menghadiri majlis ilmu, bersilaturrahmi dengan sahabat yang soleh dan a’lim; mereka mendekatkan diri dengan keta’atan, dan menjauhi maksiat, dan mereka juga bertaubat kepada Allah SWT.

Alangkah mulianya agama Islam ini. Bukankah niat adalah nikmat yang besar dari Allah SWT. Kita tidak pernah terfikirpun untuk itu!!!


3.    Amal yang Mubah (Harus)

Amal perbuatan yang mubah boleh mendatangkan pahala yang berganda dengan niat yang baik iaitu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT (qurubah). Memakai minyak wangi ke masjid adalah harus. Pemakainya akan memperolehi ganjaran pahala jika berniat untuk mengikuti sunnah, memuliakan masjid dan menghilangkan bau yang tidak sedap. Perbuatan makan juga akan mendapat ganjaran pahala jika bertujuan menghimpun tenaga untuk kuat beribadah kepada Allah SWT. Berumahtangga untuk memelihara agamanya, memperolehi anak yang soleh dan mententeramkan hati dalam beramal.

Perkara mubah boleh menjadi pahala dengan beberapa syarat:
·         Tidak mendatangkan akibat yang memudharatkan. Seperti sanggup bersolat di tengah panas asalkan berhampiran ka’bah sehingga menyebabkan sakit kepala atau pengsan. Mengambil sikap berdiam diri supaya dapat mengelak kesalahan bak kata pepatah; “Banyak bercakap banyaklah  salahnya” sehingga tidak melaksanakan amal ma’ruf dan nahi mungkar.
·         Perbuatan mubah menjadi wasilah (jalan) kepada ibadah.
·         Melakukannya dengan keyakinan ia adalah diharuskan oleh Allah dan sebagai tasyri’ (syari’at) Ilahi.
·         Tidak melampau-lampau dalam melakukan atau meninggalkannya secara keseluruhan. Makan terlalu kenyang. Tidak mahu memakai wangian sehingga mengganggu jama’ah.

Para ‘ulama’ sepakat bahawa amal perbuatan seseorang tidak akan mendapat ganjaran pahala kecuali jika diiringi dengan niat. Betapa pentingnya niat kerana ia dapat membezakan antara ibadat dan adat (perkara kebiasaan). Ia juga menentukan qasad amal iaitu adakah amal perbuatan itu untuk Allah atau lainnya.

Bagi ibubapa, bila ditanya mengapa menghantar anak ke sekolah? Adakah sudah menjadi adat zaman sekarang, anak-anak yang berumur 7 tahun wajib dihantar ke sekolah atau kerana Allah SWT-lah yang menyuruh hamba-Nya menuntut ilmu? Maka jawablah, Aku ingin anakku menjadi orang yang soleh dan berilmu yang dapat memimpin dunia dan menyingkirkan orang fasik/kafir menjadi pemimpin.

Bagi pelajar pula, perlu bertanya kenapa aku belajar?  Maka jawablah, bahawa aku belajar kerana orang beriman tidak layak gagal; dan aku ingin menyeru manusia kepada Allah SWT. Agama Islam yang indah ini mengubah adat kebiasaan menjadi ibadah. Kita belajar mendapat pahala, dan hati akan bertambah semangat untuk belajar kerana niat yang baik.

Alangkah ruginya kita kerana tidak merebut pahala-pahala yang disediakan dengan hanya mengubah niat kerana Allah SWT, bukan melaksanakannya kerana sudah menjadi adat kebiasaan (perkara rutin).

Allah SWT berfirman:

مَّن كَانَ يُرِيدُ ثَوَابَ ٱلدُّنۡيَا فَعِندَ ٱللَّهِ ثَوَابُ ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأَخِرَةِ‌ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ سَمِيعَۢا بَصِيرً۬ا (١٣٤)

Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah dia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (134) – QS (An-Nisa’:134)

Terdapat dua jenis niat. Niat dalam hukum fiqh dan niat dalam akhlak/sufi. Kedua-duanya dituntut dan keduanya menentukan amalan diterima oleh Allah atau tidak.

Masa bila kita hendak berniat? Waktu niat ialah pada sa’at hendak melakukan amal perbuatan (ibadah). Dimana tempat niat itu? Tempat niat adalah di dalam hati. Tidak disyaratkan melafazkannya, namun begitu boleh melafazkannya untuk membantu hati dalam menghadirkan niat. Menurut fuqaha’Syafi’i, sunnat melafazkan niat untuk membantu hati, tetapi menjadi haram jika boleh menganggu orang lain seperti semasa solat berjama’ah.

Tingkatan niat adalah berbeza-beza. Niat beramal kerana takut kepada Allah, beramal kerana mengharapkan rahmat Allah dan tingkatan yang lebih tinggi daripada keduanya adalah beramal mengagungkan Allah kerana hak-Nya untuk dita’ati dan diibadahi. Pemilik tingkatan ini selalu berzikir kepada Allah dan merenungi keagungan-Nya kerana cinta.

Jelaslah bahawa niat itu adalah pancaran hati yang mengalir sesuai dengan pertolongan Allah SWT. Niat adakalanya mudah dan adakalanya sulit dilakukan. Namun niat biasanya memang mudah dilakukan oleh orang yang hatinya cenderung pada agama, bukan dunia.

Daripada Abu Hurairah r.a, Abdurrahman bin Sakhr berkata, Rasulullah saw bersabda;
“Sesungguhnya, Allah tidak melihat tubuh dan hartamu, tetapi Dia melihat hatimu dan amal perbuatanmu.” – HR Imam Muslim

Seseorang yang berniat melakukan kebaikan kerana Allah, tetapi tiba-tiba dia jatuh sakit atau meninggal dunia, maka niat yang baik tadi tidak dapat dilaksanakan. Namun begitu dia tetap mendapat pahala kerana berniat untuk melakukan kebaikan.

Hijrah

Hijrah dalam bahasa ertinya `meninggalkan’. Hijrah menurut syari’at ialah meninggalkan negeri kafir menuju negeri Islam dengan niat menyelamatkan agamanya. Hijrah yang dimaksudkan di dalam hadith ini ialah perpindahan dari Mekah ke Madinah sebelum Fathu Mekah (penaklukan kota Mekah, tahun 8H)

Aisyah r.ha berkata, Rasulullah saw bersabda; “Tidak ada hijrah (ke Madinah) setelah penaklukan kota Mekah. Akan tetapi, (masih ada) jihad dan niat. Jika kamu diajak pergi berjihad, pergilah.” – HR Muttafaqun ‘Alaih

Tiada lagi hijrah ke Madinah kerana Mekah telah menjadi negeri Islam. Oleh itu, jika suatu negeri menjadi negeri Islam, tidak ada keharusan hijrah darinya. Hijrah tetap wajib bagi muslim yang tinggal di negeri kafir sedangkan tidak diberikan kesempatan melaksanakan ajaran Islam.

Allah SWT berfirman:

إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّٮٰهُمُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِہِمۡ قَالُواْ فِيمَ كُنتُمۡ‌ۖ قَالُواْ كُنَّا مُسۡتَضۡعَفِينَ فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۚ قَالُوٓاْ أَلَمۡ تَكُنۡ أَرۡضُ ٱللَّهِ وَٲسِعَةً۬ فَتُہَاجِرُواْ فِيہَا‌ۚ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَأۡوَٮٰهُمۡ جَهَنَّمُ‌ۖ وَسَآءَتۡ مَصِيرًا (٩٧)
Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu? Mereka menjawab: Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi. Malaikat bertanya lagi: Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya? Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah Neraka Jahanam dan Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (97)QS (An-Nisa’:97)

Seorang muslim mestilah selalu mempunyai niat untuk berjihad, mempersiapkan jihad dan memenuhi panggilan jihad jika ia diperlukan. Seorang muslim yang benar-benar bertekad ingin berjihad tetapi terhalang disebabkan sebab-sebab syar’i, dia tetap mendapat pahala jihad.

“ Siapa yang meminta kesyahidan kepada Allah dengan benar, Allah akan menyampaikannya pada kedudukan para syuhada’, meskipun dia mati di atas ranjangnya” (HR Muslim, Abu Dawud dan al-Turmudzi)

Para sahabat mempunyai semangat jihad yang tinggi walaupun uzur; dan Rasulullah saw menyatakan bahawa mereka mendapat pahala yang sempurna walaupun tidak pergi berjihad.

Ketika kembali dari Perang Tabuk (jarak Tabuk ke Madinah ialah 1000km, jarak yang jauh dengan cuaca yang panas terik); para sahabat bergantian menunggang kenderaan yang terbatas -, Nabi bersabda, “ Sesungguhnya di Madinah ada kaum yang kalian tidak melewati jalan atau menerobos bukit kecuali mereka bersama kalian – mereka bersama kalian dalam pahala - , uzur telah menghalangi mereka,” (HR Bukhari). Mereka tidak bersama kalian kerana uzur tetapi mereka memperolehi pahala yang sempurna.



Allah SWT berfirman:

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَـٰهَدُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ يَرۡجُونَ رَحۡمَتَ ٱللَّهِ‌ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (٢١٨)
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (218) – QS (Al-Baqarah:218)

Para da’i dan pendukung agama Allah, perlulah merenungi dan mengambil pengajaran dari sejarah Islam. Para Nabi a.s dan Rasul a.s tidak ramai yang mengecapi kemenangan kerajaan dan kuasa dunia. Namun mereka telah memperolehi kejayaan yang hakiki.

Sebagaimana firman Allah SWT:

 يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةً۬ فِى جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ (١٢)
(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. (12) – QS (As-Saff:12)

Tidakkah ia menjadi suatu motivasi untuk terus bekerja dan bergerak tanpa melihat kepada hasil yang mendatang. Paling penting ialah penyempurnaan kerja tersebut sebagaimana yang dikehendaki oleh syara’ dan sunnah Rasulullah saw. Perbetulkan niat dihati. Jadikannya ikhlas kepada Allah SWT. In Sya Allah, hati akan tenang, tenteram dan tidak bergundah-gulana jika kerja-kerja yang dilaksanakan tidak membuahkan hasil yang dikehendaki tetapi merasai puas kerana dapat melaksanakannya mengikut landasan yang betul sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Niat yang tidak ikhlas dan bercampur aduk dengan yang lain boleh menyebabkan hilang keberkatan dan melambatkan proses kemenangan. Allah SWT tidak akan membantu mereka yang tidak tulus ikhlas kepada-Nya.

Wallahu’alam