Pendahuluan
Surah ini diturunkan selepas surah Fathir. Ia tergolong
dalam surah Makiyyah kerana hampir keseluruhan ayat diturunkan sebelum Rasulullah
saw berhijrah ke Madinah. Malah sebelum sahabat-sahabat Baginda saw berhijrah
ke negeri Habsyi. Menurut riwayat Ibnu Mas’ud, Ja’far bin Abi Talib membacakan
permulaan surah ini kepada Raja Najasyi dan pengikut-pengikutnya.
Susunan di dalam mushaf adalah selepas surah al-Kahfi.
Nama
Surah
Sudah ketetapan Allah swt dan sudah pasti ada perkaitan
dengan isi kandungan surah. Maryam adalah satu-satunya nama wanita yang dipilih
oleh Allah swt sebagai tajuk surah. Kenapa?
Ia ada perkaitan dengan anak dan pewarisan ad-Din. Maryam
sebagai simbol seorang ibu contoh,wanita mukminah (mithali), tahan diuji dan
tsabat dengan ad-Din. Mendidik anak mengikut tuntutan Ilahi selain mendapat
rahmat Allah swt.
Tema
Surah (Suasana Surah)
Ar-Rahmah iaitu rahmat kasihan belas, keredhaan dan
hubungan mesra.
Isi Kandungan
Dipaparkan dalam bentuk kisah-kisah dan dibahagikan kepada
3 bahagian. Di dalam penceritaan itu terselit paparan hari Kebangkitan dan akibat
perbuatan manusia di dunia yang fana ini.
Bahagian 1 (Ayat 1-40)
Kisah Nabi Zakariya, Yahya, Maryam dan Nabi ‘Isa a.s. Dalam
suasana kasihan belas, kasih sayang, keredhaan dan hubungan mesra dengan Allah
swt. Bait-bait ayat bernada lembut (berakhir dengan sebutan ‘ya’). Allah swt memenuhi fitrah mereka
untuk memiliki anak supaya dapat mewarisi ad-Din disamping dapat memelihara
harta sebagai amanah.
Diakhir babak pertama ini, diberi kata pemutus mengenai
persoalan Nabi ‘Isa a.s yang telah menimbulkan banyak perdebatan dan
perselisihan faham di antara kaum Yahudi dan kaum Nasrani; Nabi ‘Isa a.s adalah
seorang Nabi, bukan tuhan atau anak tuhan.
Bahagian 2 (Ayat 41-65)
Kisah Nabi Ibrahim a.s dengan bapa dan kaumnya. Berlemah
lembut walaupun dikasari. Mengasingkan diri daripada syirik kepada Allah swt.
Dengan rahmat dan kasih sayang Allah ‘Azzawajalla, semua keperitan dan
kehilangan diganti dengan zuriat (Nabi Ishaq a.s dan Nabi Ismail a.s) yang
akhirnya melahirkan satu umat.
Kemudian menyentuh sedikit kisah para ambiya’ iaitu Nabi
Ishaq a.s, Nabi Ya’kub a.s, Nabi Musa a.s, Nabi Harun a.s, Nabi Ismail a.s,
Nabi Idris a.s, Nabi Adam a.s dan Nabi Nuh a.s. Dengan rahmat dan kasih sayang
Allah swt, mereka mendapat hidayat dan menjalani kehidupan yang diredhai
berbanding kaum yang menentang mereka. Allah swt menceritakan akhir kesudahan
hidup mereka masing-masing. Barang siapa menjalani kehidupan sebagaimana yang
digariskan di dalam al-Qur’an dan sunnah, maka ia terselamat dan beruntung
mendapat syurga Allah swt. Sebaliknya, barang siapa yang menentang dan tidak
mengikut panduan al-Qur’an dan sunnah akan dihukum dan masuk ke dalam neraka
Allah swt.
Sebagai penutup tirai babak kedua ini, Allah swt
mengumumkan hakikat ketuhanan Yang Maha Esa yang disembah tanpa sebarang
sekutu.
Bahagian 3 (66-98)
Dimulakan dengan perdebatan berkenaan dengan persoalan
kebangkitan. Sedikit gambaran hari Qiamat serta berlaku bantahan alam buana
terhadap perbuatan manusia yang menyekutukan Allah swt. Umat yang menentang
akan dibinasakan sehingga boleh meninggalkan kesan sebagai pengajaran. Oleh itu
selepas ayat ke 75, irama lembut bertukar kepada irama yang agak keras (ayat
berakhir dengan ‘da’ atau ‘zza’).
Pengajaran
Kehidupan
1.
Allah mendidik kita dengan satu tasawur
yang jelas tentang tujuan sebenar mendapatkan anak. Bukan hanya sekadar zuriat;
atau rasa seronok atau untuk ketenangan atau menjadi suatu kebanggaan mendapat
anak, tetapi ada tujuan yang lebih besar dari itu; iaitu zuriat itu dididik
bagi menunaikan perintah Allah dan menyebarkan ad-Din Allah.
Setiap Muslim haruslah
berusaha untuk mewarisi zuriat mereka dengan ad-Din sebagai mana firman Allah
swt;
“Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang
telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari
keturunan Nabi Adam dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam
bahtera) bersama-sama Nabi Nuh dan dari keturunan Nabi Ibrahim dan (dari
keturunan) Israil dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayat
petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah)
Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.” – QS
19:58
Tidak menjadikan anak-anak seperti mana
firman Allah swt;
“Kemudian
mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta
menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab
(dalam Neraka).” – QS
19:59
Perkahwinan yang dibina seharusnya
menghasilkan keluarga Rabbani.
2.
Allah juga mendidik kita menaruh
harapan hanya kepada Allah swt. Sentiasa memohon dan berdo'a kepada Allah. Tiada
yang mustahil bagi Allah swt. Kelahiran Nabi Yahya a.s ketika usia Nabi Zakaria a.s yang tua dan isterinya mandul adalah bukti kekuasaan Allah swt. Allah swt memperkenankan do'a Nabi Zakariya a.s. Begitu juga dengan kelahiran Nabi 'Isa a.s. Terserlah sifat berserah diri dan tawakal yang tinggi Saiyidatina Maryam.
Jangan ada rasa kecewa pada diri kita ini. Serahkan
urusan kita kepada Allah swt. Abu Hurairah
r.a berkata, Nabi saw bersabda:
“
Akan masuk syurga orang-orang yang hatinya mereka seperti hati burung (yakni
benar-benar berserah dan percaya kepada jaminan Allah swt pada dirinya)’ – HR Muslim.
3.
Sesuatu perkara itu berlaku mengikut sunnah Allah swt. Namun
begitu tidak mustahil perkara ganjil atau ajaib boleh terjadi jika itu adalah
kehendak Allah swt. Nabi ‘Isa a.s dilahirkan tanpa bapa, Nabi Zakariya a.s yang
telah tua dan isterinya yang mandul dimakbul do'a memperolehi anak. Mengikut ilmu
biologinya adalah mustahil boleh berlaku.
4. Seorang
anak mestilah berbuat baik kepada kedua orang tuanya walaupun dia dikasari.
Keta’atan kepada dalam semua perkara selagi ia tidak bercanggah dengan
syari’at. Keimanan diri perlu diselamatkan dengan apa jua cara walaupun
terpaksa berpisah dengan yang disayang. Nabi Ibrahim a.s menjadi contoh yang
jelas.
5. Allah
swt Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia meredhai dan memberi rahmat-Nya
kepada siapa yang dikehendaki. Segala kesulitan dan kehilangan yang dimiliki
akan diganti dengan kesenangan dan sesuatu yang lebih berharga selagi apa yang
diperjuangkan adalah semata-mata keredhaan-Nya. Oleh itu perlu diingat setiap
nikmat dan kebaikan didalam diri seseorang adalah suatu rahmah Allah swt
kepadanya.
6. Setiap
generasi akan ada pemimpin yang menunjuk jalan kebenaran kepada mereka.
Mana-mana yang menentang kebenaran, akan menerima akibat buruk sebagaimana yang
berlaku kepada umat-umat terdahulu yang ingkar kepada seruan nabi-nabi mereka.
Oleh itu masuklah kepada kelompok mereka yang menta’ati perintah Allah swt.
7. Sesiapa
yang menyatakan Nabi ‘Isa a.s sebagai tuhan atau anak tuhan, adalah salah dan
disangkal oleh firman Allah swt;
“Dia
menjawab: Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab
(Injil) dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi.” – QS 19:30
8. Orang-orang Yahudi dan Nasrani yang bercanggah
antara satu sama lain akan menerima balasan neraka di akhirat kelak sebagaimana
firman Allah swt;
“Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan
sesama sendiri. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan)
itu, dari apa yang disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.” – QS
19:37
9. Allah swt memberi penghormatan kepada wanita
kerana mereka adalah aset penting dalam mentarbiyah anak-anak menjadi insan
yang Rabbani. Ibu-ibu patut mencontohi Saidatina Maryam yang tsabat dengan
kebenaran dan khusyuk dalam beribadah.
10.
Allah juga mengajar kita tatacara yang
sebenar bagi wanita mukminah. Bersendiri beribadah dan ada hijab yang mengelakkan
dirinya dari pandangan lelaki. Ikutilah teladan Saiyidatina Maryam yang berdo'a
kepada Allah swt agar dirinya tidak dikenali dan dilupakan orang. Jadikanlah kita
wanita yang `low profile’ dan hanya menonjol pada perkara yang
dibenarkan oleh syara’.
Pengajaran yang lebih luas dan mendalam
dapat diperolehi daripada tafsiran surah ini secara menyeluruh.
Wallahu’alam
salam dr, nak tanye, ape hikmah disebalik dr post syarahan surah maryam selepas selesai surah ali imran?
BalasPadambukan syarahan surah an-nisa?
adakah ada hadaf yg lebih besar yg ingin disampaikan kepada pembaca atau kerana maryam anak kepada ali imran? jzkk
Wa'alaikumussalam wbt Faiq20.
BalasPadamMinta maaf kerana baru melihat ulasan ini.
Tiada hadaf yang lebih besar yang hendak disampaikan kepada pembaca. Ia adalah kelemahan penulis dalam pembahagian masa dan mengikut kesempatan yang ada.
Namun setiap surah ada perkaitan antara satu sama lain. Terdapat juga perkaitan antara ayat dengan ayat yang lain. Itulah kelebihan al-Qur'an. Ia memberi mengikut kehendak pembaca itu sendiri. Al-Qur'an adalah institusi yang dermawan.
Salam... Ummu Alya: Saya mendapat manfaat yang banyak dari blog puan terutama dalam tafsir fi zilal...untuk program2 yang saya kendalikan, blog ini adalah rujukan saya. Saya nak tau...tafsir fi zilal tu...takde sambungan ke? Maksud saya, surah al Baqarah.
PadamSatu lagi ... kalau saya nak merujuk tentang sesuatu dalam tafsir fi zilal...siapa yang puan boleh cadangkan kepada saya. Sekian...semoga usaha puan diberkati Allah.
BalasPadamZdyn/ TRG.