عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ
الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه
وسلم يَقُوْلُ : إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ
مَا نَوَى . فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ
إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ
امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ .
[رواه إماما المحدثين أبو
عبد الله محمد بن إسماعيل بن إبراهيم بن المغيرة بن بردزبة البخاري وابو الحسين
مسلم بن الحجاج بن مسلم القشيري النيسابوري في صحيحيهما اللذين هما أصح الكتب
المصنفة]
Terjemahan Hadith / :
ترجمة الحديث
Dari
Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khottob radiallahu’anhu, dia berkata:
Aku
mendengar Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan
bergantung
pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang
dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keridhaan) Allah
dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada (keridhaan) Allah dan RasulNya. Dan
siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dikehendakinya atau kerana wanita yang
ingin dinikahinya, maka hijrahnya (akan bernilai mengikut) yang dia niatkan.
(Riwayat dua Imam Hadith, Abu Abdullah
Muhammad bin Isma’il bin Ibrahim bin Al Mughirah bin Bardizbah Al Bukhori dan
Abu Al Husain Muslim bin Al Hajjaj bin Muslim Al Qusyairi An Naishaburi. Kedua
kitab Shahih mereka merupakan kitab yang paling shahih yang pernah dikarang).
Kedudukan Hadith:
Sangat besar kedudukan hadith ini di
kalangan para Imam yang muktabar. Imam Ahmad dan Imam As-Syafi’i berkata hadith
ini adalah sepertiga (1/3) ilmu. Sebabnya, perbuatan seseorang itu bergantung
kepada perbuatan hati, lisan dan anggota badan (Iman). Perbuatan hati itu
adalah niat.
Imam Abu Daud berkata bahawa hadith
ini adalah setengah (½) dari agama Islam sebabnya, agama itu tertumpu kepada
dua perkara utama iaitu zohir(amal) dan
batin(niat).
Hadith ini menjadi salah satu daripada
intipati ajaran Islam. Imam As-Syafi’i juga berkata Hadith ini mencakupi 70 bab
dalam fiqh.
Justeru itu, ia telah diletakkan
sebagai hadith yang pertama dalam hadith-40 dan juga dalam buku induknya iaitu Riyadhus
Sholihin (Taman-taman para solehin). Imam Bukhari juga meletakkan hadith ini di
awal kitab Shahih-nya.
Disarankan kepada setiap muslim dan
para da’i meneliti dan memahami hadith ini dengan bersungguh-sungguh agar dapat
melaksanakan tuntutan-tuntutannya bagi mencapai مرضاة الله .
Perbincangan Hadith:
Rasulullah saw menegaskan setiap/semua
amalan adalah terkurung (إِنَّمَا) dalam niat. Ada hubungan
yang sangat rapat di antara amal dan niat. Amal hendaklah diniatkan untuk Allah
swt semata-mata; tiada berlaku percampuran dan tidak untuk yang selain
dari-Nya. Jika tidak, amalan itu menjadi sia-sia. Tersangat penting perkara `niat’ ini kerana
ia adalah pintu gerbang kepada keikhlasan.
Amal Perbuatan dan
Niat
Amal perbuatan terbahagi kepada 3
jenis; yakni amal yang maksiat, amal
ketaatan (ibadah) dan amal yang harus
1.
Amal maksiat
Amal perbuatan yang maksiat masih
dikira `maksiat’ walaupun niatnya baik ataupun dilabelkan sebagai amal yang
mulia oleh masyarakat. Neraca timbangan ialah dari Allah swt. Konsert amal umpamanya
ataupun memberi infaq dengan wang riba.
2.
Amal ibadah
Amal keta’atan (Ibadah) dengan niat
kerana Allah SWT dikira sebagai ibadah. Amal dibuat kerana Allah menyuruh kita
berbuat demikian. Objektif amal keta’atan itu adalah untuk Allah dan bukan disebabkan
perkara yang lain seperti pandangan manusia ataupun adat kebiasaan.
Seorang muslimah menutup auratnya
kerana Allah minta dia berbuat demikian, maka ia adalah ibadah. Bila ditanya kenapa dia memakai tudung? Maka dia
menjawab dengan tegas “saya ta’at kepada Allah, saya menjalankan perintah
Rasul, malu kepada Allah dan saya inginkan redha Allah”. Sangat jelas bahawa
dia ta’at kepada Allah dan Rasul, dan tidak semata-mata kerana adat kebiasaan.
Usaha dakwah di jalan Allah untuk
mendapat redha Allah juga ibadah. Malah Allah swt menerima amal perbuatan hamba-Nya
yang beramal yang mengharap ganjaran pahala dan syurga Allah.
Amal yang pada zohirnya nampak kecil
menjadi besar disisi Allah dengan niat kerana Allah. Sebaliknya, amalan yang
besar tetapi niat yang tidak jelas ataupun bercampur dengan hal lain, maka
amalan itu menjadi sia-sia dan tidak diterima.
Marilah kita cuba menjawab
soalan-soalan berikut:
1.
Adakah di dalam amal kita ada niat
yang bercampur?
2.
Apakah kita suka dilihat manusia
ketika melakukan solat/membaca quran?
3.
Apakah kita suka orang memuji dan
mengucapkan berterima kasih kerana perbuatan kita yang mulia?
4.
Apakah kita suka jika orang menganggap
kita sebagai orang komited dalam dak’wah?
Jika ya jawapannya, maka hendaklah
kita berusaha lagi untuk menyucikan amal kita dari segala campuran. Hendaklah
kita berusaha agar perasaan amal perbuatan untuk dilihat orang digantikan
dengan perasaan bahawa amal itu hanya untuk dilihat oleh Allah SWT semata-mata.
Cukuplah untuk kita firman Allah SWT (maksudnya) “Dan cukuplah Allah sebagai saksi..”
(Al-Fath:28)
Allah SWT berfirman (maksudnya)
“Katakanlah,
`Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Rabb
semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan
padaku…”
(Al-An’am:162-163)
“Padahal mereka tidak
diperintah kecuali agar menyembah Allah dengan memurnikan keta’atan
kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus dan agar mereka mendirikan
solat dan menunaikan zakat. Demikian itulah agama yang lurus.” – QS (Al-Bayyinah:5)
“Daging (qurban) dan
darahnya itu sekali-kali tidak akan mencapai (keredhaan) Allah. Akan tetapi, ketaqwaan
kamulah yang dapat mencapainya.” – QS (Al-Hajj:37)
Inilah keindahan
ungkapan Al-Quran. Maka milik siapakah ketundukan yang murni itu? Milik
siapakah ibadah yang murni itu, kalau bukan milik Allah SWT.
Niat seseorang itu mestilah niat yang
ikhlas. Ikhlas adalah kunci amalan hati. Semua amalan soleh tidak akan sempurna
tanpa dilandasi oleh keikhlasan. Bahkan niat mengubah adat kebiasaan menjadi
ibadah. Amal perbuatan seperti makan, minum ataupun bersukan menjadi ibadah
jika diniatkan kerana Allah SWT.
INGATLAH ! Niat dalam beramal adalah
wajib hukumnya. Ikhlas dalam niat adalah syarat diterimanya amal.
Tingkatan pahala yang diperolehi
bergantung kepada tingkatan keikhlasannya (Apa itu ikhlas?: Rujuk : ( http://bersamaummualiya.blogspot.com/2011/05/blog-post.html )
Kisah sebab lahirnya hadith ini
menjadi sebagai contoh kepentingan niat yang ikhlas. Ibnu Mas’ud berkata, di
antara kami ada seorang lelaki yang melamar seorang wanita dikenali sebagai
Ummu Qais. Ummu Qais menolak lamarannya kecuali jika dia ikut berhijrah dari
Mekah ke Madinah. Maka lelaki itu turut
berhijrah kerana cintanya kepada Ummu Qais dan beliau dapat bernikah dengan
Ummu Qais. Para sahabat berselisih pendapat samada hijrahnya dapat diterima atau
tidak. Akhirnya Rasulullah saw mensabdakan hadith diatas. Maka mereka pun
menggelarnya Muhajiru Ummu Qais (orang yang berhijrah kerana Ummu Qais).
“Siapa
yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka
hijrahnya itu kepada (keridhaan) Allah dan RasulNya. Dan siapa yang hijrahnya
kerana dunia yang dikehendakinya atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka
hijrahnya (akan bernilai mengikut) yang dia niatkan.”
Keta’atan dalam beramal boleh
dilakukan dengan beberapa niat. Para sahabat r.a adalah “saudagar niat”. Mereka
melakukan satu amal sambil berniat dengan amal itu lima atau enam niat.
Contohnya ketika mereka melakukan solat berjemaah di masjid; mereka beriktikaf;
mereka menghadiri majlis ilmu, bersilaturrahmi dengan sahabat yang soleh dan a’lim;
mereka mendekatkan diri dengan keta’atan, dan menjauhi maksiat, dan mereka juga
bertaubat kepada Allah SWT.
Alangkah mulianya agama Islam ini.
Bukankah niat adalah nikmat yang besar dari Allah SWT. Kita tidak pernah
terfikirpun untuk itu!!!
3.
Amal yang Mubah (Harus)
Amal perbuatan yang mubah boleh
mendatangkan pahala yang berganda dengan niat yang baik iaitu untuk mendekatkan
diri kepada Allah SWT (qurubah). Memakai minyak wangi ke masjid adalah harus.
Pemakainya akan memperolehi ganjaran pahala jika berniat untuk mengikuti
sunnah, memuliakan masjid dan menghilangkan bau yang tidak sedap. Perbuatan makan
juga akan mendapat ganjaran pahala jika bertujuan menghimpun tenaga untuk kuat
beribadah kepada Allah SWT. Berumahtangga untuk memelihara agamanya,
memperolehi anak yang soleh dan mententeramkan hati dalam beramal.
Perkara mubah boleh menjadi pahala
dengan beberapa syarat:
·
Tidak mendatangkan akibat yang
memudharatkan. Seperti sanggup bersolat di tengah panas asalkan berhampiran
ka’bah sehingga menyebabkan sakit kepala atau pengsan. Mengambil sikap berdiam
diri supaya dapat mengelak kesalahan bak kata pepatah; “Banyak bercakap
banyaklah salahnya” sehingga tidak
melaksanakan amal ma’ruf dan nahi mungkar.
·
Perbuatan mubah menjadi wasilah
(jalan) kepada ibadah.
·
Melakukannya dengan keyakinan ia
adalah diharuskan oleh Allah dan sebagai tasyri’ (syari’at) Ilahi.
·
Tidak melampau-lampau dalam melakukan atau
meninggalkannya secara keseluruhan. Makan terlalu kenyang. Tidak mahu memakai
wangian sehingga mengganggu jama’ah.
Para ‘ulama’ sepakat bahawa amal
perbuatan seseorang tidak akan mendapat ganjaran pahala kecuali jika diiringi
dengan niat. Betapa pentingnya niat kerana ia dapat membezakan antara ibadat
dan adat (perkara kebiasaan). Ia juga menentukan qasad amal iaitu adakah amal
perbuatan itu untuk Allah atau lainnya.
Bagi ibubapa, bila ditanya mengapa menghantar
anak ke sekolah? Adakah sudah menjadi adat zaman sekarang, anak-anak yang
berumur 7 tahun wajib dihantar ke sekolah atau kerana Allah SWT-lah yang
menyuruh hamba-Nya menuntut ilmu? Maka jawablah, Aku ingin anakku menjadi orang
yang soleh dan berilmu yang dapat memimpin dunia dan menyingkirkan orang
fasik/kafir menjadi pemimpin.
Bagi pelajar pula, perlu bertanya kenapa
aku belajar? Maka jawablah, bahawa aku
belajar kerana orang beriman tidak layak gagal; dan aku ingin menyeru manusia
kepada Allah SWT. Agama Islam yang indah ini mengubah adat kebiasaan menjadi
ibadah. Kita belajar mendapat pahala, dan hati akan bertambah semangat untuk
belajar kerana niat yang baik.
Alangkah ruginya kita kerana tidak
merebut pahala-pahala yang disediakan dengan hanya mengubah niat kerana Allah
SWT, bukan melaksanakannya kerana sudah menjadi adat kebiasaan (perkara rutin).
Allah SWT berfirman:
مَّن كَانَ يُرِيدُ ثَوَابَ ٱلدُّنۡيَا فَعِندَ ٱللَّهِ ثَوَابُ
ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأَخِرَةِۚ وَكَانَ ٱللَّهُ سَمِيعَۢا بَصِيرً۬ا (١٣٤)
Sesiapa
yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah dia), kerana di sisi
Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat dan (ingatlah) Allah
sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (134) – QS (An-Nisa’:134)
Terdapat dua jenis niat. Niat dalam hukum
fiqh dan niat dalam akhlak/sufi. Kedua-duanya dituntut dan keduanya menentukan
amalan diterima oleh Allah atau tidak.
Masa bila kita hendak berniat? Waktu
niat ialah pada sa’at hendak melakukan amal perbuatan (ibadah). Dimana tempat
niat itu? Tempat niat adalah di dalam hati. Tidak disyaratkan melafazkannya,
namun begitu boleh melafazkannya untuk membantu hati dalam menghadirkan niat.
Menurut fuqaha’Syafi’i, sunnat melafazkan niat untuk membantu hati, tetapi
menjadi haram jika boleh menganggu orang lain seperti semasa solat berjama’ah.
Tingkatan niat adalah berbeza-beza.
Niat beramal kerana takut kepada Allah, beramal kerana mengharapkan rahmat
Allah dan tingkatan yang lebih tinggi daripada keduanya adalah beramal
mengagungkan Allah kerana hak-Nya untuk dita’ati dan diibadahi. Pemilik
tingkatan ini selalu berzikir kepada Allah dan merenungi keagungan-Nya kerana
cinta.
Jelaslah bahawa niat itu adalah
pancaran hati yang mengalir sesuai dengan pertolongan Allah SWT. Niat
adakalanya mudah dan adakalanya sulit dilakukan. Namun niat biasanya memang
mudah dilakukan oleh orang yang hatinya cenderung pada agama, bukan dunia.
Daripada Abu Hurairah r.a, Abdurrahman
bin Sakhr berkata, Rasulullah saw bersabda;
“Sesungguhnya, Allah
tidak melihat tubuh dan hartamu, tetapi Dia melihat hatimu dan amal
perbuatanmu.”
– HR Imam Muslim
Seseorang yang berniat melakukan
kebaikan kerana Allah, tetapi tiba-tiba dia jatuh sakit atau meninggal dunia,
maka niat yang baik tadi tidak dapat dilaksanakan. Namun begitu dia tetap
mendapat pahala kerana berniat untuk melakukan kebaikan.
Hijrah
Hijrah dalam bahasa ertinya `meninggalkan’.
Hijrah menurut syari’at ialah meninggalkan negeri kafir menuju negeri Islam
dengan niat menyelamatkan agamanya. Hijrah yang dimaksudkan di dalam hadith ini
ialah perpindahan dari Mekah ke Madinah sebelum Fathu Mekah (penaklukan kota
Mekah, tahun 8H)
Aisyah r.ha berkata, Rasulullah saw
bersabda; “Tidak ada hijrah (ke Madinah) setelah penaklukan kota Mekah. Akan
tetapi, (masih ada) jihad dan niat. Jika kamu diajak pergi berjihad, pergilah.”
– HR Muttafaqun ‘Alaih
Tiada lagi hijrah ke Madinah kerana
Mekah telah menjadi negeri Islam. Oleh itu, jika suatu negeri menjadi negeri
Islam, tidak ada keharusan hijrah darinya. Hijrah tetap wajib bagi muslim yang
tinggal di negeri kafir sedangkan tidak diberikan kesempatan melaksanakan
ajaran Islam.
Allah SWT berfirman:
إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّٮٰهُمُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ ظَالِمِىٓ
أَنفُسِہِمۡ قَالُواْ فِيمَ كُنتُمۡۖ قَالُواْ كُنَّا مُسۡتَضۡعَفِينَ فِى
ٱلۡأَرۡضِۚ قَالُوٓاْ أَلَمۡ تَكُنۡ أَرۡضُ ٱللَّهِ وَٲسِعَةً۬ فَتُہَاجِرُواْ
فِيہَاۚ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَأۡوَٮٰهُمۡ جَهَنَّمُۖ وَسَآءَتۡ مَصِيرًا (٩٧)
Sesungguhnya
orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya
diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas
oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: Apakah
yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu? Mereka menjawab: Kami dahulu
adalah orang-orang yang tertindas di bumi. Malaikat bertanya lagi: Tidakkah
bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya? Maka
orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah Neraka
Jahanam dan Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (97) – QS (An-Nisa’:97)
Seorang muslim mestilah selalu
mempunyai niat untuk berjihad, mempersiapkan jihad dan memenuhi panggilan jihad
jika ia diperlukan. Seorang muslim yang benar-benar bertekad ingin berjihad
tetapi terhalang disebabkan sebab-sebab syar’i, dia tetap mendapat pahala
jihad.
“ Siapa yang meminta
kesyahidan kepada Allah dengan benar, Allah akan menyampaikannya pada kedudukan
para syuhada’, meskipun dia mati di atas ranjangnya” (HR Muslim, Abu
Dawud dan al-Turmudzi)
Para sahabat mempunyai semangat jihad
yang tinggi walaupun uzur; dan Rasulullah saw menyatakan bahawa mereka mendapat
pahala yang sempurna walaupun tidak pergi berjihad.
Ketika kembali dari Perang Tabuk
(jarak Tabuk ke Madinah ialah 1000km, jarak yang jauh dengan cuaca yang panas
terik); para sahabat bergantian menunggang kenderaan yang terbatas -, Nabi
bersabda, “ Sesungguhnya di Madinah ada kaum yang kalian tidak melewati
jalan atau menerobos bukit kecuali mereka bersama kalian – mereka bersama
kalian dalam pahala - , uzur telah menghalangi mereka,” (HR Bukhari).
Mereka tidak bersama kalian kerana uzur tetapi mereka memperolehi pahala yang
sempurna.
Allah SWT berfirman:
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُواْ
وَجَـٰهَدُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ يَرۡجُونَ رَحۡمَتَ ٱللَّهِۚ
وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (٢١٨)
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada
jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang
mengharapkan rahmat Allah dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani. (218) – QS (Al-Baqarah:218)
Para da’i dan pendukung
agama Allah, perlulah merenungi dan mengambil pengajaran dari sejarah Islam.
Para Nabi a.s dan Rasul a.s tidak ramai yang mengecapi kemenangan kerajaan dan kuasa
dunia. Namun mereka telah memperolehi kejayaan yang hakiki.
Sebagaimana firman Allah
SWT:
يَغۡفِرۡ لَكُمۡ
ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ
وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةً۬ فِى جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ۬ۚ ذَٲلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ (١٢)
(Dengan
itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam
taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu
di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan
yang besar. (12) – QS (As-Saff:12)
Tidakkah ia menjadi suatu motivasi
untuk terus bekerja dan bergerak tanpa melihat kepada hasil yang mendatang.
Paling penting ialah penyempurnaan kerja tersebut sebagaimana yang dikehendaki
oleh syara’ dan sunnah Rasulullah saw. Perbetulkan niat dihati. Jadikannya
ikhlas kepada Allah SWT. In Sya Allah, hati akan tenang, tenteram dan tidak
bergundah-gulana jika kerja-kerja yang dilaksanakan tidak membuahkan hasil yang
dikehendaki tetapi merasai puas kerana dapat melaksanakannya mengikut landasan
yang betul sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Niat yang tidak ikhlas dan
bercampur aduk dengan yang lain boleh menyebabkan hilang keberkatan dan
melambatkan proses kemenangan. Allah SWT tidak akan membantu mereka yang tidak
tulus ikhlas kepada-Nya.
Wallahu’alam