17 Februari 2012
4.16 Surah Al-Bayyina - سُوۡرَةُ البَیّنَ
وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَذَٲلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ (٥) إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ وَٱلۡمُشۡرِكِينَ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيہَآۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ شَرُّ ٱلۡبَرِيَّةِ (٦) إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ خَيۡرُ ٱلۡبَرِيَّةِ (٧) جَزَآؤُهُمۡ عِندَ رَبِّہِمۡ جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ أَبَدً۬اۖ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ ذَٲلِكَ لِمَنۡ خَشِىَ رَبَّهُ ۥ (٨)
Dan mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan keta'atan kepada-Nya serta berpegang teguh dengan tauhid dan supaya mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Dan itulah agama yang benar (5). Sesungguhnya orang-orang kafir dari golongan Ahlil-Kitab dan kaum Musyrikin akan ditempatkan di dalam Neraka Jahannam di mana mereka hidup kekal abadi. Merekalah sejahat-sejahat makhluk (6). Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh, merekalah sebaik-baik makhluk (7). Balasan untuk mereka di sisi Tuhan mereka ialah taman-taman Syurga 'Adni yang mengalir di bawahnya berbagai-bagai sungai di mana mereka hidup kekal buat selama-lamanya. Allah telah redha terhadap mereka dan mereka telah redha terhadap Allah. Itulah balasan bagi orang yang takutkan Tuhannya (8).
Penerangan Ayat
Ayat ke-5
وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَذَٲلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ (٥)
Dan mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan keta'atan kepada-Nya serta berpegang teguh dengan tauhid dan supaya mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Dan itulah agama yang benar(5).
Ayat ini memberikan satu tasawur ad-din dan konsep 'ibadah yang sebenar. Malah ia menerangkan tentang penawar kepada punca pertelingkahan. Yakni apabila keikhlasan kepada Allah dijelmakan 100% maka sikap ego dan kedegilan dapat dihapuskan.
Tujuan manusia hidup ialah untuk beribadah kepada Allah. Maka adalah perlu memahami konsep 'ibadah yang sebenar. `Ibadah mempunyai perkaitan yang rapat dengan `aqidah. Jika berlaku `gap' dalam pemahaman tentang `ibadah, maka akan ada `gap' juga dalam pemahaman tentang `aqidah. Adalah mustahil memahami `aqidah tanpa memahami konsep `ibadah yang sebenar.
Mengikut Abu A'la Al-Maududi, 'ibadah membawa maksud ketundukan kepada keagungan Allah dan menyerahkan kemerdekaan dan meninggalkan sifat melawan. Yakni menjadi hamba yang patuh kepada Allah. Seorang hamba semestinya akan merendahkan diri dan akan taat setia yang tidak berbelah bagi. Tiada yang diikuti/dipatuhi/ditakuti selain Allah. Ketaatan dan ketundukannya tidak tertakluk kepada masa. Akan taat pada setiap masa dan pada keseluruhan detik kehidupannya. Dia akan menerima arahan dan melakukan segala amalan. Meninggalkan segala larangan Allah. Kesemuanya dilakukan secara sukarela. Tidak mengharapkan ganjaran. Dia memuji dan memberikan ikrar bahawa Allah-lah Rabb dan Ilah.
Firman Allah dalam surah al-Fatihah 1:2 dan 5 (maksudnya)
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٢)إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥)
“Segala puji-pujian terpulang kepada Rabb yang memelihara seluruh Alam (2)”
“Hanya Engkau sahaja (Tuhan) yang kami sembah dan hanya kepada Engkau sahaja kami memohon pertolongan” (5)
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah Rahimullah menjelaskan lima perkara penting dalam perhambaan kepada Allah:
1. Kecintaan kepada Allah
Asas kepada ibadah adalah kecintaan kepada Allah. Tiada yang lebih dicintai selain Allah; malah syarat kecintaan kepada perkara lain juga adalah kerana Allah.
2. Ketaatan dan ketundukan
Tiada ketaatan melainkan kepada Allah.
3. Keikhlasan
Matlamat/objektif ibadah adalah semata-mata untuk Allah. Tiada `secondary' motif. Dalam doa iftitah selalu dilafazkan ikrar ini “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, dan matiku, kuserahkan hanya kepada Allah”. Dia melakukan sesuatu amal bukan kerana riya', sum'ah (mencari kemasyuran diri) atau tujuan yang lain. Malah tidak mengharapkan pengiktirafan dan balasan.
4. Kepercayaan
Mempunyai keyakinan sepenuhnya kepada Allah. Yakin dan redha kepada Qadha' dan Qadar Allah. Semua yang datang dari Allah adalah yang terbaik untuk kita. Bersabar terhadap takdirnya; bersyukur atas ni'matnya dan bertawakal kepada-Nya.
5. Syarat perhambaan/ibadah
Ditentukan oleh Allah sepenuhnya. Bukan kita yang boleh mengatakan kita hamba Allah yang baik; tetapi Allah-lah yang menentukan samada amalan kita diterima atau tidak.
Ayat ke-5 ini merupakan satu kesimpulan kepada keseluruhan isi al-Qur'an. Ia menerangkan ciri-ciri agama yang benar; yakni ibadat kepada Allah yang Esa, mengikhlaskan `ibadah kepada Allah, menjauhi syirik dan pendokong-pendokongnya, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Pendeknya ciri agama yang benar ialah `aqidah yang bersih dalam hati. Dan `ibadat yang tulus ikhlas kepada Allah itu adalah jurubahasa yang menterjemahkan `aqidah itu. Barang siapa yang menegakkan asas-asas ini, bererti ia telah menegakkan iman. Inilah asas agama Allah yang menyeluruh, iaitu satu agama dan satu `aqidah yang dibawa oleh semua agama samawi dan diperjuangkan oleh para rasul silih berganti.
Ayat ke 6
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ وَٱلۡمُشۡرِكِينَ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيہَآۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ شَرُّ ٱلۡبَرِيَّةِ (٦)
Sesungguhnya orang-orang kafir dari golongan Ahlil-Kitab dan kaum Musyrikin akan ditempatkan di dalam Neraka Jahannam di mana mereka hidup kekal abadi. Merekalah sejahat-jahat makhluk(6).
Sesungguhnya orang-orang kafir telah menerima penerangan yang jelas dari para rasul yang terdahulu. Seterusnya Rasul terakhir, Nabi Muhammad s.a.w. membaca mesej Al-Qur'an dan menunjuk jalan `aqidah Islam yang mudah dan nyata. Ini bermakna mereka telah diberi peluang demi peluang, tempoh demi tempoh untuk beriman. Golongan kufur sebegini berlaku berulang-kali di dalam setiap generasi dan kaum, dalam setiap zaman dan tempat. Mereka tetap tidak menerima dan menyambut kebenaran itu walaupun sebanyak mana mereka melihat bukti-bukti hidayat dan petunjuk-petunjuk yang membangkit dan menyarankan keimanan.
Firman Allah dalam surah al-Araf 7:179
وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ ڪَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٌ۬ لَّا يَفۡقَهُونَ بِہَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٌ۬ لَّا يُبۡصِرُونَ بِہَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٌ۬ لَّا يَسۡمَعُونَ بِہَآۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡغَـٰفِلُونَ (١٧٩)
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi Neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai”.
Sesungguhnya, memilih iman bererti memilih keselamatan, sebaliknya tetap kufur bererti memilih kebinasaan.
Natijahnya, balasan dan nasib mereka yang kufur dijelaskan dalam ayat ke-6 ini. Ia merupakan ancaman kepada golongan kufur. Neraka Jahannam adalah hukuman muktamad yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Di dalam ayat ini, Allah mengancam orang kafir dengan tiga bentuk hukuman yakni:
1. Dihumban ke dalam neraka Jahannam yang bernyala-nyala
2. Kekal di dalam neraka buat selama-lamanya, tidak akan keluar darinya dan tidak akan mati.
3. Golongan kafir adalah sejahat-jahat makhluk kerana mereka mereka menolak kebenaran walaupun telah diberikan `al-Baiyyinah'. Ini adalah kerana perasaan keegoan dan hasad dengki yang bersebati dalam diri mereka.
Semua amalan kebaikan orang Kafir juga tidak diterima walaupun dipandang mulia dari neraca dunia. Firman Allah dalam Surah Ibrahim :18
مَّثَلُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِرَبِّهِمۡۖ أَعۡمَـٰلُهُمۡ كَرَمَادٍ ٱشۡتَدَّتۡ بِهِ ٱلرِّيحُ فِى يَوۡمٍ عَاصِفٍ۬ۖ لَّا يَقۡدِرُونَ مِمَّا ڪَسَبُواْ عَلَىٰ شَىۡءٍ۬ۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلضَّلَـٰلُ ٱلۡبَعِيدُ (١٨)
“ Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang kufur ingkar terhadap Tuhannya, ialah seperti abu yang diterbangkan oleh angin pada hari ribut kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Sia-sia amalan itu ialah kesan kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran”
Ayat ke 7-8
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ خَيۡرُ ٱلۡبَرِيَّةِ (٧) جَزَآؤُهُمۡ عِندَ رَبِّہِمۡ جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ أَبَدً۬اۖ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ ذَٲلِكَ لِمَنۡ خَشِىَ رَبَّهُ ۥ (٨)
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh, merekalah sebaik-baik makhluk (7). Balasan untuk mereka di sisi Tuhan mereka ialah taman-taman Syurga 'Adni yang mengalir di bawahnya berbagai-bagai sungai di mana mereka hidup kekal buat selama-lamanya. Allah telah redha terhadap mereka dan mereka telah redha terhadap Allah. Itulah balasan bagi orang yang takutkan Tuhannya (8).
Golongan Mu'min merupakan sebaik-baik makhluk jika mereka beriman dan mengerjakan amal soleh. Kesan-kesan keimanan terserlah dalam setiap detik kehidupannya. Bukan setakat beriman di dalam hati, malah amal soleh dikerjakan dengan sesungguhnya. Segala sesuatu yang disuruh Allah dilaksanakan, yang dilarang Allah ditinggalkan, budi pekertinya baik; dan dia bekerja serta bermu'amalah kerana Allah.
Seseorang mukmin walau apa pun keadaannya, berpotensi melakukan amal soleh mengikut kemampuan dan kefahaman (kefaqihan) terhadap ad-din. Yang berharta akan mudah untuk memberi seperti menginfa'kan hartanya di jalan Allah; sebaliknya yang fakir pula berusaha mencari rezeki, tidak meminta-minta dan berputus asa dari Rahmat Allah. Yang berilmu akan menyampaikan risalah Allah; sebaliknya orang awam tidak jemu-jemu untuk menimba ilmu. Pendeknya, setiap masa digunakan untuk ber'ibadah.
Bagi mendapatkan redha Allah, amal `ibadah itu hendaklah dikerjakan dengan kualiti yang tinggi kerana sesuatu kebaikan itu diukur mengikut kualitinya. Allah sentiasa menyebut di dalam al-Quran bahawa;
`....... hanya sedikit mereka yang beriman',
`.......... hanya sedikit di kalangan hamba-hamba-Ku yang pandai bersyukur'.
Oleh itu hendaklah `ibadah itu dilakukan secara khudhu' , rughbah, ruhbah, tazallul dan ikhlas. Mereka yang sedemikian adalah merupakan sebaik-baik makhluk.
(khudu' = merendahkan diri kepada Allah; rughbah = kemahuan sendiri dan gembira mengerjakannya; ruhbah =merasa ketakutan kepada Allah )
Orang-orang beriman dan beramal soleh akan memperolehi empat jenis ganjaran dari Allah yakni:
1. Mereka dipuji Allah sebagai sebaik-baik makhluk
2. Mereka dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.
3. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
4. Mereka mendapat keredhaan Allah. Allah meredhai amalan-amalan mereka.
Kenapakah syurga dikaitkan dengan air sungai yang mengalir-ngalir ? Mereka yang dengki kepada Islam mengatakan ia adalah satu omongan kosong untuk menghiburkan kaum `arab yang hidup di padang pasir yang panas dan kering. Namun jika kita amat-amati, tempat-tempat peranginan seperti pantai yang cantik dengan air yang biru, bersih, jauh dari pencemaran; tempat-tempat rehlah seperti kawasan berair terjun adalah menjadi tempat tumpuan manusia untuk bercuti dan beristirehat. Tempat-tempat sebegini mententeramkan jiwa mereka. Boleh dikatakan keinginan manusia adalah sama walaupun berbeza zaman, masa, tempat, bangsa dan warna kulit. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan benarlah firman Allah dan dustalah mereka yang memperkecilkan ayat-ayat Allah.
Taman-taman Syurga untuk kediaman yang kekal abadi dalam ni'mat-ni'matnya mengambarkan keamanan dan ketenteraman dari sebarang kegelisahan. Sungai-sungai yang mengalir di bawah Syurga menggambarkan suasana basah, damai, sejuk, segar dan indah. Orang beriman dan beramal soleh akan mendiami syurga selama-lamanya, tidak akan keluar dan berpindah darinya. Mereka tidak akan mati, bahkan akan berada di dalam keni'matannya secara berterusan mengecapi kelazatannya tanpa kesudahan.
Seterusnya Allah berfirman (maksudnya):
............. Allah telah redha terhadap mereka dan mereka telah redha terhadap Allah. Itulah balasan bagi orang yang takutkan Tuhannya (8).
Keredhaan dari Allah merupakan kemuncak segala ni'mat. Keredhaan mereka terhadap Allah ialah keredhaan terhadap qadha' dan qadar Allah ke atas mereka. Keredhaan terhadap limpah kurnia Allah dan terhadap hubungan hati dengan Allah yang menimbulkan rasa kepuasan hati dan jiwa yang tenang dan bersih. Hubungan hati ini juga membuahkan perasaan takut kepada Allah yang menjadi pendorong kepada segala yang baik dan penghalang dari segala penyelewengan. Mempunyai sifat ihsan yang tinggi dan merasakan Allah seolah-olah melihatnya. Dia merasai ihsan itu seperti yang diterangkan di dalam hadith Jibril yang terkenal;
“......... Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatnya, dan jika engkau tidak melihatnya, maka Dia melihat engkau”.
Bagaimanakah kita ingin mendapatkan perasaan ihsan dan takut kepada Allah sebagaimana sahabat-sahabat Nabi ? Hendaklah kita merenung firman Allah dalam surah Fatir 35:28
إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ (٢٨)……
“…….Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-hambaNya ialah ulama' (orang-orang yang berilmu)”
Para ilmuan yang mengenal Allah dengan makrifat yang hakiki. Mereka mengenal Allah dengan kesan-kesan penciptaan-Nya. Mereka memahaminya dengan kesan-kesan qudrat-Nya dan mereka menginsafi hakikat kebesaran-Nya. Lantaran itu mereka merasa takut, bertaqwa dan ber'ibadat kepada Allah dengan sebenar-benarnya.
Pengajaran dan pengiktibaran yang dapat diambil
1. Al-Baiyinnah sahaja tidak mencukupi. Hendaklah menerima al-Baiyinnah dengan matahati dan perasaan terbuka. Perasaan syak wasangka dan ego yang tinggi (arrogance) patut dijauhi.
2. Hidayah Allah hendaklah dicari. Allah meminta kita berusaha mencarinya. Ini adalah Sunnahtullah. Firman Allah dalam surah al-`Ankabut: 69.
وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (٦٩)
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (69)
Allah akan memberi hidayat kepada mereka yang berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk mencari hidayat dan memberi kejayaan kepada mereka yang berusaha membersihkan dirinya. Sebaliknya, Allah akan menutup hati mereka yang menolak da'wah Islam.
3. Bersyukur dengan ni'mat Iman dan Islam. Kita adalah golongan terpilih yang telah diberi Hidayah Allah swt. Usah biarkan ia terlepas dari genggaman yang kuat.
4. Penyampai Risalah Allah hendaklah mendalami mesej-mesej Al-Qur'an dan mencontohi Rasulullah s.a.w. Perkara-perkara yang boleh menjadi fitnah kepada Islam dan halangan kepada da'wah Islamiyah haruslah dijauhi.
5. Menyedari bahawa kita juga boleh berpecah dan bertelingkah sebagaimana kaum Ahlil-Kitab. Perselisihan sesama manusia, baik yang berkaitan dengan urusan agama maupun urusan dunia boleh berlaku. Maka berusahalah untuk menjadi orang yang berilmu dan beriman agar jalan pemikiran, hala tuju, dan amalan kita mengikut neraca Al-Qur'an dan sunnah. Adab-adab dialog dalam Islam juga harus difahami.
6. Pemahaman konsep `ibadah akan memurnikan `aqidah dan membantu untuk ikhlas dalam ad-din dan keikhlasan ini adalah ubat kepada masalah hati seperti perasaan ria', `ego' dan `arrogance'.
7. Allah swt memuji dan redha kepada orang-orang mu'min yang berusaha meningkatkan kualiti pengabdiaannya kepada-Nya.
Wallahu'alam
14 Februari 2012
4.15 Surah Al-Bayyina - سُوۡرَةُ البَیّنَ (Bahagian 1; Ayat 1-4)
Surah ke-98: 1 – 8
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
لَمۡ يَكُنِ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ وَٱلۡمُشۡرِكِينَ مُنفَكِّينَ حَتَّىٰ تَأۡتِيَہُمُ ٱلۡبَيِّنَةُ (١) رَسُولٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ يَتۡلُواْ صُحُفً۬ا مُّطَهَّرَةً۬ (٢) فِيہَا كُتُبٌ۬ قَيِّمَةٌ۬ (٣) وَمَا تَفَرَّقَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡہُمُ ٱلۡبَيِّنَةُ (٤) وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَذَٲلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ (٥) إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ وَٱلۡمُشۡرِكِينَ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيہَآۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ شَرُّ ٱلۡبَرِيَّةِ (٦) إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ خَيۡرُ ٱلۡبَرِيَّةِ (٧) جَزَآؤُهُمۡ عِندَ رَبِّہِمۡ جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ أَبَدً۬اۖ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ ذَٲلِكَ لِمَنۡ خَشِىَ رَبَّهُ ۥ (٨)
Orang-orang kafir dari golongan Ahlil-Kitab dan kaum Musyrikin akan terpisah (dari kekufuran) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas(1). Iaitu (kebangkitan) seorang Rasul dari Allah yang membaca lembaran-lembaran suci al-Qur'an(2). Yang terkandung didalamnya maudhu'-maudhu' yang bernilai(3). Dan orang-orang yang telah dikurniakan kitab suci itu tidak berpecah- belah melainkan sesudah datang mereka penerangan yang jelas(4). Dan mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan keta'atan kepada-Nya serta berpegang teguh dengan tauhid dan supaya mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Dan itulah agama yang benar(5). Sesungguhnya orang-orang kafir dari golongan Ahlil-Kitab dan kaum Musyrikin akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam di mana mereka hidup kekal abadi. Merekalah sejahat-jahat makhluk(6). Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh, merekalah sebaik-baik makhluk(7). Balasan untuk mereka di sisi Tuhan mereka ialah taman-taman Syurga 'Adni yang mengalir di bawahnya berbagai-bagai sungai di mana mereka hidup kekal buat selama-lamanya. Allah telah redha terhadap mereka dan mereka telah redha terhadap Allah. Itulah balasan bagi orang yang takutkan Tuhannya(8).
.
Latar belakang dan pokok perbicaraan
Surah ini menjelaskan peri-pentingnya perutusan Rasululullah saw dan reaksi golongan kafir terhadap da'wah Nabi saw. Dinyatakan juga kefahaman terhadap maksud ibadah yang sebenar dan natijah kepada iman dan kufur terhadap Allah swt.
Para mufassirun berpendapat surah ini adalah surah Madaniyah; namun ramai juga mengatakan Makkiyah. Malah Saiyidina Abas r.a. mengatakan kedua-duanya; yakni Madaniyah dan Makkiyah. Saiyidatina Aisyah r.a.h lebih cenderung kepada surah Makkiyah. Surah ini diturunkan pada pengakhiran da'wah Nabi di Makkah dimana ketika itu banyak interaksi bersama Ahlil-Kitab; sebagaimana surah al-Kahf dan al-Israa'
Dikatakan Madaniyah kerana terdapat sebutan Ahlil-Kitab dan zakat. Namun ia tidak boleh dijadikan bukti yang kukuh kerana sebutan Ahlil-Kitab memang terdapat dalam surah-surah yang diturunkan di Makkah. Di Makkah juga terdapat sesetengah Ahlil-Kitab yang beriman dan yang tidak beriman. Begitu juga orang-orang Kristian dari Najran pernah datang menemui Rasulullah s.a.w. di Makkah dan terus beriman sebagaimana yang diketahui umum.
Terdapat empat (4) hakikat utama di dalam surah al-Baiyinnah. Empat hakikat yang amat berharga untuk memahami peranan `aqidah Islamiyah dan peranan kerasulan Muhammad s.a.w. yang akhir, juga untuk memahami maksud keimanan sebenar. Empat hakikat itu ialah:
1. Hari kebangkitan Rasulullah saw (ayat 1-3)
Kebangkitan Rasulullah s.a.w. merupakan satu keperluan untuk memalingkan orang-orang kafir dari kaum Ahlil-Kitab, dan kaum Musyrikin dari kesesatan dan perselisihan yang telah mengongkong mereka. Tanpa kebangkitan itu, mereka tidak akan berganjak dari kesesatan dan perselisihan itu.
2. Hakikat perselisihan Ahlil-Kitab (ayat ke-4)
Golongan Ahlil-Kitab tidak berselisih dan berpecah-belah di dalam agama mereka sebagai akibat dari kejahilan dan kekaburan, malah mereka berselisih sesudah datang kepada mereka penerangan dan bukti yang jelas.
3. Hakikat Kesatuan Agama Allah (ayat ke-5)
Asal agama Allah itu satu sahaja, dan semua dasar-dasarnya mudah dan jelas dan tidak membawa kepada berpecah-belah.
4. Hakikat Orang-orang kafir (6-8)
Orang-orang yang kafir setelah datang kepada mereka bukti yang jelas adalah sejahat-jahat makhluk. Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan yang soleh adalah sebaik-baik makhluk. Kerana itulah balasan yang diterima oleh kedua-dua golongan ini amat jauh bezanya.
Penerangan Ayat
Ayat 1
لَمۡ يَكُنِ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ وَٱلۡمُشۡرِكِينَ مُنفَكِّينَ حَتَّىٰ تَأۡتِيَہُمُ ٱلۡبَيِّنَةُ (١)
Orang-orang kafir dari golongan Ahlil-Kitab dan kaum Musyrikin akan terpisah (dari kekufuran) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas(1).
Sesungguhnya kedatangan Rasulullah s.a.w mengubah `kegelapan' jahiliyah dan kufur kepada `cahaya' Islam. Firman Allah dalam surah al-Baqarah 2:257 (bermaksud)
"Allah itulah Pelindung orang-orang beriman yang mengeluarkan mereka dari kegelapan-kegelapan kepada nur(cahaya), sedangkan orang-orang yang kafir, pelindung mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari nur kepada kegelapan-kegelapan."
Ayat pertama dalam surah al-Bayyinah dimulakan dengan sebutan "Orang-orang kafir......." Perkataan kafir digunakan kepada golongan sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Yakni orang-orang kafir adalah sesat dan mengandungi berbagai-bagai jenis kegelapan, iaitu kegelapan hawa nafsu, kegelapan keangkuhan, kegelapan ria' dan bermuka-muka dan bermacam-macam kegelapan yang tidak terhitung dan kesemuanya terkumpul apabila wujud kesesatan dari jalan Allah.
Keadaan manusia sebelum kebangkitan Rasulullah saw adalah merupakan zaman kegelapan dan merupakan abad-abad paling mundur dalam sejarah. Mereka lupakan Allah, lupakan dirinya, kehilangan akalnya dan daya membezakan di antara yang baik dan yang jahat. Pusat-pusat tamadun juga bercelaru dengan kerosakan peradaban dan peraturan serta kezaliman pemerintah.
Pendeknya, tidak ada di dunia waktu itu satu umat yang baik dan satu masyarakat yang tegak di atas akhlak dan budi pekerti yang mulia. Tidak ada kerajaan yang dilandaskan di atas asas-asas keadilan dan rahmat kasihan belas, dan tidak ada kepimpinan yang ditegakkan atas lunas-lunas ilmu pengetahuan dan hikmat kebijaksanaan, dan tidak ada satu agama yang betul diwarisi dari para-Anbia'.
Suara da'wah para Anbia' telah lama hilang. Ahli-ahli agama telah menarik diri dari medan kehidupan. Mereka berlindung di biara-biara dan tempat-tempat terpencil untuk menyelamatkan agama mereka sendiri. Sementara ahli-ahli agama yang masih berada di dalam gelombang kehidupan terus berbaik-baik dengan raja-raja dan ahli-ahli dunia dan bekerjasama dengan mereka di dalam kegiatan-kegiatan mereka yang berdosa dan zalim. Mereka juga turut makan harta rakyat dengan jalan yang tidak benar.
Agama-agama besar di masa itu telah kehilangan roh dan bentuknya. Ia menjadi korban golongan perosak, oportunis dan para pendusta. Ia tidak memiliki punca-punca Agama Allah yang bersih.
Al-Qur'an sendiri telah menunjukkan gejala-gejala kekufuran Ahlil-Kitab dan Kaum Musyrikin. Di antaranya firman Allah `Azzawajalla mengenai kekufuran orang-orang Yahudi dan Nasara:
"Dan orang-orang Yahudi berkata: 'Uzayr itu putera Allah, dan orang-orang Nasara pula berkata al-Masih itu putera Allah" - QS At-Taubah:30
"Dan orang-orang Yahudi berkata: Orang-orang Nasara itu tidak mempunyai apa-apa pegangan yang benar. Dan orang-orang Nasara pula berkata: Orang-orang Yahudi itu tidak mempunyai apa-apa pegangan yang benar." - QS al-Baqarah:113
Firman Allah Ta'ala mengenai kekufuran orang-orang Yahudi:
"Dan orang-orang Yahudi berkata: Tangan Allah itu terbelenggu(kikir), tangan merekalah yang terbelenggu, dan mereka telah dilaknatkan dengan sebab-sebab mereka (yang keji), malah yang sebenarnya tangan Allah sentiasa terbuka (pemurah), Ia membelanja mengikut kehendak-kehendak-Nya." - QS al-Ma'idah:64
Firman Allah mengenai kekufuran orang-orang Nasara/Kristian:
"Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawa Allah itu ialah al-Masih putera Maryam." - QS al-Ma'idah:72
"Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawa Allah itu ialah satu dari tiga." - QS al-Ma'idah:73
Kekufuran kaum Musyrikin dinyatakan dalam surah al-Kafirun. Kaum Musyrikin Makkah adalah masyarakat `pluralistik' dengan adanya pelbagai Tuhan dan sembahan berhala. Tradisi syirik telah tertanam dari generasi hingga generasi dan untuk mengubahnya perlukan kekuatan da'wah yang kuat.
Kerana itu, Allah dengan limpah rahmat-Nya telah memutus untuk mengutuskan seorang Rasul dari-Nya; yang mengeluarkan mereka dari kegelapan, kekufuran dan jahiliyah kepada cahaya Islam.
Secara literalnya, jika dibaca ayat pertama :
"Orang-orang kafir dari golongan Ahlil-Kitab dan kaum Musyrikin akan terpisah (dari kekufuran) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas(1)"
Maka akan timbul persoalan mengapa masih ada di kalangan mereka masih tidak beriman sedangkan telah datang kepada mereka bukti yang jelas. Jika kita membaca seerah Nabi saw, masih terdapat kaum Musyrikin dan Ahlil-Kitab yang tidak memisahkan diri daripada kekufuran.
Ulama' mufassirun memberikan beberapa pandangan dalam hal ini. Ada yang berpandangan bahawa ayat ini tidak merujuk kepada kesemua golongan kuffar, tetapi segolongan besar mereka. Pada umumnya, masyarakat sebelum kedatangan Rasululullah s.a.w. dapat dibahagikan kepada empat (4) golongan yakni:
1. Mereka yang baik isi hatinya, dan baik peribadi luarannya. Contoh adalah seperti Saiyidina Abu Bakar As-siddiq
2. Mereka yang baik dalamannya, tetapi tidak tertonjol pada peribadinya; seperti Saiyidina Umar Ibnul Khattab.
3. Mereka yang peribadi luarannya terserlah, disukai orang tetapi hatinya busuk; seperti Abu Jahal
4. Mereka yang busuk hatinya dan buruk peribadinya; seperti Abu Lahab.
Keempat-empat golongan ini hidup bersama di dalam satu masyarakat. Mereka menerima seruan da'wah yang sama, namun penerimaan mereka berbeza. Dua golongan yang baik isihatinya menerima Islam tetapi golongan yang selebihnya semakin terserlah kejahatannya.
Satu perkara lagi yang perlu disedari ialah Nabi Muhammad s.a.w hanyalah pemberi peringatan dan menyampaikan ajaran Allah. Hidayat Allah-lah yang mengeluarkan manusia dari kegelapan (syirik) kepada cahaya iman dan tauhid; dan daripada kebatilan (jahil) dan kebodohan kepada cahaya ilmu dan kefahaman yang murni.
Al-Zamakshari mempunyai pendapat berbeza dari pandangan mufassirun yang lain. Beliau berpendapat ayat ini merupakan pernyataan Allah berkenaan sikap golongan Kuffar iaitu Ahlil-Kitab dan kaum Musyrikin. Ia adalah dalam bentuk `kata pertanyaan' sebagaimana firman Allah dalam surah al-Israa':90-93
"Dan mereka berkata: "Kami sekali-kali tidak akan percaya kepadamu (wahai Muhammad) sehingga kamu mengeluarkan mata air dari bumi untuk kami atau......."
Maka Al-Zamakshari berpendapat bahawa golongan kafir mengatakan bahawa mereka tidak beriman sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas. Pendapat ini adalah pendapat minoriti.
Ayat 2-3
رَسُولٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ يَتۡلُواْ صُحُفً۬ا مُّطَهَّرَةً۬ (٢) فِيہَا كُتُبٌ۬ قَيِّمَةٌ۬ (٣)
Iaitu (kebangkitan) seorang Rasul dari Allah yang membaca lembaran-lembaran suci al-Qur'an(2). Yang terkandung di dalamnya maudhu'-maudhu' yang bernilai(3).
Ayat ke-2 adalah respons dan penerangan dari ayat pertama. Allah telah mengutuskan seorang Rasul dari-Nya untuk membaca Al-Qur'an selaku lembaran-lembaran suci yang mengandungi berbagai-bagai maudhu' yang bernilai. `al-Baiyinnah' yang dinyatakan pada ayat pertama ialah `Penyampai Risalah' yakni Rasululullah saw dan kitab Suci Al-Qur'an.
Jika kita melihat kaitan ayat tersebut dengan diri kita sebagai khalifah dan da'i, maka kita boleh menyimpulkan bahawa bukan sahaja idea dan mesej da'wah itu penting tetapi diri penda'wah juga perlu diberi perhatian. Penda'wah hendaklah menjadi contoh ikutan kepada orang-orang disekelilingnya sebagaimana Rasulullah s.a.w. menjadi contoh ikutan terbaik sepanjang zaman.
Pengamalan Islam dalam diri penda'wah hendaklah bukan setakat kepada dirinya; malah mencakupi interaksinya terhadap keluarga, masyarakat dan negara. Semungkin boleh, dia berusaha mengelakkan dirinya dari melakukan sesuatu mungkar yang menjadi fitnah kepada Islam. Secara umum dapat dilihat, akhlak dan penghayatan Islam sebahagian penganut-penganut Islam adalah menjadi halangan besar terhadap da'wah kepada non-Muslim. Islam tidak nampak dalam diri mereka.
Penurunan ayat-ayat Al-Qur'an sepertimana yang pernah dibincangkan sebelum ini, adalah melalui tiga tahap.
Tahap pertama, ialah Allah telah menempatkan keseluruhan al-Qur'an yang mulia di Lohmahfuz. Firman Allah dalam surah al-Buruj:21-22 (maksudnya)
"Bahkan ia adalah al-Qur'an yang tertinggi kemuliaannya, (lagi terpelihara dengan sebaik-baiknya) di Lohmahfuz."
Tahap ke-dua ialah al-Quran diturunkan secara sekali gus dari Lohmahfuz ke Baitul Izzah, yang terletak di langit dunia pada malam al-Qadar (Rujuk ayat al-Baqarah:185).
Tahap ke-3, ialah al-Qur'an diturunkan beransur-ansur kepada Rasulullah s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril. Lembaran-lembaran suci al-Qur'an ini tertulis di dalam hati Nabi yang suci; iaitu hati yang telah dibersihkan sepertimana yang diceritakan dalam seerah. Seterusnya Nabi Muhammad s.a.w. telah mengajar kandungan al-Qur'an kepada umatnya.
فِيہَا كُتُبٌ۬ قَيِّمَةٌ۬ (٣)
Yang terkandung di dalamnya maudhu'- maudhu' yang bernilai(3).
Kata-kata `Kitab' secara umumnya bererti maudhu' iaitu tajuk/bab/fasal/perkara-perkara. Seperti kitab as-Solat (maudhu' yang membicarakan solat) atau kitab al-Qiamat (maudhu' yang membicarakan Qiamat). Jadi `lembaran-lembaran yang suci' yang dimaksudkan ialah Al-Qur'anul-Karim yang mengandungi maudhu'-maudhu' perbicaraan dan hakikat-hakikat yang amat berharga. Ia menjelaskan perkara-perkara syubhat di kalangan Ahlil-Kitab dan orang-orang Musyrikin dalam perkara agama. Terdapat ayat-ayat dan hukum-hakam yang benar dan penuh hikmah, tanpa sebarang penyelewangan sebagaimana firman Allah swt (bermaksud):
Ia (al-Qur'an) tidak diserapi kebatilan, baik kini mahupun nanti......" - QS al-Fussilat 89:42
Kebangkitan rasul yang baru ini (Nabi Muhammad s.a.w) telah datang pada waktunya yang tepat, dan kitab suci al-Qur'an yang membimbing, pemberi petunjuk, pemulih dan penuh dengan hikmah mampu menimbulkan satu-satunya perubahan yang besar di muka bumi.
Ayat 4
وَمَا تَفَرَّقَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡہُمُ ٱلۡبَيِّنَةُ (٤)
Dan orang-orang yang telah dikurniakan kitab suci itu tidak berpecah-belah melainkan sesudah datang mereka penerangan yang jelas(4).
Ayat di atas adalah `contrast' dengan ayat yang pertama. Jika sebelumnya Allah menyatakan bahawa al-Bayyinah yakni kebangkitan pembawa risalah Rasululullah s.a.w. dan lembaran-lembaran suci Al-Qur'an membawa kaum kafir dari kegelapan kepada cahaya Islam; namun sebahagian mereka memilih berada di dalam kegelapan setelah datang Nur Islam. Mereka tetap dalam kekufuran walaupun telah datang bukti yang sangat jelas. Firman Allah dalam surah al-Baqarah 2:257 (bermaksud):
"..............sedangkan orang-orang yang kafir, pelindung mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari nur kepada kegelapan-kegelapan."
Allah memberikan harapan kepada Nabi Muhamad s.a.w. supaya tidak merasa dukacita terhadap Ahlil-Kitab. Allah menyatakan golongan Ahlil-Kitab itu tidak berpecah-belah dan berselisih dalam `aqidah agama bukan dengan sebab kejahilan atau ketidakjelasan untuk memahami agama TETAPI sebab yang paling utama ialah kerana kedegilan dan ego yang tinggi. Mereka dihanyutkan oleh hawa nafsu dan penyelewangan; dan ianya telah berlaku sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. lagi. Firman Allah dalam Surah Ali-'Imran 3:105 (bermaksud):
"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasara) yang berpecah-belah dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah). Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab siksa yang besar."
Terlalu banyak perselisihan di antara Ahlil-Kitab. Perselisihan yang pertama adalah di antara golongan-golongan umat Yahudi sebelum dibangkitkan Nabi Isa a.s. Mereka berpecah sedangkan nabi mereka ialah Nabi Musa a.s. dan kitab suci mereka ialah at-Taurat. Kemudian berlaku perselisihan di antara orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian, sedangkan Nabi Isa a.s. itu sendiri merupakan salah seorang dari nabi mereka yang terakhir yang datang untuk mengesahkan kitab suci (at-Taurat). Persengketaan sengit di antara Kaum Yahudi dan Kaum Kristian telah membawa berbagai-bagai peristiwa pembunuhan beramai-ramai yang kejam dan mengerikan telah berlaku di antara dua puak itu sebagaimana dicatatkan dalam sejarah.
Perpecahan dan pertelingkahan juga berlaku di kalangan orang-orang Kristian walaupun kitab suci dan nabi mereka juga satu. Perselisihan mereka berlaku di sekitar sifat al-Masih a.s. sama ada ia bersifat dengan sifat ketuhanan (Lahutiyah) atau bersifat dengan sifat kemanusian (Nasutiyah); begitu juga sifat bondanya Maryam dan sifat tiga uqnum (dalam kepercayaan triniti) yang membentuk `Allah'. Al-Qur'an telah menceritakan hal ini dalam ayat-ayat berikut:
"Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawa Allah itu ialah al-Masih putera Maryam." - QS al-Ma'idah:72
"Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawa Allah itu ialah salah satu dari tiga." - QS al-Ma'idah:73
Antara iktibar yang perlu diinsafi dalam ayat ke-4 ini ialah `PUNCA' kepada perselisihan dan perpecahan setelah datangnya bukti yang jelas. Dikalangan Ahlil-Kitab, terdapat mereka yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan disegani oleh pengikut mereka. Namun sifat ego dan sombong untuk mempertahankan pendapat dan gelap mata dalam tampuk kekuasaan menyebabkan hati mereka tertutup kepada kebenaran.
Ahlil-Kitab mengenali nabi Muhammad s.a.w. tetapi mereka menyembunyikan pengetahuan ini dan meminda kitab mereka. Di antara bukti bahawa Ahlil-Kitab mengenali diri Rasululllah s.a.w. adalah berdasarkan kisah Salman al-Farisi yang mendapat nasihat dari seorang Ahlil-Kitab berkenaan kebangkitan seorang Nabi. Ujar Ahlil-Kitab tersebut:
"Anakku! Tiada seorang pun yang ku kenal serupa dengan kita keadaannya dan dapat kupercayakan engkau padanya. Tetapi sekarang telah dekat datangnya masa kebangkitan seorang nabi yang mengikuti agama Ibrahim secara murni. Dia nanti akan berhijrah ke suatu tempat yang ditumbuhi kurma dan terletak di antara dua bidang tanah berbatu-bata hitam. Seandainya engkau dapat pergi ke sana, temuilah dia! Dia mempunyai tanda-tanda yang jelas iaitu, dia tidak mahu makan makanan sedekah; sebaliknya bersedia menerima hadiah; dan di bahunya terdapat cap kenabian yang bila engkau melihatnya, segeralah engkau mengenalinya."
Begitu juga dengan kisah pendeta yahudi bernama Abdullah bin Salam yang memeluk islam di zaman Rasulullah. Beliau telah disanjungi sebagai seorang alim dan berpengetahuan tinggi oleh kaum yahudi sebelum keislamannya tetapi telah dicerca dan dimaki oleh kaumnya setelah keislamannya. Apakah sebab utama kepada cercaan tersebut ... DEGIL dan EGO.
Satu pengajaran lain yang patut difahami ialah perpecahan dan pertelingkahan yang dulunya berlaku di kalangan Ahlil-Kitab juga berlaku di kalangan umat Nabi Muhammad saw. Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan melalui pelbagai jalan (turuq) ada diterangkan bahawa:
"Sesungguhnya orang-orang Yahudi telah berpecah kepada tujuh puluh satu golongan, orang-orang Nasara pula telah berpecah-belah kepada tujuh puluh dua golongan. Umat ini (Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan. Semuanya di dalam Neraka melainkan satu golongan. Para Sahabat bertanya: 'Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?' Baginda menjawab; Golongan yang menurut (amalan) aku dan para sahabatku."
Maka seorang mu'min hendaklah berusaha memahami Islam agar kehidupan mereka dirahmati dan diberkati Allah. Mempunyai jalan pemikiran, hala tuju, maksud dan cita-cita yang satu berlandaskan neraca Al-Qur'an dan sunnah Rasulullah s.a.w.
Perselisihan sama ada yang nyata dan yang tersembunyi hendaklah bertujuan bagi mencari kebenaran yang betul-betul dan tepat. Ia bukan didorong oleh niat buruk, cemburu dan ingin bermegah-megah. Dia berusaha menjauhkan perasaan ego dan sombong dalam dirinya. Dia juga tidak berdegil dalam mempertahankan taklid buta dan tidak taksub pendapat sendiri. Juga tidak bersifat asabiyyah dan bersikap zalim serta menjauhi sikap bermusuhan.
11 Februari 2012
2.5 KONSEP AL-WASATIYYAH

Mutakhir ini perkataan al-Wasatiyyah diwar-warkan, menggantikan slogan Islam Hadhari yang ditenggelamkan entah di mana dan tidak diketahui sampai ke mana. Jangan terjebak dengan apa yang disebut oleh ucapan Sayyidina Ali K.W.
كلمة حق أريد بها باطل
(Kata-kata yang benar dijadikan tujuannya kebatilan)
Kebenaran yang mutlak tanpa dipertikaikan ialah kenyataan daripada Allah. Marilah kita berpegang kepadanya.
Firman Allah (maksudnya):
Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang wasatun, agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad S.A.W) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Surah al-Baqarah: 143)
Dari sini bertolaknya konsep al-Wasatiyyah. Perkataan al-Wasatiyyah (الوسطية) dalam bahasa Arab adalah daripada perkataan al-Wasat(الوسط) yang diterjemahkan dari segi bahasa dengan makna pertengahan. Seterusnya diistilahkan dari segi Islam dengan maksud adil, sederhana dan terbaik.
Apabila menafsirkan al-Quran dan menghuraikan hadith daripada perkataan al-Wasat adalah tidak tepat dengan makna zahir bahasanya sahaja, sehingga membawa maksud pertengahan di antara baik dan buruk secara bercampur aduk atau adil dan zalim sama-sama dilakukan, dengan maksud boleh dikumpulkan benar dan salah, makruf dan munkar, buat baik dan buat maksiat kerana mesej Islam yang bersumberkan al-Quran dan ditafsirkan oleh sunnah Rasulullah S.A.W membawa mesej pelaksanaan kebaikan yang terbaik dengan betul dan istiqamah serta meninggalkan segala kemunkaran dan mencegahnya secara hikmah.
Ramai yang mengambil kesempatan meninggalkan syariat Allah dengan sengaja, berselindung di sebalik menafsirkan al-Wasatiyyah dengan hujjah, kononnya mengikut kehendak semasa, dengan cara tidak istiqamah mengikut perintah Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W dengan bergantung kepada terjemahan dari segi zahir bahasanya sahaja yang bermakna pertengahan di antara baik dan buruk, adil dan zalim, makruf dan munkar dalam keadaan mencampur adukkan kebaikan dan keburukan atau melaksanakan Islam secara terpilih, bukan keseluruhannya kerana mengikut langkah-langkah syaitan atau beramal dengan sebahagian dan meninggalkan sebahagian lagi, laksana kaum Yahudi yang dimurka Allah (al-maghdub alaihim), atau mengikut kemahuan sendiri laksana penganut ajaran sesat (al-dallin), tanpa usaha yang bersungguh-sungguh melaksanakan mesej umat terpilih dengan menegakkan makruf dan menentang kemunkaran atau tidak bercita-cita melaksanakan Islam sepenuhnya, dibuktikan dengan lebih setengah abad berpeluang mendapat kuasa politik memegang amanah.
Sederhana bukan beramal dengan Islam tanpa kesungguhan atau tidak melampau sehingga menyerah kalah, tanpa perhitungan sempadan nilai yang sebenar daripada hukum Allah dan matlamat kejadian manusia dan fitrahnya mengikut penciptanya sendiri iaitu Allah S.W.T, sehingga meninggalkan syariat Allah yang asasi, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, meninggalkan kewajipan beramal dengan syariat Allah serta tidak sempurna melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Munkar. Allah memberi amaran kapada kaum Bani Israil yang dimurka sehingga hari kiamat, supaya menjadi pengajaran kepada umat Islam.
Firman Allah (maksudnya):
Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.(Surah al-Baqarah: 42)
Apabila Islam keseluruhannya adalah panduan dan petunjuk jalan serta batas sempadan perjalanan kehidupan manusia, jika meninggalkannya atau pelaksanaannya tidak sempurna, menyebabkan berlakunya banyak perkara-perkara yang merosakkan kehidupan manusia dan alam sekelilingnya, maka Islam pula yang dipersalahkan.
Perlu difahami bahawa setiap aspek ajaran Islam yang berkait dengan akidah dengan setiap rukun dan cabangnya, syariat dalam segala urusannya, akhlak dalam segala hubungannya dan sistem pelaksanaannya secara menyeluruh adalah mata rantai yang tidak boleh dipisahkan atau dikurangkan.
Zahir ayat Ummat Wasatiyyah tersebut menegaskan bahawa umat Islam dijadikan contoh di kalangan seluruh manusia dan layak menjadi saksi bagi pihak Rasul terhadap manusia pada hari kiamat kelak, bahawa para Rasul telah menyampaikan petunjuk Allah yang bernama Islam dengan amanah dan sempurna, sehingga mengharungi perjuangan bersama Rasul atau meneruskan perjuangannya yang penuh pengorbanan harta dan jiwa raga, bagi mengislamkan manusia dalam seluruh cara kehidupannya dari dunia dan berwawasan hari akhirat, bukan sekadar wawasan 2020.
Mengikut kaedah ilmu tafasir, al-Quran hendaklah ditafsirkan mengikut keutamaan. Sekiranya ada ayat-ayat al-Quran sendiri yang menafsirkan al-Quran hendaklah didahulukan, kemudian diikuti dengan sunnah Rasulullah S.A.W yang menafsirkan al-Quran, seterusnya diikuti dengan tafsir para ulama sahabat yang menerima secara berdepan dan menyaksikan tafsiran Rasulullah S.A.W secara menghayatinya, kemudian tafsir para ulama salaf dan khalaf (generasi awal dan mutakhir) yang menafsirkan al-Quran mengikut Ulum al- Quran (Ilmu-Ilmu alat bagi memahami al-Quran). Begitulah caranya al-Quran ditafsirkan dengan tepat, mengikut perintah Allah dan petunjuknya melalui Rasulullah S.A.W supaya diamalkan dengan berdasarkan iman. Kalau tidak maka tafsirnya salah dan berdosa besar atau menyeleweng sehingga sesat dan menyesatkan. Kalangan ulama yang mengambil pendekatan begitu adalah mengambil contoh golongan ahli kitab yang dimurka Allah (al-Maghdub alaihim dalam surah al-Fatihah) atau ulama jahat.
Firman Allah menunjukkan adanya kalangan ulama seperti ini (maksudnya):
Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat.
Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dihulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.
Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim.(Surah al-A’raf: 175-177)
Para ulama tafsir menceritakan ayat-ayat ini berkait dengan ulama yang disuap dengan kesenangan dunia sehingga sanggup memutar belit ayat-ayat Allah.
Al-Quran tidak boleh diseleweng dan dipermainkan kerana tetap dipelihara oleh Allah. Al-Quran itu hendaklah ditafsirkan mengikut ilmu-ilmu yang berkait dengannya iaitu ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu, saraf, balaghah, sastera Arab kerana al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab. Ilmu asbab al-nuzul (sebab-sebab turunnya ayat), nasikh dan mansukh dan juga ilmu riwayat dan dirayat.
Maka tafsiran Wasatiyyah yang tepat hendaklah mengikut hakikat kerasulan dan ajaran Islam seluruhnya. Ia adalah daripada petunjuk al- Quran supaya umat Islam menjadi umat yang adil dan pilihan dengan beriman, beramal dan berakhlak dengan Islam, sehingga menjadi contoh kepada umat manusia seluruhnya. Mereka juga layak menjadi saksi atas perbuatan orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dan menentang para Rasul, apabila semuanya menghadapi pembicaraan dalam mahkamah di akhirat.
Hakikat umat Islam yang menjadi contoh ditengah masyarakat manusia itu dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran yang lain bagi memenuhi ciri Ummah Wasatan yang layak menjadi contoh kepada seluruh umat manusia dan saksi pada hari kiamat, antaranya firman Allah (maksudnya):
Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.(Surah Ali Imran: 110)
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (8) المائدة
(Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang bangun menegakkan agama Allah kerananya (dengan ikhlas), supaya menjadi para saksi dengan adil, dan janganlah dengan sebab kamu bermusuh terhadap sesuatu kaum lalu kamu tidak berlaku adil Berlaku adillah, kerana lebih hampir kepada sifat taqwa dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha teliti pengetahuannya terhadap apa-apa yang kamu lakukan). (Surah al-Maidah: 8)
Rasulullah S.A.W memulakan pembangunan insan generasi awal yang pertama menjadi contoh Ummatan Wasatan dengan menegakkan iman, amal soleh dan akhlak yang mulia, bersumberkan ilmu daripada Allah. Apabila ditawarkan melalui Abu Talib yang paling disegani menjadi Raja atau Ketua dengan harta kekayaan dikumpulkan untuknya, tawaran yang mahal ini ditolak dengan tegas, sabdanya :
يا عم والله لو وضعوا الشمس في يمينى، والقمر في يسارى على أن أترك هذا الامر حتى يظهره الله، أو أهلك فيه ما تركته .
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 474)
(Wahai bapa saudara kesayanganku, sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam) sehingga dimenangkan oleh Allah atau aku mati kerananya nescaya aku tidak meninggalkannya).
Al-wasatiyyah dalam agama dan sistem cara hidup
Kedatangan Rasulullah S.A.W membawa Islam agama Allah adalah kesinambungan risalah para Rasul sebelumnya, setelah ajaran Rasul terdahulu dipesong menjadi sesat. Dua agama samawi, Yahudi dan Kristian yang terserlah sudah dipinda dan diubah oleh para pendeta dan paderi yang bersekongkol dengan kerajaan yang zalim di zaman masing-masing, sehingga berlaku penindasan agama terhadap masyarakat dengan mengadakan hukum yang tidak diizin oleh Allah.
Agama yang tidak samawi pula lebih sesat, sehingga menjadikan manusia memuja makhluk seperti batu dan binatang yang tidak berakal, serta menyanjung para sami seperti Tuhan.
Islam berada ditengah-tengah penyelewengan agama, membawa Aqidah Tauhid mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup, menentang penyelewengan agama samawi dan tidak samawi. Menentang agama yang menjadikan manusia seperti malaikat dan meletakkan manusia seperti binatang dan lebih rendah daripada binatang dan makhluk yang lain.
Berdasarkan firman Allah (maksudnya):
Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam (manusia), Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.(Surah al-Israk: 70)
Islam meletakkan manusia mengikut konsep Wasatiyyah, ada ruh berhubung dengan Tuhan tidak seperti malaikat, ada jasad dan hawa nafsu tidak seperti binatang dan boleh bergerak tidak seperti batu dan kayu.
Islam juga tidak melampau seperti Kristian yang memuja Rasul sehingga diletakkan setaraf ketuhanan dan tidak seperti Yahudi yang menolak Rasul dengan keras sehingga membunuhnya dan meminda ajarannya mengikut hawa nafsu.
Maka Islam adalah wasatiyyah di kalangan agama, kerana meletakkan manusia mengikut fitrahnya dengan tepat dan terbaik mengikut ketentuan Allah, sekiranya manusia itu berpegang dengan Islam dan beramal sepenuhnya dalam cara beragama, bukan dengan makna agama secara sekularisme.
Dalam aspek politik, wujudnya pemerintahan diktatur (kuku besi) yang memberi kuasa mutlak kepada seseorang atau kumpulan. Kemudiannya lahir amalan teokrasi yang memberi kuasa mutlak kepada ahli agama, dan demokrasi Barat yang dikatakan hak kepada rakyat secara mutlak. Maka Islam berbeza dengan semua teori tersebut dengan menyerlahkan wasatiyyah menentang diktatur dan teokrasi serta menentang penipuan terhadap rakyat di atas nama hak rakyat tanpa mengira jahil dan terdesak, dengan menyatakan batas sempadan ketaatan kepada pemimpin dan para ulama dan hak rakyat dengan tidak memberi kuasa mutlak kepada sesiapa.
Meletakkan batas sempadan perkara-perkara kemampuan manusia dan di luar kemampuan manusia. Islam menegaskan syarat iman, ilmu dan akhlak mengikut perhitungan agama yang adanya muhasabah halal dan haram, serta dosa dan pahala dalam amalan politik, bukan sahaja dalam perkara ibadat, kerana Islam tidak memisahkan politik daripada agama. Menerima apa yang baik dan bijaksana walaupun datang daripada mana tanpa mengira timur dan barat, dan menolak yang buruk dan jahat walaupun dilahirkan di bumi Makkah.
Dalam aspek ekonomi pula Islam menentang teori kapitalisme yang membebaskan hak individu sehingga mengorbankan hak masyarakat dan menentang komunisme dan sosialisme yang merampas hak individu di atas nama keadilan terhadap masyarakat, dan semua teori tersebut berteraskan kebendaan samada memisahkan kewajipan agama dalam ekonomi atau menafikan adanya peranan agama dalam kehidupan manusia.
Islam mengizinkan miliki harta dan mengurusnya, tetapi wajib menunaikan kewajipan bermasyarakat dengan zakat dan lain-lain.
Firman Allah (maksudnya):
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.(Surah az-Zariyat: 19)
Islam juga memerintahkan supaya membelanjakan harta secara sederhana, tidak boros dan tidak bakhil. Firman Allah (maksudnya):
Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (bakhil) dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya (boros) kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.(Surah al-Israk: 29)
Dalam kehidupan berkeluarga Islam tidak seperti agama yang mengharamkan paderi dan saminya berkahwin seperti malaikat dan ajaran yang membebaskan pergaulan seperti binatang, kerana kedua-duanya bertentangan dengan fitrah manusia. Maka Islam menetapkan hukum berkeluarga bermula daripada pertunangan, sehinggalah perkahwinan, nafkah dan perceraian.
Islam juga menetapkan ajaran yang berkait dengan adab pergaulan dalam keluarga dan masyarakat yang luas, daripada hukum berpakaian sehingga hukum bergaul dan bermuamalat, bagi menjaga akhlak manusia dan keharmonian kehidupan mereka.
Bagi menjaga agama, nyawa, akal, keluarga, maruah dan harta yang menjadi rukun kehidupan manusia maka Allah mewajibkan undang-undang jenayah, qisas dan hudud secara nas dalam hanya beberapa perkara yang tidak boleh dicapai oleh akal manusia yang tetap bersifat makhluk yang lemah. Bagi perkara-perkara yang boleh dicapai dengan ilmu dan pengalaman, maka Islam mengizinkan kebijaksanaan akal dan pengalaman dengan panduannya.
Islam juga berkonsepkan al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa, perdamaian adalah konsep pertama yang wajib didahulukan, dalam masa yang sama mengakui bahawa adanya peperangan yang menjadi fitrah manusia, kerana adanya perbezaan yang membawa pergeseran dan wujudnya manusia yang menjadi pengikut syaitan yang wajib ditentang dengan cara peperangan apabila diceroboh dengan zalim, tetapi diharamkan melampau menggunakan senjata, ketika berperang dan selepasnya walaupun mencapai kemenangan.
Firman Allah (maksudnya):
Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.(Surah al-Baqarah: 190)
Islam mendahulukan perdamaian
Firman Allah (maksudnya):
Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.
Dan jika mereka bermaksud menipumu, Maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolonganNya dan dengan para mukmin.(Surah al-Anfal: 61-62)
Al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa bermakna wajib berlaku adil di masa damai dan perang, tidak menyerah kalah terhadap kezaliman dan tidak melampau apabila bertindak.
Al-Wasatiyyah mengikut al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W menjadi ikutan adalah tetap, teguh dan istiqamah, bukan slogan politik sementara seperti Islam hadari, bersih cekap dan amanah, kepimpinan melalui teladan, yang pelaksanaannya tidak cukup dan tidak berpijak di bumi nyata, tenggelam dalam gejala keruntuhan yang tidak mampu dibaiki dengan islah kerana prinsip yang salah dan konsep yang tempang dan didatangi masalah baru yang bertalu-talu.
Makna wasatiyyah bukan melaksanakan Islam tidak sempurna atau secara terpilih atau campur aduk. Bukan sekadar mendirikan masjid tanpa sempurna mendirikan sembahyang, mengadakan Bank Islam tanpa kuasa mencegah kemunkaran riba, mengadakan musabaqah sekadar mendengar suara tanpa menjadikan petunjuk dalam amalan dan akhlak, kehilangan harta dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan salah urus lebih besar daripada bantuan kepada yang berhak dan kesimpulannya menegakkan kebaikan yang tidak sempurna membiakkan kemunkaran yang meningkat. Maka tidak layak bersifat al- Wasatiyyah untuk menunjukkan model Islam dan tidak layak menjadi saksi di dunia dan akhirat.
Diambil dari keratan akhbar Harakah.
21 Januari 2012
4.14 - Surah Al-‘Aadiyat سُوۡرَةُ العَادیَات
Surah ke 100 : 11 ayat
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
وَٱلۡعَـٰدِيَـٰتِ ضَبۡحً۬ا (١) فَٱلۡمُورِيَـٰتِ قَدۡحً۬ا (٢) فَٱلۡمُغِيرَٲتِ صُبۡحً۬ا (٣) فَأَثَرۡنَ بِهِۦ نَقۡعً۬ا (٤) فَوَسَطۡنَ بِهِۦ جَمۡعًا (٥) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودٌ۬ (٦) وَإِنَّهُ ۥ عَلَىٰ ذَٲلِكَ لَشَہِيدٌ۬ (٧) وَإِنَّهُ ۥ لِحُبِّ ٱلۡخَيۡرِ لَشَدِيدٌ (٨) ۞ أَفَلَا يَعۡلَمُ إِذَا بُعۡثِرَ مَا فِى ٱلۡقُبُورِ (٩) وَحُصِّلَ مَا فِى ٱلصُّدُورِ (١٠) إِنَّ رَبَّہُم بِہِمۡ يَوۡمَٮِٕذٍ۬ لَّخَبِيرُۢ (١١)
Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya. (1) Serta mencetuskan api dari telapak kakinya. (2) Dan meluru menyerbu musuh pada waktu Subuh. (3) Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. (4) Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh. (5) Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. (6) Dan sesungguhnya dia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian. (7) Dan sesungguhnya dia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (8) (Patutkah dia bersikap demikian?) Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? (9) Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? (10) Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka pada hari itu. (11)
Penurunan Ayat
Terdapat khilaf ulama’ berkenaan penurunan surah ini. Dari segi isi kandungan dan gaya bahasanya menjelaskan ia diturunkan pada awal Makkah.
Surah yang diturunkan di Makkah adalah surah yang mampu merangsang aqidah setiap muslim.
Mengikut seerah, surah ini diturunkan selepas surah Al- ‘Asr.
Asbabun Nuzul
Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Ibnu Abi Hatim dan al-Hakim dari Ibnu Abbas ada menyatakan bahawa Rasulullah saw telah mengutus sepasukkan tentera berkuda. Akan tetapi baginda tidak mendengar khabar berita daripada mereka selama sebulan. Maka turunlah ayat ini sebagai pemberitahuan tentang pasukan tersebut yang sedang bertempur melawan musuh dan juga menceritakan tentang kepahlawanan mereka.
Latar Belakang Surah
Surah ini adalah surah Makkiyah, maka terbayang oleh kita suasana Makkah di zaman Rasulullah saw. Orang Arab di kala itu suka kepada hiburan dan peperangan. Mereka terhibur dengan sajak, puisi dan kenderaan yang membanggakan seperti kuda terutama yang digunakan untuk peperangan. Mereka tidak berminat kepada ajakan-ajakan Rasulullah saw. Maka satu kaedah yang boleh menarik perhatian supaya apa yang hendak diperkatakan akan didengari ialah dengan perkara-perkara yang disukai oleh mereka. Maka Allah swt memulakan surah ini dengan haiwan kuda kebanggaan mereka. Ini adalah suatu teknik dakwah yang berkesan.
Allah swt menarik perhatian mereka dengan sesuatu yang mereka suka dan kemudian berkata-kata dengan gaya bersumpah yang menunjukkan perkara yang akan dicerita seterusnya adalah suatu perkara yang penting dan benar. Ia perlu didengar dan diperhatikan betul-betul. Begitu juga kepada kita zaman muktahir ini. Surah ini sangat penting dihayati.
Surah Makkiyah adalah surah tertumpu kepada aqidah. Bukan bermaksud hanya menceritakan aqidah Islam malah ia mampu merangsang kepada kemantapan aqidah itu sendiri selain dari meningkatkan keimanan kepada sesiapa yang membaca dan memahaminya.
Mengikut Al-Syahid Sayyid Qutb, apabila membaca bait-bait ayat surah ini, tergambar serta terasa rentak nada yang keras dan berdentam-dentum dalam suasana yang gempar, suasana yang hiruk-pikuk dan berdebu (ayat 1 – 5). Kemudian Allah swt menempelak sikap manusia yang sering melupakan nikmat Allah swt (ayat 6 – 8). Keadaan gegak gempita berakhir dengan pembongkaran kubur dan pengumpulan manusia ke Hadrat Allah Azawajalla (ayat 9 – 11).
Kesemua babak berlalu dengan pantas hingga ke pengakhirannya. Oleh itu, betapa pentingnya memahami Bahasa Arab untuk merasai babak-babak ini yang ditayangkan oleh Allah swt.
Penerangan Ayat
Ayat 1 – 5
وَٱلۡعَـٰدِيَـٰتِ ضَبۡحً۬ا (١) فَٱلۡمُورِيَـٰتِ قَدۡحً۬ا (٢) فَٱلۡمُغِيرَٲتِ صُبۡحً۬ا (٣) فَأَثَرۡنَ بِهِۦ نَقۡعً۬ا (٤) فَوَسَطۡنَ بِهِۦ جَمۡعًا (٥)
Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya. (1) Serta mencetuskan api dari telapak kakinya. (2) Dan meluru menyerbu musuh pada waktu Subuh. (3) Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. (4) Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh. (5)
وَٱلۡعَـٰدِيَـٰتِ ضَبۡحً۬ا (١)
و – Demi (sumpah)
عَـٰدِيَـٰتِ – yang berlari kencang menuju musuh(kuda), penambahan ٱلۡ menjadi ٱلۡعَـٰدِيَـٰتِ – khusus kepada kuda perang yang sedang berlari pantas menuju musuh.
ضَبۡحً۬ا – kedengaran nafas kuda tersebut yang berlari kencang.
Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya. (1)
Allah swt memulakan ayat dengan bersumpah. Kuda perang yang sangat diminati dan mencerminkan gerakan yang tangkas dan sifat kuda yang berani menuju musuh patut menjadi iktibar. Dalam surah Al-‘Asr, Allah swt juga memulakan ayat dengan bersumpah, tetapi dengan masa. Betapa pentingnya pergerakan masa yang perlu diisi bukan untuk dipersia-siakan.
Jika diteliti bagaimana Allah swt berdialog di dalam surah yang mempunyai sumpah, disitu terdapat objek yang disumpah dan subjek sebagai cerita sebenar yang hendak disampaikan. Sebagai contoh; ‘Demi masa manusia itu di dalam kerugian.’ Masa sebagai objek, manusia di dalam kerugian sebagai subjek. Di dalam surah ini, ayat 1 – 5 sebagai objek dan ayat seterusnya sebagai subjek.
Itulah keistimewaan al-Qur’an; Bahasanya yang lembut, menarik perhatian, tidak jemu dibaca dan bersesuaian di setiap zaman.
Berkait dengan nuzul turunnya surah ini, Allah swt telah menjawab tanda tanya yang wujud dalam benak Rasulullah saw, apakah yang terjadi kepada tentera berkuda yang telah dihantarnya. Bahawa kuda itu berlari pantas memecut ke arah musuh, kedengaran degusan nafasnya yang kencang. Larian tapak kuda menghasilkan percikan api hasil dari hentakan dan geselannya dengan puing-puing batu yang keras; Serta mencetuskan api dari telapak kakinya. (2)
Semua ini berlaku diwaktu subuh; Dan meluru menyerbu musuh pada waktu Subuh. (3)
Kemudian Allah menggambarkan keadaan kuda yang meluru berani ketengah-tengah kumpulan atau jama’ah musuh sehingga kelihatan debu-debu berterbangan di medan pertempuran tersebut. Betapa beraninya sahabat Rasulullah saw, tidak gentar jiwa mereka terhadap musuh Allah. Betapa bangganya Allah melihat gelagat mereka, berjuang demi Tuhannya seiring dengan kegagahan dengan kuda perang mereka; Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. (4) Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh. (5)
Kekuatan ini timbul dari kekuatan aqidah di dalam hati-hati mereka. Kekuatan seperti inilah yang perlu dipupuk, digilap dan dicanang semata-mata untuk Allah Robbul ‘Alamin.
Ahmad, Shaikani, Nasa’I dan Ibn Majah meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasululah saw bersabda:
“Batu jemala kuda memang membawa kebaikan sampai hari qiamat.”
Allah swt bersumpah dengan kuda juga menunjukkan bahawa haiwan kuda adalah haiwan yang istimewa dan dikagumi oleh manusia sehingga ke hari ini. Namun memilikinya bukanlah untuk berbangga-bangga dan riya’. Tetapi mengambil iktibar dengan ketangkasan kuda perang yang digunakan untuk berjihad fi sabilillah.
Di dalam ayat 1, Allah swt menyebut secara umum; عَـٰدِيَـٰتِ ‘sesuatu yang berlari pantas menuju musuh’. Di zaman Rasulullah saw haiwan kudalah yang berlari pantas. Jika dibaca ayat ini di zaman kita, sesuatu yang berlari laju dan membanggakan ialah seperti kereta Ferrari. Oleh itu ayat al- Quran bersesuaian dibaca di mana-mana zaman sekali pun. Ia boleh menerbitkan isi kandungan yang sama walaupun keadaan atau suasana yang berbeza. Penggunaan kenderaan secanggih mana pun, yang dinilai di sini ialah ketangkasannya, keberaniannya, dan kekuatan jiwanya.
Ayat 1 – 5, adalah babak Allah swt bersumpah supaya apa yang akan dinyatakan selepas ini adalah sesuatu yang sangat penting, perlu diberi perhatian dan diberi ingatan yang sungguh-sungguh. Apakah yang hendak diceritakan oleh Allah swt sebenarnya di dalam surah ini?
Ayat 6 – 8
إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودٌ۬ (٦) وَإِنَّهُ ۥ عَلَىٰ ذَٲلِكَ لَشَہِيدٌ۬ (٧) وَإِنَّهُ ۥ لِحُبِّ ٱلۡخَيۡرِ لَشَدِيدٌ (٨)
Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. (6) Dan sesungguhnya dia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian. (7) Dan sesungguhnya dia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (8)
Babak seterusnya, Allah swt ingin menyatakan sesungguhnya makhluk manusia kebanyakkannya tidak tahu bersyukur dan sering ingkar dengan-Nya. Tidak mengingati nikmat yang melimpah ruah ke atas mereka. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam segala gerak-geri dan tutur kata mereka.
Allah swt tidak menyusun ayat 6 seperti ini; لَكَنُودٌ۬ لِرَبِّهِۦ -‘sesungguhnya kebanyakan manusia ingkar kepada Tuhannya.’ Tetapi Allah swt menyusun ayat 6 ini seperti ; إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودٌ۬ –‘Sesungguhnya kebanyakan manusia kepada Tuhannyalah benar-benar ingkar’. Kenapa begitu? Ini kerana Allah swt ingin menyatakan bahawa hanya Tuhan Allah swt satu-satunya yang mereka ingkar, tidak yang lain. Seperti dengan boss syarikat….wow , betapa patuhnya ia untuk tidak dibuang kerja, tinggal solat tidak apa, asal perut terpelihara.
Tidak tahukah manusia bahawa rezeki masing-masing telah ditentukan oleh Allah swt sejak azali lagi. Manusia hanya perlu berusaha sebagai asbab mendapat rezeki.
Abu Abdurrahman Abdullah bin Mas’ud melaporkan; “Rasulullah saw menyampaikan kepada kami dan baginda adalah orang yang benar dan dibenarkan, ‘Sesungguhnya penyempurnaan penciptaan kamu berlaku di perut ibunya sebagai setitis mani selama 40 hari, kemudian berubah menjadi setitis darah selama 40 hari, kemudian menjadi segumpal daging selama 40 hari. Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat, lalu ditiupkan roh padanya. Kemudian diperintahkan supaya menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kecelakaan atau kebahagiaannya. Demi Allah yang tidak ada tuhan selain –Nya, sesungguhnya antara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dan syurga tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya antara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dan neraka tinggal sehasta, tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga.” – HR Bukhari dan Muslim.
Keingkaran ini telah pun diketahui,diperakui, malah disaksikan oleh manusia itu sendiri. Ini memberi maksud kebanyakkan manusia telah pun mengetahui bahawa mereka telah ingkar dengan Tuhan mereka. Tetapi mengapa mereka tidak bertaubat Semua makhluk di bumi dan bumi itu sendiri juga menjadi saksi di atas apa yang telah dilakukan oleh mereka ; Dan sesungguhnya dia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian. (7)
Manusia mempunyai sikap suka melupakan nikmat Allah swt kerana jiwa mereka, hati mereka yang sayangkan diri sendiri dan harta kekayaan. Sama ada dalam bentuk wang, kuasa dan nikmat-nikmat kesenangan hidup di dunia sehingga aqidah mereka terpesong, menjadikan kekayaan itu sebagai Tuhan atau mensyarikatkan Allah swt. (Syirik).
Sikap tamak haloba telah merajai hati mereka. Hukum-hakam dan undang-undang Allah tidak diendahkan lagi. Oleh itu, Allah swt menempelak orang yang sebegini kerana mereka telah keterlaluan; Dan sesungguhnya dia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (8)
Ayat 9 – 11
أَفَلَا يَعۡلَمُ إِذَا بُعۡثِرَ مَا فِى ٱلۡقُبُورِ (٩) وَحُصِّلَ مَا فِى ٱلصُّدُورِ (١٠) إِنَّ رَبَّہُم بِہِمۡ يَوۡمَٮِٕذٍ۬ لَّخَبِيرُۢ (١١)
(Patutkah dia bersikap demikian?) Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? (9) Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? (10) Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka pada hari itu. (11)
Babak akhir; Suatu gambaran yang akan berlaku sebagai peringatan dari Ar-Rahman dan Ar-Rahim bahawa bila tiba masanya, kubur-kubur akan digeledah dan dibongkar. Rahsia-rahsia yang tersimpan di dalam dada-dada akan diragut keluar. Semua ini berlaku dalam suasana yang keras, dasyat dan berdebu. Tidak takutkah kita?....ataukah hati-hati ini telah buta dengan kesibukan dunia yang kecil dan sementara ?
Dikala ini, segala urusan dan segala kesudahan kembali kepada Allah swt. Perkataan يَوۡمَٮِٕذٍ -‘pada hari itu’ memberi maksud; Sesungguhnya Allah swt mengetahui keadaan-keadaan manusia setiap waktu dan setiap saat kerana Allah swt Maha Mendengar lagi Maha Melihat dengan tiada batasannya. Mereka tidak akan dianiaya walau sebesar zarah sekali pun. Kebaikan akan dibalas baik dan menguntungkan,kejahatan atau kemaksiatan akan dibalas siksa atau kerugian.
Firman Allah swt di dalam surah Ali-Imran:181,
“Kami (Allah) akan menulis perkataan mereka itu.”
Maka jika mereka sedar dan yakin dengan apa yang akan berlaku ini, mereka tidak akan ingkar , tidak akan terlalu mencintai harta dan dunia, tidak akan melupai nikmat yang diberikan oleh Allah Azawajalla malah akan bersedia beramal untuk akhirat. Tanpa cetusan niat dan kemahuan di dalam hati, sudah tentu tidak akan berlaku sesuatu perbuatan anggota badan yang lain.
Hadith Qalb (sebahagian dari hadis ke-6 dalam Hadis 40 Imam An-Nawawi);
“Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik, maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa itu adalah hati”.- (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pengajaran Yang Boleh Diambil:
1. Allah swt bersumpah dengan Makhluknya, manusia tidak boleh bersumpah dengan makhluk.
2. Allah swt sukakan hambanya yang gagah perkasa, tangkas dan berjiwa besar.
3. Tiga sifat kebanyakan manusia yang perlu diperbaiki:
1. Sifat ingkar dengan Tuhannya
2. Sifat yang dia sendiri telah mengetahui apa yang telah dia lakukan tetapi tiada inisiatif atau usaha untuk memperbaikinya.
3. Sifat Tamak dan bakhil pada harta
Perhatikan situasi (1) berikut;
Mr N mempunyai seorang kekasih bernama Miss K. Pada suatu hari beliau membuat temu janji di taman rekreasi. Hampir 4 jam mereka di situ bermadu kasih. Oleh kerana terasa selamat dan seronok, mereka membuat temu janji susulan di hari yang lain.
Situasi seperti ini sering berlaku di zaman kita kini. Mr N dan Miss K mengetahui bahawa apa yang mereka lakukan adalah salah di dalam syari’at Islam. Namun mereka tetap melakukannya. Mereka telah ingkar kepada Allah swt dan mengetahui bahawa tindakan mereka salah. Itulah sikap manusia yang Allah swt terangkan dalam surah ini.
Bagaimana dengan situasi (2) berikut:
Mr A telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Beliau tinggal di Bandar Baru Bangi dan bekerja di Shah Alam. Isterinya seorang guru di sekolah Bandar Baru Bangi. Setiap pagi beliau terpaksa keluar rumah jam 5.30 pagi kerana tempat kerja agak jauh dan jalan yang sesak pada jam 6.30 hingga 8.00 pagi. Ada ketikanya, waktu subuh agak lewat. Dia terpaksa korbankan solat subuh kerana bimbang lewat ke tempat kerja. Begitu juga sewaktu pulang ke rumah, jalan raya sesak hingga melepasi waktu maghrib. Mr. A tahu dia berdosa meninggalkan solat tetapi demi anak isteri, dia terpaksa berbuat begini.
Situasi seperti ini juga sering berlaku di Malaysia. Walaupun Mr. A menyedari bahawa dia telah ingkar dengan Tuhannya, dia masih tidak mencari inisiatif memperbaiki keadaan dan sangat sayang dibuang kerja. Bimbang rezeki keluarga tidak dapat dicari. Dia telah tamak kepada harta dan bakhil untuk melepaskan hartanya walaupun terpaksa ingkar dengan Tuhannya. Hanya kepada Tuhannya dia ingkar, sesama manusia dia tersangat patuh dan taat.
Oleh itu, perlu sangat kita memahami konsep rezeki ini. Daripada hadith riwayat Bukhari dan Muslim di atas, terbukti bahawa bukan kita yang menentukan rezeki kita sendiri. Tetapi Allah swt telah pun menetapkan untuk kita. Kita hanya perlu patuh kepada suruhan Allah swt dan tahu apa tujuan Allah swt menjadikan manusia di atas muka bumi-Nya.
Beringat sebelum terlambat. Sebelum kubur dibongkar dan sebelum isi hati dikeluarkan. Diwaktu itu tiada lagi pengampunan dan tiada lagi belas kasihan.
Baik dan buruk sebesar zarah sekalipun akan dihisab. Sedarlah, bangunlah dari tidur yang panjang. Pintu taubat masih terbuka. Usaha masih diterima. Sesungguhnya Allah swt Maha Pengasih dan Maha Penyayang akan hamba-hambanya yang bertaubat dan beramal soleh.
Wallahu’alam.
04 Januari 2012
4.13 Surah at-Takathur - سُوۡرَةُ التّکاثُر
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
أَلۡهَٮٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ (١) حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ (٢) كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٣) ثُمَّ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٤) كَلَّا لَوۡ تَعۡلَمُونَ عِلۡمَ ٱلۡيَقِينِ (٥) لَتَرَوُنَّ ٱلۡجَحِيمَ (٦) ثُمَّ لَتَرَوُنَّہَا عَيۡنَ ٱلۡيَقِينِ (٧) ثُمَّ لَتُسۡـَٔلُنَّ يَوۡمَٮِٕذٍ عَنِ ٱلنَّعِيمِ (٨)
“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), (1) Sehingga kamu masuk kubur. (2) Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! (3) Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! (4) Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). (5) (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat Neraka yang marak menjulang. (6) Selepas itu, demi sesungguhnya! Kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! (7) Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! (8)”
Nama Surah
Surah ini mengambil nama dari kalimah at takathur pada ayat pertama.
Latar-belakang Surah
Ulama tafsir berbeza pendapat samada surah ini ialah Surah Makiyyah ataupun Surah Madaniyah.
Ibn Abi Hatim telah meriwayatkan daripada Ibn Buraidah berkaitan dengan ayat ini (maksudnya): “Bermegah-megah (menunjukkan kelebihan) sering melalaikan kamu "(al-Takathur, 102:1); katanya surah ini diturunkan sempena dua kabilah dari kabilah orang-orang Ansar iaitu Bani Harithah dan Bani al-Harth. Keduanya kabilah ini saling menyombongkan diri di antara satu sama lain dengan kekayaan yang mereka miliki serta keturunan mereka dan saling tertanya-tanya di antara satu sama lain: “Apakah kalian semua mempunyai pahlawan segagah dan secekap si Fulan?” Mereka menyombongkan diri pula dengan kedudukan dan kekayaan orang yang masih hidup. Malahan mereka juga bermegah-megah dengan pahlawan yang telah gugur dengan menunjukkan tanah perkuburan mereka.
Maka Allah pun menurunkan ayat (bermaksud): “Bermegah-megah (menunjukkan kelebihan) sering melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur.” (al-Takathur, 102:1-2). Ia adalah sebagai teguran kepada orang-orang yang hidup bermegah-megah sehingga mereka lalai untuk melakukan ibadah kepada Allah.
Imam Bukhari dan Ibnu Jarir telah mengambil riwayat dari Ubayy bin Ka’ab: “Rasulullulah bersabda (maksudnya): “Seandainya anak Adam mempunyai dua lembah harta tentu dia masih menginginkan yang ketiga. Padahal yang memenuhi perut anak Adam hanyalah tanah-tanah (kuburnya) dan Allah tetap menerima taubat orang yang ingin bertaubat”
Hadis ini menguatkan hujah bahawa surah at-Takathur adalah Surah Madaniyah dengan alasan bahawa Ubayy bin Kaab memeluk agama Islam di Madinah. Hadis ini juga menceritakan hal kubur sebagaimana surah at-Takathur.
Menurut Abu Hayyan dan Shaukani, kebanyakan pentafsir muktabar berpendapat surah ini adalah surah Makkiyah. Begitu juga dengan Imam Sayuti. Menurut mereka kandungan dan gaya bahasa yang digunakan dalam Surah Al-Takathur mencerminkan bahawa ia adalah surah Makkiyah. Perihal kubur juga dinyatakan dalam banyak ayat seperti di dalam Al- An'am: 93, An-Nahl: 28, Al-Muminun: 99-100, Al-Mu'min: 45-46, yang mana kesemua surah ini adalah Surah Makiyyah.
Surah ini mempunyai pertalian dengan surah-surah sebelumnya (Zilzal, 'Aadiyat, al Qari'ah). Ia mempunyai satu `pattern’ iaitu berkenaan kehidupan di dunia, kehidupan di akhirat dan kehidupan Hari Pembalasan. Kesemua surah ini juga adalah surah Makiyyah.
Ibnu Jarir meriwayatkan dari Sayidina Ali r.a berkata; “Pada mulanya kami sangsi tentang seksa kubur. Selepas penurunan ayat ini(Surah at-Takathur 102:1-2) hilanglah kesangsian itu.”
Tafsir Surah
Ayat 1:
أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ
Kamu telah dilekakan oleh pertandingan memperbanyakkan harta kekayaan (1)
alha - lahwan (past tense) - il-haa. Secara literalnya adalah bermaksud hiburan (Entertainment). Yakni manusia sibuk dan lalai. Ada beberapa situasi `kelalaian' yang berlaku (mengikut neraca Allah):
1. Membuang masa pada suatu perkara yang tidak penting.
2. Tidak memberi perhatian kepada perkara yang sepatutnya dibuat.
3. Memberi perhatian yang berlebihan kepada sesuatu perkara hingga Allah tidak diberi keutamaan sebagaimana yang sepatutnya.
Kalimah `Al-ha' adalah `fail madhi/past-tense’. Ia digunakan bagi menunjukkan sikap manusia yang suka bermegah-megah, berbangga dan berlumba-lumba untuk ni'mat dunia. Masa terbuang begitu sahaja, tiada nilai, tidak berfaedah dan sia-sia dari neraca Allah.
Istilah Takathur - kathra - kathir = banyak. Takathur juga bermaksud [Tafa'ul] - Mufa'alla, Ta'adhun = pertandingan/persaingan
Yakni `At-Takathur' melekakan dan mengalihkan perhatian manusia dari Allah. `Takathur' membawa beberapa maksud:
1 - Keinginan untuk mendapat lebih banyak.
Hendak lebih kaya, memiliki kereta mewah, mempunyai rumah lebih besar dan sebagainya.Ini akan melekakan dari mengingati dan bertawajuh kepada Allah swt.
2 – Bersaing dengan orang lain bagi memperoleh lebih banyak ni'mat keduniaan.
Bersaing untuk mendapat pangkat/kuasa mengikut jalan yang tidak diredhai Allah. Bermegah-megah dan bersaing dalam urusan perkahwinan supaya nampak lebih `grand', kelihatan mewah dari orang lain, dikatakan mengikut trend terkini sehingga ia nampak lebih hebat.
3 – Berbangga-bangga dan menunjuk-nunjuk kerana mempunyai banyak kelebihan.
Berbangga dengan harta-benda dan kemewahan yang dimiliki, keturunan yang hebat, anak-pinak yang ramai.
Akibat dari sikap bermegah-megah dan persaingan yang melekakan itu, maka manusia dilalaikan daripada kebenaran Islam. Lari dari tanggung-jawab sebagai hamba Allah, bersikap ambil mudah terhadap suruhan dan larangan Allah. Tidak bersyukur kemudian lalai dari mengingati Allah dan seterusnya melupakan manusia kepada Hari Pembalasan.
Mesej yang sama juga dapat dilihat dalam surah al-`Aadiyat,100:6-8 (maksudnya)
“dan sesungguhnya manusia itu sangat ingkar tidak berterima kasih kepada Tuhannya(6)”.
“dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan (sendiri) keingkarannya(7)”
“dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta(8)”
Sebahagian ahli tafsir menerangkan bahawa maksud ayat ini (8) ialah manusia sangat kuat cinta-nya kepada harta sehingga ia menjadi bakhil.
Terdapat banyak ayat dalam Al-Quran yang menceritakan perihal mereka yang dilalaikan oleh harta-benda sehingga menjadi ego dan melupakan Allah. Firman Allah dalam Surah al-Kahfi, 18:34 (maksudnya)
“Dan dia mempunyai kekayaan (kebun yang besar), maka dia berkata kepada kawannya ketika dia berdialog dengannya: “Aku mempunyai harta kekayaan yang lebih banyak dari engkau dan aku mempunyai pengikut-pengikut yang lebih kuat”
Ayat ini mengisahkan tuan punya ladang yang sangat sombong dan berbangga dengan kekayaannya. Dia mendabik dada kepada kawannya yang miskin. Dia telah melupakan Allah dan lupa juga untuk mensyukuri nikmat pemberian-Nya.
Firman Allah dalam surah Saba' , 34:35 (maksudnya):
“Dan mereka berkata: Kami lebih banyak mempunyai harta dan anak-anak (daripada kamu) dan kami sekali-kali tidak akan di azab”.
Manusia selalu merasakan bahawa kekayaan, kekuasaaan, keturunan dan anak-anak adalah tanda kekuatan dan menjadikan mereka bangga diri. Sesungguhnya `Takathur' melalaikan manusia dari ketaatan kepada Allah dan bersedia untuk beramal bagi Hari Pembalasan.
Allah memberikan peringatan kepada orang mu'min agar tidak lalai atas nikmat harta kekayaan dan anak-pinak. Firman Allah dalam Surah Al-Munafiqun 63:9 (maksudnya)
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu itu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi."
Harta kekayaan dan anak-pinak memang melalaikan jika hati tidak mempunyai kesedaran, tidak memahami matlamat kewujudannya dan tidak merasa mempunyai matlamat yang tinggi. Allah mengurniakan nikmat harta kekayaan dan anak pinak kepada manusia supaya dia dapat melaksanakan tugas khalifah di atas mukabumi ini dan bukan untuk melalaikannya dari mengingati Allah. Mereka yang lalai adalah orang-orang yang rugi. Mereka hilang `Sifat insan', yakni terhenti perhubungannya dengan Allah. Maka rugilah dia walau sebanyak mana dia memiliki harta kekayaan dan anak-pinak.
Begitu juga dalam surah al-Hadiid (57:20), Allah mengingatkan hamba-Nya bahawa manusia akan berbangga dan bersaing tentang harta dan anak-anak (maksudnya)
"Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan hiburan yang melalaikan, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan dan perlumbaan membanyakkan harta dan anak. Ia adalah laksana air hujan yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan mengkagumkan para penanam; kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering dan engkau lihat warnanya kuning, kemudian ia menjadi reput. Dan di Akhirat kelak disediakan 'azab yang dasyat dan keampunan dari Allah dan keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia itu tidak lain melainkan hanya suatu kenikmatan yang mempedayakan."
Kehidupan dunia apabila diukurkan dengan ukuran dunia dan ditimbangkan dengan neraca dunia, maka ia akan dilihat dan dirasakan sebagai satu kehidupan yang amat agung dan besar, tetap apabila ditimbangkan dengan neraca Akhirat, maka ia kelihatan kecil dan kerdil.
Permainan, hiburan, berbangga-bangga, berlumba-lumba memperbanyakkan harta dan anak merupakan hakikat kehidupan dunia. Al-Quran membuat perbandingan kehidupan dunia dengan satu perbandingan yang menarik mengikut cara bahasa al-Quran yang seni, iaitu kehidupan dunia ini adalah
“Laksana air hujan yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan mengkagumkan para penanam".
Ia mengandungi maksud sindiran terhadap orang-orang kafir yang amat tertarik dengan kehidupan dunia.
“Kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering dan engkau lihat warnanya kuning, kemudian ia menjadi reput”Kehidupan dunia ini telah ditetapkan tempohnya yang tertentu yang akan berakhir dengan segera.
Ibn Abbas apabila membaca surah at-Takathur akan memulakan bacaan dengan tambahan huruf tambahan `hamzah' pada permulaan ayat. Ia akan menjadikan ayat ini dalam bentuk persoalan .. "Adakah at-Takathur akan melalaikan kamu ?" Maka, marilah kita bermuhasabah dan menjawab soalan tersebut. Apakah kita telah dilalaikan oleh at-Takathur ? Kekayaan dan anak-anak sepatutnya lebih mengingatkan kita kepada Allah dan bukannya sebagai penyebab yang menjauhkan diri kita dari-Nya.
Ayat 2:
حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ
Sehingga kamu mengunjungi kubur-kubur (2)
Istilahزُرْ zur - zaara - ziyaara - bermaksud berjumpa seseorang ataupun menziarahi seseorang. Ia adalah lawatan atau satu keadaan yang bersifat sementara.
Maqaabir مَقَابِرَ adalah kata jamak (plural) kepada maqbara. مَ (Ma) adalah menunjukkan tempat. Kubur adalah tempat kita akan dimakamkan. Kubur adalah tempat persinggaan sementara sebelum tibanya Hari Pembalasan. Allah menggunakan istilah `kubur' dalam ayat ini dan bukannya `Syurga' atau `Neraka' yang bersifat kekal.
Allah memberikan peringatan bahawa kita telah disibukkan oleh sikap besar diri, bermegah-megah dengan kelebihan harta-benda, anak-pinak, sahabat handai, pangkat, kuasa serta berusaha mendapat lebih banyak lagi; sehingga menyebabkan kita sibuk, tidak mentaati Allah dan beramal untuk akhirat sehingga saat ketika ajal datang pun, kita masih lagi bersikap sedemikian rupa.
Kubur bukanlah tempat untuk dibuat perbandingan, bermegah-megah atau berbangga-bangga dengan perkara keduniaan. Ia sepatutnya menyedarkan kita tentang hakikat kematian. Kematian itu sendiri adalah nasihat yang terbesar.
Ingatlah wahai para pengumpul harta benda dan orang-orang yang disibukkan dengan hal keduniaan, bahawa Demi Allah, engkau tidak akan mendapatkan dari harta-bendamu kecuali selembar kain kafan; itupun akan rosak dan musnah. Jasadmu hanya untuk dimakan tanah. Mana perginya harta benda yang engkau kumpulkan? Adakah ia dapat menyelamatkanmu dari kengerian dan azab kubur? Pada saat mati, tapak tanganmu menjadi kosong dan tidak berisi. Yang kaya dan mulia akan berubah menjadi miskin dan hina.
Oleh itu kita digalakkan menziarahi kubur bagi menjernihkan hati dari cintakan dunia dan mengingati kematian. InsyaAllah ia akan menimbulkan perasaan tidak senang kepada dunia dan hati akan lebih menjadi lebih lunak dan condong pada kecintaan terhadap kampung akhirat. Al-Hakim di dalam sahihnya pernah meriwayatkan bahawa Rasululluh s.`a.w telah bersabda (maksudnya):
“Sesungguhnya aku (sebelum ini) telah melarang kamu semua dari menziarahi kubur. Kini ziarahlah kubur, sesungguhnya ia boleh melembutkan hati, mengalir air mata dan mengingatkan akhirat dan janganlah kamu berkata: “Jauhilah (kubur)”.
Ziarahilah kubur dan ia tidak terhad kepada kubur ibu-bapa atau saudara-mara sahaja kerana tujuan sebenar menziarahi kubur adalah untuk mengingati kematian yang mendatang. Orang yang berakal ialah orang yang selalu mengambil pengajaran dari kematian. Ad-Daqqaq mengatakan:
“Barangsiapa mengingat kematian, akan dimuliakan dengan tiga hal; pertama, segera bertaubat, kedua, qana'ah hati, dan ketiga, semangat beribadah. Dan barangsiapa lupa akan kematian, maka ia akan diazab dengan tiga hal; pertama, menunda-nunda taubat, kedua, tidak redha dengan yang sedikit, dan ketiga, bermalas-malas dalam beribadah.”
Saiyidina Ali bin Abi Talib r.'a. berkata: “ Dunia pergi sambil berpaling, dan akhirat datang sambil mengadap. Setiap satu dari keduanya mempunyai anak. Jadilah engkau salah satu anak akhirat, dan jangan menjadi salah satu anak dunia. Sebab, hari ini adalah hari untuk beramal, tidak ada hisab. Sedangkan hari esok adalah hisab, tidak ada hari untuk beramal.”
Ayat 3 and 4:
كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٣) ثُمَّ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٤)
Tidak sekali-kali begitu, kelak kamu akan mengetahui (3)
Kemudian tidak sekali-kali begitu, kelak kamu akan mengetahui (4)
“kal-laa” كَلَّا – Sudah semestinya (literally: no! Not at all).
“Sa” سَ – soon; “sawfa” سَوۡفَ - very soon.
“Ta'lamoon” تَعۡلَمُونَ – Kamu semua akan mengetahui
Apabila manusia bangun ketika Hari Pembalasan, mereka akan berkata “Apakah yang telah aku lakukan?”. Ini adalah kerana ketika di dunia, mereka bersikap tidak endah apabila diingatkan tentang kematian. Maka Allah mengatakan “kal-laa” yakni sudah semestinya mereka akan tahu; iaitu setelah mereka mati dan dikuburkan.
Sesetengah ulama tafsir menafsirkan ayat 3 “Tidak sekali-kali begitu, kelak kamu akan mengetahui!” bermaksud apabila manusia meninggal dan dikuburkan, barulah mereka menyedari realiti kehidupan yang sebenarnya.
Saiyidina Ali bin Abi Talib ra. berkata "Manusia sedang tidur dan apabila mereka mati, maka barulah mereka hidup". Ketika itu, mereka hanya menyedari betapa sia-sianya usia mereka di dunia selama ini.
Ayat ke-4 pula memberi penerangan ketika kita keluar dari kubur semasa Hari Pembalasan.
Perkataan ثُمَّ (setelah itu) menguatkan ayat yang sebelumnya (takhfeem)
Az-Zamakhshari menegaskan “kal-laa” adalah satu amaran ataupun ancaman dan gertakan supaya manusia bangkit serta sedar dari lamunannya, iaitu daripada sikap dan tabiatnya yang lalai..
Kalimah “kal-laa” diulang lagi pada ayat ke-4 yang menjelaskan amaran itu menjadi lebih keras, dan menekankan perlunya kita bertindak dengan segera. Yakni berhenti daripada lalai. Menjauhi sifat bermegah-megah, menunjuk-nunjuk dengan kelebihan harta atau pangkat yang menyebabkan alpa untuk beramal kepada kehidupan akhirat. Tidak sepatutnya seseorang itu memberi perhatian lebih kepada dunia berbanding akhirat dan mengabaikan kepentingan agamanya.
Ayat 5:
كَلَّا لَوۡ تَعۡلَمُونَ عِلۡمَ ٱلۡيَقِينِ
Tidak sekali-kali begitu, kerana jika kamu mengetahui dengan ilmu yang yakin (5)
“Laww” لَوۡ – menunjukkan penyesalan; iaitu jikalah kamu mengetahui
“ilm al yaqin” عِلۡمَ ٱلۡيَقِينِ – pengetahuan yang pasti (knowledge of certainty).
Yaqin menunjukkan kita sangat pasti dan tiada ragu-ragu. Melebihi dari sekadar `tahu'.
Terdapat tiga (3) jenis Keyaqinan:
1. 'Ilmul-yaqin – keyakinan berasaskan pengetahuan.
Contohnya rumput basah yang mungkin disebabkan oleh hujan; ataupun bila kita melihat asap, maka kita tahu ada api walaupun kita tidak melihatnya.
2. 'Ainul-Yaqin – keyakinan apabila kita melihatnya sendiri. Contohnya melihat sendiri kebakaran yang berlaku.
3. Haqqul-Yaqin – keyakinan bila kita merasa sendiri api itu. Panas dan membakar.
Allah memberikan kita dua (2) jenis Yaqin dalam kehidupan kita; iaitu 'Ilmul-yaqin dan Haqqul-yaqin. Al-Quran itu sendiri adalah 'Ilmul-Yaqin dan Haqqul-Yaqin. Allah berfirman dalam surah al-Haqqah (69:51) yang maksudnya:
“ Dan sesungguhnya Al-Quran itu benar-benar kebenaran yang diyakini (Haqqul-yaqin)".
Al-Qur'an bukan semata-mata keyaqinan, tetapi ia adalah kebenaran yang wujud di dalam keyaqinan itu. Kata-kata Haqqul-Yaqin adalah satu ungkapan istemewa untuk menguatkan makna dan penegasan iaitu Al-Qur'an itu amat mendalam dari segi kebenaran dan amat mendalam dari segi keyaqinan. Al-Qur'an menemukan kebenaran yang tulen. Setiap ayatnya membuktikan bahawa sumbernya ialah kebenaran yang utama dan sejati.
Mereka yang mendustakan al-Qur'an, tidak akan menerima 'Ilmul-Yaqin, tetapi yang dimintanya ialah 'Ainul-Yaqin. Mereka adalah orang yang jahil dan musuh kepada kebenaran. Mereka ingin melihat perkara-perkara ajaib dengan mata kepala mereka sendiri. Mereka kerap bertanya soalan-soalan yang bertujuan untuk mempermainkan dan menunjukkan keingkaran terhadap agama Allah. Al-Qur'an telah menyatakan dalam banyak ayat tentang dialog-dialog orang kafir dengan para nabi berkenaan permintaan-permintaan mereka yang melampaui batas. Namun mereka itu tetap kufur walaupun Allah menunaikan permintaan mereka. Lihatlah apa yang telah terjadi kepada kaum Nabi Saleh dan Nabi Musa.
Orang-orang kafir juga bersikap ragu-ragu terhadap Hari Qiamat. Mereka hanya sedar dan yaqin bila berada di Padang Masyar. Namun penyesalan itu tiada gunanya. Firman Allah dalam surah al-Jaatsiyah (45:32) yang bermaksud:
“Dan apabila dikatakan:`Sesungguhnya janji Allah itu tetap benar dan Hari Qiamat itu tidak mempunyai sebarang keraguan padanya, maka kamu telah menjawab: 'Kami tidak tahu apakah Hari Qiamat itu, kami fikir (hari Qiamat itu) hanya suatu anggapan (yang karut) sahaja dan kami sama sekali tidak yakin”.
Sesungguhnya orang kafir akan dilupakan Allah sebagaimana mereka melupakan Allah di dunia.
Kata Qatadah 'ilmul-Yaqin merujuk kepada pengetahuan tentang perkara-perkara yang berlaku selepas kematian. Sesungguhnya kematian akan pasti berlaku dan ia diyakini akan berlaku oleh orang Islam atau pun bukan Islam. Firman Allah dalam surah al-Hijr (15:99) yang maksudnya:
“dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal)”.
Manusia yang mengetahui dengan yaqin keadaan yang bakal dihadapi setelah kematian pasti akan meninggalkan sikap bermegah dan berbangga diri. Malah akan segera melaksanakan amal soleh. Tidak leka dan lalai dengan dunia. Malah tidak melupakan urusan akhirat yang amat penting dan tidak lupa juga membuat persediaan untuknya.
Ayat ini sebagai pengukuhan tegahan dan celaan terhadap sikap gila dunia dan terpesona dengan kemilau hidup duniawi yang fana'. Ungkapan ini bukanlah sekadar nasihat kosong. Akan tetapi ia menegaskan bahaya besar di hadapan. Ia memerlukan pengamatan yang mendalam dan pemikiran yang bersungguh-sungguh tentang nasib masa depan di akhirat kelak. Kesedaran seumpama ini tidak dapat dirasai pada kebiasaannya tanpa keimanan yang kuat dan jiwa yang sedar lagi sejahtera.
Al-Hasan berkata: “kal-laa” bermaksud benar seolah-olah dikatakan pasti anda akan mengetahuinya dengan yakin.
Ayat 6 dan 7.
لَتَرَوُنَّ ٱلۡجَحِيمَ (٦) ثُمَّ لَتَرَوُنَّہَا عَيۡنَ ٱلۡيَقِينِ (٧)
Sesungguhnya kamu akan tetap akan melihat Neraka Jahim (6)
Kemudian sesungguhnya kamu tetap akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (7)
*baris shadda pada huruf نَّ bermaksud ada 2 Noon.
La – disini adalah merupakan jawab bagi qasam (sumpah).
Lam dan 2 Noon adalah merupakan penegasan yang berulang-ulang. “Pasti, kamu akan pasti dan sepastinya akan melihat neraka Jahim”. Ayat ini menyatakan ancaman bahana melihat api neraka yang mengerunkan dan menakutkan.
Pada ayat ke-7 : Kemudian sesungguhnya kamu tetap akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin
Maksudnya seterusnya anda akan menyaksikan neraka Jahim dengan pandangan yang penuh yakin iaitu penyaksian dengan kedua biji mata anda. Oleh itu jauhkan diri anda dari terjerumus ke dalam api neraka dengan tidak melakukan maksiat, kejahatan, dosa-dosa besar serta perkara-perkara mungkar.
Firman Allah dalam Surah Maryam (19:71-72) yang maksudnya: “Dan tiada siapa pun dari kamu melainkan akan mendatanginya (neraka). Itulah keputusan yang telah ditetapkan Tuhanmu. Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa dan Kami akan tinggalkan orang-orang yang zalim itu melutut di dalam Neraka”.
Maksud ayat di atas, orang-orang beriman yang tidak masuk ke neraka juga turut menyaksikan pemandangan Neraka yang mengerikan. Maha Suci Allah yang menyelamatkan mereka darinya.
Ayat 8
ثُمَّ لَتُسۡـَٔلُنَّ يَوۡمَٮِٕذٍ عَنِ ٱلنَّعِيمِ (٨)
Kemudian sesungguhnya pada hari itu, kamu akan ditanya tentang segala ni'mat yang telah dini'mati kamu (8)
tus'aluuna – kamu pasti ditanya
la tus'aluuna – sudah semestinya kamu akan ditanya (you will certainly be asked).
la tus'alun-na (dengan shadda) - semestinya anda pasti dan pasti akan ditanya (certainly you will certainly, certainly be asked)
Dalam ayat ini Allah memberikan ancaman dan menegaskan sebanyak tiga (3) kali bahawa kita semua pasti, pasti dan pasti akan disoal-siasat berkaitan dengan segala ni’mat dunia yang melekakan anda dari beramal untuk akhirat.
Apakah nikmat dunia yang akan ditanya ? Bukan sahaja nikmat yang melekakan sehingga menyibukkan anda dari beramal malah ia termasuk ni’mat-ni’mat yang lain seperti ni’mat keamanan, kesihatan, waktu lapang, makanan, minuman, penginapan dan sebagainya.
Imam Bukhari di dalam bab Adab, Tarmizi dan Ibn Majah telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ubaidah bin Muhsin bahawa Rasulullah saw telah bersabda (maksudnya):
“Barangsiapa di antara kamu memulakan kehidupan pada waktu paginya dalam keadaan aman sejahtera di dalam kelompoknya, sihat tubuh badannya, cukup keperluan hariannya, maka seolah-olah ia telah dikurniakan dunia dan segala penjurunya.”
Dalam hadith yang lain, Imam Bukhari, Sunan al-Tarmizi, Nasai' dan Ibn Majah ada meriwayatkan daripada Ibn `Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dua ni’mat ramai manusia sering terpedaya dengannya iaitu kesihatan dan waktu lapang”.
Mereka bersikap cuai dalam mensyukuri dua ni’mat tersebut. Jadilah dia orang yang terpedaya dengan keni’matan dunia jika dia tidak melaksanakan kewajibannya.
Daripada Nabi s.a.w. sebagaimana diriwayatkan oleh al-Tarmizi, daripada Abi Barzah katanya: “Tidak berganjak kedua tapak kaki seseorang hamba pada hari kiamat kelak sehingga disoal-siasat berkaitan empat perkara: tentang umurnya di manakah dia habiskan, masa remaja di manakah dia curahkan, tentang hartanya di manakah dia cari dan ke mana pula ia membelanjakannya? Dan tentang ilmunya, apa yang telah diperbuat dengannya?"
Dalam satu hadith yang begitu menyentuh hati ialah hadith yang diriwayatkan daripada `Umar r.a. Ia bertanya “Ni’mat apakah yang kami semua akan disoal, wahai Rasulullah; sedangkan kami telah diusir keluar dari kampung halaman kami dan segala harta kami lupus?” Rasulullah s.aw. Menjawab: “ Tempat berteduh yang anda jadikan rumah-rumah, pokok-pokok dan khemah yang meneduhi anda dari panas dan sejuk, serta air (minuman) yang sejuk ketika hari yang panas.”
Dalam satu riwayat lain; Ibn Abi Shaibah dan Ahmad meriwayatkan daripada Mahmud Ibn Habid katanya: Apabila turun firman Allah swt (bermaksud): “Bermegah-megah menunjukkan kelebihan sering melalaikan kamu" (al-Takathur, 102:1); maka Nabi s.a.w. membacanya sehingga maksud ayat (firman Allah): “ Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang segala nikmat (yang kamu megah-megahkan di dunia itu.” (al-Takathur, 102:8).
Para sahabat bertanya: “ Wahai Rasulullah! tentang ni’mat yang manakah kami akan disoal? Sedangkan yang kami ada hanyalah dua al-Aswadan iaitu air dan kurma, kami ada pedang-pedang di tengkok-tengkok kami dan musuh yang bersiap sedia? Maka ni’mat apakah gerangan kami akan disoal nanti?” Jawab Baginda saw: “Adapun perkara itu tetap akan berlaku”.
Bagaimana dengan kita? ....ni’mat apakah yang kita ada berbanding para sahabat? Terasa diri ini kerdil, terkelu dan tunduk malu. Ironinya, dengan segala nikmat yang Allah swt berikan, amalan kita adalah begitu jauh berbanding Para sahabat.
Ingatlah ketika Hari Pembalasan, sedikit yang kita ada sedikit yang akan diselidiki. Lebih banyak yang kita ada, maka lebih banyak kita akan disoal-siasat nanti.
Kita sepatutnya sedar bahawa tidak perlu untuk bermegah-megah atas ni’mat yang Allah beri. Ucaplah Alhamdulillah dan pada masa yang sama timbulkanlah rasa gerun bahawa kita akan lebih dipersoalkan bila ni'mat yang kita perolehi di dunia ini semakin bertambah.
Pengajaran yang boleh di ambil
1. Allah swt mencela golongan yang disibukkan dengan keni'matan dunia dan berbangga-banga dengan harta yang banyak dan anak-pinak sehingga lupa menta'ati Allah Azawajalla.
2. Menziarahi kubur adalah ubat yang paling mujarab bagi melunakkan hati kerana amalan ini mengingatkan kita tentang kematian dan Hari Akhirat.
3. Allah swt memberi ancaman berulang-ulang bahawa betapa benarnya azab kubur dan Hari Akhirat itu. Mereka yang tidak memperdulikan ancaman Allah swt ini akan menyesal dan menanggung duka nestapa yang amat berat.
4. Manusia akan disoal-siasat tentang segala ni'mat dunia yang diperolehi. Segala punca pendapatan dan perbelanjaan akan ditanya.Tanamkanlah sifat Qana'ah dan bersyukur atas segala nikmat yang Allah berikan pada kita.
5. Keni'matan hidup dunia hanya babak pendek dalam perjalanan hidup yang panjang. Orang beriman akan memberikan perhatian yang berat kepada Akhirat dan mengenepikan keni'matan dunia yang menjadi kegemaran orang-orang yang berjiwa kosong.
Wallahu'alam.