01 Mei 2012

3.21 Haq (kebenaran)

Al-Haq adalah kebenaran mengikut sistem Ilahi merupakan sesuatu yang hakiki dan tulen dalam binaan alam al-wujud ini. Ia bukannya sesuatu yang wujud secara mendadak dan sepintas lalu dan bukannya sesuatu yang wujud secara kebetulan dan tidak disengajakan. Allah SWT itulah yang benar / al-Haq dan dari kewujudan Allah Taalah inilah segala makhluk yang ada memperolehi kewujudannya .... Sayyid Qutb

Hanya Allah sahaja yang bersifat al-Haq; yakni Allah sahaja yang benar dan yang selain darinya adalah palsu belaka. Penumpuan ibadah hanyalah kepada Allah Yang Esa. Dialah yang berhak untuk disembah dan tidak ada sembahan yang sebenarnya kecuali Allah swt. Sifat al-Haq Allah dapat difahami jika kita mentadabbur ayat-ayat Al-Quran dan melihat alam al-wujud ini dengan matahati. Di dalam surah al-Luqman: 29-30 (maksudnya)

Tidakkah Engkau lihat bagaimana Allah memasukkan malam hari ke dalam siang hari dan menundukkan matahari dan bulan, semuanya masing-masing beredar menuju ke satu masa tertentu dan sesungguhnya Allah amat mengetahui segala apa yang dilakukan kamu. Yang demikian ialah kerana Allah itulah Yang Benar/al-Haq dan segala apa yang mereka sembah selain dari-Nya itulah yang palsu dan Allah itulah Tuhan Yang Maha Tinggi dan Maha Besar.

Ayat-ayat ini adalah merupakan dalil-dalil dan saksi-saksi uluhiyah Allah. Al-Quran mengemukakan bukti-bukti kekuasaan Allah yang terdapat dalam penciptaan siang dan malam, supaya manusia menyembah Allah Yang Maha Esa.

Jika diamat-amati, pemandangan masuknya hari malam ke dalam hari siang; dan masuknya hari siang ke dalam hari malam; juga peredaran matahari dan bulan serta perubahan musim merupakan satu pemandangan yang menakjubkan. Namun kebanyakan manusia tidak dapat merasainya dan melupakannya lantaran ia sesuatu yang terlalu biasa dilihat.

Al-Quran ingin menghidupkan dalam hati kita rasa ingin tahu (curiosity) sehingga mencetuskan kesedaran. Di sebalik peristiwa-peristiwa ini, terdapat rahsia pentadbiran Ilahi yang amat rapi. Tidakkah manusia terfikir bahawa peraturan-peraturan alam ini tidak pernah mungkir, menyimpang, kacau-bilau dan lewat walau sekalipun. Kesemuanya teratur rapi. Makhluk-makhluk Allah ini (siang, malam, matahari dan bulan) patuh beredar dan terus berjalan seperti yang dikehendaki oleh Penciptanya yakni Allah swt. Ia tidak terpesong dan tidak memilih untuk memberontak. Inilah yang dikatakan sebagai Islam Ijbari.

Peraturan itu menyaksikan bahawa Allah-lah sahaja yang benar. Segala sesuatu yang lain dari Allah adalah berubah dan bertukar ganti belaka. Mengalami perubahan, datang dan pergi, kuat dan lemah, ada selepas tiada dan sebagainya. Hanya Allah sahaja yang kekal abadi, tidak berubah, tidak bertukar dan tidak hilang.

Penciptaan siang-malam, bulan-matahari, dan segala kejadian di alam buana bukanlah sesuatu yang sia-sia dan bukan juga mainan kosong. Ia tidak berlaku secara kebetulan, malah seluruh peraturan dan keselarasan dan ketepatan pergerakan matahari dan bulan yang tidak pernah menyimpang walau satu harakat, adalah bukti ia tidak berlaku secara kebetulan. Allah itulah Tuhan yang al-Haq. Dialah yang mencipta, menegak, memelihara dan mentadbirkan alam buana ini.

Kegiatan berfikir pada kejadian-kejadian penciptaan Allah dan meneliti bukti-bukti uluhiyah di dalam Al-Quran merupakan satu ibadah kepada Allah dan zikir kepadanya. Namun hanya mereka yang beriman, bertaqwa dan berakal “Ulul-Albab' berupaya menyingkap rahsia-rahsia dan hakikat tersembunyi di dalam sistem hidup Ilahi. Kejadian-kejadian alam buana bukanlah diciptakan secara sia-sia dan palsu.

Alam buana ini mempunyai hakikat dan ia berjalan mengikut satu undang-undang dan bukannya dibiarkan berjalan tanpa peraturan. Allah telah menciptakan alam buana ini dengan kebenaran / al-Haq dan tidak bercampur-aduk dengan kebatilan dan kepalsuan:

Allah tidak menciptakan semuanya melainkan dengan kebenaran / al-Haq” (Surah Yunus:5)

Wahai Tuhanku! Tiadalah Engkau ciptakan semuanya ini sebagai palsu. Maha Sucilah Engkau! “ (Surah Aali `Imran:191)

Memahami al-Haq yang wujud dalam susun bentuk alam buana ini membawa erti disisi para Ulul-albab bahawa di sana ada taqdir dan tadbir Ilahi. Ada hikmat dan matlamat, ada kebenaran dan keadilan di sebalik kehidupan manusia di bumi ini, dan di sana pasti ada hisab dan balasan terhadap segala perbuatan yang telah dilakukan oleh manusia. Malah jelaslah di sana pasti ada sebuah alam lain dari alam ini, di mana dapat ditegakkan kebenaran dan keadilan dalam pembalasan.


Seterusnya Sayyid Qutb mengatakan ……. Al-Haq itulah yang menjadi tapak asas alam al-wujud ini dan apabila ia menyeleweng darinya ia akan rosak dan musnah.

Al-Haq (kebenaran) itu tidak mungkin berjalan seiringan dengan hawa nafsu manusia. Al-Haq (kebenaran) itulah yang menjadi tapak asas ditegakkan langit dan bumi, dan al-Haq (kebenaran) juga tegaknya undang-undang alam buana dan berjalannya seluruh peraturan segala isi alam dan penghuninya. Firman Allah dalam surah Mu’minun: 71 (maksudnya)

Jika al-Haq itu mengikut hawa nafsu mereka, nescaya musnahlah langit dan bumi dan penghuni-penghuninya”

Al-Haq (kebenaran) itu hanya satu dan tetap teguh, sedangkan hawa nafsu itu banyak ragamnya dan berubah-ubah. Dengan lunas kebenaran inilah. Allah mentadbirkan seluruh alam buana. Undang-undang alam tidak pernah menyelewang. Andainya alam buana ini tunduk kepada keinginan hawa nafsu, maka seluruh alam buana ini musnah dan seluruh manusia juga musnah.

Islam menjadikan undang-undang hidup manusia sebagai sebahagian dari undang-undang alam buana yang dikendalikan, ditadbir dan diselaraskan oleh Allah. Makhluk manusia merupakan sebagian dari alam buana; maka amatlah wajar undang-undang hidup manusia ini diaturkan oleh Allah yang mengaturkan undang-undang alam buana ini dan mentadbirkannya dengan keselarasan yang mengkagumkan.

Agama Islam adalah agama al-Haq, yakni agama yang benar. Umat yang menerima dan patuh kepada agama Islam adalah umat yang mulia dan diredhai Allah. Sebaliknya, jika mereka meragukan kebenaran Allah, mengubah peraturan dan hukum-Nya serta membantah firman-Nya, maka mereka adalah di dalam golongan orang-orang yang batil dan kebatilan itu pasti akan lenyap.


Sayyid Qutb menghuraikan lagi maksud al-Haq ….  Oleh sebab itulah al-Haq pasti menang dan kebatilan dan kepalsuan akan musnah. Walaupun keadaan-keadaan zahir nampaknya tidak begitu, namun akhirnya kebenaran akan tetap muncul dengan begitu ketara

Malah Kami lontarkan kebenaran ke atas kepalsuan lalu ia mengalahkannya dan tiba-tiba kepalsuan itu terus lenyap” (Surah al-Anbia': 18)

Ayat ini menggambarkan bahawa al-Haq (kebenaran) akan dilontarkan kepada kebatilan yang menyebabkan kebatilan akan terhapus, musnah dan hilang. Kebatilan adalah sesuatu yang baru dan menyimpang dari sistem Ilahi dan tidak diredhai Allah.

Adakalanya manusia melihat realiti yang berlaku di depan mata tidak sama seperti yang Allah nyatakan di dalam Al-Quran. Pada setiap zaman dan waktu, kebatilan kelihatan berjaya mendominasikan suasana dan menonjolkan diri dengan sombong, sedangkan 'kebenaran' kelihatan menyembunyikan diri seolah-olah tewas. Pada hakikatnya ia hanya berlaku pada waktu tempoh tertentu sahaja. Tempoh ini dilanjutkan Allah mengikut iradat-Nya untuk menguji manusia.

Di zaman Fi Zilalil Qur’an ditulis  (sebagian besarnya di tulis oleh Sayyid Qutb di Penjara Mesir), adalah sukar untuk membezakan di antara al-Haq (kebenaran yang datang dari Allah) dan al-Batil (kebatilan yang datang dari manusia dan syaitan). Penjajah dan Penguasa Mesir ketika itu mendoktrinkan pemikiran mereka terhadap rakyat. Perkara `batil’  menjadi tuan dan panduan yang harus ditaati. Sedangkan penduduk negeri asli yang Muslim menjadi asing dan tamu di negeri sendiri.

Antara Tauhid dan Syirik sukar dibezakan. Antara iman dan kufur sudah tidak banyak lagi dibicarakan. Antara hati nurani dan pemikiran yang haq dan hawa nafsu sudah samar. Antara cahaya dan kegelapan sudah tidak lagi menjadi perhatian. Bahkan antara Tuhan Pencipta (Allah) dengan sistem hidup manusia (seperti kapitalisme dan sosialisme) serta tradisi nenek moyang di anggap sama sahaja. Pemerintah dan penguasa-penguasa ketika itu dengan mudahnya memaksa umat Islam untuk menerima dan mengakui yang haq menjadi batil, dan yang batil menjadi hak, yang halal menjadi haram dan yang haram menjadi halal.

Lebih dari itu, para ulama dan para da’i yang menyuarakan al-Haq itu adalah Al-Haq dan al-Batil itu adalah al-Batil dimusuhi, dituduh dengan berbagai tuduhan yang mengerikan, lalu ditangkap, dipenjara dan bahkan Sayyid Qutb sendiri dibunuh di tiang gantung

Sesungguhnya pengarang Fi-Zilalil Quran, As-Syahid Sayyid Qutb telah menukilkan kata-kata yang mengambarkan pemahamannya yang mendalam terhadap al-Haq dan beliau mempertahankan al-Haq sehingga beliau syahid di tali gantung. Katanya “ Sesungguhnya telunjuk saya yang bersaksi dengan mengucap dua kalimat syahadat (Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad adalah Rasul-nya) minima lima kali dalam sehari (waktu shalat fardhu) tidak mungkin dia menandatangani atau menulis satu katapun yang menyebabkan saya berdekat-dekat dengan penguasa thaghut (zalim). Jika saya dihukum disebabkan karena al-Haq, maka saya redha berhukum dengan al-Haq. Namun jika saya dihukum dengan al-Batil (kebatilan) maka saya lebih besar dari meminta kasih sayang kepada kebatilan itu”

Tawaran dari Jamal Abdul Naser, Presiden Mesir ketika itu untuk mengampunkan  Sayyid Qutb sekiranya menandatangani surat minta maaf yang telah disiapkan penguasa telah ditolak oleh Sayyid Qutb dengan tegas dengan mengucapkan kalimat di atas. Itulah yang dihadapi oleh Sayyid Qutb,  yang merelakan hidupnya diakhiri di tiang gantung regim Jamal Abdul Naser demi mempertahankan isi dan kemuliaan Al-Qur’an. Subhanallah. Betapa kuat keimanannya dan  kecintaannya kepada Allah swt. Dalam salah satu rangkap syair, Sayyid Qutb bersenandung :

Saudaraku….. engkau bebas merdeka di balik jeriji besi…
Saudaraku….. engkau bebas merdeka dengan belenggu ini… 
Jika engkau benar-benar berlindung pada Allah….maka tipu daya budak-budak itu tidak akan mencelakakanmu..
Saudaraku…. Jika kita mati, bererti kita akan bertemu dengan para kekasih kita (Rasul, Sahabat  dan orang-orang saleh)
Taman syurgawi Tuhanku sudah disiapkan untuk kita…..

Orang-orang beriman tidak pernah merasa ragu-ragu terhadap kebenaran janji Allah. Apabila Allah menguji mereka dengan kemenangan `kebatilan', maka mereka sedar bahawa Allah sedang mendidik mereka untuk mengatasi kelemahan atau kekurangan yang terdapat dalam jiwa mereka. Mereka yakin bahawa Allah mahu melengkapkan mereka dengan persediaan menyambut `kebenaran' yang menang.

Kebatilan sekalipun disertai dengan alasan-alasan (hujah) tidak akan menang dan mengatasi al-Haq. Allah swt memiliki kekuasaan untuk mengoncang kaki orang-orang yang berbuat kebatilan. Lihatlah apa yang berlaku pada penguasa-penguasa yang zalim. Malah Allah telah menukilkan dalam al-Quran kisah-kisah  Fir'aun, Namrud, kaum-kaum Nabi Nuh, Nabi Salleh, Nabi Syuaib dan yang seumpama dengannya. Mereka adalah golongan yang batil dan mendapat azab Allah setelah tiba masanya. Namun hanya sedikit yang ingin mengambil pengajaran.

Orang-orang beriman sedar bahawa Allah menjadikan mereka sebagai tabir qudrat Ilahi dan membiarkan mereka melintasi sendiri masa ujian itu untuk menyempurnakan kekurangan dan mengubati kelemahan mereka. Apabila mereka bermuhasabah, berusaha mengubati diri mereka serta berjihad di jalan Allah, maka Allah akan memendekkan masa ujian itu dan memperkenankan doa mereka. Jika mereka tewas sekalipun di dunia ini, mereka akan memperolehi kemenangan di dunia akhirat yang infiniti. Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya.

16 April 2012

2.6 TILAWAH, TA'LIM DAN TAZKIYAH

Maha Suci Allah telah menurunkan al-Qur’an sebagai mukjizat Nabi Muhammad saw. Di dalamnya kaya dengan ilmu dan pengajaran. Beruntunglah bagi sesiapa yang bertadabur al-Qur’an iaitu orang yang mengamati dan menghayati bait-bait ayat al-Qur’an, kemudian berfikir dan mengambil pengajaran daripadanya. Kemudian membandingkan perkaitan dengan hidupnya. Ia melibatkan rifleksi hati yang mampu menguja anggota badan untuk beramal.

Al-Qur’an juga berjaya melahirkan para sahabat seperti Saidina Abu Bakar as-Shidiq, Saidina Ali Karamallahuwajhah, Saidatina Khadijah r.ha, Saidatina Aishah r.ha, Zaid bin Harithah, Bilal bin Rabbah dan yang lain yang diceritakan di dalam sejarah. Wahyu yang didatangkan melalui Rasulullah saw benar-benar dapat mengubah pemikiran mereka sehingga Saidina Umar r.a yang garang dan keras hati boleh menjadi seorang yang penyabar dan lembut hati kepada orang-orang Mukmin. Sanggup berjuang hingga ke titis darah terakhir semata-mata menegakkan Kalimah Toiyibbah.

Zaman selepas kewafatan Rasulullah saw juga berjaya mewujudkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Sallehuddin al-Ayubi, Muhammad al-Fateh dan ulama-ulama penyambung tugasan para Rasul. Al-Qur’an dan sunnah mampu mewujudkan individu Muslim yang Mukmin walaupun ketiadaan jasad Rasulullah saw itu sendiri.

Timbul persoalan di sini, bagaimana al-Qur’an dan sunnah mampu mengubah seseorang itu dari satu keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang lebih baik sehingga seakan-akan menyamai generasi sahabat atau lebih daripada itu. Rasulullah saw pernah bersabda;

“Akan ada diakhir zaman nanti orang-orang apabila beramal melebihi 50 kali ganda daripada kamu.” Sahabat bertanya; “Siapakah kamu itu?” Rasulullah saw menjawab; “kamu itu ialah kamu semua, sahabat-sahabatku.”

Maka tidak mustahil sesiapa sahaja dikalangan kita boleh mencapai tahap tersebut. Di dalam al-Qur’an ada menerangkan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan sehingga mampu mengubah peribadi individu Muslim. Kaedah tersebut ialah penggunaan konsep tilawah, ta’lim dan tazkiyah sebagaimana di dalam surah al-Baqarah:129,

رَبَّنَا وَٱبۡعَثۡ فِيهِمۡ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَيُزَكِّيہِمۡ‌ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (١٢٩
Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (129)

Tilawah( ۡ يَتۡلُو )

Tilawah ialah satu konsep satu hala di mana wujud suasana guru membacakan ilmunya dan didengari oleh anak murid atau pendengar yang mendengar dengan meneliti isi kandungannya dan cuba mengikutinya . Konsep ini selalu digunakan di sekolah-sekolah, tempat ceramah, khutbah Jumaat, siaran radio, dan kaedah-kaedah yang seumpama.

Contohnya, tilawah al-Qur’an. Bacaan diperdengarkan oleh pembaca dan didengari oleh penonton. Di sekolah pula guru menerangkan ilmunya dan didengari oleh pelajar di dalam kelas. Di dalam majlis ceramah, penceramah memberi kuliahnya dan didengari oleh mereka yang hadir. Ini bermakna ilmu dibacakan dan sepatutnya diikuti dengan baik tetapi pemahamannya bergantung kepada pendengar. Ada yang boleh memahaminya dengan baik, ada yang memahaminya separuh sahaja dan ada yang tidak memahaminya langsung. Oleh itu ia perlu pergi ke proses seterusnya sama ada ta’lim atau tazkiyah.


Ta’lim (َيُعَلِّمُهُمُ )

Ta’lim adalah suatu konsep memastikan berlakunya pemahaman terhadap apa yang diajar. Konsep ini memerlukan pengajaran dan pembelajaran secara dua hala atau lebih. Pendekatan yang boleh diguna seperti perbincangan dalam kumpulan atau bengkel, tutorial, ujian atau peperiksaan, latihtubi dan banyak lagi teknik yang seumpama bergantung kepada kreativiti-kreativiti penyampai maklumat. Yang perlu dipastikan adalah pemahaman telah berlaku.

Fenomena disekolah sebagai contoh, markah ujian sejarah di dalam satu kelas yang mengandungi 30 orang pelajar adalah berbeza-beza walaupun mereka mendapat ilmu daripada seorang guru sejarah yang sama. Ini menunjukkan tahap pemahaman mereka yang berbeza dan mungkin juga usaha untuk memahamkan ilmu tersebut adalah berbeza-beza kesungguhannya.

Sebagai guru atau murrabi atau pendakwah sepatutnya mengikut saranan al-Qur’an bahawa setiap apa yang disampaikan perlu dipastikan ia betul-betul difahami oleh pelajar atau mad’u. Iaitu konsep mengajar sampai faham atau sampai pandai. Inilah konsep yang digunakan dalam Islam. Maka akan lahirlah para cendiakawan dan ilmuan.

Jika dirujuk kepada ayat di atas, Nabi Ibrahim a.s berdoa kepada Allah swt supaya diutuskan seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri مِّنۡہُمۡ ). Apa pengajarannya? Mengapa dari kalangan mereka sendiri?

Menurut sejarah, Nabi Ibrahim a.s adalah dari keturunan Iraq. Berkahwin dengan Sarah juga dari keturunan Iraq. Maka lahirlah Nabi Isyak a.s menjadi keturunan Iraq. Daripada Nabi Isyak a.s pula lahirlah Nabi Yaakob a.s dan seterusnya Nabi Yusuf a.s.

Nabi Musa a.s, Nabi Harun a.s dan sehinggalah Nabi Isa a.s adalah daripada keturunan Nabi Yaakob a.s. Mereka diutuskan kepada Bani Israil. Bila diteliti dengan baik, terdapat banyak cerita di dalam al-Qur’an berkenaan kisah Nabi Musa a.s. Ujian yang dihadapinya adalah sangat berat. Rasulullah saw pernah berdoa supaya Allah ‘azza wa jalla merahmati Nabi Musa a.s. Ada dua ujian besar yang dihadapi oleh Nabi Musa a.s. iaitu:

(1) Berhadapan dengan Fira’un. Pemimpin atau raja yang paling berkuasa, paling kejam dan paling jahat.

(2) Kaum Bani Israil yang sangat degil, sombong dan ego. Mereka payah beriman kepada ajaran Nabi Musa a.s. walaupun mereka telah melihat sendiri 9 mukjizat Nabi Musa a.s. sebagai bukti kenabian Nabi Musa a.s. Ketika Nabi Musa a.s meninggalkan mereka dalam tempoh yang tidak lama ke Bukit Tursina, mereka kemudian berpaling menyembah lembu yang diberi nama Samiri.

Ini memberi gambaran kepada kita bahawa bukanlah senang untuk menjadi seorang da’i. Banyak halangan dan dugaan yang akan dihadapi. Namun setiap usaha yang dibuat pasti mendapat ganjaran disisi Allah ‘azza wa jalla.

Manakala Nabi Ibrahim a.s juga berkahwin dengan Hajar dari keturunan Mesir. Hasil perkahwinan mereka lahirlah Nabi Ismail a.s. Nabi Ismail a.s pula berkahwin dengan wanita dari keturunan Arab yang menetap di Makkah sehingga melahirkan keturunan Arab. Nabi Muhammad saw adalah dari keturunan Nabi Ismail a.s yang berketurunan Arab. Selepas Nabi Ismail a.s, tiada lagi Nabi diutuskan sehinggalah kewujudan Nabi Muhammad saw di bumi Arab itu.

Ini bermakna, doa Nabi Ibrahim dikabulkan oleh Allah swt selepas 4 atau 5 ribu tahun kemudian. Itu doa seorang Nabi, jika kita bagaimana pula? Terpulanglah kepada Allah swt sama ada hendak memakbulkannya dengan segera atau lambat atau tidak dimakbulkan. Sebagai orang Mukmin perlulah beriman kepada qadha’ dan qadhar Allah swt. Meyakini bahawa setiap yang ditetapkan Allah swt keatas dirinya adalah yang terbaik. Allah ‘azza wa jalla mengahui tetapi kita tidak mengetahui ilmu-Nya. Malah perbuatan berdoa itu sendiri menunjukkan kerendahan dan pengharapan seorang hamba kepada Penguasanya. Perbuatan seperti ini adalah ibadah. Setiap ibadah pasti mendapat ganjaran pahala.

Kembali kepada persoalan mengapa Nabi Ibrahim a.s memohon supaya diutuskan seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri? Ini kerana apa yang hendak dibawa ialah pemahaman agama. Justeru itu adalah lebih berkesan dan mudah sekiranya ia dibawa oleh orang tempatan yang mengenali budaya dan bahasa setempat. Malah para da’i juga hendaklah memahami budaya tempatan dan duduk bersama mereka supaya pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih lunak dan menyelinap hingga ke kalbu.

Jika kita mengimbau kembali sejarah Islam di Acheh, seorang berbangsa Belanda bernama Dr.Snouck Hurgronje telah berjaya menembusi pengaruh Islam di Acheh. Sebelum ini, Acheh adalah satu-satunya daerah di Indonesia yang kebal dari penaklukan Belanda. Sehinggalah kehadiran Dr.Snouck Hurgronje dapat mempengaruhi dan mengubah pemikiran orang-orang Islam Acheh dan akhirnya Acheh berjaya dijatuhkan ketangan Belanda. Bagaimana Dr.Snouck Hurgronje melakukannya?

Dr. Snouck Hurgronje telah mengkaji budaya, peradaban, dan agama Islam sehingga sanggup masuk Islam dengan nama Abdul Ghaffar. Beliau juga pandai berbahasa Arab dan berkahwin dengan rakyat tempatan. Selama 16 tahun berada di sana, beliau berjaya mempengaruhi pemikiran orang Acheh dan akhirnya Belanda berjaya menakluki Acheh.(rujuk http://en.wikipedia.org/wiki/Christiaan_Snouck_Hurgronje)

Begitu juga pergerakan mubaligh Kristian di Sarawak. Mereka cuba mempelajari budaya dan bahasa tempatan seperti Iban, Kadayan dan yang lain. Akhirnya berjaya sehingga kini banyak gereja-gereja di Sarawak dan majoriti penduduk di Sarawak adalah penganut agama Kristian.

Jelas di sini, untuk mengaplikasi konsep mengajar sampai faham atau sampai pandai ini memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit.

Justeru itu, orang-orang yang bukan berbangsa Arab, untuk memahami al-Qur’an yang berbahasa Arab perlu berkorban mempelajari Bahasa Arab semata-mata cuba memahami secara mendalam isi kandungan al-Qur’an. Membaca terjemahan al-Qur’an adalah berbeza kefahamannya berbanding memahami Bahasa Arab yang unik itu. Ini sangatlah penting untuk menjadi seorang yang fiqh ad-Din kerana segala-gala rahsia Islam berada di dalam al-Qur’an.

Tazkiyah ( َ
وَيُزَكِّيہِمۡ‌ۚ )

Rasulullah saw terpaksa berhadapan dengan masyarakat Arab yang rosak budaya sosialnya. Masyarakat yang sukakan hiburan semata-mata, masalah zina, tipu menipu dalam jual beli, yang kaya menindas yang miskin, penyembahan bahala dan lain-lain masalah aqidah dan sosial. Menangani masyarakat yang rosak selama 4 hingga 5 ribu tahun memang sangat mencabar. Namun, berpandukan wahyu(al-Qur’an), Rasulullah saw yang berbangsa Arab dan mengetahui budaya masyarakatnya berjaya mengharungi onak dan duri sehingga melahirkan generasi Sahabat yang menyambung perjuangannya. Bagaimanakah ia dilakukan?

Al-Qur’an sebagai mu’jizat diturunkan untuk membaiki aqidah dan cara hidup Muslim. Memperolehi ilmu secara tilawah dan memahami ilmu secara ta’lim adalah tidak mencukupi untuk mengubah peribadi seseorang Muslim. Orang yang berilmu tidak semestinya beramal. Orang yang beramal tanpa ilmu pula adalah rugi dan sia-sia. Guru di sekolah boleh melahirkan pelajar yang pandai tetapi belum tentu berakhlak mulia. Ini kerana ilmu yang diperolehi tidak sampai ke hati. Maka ilmu yang ada tidak dapat mengubah peribadi pelajar.

Hadith Rasulullah saw;
 أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْب - رواه البخاري ومسلم
Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik, maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa itu adalah hati “. - (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika dilihat para sahabat di zaman Rasulullah saw, hampir 99% daripada mereka adalah buta huruf. Mereka tidak dapat membaca. Sementara itu, ramai juga dari kalangan sahabat ini keluar berjihad menentang musuh Islam. Maka masa untuk tilawah dan ta’lim adalah terhad. Namun mereka tetap hebat dengan tazkiyah. Apa yang ditazkiyahkan?

Mereka telah mentazkiyahkan perkara:

1. Menyucikan dan membersihkan Aqidah dari syirik kepada mentauhidkan Allah swt. Asal tauhid ialah ‘wahada’ yang bermaksud Esa. Nabi saw mengambil masa 13 tahun untuk mengukuhkan aqidah para sahabat.

2. Menyucikan, membersihkan, memperbaiki diri daripada akhlak yang tidak baik dan daripada amalan-amalan maksiat sebagaimana amalan jahiliyah.

3. Membersihkan dan menyucikan harta.

Tazkiyah Aqidah Dari Syirik

Bangsa Arab sebelum kedatangan Rasulullah saw telah membuat berhala daripada pelbagai bahan seperti kayu, batu, logam dan ada yang dibuat daripada buah kurma yang dibungkus. Mereka membuatnya sebagai patung penyembahan, ada yang selepas beribadah kemudian memakan semula patung yang dibuat daripada kurma apabila mereka rasa lapar. Ada yang dibuat untuk kebanggaan seperti patung raja-raja, para pahlawan dan ilmuwan semata-mata untuk mengingati sejarahnya yang baik agar dijadikan contoh. Ada pula membuatnya hanya sekadar sebagai perhiasan yang disimpan di dinding rumah, depan pintu rumah dan di halaman rumah. Kalau diperhatikan di zaman sekarang yang dikatakan sebagai zaman moden, terdapat patung-patung sebagai sembahan, tugu peringatan dan juga sebagai perhiasan. Mengejar wang, pangkat dan kemewahan sehingga membelakangkan Allah ‘azza wa jalla. Bukankah itu sama seperti aqidah zaman jahiliyah yang perlu ditazkiyahkan?

Arab jahiliyah juga ada yang mempercayai Allah swt mempunyai anak. Orang Yahudi mempercayai ‘Uzair adalah anak Allah. Orang Nasrani mempercayai Nabi Isa a.s adalah anak Allah. Manakala orang Musyrikin Arab mempercayai malaikat adalah anak Allah. Sehingga kini kepercayaan ini masih ada dan memerlukan tazkiyah.

Tazkiyah Akhlak

Telah disebutkan sebelum ini, orang Arab jahiliyah mempunyai akhlak yang teruk. Mereka merendahkan darjat wanita sehingga sanggup menguburkan anak perempuan hidup-hidup kerana menutup malu dan supaya tidak terhina dengan kelahiran anak perempuan. Amalan-amalan seperti minum arak, berjudi, bertilik nasib, anshab dan azlaam. Anshab ialah batu tempat penyembelihan kurban mereka yang dipuja-puja(seperti perkara khurafat). Azlaam pula anak panah yang tiada bulu dihujungnya digunakan untuk undian. Satu ditulis ‘lakukanlah’, satu ditulis ‘jangan dilakukan’ dan satu lagi tidak ditulis apa-apa kemudian diletakkan di dalam Ka’abah. Juru kunci Ka’abah diminta mengambil anak panah itu untuk melihat sama ada mereka perlu atau tidak melakukan pekerjaan yang dimaksudkan(seperti menilik nasib). Amalan-amalan seperti ini masih wujud disesetengah tempat. Sedangkan manusia diberikan akal fikiran oleh Allah swt untuk membuat pilihan berdasarkan ilmu dan syari’at. Akhlak dan amalan seperti inilah yang perlu ditazkiyahkan.

Tazkiyah Harta

Orang Arab jahiliyah sebelum kedatangan Rasulullah saw juga mengamalkan amalan riba seperti mengadakan sistem bunga dalam hutang piutang. Ini dipanggil sebagai riba nasiah. Manakala riba fadhli ialah mencampurkan suatu yang baik dengan yang tidak baik dalam jual beli atau seumpamanya. Sebagai contoh, menjual buah yang elok dicampur dengan yang busuk semasa timbangan. Menimbang emas yang dicampurkan dengan bahan pemberat yang lain untuk menipu timbangan. Ini semua perlukan tazkiyah supaya menjadi seorang yang jujur, amanah dan tidak menzalimi sesama manusia. Justeru zakat diwajib sebagai tazkiyah harta.

Jelas disini, tazkiyah hati sangat penting dalam perubahan hidup Muslim. Aqidah yang mantap akan melahirkan insan yang bermotivasi dan bermatlamat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt.

Maka dapat disimpulkan disini bahawa tilawah sepatutnya akan menarik kepada ta’lim dan tazkiyah. Apa-apa yang dibaca atau didengari mestilah difahami melalui pelbagai cara dan penyucian atau pembersihan hati mestilah berlaku. Perubahan akan dapat dilihat melalui pengamalan individu Muslim itu. Jika tiada ketiga-tiga konsep ini, maka tidak akan lahir orang yang beriman dan bertaqwa.

Timbul persoalan di dalam diri, bagaimana untuk mendapatkan atau melakukan tazkiyah? Tazkiyah adalah sebahagian daripada Tarbiyah( memperbaiki, memelihara, menjaga, mendidik, memimpin, meninggikan, menyempurnakan, menumbuhkan dan mengembangkan). Manusia mempunyai 3 elemen yang perlu ditarbiyahkan iaitu:

1. Akal. Akal manusia boleh ditarbiyah dengan ilmu. Ilmu menyebabkan akal dapat membezakan di antara baik dan buruk.

2. Jasad atau badan atau fizikal manusia. Tubuh manusia dapat ditarbiyah dengan perkara-perkara yang menyihatkan seperti makan makanan yang berzat dan melakukan senaman.

3. Hati. Hati nurani manusia dapat ditarbiyah dengan iman dan Islam. Proses mendapatkan iman dan Islam ini memerlukan pengorbanan yang memenatkan. Perlu bersedia untuk ‘at-tawissi’( dalam surah al-Asr, ‘at-tawissi’ bermaksud berpesan-pesan) yakni berpesan-pesan kepada kebenaran dengan kesabaran. Tidak semua orang boleh menerima teguran dan pesanan dengan hati yang terbuka. Oleh itu ta’aruf (mengenali orang yang hendak dipesan) adalah perlu untuk faham memahami antara satu sama lain(tafahum) dan diri sendiri juga perlu bersedia untuk ditegur dan dipesan-pesan. Kemudian sifat bantu membantu(takaful) perlu diwujudkan.

Kadang-kala wujud perdebatan apabila ditegur atau dinasihati. Teguran disambut dengan jawapan seperti;

“Engkau ni imam atau ustaz?” atau “Apa engkau ambil peduli? Kubur lain-lain…”

Mengapa ini boleh berlaku? Ini disebabkan tiada elemen ta’aruf dan tafahum diperingkat permulaan.

Bagaimana untuk membina ta’aruf, tafahum dan takaful? Untuk mewujudkannya perlu kepada kumpulan kecil atau kumpulan usrah yang duduk berbincang dalam iman dan istiqamah. Kumpulan ini merupakan asas kepada pembentukan tarbiyah. Ia seolah-olah seperti satu unit sel yang bersedia untuk bergabung dengan kumpulan mukmin yang lain membentuk tisu, organ dan seterusnya dapat berfungsi dalam keluarga, masyarakat dan Negara.

Terdapat 4 ayat dalam al-Qur’an yang menyebut perkataan tilawah, ta’lim dan tazkiyah:

1. Ayat 129 di dalam surah al-Baqarah di atas.

رَبَّنَا وَٱبۡعَثۡ فِيهِمۡ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَيُزَكِّيہِمۡ‌ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (١٢٩)
Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (129)

2. Ayat 151 di dalam surah al-Baqarah juga.

كَمَآ أَرۡسَلۡنَا فِيڪُمۡ رَسُولاً۬ مِّنڪُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡكُمۡ ءَايَـٰتِنَا وَيُزَكِّيڪُمۡ وَيُعَلِّمُڪُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِڪۡمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمۡ تَكُونُواْتَعۡلَمُونَ(١٥١)
(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat) dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui. (151)

3. Ayat 164 di dalam surah Ali-Imran.

لَقَدۡ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ إِذۡ بَعَثَ فِيہِمۡ رَسُولاً۬ مِّنۡ أَنفُسِهِمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَڪِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِڪۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ (١٦٤)
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (164)

4. Ayat 2 di dalam surah al-Jumu’a .

هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬ (٢)
Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (2)


Kita Penyambung Tugas Rasul

Tugas Rasul ialah:

1. Membacakan al-Kitab(al-Qur’an) – Tilawah.

2. Membersihkan Aqidah dan Akhlak. – Tazkiyah

3. Mengajarkan al-Kitab dan Hikmat – Ta’lim

Menurut 4 ayat di atas, proses pengajaran dan pembelajaran mestilah bermula dengan tilawah, kemudian diikuti dengan ta’lim dan tazkiyah. Boleh juga dimulakan dengan tilawah kemudian diikuti dengan tazkiyah dan ta’lim. Konsep ini boleh diaplikasi oleh pendakwah, da’i, murrabi maupun diri perseorangan itu sendiri.

Akhir kata, al-Qur’an adalah mu’jizat dan merupakan ni’mat yang tidak ternilai untuk orang-orang yang beriman. Dengan adanya al-Qur’an dan sunnah Rasulullah saw, generasi muktahir ini mampu mengikuti generasi sahabat dan tabi’in. Kuatkanlah azam dan tekad. Mohonlah restu dari Ilahi.Amin.

Wallahu’alam.

02 Mac 2012

4.17 Surah Az-Zalzalah - سُوۡرَةُ الزّلزَلة

Kegoncangan


Surah ke 99 : 8 ayat.

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


إِذَا زُلۡزِلَتِ ٱلۡأَرۡضُ زِلۡزَالَهَا (١) وَأَخۡرَجَتِ ٱلۡأَرۡضُ أَثۡقَالَهَا (٢) وَقَالَ ٱلۡإِنسَـٰنُ مَا لَهَا (٣) يَوۡمَٮِٕذٍ۬ تُحَدِّثُ أَخۡبَارَهَا (٤) بِأَنَّ رَبَّكَ أَوۡحَىٰ لَهَا (٥) يَوۡمَٮِٕذٍ۬ يَصۡدُرُ ٱلنَّاسُ أَشۡتَاتً۬ا لِّيُرَوۡاْ أَعۡمَـٰلَهُمۡ (٦) فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرً۬ا يَرَهُ ۥ (٧) وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ۬ شَرًّ۬ا يَرَهُ ۥ (٨)

Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, (1) Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, (2) Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): Apa yang sudah terjadi kepada bumi? (3) Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya: (4) Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). (5) Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. (6) Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (7) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!(8)


Perkaitan surah ini dengan surah al-‘Aadiyat

Surah al-‘Aadiyat , Allah swt mencela orang-orang yang ingkar kepada-Nya serta telah mencintai kehidupan dunia dan mengabaikan kehidupan akhirat dan tidak mempersiapkan diri mereka untuk kehidupan akhirat dengan amal kebajikan.

Al-‘Adiyat: 9 – 11, Allah swt memberi amaran dan peringatan dengan menggambarkan suasana yang akan disaksikan oleh semua manusia;

أَفَلَا يَعۡلَمُ إِذَا بُعۡثِرَ مَا فِى ٱلۡقُبُورِ (٩) وَحُصِّلَ مَا فِى ٱلصُّدُورِ (١٠) إِنَّ رَبَّہُم بِہِمۡ يَوۡمَٮِٕذٍ۬ لَّخَبِيرُۢ (١١)

(Patutkah dia bersikap demikian?) Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? (9) Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? (10) Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka pada hari itu.(11)

Di dalam surah az-Zalzalah ini, Allah swt menerangkan lebih lanjut tanda-tanda permulaan Qiamat dan hari itu manusia akan melihat sendiri hasil perbuatan mereka, baik atau buruk meskipun seberat zarah.


Latar Belakang Surah

Di dalam mashaf, juga menurut setengah-setengah riwayat, surah ini diturunkan di Madinah, tetapi di dalam riwayat-riwayat yang lain surah ini diturunkan di Makkah. Sayyid Qutb di dalam Tafsir Fi Zilal-nya mentarjihkan riwayat yang mengatakan surah ini diturunkan di Makkah kerana pokok persoalan dan gaya pengungkapannya menguatkan riwayat ini. Ibn Kathir juga menyatakan ia adalah surah Makiyyah.

Secara umumnya, ‘pattern’ ayat Madaniyyah jarang menceritakan khusus tentang akhirat sahaja. Selalunya ia akan menghubung kaitkan dengan kehidupan masyarakat Islam. Contohnya di dalam surah an-Nur, permulaan surah menceritakan kes tuduhan berzina. Maka Allah swt menurunkan ayat bagaimana untuk menyelesaikan masalah dan bagaimana sepatutnya sikap orang-orang Islam apabila menghadapi situasi sebegini. Kemudian Allah swt akan mengaitkan dengan perihal akhirat.

Manakala, ‘pattern’ ayat Makiyyah pula hanya menceritakan tentang akhirat secara khusus tanpa mengaitkan dengan kehidupan masyarat Islam dan hukum-hukum dalam Islam.

Di zaman Rasulullah saw, ayat-ayat seperti ini tidak akan didengari dan dipercayai oleh orang-orang kafir Quraisy. Sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Yassin:45-46,

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّقُواْ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيكُمۡ وَمَا خَلۡفَكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ (٤٥) وَمَا تَأۡتِيہِم مِّنۡ ءَايَةٍ۬ مِّنۡ ءَايَـٰتِ رَبِّہِمۡ إِلَّا كَانُواْ عَنۡہَا مُعۡرِضِينَ (٤٦)

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di hadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia ini) dan apa yang ada di belakang kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu beroleh rahmat, (mereka tidak mengindahkannya). (45) Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan Tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya). (46)

Oleh itu, untuk siapakah ayat-ayat ini diturunkan?

Sebenarnya ayat-ayat ini diturunkan oleh Allah swt untuk tatapan orang-orang yang beriman. Gambaran hari Qiamat seperti ini dapat menambahkan lagi keimanan mereka. Ayat- ayat al-Qur’an dapat menerangkan peristiwa-peristiwa yang akan berlaku seolah-olah ia sedang berlaku dan dapat dirasai oleh setiap pembacanya. Sebagai tindakbalas, orang-orang yang beriman akan lebih berwaspada dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai redha Allah swt.


Nama Surah dan Asbabun Nuzul

Az-Zalzalah diambil dari perkataan ‘زِلۡزَالَ ’ – kegoncangan/gegaran yang dasyat.

Diriwayatkan Ibnu Hatim, dari Sa’id bin Jabir, ia berkata, Tatkala turun surah al-Insan 76:8 ;

وَيُطۡعِمُونَ ٱلطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ مِسۡكِينً۬ا وَيَتِيمً۬ا وَأَسِيرًا (٨)

Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (8)

Kaum muslimin menganggap bahawa mereka tidak diberi pahala jika bersedekah dengan kuantiti yang sedikit, mereka juga beranggapan bahawa perbuatan dosa kecil seperti berbohong, mengumpat, atau memandang wanita cantik tidak akan mendapat balasan siksa. Mereka mengatakan bahawa Allah swt menyiapkan neraka adalah untuk pelaku dosa-dosa besar. Kemudian Allah menurunkan ayat 7 – 8 ini;
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!(7) Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!(8)

Nabi saw telah bersabda:
“Jauhilah dari api neraka walau dengan(menyedekahkan) secebis tamar. Sesiapa yang tidak memiliki apa-apa, maka ia(bersedekah dengan) mengucapkan kata-kata yang baik.” – HR Bukhari dan Muslim.

Orang-orang kafir pula kerap bertanya tentang hari Qiamat dan hari perhitungan. Mereka bertanya:

يَسۡـَٔلُ أَيَّانَ يَوۡمُ ٱلۡقِيَـٰمَةِ (٦)

“Bilakah datangnya hari Qiamat itu?” – (QS al-Qiyamah 75:6)

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَـٰذَا ٱلۡوَعۡدُ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ (٢٥)

“Bilakah datangnya (hari Qiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?” – (QS al-Mulk 67:25)

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَـٰذَا ٱلۡفَتۡحُ إِن ڪُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ (٢٨)

“Bilakah datangnya hari pembukaan(acara pengadilan) yang dikatakan itu……?” – (QS al-Sajadah 32:28)

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَـٰذَا ٱلۡوَعۡدُ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ (٤٨)

Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu). (48) –(QS yassin:48)

Pertanyaan-pertanyaan seperti ini adalah pertanyaan yang sombong. Maka, Allah swt menjelaskan kepada mereka tanda-tanda permulaan Qiamat sebagaimana di dalam surah az-Zalzalah.


Kelebihan Surah

Al-Tarmizi, Abu Daud dan al-Nasa’i telah meriwayatkan sebuah hadith dari ‘Abdullah Ibn ‘Amru katanya: Pada suatu hari seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw dan berkata: “Bacakan(ajarkan) kepada ku wahai Rasulullah.”
Sabda Rasulullah saw kepadanya: “Bacalah tiga surah yang bermula dengan huruf “ra.”
Lelaki itu berkata: “Usiaku telah lanjut, hatiku sudah keras(sukar menghafal) dan lidahku pula sudah sukar untuk mempelajari(surah-surah yang panjang).”
Sabda Baginda: “Bacalah tiga surah yang bermula dengan Hamim(حمٓ) .”
Lelaki tersebut mengulang semula alasannya yang pertama tadi.
Lantas Baginda bersabda: “Bacalah tiga surah yang bermula dengan tasbih.”
Namun lelaki berkenaan terus mengulang alasannya tadi dan berkata : “Tapi bacakan(ajarkan) kepadaku satu surah yang meliputi semua itu, wahai Rasulullah.”
Lalu Baginda pun membacakan kepadanya: “إِذَا زُلۡزِلَتِ ٱلۡأَرۡضُ زِلۡزَالَهَا ”
Selesai sahaja Baginda membacanya, beliaupun berkata(dengan puashati): “Demi yang mengutuskan anda sebagai Nabi dengan kebenaran. Aku tidak akan minta tambahan lebih dari ini selama-lamanya.” Kemudian lelaki itu pun beredar.
Sabda Rasulullah saw: “Berjayalah lelaki itu,berjayalah lelaki itu.”
Kemudian Baginda bersabda: “Panggilkan lelaki itu bertemu dengan ku.”
Lelaki itu pun datang semula bertemu dengan Rasulullah saw. Baginda berkata: “Aku telah diperintahkan(Allah) untuk merayakan hari(raya) korban, Allah menjadikannya sebagai hari raya bagi umat ini.”
Lelaki tersebut berkata: “Kalau saya hanya memiliki seekor kambing betina(manihah), apa pendapatmu? Bolehkah saya berkorban dengan kambing itu?”
“Tidak” jawab Baginda, “Memadailah engkau mencukur rambut, memotong kuku, mengandam misai dan mencukur bulu ari-ari. Itulah bentuk korbanmu yang sempurna di sisi Allah swt.”

Perkara ini berlaku sebelum dibolehkan berkorban dengan kambing betina. Seluruh mazhab fiqh mengharuskan seseorang muslim berkorban dengan kambing betina. Cuma yang lebih afdhal ialah kambing jantan.

Ada satu lagi kisah yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi, beliau menyatakan hadith ini hasan sahih. Hadith ini diriwayatkan dari Anas Ibn Malik: Pada suatu hari Rasulullah saw bertanya kepada salah seorang lelaki dari kalangan para sahabat; “Adakah kamu sudah berkahwin?”
Lelaki tadi menjawab: “Belum lagi, wahai Rasulullah. Aku tidak mempunyai apa-apa untuk berkahwin.”
Sabda Baginda: “Bukankah kamu memiliki(boleh membaca) قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ?”
“Ya.” Jawab lelaki itu.
Sabda Baginda: “Itu sepertiga al-Qur’an.”
Sabda Baginda lagi: “Bukankah kamu memiliki إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ ?”
Katanya: “Ya.”
Sabda Baginda: “Itu adalah seperempat al-Qur’an.”
Sabda Baginda lagi: “Bukankah kamu ada قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ ?”
“Benar.” Jawab lelaki tersebut.
Sabda Baginda: “Itu adalah seperempat al-Qur’an.”
Sabda Baginda: “Bukankah kamu ada إِذَا زُلۡزِلَتِ ٱلۡأَرۡضُ ?”
Jawabnya: “Ya.”
Sabda Baginda:Itu pula adalah seperempat al-Qur’an, (jadi pergilah) berkahwin.”


Penerangan Ayat

Ayat 1

إِذَا زُلۡزِلَتِ ٱلۡأَرۡضُ زِلۡزَالَهَا (١)

Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedasyat-dasyatnya,(1)

Inilah gambaran yang digambarkan kepada orang-orang Mukmin tentang permulaan kejadian Qiamat. Gaya Bahasa Arab yang unik mampu menterjemahkan bait-bait ayat kepada peristiwa yang dapat dirasai dan dapat digambarkan di dalam kotak fikiran sesiapa yang memahaminya.

Apabila sangkakala ditiup pada kali pertama, Bumi dan segala isinya akan musnah. Sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Yassin:49-50

مَا يَنظُرُونَ إِلَّا صَيۡحَةً۬ وَٲحِدَةً۬ تَأۡخُذُهُمۡ وَهُمۡ يَخِصِّمُونَ (٤٩) فَلَا يَسۡتَطِيعُونَ تَوۡصِيَةً۬ وَلَآ إِلَىٰٓ أَهۡلِهِمۡ يَرۡجِعُونَ (٥٠)

Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing). (49) Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya) dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya. (50)

إِذَا زُلۡزِلَتِ - "Apabila bumi digegarkan"

Bumi akan digoncang, digegarkan sehingga semua yang ada diatasnya termasuk bangunan-bangunan runtuh musnah . Bumi digegarkan oleh siapa? Siapakah pembuatnya? Jawapannya ialah Allah Azza Wajalla.

ٱلۡأَرۡضُ زِلۡزَالَهَا – "dengan gegaran yang sedasyat-dasyatnya"

Goncangan Allah, gegaran Allah dan gempa Allah adalah goncangan, gegaran dan gempa yang sangat dasyat. Tiada yang sedasyat ini sebelum dan selepas daripada ini. Setiap penjuru bumi merasai gegaran ini, tiada yang terkecuali. Bagaikan sebiji batu dibalingkan ke dalam air, riak kocakkan air terasa disekelilingnya.

Allah swt berfirman dalam surah al-Haj : 1

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّڪُمۡ‌ۚ إِنَّ زَلۡزَلَةَ ٱلسَّاعَةِ شَىۡءٌ عَظِيمٌ۬ (١)

Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. (1)

Surah al-Waqi’ah: 4

إِذَا رُجَّتِ ٱلۡأَرۡضُ رَجًّ۬ا (٤)

(Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan. (4)

Akibat daripada itu, manusia terhuyung-hayang seperti dalam keadaan mabuk. Tangan tergapai-gapai untuk berpaut kepada sesuatu untuk meneguhkan kedudukannya. Tetapi, diwaktu itu tiada apa yang yang teguh. Gunung-ganang dan bukit-bukau turut berterbangan, hancur dan tiada satu pun yang kekal utuh.

Seorang ibu yang mengandung akan gugur kandungannya. Ibubapa tidak lagi menghiraukan anak-anaknya. Adik-beradik dan sanak saudara tidak lagi tolong- bertolongan antara satu sama lain. Masing-masing sibuk dengan keadaan masing-masing. Masing-masing ingin menyelamatkan diri masing-masing.


Ayat 2

وَأَخۡرَجَتِ ٱلۡأَرۡضُ أَثۡقَالَهَا (٢)

Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,(2)

Kemudian tiupan sangkakala kedua berbunyi, perut bumi tidak sabar lagi untuk mengeluarkan segala bebanannya yang berat. Bukan gunung, bukit-bukau atau pokok-pokok besar yang membebankannya. Selama ini dia bersabar dengan perintah Allah swt supaya menyimpan semua bebanan seperti bahan logam termasuk emas, perak, intan berlian, bahan bakar seperti minyak yang semuanya ketika ini menjadi rebutan manusia.Tetapi di ketika itu, semuanya tidak diendahkan dan tubuh manusia yang kaku menjadi mayat turut dihamburkan keluar. Itulah bebanan berat bagi perut Bumi. Allah swt telah memberi keizinan kepadanya untuk mengeluarkan semua khazanah yang membebankannya.

Sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Yassin:51,

وَنُفِخَ فِى ٱلصُّورِ فَإِذَا هُم مِّنَ ٱلۡأَجۡدَاثِ إِلَىٰ رَبِّهِمۡ يَنسِلُونَ (٥١)

Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya. (51)

Muslim dan at-Tarmizi meriwayatkan dari Abu Hurairah katanya Rasulullah saw bersabda;

“Bumi akan memuntahkan seluruh khazanahnya yang mahal seperti bongkahan emas dan perak. Lalu tampillah orang yang membunuh dan dia berkata: ‘Aku membunuh disebabkan (barang) ini.’ Kemudian tampil pula orang yang memutuskan silaturahim dan dia berkata: ‘Aku memutuskan silaraturahim kerana (barang) ini.’ Seterusnya tampil pula orang yang mencuri dan dia berkata: ‘Tanganku dipotong kerana (mencuri barang) ini.’ Akhirnya semua mereka meninggalkan bongkahan tersebut tanpa mengambilnya sedikitpun.”

Firman Allah swt di dalam surah al-Insyiqaq: 3-4,

وَإِذَا ٱلۡأَرۡضُ مُدَّتۡ (٣) وَأَلۡقَتۡ مَا فِيہَا وَتَخَلَّتۡ (٤)

Dan apabila bumi diratakan, (3) Serta mengeluarkan apa yang di dalamnya dan menjadi kosong, (4)

Firman Allah swt di dalam surah Yassin:12

إِنَّا نَحۡنُ نُحۡىِ ٱلۡمَوۡتَىٰ وَنَڪۡتُبُ مَا قَدَّمُواْ وَءَاثَـٰرَهُمۡۚ وَكُلَّ شَىۡءٍ أَحۡصَيۡنَـٰهُ فِىٓ إِمَامٍ۬ مُّبِينٍ۬ (١٢)

Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata. (12)


Ayat 3

وَقَالَ ٱلۡإِنسَـٰنُ مَا لَهَا (٣)

Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): Apa yang sudah terjadi kepada bumi?(3)

Dikala itu, manusia yang musyrik akan merasa gerun dan kaget. Mereka tertanya-tanya; مَا لَهَا “ Eh apa ni?” , “Apa sudah berlaku?” , “Kenapa jadi begini?”

Sebelum ini mereka pernah melihat kejadian gempabumi, Tsunami, Puting beliung dan beberapa kejadian bencana alam. Ianya memang teruk dan menakutkan. Tetapi……tidaklah setanding dengan yang ini. Ianya maha dasyat. Memang tidak terbayang dan terfikir di dalam kotak fikiran bahawa akan berlaku peristiwa sedasyat ini.

Di dalam surah al-Qiyamah : 7-10

فَإِذَا بَرِقَ ٱلۡبَصَرُ (٧) وَخَسَفَ ٱلۡقَمَرُ (٨) وَجُمِعَ ٱلشَّمۡسُ وَٱلۡقَمَرُ (٩) يَقُولُ ٱلۡإِنسَـٰنُ يَوۡمَٮِٕذٍ أَيۡنَ ٱلۡمَفَرُّ (١٠)

Maka (jawabnya: Hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terbelalak (kerana gerun takut), (7) Dan bulan hilang cahayanya, (8) Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama, (9) (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): Ke manakah hendak melarikan diri? (10)

Mereka mula kebingungan. Bulan dan matahari kehilangan cahayanya, penggantian siang dan malam tidak berlaku lagi. Alam keseluruhannya berubah. Mereka tertanya-tanya; dimanakah tempat untuk melarikan diri dan berlindung?

Manakala orang yang beriman pula akan berkata; Inilah yang telah dijanjikan Allah swt. Sungguh benarlah apa yang dikatakan. Hari inilah hari yang ditunggu-tunggu. Iaitu hari pembalasan bagi orang yang beriman dan beramal soleh. Juga hari pembalasan bagi orang-orang musyrik dan yang ingkar dengan Tuhannya. Sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Yassin : 52

هَـٰذَا مَا وَعَدَ ٱلرَّحۡمَـٰنُ وَصَدَقَ ٱلۡمُرۡسَلُونَ

Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul.


Ayat 4



يَوۡمَٮِٕذٍ۬ تُحَدِّثُ أَخۡبَارَهَا (٤)

Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya:(4)

Pada hari itu, Bumi akan mendedahkan segala rahsia perbuatan manusia. Dia menjadi saksi. Setiap detik dan setiap saat dia melihat gelagat manusia. Ada perbuatan baik dan ada perbuatan jahat.
Ibnu ‘Abbas berkata; “Allah berfirman kepada bumi: “katakan”. Lalu bumi pun boleh bertutur.”

Imam Ahmad, al-Tarmizi dan al-Nasa’i(lafaz hadith ini telah menurut periwayatan al-Tirmizi) dari Abu Hurairah katanya; “Pada suatu hari Rasulullah saw membaca ayat يَوۡمَٮِٕذٍ۬ تُحَدِّثُ أَخۡبَارَهَا
Kemudian Baginda bersabda: ‘Adakah kamu tahu apakah khabar berita bumi?’
Mereka berkata; ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’
Sabda Baginda: ‘Khabar beritanya ialah kesaksiannya ke atas setiap orang lelaki dan perempuan terhadap segala perbuatan yang dilakukan di atas permukaannya. Ia berkata: ‘Sifulan telah melakukan sekian sekian, pada hari sekian sekian.’ Itulah (maksud) khabarnya.”


Al-Tabari berkata: “Penyataan ini adalah simbolik, maksud sebenarnya bumi bertutur berdasarkan lisan al-hal(reality) bukannya dengan pertuturan lidah."

Jumhur ulama’ berpendapat bahawa Allah swt (pada masa itu) menjadikan bumi seperti haiwan yang berakal dan boleh bertutur. Ia menjelaskan semua perkara yang dilakukan di atas permukaannya. Ia menjadi saksi bagi orang yang ta’at dan bagi orang yang derhaka. Rasulullah saw telah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dari Abu Hurairah;
“Sesungguhnya bumi akan menceritakan setiap amalan yang dilakukan diatasnya pada hari Qiamat nanti.” Kemudian Rasulullah saw pun membaca ayat يَوۡمَٮِٕذٍ۬ تُحَدِّثُ أَخۡبَارَهَا

Ibn Majah meriwayatkan dari Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah saw bersabda;

“Jika ajal seseorang itu di suatu tempat, pasti akan wujud keperluan yang akan membuatkannya pergi ke sana. Apabila sakitnya sudah sampai ke kemuncaknya, nyawanya akan dicabut oleh Allah. Bumi akan berkata pada hari Qiamat: ‘Wahai Tuhanku, inilah amanah yang Engkau perintahkan aku menyimpannya dahulu.”

Firman Allah swt di dalam surah Yassin:52

قَالُواْ يَـٰوَيۡلَنَا مَنۢ بَعَثَنَا مِن مَّرۡقَدِنَاۜ‌ۗ هَـٰذَا مَا وَعَدَ ٱلرَّحۡمَـٰنُ وَصَدَقَ ٱلۡمُرۡسَلُونَ (٥٢)

(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,, (Lalu dikatakan kepada mereka): Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul. (52)


Ayat 5

بِأَنَّ رَبَّكَ أَوۡحَىٰ لَهَا (٥)

Bahawa Tuhanmu telah memerintahkannya (berlaku demikian).(5)

Apabila tiba masanya, Allah swt mengarahkan Bumi untuk melakukan semua ini. Bumi adalah makhluk Allah Ta’ala yang patuh(Islam). Semua makhluk selain dari manusia dan jin adalah Islam. Mereka patuh dan tunduk kepada Allah Azza Wajalla.(Rujuk Muqadimah Fi Zilal: 3.6 Harakat Manusia Dan Alam Buana, subtopik; 2.0 a. Kepatuhan Alam Buana Terhadap Allah.)

Allah swt berfirman di dalam surah al-Insyiqaq:2,

وَأَذِنَتۡ لِرَبِّہَا وَحُقَّتۡ (٢)

“Dan ia telah mematuhi perintah Tuhannya dan memang kewajipannya mematuhi perintah.”

Surah ali-Imran:83

أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُ ۥۤ أَسۡلَمَ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعً۬ا وَڪَرۡهً۬ا وَإِلَيۡه يُرۡجَعُونَ (٨٣)

Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, samada dengan sukarela ataupun terpaksa dan kepadaNyalah mereka dikembalikan. (83)

Bumi menghamburkan khazanahnya, kemudian berkata-kata menjadi saksi kepada perbuatan manusia. Semua ini adalah suruhan Allah Azza Wajalla. Dia patuh dengan arahan ini kerana bumi adalah makhluk yang patuh kepada perintah Tuhannya.


Ayat 6

يَوۡمَٮِٕذٍ۬ يَصۡدُرُ ٱلنَّاسُ أَشۡتَاتً۬ا لِّيُرَوۡاْ أَعۡمَـٰلَهُمۡ (٦)


Pada hari itu manusia akan keluar dengan berbagai-bagai keadaan (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amalan-amalan mereka.(6)

Sedang manusia dalam keadaan bingung, kaget, cemas, kacau-bilau dan termengah-mengah, sangkakala terakhir berbunyi. Secara tidak disedari mereka telah pun berada di dalam situasi Mahsyar, Hisab, Timbangan amalan dan Balasan.

Firman Allah swt di dalam surah Yassin:53

إِن ڪَانَتۡ إِلَّا صَيۡحَةً۬ وَٲحِدَةً۬ فَإِذَا هُمۡ جَمِيعٌ۬ لَّدَيۡنَا مُحۡضَرُونَ (٥٣)

Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta-merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan). (53)

Firman Allah swt di dalam surah al-Qamar: 7,

خُشَّعًا أَبۡصَـٰرُهُمۡ يَخۡرُجُونَ مِنَ ٱلۡأَجۡدَاثِ كَأَنَّہُمۡ جَرَادٌ۬ مُّنتَشِرٌ۬ (٧)

(Pada saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran. (7)

Akan kelihatan seluruh manusia dari semua generasi serentak bangkit,

Surah Qaf : 44,

يَوۡمَ تَشَقَّقُ ٱلۡأَرۡضُ عَنۡہُمۡ سِرَاعً۬ا‌ۚ ذَٲلِكَ حَشۡرٌ عَلَيۡنَا يَسِيرٌ۬ (٤٤)

Pada hari bumi terbelah-belah untuk mereka segera keluar (daripadanya). Perbuatan (menghidupkan dan) menghimpunkan mereka di Padang Mahsyar itu, mudah bagi Kami melaksanakannya. (44)

Masing-masing menuju ke Masyar tanpa menoleh ke kiri-kanan dan di sekeliling mereka.

Surah al-Qamar : 8,

مُّهۡطِعِينَ إِلَى ٱلدَّاعِ‌ۖ يَقُولُ ٱلۡكَـٰفِرُونَ هَـٰذَا يَوۡمٌ عَسِرٌ۬ (٨)

Masing-masing dengan cepatnya menuju kepada penyeru itu. (Pada saat yang demikian), orang-orang yang kafir berkata: Hari ini ialah hari yang amat sukar! (8)

Leher mereka memanjang dan mata mereka terbelalak. Keadaan yang tidak dapat digambarkan dengan ungkapan bahasa, menunjukkan betapa dasyatnya ketika itu.

Surah ‘Abasa : 37

لِكُلِّ ٱمۡرِىٍٕ۬ مِّنۡہُمۡ يَوۡمَٮِٕذٍ۬ شَأۡنٌ۬ يُغۡنِيهِ (٣٧)

Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. (37)

Manusia juga ketika itu disibukkan dengan perasaan takut, bimbang dan kesal di atas perbuatan mereka sendiri. Tertunduk malu untuk melihat sendiri perbuatan keji yang telah dilakukannya. Tambahan lagi setiap perbuatan keji itu akan diperlihatkan pula kepada khalayak ramai dan dihadapan Rabbul-Jalil Yang Maha Agung. Aduh……!Macam mana ni…….Alamak……malunya……tidak terkata! Ini adalah satu hukuman yang menakutkan.

Rasulullah saw bersabda;
“Pada hari Qiamat setiap seorang akan menyalahkan diri mereka sendiri. Jika dia seorang yang baik dia akan berkata: Kenapakah aku tidak menambahkan kebaikanku? Jika dia bukan orang yang baik dia akan berkata: Kenapakah aku tidak meninggalkan maksiat?”

Surah Yassin:32

وَإِن كُلٌّ۬ لَّمَّا جَمِيعٌ۬ لَّدَيۡنَا مُحۡضَرُونَ (٣٢)

Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan). (32)

Rasulullah saw pernah bersabda;
Di Mahsyar keadaan manusia paling sedih, berkaki ayam, bertelanjang bogel, rambut yang tidak bersikat dan tidak berkhitan.

Di dalam tafsir Fi Zilalil Qur’an ada menyebut; Mereka beratur dalam barisan-barisan, lalu perhimpunan pengadilan diadakan dalam sekelip mata dan sepantas bunyi gema keputusan Ilahi yang tertinggi mengenai perhimpunan, hisab dan balasan diumumkan kepada sekalian hadiran:

Surah Yassin:54

فَٱلۡيَوۡمَ لَا تُظۡلَمُ نَفۡسٌ۬ شَيۡـًٔ۬ا وَلَا تُجۡزَوۡنَ إِلَّا مَا ڪُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ (٥٤)

Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan. (54)


Ayat 7 – 8

فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرً۬ا يَرَهُ ۥ (٧) وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ۬ شَرًّ۬ا يَرَهُ ۥ (٨)

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!(7) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!(8)

Rasulullah saw menamakan ayat ini (ayat 7 – 8): ……..فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ - Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah..... Sebagai al-jami’ah al-fazzah(rumusan serba lengkap), apabila Baginda ditanya tentang zakat keldai, Baginda bersabda: “Allah tidak menurunkan mana-mana ayat mengenainya melainkan ayat al-jami’ah al-fazzah ini.”

Ibn Mas’ud berkata ayat ini adalah ayat yang paling muhkam (tegas) di dalam al-Quran. Manakala Ka’ab al-Ahbar berkata: Allah swt telah menurunkan dua ayat kepada Muhammad saw yang menerangkan segala kandungan Taurat, Injil, Zabur dan lembaran-lembaran lain.

Perkataan ذَرَّةٍ diberi penafsiran sebagai suatu benda yang sangat kecil. Ada yang menafsirkannya sebesar lalat, ada yang menafsirkan sebesar semut, dan ada yang menafsirkan sebesar habuk yang kelihatan apabila matahari terpancar pada udara. Mengikut kefahaman zaman kini ia adalah kecil sekecil atom. Amalan baik atau buruk sekecil atom pun akan di ambil kira dan akan diberi balasan. Ini kerana neraca yang digunakan oleh Allah swt adalah neraca yang tiada tolok bandingnya di dalam dunia.

Firman Allah swt di dalam surah al-Anbiya’ : 47,

وَنَضَعُ ٱلۡمَوَٲزِينَ ٱلۡقِسۡطَ لِيَوۡمِ ٱلۡقِيَـٰمَةِ فَلَا تُظۡلَمُ نَفۡسٌ۬ شَيۡـًٔ۬ا‌ۖ وَإِن ڪَانَ مِثۡقَالَ حَبَّةٍ۬ مِّنۡ خَرۡدَلٍ أَتَيۡنَا بِہَا‌ۗ وَكَفَىٰ بِنَا حَـٰسِبِينَ (٤٧)

Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung) dan cukuplah Kami sebagai Penghitung. (47)

Hati-hati orang mukmin akan tetap tersentuh dan tergetar dengan amalan-amalan yang kecil sama ada baik atau buruk. Tetapi ada juga orang yang tidak merasai apa-apa dengan perbuatan keji mereka walaupun perbuatan itu memusnahkan bumi Allah swt ini. Hati itu adalah hati yang degil. Hati seperti itu akan hancur luluh di hari Pembalasan kelak.

Firman Allah swt di dalam surah al-Kahfi : 49,

وَوُضِعَ ٱلۡكِتَـٰبُ فَتَرَى ٱلۡمُجۡرِمِينَ مُشۡفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَـٰوَيۡلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا ٱلۡڪِتَـٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً۬ وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحۡصَٮٰهَا‌ۚ وَوَجَدُواْ مَا عَمِلُواْ حَاضِرً۬ا‌ۗ وَلَا يَظۡلِمُ رَبُّكَ أَحَدً۬ا (٤٩)

Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun. (49)

Surah Qaf : 4,

قَدۡ عَلِمۡنَا مَا تَنقُصُ ٱلۡأَرۡضُ مِنۡہُمۡ‌ۖ وَعِندَنَا كِتَـٰبٌ حَفِيظُۢ (٤)

(Apa yang mereka katakan itu tidaklah benar, kerana) Kami sedia mengetahui apa yang dimakan oleh bumi sedikit demi sedikit dari (tubuh orang mati) mereka, serta ada di sisi Kami sebuah Kitab yang menyimpan (catatan segala perkara yang berlaku). (4)

Rasulullah saw bersabda;
“Jangan kamu memandang rendah terhadap kebaikan sekalipun (kebaikan tersebut) hanya dengan kamu menuangkan air dari baldi kamu ke dalam bekas orang yang meminta minuman atau sekalipun hanya dengan kamu bertemu kawan kamu dalam keadaan tersenyum kepadanya.” – HR Bukhari

Rasulullah saw juga ada bersabda;
“Wahai para wanita beriman, janganlah seorang jiran itu memandang rendah (untuk memberi pemberian kepada) jirannya sekalipun (pemberiannya) hanyalah sekadar kaki kambing.” – HR Bukhari

Di dalam al-Tarikh serta al-Nasa’I dari Hawwa’ binti al-Sakan menyatakan Rasulullah saw bersabda;
“Berilah kepada orang yang meminta walaupun hanya tapak kaki kambing yang telah dibakar (dilayur).” – HR Imam Ahmad dan Imam Bukhari.

Dari ‘Aisyah bahawa Rasulullah saw bersabda;
“Wahai ‘Aisyah berlindunglah dari api neraka walaupun dengan (bersedekah) secebis tamar, kerana ia dapat mengenyangkan orang yang lapar.” – HR Imam Ahmad.

Ibn ‘Abbas berkata;
“Setiap orang yang mukmin dan kafir yang melakukan amalan baik dan jahat, Allah swt akan memperlihatkan (balasan)nya kepada mereka. Orang-orang mukmin akan diampunkan kejahatan-kejahatannya dan diberi pahala terhadap kebaikan-kebaikannya. Sementara orang kafir akan ditolak segala kebaikannya dan akan diseksa berdasarkan kejahatan-kejahatannya.”

Adakah kita termasuk di dalam golongan orang mukmin? Ataukah kita sahaja yang mengaku mukmin tetapi disisi Allah swt masih belum. Oleh itu perlulah bermuhasabah diri sentiasa, pertingkatkan ilmu untuk menjadi orang mukmin yang benar-benar bertaqwa.

Maka rugilah orang-orang kafir sebagaimana firman Allah swt di dalam surah al-Furqan : 23,

وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٍ۬ فَجَعَلۡنَـٰهُ هَبَآءً۬ مَّنثُورًا (٢٣)

Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan. (23)

Oleh itu, amatlah penting setiap orang Islam mengukuhkan ‘aqidah mereka. Yakni memantapkan keimanan terhadap Rabbul Jamil supaya setiap ibadah yang dilakukan tidak menjadi sia-sia. Juga perlu diingatkan bahawa perkiraan Allah swt amat halus. Usah memandang remeh terhadap kebaikan dan kejahatan yang dilakukan walau sekecil manapun. Itulah kebimbangan orang-orang yang bertaqwa.


Pengajaran Yang Dapat Diambil

1. Gambaran Permulaan Qiamat ini diberi khusus kepada orang-orang Mukmin yang beriman oleh Allah swt supaya beringat-ingat dengan setiap perbuatan baik dan buruk mereka sementara masih hidup di atas muka bumi Allah Ta’ala ini.

2. Bumi adalah makhluk Allah swt yang patuh kepada perintah-Nya. Sekarang ini bumi sedang merekod apa sahaja tindak-tanduk manusia di setiap saat dan setiap detik. Rekod tersebut akan dibentangkan di muka pengadilan, dimana dirinya, khalayak ramai dan Allah Rabbul Jamil akan menyaksikan semua ‘recording’ tersebut.

3. Pada hari Pembalasan akan timbul penyesalan yang amat sangat. Orang Musyrik menyesal kerana tidak beriman, dan tidak mengindahkan seruan Islam. Manakala orang Mukmin menyesal kerana tidak beramal dengan amalan yang banyak. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya lagi. Nasi telah menjadi bubur. Kalau ingin mengubah keadaan, ubahlah sekarang. Selagi umur masih ada, selagi kudrat berupaya.

4. Orang yang tidak membaca dan bertadabur al-Qur’an tidak akan dapat maklumat penting ini. Inilah maklumat yang sangat berharga dari Pencipta yang sangat menyayangi hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Kasih sayang Allah swt itu melebihi kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Oleh itu, di dalam al-Qur’an, ayat peringatan seperti ini diulang-ulang supaya hamba-hamba-Nya tidak termasuk di dalam golongan yang rugi.

5. Perasaan takut dan bimbang sepatutnya wujud pada hati-hati orang beriman semasa membaca surah ini. Kemudian perasaan-perasaan itu bertukar dengan perasaan keinsafan yang akan menggerakkan anggota dan fikiran untuk beramal sebanyak yang mungkin dengan amalan baik walaupun ianya kecil. Seboleh mungkin mengelak dari berbuat kejahatan walaupun sedikit.

6. Perkiraan dosa dan pahala bukanlah secara pukal, tetapi kiraannya adalah berbentuk metrik(sangat detail). Dibimbangi di hari Hisab, timbangan kita berkurang 0.001 point untuk ke syurga. Maka akan timbul penyesalan yang amat sangat.

Sama seperti seorang pelajar, akan betul-betul ‘frust’ apabila mengetahui bahawa hanya 0.01 markah sahaja lagi untuk dia memasuki ke dalam kategori pelajar cemerlang. Terucap di dalam hatinya; “ Kenapalah aku tidak belajar rajin sikit lagi?” dengan wajah muram dan kecewa.

Oleh itu, buang jauh-jauh kata-kata seperti;

“Alah…………sikit je.” Tukar kepada “ Sikit je pun kena buat.”(untuk kebaikan) “Sikit je pun jangan buat.”(untuk kejahatan)

“Duduk di tepi syurga pun cukuplah.” Tukar kepada “Takut bau syurga pun tak dapat, inikan pula nak duduk di tepi syurga.”

“Cukup-cukup makan sudahlah.” Tukar kepada “Kena bersungguh-sungguh. Mesti yang terbaik. Allah melihat kesungguhan kita.”

Seorang Muslim mesti bersikap berhati-hati dan bersungguh-sungguh. Tidak mengambil pendekatan sambil lewa sahaja. Allah swt telah mengingatkan kita dengan surah al-‘Asr;

وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)

Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.(3)

Setiap saat dan setiap detik masa yang bergerak itu adalah nikmat ke atas setiap Mukmin. Oleh itu ia perlu dipergunakan sebaiknya dengan amalan yang soleh, bersabar untuk melaksanakan amal ma’ruf dan nahi mungkar serta beriman. Nikmat-nikmat ini akan dipersoalkan di hari Pembalasan kelak.(Rujuk Fikrah al-Qur’an; 4.12 surah al-Asr ,untuk penerangan)

7. Kenapa ayat-ayat peringatan seperti ini ditujukan khusus kepada orang-orang yang beriman, tidak kepada mereka yang tidak beriman?

Sudah jelas penjelasan Allah swt, peringatan bagi orang yang tidak beriman bagaikan mencurah air di daun keladi. Banyak mana peringatan yang diberi, mereka tetap tidak akan mengambil pengajaran.

Berbeza dengan orang-orang beriman. Ayat-ayat seperti ini akan menambah lagi keimanan mereka. Insaf dengan status mereka sebagai hamba. Merendah diri kepada Khaliknya. Beringat sementara hidup di dunia sebelum ajal datang menjemput. Kehidupan akhirat adalah kehidupan yang hakiki dan ia pasti akan datang bila tiba masanya.

Kenapa setengah orang Islam kini, tidak bertambah imannya apabila membaca al-Qur’an yakni peringatan-peringatan hari akhirat keatas mereka?

Sahabat Nabi saw seperti Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Umar r.a, Saidina Ali r.a dan lain-lainnya telah beriman(percaya dan yakin) kepada Allah Azza Wajalla sebaik sahaja Rasulullah saw menjadi Rasul. Kemudian wahyu turun sedikit demi sedikit mengikut keadaan suasana di ketika itu. Wahyu itu adalah ayat-ayat al-Qur’an yang telah dibacakan, telah memberi kekuatan dan petunjuk kepada mereka. Semakin hari, semakin bertambah keimanan mereka dengan pertambahan wahyu.

Orang Islam kini, mengenali al-Qur’an(wahyu) sebelum beriman. Membaca al-Qur’an sebanyak manapun tidak akan menambah iman mereka. Ini kerana, masih wujud keraguan di dalam hati-hati mereka kepada Allah swt. Akan wujud persoalan demi persoalan apabila hukum-hukum Allah swt diketengahkan. Banyak mana sekalipun peringatan diberi, tidak dapat menambah keimanan mereka.

Sebagai contoh mudah, lihatlah perbandingan dua nombor/angka berikut:

a. Angka 1 akan bertambah nilainya apabila berlaku pertambahan digit 0 ke atasnya.

1 + 000 = 1 000.

1 000 + 000 = 1 000 000

Semakin bertambah digit 0 , semakin bertambah nilai angka tersebut. Bagaimana jika angka tersebut dikira dalam perkiraan duit?

Dari RM1(Malaysia), 6 digit 0 ditambahkan akan menjadi RM1 000 000. (Banyak ni..)

Bagaimana dengan pahala?

Dari 1 unit pahala, 6 digit 0 ditambahkan akan menjadi 1 000 000 unit pahala.(Berlaku pertambahan pahala)

Begitu juga iman. Digit 1 adalah asas iman. Pertambahan wahyu/al-Qur’an( digit 0 ) akan menambah iman seseorang.

b. Angka 0 tidak akan bertambah nilainya apabila berlaku pertambahan digit 0 ke atasnya.

0 + 000 = 0 000

0 000 + 000 = 0 000 000

Sebanyak mana digit 0 ditambahkan, tidak akan mengubah apa-apa nilai kepada angka 0 itu. Ini kerana tiada digit 1 dipermulaannya.( digit 1 = iman )

Maka,

Dari RM0 ditambah 6 digit 0 akan menjadi RM 0 000 000 (tiada nilai langsung)

Dari 0 unit pahala, 6 digit 0 ditambahkan akan menjadi 0 000 000 unit pahala. (tiada pahala dibuat)

Oleh itu dapat disimpulkan bahawa;

Iman + Tadabur al-Qur’an + Tafakkur + Mujahadah + Melihat alam = Pertambahan iman. = Pertambahan pahala = Syurga.

Tiada iman + Tadabur al-Qur’an + Tafakkur + Muahadah + Melihat alam = Tiada iman = Tiada pahala = Amalan sia-sia = Neraka.

Fahamlah kita bahawa seseorang itu tidak akan bertambah imannya jika dirinya tiada iman. Apa yang dilihat di dalam Sains dan alam buana ini, tidak akan dapat menambah imannya. Melainkan dia beriman kepada Allah Ta’ala dahulu kemudian berlakulah pertambahan iman dengan pembuktian sains dan Teknologi.

Iman sangat berkait rapat dengan aqidah seseorang. Oleh itu amat penting di muhasabah semula sama ada aqidah kita itu adalah aqidah yang sebenar atau tidak. Kita sepatutnya berpegang kepada aqidah Sunnah Wal Jama’ah.

Wallahu’alam.

17 Februari 2012

4.16 Surah Al-Bayyina - سُوۡرَةُ البَیّنَ

(Bahagian 2 : Ayat 5 - 8)

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ‌ۚ وَذَٲلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ (٥) إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ وَٱلۡمُشۡرِكِينَ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ شَرُّ ٱلۡبَرِيَّةِ (٦) إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ خَيۡرُ ٱلۡبَرِيَّةِ (٧) جَزَآؤُهُمۡ عِندَ رَبِّہِمۡ جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ أَبَدً۬ا‌ۖ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ‌ۚ ذَٲلِكَ لِمَنۡ خَشِىَ رَبَّهُ ۥ (٨)

Dan mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan keta'atan kepada-Nya serta berpegang teguh dengan tauhid dan supaya mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Dan itulah agama yang benar (5). Sesungguhnya orang-orang kafir dari golongan Ahlil-Kitab dan kaum Musyrikin akan ditempatkan di dalam Neraka Jahannam di mana mereka hidup kekal abadi. Merekalah sejahat-sejahat makhluk (6). Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh, merekalah sebaik-baik makhluk (7). Balasan untuk mereka di sisi Tuhan mereka ialah taman-taman Syurga 'Adni yang mengalir di bawahnya berbagai-bagai sungai di mana mereka hidup kekal buat selama-lamanya. Allah telah redha terhadap mereka dan mereka telah redha terhadap Allah. Itulah balasan bagi orang yang takutkan Tuhannya (8).

Penerangan Ayat

Ayat ke-5

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ‌ۚ وَذَٲلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ (٥)

Dan mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan keta'atan kepada-Nya serta berpegang teguh dengan tauhid dan supaya mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Dan itulah agama yang benar(5).

Ayat ini memberikan satu tasawur ad-din dan konsep 'ibadah yang sebenar. Malah ia menerangkan tentang penawar kepada punca pertelingkahan. Yakni apabila keikhlasan kepada Allah dijelmakan 100% maka sikap ego dan kedegilan dapat dihapuskan.

Tujuan manusia hidup ialah untuk beribadah kepada Allah. Maka adalah perlu memahami konsep 'ibadah yang sebenar. `Ibadah mempunyai perkaitan yang rapat dengan `aqidah. Jika berlaku `gap' dalam pemahaman tentang `ibadah, maka akan ada `gap' juga dalam pemahaman tentang `aqidah. Adalah mustahil memahami `aqidah tanpa memahami konsep `ibadah yang sebenar.

Mengikut Abu A'la Al-Maududi, 'ibadah membawa maksud ketundukan kepada keagungan Allah dan menyerahkan kemerdekaan dan meninggalkan sifat melawan. Yakni menjadi hamba yang patuh kepada Allah. Seorang hamba semestinya akan merendahkan diri dan akan taat setia yang tidak berbelah bagi. Tiada yang diikuti/dipatuhi/ditakuti selain Allah. Ketaatan dan ketundukannya tidak tertakluk kepada masa. Akan taat pada setiap masa dan pada keseluruhan detik kehidupannya. Dia akan menerima arahan dan melakukan segala amalan. Meninggalkan segala larangan Allah. Kesemuanya dilakukan secara sukarela. Tidak mengharapkan ganjaran. Dia memuji dan memberikan ikrar bahawa Allah-lah Rabb dan Ilah.

Firman Allah dalam surah al-Fatihah 1:2 dan 5 (maksudnya)

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٢)إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥)

“Segala puji-pujian terpulang kepada Rabb yang memelihara seluruh Alam (2)”
“Hanya Engkau sahaja (Tuhan) yang kami sembah dan hanya kepada Engkau sahaja kami memohon pertolongan” (5)


Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah Rahimullah menjelaskan lima perkara penting dalam perhambaan kepada Allah:

1. Kecintaan kepada Allah
Asas kepada ibadah adalah kecintaan kepada Allah. Tiada yang lebih dicintai selain Allah; malah syarat kecintaan kepada perkara lain juga adalah kerana Allah.

2. Ketaatan dan ketundukan
Tiada ketaatan melainkan kepada Allah.

3. Keikhlasan
Matlamat/objektif ibadah adalah semata-mata untuk Allah. Tiada `secondary' motif. Dalam doa iftitah selalu dilafazkan ikrar ini “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, dan matiku, kuserahkan hanya kepada Allah”. Dia melakukan sesuatu amal bukan kerana riya', sum'ah (mencari kemasyuran diri) atau tujuan yang lain. Malah tidak mengharapkan pengiktirafan dan balasan.

4. Kepercayaan
Mempunyai keyakinan sepenuhnya kepada Allah. Yakin dan redha kepada Qadha' dan Qadar Allah. Semua yang datang dari Allah adalah yang terbaik untuk kita. Bersabar terhadap takdirnya; bersyukur atas ni'matnya dan bertawakal kepada-Nya.

5. Syarat perhambaan/ibadah
Ditentukan oleh Allah sepenuhnya. Bukan kita yang boleh mengatakan kita hamba Allah yang baik; tetapi Allah-lah yang menentukan samada amalan kita diterima atau tidak.

Ayat ke-5 ini merupakan satu kesimpulan kepada keseluruhan isi al-Qur'an. Ia menerangkan ciri-ciri agama yang benar; yakni ibadat kepada Allah yang Esa, mengikhlaskan `ibadah kepada Allah, menjauhi syirik dan pendokong-pendokongnya, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Pendeknya ciri agama yang benar ialah `aqidah yang bersih dalam hati. Dan `ibadat yang tulus ikhlas kepada Allah itu adalah jurubahasa yang menterjemahkan `aqidah itu. Barang siapa yang menegakkan asas-asas ini, bererti ia telah menegakkan iman. Inilah asas agama Allah yang menyeluruh, iaitu satu agama dan satu `aqidah yang dibawa oleh semua agama samawi dan diperjuangkan oleh para rasul silih berganti.

Ayat ke 6

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ وَٱلۡمُشۡرِكِينَ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ شَرُّ ٱلۡبَرِيَّةِ (٦)

Sesungguhnya orang-orang kafir dari golongan Ahlil-Kitab dan kaum Musyrikin akan ditempatkan di dalam Neraka Jahannam di mana mereka hidup kekal abadi. Merekalah sejahat-jahat makhluk(6).

Sesungguhnya orang-orang kafir telah menerima penerangan yang jelas dari para rasul yang terdahulu. Seterusnya Rasul terakhir, Nabi Muhammad s.a.w. membaca mesej Al-Qur'an dan menunjuk jalan `aqidah Islam yang mudah dan nyata. Ini bermakna mereka telah diberi peluang demi peluang, tempoh demi tempoh untuk beriman. Golongan kufur sebegini berlaku berulang-kali di dalam setiap generasi dan kaum, dalam setiap zaman dan tempat. Mereka tetap tidak menerima dan menyambut kebenaran itu walaupun sebanyak mana mereka melihat bukti-bukti hidayat dan petunjuk-petunjuk yang membangkit dan menyarankan keimanan.

Firman Allah dalam surah al-Araf 7:179

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ ڪَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ‌ۖ لَهُمۡ قُلُوبٌ۬ لَّا يَفۡقَهُونَ بِہَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٌ۬ لَّا يُبۡصِرُونَ بِہَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٌ۬ لَّا يَسۡمَعُونَ بِہَآ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡغَـٰفِلُونَ (١٧٩)

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi Neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai”.

Sesungguhnya, memilih iman bererti memilih keselamatan, sebaliknya tetap kufur bererti memilih kebinasaan.

Natijahnya, balasan dan nasib mereka yang kufur dijelaskan dalam ayat ke-6 ini. Ia merupakan ancaman kepada golongan kufur. Neraka Jahannam adalah hukuman muktamad yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Di dalam ayat ini, Allah mengancam orang kafir dengan tiga bentuk hukuman yakni:

1. Dihumban ke dalam neraka Jahannam yang bernyala-nyala
2. Kekal di dalam neraka buat selama-lamanya, tidak akan keluar darinya dan tidak akan mati.
3. Golongan kafir adalah sejahat-jahat makhluk kerana mereka mereka menolak kebenaran walaupun telah diberikan `al-Baiyyinah'. Ini adalah kerana perasaan keegoan dan hasad dengki yang bersebati dalam diri mereka.

Semua amalan kebaikan orang Kafir juga tidak diterima walaupun dipandang mulia dari neraca dunia. Firman Allah dalam Surah Ibrahim :18

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِرَبِّهِمۡ‌ۖ أَعۡمَـٰلُهُمۡ كَرَمَادٍ ٱشۡتَدَّتۡ بِهِ ٱلرِّيحُ فِى يَوۡمٍ عَاصِفٍ۬‌ۖ لَّا يَقۡدِرُونَ مِمَّا ڪَسَبُواْ عَلَىٰ شَىۡءٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلضَّلَـٰلُ ٱلۡبَعِيدُ (١٨)

“ Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang kufur ingkar terhadap Tuhannya, ialah seperti abu yang diterbangkan oleh angin pada hari ribut kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Sia-sia amalan itu ialah kesan kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran”

Ayat ke 7-8

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ خَيۡرُ ٱلۡبَرِيَّةِ (٧) جَزَآؤُهُمۡ عِندَ رَبِّہِمۡ جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ أَبَدً۬ا‌ۖ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ‌ۚ ذَٲلِكَ لِمَنۡ خَشِىَ رَبَّهُ ۥ (٨)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh, merekalah sebaik-baik makhluk (7). Balasan untuk mereka di sisi Tuhan mereka ialah taman-taman Syurga 'Adni yang mengalir di bawahnya berbagai-bagai sungai di mana mereka hidup kekal buat selama-lamanya. Allah telah redha terhadap mereka dan mereka telah redha terhadap Allah. Itulah balasan bagi orang yang takutkan Tuhannya (8).

Golongan Mu'min merupakan sebaik-baik makhluk jika mereka beriman dan mengerjakan amal soleh. Kesan-kesan keimanan terserlah dalam setiap detik kehidupannya. Bukan setakat beriman di dalam hati, malah amal soleh dikerjakan dengan sesungguhnya. Segala sesuatu yang disuruh Allah dilaksanakan, yang dilarang Allah ditinggalkan, budi pekertinya baik; dan dia bekerja serta bermu'amalah kerana Allah.

Seseorang mukmin walau apa pun keadaannya, berpotensi melakukan amal soleh mengikut kemampuan dan kefahaman (kefaqihan) terhadap ad-din. Yang berharta akan mudah untuk memberi seperti menginfa'kan hartanya di jalan Allah; sebaliknya yang fakir pula berusaha mencari rezeki, tidak meminta-minta dan berputus asa dari Rahmat Allah. Yang berilmu akan menyampaikan risalah Allah; sebaliknya orang awam tidak jemu-jemu untuk menimba ilmu. Pendeknya, setiap masa digunakan untuk ber'ibadah.

Bagi mendapatkan redha Allah, amal `ibadah itu hendaklah dikerjakan dengan kualiti yang tinggi kerana sesuatu kebaikan itu diukur mengikut kualitinya. Allah sentiasa menyebut di dalam al-Quran bahawa;

`....... hanya sedikit mereka yang beriman',

`.......... hanya sedikit di kalangan hamba-hamba-Ku yang pandai bersyukur'.

Oleh itu hendaklah `ibadah itu dilakukan secara khudhu' , rughbah, ruhbah, tazallul dan ikhlas. Mereka yang sedemikian adalah merupakan sebaik-baik makhluk.

(khudu' = merendahkan diri kepada Allah; rughbah = kemahuan sendiri dan gembira mengerjakannya; ruhbah =merasa ketakutan kepada Allah )

Orang-orang beriman dan beramal soleh akan memperolehi empat jenis ganjaran dari Allah yakni:
1. Mereka dipuji Allah sebagai sebaik-baik makhluk
2. Mereka dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.
3. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
4. Mereka mendapat keredhaan Allah. Allah meredhai amalan-amalan mereka.

Kenapakah syurga dikaitkan dengan air sungai yang mengalir-ngalir ? Mereka yang dengki kepada Islam mengatakan ia adalah satu omongan kosong untuk menghiburkan kaum `arab yang hidup di padang pasir yang panas dan kering. Namun jika kita amat-amati, tempat-tempat peranginan seperti pantai yang cantik dengan air yang biru, bersih, jauh dari pencemaran; tempat-tempat rehlah seperti kawasan berair terjun adalah menjadi tempat tumpuan manusia untuk bercuti dan beristirehat. Tempat-tempat sebegini mententeramkan jiwa mereka. Boleh dikatakan keinginan manusia adalah sama walaupun berbeza zaman, masa, tempat, bangsa dan warna kulit. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan benarlah firman Allah dan dustalah mereka yang memperkecilkan ayat-ayat Allah.

Taman-taman Syurga untuk kediaman yang kekal abadi dalam ni'mat-ni'matnya mengambarkan keamanan dan ketenteraman dari sebarang kegelisahan. Sungai-sungai yang mengalir di bawah Syurga menggambarkan suasana basah, damai, sejuk, segar dan indah. Orang beriman dan beramal soleh akan mendiami syurga selama-lamanya, tidak akan keluar dan berpindah darinya. Mereka tidak akan mati, bahkan akan berada di dalam keni'matannya secara berterusan mengecapi kelazatannya tanpa kesudahan.

Seterusnya Allah berfirman (maksudnya):
............. Allah telah redha terhadap mereka dan mereka telah redha terhadap Allah. Itulah balasan bagi orang yang takutkan Tuhannya (8).

Keredhaan dari Allah merupakan kemuncak segala ni'mat. Keredhaan mereka terhadap Allah ialah keredhaan terhadap qadha' dan qadar Allah ke atas mereka. Keredhaan terhadap limpah kurnia Allah dan terhadap hubungan hati dengan Allah yang menimbulkan rasa kepuasan hati dan jiwa yang tenang dan bersih. Hubungan hati ini juga membuahkan perasaan takut kepada Allah yang menjadi pendorong kepada segala yang baik dan penghalang dari segala penyelewengan. Mempunyai sifat ihsan yang tinggi dan merasakan Allah seolah-olah melihatnya. Dia merasai ihsan itu seperti yang diterangkan di dalam hadith Jibril yang terkenal;

“......... Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatnya, dan jika engkau tidak melihatnya, maka Dia melihat engkau”.

Bagaimanakah kita ingin mendapatkan perasaan ihsan dan takut kepada Allah sebagaimana sahabat-sahabat Nabi ? Hendaklah kita merenung firman Allah dalam surah Fatir 35:28

إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ (٢٨)……

“…….Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-hambaNya ialah ulama' (orang-orang yang berilmu)”

Para ilmuan yang mengenal Allah dengan makrifat yang hakiki. Mereka mengenal Allah dengan kesan-kesan penciptaan-Nya. Mereka memahaminya dengan kesan-kesan qudrat-Nya dan mereka menginsafi hakikat kebesaran-Nya. Lantaran itu mereka merasa takut, bertaqwa dan ber'ibadat kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Pengajaran dan pengiktibaran yang dapat diambil

1. Al-Baiyinnah sahaja tidak mencukupi. Hendaklah menerima al-Baiyinnah dengan matahati dan perasaan terbuka. Perasaan syak wasangka dan ego yang tinggi (arrogance) patut dijauhi.

2. Hidayah Allah hendaklah dicari. Allah meminta kita berusaha mencarinya. Ini adalah Sunnahtullah. Firman Allah dalam surah al-`Ankabut: 69.

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَا‌ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (٦٩)

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (69)

Allah akan memberi hidayat kepada mereka yang berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk mencari hidayat dan memberi kejayaan kepada mereka yang berusaha membersihkan dirinya. Sebaliknya, Allah akan menutup hati mereka yang menolak da'wah Islam.

3. Bersyukur dengan ni'mat Iman dan Islam. Kita adalah golongan terpilih yang telah diberi Hidayah Allah swt. Usah biarkan ia terlepas dari genggaman yang kuat.

4. Penyampai Risalah Allah hendaklah mendalami mesej-mesej Al-Qur'an dan mencontohi Rasulullah s.a.w. Perkara-perkara yang boleh menjadi fitnah kepada Islam dan halangan kepada da'wah Islamiyah haruslah dijauhi.

5. Menyedari bahawa kita juga boleh berpecah dan bertelingkah sebagaimana kaum Ahlil-Kitab. Perselisihan sesama manusia, baik yang berkaitan dengan urusan agama maupun urusan dunia boleh berlaku. Maka berusahalah untuk menjadi orang yang berilmu dan beriman agar jalan pemikiran, hala tuju, dan amalan kita mengikut neraca Al-Qur'an dan sunnah. Adab-adab dialog dalam Islam juga harus difahami.

6. Pemahaman konsep `ibadah akan memurnikan `aqidah dan membantu untuk ikhlas dalam ad-din dan keikhlasan ini adalah ubat kepada masalah hati seperti perasaan ria', `ego' dan `arrogance'.

7. Allah swt memuji dan redha kepada orang-orang mu'min yang berusaha meningkatkan kualiti pengabdiaannya kepada-Nya.


Wallahu'alam