عَنْ
أَبِي ذَرٍّ جُنْدَبِ بْنِ جُنَادَةَ، وَأَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ مُعَاذِ بْنِ
جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم
قَالَ: "اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْت، وَأَتْبِعْ
السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقْ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ" .
رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ [رقم:1987] وَقَالَ: حَدِيثٌ حَسَنٌ، وَفِي بَعْضِ النُّسَخِ: حَسَنٌ صَحِيحٌ.
رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ [رقم:1987] وَقَالَ: حَدِيثٌ حَسَنٌ، وَفِي بَعْضِ النُّسَخِ: حَسَنٌ صَحِيحٌ.
Terjemahan;
“Dari Abu Zar, Jundub bin Junadah dan Abu
Abdurrahman, Mu’az bin Jabal radhiallahu
'anhuma dari Rasulullah saw beliau bersabda :
Bertakwalah kepada Allah dimana saja
kamu berada, iringilah keburukan dengan
kebaikan niscaya ia akan menghapuskannya
dan pergaulilah manusia dengan akhlak
yang baik”
(Riwayat Turmuzi, dia
berkata hadithnya hasan, pada sebagian cetakan dikatakan
hasan sahih).
Pengenalan;
Hadith ini
diriwayatkan oleh dua orang sahabat yang masyhur iaitu Jundub bin Junadah(Abu
Zar) dan Mu’az bin Jabal.
Abu Zar r.a
pernah menjadi khadam kepada Rasulullah saw sehingga mengetahui banyak rahsia
Rasulullah saw dan seorang yang paling memahami al-Qur’an sehingga berakhlak
menghampiri akhlak Baginda Nabi saw.
Mu’az r.a
pula seorang yang sangat bijak. Ada perbualannya dengan Rasulullah saw menjadi
suatu dalil yang menunjukkan bahawa kita boleh berijtihad.
Pemahaman Hadith;
Merujuk
kepada hadith ini, terdapat 3 isi pokok
yang perlu diperhatikan dan perlu dilaksanakan:
1. Bertaqwalah
kepada Allah swt dimana saja kita berada (Menunaikan Haq Allah swt)
2. Iringi perbuatan
buruk dengan perbuatan baik (Menunaikan Haq Mukallaf)
3. Berakhlak dengan
akhlak yang baik sesama manusia (Menunaikan Haq Hamba)
BERTAQWA KEPADA ALLAH SWT DIMANA BERADA
اتَّقِ
اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْت
Bertakwalah kepada Allah dimana
saja
kamu berada
Terlalu
banyak seruan Allah swt di dalam Al-Qur’an meminta kita supaya bertaqwa;
“Dan
bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan demi
sesungguhnya, Kami telah perintahkan orang-orang yang diberi Kitab dahulu
daripada kamu dan juga (perintahkan) kamu, iaitu hendaklah bertakwa
kepada Allah dan
jika kamu kufur ingkar, maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah jualah yang
memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan (ingatlah) adalah
Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” -
(An-Nisa’:131)
“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah
kepada Tuhan kamu yang
telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan
daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan
dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah
kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta
peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah
sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” – (An-Nisa’:1)
“Wahai orang-orang yang
beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah
perkataan yang tepat (benar dalam segala perkara).” –
(Al-Ahzab:70)
Rasulullah
saw juga memulakan khutbahnya dengan seruan Allah swt supaya bertaqwa;
“Wahai orang-orang yang
beriman! Bertakwalah kamu
kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati
melainkan dalam keadaan Islam” – (Aali-‘Imran:102)
Di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a,
Nabi saw bersabda:
“Sesungguhnya
Baginda saw telah ditanya; “ Apakah perkara yang paling banyak memasukkan
manusia ke dalam syurga?’ Baginda saw menjawab: ‘Ketaqwaan kepada Allah dan
keelokkan budi pekerti(akhlak).” – (HR Imam Ahmad, Ibnu Majah dan at-Tirmizi)
Apakah Maksud
Taqwa ?
Maksud asal taqwa ialah seseorang itu meletakkan pelindung
yang dapat memelihara dirinya daripada perkara yang ditakuti dan diawasinya.
Ini bermakna, ketaqwaan kepada Allah ialah seseorang itu meletakkan `pelindung’
tersebut untuk memelihara dirinya
daripada kemarahan, kemurkaan dan balasan siksa Tuhannya yang ditakuti. `Pelindung’
yang dimaksudkan ialah melaksana keta’atan kepada Tuhannya dan menjauhi larangan-Nya.
Bagaimana pula jika seseorang itu bertaqwa (mencari perlidungan)
selain daripada Allah swt?
Ketahuilah bahawa ketaqwaan mestilah dikaitkan dengan Allah
‘Azza wa jalla. Tidak boleh disandarkan kepada yang lain selain daripada Allah
swt.
Baginda saw bersabda;
“Allah
Ta’ala berfirman (dalam sebuah hadith qudsi); Akulah yang berhak ditaqwakan
(dipelihara diri daripada kemurkaan-Ku). Oleh itu, sesiapa yang memelihara
dirinya daripada kemurkaan-Ku, lalu dia tidak menyekutukan tuhan yang lain
bersama-Ku, maka Aku berhak mengampunkannya.” –(HR at-Tarmizi,Ahmad,
ad-Darimi, Ibnu-Majah dan lain-lain. Disahihkan oleh al-Hakim. Diakui oleh
az-Zahabi)
Bagaimana
untuk mendapat taqwa kepada Allah swt yang sempurna?
Lakukanlah amalan-amalan berikut:
1.
Mengerjakan segala perkara
yang wajib dalam agama dan meninggalkan segala perkara yang diharamkan dan
diragui (syubhah) atau meninggalkan dosa besar dan dosa-dosa kecil.
Allah swt berfirman;
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah
kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya).
Hendaklah setiap diri (hamba) melihat dan memerhatikan apa yang telah dia
sediakan untuk hari esok (Hari Akhirat). Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya
Allah amat meliputi Pengetahuan-Nya dengan segala yang kamu kerjakan.” –
(al-Hasyr:18)
2.
Mengerjakan segala amalan
sunat dan meninggalkan perkara makruh.
3.
Bersifat ihsan (melakukan
ibadat dalam keadaan seolah-olah melihat Allah swt)
Allah swt berfirman;
“Sesungguhnya
Allah bersama (dengan menolong) orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang
bersifat ihsan (dengan sabar dan ta’at)” – (QS an-Nahl:128)
4.
Tidak syirik dan ikhlas
kepada Allah swt.
Mu’az bin Jabal r.a berkata; “Pada Hari Kiamat akan diseru: ‘Dimanakah orang-orang yang bertaqwa?’
Lalu mereka pun bangun di bawah naungan ar-Rahman. Allah swt tidak berhijab dan
tidak berselindung daripada mereka. Mereka pun bertanya kepada-Nya; ‘Siapakah
orang-orang yang bertaqwa itu?’ Lalu Allah berfirman; ‘Golongan yang memelihara
diri daripada syirik dan penyembahan berhala, serta mereka mengikhlaskan ibadat
kepada Allah.”
Seseorang Muslim mestilah berusaha untuk mengetahui
perkara-perkara yang perlu diawasi (mengetahui dengan ilmu), kemudian
memelihara diri daripada perkara-perkara tersebut.
Mengapa
perlu bertaqwa kepada Allah swt?
Ketahuilah bahawa taqwa itu sangat besar pengaruhnya. Ia adalah
induk kepada segala perkara dan menghimpun segala kebaikan. Diantara
kesan-kesan yang akan diperolehi ialah;
1.
Allah swt akan memelihara
dirinya.
2.
Allah swt akan
mengasihinya.
3.
Allah swt memberi pahala
berdasarkan taqwanya.
4.
Allah swt akan menjadikan
untuknya jalan keluar daripada segala perkara yang menyusahkannya.
5.
Dirinya tidak akan merasai
kesunyian, kebimbangan atau takut di dunia yang fana ini.
Di dalam hadith ini, diminta bertaqwa kepada Allah swt ‘di mana sahaja’. Di
mana sahaja bermaksud di tempat tersembunyi atau pun di tempat terang-terangan.
Semasa bersendirian atau beramai-ramai.
Allah swt berfirman;
“Tidakkah
Tuhan yang telah mencipta (semua makhluk) mengetahui (segala-galanya),
sedangkan Dia Maha Halus Ilmu-Nya lagi Maha mendalam Pengetahuan-Nya?” – (QS
al-Mulk:14)
Ciri-ciri orang yang bertaqwa kepada Allah swt
1. Sentiasa ta’at dan tidak menderhakai Allah swt
kerana takutkan azab-Nya.
2. Sentiasa mengingati Allah swt di dalam hatinya
(zikir).
3. Sentiasa bersyukur dan tidak kufur.
4. Sentiasa dalam keadaan berhati-hati seolah-olah
sedang berjalan di jalanan yang berduri.
5. Sentiasa bermuhasabah diri (menilai diri
sendiri).
6. Tidak memandang rendah kebaikan yang hendak
dilakukan walaupun kecil.
7. Berwaspada kepada keburukkan yang hendak dlakukan
walaupun kecil.
8. Meninggalkan banyak perkara halal kerana takutkan
perkara haram (Muttaqin yakni orang yang memelihara diri).
9. Sentiasa mengharapkan pahala Allah swt.
Allah swt berfirman;
“Tetapi (pemilik) kebaikan (yang benar) ialah
orang yang beriman kepada Allah, Hari Akhirat, para malaikat, kitab-kitab dan
nabi-nabi. Dia juga menyumbangkan harta sedangkan dia menyayanginya kepada kaum
kerabat, anak yatim, orang miskin, orang yang bermusafir yang keputusan
bekalan, orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba abdi. Dia juga
mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Begitu juga orang-orang yang
menyempurnakan janji mereka apabila mereka membuat perjanjian (dengan Allah
atau manusia). Begitu juga orang-orang yang sabar dalam kesempitan, sakit dan
semasa teruk bertempur dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar
(dalam keimanan atau dakwaan kebaikan mereka). Dan mereka itulah juga
orang-orang yang benar-benar bertaqwa.”
– (QS al-Baqarah:177)
Demikianlah sifat orang
yang bertaqwa kepada Allah swt. Ketaqwaan dapat mempengaruhi peribadi seseorang
Muslim. Sebaliknya, ketiadaan taqwa kepada Allah swt memberi kesan sebaliknya.
Timbul perasaan hasad, pergaduhan, penggunaan riba, tidak amanah dalam perniagaan
dan masalah sosial yang tidak dapat dibendung disebabkan tidak
menjaga pandangan mata antara bukan mahram.
Bagaimanakah untuk menghadirkan taqwa kepada
Allah swt?
Hendaklah berusaha untuk sentiasa
merasai dihati bahawa Allah swt dekat dengan dirinya (Muroqobah). Dia juga sentiasa
memerhatikannya (menghadirkan sifat ihsan) sehingga menimbulkan perasaan malu
terhadap Tuhannya.
Wujudkan perasaan takut
kepada Allah swt sehingga perasaan itu dapat mengawal dirinya daripada
melakukan dosa besar dan dosa-dosa kecil. Sesungguhnya Allah swt sangat berkuasa
dan Allah swt senantiasa mengawasi dan mengetahui segala tindak-tanduk yang
dilakukan. Ketahuilah bahawa kerajaan langit dan bumi adalah milik-Nya.
Allah swt berfirman tentang
golongan yang bersifat ihsan;
“…..Dan Dia membalas orang-orang yang bersifat
ihsan dengan balasan yang paling elok (syurga) iaitu orang-orang yang menjauhi
dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji melainkan dosa-dosa kecil (Ia
diampunkan dengan menjauhi dosa-dosa besar).” – (QS an-Najm:31-32)
Ulama’ salaf berkata;
a) Jika kamu menyangka bahawa Allah swt tidak melihat
kamu, maka sesungguhnya kamu telah menjadi kafir.
b) Jika kamu tahu bahawa Allah melihat kamu, namun
ia tidak sedikit pun menghalang kamu daripada melakukan maksiat, maka
sesungguhnya kamu berani menderhakai Allah swt.
c) Jika ingin mengawal pandangan mata, sentiasalah
mengingati bahawa pandangan Allah swt adalah lebih pantas daripada pandangan
kita yang ingin melihat itu.
d) Jika bersendirian, berkatalah: “Ada yang memerhatikan aku.”
Sentiasalah ingat, bahawa
ketaqwaan kepada Allah swt di tempat sulit merupakan tanda kesempurnaan iman.
Semua amalan yang dilakukan oleh seseorang tidak akan disia-siakan (tanpa
balasan) disisi Allah swt. Sesungguhnya tidak ada sebarang pendiding atau
persembunyian yang berguna untuk menghalang kekuasaan-Nya.
Segalanya adalah datang
dari Allah swt. Berusahalah, kerana kita hanya diminta oleh-Nya untuk berusaha mencapai
ketaqwaan itu. Kecapilah kemanisan iman yang akan diperolehi dari ketaqwaan
kepada Allah swt.
IRINGI PERBUATAN BURUK DENGAN PERBUATAN BAIK
وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ
الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا
Iringilah keburukan dengan
kebaikan niscaya ia akan menghapuskannya
‘Keburukan’ yang
dimaksudkan ialah perbuatan-perbuatan yang mendatangkan dosa. ‘Kebaikan’ yang dimaksudkan ialah
melakukan amalan soleh, memohon keampunan dan bertaubat daripada dosa yang
dilakukan.
Allah swt berfirman:
“Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu terhadap
orang-orang yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilan, kemudian mereka
bertaubat sesudah itu serta memperbaiki amalannya, sesungguhnya Tuhanmu sesudah
(mereka bertaubat) itu, adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” –(QS
al-Nahl:119)
Penghapusan
Dosa
Seseorang hamba pasti akan melakukan dosa yang telah
ditakdirkan keatasnya, seperti sabda Rasulullah saw;
“Telah
ditulis (ditakdirkan oleh Allah swt) ke atas setiap manusia, habuan
masing-masing daripada dosa zina. Dia akan memperolehi habuan itu, tanpa dapat
dielakkan lagi.” –(HR Al-Bukhori dan Muslim)
Namun Allah swt telah memberi jalan keluar daripada dosa itu
melalui taubat dan memohon keampunan-Nya. Usah diteruskan dosa itu
berpanjangan. Biarkan syaitan menjadi letih dan kecewa kerana tidak berjaya
menyesatkan hamba Allah swt.
Iblis menangis ketika ayat ini diturunkan:
“Dan
juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri
sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka
dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan
mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu,
sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” – (QS
Aali-‘Imran:135)
Penghapusan
dosa besar
1.
Taubat nasuha
Perbuatan keji yang menyebabkan dosa besar akan terhapus
dengan bertaubat nasuha yakni taubat yang sebenar dan jujur, tanpa kembali lagi
kepada dosa itu dan tanpa sebarang keinginan untuk mengulanginya lagi.
2. Tidak syirik
Pastikan tiada percampuran dalam keta’atan (syirik).
Keta’atan hanyalah kepada Allah swt semata-mata.
3.
Iringi perbuatan buruk
dengan perbuatan baik
Iringilah perbuatan dengan amalan-amalan yang mendekatkan
diri kepada Allah swt. Semoga amalan-amalan tersebut menghapuskan kesemua kesan
dosa yang telah dilakukan.
Allah swt berfirman;
“Kecuali
orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka
orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan
kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – (QS
al-Furqon:70)
Imam Ahmad dan at-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar
r.’anhuma;
“Sesungguhnya
seorang lelaki telah datang menemui Nabi saw, lalu beliau berkata: ‘Wahai
Rasulullah, sesungguhnya saya telah melakukan satu dosa besar. Adakah saya
masih berpeluang untuk bertaubat?’ Baginda saw pun bertanya; ‘Adakah kamu masih
mempunyai ibu?’ Beliau menjawab; ‘Tidak’. Baginda saw bertanya lagi; ‘Adakah
kamu mempunyai ibu saudara sebelah ibu?’ Beliau menjawab; ‘Ada’. Baginda saw
pun bersabda; ‘Oleh itu, berbaktilah kepadanya.”
Penghapusan
dosa kecil
Manakala dosa-dosa kecil
akan terhapus jika:
1. Seseorang itu tidak melakukan dosa besar kecuali
jarang sekali, kemudian bertaubat dengannya.
Allah swt berfirman;
“Sekiranya kamu menjauhi
dosa-dosa besar yang kamu dilarang melakukannya, nescaya Kami akan ampunkan
kesalahan-kesalahan (iaitu dosa-dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu
ke tempat yang mulia (syurga).” – QS an-Nisa’:31
2. Seseorang yang apabila melakukan satu dosa kecil,
dosa itu tenggelam dalam kebaikan-kebaikannya yang boleh menghapuskan dosa itu.
Allah swt berfirman;
“Dan mereka tidak
meneruskan dosa yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui
(kesalahan dan akibatnya).” – QS
Aali-‘Imran:135
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda;
“Solat lima waktu, solat Juma’at hingga solat
Juma’at dan Ramadhan hingga Ramadhan menghapuskan dosa yang dilakukan
antaranya, selama mana dosa-dosa besar ditinggalkan.” – (HR
Imam Ahmad dan Muslim)
Juga daripada Abu Hurairah r.a,
Sabda Nabi saw;
“Tidakkah kamu mahu saya tunjukkan kamu kepada amalan yang kerananya
Allah akan menghapuskan dosa-dosa kamu dan mengangkat darjat-darjat kamu?
Menyempurnakan wudhuk di masa atau tempat yang tidak disukai (masa yang sukar
atau tempat yang mencabar seperti sangat sejuk, kesakitan dan seumpanya),
memperbanyakkan langkah ke masjid, dan menunggu solat yang lain selepas selesai
satu solat.” – (HR Imam Malik dan Muslim)
Jelas disini, perbuatan
yang baik dan sukar sehingga menggugat jiwa untuk melakukannya boleh
menghapuskan dosa. Di antara perkara yang sukar ialah menahan hawa nafsu dan
menghalang daripada kecenderungannya. Kesakitan yang dialami oleh seorang yang
syahid boleh menghapuskan dosanya. Oleh kerana mereka beramal soleh dengan
lisan dan anggotanya sehingga syahid, maka selain penghapusan dosa, Allah swt
juga mengangkat darjat mereka disisi-Nya. Subhanallah, bersabarlah.
Selain daripada itu, perbanyakkan
berzikir (mengingati dan menyebut kebesaran Allah swt) kerana ia juga termasuk
perbuatan baik yang boleh menghapuskan dosa kecil.
Rasulullah saw bersabda;
“Sesiapa yang mengucapkan: (لا إله إلا الله وحده لا شريك له ) sebanyak seratus kali, maka seratus kebajikan ditulis
untuknya. Seratus kejahatan dipadam daripadanya. Ia juga menyamai pahala
pembebasan seratus orang hamba.” – (HR Imam Malik,
al-Bukhori dan Muslim).
Allah swt berfirman;
“Dan
segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat)
keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala
langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan
hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya
dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi
orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (134) Dan juga orang-orang yang apabila
melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat
kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang
mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan
perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan
salahnya dan akibatnya). (135)Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya
ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik
balasan (bagi) orang-orang yang beramal. (136)” – (QS
Aali-‘Imran:133-136)
Penerimaan
taubat terserah kepada Allah swt.
Hanya Allah sahaja yang layak menerima taubat dan
menghapuskan dosa-dosa hamba-Nya. Ketidaktahuan ini boleh menimbulkan perasaan
takut kepada-Nya. Merasai dosa yang ada bagaikan gunung yang akan menghempap.
Bimbang takut-takut taubat tidak diterima. Keadaan seperti ini menimbulkan
kesungguhan dalam beramal dengan amalan-amalan soleh.
Kita perlu yakin bahawa terdapat keistimewaan bagi
orang-orang yang bertaqwa. Bertaubatlah, semoga mendapat rahmat Allah swt.
Allah swt berfirman:
“ Dan
Allah membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang terbaik
(syurga). (Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan
perbuatan-perbuatan yang keji (seperti zina) kecuali salah-silap yang kecil
(yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhan
kamu adalah Maha Luas keampunan-Nya.” – (QS
An-Najm:31-32)
Bagaimana
dengan orang yang membiarkan dosanya berpanjangan?
Dalam Musnad al-Imam Ahmad, diriwayatkan daripada hadith
‘Abdullah bin ‘Amr r. ‘anhuma, bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Kasihanilah
(makhluk Allah), nescaya kamu dikasihani. Ampunkanlah (kesalahan orang lain
kepada kamu), nescaya kamu diampunkan. Lembah Wail (Lembah di dalam neraka)
bagi orang-orang yang telinga mereka seperti corong air kepada kata-kata yang
baik. Lembah Wail juga bagi orang-orang yang berterusan dalam dosa yang mereka
lakukan, sedangkan mereka mengetahui (kesalahan dan akibat perbuatan mereka).
Seseorang yang mendengar peringatan dengan telinga kiri
kemudian keluar melalui telinga kanan (bagai corong air) tanpa mengambil
pengajaran dengannya (berilmu tetapi tidak mengamalkannya) akan dimasukkan ke
dalam neraka. Begitu juga bagi mereka yang membiarkan dosanya berpanjangan.
Meyakini
penerimaan taubat
Allah swt berfirman;
“Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha,
mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan
memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada
hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman
bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di
hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka
berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai
Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan
kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” – (QS al-Tahrim:8)
‘Aisyah r.’anha
meriwayatkan, Nabi saw bersabda:
“Sesungguhnya apabila seseorang hamba mengaku dengan dosanya kemudian
bertaubat, pasti Allah menerima taubatnya.” – (HR Al-Bukhori, Muslim dan Ahmad)
Taubat seseorang pasti
diampunkan dengan syarat taubatnya adalah taubat nasuha dan tidak mensyirikkan
Allah swt. Kemudian iringi perbuatan buruk dengan perbuatan baik.
Bagaimanakah Penghapusan
Dosa itu berlaku?
Dihari Pembalasan (Kiamat),
pahala dan dosa akan ditimbang. Jika pahala melebihi dosanya satu pahala
sahaja, ia akan dimasukkan ke dalam syurga.
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan
daripada Ibnu Lahi’ah; “Sa’id bin Jubair berkata lagi: ‘Bagi setiap orang
yang baik dan orang yang jahat, satu dosa sahaja ditulis untuk setiap satu
amalan jahat. Sementara sepuluh pahala pula ditulis untuk setiap satu amalan
baik. Apabila tiba Hari Kiamat, Allah Ta’ala akan menggandakan lagi segala
amalan baik orang mukmin, sebanyak sepuluh kebaikan untuk satu kebaikan. Lalu
Allah swt menghapuskan daripadanya sepuluh kejahatan dengan setiap satu
kebaikan. Maka sesiapa yang amalan baiknya melabihi amalan jahatnya sekali pun
seberat zarrah, dia akan memasuki syurga.”
Melalui firman Allah swt di
dalam surah az-Zalzalah:7-8;
“Maka sesiapa yang
melakukan satu kebaikan (sekalipun) seberat zarrah, dia akan melihatnya (dalam
buku amalannya serta dibalas dengannya). Dan sesiapa yang melakukan kejahatan
(sekali pun) seberat zarrah, dia akan melihatnya (dalam buku amalannya serta
dibalas dengannya).”
Ulama' tafsir menyatakan,
Allah swt mengampunkan dosa orang yang bertaqwa tetapi tidak menghapuskannya dari
catatan di dalam buku catatannya sebelum ia dibaca oleh tuannya di akhirat
kelak. Ia ditutup daripada pengetahuan seluruh makhluk dengan rahmat-Nya. Hamba-Nya
gembira apabila membaca amalan baik, tetapi merasa malu, takut dan sedih dengan
Tuhannya apabila membaca amalan buruk. Allah swt menunjukkan keampunan dan
penghapusan dosa-dosanya itu. Hambanya kemudian sujud kerana bersyukur.
BERAKHLAK DENGAN AKHLAK YANG
BAIK SESAMA MANUSIA
وَخَالِقْ
النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik
Pergaulan yang berakhlak sesama manusia merupakan ciri orang yang
bertaqwa. Tidak cukup dengan hanya menunaikan haq hamba kepada Allah swt. Seorang
yang bertaqwa juga perlu menunaikan haq sesama manusia.
Kepentingan Akhlak Yang Mulia
1.
Menunjukkan iman yang sempurna.
Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah saw telah bersabda;
“Orang beriman yang paling sempurna imannya ialah orang yang
paling baik akhlaknya di kalangan mereka.” – (HR Imam Ahmad, Abu Dawud dan
at-Tarmizi.)
2.
Paling berat dalam timbangan dan dapat
mencapai darjat orang yang berpuasa dan beribadat pada waktu malam.
Daripada Abu ad-Darda’ r.a, Rasulullah saw bersabda;
“Tiada sesuatu pun yang diletakkan di dalam neraca (pada Hari
Kiamat) lebih berat daripada keelokan akhlak. Sesungguhnya orang yang memiliki
keelokan akhlak mencapai dengan keelokan akhlaknya itu akan darjat orang yang
banyak berpuasa dan bersembahyang.” – (HR Imam Ahmad,Abu Dawud dan at-Tarmizi).
3.
Disayangi oleh Allah swt dan tempat
duduknya merupakan yang paling hampir dengan para nabi.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr r.’anhuma, Rasulullah saw bersabda;
“Sesungguhnya Baginda saw bertanya: ‘Tidakkah kamu mahu saya
beritahu kamu tentang orang yang paling dikasihi oleh Allah dan tempat duduknya
pula paling hampir denganku pada Hari Kiamat?’ Mereka menjawab: ‘Ya,
beritahulah kepada kami’. Lalu Nabi saw bersabda: ‘Iaitu orang yang paling baik
akhlaknya di kalangan kamu.” – (HR Ibnu Hibban)
4.
Memperolehi tempat yang tinggi di
syurga.
Daripada Abu Umamah r.a, Rasulullah saw bersabda;
“Saya menjamin sebuah mahligai di tempat yang paling tinggi
di Syurga untuk sesiapa yang elok akhlaknya.” – (HR Abu Dawud)
Apakah Itu Keelokkan Akhlak?
Ulama’ menyatakan bahawa keelokkan akhlak itu ialah:
1.
Pemurah
2.
Berkorban
3.
Tabah
4.
Bermanis muka
5.
Menyumbang perkara yang baik dan
menghalang perkara yang menyakiti orang lain
6.
Tidak marah
7.
Tidak bercakap kasar
8.
Memaafkan orang yang tersilap kecuali
untuk mendidik atau melaksanakan hudud
9.
Menuntut bela bagi pihak yang dizalimi
tanpa melebihi batas
10. Menyambung
silaturahim
Daripada Mu’az bin Anas al-Juhani, Rasulullah saw bersabda;
“Sifat mulia yang paling baik ialah kamu menyambung hubungan
dengan orang yang memutuskan hubungannya dengan kamu, kamu memberi kepada orang
yang tidak member kepadamu, dan kamu memaafkan orang yang mencercamu.” – (HR Imam Ahmad)
Saranan Hadith
1.
Bertaqwa dan bermuraqobah kepada Allah
Ta’ala.
2.
Memperbanyakkan amalan soleh bagi
menghapuskan dosa-dosa kecil.
3.
Memperbanyakkan istighfar dan
zikrullah.
4.
Bertaubat daripada dosa-dosa besar.
5.
Bergaul dengan manusia dengan akhlak
yang mulia.
Wallahu’alam
Casinos Near Carson, NV - Mapyro
BalasPadamFind Casinos Near 이천 출장마사지 Carson, NV near Carson City in 이천 출장안마 89029 - Use this simple form to find 대구광역 출장마사지 & 구리 출장안마 book your stay 대구광역 출장안마 in one of our recommended casinos near Carson,