AL-WAQI'AH (HARI KIAMAT/SUATU YANG BERLAKU)
TADDABUR AL-QUR'AN BERSAMA DR. K YUSOF
Satu Hari Satu Muka Surat
56: 1- 96
Hari 1: ms 534
Taddabur di FB: https://www.facebook.com/DrKYusof/videos/410860646653700
Surah ini adalah diantara surah-surah pilihan yang digalakkan membacanya setiap hari. Waqi’ah adalah merupakan salah satu nama hari Kiamat. Allah s.w.t banyak menyebut nama-nama hari Kiamat di dalam al-Qur’an seperti al-Kiamah, yaumul Akhirah, al-Haaqah dan ada lagi yang lain. Nama-nama ini memberi gambaran sifat-sifat hari Kiamat itu sendiri.
Waqi’ah adalah daripada perkataan وَقَع bermakna ‘yang berlaku’. Al-Waqi’ah bermaksud ‘sesuatu yang berlaku’. Berlaku disini memberi makna ia pasti akan terjadi, maka perhatikanlah isi kandungan surah ini, apakah yang akan berlaku itu. Allah s.w.t ingin menanamkan keyakinan terhadap apa yang berlaku ini di dalam hati orang-orang yang beriman.
Bagi orang-orang kafir, ia sebagai ancaman atau amaran. Beginilah sifat-sifat hari Kiamat dan beginilah balasan yang akan diterima. Jika mereka masih tidak mahu beriman dan masih menentang Nabi s.a.w, maka tunggulah mereka akan menghadapi suasana yang begini.
Peringatan hari Kiamat kebanyakannya adalah daripada ayat-ayat makkiyah.
TADDABUR AYAT
Ayat 1
إِذَا وَقَعَتِ ٱلۡوَاقِعَةُ
“Apabila berlaku Hari Kiamat”
Apa yang Allah s.w.t ingin terangkan tentang hari Kiamat? Apa yang akan berlaku?
Ayat 2
لَيۡسَ لِوَقۡعَتِہَا كَاذِبَةٌ
“Terjadinya Kiamat itu tidak dapat didustakan(disangkal) lagi”
Kebanyakan tafsir menyatakan كَاذِبَةٌ menunjukkan apabila Kiamat itu benar-benar berlaku di depan mata, maka ketika itu tidak dapat lagi didustakan(menidakkan).
Dikala itu(bila melihat Kiamat benar berlaku), apakah kamu masih mahu menyatakan Muhammad itu berbohong? Adakah kamu masih ingin menyatakan tiada hari Kebangkitan? Adakah kamu masih ingin menyatakan Kiamat itu suatu yang tidak logik dan tidak akan berlaku sama sekali?
Orang-orang kafir akan sentiasa mencari jalan untuk menanamkan perasaan ‘tidak logik’ itu kepada manusia-manusia. Zaman sekarang mereka menggunakan media massa seperti akhbar-akhbar, perfileman dan media social sebagai alat.
Ayat 3
خَافِضَةٌ۬ رَّافِعَةٌ (٣
“(Kejadian itu) merendahkan(satu golongan) dan meninggikan(golongan yang lain)”.
Pada hari Kiamat nanti akan ada خَافِضَةٌ (merendahkan/menurunkan) dan رَّافِعَةٌ (meninggikan/menaikan). Apa maksud merendahkan dan meninggikan ini?
Ada 2 pendapat ulama’ tafsir berkenaan dengan ini;
Pendapat 1:
Orang-orang yang beriman akan diangkatkan darjatnya. Manakala orang-orang yang musyrik, yang mujrim,yang fasik dan yang menentang Allah swt akan direndahkan darjat mereka. Maka berlakulah di Hari Kiamat nanti, akan ada segolongan manusia yang dinaikkan darjatnya dan segolongan lagi yang akan diturunkan darjatnya.
Pendapat 2:
Jatuhnya atau berguguran bintang-bintang di langit dan bertaburan gunung-ganang naik ke atas menjadi awan lalu dihancurkan oleh Allah s.w.t. menjadi seperti debu-debu yang berterbangan.
Ayat 4
إِذَا رُجَّتِ ٱلۡأَرۡضُ رَجًّ۬ا
“Apabila Bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya”.
Allah s.w.t. memberi tahu, suatu peristiwa yang akan berlaku di hari Kiamat ialah ‘Kegoncangan’
Allah s.w.t. menjadikan gempa Bumi sebagai contoh kegoncangan yang kecil di Bumi. Kita boleh melihat gempa Bumi yang berlaku di Jepun, Carlifonia, Los Angeles, Turki, Iraq dan ada lagi yang lain. Walaupun gegarannya hanya sebentar sahaja( 30 saat), ia dapat memusnahkan banyak benda, merobohkan bangunan-bangunan, memusnahkan rumah-rumah kediaman. Semua ini menimbulkan perasaan cemas, panik, gelisah, sedih dan tidak tentu arah. Ini baru goncangan yang sedikit.
Kegoncangan Bumi di hari Kiamat adalah kegoncangan yang lebih dasyat dan lebih menggegarkan. Sudah tentu kemusnahan secara total akan berlaku. Manusia akan menjadi tidak tentu arah seperti orang yang mabuk.
Ayat 5
وَبُسَّتِ ٱلۡجِبَالُ بَسًّ۬ا
“dan gunung-ganang dihancur luluhkan sehancur-hancurnya”.
Allah s.w.t menceritakan contoh kemusnahan yang akan berlaku akibat dari kegoncangan di hari Kiamat.
Gunung-ganang sebagai pasak Bumi, akan hancur sehancurnya menjadi seperti pepasir halus.
Orang Arab menggunakan perkataan ‘َبُسَّ’ menunjukkan gandum yang dikisar sehingga menjadi tepung gandum.
Ayat 6
فَكَانَتۡ هَبَآءً۬ مُّنۢبَثًّ۬ا
“maka jadilah dia debu yang berterbangan”.
Setelah gunung-ganang itu hancur luluh, lalu berterbanganlah ia ke atas dan musnah secara total.
Ulama’ menyatakan, orang Arab menggunakan perkataan هَبَآءً۬ مُّنۢبَثًّ۬ا bila belaku situasi debu-debu/zarah-zarah kelihatan berterbangan apabila cahaya berpancar melalui tingkap di waktu malam yang gelap. Gambaran gunung-ganang yang hancur berterbangan adalah seperti ini.
Tidakkah ia menggerunkan?
Ayat 7
وَكُنتُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا ثَلَـٰثَة
“dan kamu menjadi tiga golongan”.
Seterusnya Allah s.w.t menyebutkan, pada hari Kiamat nanti semua manusia(Jumhur ulama’ bersepakat; termasuk orang-orang Islam dan orang-orang kafir) akan dipisahkan/dibahagikan kepada 3 kumpulan/puak/golongan.
3 golongan itu ialah:
1. أَصۡحَـٰبُ ٱلۡمَيۡمَنَةِ – golongan kanan iaitu golongan yang bahagia.
2. أَصۡحَـٰبُ ٱلۡمَشۡـَٔمَةِ – golongan kiri iaitu golongan yang celaka.
3. ٱلسَّـٰبِقُونَ – golongan yang mendahului.
Ayat 8
فَأَصۡحَـٰبُ ٱلۡمَيۡمَنَةِ مَآ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡمَيۡمَنَةِ
“Yaitu golongan kanan. Alangkah bahagianya golongan kanan itu?”.
Allah menegaskan dalam bentuk pertanyaan; “Tahu tak golongan kanan yang bahagia itu apa?” Bukan bermaksud Allah s.w.t. tidak mengetahui, tetapi Allah s.w.t. nak kita memberi perhatian yang lebih atau memikirkannya secara serius.
Golongan kanan itu ialah mereka yang akan menerima kitab amalan mereka dengan tangan kanan.
Ayat 9
وَأَصۡحَـٰبُ ٱلۡمَشۡـَٔمَةِ مَآ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡمَشۡـَٔمَةِ
“Dan golongan kiri. Alangkah sengsaranya golongan kiri itu?”.
Kemudian Allah s.w.t. menegaskan lagi; “Tahu tak golongan kiri yang celaka itu apa?”
Golongan kiri ialah mereka yang akan menerima buku catatan amalan mereka dengan tangan kiri.
Ayat 10
وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلسَّـٰبِقُونَ
“Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dahulu(masuk syurga)”.
ٱلسَّـٰبِقُونَ – memberi maksud yang mendahului, yang awal, yang terkedepan, yang mula-mula. Jika dalam perlumbaan, dia adalah yang paling hadapan.
Golongan ٱلسَّـٰبِقُونَ adalah golongan yang terdahulu dari kalangan golongan kanan.
Sikap golongan yang mendahului ini boleh dilihat melalui kisah para sahabat. Ketika persediaan menghadapi peperangan Tabuk, Rasulullah s.a.w. bertanya kepada para sahabat; “Siapakah yang ingin menderma? Siapakah yang ingin menginfak dijalan Allah s.w.t?”
Peperangan Tabuk, adalah peperangan yang sangat sukar. Diwaktu itu adalah musim panas. Pohon buah-buahan yang berbuah baru hendak masak meranum untuk dituai. Perjalanan perang sangat jauh, iaitu sejauh 700km. Peperangan ini pula akan menentang tentera Rom iaitu tentera yang paling besar di dunia pada masa itu.
Pertanyaan Nabi s.a.w. segera disambut oleh sahabat Osman bin Affan; “Saya akan mendermakan 100 ekor unta beserta dengan muatannya untuk Tabuk.” Dia telah mendahului para sahabat yang lain. Beliau adalah antara sahabat yang kaya berharta.
Kemudian, Rasulullah s.a.w bertanyakan lagi; “Siapakah ingin menderma? Siapakah yang ingin menginfak?” Sekali lagi Saidina Osman segera menyahut mendahului sahabat yang lain; “Saya akan meninfakkan 100 ekor unta lagi beserta dengan muatannya untuk Tabuk.”
Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya lagi kepada semua; Sekali lagi saidina Osman menyahut mendahului sahabat yang lain; “Saya tambah lagi 100 ekor unta beserta dengan muatannya untuk Tabuk”.
Begitulah seterusnya, Rasulullah s.a.w. bertanya dan segera saidina Osman menyahut mendahului para sahabat yang lain menambah lagi 100 ekor unta beserta muatannya. Ada ulama’ menyatakan pertanyaan Rasulullah s.a.w dan sahutan saidina Osman berterusan sehingga 9 kali. Bermakna Saidina Osman telah menginfakkan untuk peperangan Tabuk sebanyak 900 ekor unta beserta dengan muatannya. MasyaAllah. Beliau berlumba-lumba dalam kebaikan. Ingin mendahului dalam kebaikan.
Rasulullah s.a.w telah mendoakan saidina Osman; “selepas ini tidak akan ada yang boleh memudaratkan Osman.” Allah s.w.t juga memuji beliau. Selepas daripada itu sahabat-sahabat yang lain turut berebut-rebut untuk menginfak.
Inilah contoh golongan yang mendahului, sentiasa terkehadapan dalam melakukan kebaikan.
Ayat 11
أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلۡمُقَرَّبُونَ
“Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (disisi Allah)”.
Merekalah(golongan yang mendahului) yang akan didampingi/dekat di sisi Allah s.w.t.
Di dunia ini, jika kita dapat duduk dekat/disamping orang kenamaan seperti raja atau menteri di dalam sesuatu majlis, ia menunjukkan kita ini adalah antara orang yang hebat. Bukan orang biasa-biasa.
Allah s.w.t. menyatakan di sini, golongan yang mendahului ini lah yang akan duduk dekat dengan-Nya(bukan bermaksud Allah itu bertempat). AllahuAkhbar, lagi hebat. Dapat berada disamping Yang Maha Esa, yang kita sembah selama ini.
Ayat 12
فِى جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِيمِ
“(Tinggal menetap) di dalam syurga-syurga yang penuh nikmat”.
Mereka(golongan yang mendahului) memperolehi tempat di syurga Na’im, iaitu suatu tempat yang penuh nikmat.
Ayat 13
ثُلَّةٌ۬ مِّنَ ٱلۡأَوَّلِينَ
“(Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu”
Perkataan ثُلَّةٌ۬ menunjukkan kumpulan yang ramai dari kalangan manusia.
Allah s.w.t memberi tahu kita bahawa golongan yang mendahului adalah ramai dari kalangan umat-umat yang terdahulu.
Ayat 14
وَقَلِيلٌ۬ مِّنَ ٱلۡأَخِرِينَ
“Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian”.
Dan sebahagian kecil adalah adalah daripada kalangan umat-umat yang terkemudian
Apa maksud umat yang terdahulu dan umat yang terkemudian?
Terdapat 2 pendapat ulama’;
Pendapat 1
Umat yang terdahulu ialah umat-umat yang sebelum daripada Nabi s.a.w. Iaitu umat yang bersama dengan nabi Adam a.s hingga sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w.(umat nabi Adam a.s, nabi Nuh a.s, nabi Solleh a.s, nabi Musa a.s, nabi Ibrahim a. s dan lain-lain). Mereka bersama-sama berjuang dengan nabi dan berdakwah dengan nabi.
Umat yang terkemudian ialah umat nabi Muhammad s.a.w. Semoga kita termasuk yang sedikit ini.
Pendapat 2
Ayat ini adalah khusus untuk umat nabi Muhammad s.a.w. Jadi golongan yang terdahulu itu ialah dari kalangan sahabat-sahabat dan yang awal Islam.
Umat yang terkemudian pula adalah pengikut Nabi s.a.w yang akhir-akhir ini. Semoga kita termasuk yang sedikit ini.
Ayat 15
عَلَىٰ سُرُرٍ۬ مَّوۡضُونَةٍ۬
“(Mereka duduk di dalam syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata”.
Allah s.w.t. nak menceritakan nikmat-nikmat yang mereka(golongan yang mendahului) perolehi di dalam syurga nanti.
Mereka akan berada di atas katil-katil yang cadarnya bersulamkan emas dan permata. MasyaAllah.
Ayat 16
مُّتَّكِـِٔينَ عَلَيۡہَا مُتَقَـٰبِلِينَ
“Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan”.
Keadaan mereka(golongan yang mendahului) di atas katil-katil itu; bertelekan(berbaring dengan perasaan gembira) dan berdepan-depan antara satu sama lain. Bukan keadaan membelakangi sesama mereka.
Samalah kalau kita makan bersama keluarga. Sudah tentu memilih meja bulat supaya dapat berdepan-depan antara satu sama lain.
Hari 2: ms 535
Taddabur di FB: https://fb.watch/2SgA-OKexA/
Ayat 17
يَطُوفُ عَلَيۡہِمۡ وِلۡدَٲنٌ۬ مُّخَلَّدُونَ
“Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal(dalam keadaan mudanya),yang sentiasa beredar di sekitar mereka.”
Seterusnya Allah s.w.t menyatakan golongan yang mendahului juga akan dilayani oleh anak-anak muda(budak) yang kekal usia muda. Anak-anak muda ini sentiasa kekal berlegar di tempat istirehat mereka melayani keperluan dan keinginan mereka.
Allah s.w.t nyatakan budak-budak pelayan ini adalah kekal. Terdapat 2 pendapat ulama’ maksud bagi kekal di sini.
Pendapat 1
Kanak-kanak itu kekal dalam sifat muda mereka dan kekal umurnya tidak berubah-rubah.
Pendapat 2
Kanak-kanak itu kekal berada di situ. Tidak pernah hilang. Sentiasa berlegar mengelilingi tempat istirehat penghuni syurga tersebut(golongan mendahului).
Ayat 18
بِأَكۡوَابٍ۬ وَأَبَارِيقَ وَكَأۡسٍ۬ مِّن مَّعِينٍ۬
“Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak(yang diambil) dari sungainya yang mengalir.”
Mereka(budak pelayan) membawa bersama mereka gelas-gelas berbentuk piala dan kendi-kendi berisi khamar(arak) untuk dituangkan kepada sesiapa dari kalangan penghuni syurga itu(golongan yang mendahului) yang menginginkannya.
Khamar ini adalah daripada mata air khamar. Ada yang menyatakan ia daripada sungai khamar yang mengalir.
Allah s.w.t nak menyatakan disini, mereka(golongan yang mendahului) boleh meminum arak dan berada dalam keadaan yang sangat selesa. Dilayani oleh budak-budak muda bagaikan raja.
Siapa sebenarnya budak-budak muda ini?
Terdapat 2 pendapat ulama’;
Pendapat 1
Mereka memang sengaja Allah s.w.t ciptakan untuk melayani penghuni syurga.
Pendapat 2
Mereka adalah kanak-kanak yang telah mati di Dunia sebelum mereka baligh sama ada dari keluarga Islam atau kafir. Mereka ditugaskan melayani penghuni-penghuni syurga(golongan yang mendahului).
Ayat 19
لَّا يُصَدَّعُونَ عَنۡہَا وَلَا يُنزِفُون
“Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.”
Istimewanya arak di syurga, bila diminum tidak mengakibatkan rasa pening atau mabuk. Tidak seperti arak di Dunia.
Ayat 20
وَفَـٰكِهَةٍ۬ مِّمَّا يَتَخَيَّرُونَ
“Dan juga(dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,”
Selain mendapat tempat istirehat yang mewah, dilayani pula oleh pelayan muda, boleh meminum arak sesuka hati, dan Allah s.w.t. nyatakan lagi mereka(golongan yang mendahului) juga diberi buah-buahan mengikut apa yang mereka suka. Boleh pilih apa-apa jenis buah kerana buah-buahan sangat banyak.
Ayat 21
وَلَحۡمِ طَيۡرٍ۬ مِّمَّا يَشۡتَہُونَ
“Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.”
Ada lagi, mereka(golongan yang mendahului) juga di beri makan daging. Bukan daging biasa, tetapi daging daripada berbagai jenis burung. Boleh pilih nak yang mana satu. Wah! Sungguh nikmat.
Ayat 22
وَحُورٌ عِينٌ۬
“Dan(mereka dilayani)bidadari-bidadari yang cantik parasnya.”
Maha pemurah Allah s.w.t. Selain mendapat layanan dari anak-anak muda, Allah s.w.t beri pula bidadari yang sangat cantik dan indah. Bidadari bermata luas, mata hitamnya sangat hitam dan mata putihnya sangat putih.
Didalam Tafsir Mukhtashar/Markaz Tafsir Riyadh, dibawah pengawasan Syaikh Dr. Shalih bin Abdullah bin Humaid(Imam Masjidil Haram) menyatakan Isteri-isteri mereka adalah para bidadari.
Ayat 23
كَأَمۡثَـٰلِ ٱللُّؤۡلُوِٕ ٱلۡمَكۡنُونِ
“Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.”
Bidadari yang Allah s.w.t berikan itu bagaikan mutiara yang tersimpan utuh di dalam cengkerangnya. Tidak pernah disentuh oleh sesiapa.
Seperti barang berharga disimpan di dalam almari kaca. Bebas dari debu dan sentiasa terpelihara.
Tafsir Al-Wajiz/ Syaikh Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, pakar fiqih dan tafsir negeri Suriah ada menyebut; isteri-isteri mereka di Dunia, Allah jadikan jauh lebih cantik dari bidadari.
Ayat 24
جَزَآءَۢ بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ
“(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.”
Inilah balasan bagi mereka(golongan yang mendahului) disebabkan amalan-amalan soleh yang mereka lakukan semasa di Dunia.
Ayat 25
لَا يَسۡمَعُونَ فِيہَا لَغۡوً۬ا وَلَا تَأۡثِيمًا
“Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa.”
Di syurga nanti, mereka tidak akan mendengar perkataan-perkataan yang menyakitkan hati dan yang merapu-rapu. Tiada perkataan yang sia-sia dan yang mendatangkan dosa.
Ayat 26
إِلَّا قِيلاً۬ سَلَـٰمً۬ا سَلَـٰمً۬ا
“Mereka hanya mendengar ucapan: Selamat! Selamat!(dari satu kepada yang lain).”
Mereka(golongan yang mendahului) hanya mendengar kata-kata selamat(penghormatan) sebahagian kepada sebahagian yang lain.
Suasana yang sangat aman.
Begitulah habuan nikmat yang dianugerahkan kepada golongan yang mendahului. Tersenarai dari ayat 15 sehingga ke ayat 26. Bagaimana dengan diri kita? Berebut-rebutlah untuk melakukan kebaikan.
Ayat 27
وَأَصۡحَـٰبُ ٱلۡيَمِينِ مَآ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡيَمِينِ
“Dan puak kanan, - alangkah bahagianya keadaan puak kanan?”
Kemudian Allah s.w.t menceritakan tentang golongan kanan.
Ulama’ menyatakan bahawa golongan yang mendahului akan memperolehi nikmat apa yang golongan kanan dapat. Tetapi golongan kanan pula tidak semestinya mendapat apa yang diperolehi oleh golongan yang mendahului. Mereka adalah penghuni syurga yang kedua darjat tingkatannya. Oleh itu kenikmatan yang diperolehi adalah lebih rendah daripada golongan yang mendahului.
Maka Allah s.w.t. bertanya; “Kamu tahu tak apa nikmat yang diperolehi oleh golongan kanan?”
Seperti sebelumnya, Allah s.w.t mengemukakan persoalan seperti ini supaya diambil perhatian yang lebih dan hendaklah memikirkannya secara serius.
Ayat 28
فِى سِدۡرٍ۬ مَّخۡضُودٍ۬
“Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.”
Di dalam syurga, golongan kanan akan berada di bawah naungan pokok-pokok bidara yang tidak berduri. Mereka dalam keadaan yang selesa dan nyaman.
Ada seorang badwi telah datang kepada Nabi s.a.w. dan bertanya; “Dalam syurga nanti ada pokok yang berduri?”
Nabi s.a.w bertanya kembali; “Pokok apa?”
Orang badwi itu menjawab; “ itu…..pokok ‘سِدۡرٍ’.” Pokok bidara ada tumbuh di padang pasir. Ia adalah berduri.
Nabi s.a.w memberitahu pada orang badwi itu; “Tidak, cuba baca ayat ini(ayat 56:28 ini). Pokok bidara di dalam syurga tidak berduri.”
Semua yang di dalam syurga adalah menyenangkan dan tiada suatu pun yang menyakitkan.
Berikut ialah contoh pokok bidara yang rendang(di Dunia)
Duri pokok bidara yang tajam(di Dunia)Buah bidara sedap dimakan(di Dunia)
Ayat 29
وَطَلۡحٍ۬ مَّنضُودٍ۬
“Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya.”
Selain buah bidara, terdapat juga buah pisang. Buahnya tersusun rapi dan sedap mata memandang.
Ayat 30
وَظِلٍّ۬ مَّمۡدُودٍ۬
“Dan naungan yang tetap terbentang.”
Golongan kanan akan mendapat naungan(tempat berteduh) yang sangat luas. Ia tetap(kekal) tidak berganjak(statik).
Setengah ulama’ ada menyatakan; Nabi s.a.w bercerita tentang pokok di syurga. Saiznya sangat besar. Jika berjalan dari hujung ke hujung mengambil masa setahun. Ada ulama’ menyatakan mengambil masa sehingga 100 tahun. Hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Bermaksud ia adalah sahih.
Jika keadaan bayang-bayang sekarang(di Dunia), ia tidak tetap. Ia akan berubah mengikut perubahan kedudukan Matahari. Jika mahu berteduh, kita perlu mencari kedudukan bayang-bayang yang sesuai.
Tidak seperti di syurga, ia tetap, kekal dan sangat luas kawasannya. Tidak perlu berubah tempat untuk mencari kawasan berteduh.
Ayat 31
وَمَآءٍ۬ مَّسۡكُوبٍ۬
“Dan air sentiasa mengalir.”
Mereka(golongan kanan) mendapat sumber air yang mencurah-curah(banyak) dan tidak putus-putus.
Curahan air yang banyak seperti air terjun memang sangat menakjubkan mata memandang. Deruan air pula sangat menenangkan fikiran. Inikan pula curahan air di syurga. Tidak tergambar keindahan dan keseronokan penghuninya. AllahuAkhbar!
Ayat 32
وَفَـٰكِهَةٍ۬ كَثِيرَةٍ۬
“Serta buah-buahan yang banyak.”
Mereka(golongan kanan) juga akan beroleh buah-buahan yang banyak. Bermacam-macam jenis.
Ayat 33
لَّا مَقۡطُوعَةٍ۬ وَلَا مَمۡنُوعَةٍ۬
“Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatinya.”
Buah-buahan ini akan sentiasa ada(tidak putus-putus) dan tiada halangan bagi sesiapa sahaja yang ingin mengambilnya.
Tidak seperti kita alami sekarang, setengah buah ada musim tertentu. Hanya boleh makan pada musimnya seperti buah durian, rambutan dan lain-lain. Dia tidak sentiasa ada. Manakala, tidak semua orang boleh merasai buah-buahan yang diinginkan. Terdapat halangan tertentu seperti tiada duit untuk membelinya, Hidangan orang kenamaan(raja, menteri, orang yang berpangkat) tidak boleh diusik oleh orang bawahan(rakyat biasa).
Di syurga nanti semua sama, semua dapat makan buah-buahan yang disukai dan tidak akan ada halangan untuk mengambilnya.
Ayat 34
وَفُرُشٍ۬ مَّرۡفُوعَةٍ
“Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya.”
Tempat tidur mereka(golongan kanan) adalah katil-katil yang tinggi/tebal tilamnya, bertatahkan mutiara, emas dan sutera. Tidak tergambar oleh mata, hanya Allah sahaja yang mengetahui.
Ayat 35
إِنَّآ أَنشَأۡنَـٰهُنَّ إِنشَآءً۬
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa.”
Allah s.w.t juga menciptakan/menjadikan perempuan-perempuan yang istimewa untuk mereka(golongan kanan).
Siapakah perempuan-perempuan ini?
Terdapat dua pendapat ulama’;
Pendapat 1
Perempuan-perempuan ini ialah Isteri-isteri mereka semasa di dunia bagi lelaki yang telah berkahwin. Bermaksud, in syaa Allah suami isteri di dunia akan bertemu semula di syurga. Cuma dalam bentuk yang lebih istimewa. Seolah-olah dilahirkan semula.
Pendapat 2
Perempuan-perempuan itu ialah bidadari-bidadari yang memang diciptakan oleh Allah s.w.t secara langsung sebagai isteri-isteri mereka yang istimewa.
Istimewa yang bagaimana? Allah s.w.t menjelaskannya di ayat yang seterusnya.
Ayat 36
فَجَعَلۡنَـٰهُنَّ أَبۡكَارًا
“Serta kami jadikan mereka sentiasa dara(yang tidak pernah disentuh)
Perempuan-perempuan itu seperti anak dara yang belum pernah disentuh oleh sesiapa pun.
Ada ulama’ menyatakan, umur mereka adalah dalam 17 tahun. Manakala yang lelaki akan menjadi muda berusia 20 tahun.
Ayat 37
عُرُبًا أَتۡرَابً۬ا
“Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.”
Mereka(perempuan-perempuan itu) sangat disukai/disayangi oleh suami-suami mereka
Ada Hadith Riwayat at-Tarmidzi; Ada seorang perempuan tua telah datang berjumpa dengan Nabi s.a.w lalu berkata: “Ya Rasulullah, tolong do’akan aku semoga aku menjadi ahli Syurga.”
Baginda s.a.w berkata: “Di dalam Syurga tiada orang tua.”
Perempuan tua itu berasa sedih, berpaling menangis dan terus berlalu. Kemudian Rasulullah s.a.w meminta sahabat Baginda memanggil semula wanita tua itu datang kepadanya.
Rasulullah s.a.w berkata kepada wanita tua itu: “Bacalah ayat ini( ayat 37 ini), yang tua akan menjadi muda.”
Ayat 38
لِّأَصۡحَـٰبِ ٱلۡيَمِينِ
“(Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan.”
Semua nikmat-nikmat yang dinyatakan oleh Allah s.w.t dari ayat 28 hingga ke ayat 37 adalah nikmat-nikmat yang disediakan kepada golongan kanan. Sama-samalah kita berusaha dan berdoa semoga dipilih menjadi golongan kanan.
Ayat 39
ثُلَّةٌ۬ مِّنَ ٱلۡأَوَّلِينَ
“Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu”
Allah s.w.t menyatakan, golongan kanan ini sebahagian besarnya datang dari umat-umat terdahulu yaitu mulai dari nabi Adam sampai sebelum Nabi Muhammad s.a.w.
Pendapat lain menyatakan umat-umat terdahulu adalah dari kalangan umat awal(sahabat) pada zaman Nabi s.a.w.
Ayat 40
وَثُلَّةٌ۬ مِّنَ ٱلۡأَخِرِينَ
“Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian.”
Sebahagian besar lagi datang dari umat terkemudian bermaksud semua umat Nabi Muhammad s.a.w.
Pendapat lain umat terkemudian ialah generasi akhir(termasuk kita semua) umat Nabi Muhammad s.a.w yang mengikuti sunnah dalam iman.
Perbincangan berkenaan umat terdahulu dan umat yang terkemudian juga telah dibincangkan di ayat 14 surah ini.
Mengikut pentafsiran ulama’ tafsir, jumlah golongan yang mendahului memang sedikit. Manakala jumlah golongan kanan adalah lebih ramai. Dari ayat 39 dan 40, golongan kanan ramai daripada umat yang terdahulu dan ramai juga dari umat terkemudian.
Ayat 41
وَأَصۡحَـٰبُ ٱلشِّمَالِ مَآ أَصۡحَـٰبُ ٱلشِّمَالِ
“Dan puak kiri,- alangkah seksanya keadaan puak kiri itu?
Seterusnya Allah s.w.t menceritakan pula perihal golongan kiri dan balasan yang bakal mereka terima.
Allah s.w.t. menegaskan dengan satu pertanyaan; “Kamu tahu tak apa balasan siksa bagi golongan kiri ?”
Dengar baik-baik dan ambil perhatian!
Ayat 42
فِى سَمُومٍ۬ وَحَمِيمٍ۬
“Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak.”
Golongan kiri nanti akan menerima angin yang sangat panas. Bahang panas angin tersebut menyebabkan mereka dalam keadaan yang sangat tidak selesa. Angin yang tersebut akan menyerap masuk ke pori-pori kulit dan bertindak seperti racun. Sangat menyakitkan.
Keadaan yang panas itu menyebabkan mereka(golongan kiri) merasa sangat dahaga. Malangnya air yang akan mereka terima adalah air yang panas mendidih. AllahuAkhbar… bertambah-tambahlah lagi kesakitan yang dideritai.
Kita di Dunia ini, jika kepanasan sudah tentu mencari sumber angin yang sejuk dan mencari minuman yang sejuk.
Ayat 43
وَظِلٍّ۬ مِّن يَحۡمُومٍ۬
“Serta naungan dari asap hitam.”
Jika golongan kanan(dalam syurga) mendapat naungan/teduhan berupa bayang-bayang pokok, golongan kiri(dalam neraka) menerima naungan/teduhan berupa asap yang sangat hitam. Ia menyesakkan pernafasan.
Ayat 44
لَّا بَارِدٍ۬ وَلَا كَرِيمٍ
“Yang tidak sejuk, dan tidak pula memberi kesenangan.”
Asap hitam ini tidak meneduhkan, tidak menyejukkan dan sangat tidak menyenangkan.
Ayat 45
إِنَّہُمۡ كَانُواْ قَبۡلَ ذَٲلِكَ مُتۡرَفِينَ
“Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan(Dunia, dari mengingati hukum Tuhan).”
Kenapa mereka(golongan kiri) mendapat balasan seperti ini?
Ini kerana mereka di Dunia telah lupakan Akhirat. Mereka mengejar Dunia sehingga melupakan kehidupan Akhirat. Mereka tidak menghiraukan dosa dan pahala. Mereka terlibat dalam penipuan, rasuah,mencuri dan perkara larangan Allah s.w.t semata-mata mengejar kemewahan Dunia; rumah besar, tanah banyak, kereta mewah, duit banyak dan lain-lain bentuk kemewahan. Mereka telah dilalaikan oleh kehidupan Dunia.
Ayat 46
وَكَانُواْ يُصِرُّونَ عَلَى ٱلۡحِنثِ ٱلۡعَظِيمِ
“Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa besar.”
Mereka(golongan kiri) tidak mahu bertaubat daripada dosa-dosa besar(syirik, derhaka kepada ibubapa dan lain-lain). Malah terus tidak berhenti melakukannya.
Ayat 47
وَكَانُواْ يَقُولُونَ أَٮِٕذَا مِتۡنَا وَكُنَّا تُرَابً۬ا وَعِظَـٰمًا أَءِنَّا لَمَبۡعُوثُونَ
“Dan juga mereka selalu berkata: ‘Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan hidup semula.”
Mereka(golongan kiri) menolak/tidak mempercayai adanya hari Akhirat. Mereka menyangka mati hidup semula adalah suatu perkara yang tidak masuk akal(tidak logik).
Mereka menyangkal dengan nada mengejek terhadap kata-kata Nabi s.a.w; “Betul ke apabila telah mati jadi tanah dan tulang-belulang boleh dihidupkan dan dibangkitkan semula?”
Apabila seseorang itu tidak mempercayai hari Pembalasan, mereka tidak akan menghiraukan/memikirkan untuk mencari pahala-pahala(bekalan) hari Akhirat. Oleh itu mereka tidak kisah untuk melakukan jenayah asalkan menjadi mewah sementara hidup di Dunia. Jenayah yang mereka lakukan tidak akan memberi apa-apa kesan kepada mereka setelah mereka mati. Itulah kepercayaan mereka.
Oleh itu Islam mewajibkan umatnya mempercayai adanya hari Akhirat iaitu hari Pembalasan. Setiap apa yang dilakukan akan dihisab di pengadilan Allah s.w.t. Balasan Syurga bagi yang beramal soleh dan balasan neraka bagi yang ingkar.
Ayat 48
أَوَءَابَآؤُنَا ٱلۡأَوَّلُونَ
“Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu,(akan dibangkitkan hidup semula)?”
Mereka(golongan kiri) ingin melihat dengan mata mereka sendiri kebangkitan orang yang telah mati baru mereka akan mempercayainya(di waktu itu telah pun Kiamat).
Mereka bertanya lagi untuk mengukuhkan apa yang mereka percaya(tiada hari Kebangkitan); “ Nenek moyang kita yang telah lama mati itu pun akan dibangkitkan semula?” Seseorang itu bila lagi lama telah mati, lagi hancurlah jasad mereka. Inilah pemikiran yang hanya menggunakan akal manusia yang terbatas.
Ayat 49
قُلۡ إِنَّ ٱلۡأَوَّلِينَ وَٱلۡأَخِرِينَ
“Katakanlah(kepada mereka): Sesengguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian,”
Kemudian Allah s.w.t menyuruh Nabi Muhammad s.a.w( umatnya juga) memberi tahu kepada mereka(golongan kiri) yang tidak mempercayai hari Akhirat bahawa orang yang telah lalu(sejak dari Nabi Adam a.s) dan orang yang terkemudian(hingga akhir zaman),
Ayat 50
لَمَجۡمُوعُونَ إِلَىٰ مِيقَـٰتِ يَوۡمٍ۬ مَّعۡلُومٍ۬
“Tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan – pada hari Kiamat yang termaklum.”
Semua mereka(orang dulu dan sekarang) pasti akan dihimpunkan pada hari Kiamat(hanya Allah s.w.t yang tahu bila berlaku). Mereka akan dikumpulkan di Padang Masyar dan kemudian akan ditentukan sama ada ke syurga atau ke neraka.
Hari 3: ms 536
Taddabur di FB: https://www.facebook.com/112718127302380/videos/1020051658505803
Ayat 51
ثُمَّ إِنَّكُمۡ أَيُّہَا ٱلضَّآلُّونَ ٱلۡمُكَذِّبُونَ
“Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan(kedatangan hari Kiamat)”.
Ayat ini menunjukkan kemarahan Allah s.w.t.
Allah s.w.t mencela dan menempelak dan memberi amaran kepada mereka(golongan kiri); “Hai kamu yang sesat yang mendustakan kedatangan hari Akhirat!”
Ayat 52
لَأَكِلُونَ مِن شَجَرٍ۬ مِّن زَقُّومٍ۬
“Tetap akan memakan(pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum.”
Allah s.w.t mengecam mereka(golongan kiri) ; “ Kamu nanti di dalam neraka pasti akan memakan buah zaqqum!”
Walaupun penghuni neraka(golongan kiri) tidak suka/benci untuk memakan buah zaqqum, namun mereka tetap juga terpaksa makan kerana kelaparan.
Di dalam surah as-Saaffat ayat 62-66 ada menjelaskan pohon zaqqum adalah sejenis pokok yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang apinya. Buahnya sangat buruk(seolah-olah kepala syaitan), berbau busuk dan rasanya sangat pahit.
Pokok yang dilaknat.(al-Isra’:60).
Buahnya menjadi makanan penghuni neraka, panas seperti tembaga cair yang mendidih di dalam perut.(ad-Dhukhan:43-46)
Ayat 53
فَمَالِـُٔونَ مِنۡہَا ٱلۡبُطُونَ
“Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok(yang pahit buahnya) itu.”
Mereka(golongan kiri) akan makan buah zaqqum bukan sedikit, tetapi sehingga memenuhi perut mereka kerana kelaparan.
Kemudian apa yang berlaku?
Ayat 54
فَشَـٰرِبُونَ عَلَيۡهِ مِنَ ٱلۡحَمِيمِ
“Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak.”
Selepas memenuhi perut mereka dengan buah zaqqum, mengelupurlah mereka(sebab buah zaqqum seperti tembaga cair dalam perut) mencari air untuk diminum. Air yang ada hanyalah air yang sangat panas menggelegak.
Ayat 55
فَشَـٰرِبُونَ شُرۡبَ ٱلۡهِيمِ
“Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas.”
Disebabkan mereka(golongan kiri) terasa sangat dahaga dan tekak yang kering, air yang panas dan menggelegak itu diminum juga(dengan gelojoh) seperti unta berpenyakit(هِيمِ).
Orang Arab menggunakan perkataan هِيمِ bagi unta yang mengidap penyakit dimana walaupun ia makan atau minum, ia tidak merasa kenyang atau hilang dahaga. Bahkan ia akan terus makan dan minum sehingga mengelupur dan akhirnya mati.
Allah s.w.t mengambil gambaran unta yang berpenyakit (هِيمِ) supaya orang-orang Arab dapat membayangkan keadaan dan merasai betapa seksanya balasan golongan kiri(celaka). Mereka diberi makan tetapi makanan itu menyakitkan. Mereka diberi minum tetapi minuman itu menyesakan.
Ayat 56
هَـٰذَا نُزُلُهُمۡ يَوۡمَ ٱلدِّينِ
“Inilah(jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu”
Allah swt berkata; Inilah destinasi (نُزُلُ ) kamu, tempat kamu berteduh, tempat kamu bermalam dan tempat kamu beristirehat. Inilah juga hidangan untuk kamu. Ianya setimpal dengan apa yang telah kamu lakukan di Dunia. Sebenarnya Allah s.w.t memerli golongan kiri ini.
Oleh itu sementara kita masih hidup di Dunia ini, jangan sekali-kali berani melakukan dosa atau memandang remeh perbuatan dosa. Sentiasalah ingat hari Pembalasan yang pasti kita akan lalui.
Ayat 57
نَحۡنُ خَلَقۡنَـٰكُمۡ فَلَوۡلَا تُصَدِّقُونَ
“Kami telah menciptakan kamu, maka mengapa kamu tidak membenarkan(hari Berbangkit?)”
Pelik sungguh! Allah s.w.t lah yang menciptakan manusia daripada tiada kepada ada. Bermaksud Dia berhak nak buat apa sahaja mengikut kehendakNya. Dia berhak membuat proposal kehidupan manusia. Kita sebagai yang dicipta menjadi sebagai hambaNya. Bila diberi tahu akan ada hari Kebangkitan, kenapa pula tidak mahu akur dengan kenyataan itu? Kenapa tidak menjadi seperti Saidina Abu Bakar r.a yang di gelar sebagai al-siddiq(yang sangat membenarkan) apa sahaja yang di bawa oleh Nabi s.a.w daripada Allah s.w.t.
Ayat seterusnya, Allah s.w.t menyatakan 4 tanda-tanda kekuasaanNya. Ini supaya mereka yang menentang Islam dan yang sombong kerana merasai hebat dengan keilmuan mereka berfikir.
4 tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t itu ialah:
1. Tentang kejadian manusia.
2. Tentang tanam-tanaman.
3. Tentang air.
4. Tentang api.
Semua ini adalah benda penting dalam kehidupan manusia.
Ayat 58
أَفَرَءَيۡتُم مَّا تُمۡنُونَ
“Maka terangkanlah kepadaKu tentang nutfah yang kamu pancarkan”
Cuba fikirkan, bagaimana bermulanya kejadian manusia selepas Nabi Adam a.s. Sains dapat membuktikan pembentukan janin adalah daripada air mani(nutfah/benih lelaki) yang dipancarkan kepada ovum(benih perempuan). Inilah permulaan kejadian manusia. Di dalam proses ini, siapakah yang mengendalikan/menentukan/mengawal pergerakan daripada bilangan sperma sangat banyak itu hanya satu sperma sahaja yang berjaya bercantum dengan ovum? Sudah tentu ada yang mengendalikannya. Sudah pasti pengendali itu ialah yang menciptakan manusia itu sendiri. Bukankah Allah s.w.t yang menciptakan manusia?
Ayat 59
ءَأَنتُمۡ تَخۡلُقُونَهُ ۥۤ أَمۡ نَحۡنُ ٱلۡخَـٰلِقُونَ
“Kamukah yang menciptakannya atau Kamikah yang menciptakannya?”
Kamukah(orang yang mendustakan hari Kebangkitan) yang mencantumkan benih lelaki dengan benih perempuan menjadi Janin? Kalau kamu rasa kamu pandai sangat, kenapa kamu tidak dapat menentukan sendiri jantina bayi yang dikandung ibu itu sebagaimana yang kamu kehendaki?
Realitinya, kamu tidak akan dapat menentukan jantina bayi yang kamu kehendaki. Tetapi Akulah(Allah s.w.t) yang boleh menentukannya. Masih tak dapat memikirkannya?
Ayat 60
نَحۡنُ قَدَّرۡنَا بَيۡنَكُمُ ٱلۡمَوۡتَ وَمَا نَحۡنُ بِمَسۡبُوقِينَ
“Kami telah menentukan kematian di antara kamu dan Kami sekali-kali tidak dapat dikalahkan”
Kami(Allah s.w.t) yang menentukan kejadian manusia, Kami jugalah menentukan waktu kematiannya. Bila dan dimana kamu akan mati. Tiada siapa yang boleh mendahului Kami. Tiada siapa yang boleh menandingi Kami dan tiada siapa yang boleh menghalang Kami.
Jika kita sakit, memang wajib kita berusaha mencari penawarnya. Usaha kita itu akan diberi pahala oleh Allah s.w.t. Sembuh atau tidaknya penyakit itu terpulang kepada Allah s.w.t yang menentukan. Jika kematian itu menjadi ketentuanNya, maka tiada siapa yang boleh menolak ketentuan itu. Allah s.w.t tidak sekali-kali dapat dikalahkan.
Ayat 61
عَلَىٰٓ أَن نُّبَدِّلَ أَمۡثَـٰلَكُمۡ وَنُنشِئَكُمۡ فِى مَا لَا تَعۡلَمُونَ
“(Bahkan Kami berkuasa) menggantikan (kamu dengan) orang-orang yang serupa kamu(tetapi tidak seperti bawaan kamu), dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya.”
Janganlah kamu(orang yang mendustakan) merasai kamu hebat sangat. Kami(Allah s.w.t.) menjadikan kamu, Kami yang mematikan kamu. Kami juga mampu menggantikan kamu dengan yang lain(sama jenis dengan kamu). Kami juga mampu menukarkan kamu dalam bentuk dan rupa yang kalian tidak ketahui. Imam al-Hasan mengatakan; yakni Kami menjadikan kalian kera dan babi sebagaimana yang telah Kami lakukan pada kaum-kaum sebelum kalian(sebahagian Bani Israil).
Inilah kekuasaan yang dimiliki oleh Allah s.w.t. Setiap daripada orang yang beriman mestilah yakin bahawa Allah s.w.t boleh berbuat apa sahaja yang dikehendaki Nya. Maka kenapa setengah daripada kamu berani menentang Allah s.w.t?
Ayat 62
وَلَقَدۡ عَلِمۡتُمُ ٱلنَّشۡأَةَ ٱلۡأُولَىٰ فَلَوۡلَا تَذَكَّرُونَ
“Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui penciptaan yang pertama, maka mengapakah kamu tidak mengambil pelajaran(untuk penciptaan yang kedua-dibangkitkan semula)”
Kamu telah melihat(bukti sains) permulaan penciptaan dari air mani, kemudian segumpal darah, lalu segumpal daging dan seterusnya menjadi bayi berupa manusia. Allah s.w.t telah mencipta kamu daripada tiada kepada ada. Mengapa kamu tidak mengambil pengajaran? Ia bermaksud Allah s.w.t juga boleh mengadakan kamu semula walaupun jasad kamu telah hancur luluh setelah mati di dalam kubur. Malah ia mudah bagi Allah s.w.t. Masih tak percaya lagi ke?
Ayat 63
أَفَرَءَيۡتُم مَّا تَحۡرُثُونَ
“Maka terangkanlah kepadaKu tentang yang kamu tanam”
Kemudian Allah s.w.t memperlihatkan tanda-tanda kebesaranNya yang kedua. Jika kamu masih ragu-ragu tentang penciptaan dirimu, cuba pula kamu lihat kepada tanah dan biji benih yang kamu tanam.
Ayat 64
ءَأَنتُمۡ تَزۡرَعُونَهُ ۥۤ أَمۡ نَحۡنُ ٱلزَّٲرِعُونَ
“Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?”
Daripada biji benih, keluarlah pucuk tanaman. Kemudian membesar. Dalam tempoh masa tertentu ia menghasilkan buah dan kamu boleh menikmati buah tersebut. Adakah kamu yang menumbuhkan pucuk itu daripada biji benihnya? Adakah kamu dapat memastikan tanaman itu boleh hidup dan membesar? Atau Kami(Allah s.w.t) yang mengawal pertumbuhannya?
Ayat 65
لَوۡ نَشَآءُ لَجَعَلۡنَـٰهُ حُطَـٰمً۬ا فَظَلۡتُمۡ تَفَكَّهُونَ
“Kalau Kami kehendaki, benar-benar Kami jadikan dia kering dan hancur; maka jadilah kamu heran tercengang.”
Kami(Allah s.w.t) berkuasa menjadikan tanaman itu hancur atau kering sebelum ia mengeluarkan hasil/buahnya. Kemudian kamu melihat tanaman kamu dengan perasaan yang sedih, bingung dan kecewa. Kamu tidak mampu menghidupkan semula tanaman kamu. Kamu tidak dapat mengawal dia daripada mati.
Cuba bayangkan apa perasaan seorang petani yang telah membanting tulang menguruskan tapak semaian, mengeluarkan modal untuk baja dan racun serangga. Tiba-tiba sebelum sebelum ia matang, daunnya menguning, layu dan kemudian mati. Tiada hasil yang diperolehi. Sudah tentu petani itu merasai sedih dan kecewa.
Ayat 66
إِنَّا لَمُغۡرَمُونَ
“(Sambil berkata): Sesungguhnya kami benar-benar menderita kerugian.”
Kesedihan dan kecewaan jelas kelihatan diraut wajahnya sambil berkata; “Malang sungguh. Banyak duit dah habis. Rugi besar kali ini.” Terduduk tak tahu nak buat apa lagi sambil dua tangan memegang kepala.
Ayat 67
بَلۡ نَحۡنُ مَحۡرُومُونَ
“Bahkan kami menjadi orang yang tidak mendapat hasil apa-apa.”
Maka timbullah rasa kecewa. Tidak di sangka, sepatutnya mendapat hasil yang banyak. Tiba-tiba tiada apa-apa yang diperolehi.
Tidakkah kamu dapat fikirkan bahawa bukan kamu yang mengawal pertumbuhan tanaman itu tetapi Allah s.w.t lah yang mengawalnya.
Ayat 68
أَفَرَءَيۡتُمُ ٱلۡمَآءَ ٱلَّذِى تَشۡرَبُونَ
“Maka terangkanlah kepadaKu tentang air yang kamu minum.”
Bagaimana pula dengan air yang kamu minum?
Selain menjadi minuman, air juga digunakan untuk pelbagai keperluan seperti membasuh, menyiram tanaman dan membersihkan badan. Ulama’ menyatakan Allah s.w.t menyebut tentang minum sebab penggunaan air yang utama ialah untuk diminum. Semua makhluk memerlukan air untuk tumbesaran tidak kira manusia, haiwan maupun tumbuhan.
Ayat 69
ءَأَنتُمۡ أَنزَلۡتُمُوهُ مِنَ ٱلۡمُزۡنِ أَمۡ نَحۡنُ ٱلۡمُنزِلُونَ
“Kamukah yang menurunkannya dari awan ataukah Kami yang menurunkan?”
Kajian sains telah membuktikan air hujan turun daripada awan-awan(kumpulan air) sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam ayat ini. Allah s.w.t mencabar mereka(mendustakan hari Kiamat); kamukah yang menurunkan air hujan itu? Air yang kamu minum itu datangnya dari air hujan. Kamukah yang buat air itu?
Di musim kemarau berlaku kekurangan air. Air hujan tidak turun. Teknologi sains telah mereka cipta bagaimana membuat pembenihan hujan. Ada yang berjaya ada yang tidak berjaya. Ini kerana bukan mereka yang mengawal hujan. Allah s.w.t lah yang mengawal hujan.
Bagi orang-orang yang beriman, selain usaha melakukan pembenihan hujan, mereka juga melakukan solat sunat mohon hujan turun(istisqa’).
Usaha-usaha ini menunjukkan air adalah sangat penting dalam kehidupan dan manusia tidak mempunyai kuasa untuk mengawalnya. Sudah tentu Allah s.w.t sahaja yang mampu mengawalnya kerana Dia adalah Pencipta air tersebut.
Ayat 70
لَوۡ نَشَآءُ جَعَلۡنَـٰهُ أُجَاجً۬ا فَلَوۡلَا تَشۡكُرُونَ
“Kalau kami kehendaki nescaya Kami jadikan ia masin, maka mengapa kamu tidak bersyukur?”
Sebagai Pencipta air, Dia boleh sahaja menjadikan air hujan yang turun itu masin(ada garam). Apa kesannya bila semua air adalah masin? Boleh ke kita minum dengan selesa? Sudah tentu tekak akan merasa kering. Boleh ke kita mandi menyucikan badan? Badan kita akan terasa melekit-lekit. Kalau basuh kereta, nanti kereta cepat berkarat. Sungguh tidak selesa.
Mujurlah air hujan yang turun adalah tawar(tiada garam). Bila minum dapat menghilangkan dahaga. Bila mandi badan rasa segar dan bersih. Oleh itu Kenapa tidak bersyukur dengan kurniaan ini? Kenapa masih Mendustakan apa yang disampaikan Allah s.w.t melalui RasulNya? Kenapa masih tidak yakin dengan kebijaksanaan dan kekuasaan Allah s.w.t?
Ayat 71
أَفَرَءَيۡتُمُ ٱلنَّارَ ٱلَّتِى تُورُونَ
“Maka terangkanlah kepadaKu tentang api yang kamu nyalakan(dari gosokan-gosokan kayu)”
Selain daripada air, api juga merupakan suatu yang penting dalam kehidupan. Allah s.w.t menyatakan, geseran kayu boleh menyebabkan api menyala. Macam mancis yang digesek menyebabkan api menyala.
Allah s.w.t mencabar mereka(yang mendustakan hari Kebangkitan) lagi; Cuba kamu cerita sikit tentang api yang kamu guna tu. Tahu tak bagaimana ia terhasil?
Ayat 72
ءَأَنتُمۡ أَنشَأۡتُمۡ شَجَرَتَہَآ أَمۡ نَحۡنُ ٱلۡمُنشِـُٔونَ
“Kamukah yang menjadikan kayu itu atau Kamikah yang menjadikannya?”
Allah s.w.t telah nyatakan bahawa hasil gosokan kayu boleh mencetus api. Kemudian timbul satu persoalan, siapa yang buat kayu itu? Manusia boleh ke buat kayu? Sudah tentu jawapannya Allah s.w.t yang buat.
Zaman sekarang menggunakan gas untuk memasak. Gas datang daripada mana? Kajian sains membuktikan gas adalah daripada minyak dalam perut Bumi yang telah diproses. Minyak ini pula adalah daripada mendakkan fosil(tumbuhan atau haiwan yang telah mati) selama beberapa masa yang lama. Bermaksud sumber asal gas adalah tumbuhan dan haiwan. Kita pun ketahui tumbuhan dan haiwan ini datangnya daripada ciptaan Allah s.w.t.
Begitu juga tenaga elektrik. Ia terhasil daripada janakuasa sama ada melalui kincir air atau pun tenaga petrol. Air Allah s.w.t yang buat. Petrol(minyak) adalah daripada fosil. Juga Allah s.w.t yang buat. Semuanya berasal daripada ciptaan Allah s.w.t.
Oleh itu usahlah manusia ni sombong/angkuh sangat. Fikirkanlah siapa sebenarnya yang Maha Berkuasa.
Ayat 73
نَحۡنُ جَعَلۡنَـٰهَا تَذۡكِرَةً۬ وَمَتَـٰعً۬ا لِّلۡمُقۡوِينَ
“Kami menjadikan api itu untuk peringatan dan bahan yang berguna bagi musafir di padang pasir.”
Ingatlah! Apabila melihat kepada api, maka ingatlah kepada Allah s.w.t. Orang Arab selalu bermusafir di padang pasir. Perjalanan dengan unta kadang-kadang memakan masa berbulan-bulan. Api digunakan untuk memasak makanan mereka dan juga untuk memanaskan badan pada waktu malam. Allah s.w.t menjadikan api untuk kemudahan manusia. Inilah rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t kepada hambaNya.
Ayat 74
فَسَبِّحۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلۡعَظِيمِ
“Maka bertasbihlah dengan(menyebut) nama Tuhanmu yang Maha Besar.”
Dengan mengingati nikmat-nikmat yang diberi oleh Allah s.w.t kepada manusia, maka Allah s.w.t meminta kita bertasbih dan mengagungkan Allah s.w.t dengan KebesaranNya. Allah s.w.t suci dari segala kekurangan dan berkuasa atas segala sesuatu.
Dengan menyebut;
“سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ”- Maha suci Allah yang Maha Agung.
سُبْحَانَ رَبِّىَ الْأَعْلَى - Maha suci Allah yang Maha Tinggi.
Kita membaca kedua-dua zikir ini ketika ruku’ dan sujud di dalam solat. Boleh juga dibaca bila-bila masa sahaja kerana memuji Allah s.w.t sebagai tanda syukur dengan nikmat yang banyak diberikan kepada kita.
Ayat 75
فَلَآ أُقۡسِمُ بِمَوَٲقِعِ ٱلنُّجُومِ
“Maka Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang”
Di dalam mushaf, permulaan ayat ini ada tanda hizib(۞ )menunjukkan Allah s.w.t akan membincangkan topik baru/tajuk baru.
Mengikut ahli tafsir, huruf ل disini adalah ل ziadah(tambahan). Bukan bermakna ‘tidak’. Allah s.w.t bersumpah dengan perkataan أُقۡسِمُ - tempat. Terdapat 2 pendapat ulama’ maksud ‘tempat’ disini:
Pendapat 1
Tempat dan masa turunnya al-Qura’an
Pendapat 2
Tempat jatuhnya bintang-bintang/tempat hilangnya bintang-bintang.
Ayat 76
وَإِنَّهُ ۥ لَقَسَمٌ۬ لَّوۡ تَعۡلَمُونَ عَظِيمٌ
“Sesungguhnya sumpah itu adalah sumpah yang besar kalau kamu mengetahui”
Bila Allah s.w.t bersumpah dengan makhlukNya, ia menunjukkan bahawa ada sesuatu yang besar/sangat penting yang hendak disampaikan.
Hari 4: ms 537
Taddabur di FB: https://www.facebook.com/112718127302380/videos/208314081024572
Ayat 77
إِنَّهُ ۥ لَقُرۡءَانٌ۬ كَرِيمٌ۬
“Sesungguhnya al-Qur’an ini adalah bacaan yang sangat Mulia.”
Perkara penting yang Allah s.w.t nak bagi tahu ialah tentang kemuliaan kitab al-Qur’an. Ia diturunkan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk disampaikan kepada umatnya.
Al-Qur’an adalah sebuah kitab yang dimuliakan dan diangkat derajatnya di atas kitab-kitab yang lain. Allah s.w.t menyucikannya sehingga tidak menjadikannya sihir, perdukunan atau kedustaan. Ia mengandungi akhlak-akhlak yang mulia dan utama. Manfaatnya agung. Kebaikannya banyak. Ilmunya melimpah. Penghafalnya akan dimuliakan dan pembacanya akan diagungkan.
Sesetengah dari kalangan kita telah tersalah anggap bahawa dalam kehidupan Dunia ini, kejayaan hidup adalah memperolehi harta dan kemewahan. Masa-masa hidupnya dipenuhi dengan kesibukan mencari kemewahan dan memperbanyakan harta. Mereka telah lupa kepada kehidupan akhirat.
Bagi orang-orang mukmin, al-Qur’an adalah yang paling penting bagi dirinya. Ia adalah pedoman dan panduan hidup. Jika ingin hidup selamat maka rujuklah al-Qur’an(ilmu Dunia dan ilmu Akhirat) bagaimana caranya. Sebab itu kita sepatutnya merasai benar-benar bersyukur diberi al-Qur’an sebagai panduan/rujukan hidup. Inilah suatu rahmat yang terbesar Allah s.w.t berikan kepada kita umat Nabi Muhammad s.a.w.
Orang Arab bila dapat air bersyukur sangat mereka. Seronok sangat. Merasai ia suatu rahmat. Samalah dengan seorang yang kebuluran, bila mendapat makanan merasai bersyukur sangat sampai menitiskan air mata. Ini suatu rahmat baginya. Sepatutnya perasaan seperti ini patut wujud dalam diri kita bila kita mendapat al-Qur’an sebagai panduan hidup.
Ayat 78
فِى كِتَـٰبٍ۬ مَّكۡنُونٍ۬
“pada kitab yang terpelihara(Lauh Mahfuzh)”
Al-Qur’an ini adalah sebuah kitab yang terpelihara. Allah s.w.t yang memeliharanya. Ia dijauhkan dari kebathilan. Terjaga dari pemalsuan dan perubahan. Ulama’ tafsir menyatakan ia tersimpan di suatu tempat yang terpelihara iaitu di Lauh Mahfuzh. Di sini(Lauh Mahfuzh) tidak boleh diintai oleh sesiapa pun termasuk Jin/syaitan. Jika mereka berbuat demikian, mereka akan direjam. Allah s.w.t hanya membenarkan malaikat-malaikat tertentu sahaja yang boleh melihat ke dalam Lauh Mahfuzh ini. Al-Qur’an diambil oleh malaikat disini dan kemudian diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sedikit demi sedikit.
Ayat 79
لَّا يَمَسُّهُ ۥۤ إِلَّا ٱلۡمُطَهَّرُونَ
“tidak menyentuhnya kecuali hamba-hamba yang disucikan.”
Tidak menyentuh al-Qur’an kecuali para malaikat yang mulia yang Allah s.w.t sucikan mereka daripada aib-aib dan dosa-dosa.
Tidak disentuh juga kecuali oleh orang-orang yang menyucikan diri dari syirik, junub dan hadas.(Ini pendapat Jumhur Ulama’ termasuk mazhab Syafi’e). Ia tidak boleh dipegang oleh orang kafir dan hendaklah dihindar dari tempat-tempat yang najis.
Ayat 80
تَنزِيلٌ۬ مِّن رَّبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ
“Diturunkan dari Tuhan Semesta Alam.”
Allah s.w.t menegaskan bahawa al-Qur’an ini diturunkan oleh Dia sebagai Pencipta Alam, Yang memelihara alam ini, yang memberi rezeki kepada alam ini dan Dia-lah juga yang akan menghancurkan alam ini. Kenapakah kamu masih ragu-ragu dengan al-Qur’an?
Ayat 81
أَفَبِہَـٰذَا ٱلۡحَدِيثِ أَنتُم مُّدۡهِنُونَ
“Maka apakah kamu menganggap remeh sahaja al-Qur’an ini?”
Terdapat 2 pendapat ulama’ tentang perkataan مُّدۡهِنُونَ :
Pendapat 1
Ia mirip الدهن – minyak yang cair.
Bila ia diletakkan pada rambut, ia melembutkan rambut. Bila diletakkan pada anggur, ia melicinkan dan melembutkan anggur. Sifat lembut ini yang diguna pakai sebagai misalan. Orang-orang kafir bila berhadapan dengan orang mukmin, mereka sangat lembut dan elok tutur katanya. Pada hakikatnya mereka adalah penentang kuat Nabi s.a.w. Allah s.w.t menempelak kaum musyrikin ini; “Apakah kamu mendustakannya dan tidak membenarkannya?”
Pendapat 2
Sikap ambil tak kisah, sambil lewa dan tidak menganggap ia penting. Seolah-olah ia sama dengan buku-buku yang ditulis oleh manusia.
Ayat 82
وَتَجۡعَلُونَ رِزۡقَكُمۡ أَنَّكُمۡ تُكَذِّبُونَ
“kamu (mengganti) rezeki(yang Allah s.w.t berikan dengan mendustakan (Allah s.w.t)”
زۡقَكُمۡ – hujan(rezeki)
Kebanyakan orang-orang Quraisy di zaman Nabi s.a.w, apabila hujan turun mereka akan berkata; “hujan ini turun bukan dengan kuasa Allah. Ia disebabkan kedudukan dan keadaan bintang begini dan begini. Maka turunlah hujan.” Mereka menolak kuasa Allah s.w.t. Tidak merasakan hujan ini adalah rezeki daripada Allah s.w.t.
Zaman sekarang pun ada kepercayaan seperti ini. Hujan turun disebabkan cuaca begini dan begini. Tiada langsung terlintas di dalam hati bahawa ia adalah kuasa Allah s.w.t dan merupakan limpah kurnia rezeki daripada Allah s.w.t. Teruknya manusia seperti ini. Bagaikan kacang lupakan kulit.
Ayat 83
فَلَوۡلَآ إِذَا بَلَغَتِ ٱلۡحُلۡقُومَ
“Maka mengapa ketika nyawa sampai di kerongkongan”
Apabila seseorang dikalangan kamu dalam keadaan nazak, roh telah tercabut sampai ke halqum.
Ayat 84
وَأَنتُمۡ حِينَٮِٕذٍ۬ تَنظُرُونَ
“padahal ketika itu melihat”
Di antara kalian yang berada di sekelilingnya melihat saat-saat nazak itu. Tetapi kalian tidak dapat menolongnya atau meringankan beban yang dia hadapinya.
Ayat 85
وَنَحۡنُ أَقۡرَبُ إِلَيۡهِ مِنكُمۡ وَلَـٰكِن لَّا تُبۡصِرُونَ
“dan kami lebih dekat kepadanya daripada kamu. Tetapi kamu tidak melihat.”
Pada saat ini Kami(Allah s.w.t) lebih dekat dengan ilmu, kekuasaan dan penglihatan daripada kalian. Tetapi kalian tidak merasainya.
Pendapat lain menyatakan, yang dimaksudkan adalah malaikat yang Kami utus untuk mengeluarkan ruhnya lebih dekat kepadanya daripada kalian. Tetapi kalian tidak dapat melihatnya.
Ayat 86
فَلَوۡلَآ إِن كُنتُمۡ غَيۡرَ مَدِينِينَ
“maka mengapa jika kamu tidak dikuasai(oleh Allah s.w.t)?”
Terdapat 2 pendapat dari perkataan مَدِينِينَ :
Pendapat 1
Bermaksud dibalasi. Kamu merasakan tiada hari Kebangkitan. Setiap kejahatan yang dilakukan tiada siapa yang kisah.
Pendapat 2
Bermaksud dikuasai. Kamu merasakan tiada siapa yang menguasai kamu. Kamu bebas berbuat apa sahaja yang kamu suka.
Ayat 87
تَرۡجِعُونَہَآ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ
“Kamu tidak mengembalikan nyawa itu(kepada tempatnya) jika kamu adalah orang-orang yang benar.”
Kamu kata kamu tidak dikuasai oleh Allah s.w.t, cubalah masukkan semula ruh yang sudah di halqum itu ke tempat asalnya. Sudah tentu kamu tidak dapat melakukannya. Pengakuan kamu yang tidak dikawal itu adalah bathil. Kamu hanya mendakwa itu dan ini. Sebenarnya kamu tidak tahu apa-apa pun.
Ayat 88
فَأَمَّآ إِن كَانَ مِنَ ٱلۡمُقَرَّبِينَ
“Adapun jika dia(orang yang mati) termasuk orang yang didekatkan(kepada Allah)”
Untuk pengetahuan kamu, jika mayat itu dari kalangan orang yang bersegera dalam kebaikan yang merupakan golongan yang mendahului(مُقَرَّبِينَ).
Ayat 89
فَرَوۡحٌ۬ وَرَيۡحَانٌ۬ وَجَنَّتُ نَعِيمٍ۬
“maka dia memperoleh ketenteraman dan rezeki serta syurga kenikmatan.”
(رَيۡحَانٌ۬ )-pokok yang berbau wangi/(al-Hasan berpendapat)kemangi yang dipakai untuk wangi-wangian.
( رَوۡحٌ۬)- beristirehat dari dunia dan kesibukannya.
Maka dia(mayat itu) berbau wangi dan segar. Rehatlah ia dari kesibukan Dunia. Allah s.w.t anugerahkan kepadanya syurga(نَعِيمٍ۬ ). Inilah kejayaan/kemenangan yang sebenar. Di dalam syurga, rezeki yang melimpah ruah akan diperolehi.
Ayat 90
وَأَمَّآ إِن كَانَ مِنۡ أَصۡحَـٰبِ ٱلۡيَمِينِ
“Dan adapun jika dia termasuk golongan kanan,”
Jika mayat itu termasuk dalam kalangan golongan kanan(menerima buku amalan dengan tangan kanan)
Ayat 91
فَسَلَـٰمٌ۬ لَّكَ مِنۡ أَصۡحَـٰبِ ٱلۡيَمِينِ
“maka keselamatan bagimu kerana kamu dari golongan kanan.”
Dia akan mendapat penghormatan dengan mendapat salam; “Selamat sejahtera kepadamu kerana kamu dari puak kanan.”
Ayat 92
وَأَمَّآ إِن كَانَ مِنَ ٱلۡمُكَذِّبِينَ ٱلضَّآلِّينَ
“Dan adapun jika dia termasuk golongan orang yang medustakan lagi sesat,”
Jika dia daripada kalangan golongan kiri, yang menentang Islam, yang dibenci oleh Allah s.w.t, yang mendustakan Nabi s.a.w dan yang sesat dari petunjuk.
Ayat 93
فَنُزُلٌ۬ مِّنۡ حَمِيمٍ۬
“maka dia mendapat hidangan air yang mendidih.”
Mereka akan ke suatu destinasi yang hidangannya adalah buah zaqqum dan air yang panas mendidih(sebagaimana dijelaskan pada ayat sebelum ini).
Abu Hurairah meriwayatkan dari Nabi s.a.w beliau bersabda; “Dan jika orang yang akan meninggal adalah orang jahat, maka para malaikat itu berkata; ‘Keluarlah wahai jiwa yang buruk yang berada di jasad yang buruk,keluarlah dalam keadaan tercela, dan bergembiralah dengan air yang mendidih dan nanah dan hal lain yang semisalnya.’ Akan terus dikatakan kepadanya itu hingga nyawanya keluar, kemudian nyawa itu dibawa ke langit, namun langit tidak terbuka baginya.”
Ayat 94
وَتَصۡلِيَةُ جَحِيمٍ
“dan dibakar di dalam neraka.”
Destinasi bagi mereka ialah Neraka Jahannam.
Ayat 95
إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ حَقُّ ٱلۡيَقِينِ
“Sesungguhnya(yang disebutkan itu) adalah suatu keyakinan yang benar.”
Sesungguhnya apa yang Kami kisahkan kepada kamu ini adalah kebenaran haqqul yaqin yang tidak ada keraguan padanya.
Ayat 96
فَسَبِّحۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلۡعَظِيمِ
“Maka bertasbihlah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang Maha Besar.”
Allah s.w.t menutupi surah ini dengan menyuruh hambaNya menyebut nama-Nya Yang Maha Suci(suci dari sebarang kekurangan) dan Maha Besar(Agung).
Oleh itu, sesiapa yang membaca surah ini hingga akhir, hendaklah menyahut suruhan Allah s.w.t dengan membaca سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ(Maha suci Allah yang Maha Besar).
MUHASABAH DIRI:
1. Semua yang Allah s.w.t nyatakan di dalam al-Qur’an adalah benar.
2. Berusahalah sedaya mungkin menjadi seperti ‘orang yang mendahului’.
3. Berusaha dan berdo’a sungguh-sungguh semoga tidak tergolong dari kalangan ‘golongan kiri’.
4. Yakinlah Kiamat pasti akan terjadi.
5. Sentiasa ingat nikmat-nikmat yang disediakan di Syurga dan tersangat azab penghuni neraka.
6. Sentiasa ingat Kekuasaan Allah s.w.t sebagai Pencipta.
7. Bersyukur atas segala nikmat dan rahmat Allah s.w.t berikan kepada kita semata-mata untuk keselesaan kita menjalani hisup di Dunia.
8. Perbanyakkan bertasbih mengagungkan Allah s.w.t.
Wallahu’alam.
Rujukan Ustaz:
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Wasit
Khowatir dari Sheikh Sha'rawi