Hanya Allah sahaja yang bersifat al-Haq; yakni Allah sahaja yang benar dan yang selain darinya adalah palsu belaka. Penumpuan ibadah hanyalah kepada Allah Yang Esa. Dialah yang berhak untuk disembah dan tidak ada sembahan yang sebenarnya kecuali Allah swt. Sifat al-Haq Allah dapat difahami jika kita mentadabbur ayat-ayat Al-Quran dan melihat alam al-wujud ini dengan matahati. Di dalam surah al-Luqman: 29-30 (maksudnya)
“Tidakkah Engkau lihat bagaimana Allah memasukkan malam hari ke dalam siang hari dan menundukkan matahari dan bulan, semuanya masing-masing beredar menuju ke satu masa tertentu dan sesungguhnya Allah amat mengetahui segala apa yang dilakukan kamu. Yang demikian ialah kerana Allah itulah Yang Benar/al-Haq dan segala apa yang mereka sembah selain dari-Nya itulah yang palsu dan Allah itulah Tuhan Yang Maha Tinggi dan Maha Besar.”
Ayat-ayat ini adalah merupakan dalil-dalil dan saksi-saksi uluhiyah Allah. Al-Quran mengemukakan bukti-bukti kekuasaan Allah yang terdapat dalam penciptaan siang dan malam, supaya manusia menyembah Allah Yang Maha Esa.
Jika diamat-amati, pemandangan masuknya hari malam ke dalam hari siang; dan masuknya hari siang ke dalam hari malam; juga peredaran matahari dan bulan serta perubahan musim merupakan satu pemandangan yang menakjubkan. Namun kebanyakan manusia tidak dapat merasainya dan melupakannya lantaran ia sesuatu yang terlalu biasa dilihat.
Al-Quran ingin menghidupkan dalam hati kita rasa ingin tahu (curiosity) sehingga mencetuskan kesedaran. Di sebalik peristiwa-peristiwa ini, terdapat rahsia pentadbiran Ilahi yang amat rapi. Tidakkah manusia terfikir bahawa peraturan-peraturan alam ini tidak pernah mungkir, menyimpang, kacau-bilau dan lewat walau sekalipun. Kesemuanya teratur rapi. Makhluk-makhluk Allah ini (siang, malam, matahari dan bulan) patuh beredar dan terus berjalan seperti yang dikehendaki oleh Penciptanya yakni Allah swt. Ia tidak terpesong dan tidak memilih untuk memberontak. Inilah yang dikatakan sebagai Islam Ijbari.
Peraturan itu menyaksikan bahawa Allah-lah sahaja yang benar. Segala sesuatu yang lain dari Allah adalah berubah dan bertukar ganti belaka. Mengalami perubahan, datang dan pergi, kuat dan lemah, ada selepas tiada dan sebagainya. Hanya Allah sahaja yang kekal abadi, tidak berubah, tidak bertukar dan tidak hilang.
Penciptaan siang-malam, bulan-matahari, dan segala kejadian di alam buana bukanlah sesuatu yang sia-sia dan bukan juga mainan kosong. Ia tidak berlaku secara kebetulan, malah seluruh peraturan dan keselarasan dan ketepatan pergerakan matahari dan bulan yang tidak pernah menyimpang walau satu harakat, adalah bukti ia tidak berlaku secara kebetulan. Allah itulah Tuhan yang al-Haq. Dialah yang mencipta, menegak, memelihara dan mentadbirkan alam buana ini.
Kegiatan berfikir pada kejadian-kejadian penciptaan Allah dan meneliti bukti-bukti uluhiyah di dalam Al-Quran merupakan satu ibadah kepada Allah dan zikir kepadanya. Namun hanya mereka yang beriman, bertaqwa dan berakal “Ulul-Albab' berupaya menyingkap rahsia-rahsia dan hakikat tersembunyi di dalam sistem hidup Ilahi. Kejadian-kejadian alam buana bukanlah diciptakan secara sia-sia dan palsu.
Alam buana ini mempunyai hakikat dan ia berjalan mengikut satu undang-undang dan bukannya dibiarkan berjalan tanpa peraturan. Allah telah menciptakan alam buana ini dengan kebenaran / al-Haq dan tidak bercampur-aduk dengan kebatilan dan kepalsuan:
“Allah tidak menciptakan semuanya melainkan dengan kebenaran / al-Haq” (Surah Yunus:5)
“Wahai Tuhanku! Tiadalah Engkau ciptakan semuanya ini sebagai palsu. Maha Sucilah Engkau! “ (Surah Aali `Imran:191)
Memahami al-Haq yang wujud dalam susun bentuk alam buana ini membawa erti disisi para Ulul-albab bahawa di sana ada taqdir dan tadbir Ilahi. Ada hikmat dan matlamat, ada kebenaran dan keadilan di sebalik kehidupan manusia di bumi ini, dan di sana pasti ada hisab dan balasan terhadap segala perbuatan yang telah dilakukan oleh manusia. Malah jelaslah di sana pasti ada sebuah alam lain dari alam ini, di mana dapat ditegakkan kebenaran dan keadilan dalam pembalasan.
Seterusnya Sayyid Qutb mengatakan ……. Al-Haq itulah yang menjadi tapak asas alam al-wujud ini dan apabila ia menyeleweng darinya ia akan rosak dan musnah.
Al-Haq (kebenaran) itu tidak mungkin berjalan seiringan dengan hawa nafsu manusia. Al-Haq (kebenaran) itulah yang menjadi tapak asas ditegakkan langit dan bumi, dan al-Haq (kebenaran) juga tegaknya undang-undang alam buana dan berjalannya seluruh peraturan segala isi alam dan penghuninya. Firman Allah dalam surah Mu’minun: 71 (maksudnya)
“Jika al-Haq itu mengikut hawa nafsu mereka, nescaya musnahlah langit dan bumi dan penghuni-penghuninya”
Al-Haq (kebenaran) itu hanya satu dan tetap teguh, sedangkan hawa nafsu itu banyak ragamnya dan berubah-ubah. Dengan lunas kebenaran inilah. Allah mentadbirkan seluruh alam buana. Undang-undang alam tidak pernah menyelewang. Andainya alam buana ini tunduk kepada keinginan hawa nafsu, maka seluruh alam buana ini musnah dan seluruh manusia juga musnah.
Islam menjadikan undang-undang hidup manusia sebagai sebahagian dari undang-undang alam buana yang dikendalikan, ditadbir dan diselaraskan oleh Allah. Makhluk manusia merupakan sebagian dari alam buana; maka amatlah wajar undang-undang hidup manusia ini diaturkan oleh Allah yang mengaturkan undang-undang alam buana ini dan mentadbirkannya dengan keselarasan yang mengkagumkan.
Agama Islam adalah agama al-Haq, yakni agama yang benar. Umat yang menerima dan patuh kepada agama Islam adalah umat yang mulia dan diredhai Allah. Sebaliknya, jika mereka meragukan kebenaran Allah, mengubah peraturan dan hukum-Nya serta membantah firman-Nya, maka mereka adalah di dalam golongan orang-orang yang batil dan kebatilan itu pasti akan lenyap.
Sayyid Qutb menghuraikan lagi maksud al-Haq …. Oleh sebab itulah al-Haq pasti menang dan kebatilan dan kepalsuan akan musnah. Walaupun keadaan-keadaan zahir nampaknya tidak begitu, namun akhirnya kebenaran akan tetap muncul dengan begitu ketara
“Malah Kami lontarkan kebenaran ke atas kepalsuan lalu ia mengalahkannya dan tiba-tiba kepalsuan itu terus lenyap” (Surah al-Anbia': 18)
Ayat ini menggambarkan bahawa al-Haq (kebenaran) akan dilontarkan kepada kebatilan yang menyebabkan kebatilan akan terhapus, musnah dan hilang. Kebatilan adalah sesuatu yang baru dan menyimpang dari sistem Ilahi dan tidak diredhai Allah.
Adakalanya manusia melihat realiti yang berlaku di depan mata tidak sama seperti yang Allah nyatakan di dalam Al-Quran. Pada setiap zaman dan waktu, kebatilan kelihatan berjaya mendominasikan suasana dan menonjolkan diri dengan sombong, sedangkan 'kebenaran' kelihatan menyembunyikan diri seolah-olah tewas. Pada hakikatnya ia hanya berlaku pada waktu tempoh tertentu sahaja. Tempoh ini dilanjutkan Allah mengikut iradat-Nya untuk menguji manusia.
Di zaman Fi Zilalil Qur’an ditulis (sebagian besarnya di tulis oleh Sayyid Qutb di Penjara Mesir), adalah sukar untuk membezakan di antara al-Haq (kebenaran yang datang dari Allah) dan al-Batil (kebatilan yang datang dari manusia dan syaitan). Penjajah dan Penguasa Mesir ketika itu mendoktrinkan pemikiran mereka terhadap rakyat. Perkara `batil’ menjadi tuan dan panduan yang harus ditaati. Sedangkan penduduk negeri asli yang Muslim menjadi asing dan tamu di negeri sendiri.
Antara Tauhid dan Syirik sukar dibezakan. Antara iman dan kufur sudah tidak banyak lagi dibicarakan. Antara hati nurani dan pemikiran yang haq dan hawa nafsu sudah samar. Antara cahaya dan kegelapan sudah tidak lagi menjadi perhatian. Bahkan antara Tuhan Pencipta (Allah) dengan sistem hidup manusia (seperti kapitalisme dan sosialisme) serta tradisi nenek moyang di anggap sama sahaja. Pemerintah dan penguasa-penguasa ketika itu dengan mudahnya memaksa umat Islam untuk menerima dan mengakui yang haq menjadi batil, dan yang batil menjadi hak, yang halal menjadi haram dan yang haram menjadi halal.
Lebih dari itu, para ulama dan para da’i yang menyuarakan al-Haq itu adalah Al-Haq dan al-Batil itu adalah al-Batil dimusuhi, dituduh dengan berbagai tuduhan yang mengerikan, lalu ditangkap, dipenjara dan bahkan Sayyid Qutb sendiri dibunuh di tiang gantung
Sesungguhnya pengarang Fi-Zilalil Quran, As-Syahid Sayyid Qutb telah menukilkan kata-kata yang mengambarkan pemahamannya yang mendalam terhadap al-Haq dan beliau mempertahankan al-Haq sehingga beliau syahid di tali gantung. Katanya “ Sesungguhnya telunjuk saya yang bersaksi dengan mengucap dua kalimat syahadat (Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad adalah Rasul-nya) minima lima kali dalam sehari (waktu shalat fardhu) tidak mungkin dia menandatangani atau menulis satu katapun yang menyebabkan saya berdekat-dekat dengan penguasa thaghut (zalim). Jika saya dihukum disebabkan karena al-Haq, maka saya redha berhukum dengan al-Haq. Namun jika saya dihukum dengan al-Batil (kebatilan) maka saya lebih besar dari meminta kasih sayang kepada kebatilan itu”
Tawaran dari Jamal Abdul Naser, Presiden Mesir ketika itu untuk mengampunkan Sayyid Qutb sekiranya menandatangani surat minta maaf yang telah disiapkan penguasa telah ditolak oleh Sayyid Qutb dengan tegas dengan mengucapkan kalimat di atas. Itulah yang dihadapi oleh Sayyid Qutb, yang merelakan hidupnya diakhiri di tiang gantung regim Jamal Abdul Naser demi mempertahankan isi dan kemuliaan Al-Qur’an. Subhanallah. Betapa kuat keimanannya dan kecintaannya kepada Allah swt. Dalam salah satu rangkap syair, Sayyid Qutb bersenandung :
Saudaraku….. engkau bebas merdeka di balik jeriji besi…
Saudaraku….. engkau bebas merdeka dengan belenggu ini…
Jika engkau benar-benar berlindung pada Allah….maka tipu daya budak-budak itu tidak akan mencelakakanmu..
Saudaraku…. Jika kita mati, bererti kita akan bertemu dengan para kekasih kita (Rasul, Sahabat dan orang-orang saleh)
Taman syurgawi Tuhanku sudah disiapkan untuk kita…..
Orang-orang beriman tidak pernah merasa ragu-ragu terhadap kebenaran janji Allah. Apabila Allah menguji mereka dengan kemenangan `kebatilan', maka mereka sedar bahawa Allah sedang mendidik mereka untuk mengatasi kelemahan atau kekurangan yang terdapat dalam jiwa mereka. Mereka yakin bahawa Allah mahu melengkapkan mereka dengan persediaan menyambut `kebenaran' yang menang.
Kebatilan sekalipun disertai dengan alasan-alasan (hujah) tidak akan menang dan mengatasi al-Haq. Allah swt memiliki kekuasaan untuk mengoncang kaki orang-orang yang berbuat kebatilan. Lihatlah apa yang berlaku pada penguasa-penguasa yang zalim. Malah Allah telah menukilkan dalam al-Quran kisah-kisah Fir'aun, Namrud, kaum-kaum Nabi Nuh, Nabi Salleh, Nabi Syuaib dan yang seumpama dengannya. Mereka adalah golongan yang batil dan mendapat azab Allah setelah tiba masanya. Namun hanya sedikit yang ingin mengambil pengajaran.
Orang-orang beriman sedar bahawa Allah menjadikan mereka sebagai tabir qudrat Ilahi dan membiarkan mereka melintasi sendiri masa ujian itu untuk menyempurnakan kekurangan dan mengubati kelemahan mereka. Apabila mereka bermuhasabah, berusaha mengubati diri mereka serta berjihad di jalan Allah, maka Allah akan memendekkan masa ujian itu dan memperkenankan doa mereka. Jika mereka tewas sekalipun di dunia ini, mereka akan memperolehi kemenangan di dunia akhirat yang infiniti. Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya.
salam~ aseef ganggu lagi.. sy ada tanya kat surah Quraisy tu.. jzkk
BalasPadamlike~
BalasPadamhu8.. part mukaddimah tu lebey krg ngan recording ustaz salam yg sy dgr mgg lps (mukaddimah fi zilal) best2.. he7.. pasal yg lps2 tu x lay nak absorb sgt.. maybe blm smpai masa utk paham. he..(bley ke?? apakah..) urm... part last2 tu ske balik coz smlm smbg baca "aku n ikhwanul muslimin" trasa yg btapa dkwh kita sgtlah x der org tau lg.. x ckop kerja keras lg smpai org2 x sdr apa yg kita bawa.. kalo smua org sdr msti kita pown jdik cam kat mesir yg da skian lama mendapat penentangan.. wallahualam.. tp hope that x lah sehebat itu penentangan yg akn kte trima.. ameen~
coz x sure adakah kita mampu??? (urm, "kita" tu trutamanya sy of coz)
Assalamualaikum Nur. Ini memang dari tadabbur bersama ustaz salam. Kami menukilkan kembali dlm bentuk penulisan supaya dapat dimanfaatkan dan tidak dilupai, juga utk menimbulkan kesedaran kpd para da'i. Sgt berguna utk memiliki naskah fi-zilalil quran utk menambahkan kefahaman. Jika ada kesilapan @ penambahan, mohon diutarakan.
BalasPadam