Muqaddimah
Terdapat 42 hadith sahih yang dikumpulkan oleh Imam an-Nawawi
rahimahullah. Sebahagian besarnya terdapat di dalam kitab Sahih Bukhari dan
Sahih Muslim.
Ia menjadi tumpuan disebabkan kepentingannya sebagai
asas utama atau pokok-pokok ajaran dalam agama Islam. Ucapannya ringkas tetapi
mampu memberikan makna yang luas dan mendalam bagi menjelaskan ruang lingkup
agama. Ia juga mempunyai bab yang tersendiri bagi memperjelaskan lagi makna
hadith yang masih samar.
Pada asalnya, Imam Hafizh Abu ‘Amr bin Shalah
rahimahullah (Ibnu Shalah) telah mempelopori pengumpulan 26 hadith yang dikatakan
ringkas tetapi dinilai olehnya sebagai asas dalam agama Islam dan mendalam
maksudnya. 26 hadith ini dimuatkan di dalam al-haadiits al-Kulliyah
(Hadith-hadith yang komprehensif). Kemudian al-Imam an-Nawawi telah menambah
lagi hadith-hadith ini menjadikannya 42 hadith dan dimuatkan di dalam Arba’in.
Kenapa 42 hadith ini dikumpulkan?
Jawapannya ada di dalam Muqaddimah oleh Imam an-Nawawi:
الحدالله رب العالمين ، قيوم
السموات والأرضين، مدبر الخلائق أجمعين، باعث
الرسل صلواته وسلامه عليهم إلى المكلفين،
لهدايتهم وبيان شرائع الدين، بالدلائل
القطعية وواضحات البراهين، أحمده
على جميع نعمه وأسأله المزيد من فضله وكرمه.
وأشهد أن لا إله الله الواحد القهار
الكريم الغفار.
وأشهد أن سيدنا محمدا عبده
ورسوله وحبيبه وخليله، أفضل المخلوقين المكرم بالقرآن
العزيز المعجزة المستمرة على تعاقب
السنين، وبالسنن المستنيرة للمسترشدين،
المخصوص بجوامع الكلم وسماحة
الدين،وصلوات الله وسلامه عليه وعلى سائر النبيين
والمرسلين وآل كل وسائر
الصالحين. أمابعد،
Segala puja bagi Allah Tuhan seluruh Alam, Pencipta langit dan
bumi, Pentadbir sekelian makhluk, Pengutus para Rasul a.s kepada orang-orang yang
mukallaf, untuk memberikan hidayah dan menerangkan syari‘at agama kepada mereka,
dengan dalil-dalil
yang putus (yang yakin) serta bukti-bukti yang jelas.
Aku memuji-Nya atas segala nikmat-Nya. Aku berdo’a memohon tambahan
kurniaan dan kemurahan-Nya.
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali Allah, Tuhan Yang Maha Esa,
Maha Perkasa, Maha Pemurah lagi Maha Pengampun.
Dan aku bersaksi bahawa Saiyidina Muhammad saw adalah hambaNya,
Rasul Utusan serta kekasihNya, yang merupakan semulia-mulia makhluk. Rasul yang
dimuliakan dengan al-Qur’an al-‘Aziz yang menjadi mukjizat sepanjang zaman. Rasul
yang dimuliakan dengan Sunnah-sunnah yang bercahaya bagi orang-orang
yang mencari pedoman. Rasul yang dikhususkan dengan sifat “jawami‘
al-kalim”( suatu kata-kata yang pendek tetapi mengandungi erti yang
mendalam dan rapi.) dan agama penyayang.
Selawat dan salam Allah ke atasnya dan juga atas sekelian para Nabi
dan Rasul. Juga atas keluarga masing-masing serta sekelian orang-orang yang
solihin.
Sesungguhnya kami telah meriwayatkan daripada Ali ibn Abi Talib,
Abdullah ibn Mas‘uud, Mu‘az ibn Jabal, Abu al-Darda’, Ibnu ‘Umar, Ibnu ‘Abbas,
Anas ibn Malik, Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudrie r.a. daripada pelbagai jalan
riwayat bahawa Rasulullah SAW bersabda:
من حفظ على أمتي أربعين حديثا من أمر دينها بعثه
الله يوم القيامة فى زمرة الفقهاء ولعلماء
“Barangsiapa
yang menghafal atas umatku empat puluh hadis daripada (hadis yang) berkenaan dengan agama mereka, nescaya Allah
akan membangkitkannya pada hari kiamat dalam golongan para fuqaha’ dan ‘ulama.”
Dalam suatu riwayat lain: “Nescaya Allah akan membangkitkannya
sebagai seorang faqih dan ‘alim.”
Dalam riwayat Abu al-Darda’: “dan telah adalah aku (iaitu
Rasulullah) pada hari kiamat menjadi orang yang memberikan syafa‘at
dan saksi kepadanya”.
Dalam riwayat Ibnu Mas‘uud : “dikatakan kepadanya (orang yang
menghafal 40 hadis) masuklah engkau daripada mana-mana pintu
syurga yang engkau mahu”.
Dalam riwayat Ibnu ‘Umar : “nescaya dia ditulis termasuk dalam
golongan ‘ulama’, dan dibangkitkan dalam golongan para syuhada’ ”.
Para ‘ulama hadis telah sepakat bahawa hadis ini adalah dha‘if
walaupun jalan-jalan riwayatnya banyak.
Ramai para ‘ulama r.a. telah mengarang dalam bab ini (iaitu bab 40
hadis). Antara yang paling awal mengarang -dalam pengetahuan aku- ialah Abdullah
ibn al-Mubarak, Muhammad ibn Aslam al-Thusie al-’Alim al-Rabbanie, al-Hasan ibn
Sufian al-Nasa’ie, Abu Bakar al-Aajirie, Abu Muhammad ibn Ibrahim al-Asfahanie,
al-Daraquthnie, al-Hakim, Abu Nu‘aim, Abu Abdul Rahman al-Salmie, Abu Sa‘id
al-Malinie, Abu ‘Uthman al-Shabuni, Abdullah ibn Muhammad al-Ansari, Abu Bakar
al-Baihaqie dan ramai lagi ‘ulama yang lain tiada terkira samada daripada kalangan ‘ulama
terdahulu atau terkemudian.
Aku telah beristikharah kepada Allah Ta‘ala untuk mengumpulkan 40
hadis sebagai mengikuti jejak langkah para Imam tokoh ‘ulama dan para huffaz
al-Islam ini. Para ‘ulama telah sepakat mengharuskan beramal dengan hadis dha‘if dalam
soal fadhail a‘maal (iaitu fadhilat-fadhilat amalan – kelebihan sesuatu
amalan dan pahala atau ganjaran. Para ulama hadis telah meletakkan syarat untuk
beramal dengan hadis dhaif dalam perkara ini dengan beberapa syarat. Antaranya:
i) dhaif yang tidak teruk dan melampau ii) berada di bawah amalan yang boleh
diterima iii) jangan menganggap ianya thabit dari Nabi saw ketika beramal
dengannya.)
Namun demikian, bukanlah pergantungan aku (dalam usaha mengumpulkan
40 hadis ini) kepada hadis dha‘if, bahkan pergantungan aku ialah kepada sabda
Nabi SAW dalam beberapa hadis sahih :
ليبلغ الشاهد الغائب
yang bererti: “Hendaklah orang yang hadir (majlis Rasulullah dan
mendengar pengajaran Nabi SAW) menyampaikan (apa yang didengarinya) kepada orang yang tidak hadir”,
Juga sabda Nabi SAW :
نصر الله امرءا سمع مقالتي فوعاها فأداها كما سمعها
yang bererti: “Allah mempercahayakan (wajah) seseorang yang
mendengar kata ucapanku, lalu dia memahaminya, lantas dia
menunaikannya sebagaimana dia mendengarnya”. (Menunaikannya bermaksud menyampaikannya kepada orang lain sama ada
dengan lafaz yang sama tepat atau dengan makna kerana harus meriwayatkan hadis
Nabi secara makna dengan beberapa syarat tertentu. Lihat (Syarah Hadis 40 Nawawi)
karangan al-Imam Ibnu Daqiq, Maktabah al-Turath al-Islamie,Kaherah,1987 pada
syarah muqadimah ini.)
Ada sebahagian ‘ulama yang mengumpulkan 40 perkara mengenai
usuluddin, ada yang lain mengenai perkara furu‘. Ada yang mengenai jihad dan yang
lain mengenai zuhud. Ada juga mengenai adab-adab dan ada pula mengenai khutbah.
Semuanya adalah kerja-kerja yang bertujuan baik yang Allah Ta‘ala redhai
akan orang-orang yang melakukannya.
Aku rasa ingin mengumpulkan 40 perkara yang terlebih penting
daripada semua itu iaitu 40 hadis yang merangkumi semua topik tersebut. Setiap hadis
(daripada 40 hadis tersebut) menjadi qaidah (prinsip) agung daripada prinsip-prinsip
agama. Aku ingin mengumpulkan hadis-hadis yang telah disifatkan oleh para ‘ulama
bahawa perligaran Islam bersekitar di lingkungannya, atau separuh Islam, atau
sepertiga Islam atau seumpamanya.
Kemudian aku beriltizam dalam pemilihan 40 hadis ini agar ia
merupakan hadis-hadis sahih , dan kebanyakannya
adalah terdapat dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Aku membuang
sanad-sanad hadis ini agar ia mudah dihafal dan manfaatnya lebih tersebar umum
insyaaAllah Ta‘ala. Kemudian aku ikuti hadis-hadis ini dengan suatu part huraian
makna lafaz-lafaz hadis (40 ini) yang agak samar.
Patut sangat bagi orang yang mencintai akhirat untuk dia mengenali
hadis-hadis ini kerana kandungannya yang merangkumi perkara-perkara yang penting
dan memperingatkan tentang segala amal ketaatan. Bagi yang benar-benar mentadaburnya,
mereka akan dapat lihat.
Kepada Allah jua pergantungan aku, kepada-Nya jua harapan dan
sandaran aku, dan segala puja dan nikmat itu bagi-Nya, dan hanya dengan-Nya jua taufiq dan pemeliharaan dari dosa.
Imam Nawawi
Damsyiq
Kurun ke 7 Hijrah
Siapakah al-Imam an-Nawawi?
Nama sebenarnya ialah Yahya bin Syarf bin Mari bin
Hasan bin Husain bin Hazam. Lahir pada Muharam 631H, di deza Nawa, Barat Daya
Damaskus, Syria. Oleh itu sejak kecil dia dipanggil sebagai an-Nawawi. Ayahnya
seorang petani dan pedagang yang alim.
Beliau menghafal al-Qur’an sebelum
usia baligh. Sangat rajin menuntut ilmu sejak dari kecil lagi. Setiap hari beliau
membaca 12 pelajaran dalam bentuk syarah dan komentar. Berjaya menghafal kitab at-Tanbiih
fii Furuu’isy-Syaafi’iyah dalam masa lebih kurang empat setengah bulan.
Pada tahun yang sama, beliau juga Berjaya menghafal suku daripada kitab al-Muhadzdzab
fil Furuu’.
Para ‘ulama mengakui beliau seorang
yang zuhud, bermadzhabkan Imam asy-Syafi’i, menjadi contoh dalam hal keta’atan,
menegakkan amar ma’ruf dan nahi munkar dan memberi nasihat kepada para
penguasa. Oleh itu beliau mendapat gelaran “Muhyiddin” (orang yang
menghidupkan agama), namun dirinya tidak menyukai dengan gelaran itu.
Beliau
juga dikenali sebagai Abu Zakariya walaupun dia tidak mempunyai anak. Beliau
meninggal dunia sebelum sempat berumahtangga pada usia yang muda iaitu semasa
berumur 45 tahun di kampung halamannya.
Allah SWT telah memberi keberkatan
masa baginya. Di antara karya beliau ialah;
1. Syarah Shahih Muslim
2. Raudhatuth-Thaalibiin
3. Riyaadhush-Shaalihin
4. Adzkaarul-Munjiyaah min Kalaami
Sayyidil-Abraar
5. At-Tibyan fii Hamlatil-Qur’an
6. Al-Arba’in Nawawi
7. Syarah Bukhari
8. Syarah Sunan Abu Daud
9. Tahdziibul-Asmaa’ wal-Lughaat.
Wallahu’alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan