16 Mac 2013

5.13 SURAH AALI-‘IMRAN (KELUARGA ‘IMRAN) – Bahagian 3



Cara berdiskusi/berdebat dengan Ahlil-Kitab (Yahudi dan Nasrani):

Allah SWT mengajar kita kaedah berdiskusi dengan Ahlil-Kitab. Diskusi mestilah berbentuk ilmiah, sopan dan canggih. Bukan untuk memandang rendah fikrah lawan tetapi untuk mengukuhkan fikrah kaum Muslimin dan membersihkan pemikiran mereka daripada perkara syubahat.

Salah satu metodologi Al-Qu'ran ialah menggunakan gaya bahasa dalam bentuk perbincangan, dialog serta perdebatan bagi membuktikan keesaan Allah SWT, kebenaran para Rasul dan Islam.

Golongan Yahudi menerima kitab Taurat  melalui Nabi Musa a.s dan golongan Nasrani menerima kitab Injil melalui Nabi ‘Isa a.s.

Di dalam Al-Qur'an, adakalanya mereka dipuji dan dihormati kerana beriman kepada Allah SWT sebagaimana di dalam surah al-Qasas:52-53. Adakalanya mereka dikeji dan dikutuk kerana kufur dan mendustakan ajaran Allah SWT. Firman Allah dalam surah Aali-`Imran: 98-99 yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Ahli-Kitab, mengapa kamu ingkari ayat-ayat Allah, padahal Allah Maha Menyaksikan apa yang kamu kerjakan? "Katakanlah: `Wahai Ahli-Kitab, mengapa kamu menghalangi orang yang beriman daripada menurut jalan Allah, kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya). Dan (ingatlah) Allah sekali-kali tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan."

Bagaimanakah cara berdialog dengan mereka ?

Menguatkan Aqidah sebelum berdialog dengan Ahlil-Kitab

Aqidah merupakan benteng umat Islam yang paling kuat. Maka soal ini perlulah diberikan perhatian secukupnya sebelum berdialog dengan Ahlil-Kitab. Sememangnya mereka bercita-cita besar agar aqidah kaum Muslimin tersesat kerana ia menjadi kubu keselamatan, garis pertahanan dan sumber kekuatan umat Islam.

Umat Islam mestilah memahami aqidah dengan kefahaman yang betul, seterusnya merasainya dan menjiwai aqidah Islamiyah dalam seluruh kehidupan mereka.  

Firman Allah SWT yang maksudnya:

"Allah sendiri menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, (demikian pula) para malaikat dan orang berilmu yang menegakkan keadilan, Tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana” –QS  (Aali-`Imran:18).

Inilah hakikat utama yang menjadi tapak asas aqidah dan i'tiqad di dalam Islam; yakni tauhid Uluhiyah dan tauhid Qiwamah/Pentadbiran; yang menjelaskan pentadbiran Allah terhadap alam buana dan kehidupan yang dilakukan dengan penuh keadilan. Para malaikat dan orang berilmu ta'at, patuh tanpa ragu-ragu dan tidak membantah perkara yang tsabit datang dari Allah SWT.

Dengan ini, dapatlah menghapuskan kekeliruan dan kesesatan yang ditaburkan oleh Ahlil-Kitab  (kepercayaan kepada sekutu-sekutu, tandingan-tandingan dan anak-anak Allah lelaki dan perempuan).

 Allah SWT berfirman yang maksudnya:
"Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah ialah Islam” –QS  (Aali-`Imran:19)
  
Perlu difahami bahwa Islam bukanlah semata-mata dakwaan, kata-kata yang diucapkan dengan lisan, malah bukan kepercayaan yang dikandung dalam hati dengan diam dan tenang dan bukannya upacara-upacara ibadat perseorangan yang ditunaikan oleh individu-individu di dalam solat, haji dan puasa.  

Islam adalah agama penyerahan diri, keta'atan dan ikutan yang patuh. Islam ialah berhakimkan kitab Allah SWT dalam segala urusan hamba. KeIslaman yang tunduk kepada perintah, mengikut peraturan dan mematuhi undang-undang Allah SWT. Janganlah termasuk dalam fikiran seseorang bahawa Islam itu merupakan kalimah syahadat yang diucapkan oleh lisan atau tasdiq yang hanya mantap di hati sahaja tanpa diikuti oleh kesan-kesannya yang amali di dalam seluruh kehidupan mereka.

 Allah SWT berfirman yang maksudnya:
"Apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, sedangkan seluruh penghuni langit dan bumi tunduk dan menyerah kepada-Nya baik secara sukarela mahupun secara terpaksa, dan kepada-Nya mereka sekalian dikembalikan" –QS  (Aali-`Imran: 83)

Mereka yang tidak ingin mengikut Islam adalah seorang yang ganjil dan pelik. Sedangkan kesemua makhluk Allah SWT beriman dan patuh kepada Allah SWT (Islam Ijbari). Sesiapa yang enggan menerima Islam bererti enggan menerima agama Allah SWT. Ingat! Mereka akhirnya akan kembali kepada Allah SWT tiada yang terkecuali.

"Dan sesiapa yang mencari agama yang lain dari agama Islam, maka tidaklah akan diterima darinya, dan di Akhirat kelak dia termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi" –QS  (Aali-`Imran:85)

Orang-orang yang tidak menerima Islam dalam bentuk yang dikehendaki Allah SWT setelah mereka mengetahui hakikatnya, maka mereka di Akhirat kelak akan berada dalam golongan orang-orang yang rugi dan tidak terlepas dari`azab Allah SWT.

Mencari Titik Pertemuan atau Kata Sepakat

Setelah difahami aqidah yang benar mengikut ta'rif Allah SWT, juga diperkuatkan dengan amali di seluruh kehidupannya, maka hendaklah mencari kata sepakat di antara orang beriman dan Ahlil-Kitab. Berbincanglah secara terbaik kecuali dengan mereka yang bertindak zalim atau melampaui batas.

Firman Allah SWT yang maksudnya:

"Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli-Kitab, melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali dengan yang zalim di antara mereka, dan katakanlah (kepada mereka): "Kami telah beriman kepada (al-Qu'ran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepadamu; dan Tuhan kami, juga Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya patuh dengan berserah diri kepada-Nya" –QS  (al-Ankabut:46)

Kemudian serulah mereka kepada agama yang benar serta membalas balik kata-kata mereka dengan hujah yang bijaksana (hikmah). Sebagaimana Allah SWT menyeru Ahlil-Kitab supaya kembali kepada agama yang benar.

Firman Allah SWT yang maksudnya:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli-Kitab, marilah berpegang kepada suatu kalimah (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah kecuali Allah, dan tidak mempersekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. "Kemudian jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah, bahawa kami adalah orang Islam.” –QS  (Aali-'Imran:64)

Ajaklah mereka untuk bertaubat dan beribadah kepada Allah SWT dengan ikhlas.  Hanya menerima satu kalimah yang adil dan benar untuk kita dan mereka.
  
Perkataan "Al-Sawa" (di dalam ayat di atas), bermaksud kalimah yang serupa bagi semua Rasul, kepada kitab yang diturunkan dan kepada pemikiran yang sempurna. Ini adalah kalimah yang adil, benar dan tidak terpesong daripada kebenaran.

Apakah kalimah `Al-Sawa' itu ? kalimah itu adalah..`Janganlah menyembah selain daripada Allah' Yakni, kami dan kamu tidak menyembah selain Allah SWT. Hanya mengesakan Allah SWT. Beribadah, taat dan patuh hanya kepada-Nya.

Tidak syirik, menyekutukan-Nya dengan yang lain dalam ibadah dan penyembahan. Tidak mengatakan si polan itu tuhan, atau si polan itu anak tuhan, atau Allah SWT itu tiga.Tidak pula menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah SWT.
  
Al-Alusi berkata, dan diperkuatkan oleh riwayat yang dikeluarkan oleh Tarmizi daripada Udai bin Hatim iaitu ketika ayat ini diturunkan, para sahabat mengatakan: "Kami tidak menyembah mereka wahai Rasulullah?" Maka jawab Baginda saw;" Adapun yang mereka halalkan daripada kamu dan apa yang diharamkan, adakah kamu mengambil apa yang mereka katakan?" Jawabnya "Ya". Maka sabda Nabi saw: "Itulah dia"

Di antara titik-temu yang lain di antara orang beriman dan Ahlil-Kitab ialah pada surah Aali-`Imran:84. Firman Allah SWT yang maksudnya:

"Katakanlah: Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan kepada apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Isyak, Ya'kub dan keturunannya dan kepada apa yang dikurniakan kepada Musa, `Isa dan para Nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan sesiapa pun di antara mereka dan kami sekelian Muslimin (menyerah diri) kepada-Nya” –QS  (Aali-`Imran:84)

Orang yang beriman percaya dan tidak membeza-bezakan para nabi sebelum mereka yang juga hanya beriman kepada Allah SWT yang satu.

Penegasan dalam perkara Kebenaran (Hujah)

Dalam berbincang dengan Ahlil-Kitab, Al-Qur'an telah mengingatkan kita bahawa mereka ini suka berdebat dengan tuntutan akal yang tidak waras. Pelik perangai mereka. Berbalah tentang perkara yang mereka sendiri tidak tahu. Allah SWT telah menempalak dan menzahirkan kejahilan Ahlil-Kitab yang berbantah-bantah dengan kebatilan dan mempertikaikan Nabi `Isa a.s dan Nabi Ibrahim a.s.

Kisah kelahiran Nabi `Isa a.s.

Allah SWT menjelaskan:

"Sesungguhnya bandingan 'Isa di sisi Allah adalah sama dengan Adam. Dia ciptakan dari tanah, kemudian Dia berfirman kepadanya: Jadilah! Maka ia pun muncul ke alam al-wujud" –QS  (Aali-`Imran: 59)

Kelahiran `Isa as adalah satu kelahiran yang benar-benar aneh dibandingkan dengan kelahiran manusia biasa. Namun apakah keanehan yang ada padanya jika dibandingkan dengan penciptaan Adam a.s, bapa kepada semua manusia?

Kaum Ahlil-Kitab berdebat dan mempertikaikan kelahiran Nabi `Isa a.s dan mengadakan pelbagai kepercayaan karut dan dongeng disebabkan beliau dilahirkan tanpa bapa. Yang peliknya, mereka tidak pula mengadakan cerita yang sama kepada Nabi Adam a.s. Ahlil-Kitab mengakui Adam a.s dijadikan daripada tanah dan tiupan ruh dari Allah SWT itulah yang telah menjadikan Adam a.s makhluk insan. Mereka tidak mengatakan Adam a.s mempunyai unsur ketuhanan sepertimana Nabi `Isa a.s.

Allah SWT menegaskan hakikat penciptaan Nabi `Isa a.s adalah sama hakikat dengan penciptaan Adam a.s dengan secara terang. Adalah menghairankan bagaimana perdebatan kelahiran Nabi `Isa a.s boleh berlaku sedangkan Allah SWT boleh menciptakan segala apa yang dikehendaki dengan mudah.
  
Perbalahan tentang Nabi Ibrahim a.s

Firman Allah SWT yang maksudnya:

Wahai Ahlil-Kitab! Mengapakah kamu mempertikaikan tentang Ibrahim, sedangkan Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripadanya. Apakah kamu tidak berfikir?" –QS (Aali-Imran:65)

Kata Ibn Jarir daripada Ibn Abbas, katanya : Nasrani Najran dan Ahbar yang beragama Yahudi berkumpul di sisi Rasulullah saw dan di sana mereka bertengkar dan orang Ahbar (Yahudi) berkata: “Ibrahim itu seorang Yahudi”, dan berkata pula orang Nasrani : “Ibrahim itu adalah seorang Nasrani”. Lalu Allah SWT menurunkan ayat di atas (Aali-`Imran:65) kepada mereka.

Ayat di atas bermaksud:  tidak pantas bagi kamu wahai orang Yahudi dan Nasrani untuk berbalah dalam agama Ibrahim dan syariaatnya serta sebahagian kamu mendakwa bahawa Ibrahim a.s adalah mengikut agama Yahudi, manakala sebahagian yang lain mendakwa bahawa Ibrahim a.s itu mengikut agama Nasrani. Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan sekian lama selepas Nabi Ibrahim a.s. Bagaimana mungkin dia jadi Yahudi, berpegang dengan Taurat sedangkan Taurat tidak diturunkan melainkan selepasnya (kewafatannya) atau bagaimana dia jadi Nasrani, sedangkan Injil tidak diturunkan melainkan selepas daripadanya, iaitu beribu tahun? Sesungguhnya perbalahan kamu terhadap Nabi Ibrahim a.s ternyata salah dan silap.

Maksud " Apakah kamu tidak berfikir" adalah satu bentuk `istifham' (pertanyaan) dan menempelak Ahlil-Kitab yang tidak boleh berfikir secara mudah yakni; “ bagaimana mungkin orang yang datang dahulu boleh mengikut apa yang yang datang kemudian.”

Seterusnya Allah SWT berfirman yang maksudnya:

" Ingatlah! Kamu ini (sewajarnya) bantah membantah tentang hal yang kamu ketahui, maka kenapa kamu bantah-membantah tentang hal yang tidak kamu ketahui; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui" –QS  (Aali-Imran:66)

Maksudnya: Kamu wahai ahli Kitab bertelagah dan hujah menghujah sama ada betul atau tidak hendaklah pada hal yang kamu tahu saja. Seperti perbalahan tentang hukum-hakam yang terdapat dalam Taurat dan Injil.

Kenapa pula kamu hendak berbahas tentang Nabi Ibrahim a.s dan syariatnya? Ini kerana sudah diketahui ramai bahawa Nabi Ibrahim a.s bukanlah Yahudi dan tidak pula Nasrani, kerana Nabi Ibrahim a.s itu wujud lebih awal daripada kamu dengan jarak masa yang amat lama.

Perdebatan sesama Ahlil-Kitab mengenai urusan Nabi Ibrahim a.s adalah satu bentuk kejahilan mereka. Mereka menyelewangkan fakta dan berdebat dengan perkara yang tidak pasti. Al-Qur'an mengajar kita untuk tegas kepada mereka dalam hal kebenaran.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang yang musyrik." –QS (Aali-`Imran: 67)

Maksudnya: Nabi Ibrahim a.s itu tidak pernah menjadi Yahudi seperti dakwaan Yahudi, dan tidak pernah menjadi Nasrani seperti dakwaan Nasrani, tetapi Nabi Ibrahim a.s itu adalah seorang yang `hanif' (lurus dan terhindar dari kesesatan) yakni tidak beraqidah sesat, mengikut jalan benar dan lurus, dan baginda ialah seorang Islam, iaitu menyerah diri kepada Allah SWT, dan ikhlas dalam beribadah kepada-Nya. Bukanlah Nabi Ibrahim a.s itu mensyirikkan Allah SWT dengan Tuhan lain seperti dengan mengatakan Allah SWT itu tiga dalam satu, atau berkata Uzair anak Allah atau Al-Masih anak Allah atau yang lain-lain yang termasuk dalam kata-kata yang salah dan perbuatan buruk serta keji.

Daripada Muslim, Tarmizi dan Abu Daud daripada Anas r.a. berkata: Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw lantas berkata: “Wahai sebaik-baik manusia! Maka sabda Nabi s.a.w. : Itulah Ibrahim a.s.”

Kemudian Allah SWT mengeluarkan hukuman yang tegas lagi adil dalam menangani isu yang sering diperdebatkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim ialah orang yang mengikutnya dan Nabi ini (Muhammad) serta orang yang beriman (dengan Muhammad) dan Allah adalah pelindung semua orang yang beriman" –QS (Aali-`Imran: 68)

Ayat ini menerangkan ada tiga golongan yang paling dekat dengan Nabi Ibrahim a.s dan paling layak untuk dihubungkan kepadanya:

Pertama: Orang yang mengikutnya – yakni mereka yang menerima dakwahnya, mengikut agama dan syariatnya selepas baginda wafat.

Kedua: Nabi Muhammad saw – yakni yang menyeru kalimah tauhid seperti yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s

Ketiga : Mereka yang beriman – yakni mereka yang beriman kepada Nabi Muhammad saw dan mengikutnya.

Ayat ini menerangkan bahawa Nabi Muhammad saw lebih berhak dinasabkan kepada keturunan Nabi Ibrahim a.s berbanding Ahlil-Kitab.  Daripada Ibn Mas'ud bahawa Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya bagi setiap nabi ada walinya, dan waliku ialah bapaku dan kekasih Allah SWT, Nabi Ibrahim a.s”  Kemudian baginda saw bacakan firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya mereka yang paling layak terhadap Ibrahim adalah mereka yang mengikuti ajarannya"

Menggunakan ayat-ayat yang memuaskan logik

Al-Qur'anul-Hakim berbicara dengan fitrah manusia, iaitu dengan menggunakan logik fitrah yang realistik dan mudah untuk memahami persoalan-persoalan yang sulit mengikut pandangan manusia. Firman Allah SWT yang maksudnya:

" Tidaklah wajar bagi seorang manusia yang dikurniakan Allah kepadanya kitab suci, hikmat dan kenabian kemudian dia berkata kepada manusia: Hendaklah kamu menjadi para penyembahku selain dari Allah. Tetapi (yang wajarnya dia berkata): Hendaklah kamu menjadi para Rabbaniyin (hamba-hamba Allah yang patuh) kerana kamu telah mengajar kitab Taurat dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya. Dan tidak pula (wajar) dia menyuruh kamu mengambil malaikat dan Nabi-Nabi sebagai tuhan-tuhan. Apakah wajar dia menyuruh kamu melakukan kekafiran sesudah kamu menjadi orang-orang Muslim." –QS (Aali-`Imran:79-80)

Allah SWT menjelaskan adalah tidak mungkin Nabi `Isa a.s mendakwa dirinya mempunyai sifat Uluhiyah yang menuntut `Ubudiyah dari manusia. Apa yang diminta adalah menjadi para Rabbaniyin kerana mereka mempunyai ilmu pengetahuan tentang kitab suci dan telah mempelajarinya. Hendaklah menyerah diri kepada Uluhiyah Allah SWT.

Nabi `Isa a.s sama sekali tidak menyuruh manusia mempertuhankan malaikat dan Nabi-Nabi. Beliau tidak menyuruh manusia menjadi kafir selepas mereka Islam. Beliau datang untuk menghidayatkan manusia kepada Allah SWT dan bukannya untuk menyesatkan mereka. Beliau datang untuk membimbing mereka kepada Islam dan bukannya untuk mengkafirkan mereka.

Dari sini, nyatalah pembohongan yang dilakukan oleh segolongan Ahlil-Kitab kepada Nabi `Isa  as.

Ancaman dan Peringatan bagi Ahlil-Kitab

Setelah mengemukakan pelbagai dalil yang menunjukkan titik-temu orang Islam dan Ahlil-Kitab; juga penegasan dan pembetulan terhadap kefahaman Ahlil-Kitab yang terpesong, maka seterusnya Allah SWT memberikan peringatan dan ancaman terhadap Ahlil-Kitab yang mengingkari ayat-ayat Allah SWT.

Sikap Ahlil-Kitab yang ingin menyesatkan orang Islam

Allah SWT mengingatkan kita bahawa sesetengah Ahlil-Kitab tidak merasa puas dengan kesesatan mereka, bahkan mereka cuba pula untuk menyesatkan orang lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Segolongan ahli-Kitab suka dan berangan-angan sekiranya mereka dapat menyesatkan kamu, padahal mereka sebenarnya tidak menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu)." - QS (Aali-`Imran: 69)

Niat jahat dan cita-cita mereka adalah sangat tinggi, bukan sekadar berharap tetapi berusaha menimbulkan kekeliruan dalam agama Islam bagi menyelewengkan umat Islam dari agama mereka.

Al-Qurtubi berkata: Ayat ini diturunkan untuk Mu’az bin Jabal, Huzaifah bin Al-Yaman dan Amar bin Yasir ketika kaum Yahudi Bani Nadhir, Bani Qainuqa' dan Bani Quraizah mengajak mereka kepada agama Yahudi.  Mereka ingin menyesatkan sahabat-sahabat Nabi saw, padahal sebenarnya mereka telah menyesatkan diri mereka sendiri tetapi mereka tidak menyedari kerana telah dibutakan oleh syaitan.

Cara Ahlil-Kitab menyesatkan manusia

Adalah perlu mengetahui bagaimana pihak Ahlil-Kitab mengelirukan dan memesongkan umat Islam. Mereka telah merekacipta kebatilan dengan hawa nafsu mereka. Al-Qur'an menjelaskan dalam ayat ke-70 dalam surah Aali-`Imran yang maksudnya:

"Wahai ahli kitab, kenapa kamu melindungkan (mencampur-adukkan) kebenaran dengan kebatilan dan kamu menyembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahuinya"

Dua cara telah digunakan untuk menyesatkan manusia:

Pertama: Dengan mencampur-adukkan kebenaran dengan kebatilan sehingga timbul kekeliruan sehingga tidak dapat dibezakan.

Kedua : Dengan menentang dan menyembunyikan kebenaran daripada diketahui orang.

Ahlil-kitab menggunakan cara di atas bagi memesongkan aqidah umat Islam. Mereka menafsirkan nas yang terdapat dalam kitab mereka yang menunjukkan kebenaran Nabi saw secara jahat. Ada pula yang menimbulkan perasaan ragu-ragu terhadap orang yang lemah imannya. Sebahagian yang lain menyembunyikan fakta yang tidak disukai.

Pembalasan di hari kiamat

Perbuatan Ahlil-Kitab yang menyembunyikan kebenaran dan mencampur-adukkan kebatilan adalah sesuatu yang hina. Azab Allah SWT yang dasyat akan menanti bagi mereka yang telah mengingkari ayat-ayat Allah SWT.

Firman Allah SWT yang maksudnya:

" Bagaimanakah kelak apabila Kami kumpulkan mereka di suatu hari (Qiamat) yang tiada sebarang keraguan itu? Dan setiap orang yang disempurnakan balasan terhadap segala amalan telah dilakukannya dan mereka sekali-kali tidak akan dianiayai" – QS (Aali-`Imran: 25)

Bagaimanakah kelak… yang dimaksudkan ialah suatu ancaman yang menggerunkan hati Mu'min apabila dia menyedari kesungguhan hari kiamat dan kebenaran pertemuan dengan Allah SWT.  Ancaman ini juga ditujukan kepada Ahlil-Kitab, kaum atheis dan golongan yang pendakwa-pendakwa Islam tetapi kosong aqidahnya.
  
Cabaran bermubahalah

Seterusnya bagi Ahlil-Kitab yang masih berdegil, Allah SWT mendatangkan ayat tentangan yang keras iaitu berkenaan cabaran untuk `bermubahalah'. Mereka dicabar supaya mengingini kematian dengan berkata dengan lidah mereka sendiri: “Moga-moga kami mati,” ataupun berkata sesuatu yang mempunyai makna sedemikian. Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan bahawa `mubahalah' hendaklah dengan berdo’a dengan bersungguh-sungguh dengan berkumpul bersama-sama dengan orang-orang beriman di satu tanah lapang, kemudian kedua-dua pihak itu hendaklah meminta kematian atau laknat untuk pihak yang berdusta.

Dalam peristiwa mubahalah diantara Rasulullah saw dengan Nasrani Najran, Allah SWT berfirman yang maksudnya:

"Sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) tentang kisah `Isa sesudah datang ilmu (yang jelas) maka katakanlah (kepadanya): "Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah (memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh) kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang yang dusta " – QS (Aali-`Imran:61)

Kaum Nasrani Najran merasa takut kepada akibat yang akan diterima dan terus menolak ajakan bermubahalah itu. Walaupun kebenaran ketara dengan jelas, namun mereka tetap tidak beriman kerana menjaga kedudukan mereka di kalangan kaum mereka, dan kerana sayangkan kuasa, pangkat, kepentingan dan nikmat kesenangan yang diperolehi oleh pegawai tinggi gereja. Yang menghalang mereka beriman bukanlah kerana tiada dalil yang jelas tetapi adalah akibat dari kepentingan-kepentingan diri disebabkan tamak haloba dan hawa nafsu.

Bukan sahaja kaum Nasrani Najran takut untuk bermubahalah, malah kaum Yahudi juga takut kepada mubahalah. Mereka tidak mengharapkan kematian selama-lamanya kerana kesalahan dan dosa yang mereka lakukan. Orang Yahudi sangat membenci kematian.

Firman Allah SWT yang maksudnya:

" Dan mereka tidak akan mengingini kematian buat selama-lamanya kerana kesalahan-kesalahan yang telah diperlakukan oleh tangan-tangan mereka (sendiri). Dan Allah Maha Mengetahui siapa orang yang teraniayai"- QS  (Al-Jumu'ah:7)

Ibnu Jarir di dalam kitab tafsirnya menyatakan : " Disampaikan kepada kami sabda Nabi saw: Sekiranya orang Yahudi mengingini kematian, nescaya mereka akan mati dan mereka akan melihat tempat duduk mereka di dalam neraka. Sekiranya orang yang bermubahalah dengan Rasulullah saw keluar, nescaya mereka akan kembali tanpa menemui ahli(kaum) harta benda mereka" Riwayat ini disampaikan kepada kami oleh Abu Karib, daripada Zakaria bin Adi, daripada Ubaidullah bin Amru, daripada Abd Karim daripada Ibn Abbas daripada Rasulullah saw.

Adil dan Seimbang dalam berdialog

Islam adalah agama yang adil. Terdapat sebahagian kecil Ahlil-Kitab telah beriman kepada Allah SWT. Di antara mereka yang telah beriman di zaman Rasulullah saw ialah Abdullah ibn Salam, Asad ibn `Ubayd, Tha'labah ibn Syua'bah dan Ka'ab ibn Malik. Allah swt telah memuji mereka dan menyarankan kaum Muslimin berlaku adil kepada mereka.

Firman Allah SWT yang maksudnya:

"Mereka tidak sama. Di antara Ahlil-Kitab ada golongan yang ta'at dan lurus. Mereka membaca ayat-ayat Allah di waktu malam dan mereka sujud (bersembahyang)” –QS  (Aali-`Imran: 113)

Ayat di atas telah menunjukkan pengecualian kepada kaum Ahlil-Kitab yang beriman. Al-Qur'an menggambarkan hubungan mereka dengan Allah SWT yang sama dengan hubungan orang-orang Mu'min yang sejati. Mereka menjaga agama Allah SWT, melaksanakan tugas-tugas keimanan dan berlumba-lumba mengerjakan kebaikan.

Ada juga golongan Ahlil-Kitab yang menjaga amanah dan tidak pernah makan hak-hak orang lain walaupun jumlahnya sangat besar. Namun ada juga yang sebaliknya. Bersikap khianat dan bertangguh-tangguh.

Firman Allah SWT yang maksudnya:

"Dan di antara kaum Ahlil-Kitab ada orang yang kalau engkau mengamanahkannya menyimpan sejumlah harta yang banyak nescaya dia akan mengembalikannya kepada engkau, dan di antara mereka pula ada yang engkau mengamanahkannya menyimpan satu dinar nescaya dia tidak akan mengembalikannya kepada engkau kecuali engkau selalu menagihnya. Yang demikian itu lantaran mereka mangatakan: `Tidak ada dosa bagi kami terhadap orang yang buta huruf. Mereka berkata dusta terhadap Allah, padahal mereka mengetahui (mereka adalah berdusta), sebenarnya siapa yang menepati janji (yang dibuatnya) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaqwa” –QS  (Aali-`Imran: 75-76)

Ahli tafsir meriwayatkan tentang sebab-sebab turunnya ayat di atas. Mengikut Ibn Abbas r.a. beliau berkata:
"Ada seorang lelaki mengamanahkan 1200 tahil emas kepada Abdullah bin Salam dan harta itu dikembalikan semula kepadanya. Ada seorang lelaki lain pula mempertaruhkan satu dinar kepada orang Yahudi, iaitu Fankhas bin A'zura tetapi dikhianatinya. Maka turunlah kedua-dua ayat ini.”

Maknanya: Terdapat satu golongan Yahudi, apabila diamanahkan kepadanya harta yang banyak dan bernilai, dikembalikan semula semua harta itu apabila diminta tanpa sebarang kekurangan. Terdapat juga golongan yang sebaliknya walaupun harta yang diamanahkan kepadanya sedikit.

Golongan ini bersikap demikian kerana mereka terdiri daripada Ahlil-Kitab dan mendakwa tidak menjadi satu dosa menghalalkan harta yang bukan seagama dengan mereka, iaitu terhadap bangsa Arab yang buta huruf. Golongan khianat ini telah melakukan pendustaan terhadap Allah SWT dengan sebab perkataan mereka sedangkan mereka menyedari kata-kata dusta mereka. Bahkan tiada suatu pun kitab samawi atau akal fikiran yang waras menghalalkan memakan harta orang lain dengan cara yang bathil, tidak kira apa pun keturunan atau kepercayaan mereka.

Al-Qur'an mengajarkan bahawa perlu ada sikap seimbang (tawazun) dan juga sikap berhati-hati bila berurusan dengan Ahlil-Kitab (kafir). Tidak semua interaksi muamalah bersama mereka adalah salah.

Allah SWT juga memuji tokoh-tokoh Hamba-Nya yang dipilih menjadi Rasul dari kalangan mereka.

Firman Allah SWT yang maksudnya:

"Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga `Imran di atas sekelian manusia yang lain. Iaitu satu keturunan yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".- QS  (Aali-`Imran: 33-34)

Ayat ini menyebut Adam a.s dan Nuh a.s sebagai dua individu dan menyebut keluarga Ibrahim a.s dan keluarga `Imran (Ahlil-Kitab) sebagai dua keluarga. Ini untuk memberi isyarat bahawa Adam a.s dan Nuh a.s dipilih kerana tubuh dan peribadi kedua-duanya; sedangkan Ibrahim a.s dan `Imran adalah dipilih kerana peribadi dan kerana zuriat kedua-duanya sekali.

Al-Qur'an juga memuji Sayyidah Maryam dan mengistemewakannya dari wanita-wanita di dunia:

Firman Allah SWT yang maksudnya:

" Dan (ingatlah) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu dan membersihkanmu serta melebihkanmu di atas sekalian perempuan yang lain" – QS (Aali-`Imran:42)

Di sinilah ternyata kebesaran agama Islam dan ternyata kebenaran sumbernya. Nabi Muhammad saw, Rasul Islam yang telah menerima pendustaan dan bantahan dari Ahlil-Kitab; namun Al-Qur'an telah membentangkan penjelasan dari Allah SWT tentang hakikat Sayyidah Maryam yang telah dilebihkan Allah SWT di atas sekelian perempuan-perempuan yang lain. Manakah kebesaran yang lebih besar dari agama Islam ? Manakah dalil yang lebih jelas dari ini yang menunjukkan benarnya sumber agama ini dan benarnya pembawanya yang jujur dan amanah.

Tidak Mengikut Ahlil-Kitab (Bertaqlid buta)

Setelah menjelaskan penyelewangan aqidah Ahlil-Kitab, Allah SWT memperingatkan kita umat Islam agar tidak mengikut jejak langkah Ahlil-Kitab dan terpedaya dengan mereka. Ahlil-Kitab sangat berusaha dengan segala kekuatan dan tipudaya bagi memesongkan aqidah umat Islam. Apabila mereka gagal memerangi secara terbuka, mereka memeranginya secara sulit. Apabila gagal memerangi secara bersendirian, mereka menggunakan barisan Munafiqin yang berpura-pura Islam; atau menggunakan orang-orang yang mempunyai hubungan dengan orang Islam bagi melemahkan aqidah ini dari dalam. Mereka memperdaya umat Islam dengan sistem-sistem hidup yang lain dari sistem hidup Islam; diperindahkan undang-undang dan peraturan-peraturan yang lain dari undang-undang Islam. Mereka tidak akan berhenti sehingga umat Islam redha dan mengikut mereka. 

Firman Allah SWT yang maksudnya:

" Wahai orang-orang beriman! Jika kamu mengikuti sekumpulan mereka yang dikurniakan kitab, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir selepas kamu beriman. Dan bagaimanakah kamu sanggup menjadi kafir, sedangkan kamu dibacakan ayat-ayat Allah kepada kamu dan Rasul-Nya berada di tengah-tengah kamu? Siapa yang berpegang teguh kepada Allah, maka bererti dia telah diberi hidayat kepada jalan yang lurus " –QS  (Aali-`Imran: 100-101)

Sebab turunnya kedua-dua ayat ini mempunyai perkaitan dengan seorang pemimpin Yahudi yang bernama Syas bin Qais Al-Yahudi. Debu-debu kejahiliahan sangat terbenam dalam dirinya dan sangat besar kekafirannya dan dengkinya terhadap kaum Muslimin. Suatu ketika, beliau berjalan melintasi sahabat-sahabat Nabi saw dari kabilah Aus dan Khazraj yang sedang berbincang dalam satu masjlis.  Syas bin Qais sangat marah melihat hubungan baik sesama umat Islam, lalu dia berkata: “Tidak! Demi Allah, kita tidak lagi mempunyai keputusan bersama mereka bila mereka berkumpul di negeri ini.”

Lalu dia menyuruh salah seorang pemuda Yahudi untuk bersegera pergi ketempat sahabat-sahabat tadi dan duduk bersama mereka. Kemudian ingatkan mereka tentang `Ats – salah satu hari penting mereka di zaman jahiliyah – serta apa yang dilakukan di dalamnya. Lantunkan syair-syair yang biasa mereka dendangkan dahulu pada hari `Ats itu. Si pemuda itu pun melakukannya. Para sahabat dari kabilah Aus dan Khazrah pun membicarakan hal itu, lalu mereka berselisih dan saling membanggakan diri, hingga ada dua orang yang berasal dari daerah berbeza bangun dan saling berdebat. Perdebatan beralih kepada kemarahan dan mereka berkata " Pulanglah kamu! Ambil senjata ! Tempat kami adalah di al-Harrah”

Mereka berangkat ke sana. Kabilah Aus dan Khazrah bergabung dengan kelompok masing-masing sama seperti zaman perselisihan mereka ketika jahiliyah.

Berita itu tiba di pengetahuan Rasulullah saw dan Baginda saw lantas keluar menemui mereka disertai dengan beberapa orang muhajirin. Nabi saw bersabda  “Wahai sekalian kaum Muslimin, takutlah kepada Allah, takutlah kepada Allah!  Apakah masih juga dengan alasan jahiliyah sementara aku berada di tengah-tengah kalian, sesudah Allah memberikan petunjuk kepada kalian untuk menerima Islam, memuliakan kalian dengannya, yang dengannya pula, ia memutus perkara jahiliyah dari kalian, menyelamatkan kalian dari kekafiran serta mempersatukan kalian; lantas kalian kembali lagi kepada kekafiran yang pernah kalian alami?”

Akhirnya sahabat-sahabat Ansar tersedar bahawa apa yang berlaku adalah dari godaan syaitan serta tipu-daya musuh-musuh mereka. Mereka melepaskan senjata dari tangan-tangan mereka dan menangis. Orang-orang dari kalangan Aus dan Khazraj saling berpelukan. Kemudian mereka meninggalkan tempat tersebut bersama Rasulullah saw dalam keadaan patuh. Allah telah memadamkan tipu-daya musuh Allah SWT, lalu Allah SWT menurunkan ayat diatas.

Umat Muslimin ditegah menjadi pak turut kepada Ahlil-Kitab. Perbuatan mengikut Ahlil-Kitab dan menerima arahan daripada mereka, perbuatan mengambil dan memakai peraturan-peraturan dan undang-undang kehidupan mereka dari awal-awal lagi membawa erti kekalahan batin. Keraguan terhadap kemampuan Islam dan peraturan Allah untuk memimpin dan mengaturkan kehidupan manusia adalah  merupakan benih kekufuran. Benih ini akan sedikit demi sedikit tertanam dalam hati tanpa disedari olehnya.

Firman Allah SWT yang maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang kepercayaan kamu di luar dari kalangan kamu sendiri (seagamamu); kerana mereka sentiasa berusaha untuk merosakkan kamu. Mereka suka kepada sesuatu yang menyusahkan kamu. Tanda-tanda kebencian telah pun jelas dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat (Kami) kepada kamu, jika kamu mengerti (118). Ya, kamulah yang kasihkan mereka, sedangkan mereka tidak kasihkan kamu. Kamu beriman kepada semua kitab Allah dan apabila mereka bertemu dengan kamu, mereka berkata: `Kami telah beriman, dan apabila mereka berkumpul sesama sendiri mereka menggigit jari kerana terlalu marah terhadap kamu! Katakanlah: Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu! Sesungguhnya Allah amat mengetahui segala isi dada (119).” – QS  (Aali-`Imran:118-119)

Ayat-ayat ini menjelaskan tentang tipu daya Ahlil-Kitab serta apa yang selalu mereka tunggu-tunggukan dari Islam dan pengikutnya. Ia mendedahkan niat jahat Ahlil-Kitab dan memperingatkan kaum Muslimin berwaspada terhadap Ahlil-Kitab yang tidak beriman. 

Ahlil-Kitab berpura-pura menunjukkan rasa mesra kepada kaum Muslimin di saat-saat Kaum Muslimin berada di dalam kedudukan yang kuat dan dapat mengalahkan mereka, sedangkan gerak-geri mereka mendustakan mereka. Orang-orang Islam yang tertipu kepada mereka lalu membalas dengan memberikan kemesraan dan menaruh kepercayaan kepada mereka; sedangkan Ahli-Kitab merancang tipu daya jahat siang dan malam bila terluang.

Al-Qur'an menyampaikan amaran dan peringatan ini untuk membuka mata kelompok Muslimin supaya melihat hakikat sebenar dan menyedarkan tipu-daya musuh tradisional mereka yang selama-lamanya tidak bersikap ikhlas terhadap mereka. Hasad dengki dan dendam kesumat ini tidak terbatas kepada suatu tempoh masa tertentu, malah berterusan dan menjadi hakikat hingga masa hadapan.

Pemisahan yang nyata (Bara') dengan Ahlil-Kitab adalah satu kemestian kepada orang Islam. Ayat-ayat ini menjelaskan tipu daya mereka kepada orang-orang Islam. Ia memperingatkan kepada kita untuk tsabat dalam fikrah kita dan tidak mengikut dan mencontohi  ahlil-Kitab.Dalil-dalil al-Qur'an mendidik hati umat Islam untuk memahami kecelikan tipu daya ahlil-kitab agar kita dapat memutuskan kecenderungan perasaan, pemikiran, persepsi dan amalan kepada mereka.

Orang-orang Islam yang mengabaikan perintah Allah SWT dan mengambil mereka sebagai ikutan dan rujukan dalam perjalanan hidup; sebenarnya telah membuka dada dan hati mereka kepada musuh Allah SWT. Adalah amat malang bagi segolongan kaum Muslimin yang telah sanggup memperkecilkan agama sendiri demi beradap sopan dengan Ahlil-Kitab (kafir). Malah kita mengelak dari menyebut keindahan agama Islam kepada mereka.
  
Allah swt mengingatkan kita dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu jadi seperti orang-orang yang berpecah-belah dan berselisih faham sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada mereka. Dan merekalah orang-orang yang mendapat azab yang amat besar” –QS  (Aali-`Imran:105)

Ayat ini mengingatkan kelompok Muslimin supaya jangan berpecah-belah dan bertelagah sesama sendiri; dan seterusnya memberi amaran dari menerima akibat yang telah menimpa kaum Ahlil-Kitab yang telah memikul amanah agama Allah. Namun mereka berpecah-belah dan berbalah sesama sendiri sehingga Allah telah menyerahkan amanah kepada kelompok Muslimin yang bersaudara. Kaum Ahlil-Kitab pula akan menerima azab keseksaan pada hari kiamat.

Apakah perkara yang boleh diambil dari Ahlil-Kitab?

Rasulullah saw telah menunjukkan sikap yang keras terhadap para sahabat-sahabatnya Ridhwanullahu `alaihim dalam perkara menerima sesuatu yang bersangkutan dengan aqidah dan undang-undang serta peraturan (dari sumber yang lain). Namun Baginda saw memberi kelapangan dalam menerima fikiran dalam urusan kehidupan yang amali seperti urusan pertanian dan jual-beli.

Di dalam Tafsir Fi-Zilalil Qur’an; dinyatakan Imam Ahmad berkata – Kami telah diceritakan oleh Abdur Raziq, kami telah diberitakan oleh Suffian dari Jabirb dari asy-Sya'bi dari Abdullah ibn Tsabit katanya: Umar r.a telah datang menemui Nabi saw lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Saya telah menyuruh seorang saudara Yahudi dari suku kaum Bani Quraidzah lalu dia menulis untuk saya koleksi-koleksi kitab Taurat. Sukakah saya kemukakan koleksi-koleksi itu kepada mu?” Kata (Abdullah bin Tsabit): Lalu berubahlah muka Rasulullah saw – kata Abdullah bin Tsabit: Aku pun membisik kepada Umar r.a: “Tidakkah engkau lihat muka Rasulullah saw berubah?” Umar r.a pun terus berkata: “Saya redha menerima Allah sebagai Tuhan, menerima Islam sebagai agama dan menerima Muhammad sebagai Rasul.” Kata (Abdullah ibn Tsabit): Nabi saw kelihatan sukacita dan bersabda:

“Demi Allah yang nyawaku berada dalam genggaman tangan-Nya, andainya Musa a.s ada di dalam kalangan kamu dan kamu mengikutnya dan kamu meninggalkan aku, nescaya kamu sesat. Sesungguhnya kamu merupakan bahagian untukku dari umat-umat manusia dan aku merupakan untuk kamu dari antara para anbia'.”

Bagaimana jika Ahlil-Kitab enggan menerima da'wah

Allah SWT mengajar orang-orang yang beriman tentang apa yang wajib mereka lakukan apabila Ahlil-Kitab(kafir) terus menerus berdegil sebagaimana firman Allah yang bermaksud

" .....Maka sekiranya mereka suruh berpaling, maka katakanlah kamu bersaksi sesungguhnya kami adalah orang Islam"- QS  (Aali-`Imran:64)

Maksudnya: Sekiranya orang kafir itu enggan menerima dakwah yang benar dan berpaling daripada kebenaran kerana kedegilan dan kekufuran mereka, maka tak usahlah berbincang atau berdebat atau berbahas dengan mereka lagi. Katakan kepada mereka: “Bersaksilah bahawa kami adalah orang Islam yang berpegang kebenaran, bukannya seperti kamu yang terus berada dalam kebatilan.”

Ayat di atas telah digunakan oleh Nabi saw dalam sebahagian kandungan surat Baginda saw yang diutuskan kepada para raja dan ketua negara untuk menyeru mereka supaya memeluk Islam. Antaranya surat kepada Hercules, raja Rom.

Daripada Muhammad saw kepada Hercules, pembesar Rom, selamat sejahtera kepada sesiapa yang mengikuti kebenaran (petunjuk). Sesungguhnya aku menyeru engkau kepada seruan Islam. Islamlah, nescaya engkau akan selamat, maka Allah memberi pahala kepada engkau dua kali ganda. Sekiranya engkau ingkar, maka engkau akan mendapat dosa seluruh rakyat dan bangsa engkau. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah wahai ahlil kitab, marilah kepada kalimah yang sama (satu) diantara kami dan kamu iaitu janganlah kita sembah selain dari Allah dan jangan kita menyengutukan Nabi-Nya dengan sesuatu"

Wallahu’alam