15 Jun 2013

6.0 ARBA’IN AL-NAWAWI (HADITH 40 IMAM NAWAWI)


Muqaddimah

Terdapat 42 hadith sahih yang dikumpulkan oleh Imam an-Nawawi rahimahullah. Sebahagian besarnya terdapat di dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.

Ia menjadi tumpuan disebabkan kepentingannya sebagai asas utama atau pokok-pokok ajaran dalam agama Islam. Ucapannya ringkas tetapi mampu memberikan makna yang luas dan mendalam bagi menjelaskan ruang lingkup agama. Ia juga mempunyai bab yang tersendiri bagi memperjelaskan lagi makna hadith yang masih samar.

Pada asalnya, Imam Hafizh Abu ‘Amr bin Shalah rahimahullah (Ibnu Shalah) telah mempelopori pengumpulan 26 hadith yang dikatakan ringkas tetapi dinilai olehnya sebagai asas dalam agama Islam dan mendalam maksudnya. 26 hadith ini dimuatkan di dalam al-haadiits al-Kulliyah (Hadith-hadith yang komprehensif). Kemudian al-Imam an-Nawawi telah menambah lagi hadith-hadith ini menjadikannya 42 hadith dan dimuatkan di dalam Arba’in.

Kenapa 42 hadith ini dikumpulkan?

Jawapannya ada di dalam Muqaddimah oleh Imam an-Nawawi:

الحدالله رب العالمين ، قيوم السموات والأرضين، مدبر الخلائق أجمعين، باعث
 الرسل صلواته وسلامه عليهم إلى المكلفين، لهدايتهم وبيان شرائع الدين، بالدلائل
القطعية وواضحات البراهين، أحمده على جميع نعمه وأسأله المزيد من فضله وكرمه.
وأشهد أن لا إله الله الواحد القهار الكريم الغفار.
وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله وحبيبه وخليله، أفضل المخلوقين المكرم بالقرآن
العزيز المعجزة المستمرة على تعاقب السنين، وبالسنن المستنيرة للمسترشدين،
المخصوص بجوامع الكلم وسماحة الدين،وصلوات الله وسلامه عليه وعلى سائر النبيين
والمرسلين وآل كل وسائر الصالحين. أمابعد،

Segala puja bagi Allah Tuhan seluruh Alam, Pencipta langit dan bumi, Pentadbir sekelian makhluk, Pengutus para Rasul a.s kepada orang-orang yang mukallaf, untuk memberikan hidayah dan menerangkan syari‘at agama kepada mereka, dengan dalil-dalil yang putus (yang yakin) serta bukti-bukti yang jelas.

Aku memuji-Nya atas segala nikmat-Nya. Aku berdo’a memohon tambahan kurniaan dan kemurahan-Nya.

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Maha Perkasa, Maha Pemurah lagi Maha Pengampun.

Dan aku bersaksi bahawa Saiyidina Muhammad saw adalah hambaNya, Rasul Utusan serta kekasihNya, yang merupakan semulia-mulia makhluk. Rasul yang dimuliakan dengan al-Qur’an al-‘Aziz yang menjadi mukjizat sepanjang zaman. Rasul yang dimuliakan dengan Sunnah-sunnah yang bercahaya bagi orang-orang yang mencari pedoman. Rasul yang dikhususkan dengan sifat jawami‘ al-kalim( suatu kata-kata yang pendek tetapi mengandungi erti yang mendalam dan rapi.) dan agama penyayang.

Selawat dan salam Allah ke atasnya dan juga atas sekelian para Nabi dan Rasul. Juga atas keluarga masing-masing serta sekelian orang-orang yang solihin.

Sesungguhnya kami telah meriwayatkan daripada Ali ibn Abi Talib, Abdullah ibn Mas‘uud, Mu‘az ibn Jabal, Abu al-Darda’, Ibnu ‘Umar, Ibnu ‘Abbas, Anas ibn Malik, Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudrie r.a. daripada pelbagai jalan riwayat bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من حفظ على أمتي أربعين حديثا من أمر دينها بعثه الله يوم القيامة فى زمرة الفقهاء ولعلماء

 “Barangsiapa yang menghafal atas umatku empat puluh hadis daripada (hadis yang) berkenaan dengan agama mereka, nescaya Allah akan membangkitkannya pada hari kiamat dalam golongan para fuqaha’ dan ‘ulama.”

Dalam suatu riwayat lain: “Nescaya Allah akan membangkitkannya sebagai seorang faqih dan ‘alim.”

Dalam riwayat Abu al-Darda’: “dan telah adalah aku (iaitu Rasulullah) pada hari kiamat menjadi orang yang memberikan syafa‘at dan saksi kepadanya”.

Dalam riwayat Ibnu Mas‘uud : “dikatakan kepadanya (orang yang menghafal 40 hadis) masuklah engkau daripada mana-mana pintu syurga yang engkau mahu”.

Dalam riwayat Ibnu ‘Umar : “nescaya dia ditulis termasuk dalam golongan ‘ulama’, dan dibangkitkan dalam golongan para syuhada’ ”.

Para ‘ulama hadis telah sepakat bahawa hadis ini adalah dha‘if walaupun jalan-jalan riwayatnya banyak.

Ramai para ‘ulama r.a. telah mengarang dalam bab ini (iaitu bab 40 hadis). Antara yang paling awal mengarang -dalam pengetahuan aku- ialah Abdullah ibn al-Mubarak, Muhammad ibn Aslam al-Thusie al-’Alim al-Rabbanie, al-Hasan ibn Sufian al-Nasa’ie, Abu Bakar al-Aajirie, Abu Muhammad ibn Ibrahim al-Asfahanie, al-Daraquthnie, al-Hakim, Abu Nu‘aim, Abu Abdul Rahman al-Salmie, Abu Sa‘id al-Malinie, Abu ‘Uthman al-Shabuni, Abdullah ibn Muhammad al-Ansari, Abu Bakar al-Baihaqie dan ramai lagi ‘ulama yang lain tiada terkira samada daripada kalangan ‘ulama terdahulu atau terkemudian.

Aku telah beristikharah kepada Allah Ta‘ala untuk mengumpulkan 40 hadis sebagai mengikuti jejak langkah para Imam tokoh ‘ulama dan para huffaz al-Islam ini. Para ‘ulama telah sepakat mengharuskan beramal dengan hadis dha‘if dalam soal fadhail a‘maal (iaitu fadhilat-fadhilat amalan – kelebihan sesuatu amalan dan pahala atau ganjaran. Para ulama hadis telah meletakkan syarat untuk beramal dengan hadis dhaif dalam perkara ini dengan beberapa syarat. Antaranya: i) dhaif yang tidak teruk dan melampau ii) berada di bawah amalan yang boleh diterima iii) jangan menganggap ianya thabit dari Nabi saw ketika beramal dengannya.)

Namun demikian, bukanlah pergantungan aku (dalam usaha mengumpulkan 40 hadis ini) kepada hadis dha‘if, bahkan pergantungan aku ialah kepada sabda Nabi SAW dalam beberapa hadis sahih :

ليبلغ الشاهد الغائب

yang bererti: “Hendaklah orang yang hadir (majlis Rasulullah dan mendengar pengajaran Nabi SAW) menyampaikan (apa yang didengarinya) kepada orang yang tidak hadir”,

Juga sabda Nabi SAW :

نصر الله امرءا سمع مقالتي فوعاها فأداها كما سمعها

yang bererti: “Allah mempercahayakan (wajah) seseorang yang mendengar kata ucapanku, lalu dia memahaminya, lantas dia menunaikannya sebagaimana dia mendengarnya”. (Menunaikannya bermaksud menyampaikannya kepada orang lain sama ada dengan lafaz yang sama tepat atau dengan makna kerana harus meriwayatkan hadis Nabi secara makna dengan beberapa syarat tertentu. Lihat (Syarah Hadis 40 Nawawi) karangan al-Imam Ibnu Daqiq, Maktabah al-Turath al-Islamie,Kaherah,1987 pada syarah muqadimah ini.)

Ada sebahagian ‘ulama yang mengumpulkan 40 perkara mengenai usuluddin, ada yang lain mengenai perkara furu‘. Ada yang mengenai jihad dan yang lain mengenai zuhud. Ada juga mengenai adab-adab dan ada pula mengenai khutbah. Semuanya adalah kerja-kerja yang bertujuan baik yang Allah Ta‘ala redhai akan orang-orang yang melakukannya.

Aku rasa ingin mengumpulkan 40 perkara yang terlebih penting daripada semua itu iaitu 40 hadis yang merangkumi semua topik tersebut. Setiap hadis (daripada 40 hadis tersebut) menjadi qaidah (prinsip) agung daripada prinsip-prinsip agama. Aku ingin mengumpulkan hadis-hadis yang telah disifatkan oleh para ‘ulama bahawa perligaran Islam bersekitar di lingkungannya, atau separuh Islam, atau sepertiga Islam atau seumpamanya.

Kemudian aku beriltizam dalam pemilihan 40 hadis ini agar ia merupakan hadis-hadis sahih , dan kebanyakannya adalah terdapat dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Aku membuang sanad-sanad hadis ini agar ia mudah dihafal dan manfaatnya lebih tersebar umum insyaaAllah Ta‘ala. Kemudian aku ikuti hadis-hadis ini dengan suatu part huraian makna lafaz-lafaz hadis (40 ini) yang agak samar.

Patut sangat bagi orang yang mencintai akhirat untuk dia mengenali hadis-hadis ini kerana kandungannya yang merangkumi perkara-perkara yang penting dan memperingatkan tentang segala amal ketaatan. Bagi yang benar-benar mentadaburnya, mereka akan dapat lihat.

Kepada Allah jua pergantungan aku, kepada-Nya jua harapan dan sandaran aku, dan segala puja dan nikmat itu bagi-Nya, dan hanya dengan-Nya jua taufiq dan pemeliharaan dari dosa.

Imam Nawawi
Damsyiq
Kurun ke 7 Hijrah


Siapakah al-Imam an-Nawawi?

Nama sebenarnya ialah Yahya bin Syarf bin Mari bin Hasan bin Husain bin Hazam. Lahir pada Muharam 631H, di deza Nawa, Barat Daya Damaskus, Syria. Oleh itu sejak kecil dia dipanggil sebagai an-Nawawi. Ayahnya seorang petani dan pedagang yang alim.

Beliau menghafal al-Qur’an sebelum usia baligh. Sangat rajin menuntut ilmu sejak dari kecil lagi. Setiap hari beliau membaca 12 pelajaran dalam bentuk syarah dan komentar. Berjaya menghafal kitab at-Tanbiih fii Furuu’isy-Syaafi’iyah dalam masa lebih kurang empat setengah bulan. Pada tahun yang sama, beliau juga Berjaya menghafal suku daripada kitab al-Muhadzdzab fil Furuu’.

Para ‘ulama mengakui beliau seorang yang zuhud, bermadzhabkan Imam asy-Syafi’i, menjadi contoh dalam hal keta’atan, menegakkan amar ma’ruf dan nahi munkar dan memberi nasihat kepada para penguasa. Oleh itu beliau mendapat gelaran “Muhyiddin” (orang yang menghidupkan agama), namun dirinya tidak menyukai dengan gelaran itu. 

Beliau juga dikenali sebagai Abu Zakariya walaupun dia tidak mempunyai anak. Beliau meninggal dunia sebelum sempat berumahtangga pada usia yang muda iaitu semasa berumur 45 tahun di kampung halamannya.
Allah SWT telah memberi keberkatan masa baginya. Di antara karya beliau ialah;

1.   Syarah Shahih Muslim
2.   Raudhatuth-Thaalibiin
3.   Riyaadhush-Shaalihin
4.   Adzkaarul-Munjiyaah min Kalaami Sayyidil-Abraar
5.   At-Tibyan fii Hamlatil-Qur’an
6.   Al-Arba’in Nawawi
7.   Syarah Bukhari
8.   Syarah Sunan Abu Daud
9.   Tahdziibul-Asmaa’ wal-Lughaat.

Wallahu’alam

05 Jun 2013

2.8 20 DASAR/USUL MEMAHAMI ISLAM, Menjadi Pegangan Seorang Muslim (Usul al-Fahmi al-Islami al-Mu’asir)

Muqaddimah

Setiap muslim yang mengaku dirinya Islam sudah semestinya sangat perlu memahami Islam secara sempurna. Pemahaman ini membolehkan kita mempunyai tasawwur yang jelas terhadap Islam; menilai sesuatu perkara mengikut Al-Qu’ran dan as-sunnah; mengamalkan syariat Islam dengan kefahaman ilmu dan ihsan; serta menjadikan Islam sebagai perkara utama dalam seluruh sistem kehidupan; bersesuian dengan Islam yang bersifat syumul, kamil dan mutakamil.

Umat Islam pada umumnya terbahagi kepada tiga golongan; 

1.       Golongan pertama adalah satu kelompok yang bersifat kebaratan dan bebas. Islam mereka adalah kerana nama dan keturunan.

2.       Golongan kedua adalah golongan yang mengamalkan Islam secara ritual, mengikut tradisi dan kebiasaan yang telah berakar umbi  dalam masyarakat. Berpandangan tradisional yang padanya Islam itu adalah di masjid, atau pun di perayaan-perayaan tertentu seperti kenduri tahlil dan sebagainya.

3.       Golongan ketiga pula adalah golongan yang mempunyai kesedaran Islam dan mencintai Islam. Mereka inginkan masyarakat Islam bersama mereka mengamalkan Islam. Ada yang menggambarkan Islam itu secara `simple’ dan menitik beratkan ibadah-ibadah khusus sahaja.  Ada pula yang menekankan kesufian sehingga kadangkala  berlaku pencampuran perkara bid’ah di dalam amalan mereka. Masing-masing mempunyai sistem penilaian yang tersendiri yang terhasil dari fikrah dan kefahaman mereka terhadap Islam.

Semua kita mengakui dan mengetahui bahawa kefahaman Islam adalah bersumberkan daripada al-Qur’an dan sunnah Nabi saw. Namun tidak ramai yang mengetahui bagaimana asas-asas kefahaman Islam itu diambil untuk menjadi pegangan dan amalan.  Secara analoginya dalam perkara fiqh, sesuatu hukum dalam ibadah kita sama ada haram, makruh, harus, sunat dan wajib mestilah ada asasnya; yakni bagaimana sesuatu hukum itu diambil. Ia dinamakan sebagai usul fiqh. Ini adalah asasnya; yang bersumber dari Al-Qu’ran, Sunnah,Ijma’ dan Qiyas. Inilah pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Persoalannya bagaimana untuk kita memahami Islam? Sudah pasti ada asas, prinsip, kaedah dan panduannya. Bagi para sahabat, tabi’in, tabi’-tabi’in, juga bagi para mujtahid, maka tidaklah menjadi suatu yang sukar bagi mereka untuk memahami Islam kerana al-Qu’ran itu berada di dalam dada mereka.

Bagaimana pula dengan orang awam yang terkebelakang dan jauh dari zaman para sahabat seperti kita ini? Inilah yang berlaku di zaman ini; berlaku percampuran kefahaman terhadap Islam yang melahirkan cara nilai berbeza, fikrah berbeza dan uslub da’wah yang tidak menepati prinsip fiqh dakwah. Seseorang yang menyampaikan Islam tetapi tidak memiliki kefahaman yang benar tentang Islam perlu berusaha memahami dengan lebih bersungguh seiring dengan usaha da’wah mereka. Sekiranya tidak, maka kita akan melihat sebahagian golongan yang cintakan Islam ini telah meninggalkan beberapa amalan Islam yang dirasakan tidak penting; malah kadangkala mereka menjadi penghalang kepada kebangkitan Islam dan mengambil sikap berkecuali dalam perkara-perkara haq.

Alhamdulillah, syukur kita kehadhrat Allah SWT kerana Al-Imam Hasan Al-Banna telah menyusun usul 20 ini. Beliau berasa bimbang terhadap kefahaman umat Islam kepada kefahaman Islam yang sempurna telah tergugat.  Pemulihan perlu dilakukan untuk:

1.       Membebaskan ‘aqidah umat Islam daripada segala
          kejumudan dan membetulkan tasawwur (gambaran)
          kehidupan.

2.       Menyelamatkan pemikiran umat Islam daripada
          memberi tumpuan hanya kepada sebahagian daripada
          urusan agama dan meninggalkan sebahagian yang lain 
          sehingga tidak menampakkan kesyumulannya.

3.       Merungkai kejumudan pemikiran umat Islam daripada
          hanya bertaqlid kepada berijtihad agar para ulama’ 
          dapat mencari formula baru menyelesaikan isu semasa 
          dan yang mendatang.

Proses pemulihan (islah) ini bukanlah suatu yang mudah. Beliau telah menyenaraikan 10 rukun islah yang dengannya sahaja keadaan umat Islam boleh menjadi pulih:

1.       Memahami agama Islam secara sahih, syumul dan
          lengkap.

2.       Ikhlas kerana Allah dalam ber’amal semata-mata untuk
          agama Islam.

3.       Ber’amal untuk agama ini dengan melakukan islah diri, 
          rumah-tangga, masyarakat, kerajaan dan yang lain.

4.       Jihad dijalan Allah dipelbagai tahap, martabat dan 
          jenisnya.

5.       Mengorbankan (tadhiyyah) waktu, tenaga, harta dan 
          diri demi agama ini.

6.       Menta’ati Allah dan Rasul ketika susah dan senang 
          dan ketika cergas atau terpaksa.

7.       Thabat (teguh pendirian) di atas agama ini sama ada
          pada ‘aqidah, syari’at dan ‘amalan, sekalipun keadaan 
          zaman yang ditempuh berpanjangan sehingga tercapai 
          matlamat mereka.

8.       Tajarrud iaitu mengosongkan diri dari setiap fikrah yang 
          bercanggah dengan fikrah Islam.

9.       Ukhuwwah (persaudaraan) dalam agama ini. Bagi 
          kesatuan dan penawar masalah berpuak-puak dan 
          kebinasaan. Perpecahan adalah saudara kepada 
          kekufuran.

10.   Thiqah (kepercayaan) kepada kepimpinan dan beramal 
        untuk Islam dengan berpegang kepada; “Tiada keta’atan 
        kepada makhluk pada melakukan maksiat kepada yang 
        Maha Mencipta.”

Umpama sebuah bangunan, jika salah satu sisinya roboh maka seluruh bangunan akan roboh. Jika salah satu 10 rukun ini rosak, maka pengislahan tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Rukun islah yang pertama ialah memahami agama Islam secara sahih, syumul dan lengkap. Ia mempunyai 20 dasar/ usul (rukun Faham) yang perlu diteliti dan diamalkan. Ini bermakna terdapat 20 prinsip Islam yang mesti difahami dengan sahih sebelum seseorang itu bergelar Muslim yang sejati. 20 prinsip itu adalah:

1.       Memahami bahawa;
Islam adalah sistem hidup yang syumul, mencakupi seluruh aspek kehidupan.
Islam adalah Negara dan tanahair, pemerintahan dan umat.
Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmah dan keadilan.
Islam adalah tsaqafah (kebudayaan) dan undang-undang atau `ilmu dan kehakiman.
Islam adalah madah (material) dan kekayaan atau hasil usaha dan kecukupan.
Islam adalah jihad dan dakwah, juga tentera dan fikrah.
Islam adalah ‘aqidah yang sebenar dan `ibadat yang sahih, sama sahaja tanpa ada bezanya.

2.       Al-Qur’anul Karim dan Sunnah Nabi saw yang suci adalah rujukan bagi setiap Muslim bagi mengetahui hukum-hukum Islam. Al-Qur’an hendaklah difahami sesuai dangan kaedah-kaedah bahasa Arab, tidak lebih dan tidak kurang. Untuk memahami sunnah yang suci, ia dikembalikan kepada para ulama’ hadith yang tsiqah.

3.       Pada iman yang benar dan `ibadat yang sahih serta mujahadah terdapat `Nur’ dan kemanisan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati di kalangan hamba-Nya menurut siapa yang Dia kehendaki.   Namun ilham, khowatir (lintasan hati), kasyaf (pandangan tembus) dan ru’ya (mimpi) bukanlah dalil-dalil (hujah) bagi hukum syara’.

4.       Tama’im (tangkal azimat), ruqyah (jampi serapah/mentera), wada’ dan raml (sejenis ramalan dengan tanah), meramal (tukang tilik), berdukun/bomoh dan mengetahui perkara ghaib dan segala yang seumpama dengannya adalah kemungkaran yang wajib diperangi, kecuali ia mengandungi ayat Al-Qur’an atau doa-doa dari hadith yang ma’thur.

5.       Ijtihad (pendapat/pandangan) seorang imam (pemimpin) atau timbalannya pada perkara yang tidak mengandungi nas, atau pada perkara yang boleh diandaikan beberapa wajah pendapat atau mengandungi `masalih mursalah’ (maslahat umum) boleh dipraktikkan selagi ia tidak bertembung dengan kaedah syara’. Adakalanya ia berubah bergantung kepada keadaan, kebiasaan dan adat. Prinsip utama `ibadat ialah ta’abbud (pengabdian) tanpa melihat hikmahnya, dan prinsip utama adat (kebiasaan) ialah melihat kepada rahsia-rahsia, hikmah dan tujuannya.

6.       Pandangan setiap orang boleh diterima dan ditolak kecuali Nabi yang ma’sum Sallallahu ‘alaihi wasallam. Setiap apa yang datang daripada para salafussoleh, yang selari dengan kitab dan sunnah adalah diterima. Jika tidak, maka kitab Allah  dan sunnah adalah lebih utama untuk diikuti. Kita tidak menyarankan sebarang tuduhan atau kecaman kepada peribadi tertentu pada masalah yang diperselisihkan. Terserah kepada niat mereka, apa yang telah mereka lakukan dan apa yang telah mereka amalkan.

7.       Setiap Muslim yang tidak dapat mencapai tahap mampu meneliti dalil-dalil bagi hukum-hukum cabang (Furu’iyah) harus mengikuti imam (mujtahid) agama. Ada baiknya juga, di samping ikutan ini, ia berijtihad sekadar termampu untuk mengetahui dalil-dalil (hukum-hukum agama). Dia juga hendaklah menerima tunjuk ajar yang berserta dengan dalil, selama mana tunjuk ajar itu benar dan keahlian dalam ilmunya. Jika dia dari kalangan `ilmuwan, maka hendaklah dia menampung segala kekurangan `ilmiyyah sehingga dia mampu untuk sampai martabat mampu meneliti (hukum-hakam).

8.       Al-Khilaf Al-Fiqhiy (perselisihan fiqh) dalam perkara furu’ (cabang) tidak seharusnya menjadi punca perpecahan dalam agama dan mengheret kepada permusuhan dan saling benci-membenci. Setiap mujtahid mendapat ganjarannya. Tiada salahnya membuat penjelasan ‘ilmiyyah (mengkaji pendapat mana yang lebih kuat (tahqiq Al-Ilmi) )pada masalah perselisihan di bawah naungan rasa mahabbah (cinta) kerana Allah dan saling bertolong-bantu untuk mencapai hakikat (kebenaran) tanpa mengheret kepada perdebatan yang tercela dan rasa ta’assub.

9.       Setiap permasalahan yang tidak mendorong kepada ‘amal (perbuatan), adalah antara perbuatan yang ditegah oleh syara’. Antaranya; memperbanyakkan cabang-cabang hukum-hakam yang masih belum berlaku dan melibatkan diri kepada makna-makna ayat al-Qur’an yang masih belum tercapai oleh ilmu dan membicarakan kelebihan antara para sahabat dan perselisihan antara mereka. Setiap mereka mempunyai kelebihan (keutamaan) masing-masing dalam mendampingi Rasul dan menerima ganjaran menurut niat mereka, (lebih-lebih lagi) terdapatnya banyak pandangan/pilihan dalam menta’wil (isu ini).

10.   Mengenal Allah (makrifatullah) dan mentauhidkan (mengesakan-Nya) dan menyucikanNya adalah kemuncak ‘aqidah Islam. Kita mengimani ayat-ayat sifat (termasuk ayat mutasyabihat) dan hadih-hadith yang sahih serta apa-apa tasyabuh (penyerupaan) yang layak bagi Allah, tanpa menta’wil dan ta’til (menafikan). Kita tidak mendedahkan diri kepada sesuatu yang terdapat padanya perselisihan antara ‘ulama. Sudah cukup untuk kita dengan apa yang telah dicukupkan oleh Rasul. Allah berfirman yang bermaksud; “Dan orang-orang yang mendalam ‘ilmunya berkata kami beriman dengan semuanya (ayat-ayat yang mutasyabihat) dari Tuhan kami.”- QS Aali-‘Imran:7

11.   Setiap bid’ah (perkara baru) yang ada dalam agama Allah yang tiada asal prinsip, dan manusia menganggapnya baik menurut hawa nafsu mereka, sama ada menambah atau menguranginya, merupakan satu kesesatan yang wajib diperangi. Kita mesti menghapuskannya dengan cara terbaik yang tidak membawa kepada malapetaka yang lebih buruk.

12.   Bid’ah (baik berupa penambahan maupun pengurangan dalam masalah ibadah) dan beriltizam (memberi komitmen secara terus-menerus) dengan ‘ibadat yang mutlak ia merupakan perselisihan fiqh (khilafiyah). Semuanya terdapat pandangan ‘ulama’ dan tidak mengapa kita mencari hakikat dengan dalil dan bukti.

13.   Mengasihi, menghormati dan memuji orang saleh lantaran ‘amalan baik mereka adalah merupakan qurbah(menghampirkan) diri kepada Allah. Para auliya’ (para wali Allah) ialah mereka yang dinyatakan pada firman Allah; “Mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah.” QS Yunus:63 , Karamah mereka adalah thabit dengan syarat-syarat yang syar’i. Di samping itu, kita beri’tiqad mereka tiada kuasa memberi manfa’at dan mudarat kepada diri mereka sendiri sama ada semasa hidup atau selepas mereka mati. Lebih-lebih lagi untuk menghulurkan itu semua kepada orang lain.

14.   Menziarahi kubur walau bagaimana keadaan sekalipun adalah sunnah yang disyari’atkan dengan cara yang ma’thur (mengikut tatacara yang dicontohi oleh Rasulullah saw). Tetapi meminta pertolongan kepada ahli kubur – walau siapa pun mereka – menyeru mereka kerana perkara tersebut, meminta hajat dari mereka sama ada dari jauh mahupun dekat, bernazar kepada mereka, mendirikan binaan di atas kubur mereka, menutupinya meneranginya dengan lampu, mengusapnya, bersumpah dengan selain Allah dan apa jua yang disertai dengan bid’ah merupakan dosa besar yang wajib diperangi. Kita tidak menta’wil terhadap amalan-amalan tersebut demi menutup fitnah (kemungkaran) yang lebih parah.

15.   Berdo’a kepada Allah di samping bertawassul dengan salah satunya makhluk-Nya adalah merupakan perselisihan cabang(furu’) dalam tatacara berdo’a yang tidak termasuk dalam masalah ‘aqidah.

16.   ‘Uruf (kebiasaan) yang salah tidak dapat mengubah hakikat lafaz-lafaz syara’. Bahkan wajib mengenal-pasti batas-batas makna yang dikehendaki dengannya dan berhenti pada sempadannya. Sepertimana wajib berwaspada dari tipudaya lafaz pada setiap perkara agama dan dunia. Kita mengambil kira “benda” yang dinamakan(musammayat) bukannya nama itu sendiri.

17.   Aqidah adalah asas atau dasar amalan. Amalan hati lebih utama berbanding amalan anggota. Mendapatkan kesempurnaan dengan keduanya adalah dituntut pada syara’ sekalipun terdapat perbezaan martabat (tingkatan) tuntutan tersebut.

18.   Islam membebaskan (memerdekakan) akal dan menggesa untuk memerhatikan alam semesta, menjunjung tinggi  martabat ilmu dan ‘alim ulama’ serta mengalu-alukan perkara yang baik lagi bermanfa’at. Hikmah adalah barang yang hilang daripada orang mukmin, sesiapa yang menemuinya maka dialah yang paling berhak terhadapnya.

19.   Segala sesuatu boleh dilihat dari pandangan syar’i dan akal selama ia tidak termasuk masalah akhirat (yang qat’i). Akan tetapi keduanya tidak akan berbeza di dalam masalah yang sudah jelas hukumnya. Apabila keduanya bersifat zhanni (sangkaan), maka pandangan syar’i lebih utama untuk diikuti, hingga akal kita mampu menerima atau mengalah dengannya.

20.   Kita tidak boleh mengkafirkan seorang muslim yang mengucapkan dua kalimah syahadah (syahadatain) dan yang beramal dengan segala tuntutannya serta melaksanakan kefarduannya. – dengan pandangan atau maksiat – kecuali ia menyatakan dengan terang-terangan dengan:
·         Mengakui kalimah kufur.
·         Mengingkari perkara agama yang sedia diketahui secara
           daruri.
·         Mendustakan al-Qur’an yang jelas maknanya.
·         Mentafsirkannya menurut gambaran yang tidak sealiran
           dengan tata bahasa Arab pada semua keadaan.
·         Atau ia melakukan suatu amalan yang tidak dapat 
           dianggapi (ditakwilkan) selain dari kufur.

20 usul yang disenaraikan adalah perlu difahami dan dilaksanakan supaya dapat mengelakkan perbezaan kefahaman dalam memahami Islam daripada al-Qur’an dan sunnah Nabi saw. Maka ia merupakan satu garis panduan bagaimana hendak memahami Islam secara yang betul dan benar. Supaya tidak terpesong daripada landasan-landasan yang benar yang boleh mengakibatkan pemahaman-pemahaman yang berbeza. Jika berlaku pemahaman-pemahaman yang berbeza di kalangan umat, ini boleh mengakibatkan perpecahan dan perbalahan.

Justeru itu, disarankan setiap individu memiliki senaskah buku yang membincangkan usul 20 ini seperti;
1.       Durus fil Fahm Wal-amal (Khawatir fi Zilal Usul Isyrin); Dr. 
          Abd Rahman Jumaat (2007), Cairo.
2.       Syarah Usul al-Isyrin; Dr. Abdul Halim Mahmood, Cairo.
3.       Syarah Usul al-Isyrin; Dr. Yusof al-Qardawi.
4.       Fahm Islam fi Zilal usulil-Isyrin; Syeikh Jumaat Amin Abdul 
          Aziz, Cairo.
5.       Syarh Usul al-Isyrin; Abdul Mun’in Tu’ailib, Cairo.
6.       Nazarat fi risalati-ta’lim; Syeikh Abdullah al-Khatib.
7.       Fi Afaqi-Ta’alim; Syeikh Saeed Hawwa.
8.       Al-Nahj al-Mubin; Syeikh Abdullah Qasim al-Wasyili.

Baca dan berusahalah memahaminya. Semoga hasil pemahaman yang sahih ini akan menerbitkan amalan yang tulen sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt dan sebagaimana yang ditunjuki oleh Junjungan Besar Rasulullah saw.

Wallahu’alam

Oleh: Al-Imam Hasan Al-Banna
Syarah: Dr.’Ali ‘Abdul Halim Mahmud
             Dr.UQY

20 April 2013

5.14 SURAH AALI-‘IMRAN (KELUARGA ‘IMRAN) – Bahagian 4


Faktor-faktor supaya tsabat :

1.    Kembali kepada Allah SWT
Keteguhan itu datangnya daripada Allah SWT. Surah ini banyak menganjurkan kita berdo’a dan mengadu permasalahan yang dihadapi kepada-Nya. Allah SWT mengajar kepada kita untuk berdo’a sebagai firman-Nya:
“(Mereka berdo’a); Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (kurnia).” – QS (Aali-‘Imran:8)

“Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk (menerima pembalasan pada) hari yang tak ada keraguan padanya, sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.” – QS (Aali-‘Imran:9)

Allah SWT mengemukakan dua tokoh ikutan yang berjaya iaitu isteri ‘Imran dan Nabi Zakaria a.s. Mereka meletakkan pengharapan dan kekuasaan kepada Allah SWT sahaja.

Isteri ‘Imran berdo’a:
“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menazarkan kepada engkau anak yang dalam kandunganku menjadi hamba yang soleh dan berikhidmat (di Baitulmakdis), maka kabulkanlah do’aku, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” – QS (Aali-‘Imran:35)

Nabi Zakaria a.s berdo’a:
“Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik.” – QS (Aali-‘Imran:38)

Do’a umat-umat yang terdahulu ketika berhadapan dengan musuh:
“Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” – QS (Aali-‘Imran:147)

Do’a orang yang cerdas:
“Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar (seruan) yang menyeru kepada iman (yaitu); ‘Berimanlah kamu kepada Tuhan-mu.’ Maka kami pun beriman. Ya Tuhan kami, ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan kami, dan wafatkanlah kami beserta orang-orang yang berbakti. Ya Tuhan kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami dengan perantaraan rasul-rasul Engkau. Dan janganlah Engkau hinakan kami di hari kiamat. Sesungguhnya Engkau tidak menyalahi janji. ‘Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman), Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki atau perempuan, (kerana) sebahagian kamu adalah turunan dari sebahagian yang lain. Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampong halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Ku hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai dibawahnya sebagai pahala di sisi Allah. Dan Allah pada sisi-Nya pahala yang baik.” – QS (Aali-‘Imran:193-195)

2.    Beribadah
Beribadah adalah sifat-sifat ulul albab. Allah SWT berfirman:
“(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring.” – QS (Aali-‘Imran:191)

Allah SWT memaparkan keadaan Maryam dan Nabi Zakaria a.s yang sentiasa beribadah kepada-Nya.

 Allah SWT berfirman:
“Setiap kali Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab.” – QS (Aali-‘Imran:37)
Sayyidah Maryam biasa beri’tikaf (berdiam diri) di mihrab. Maka Nabi Zakaria a.s mempelajari darinya untuk melakukan hal yang sama. Oleh itu ketika malaikat memberi khabar gembira akan kehadiran puteranya, Nabi Zakaria a.s dalam keadaan bermunajat.

Allah SWT berfirman:
“Kemudian malaikat (Jibril) memanggil Zakaria, sedang ia tengah berdiri melakukan solat di mihrab.” – QS (Aali-‘Imran:39)

3.    Melaksanakan Da’wah
Ketika seorang da’i membimbing orang lain, maka ia akan menjadi orang pertama yang berpegang teguh pada apa yang diajarkannya itu. Di dalam surah ini banyak memaparkan suruhan berdakwah.

Allah SWT berfirman:
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” – QS (Aali-‘Imran:104)

Allah SWT berfirman:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakkan mereka adalah orang-orang yang fasik.” – QS (Aali-‘Imran:110)

4.    Mempunyai hadaf (tujuan) hidup yang jelas.
Harus difahami bahawa semua makhluk di Bumi dan di langit tidak dijadikan sia-sia. Semuanya adalah dianugerahkan kepada manusia supaya mereka mengenal Allah SWT, beribadah kepada-Nya dan menjadi khalifah (pemimpin) yang bertanggungjawab di atas muka Bumi.

Allah SWT berfirman:
“(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan Bumi (seraya berkata); ‘Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” – QS (Aali-‘Imran:191)

5.    Memelihara Ukhuwah
Allah SWT berfirman:
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai.” – QS (Aali-‘Imran:103)

Allah SWT menyebutkan, ukhuwah fillah (persaudaraan kerana Allah) boleh menjamin seorang Muslim memperolehi persahabatan yang baik. Ini merupakan nikmat Allah SWT bagi manusia. Allah SWT juga memaklumkan bahaya berpecah belah.

Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka.” – QS (Aali-‘Imran:105)

Ukhuwah fillah adalah satu sebab Allah SWT mengurniakan kemenangan kepada kaum Muslimin di dalam peperangan Badar.


Pengajaran(Ibrah) dari peperangan Uhud:

Ibrah peperangan Uhud disentuh lembut di dalam surah ini.

Di dalam ayat 122 dan 123, Allah SWT mengingatkan kurniaan-Nya sebelum peperangan Uhud iaitu Dia telah memberi kemenangan di dalam peperangan Badar.

Allah SWT berfirman:
ketika dua golongan daripadamu ingin (mundur) karena takut, padahal Allah adalah penolong bagi kedua golongan itu. Karena itu hendaklah karena Allah saja orang-orang mu’min bertawakkal. (122) Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Karena itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya. (123)” – QS (Aali-‘Imran:122-123)

Kemenangan itu adalah berasal daripada Allah SWT. Apabila wujud perasaan takut (tidak teguh di atas kebenaran), maka Allah SWT-lah yang memberi keteguhan kepada mereka. Berkat kesabaran dan ketaqwaan, Allah SWT menurunkan para malaikat untuk membantu mereka.

Di dalam peperangan Uhud, kaum Muslimin mengalami kekalahan disebabkan keingkaran mereka kepada Rasulullah saw. Justeru itu, Allah SWT menyeru supaya bertaubat dan kembali kepada-Nya.

Allah SWT berfirman:
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,” – QS (Aali-‘Imran:133)

Beginilah Al-Qur’an mentarbiyah supaya sentiasa berada di dalam keteguhan. Apabila tersasar, cepat-cepatlah kembali kepada Allah SWT dan memohon keampunan-Nya.

Allah SWT berfirman:
“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri , mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” – QS (Aali-‘Imran:135)

Kemudian, Allah SWT memberi motivasi dan menaikan semangat kepada kaum Muslimin supaya tidak lemah. Sebaliknya bersikap sabar dan teguh dalam menghadapi penderitaan dan musibah.

Allah SWT berfirman:
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” – QS (Aali-‘Imran:139)

“Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membedakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.” – QS (Aali-‘Imran:140)

Ayat-ayat ini menyentuh lembut dan menghiburkan kaum Muslimin. Pihak musuh juga mengalami kecederaan yang sama di dalam peperangan Badar dahulu. Kemudian, Allah SWT menguatkan keteguhan dengan ayat berikut:

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.” – QS (Aali-‘Imran:142)

Barang siapa yang membaca ayat ini, pasti akan dapat bersabar dan akan terus berjuang kerana nilai syurga adalah mahal harganya.

Setelah kata-kata semangat diberikan, Allah SWT menegur dan mengkritik lembut. Keinginan dan cita-cita biarlah disertakan dengan usaha serta sikap yang tahan diuji.

Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya kamu mengharapkan mati (syahid) sebelum kamu menghadapinya; (sekarang) sungguh kamu telah melihatnya dan kamu menyaksikannya.” – QS (Aali-‘Imran:143)

Tidak sepatutnya berita kematian Rasulullah saw melunturkan semangat juang mereka di dalam peperangan Uhud. Mereka sepatutnya meneruskan perjuangan Rasulullah saw sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman:
“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” – QS (Aali-‘Imran:144)

Allah SWT mengingatkan kembali di dalam peperangan Uhud, ada dari kalangan mereka yang melarikan diri tanpa mengindahkan Baginda saw.

Allah SWT berfirman:
“(Ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada seseorangpun, sedang Rasul yang berada di antara kawan-kawanmu yang lain memanggil kamu, karena itu Allah menimpakan atas kamu kesedihan atas kesedihan, supaya kamu jangan bersedih hati terhadap apa yang luput daripada kamu dan terhadap apa yang menimpa kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” – QS (Aali-‘Imran:153)

Allah SWT meminta supaya mengambil contoh sikap teguh yang dimiliki oleh orang-orang beriman yang terdahulu.

Allah SWT berfirman:
“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh) dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengasihi orang-orang yang sabar.” – QS (Aali-‘Imran:146)

Selepas sedikit kritikan, Allah SWT menunjukkan kasih sayang-Nya yang menghiburkan dengan firman-Nya:
“Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliah…..” – QS (Aali-‘Imran:154)

Allah SWT juga telah melembutkan hati Rasulullah saw terhadap kaum Muslimin walaupun mereka telah melakukan kesalahan. Baginda saw disuruh mengadakan mesyuarat membincangkan perkara tersebut.

Allah SWT berfirman:
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” – QS (Aali-‘Imran:159)


Pengajaran Dari Kekalahan

Kekalahan peperangan Uhud memberi iktibar kepada kaum Muslimin bahawa kekalahan tersebut disebabkan beberapa faktor:

1.    Perselisihan (tiada kesepakatan) dan tidak ta’at.

Pada peringkat awal, Allah SWT memberikan kemenangan. Sebagaimana firman-Nya di dalam surah ini, ayat 152;
“Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya,”

Kemudian, apabila mereka mula tidak tsabat dan mula berselisih pendapat tentangnya dan tidak ta’at kepada perintah Rasulullah saw;
“sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah)”

Ini semua disebabkan keinginan dunia melebihi dari keinginan akhirat (oleh pasukan
memanah);
“sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan
harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia
semata-mata dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman”

2.   Kemaksiatan dan dosa.

    Disebabkan dosa-dosa mereka yang lampau, syaitan telah Berjaya mengambil kesempatan
    untuk menghasut;
    “Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu) dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar” – QS (Aali-‘Imran:155)

Oleh itu seboleh mungkin untuk kita tidak melakukan maksiat dan dosa. Orang yang
bertaqwa itu adalah orang yang sangat berhati-hati supaya tidak terjerumus dalam
kemaksiatan dan dosa.

3.   Meletakkan kebergantungan kepada manusia.
    
     Jika manusia meletakkan kebergantungannya kepada benda atau manusia, maka sikap tsabat dan komitmennya boleh menurun jika benda atau manusia itu musnah. Sebagaimana telah berlaku kepada sebahagian sahabat di dalam peperangan Uhud sehingga ditegur oleh Allah SWT;
     “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)?” – QS (Aali-‘Imran:144)

     Oleh itu, letaklah kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT kerana Allah SWT kekal dan tidak musnah. Dia Maha Berkuasa, Maha Lembut, Maha Pengampun dan Maha Penerima taubat. Ini kerana Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang akan hamba-hamba-Nya. Kasih sayang-Nya melebihi kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Dia hampir kepada hamba-Nya seperti hampirnya urat nadi dileher mereka.

Penutup

Dengan ini, jelas kepada kita surah Aali-‘Imran mengajar kita supaya bersikap tsabat dan istiqomah dijalan yang benar. Mengambil contoh-contoh kesilapan orang-orang yang terdahulu sebagai pengiktibaran. Mengikuti contoh-contoh orang yang terhalu yang berjaya dan bagaimana mereka memperolehi pertolongan Allah SWT menuju kejayaan. Kejayaan itu bukanlah kejayaan dunia semata-mata tetapi juga kepada kejayaan kehidupan di akhirat.

Betapa cantiknya pentarbiyahan Al-Qur’an. Lihatlah korelasi antara ayat-ayat yang disusun menyebabkan kita tidak jemu-jemu membacanya dan dijadikan sebagai buku rujukan utama apabila menghadapi apa-apa permasalahan.

Tidak hairan kenapa Allah SWT memberi ganjaran yang hebat kepada mereka yang membaca, menghafal dan mengamalkan surah al-Baqarah dan surah Aali-‘Imran ini. Beruntunglah mereka sehingga melihat sendiri ganjarannya kelak.

Wallahu’alam.