25 Julai 2011

4.8 Surah al-Ma'un - سُوۡرَةُ المَاعون


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
أَرَءَيۡتَ ٱلَّذِى يُكَذِّبُ بِٱلدِّينِ (١) فَذَٲلِكَ ٱلَّذِى يَدُعُّ ٱلۡيَتِيمَ (٢) وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلۡمِسۡكِينِ (٣) فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡمُصَلِّينَ (٤) ٱلَّذِينَ هُمۡ عَن صَلَاتِہِمۡ سَاهُونَ (٥) ٱلَّذِينَ هُمۡ يُرَآءُونَ (٦) وَيَمۡنَعُونَ ٱلۡمَاعُونَ (٧)

Adakah engkau lihat orang yang mendustakan ad-din ? (1) Itulah orang yang mengherdik / menindas anak yatim (2); Dan tidak menggalakkan memberi makan kepada orang miskin (3); Kecelakaan bagi orang-orang yang melakukan solat (4). Yang lalai dari solat mereka (5); Juga orang-orang yang riya' (6). Dan orang-orang yang enggan memberi pertolongan (7)


Mulabasat Surah

Al-Qu'ran diturunkan mengikut mulabasat, iaitu suasana dan keadaan ketika itu. Terdapat dua gambaran penting berkenaan perilaku manusia dalam surah ini.

Pertama (ayat 1-3): perilaku manusia yang mendustakan ad-din dan melakukan penganiayaan terhadap manusia. Ia merujuk kepada golongan Musyrikin.

Kedua (ayat 4-7): khusus kepada orang munafik dan orang Muslim yang cuai terhadap tanggungjawabnya kepada Allah, iaitu dalam hal menunaikan hak kepada Allah untuk menyempurnakan solat dengan bersungguh-sungguh; juga celaan kepada orang enggan memberi pertolongan.

Oleh itu, ulama berbeza pendapat tentang samada surah ini adalah surah Makkiyah ataupun surah Madaniyyah. Sebahagiannya mengatakan bahawa surah ini adalah surah Makkiyah. Namun Ibn 'Abbas dan Qatadah berpendapat ia adalah surah Madaniyyah. Sementara Hibbatullah (seorang ahli tafsir yang cacat penglihatan) berkata: “ Sebahagian surah al-Ma'un diturunkan di Mekah mengenai al-'Asi bin Wail dan sebahagian lagi diturunkan di Madinah mengenai `Abdullah bin Ubay, seorang munafik.


Nama Surah

Surah ini dinamakan al-Ma'un kerana di penghujungnya (ayat Madaniyah), Allah mencela orang-orang yang enggan memberi pertolongan. Firman Allah (bermaksud) : “Dan (mereka) enggan memberi pertolongan (al-Ma'un 107:7). Mereka sama seperti orang-orang yang lalai terhadap solat dan orang-orang munafik. Perkataan al-Ma'un bermaksud benda-benda yang boleh dipinjam oleh seorang jiran daripada jirannya seperti alat-alat memasak seperti periuk, pinggan mangkuk, lesung batu dan seumpamanya. Barang-barang yang boleh dipinjam dan digunakan dengan segera (small thing with tiny amount / small charity).

Surah ini juga dinamakan surah ad-Din kerana pada permulaannya (berupa ayat Makkiyah), Allah menyelar golongan yang mendustakan `ad-Din'.

Kandungan surah

Surah yang kecil ini mengandungi tujuh ayat yang memberi tasawur tentang hakikat iman yang bertunjang di hati. Ia bergerak di dalam amal soleh sebagai bukti keimanannya. Iman dan amalan soleh tidak boleh dipisahkan. Amalan tanpa iman juga tidak diterima. Iman juga meminta kita `peduli' atau `ambil tahu' kepada manusia lain. Hidup dengan memberi kebajikan dan menghapuskan penindasan.

Secara mulabasatnya, permulaan surah (ayat 1-3) yang berayat Makkiyah ini membincangkan tentang orang-orang kafir. Manakala di akhirnya (ayat 4-7) yang berupa ayat Madaniyyah memperkatakan tentang orang-orang munafik.

Permulaan surah mengandungi celaan terhadap orang-orang kafir yang mendustakan ad-Din. Yakni agama Islam dan Hari Pembalasan. Mereka mempunyai dua sifat utama:

  1. Mereka tidak suka, bersikap kasar dan mengusir anak-anak yatim

  2. Mereka tidak menggalakkan orang lain memberi makan kepada fakir miskin dan tidak suka berbudi kepada orang lain.

Sementara di akhir surah (ayat 4-7) mengandungi celaan terhadap orang-orang munafik yang menzahirkan keIslaman dan menyembunyikan kekufuran dan mereka dilihat mempunyai tiga sifat utama:

  1. Lalai dan cuai dari mendirikan solat.

  2. Suka mempamerkan apa-apa yang dilakukannya kepada orang lain.

  3. Enggan memberi bantuan yang lumrah(yang biasa) kepada jiran.

Mereka tidak melakukan sesuatu perkara kerana Allah, bahkan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain tentang solat dan kebaikan yang dilakukannya. Kedua-dua kumpulan ini dijanjikan dengan kerugian, azab dan kemusnahan. Allah menarik perhatian terhadap golongan ini dengan menggunakan kaedah atau uslub istihjan, istighrab dan al-ta'jib yang memaparkan rasa sinis serta keanehan perbuatan mereka.


Tafsir Ayat


أَرَءَيۡتَ ٱلَّذِى يُكَذِّبُ بِٱلدِّينِ

Adakah engkau lihat orang yang mendustakan ad-din (1)”

Ayat ini menerangkan bahawa masih terdapat orang-orang yang telah mengenal dan mengetahui kebenaran ajaran Islam tetapi masih menolaknya. Ada yang berpendapat ayat ini diturunkan kepada al-Walid bin al-Mughirah, dan ada yang mengatakan ia ditujukan kepada Abu Jahal. Ibn `Abbas berkata ia diturunkan kepada al-'As bin al-Mughirah.

Al-Walid bin Mughirah (ayah kepada Khalid bin al-Walid) adalah salah seorang tokoh utama kaum Quraisy di Makkah. Dia adalah salah seorang hakim masyarakat Arab sebelum Islam datang. Dia adalah salah seorang pemimpin Quraisy di Darun Nadwah, dan merupakan seorang yang arif dalam sastera Arab. Suatu hari al-Walid bertemu dengan Abu Bakar r.a. dan bertanya kepadanya tentang Al-Qur'an. Setelah Abu Bakar r.a menjelaskan, dia berkata, "Sungguh menakjubkan apa yang dikatakan oleh Muhammad. Demi Allah, apa yang dikemukakannya itu bukan syair, bukan sihir, dan bukan pula kata orang gila. Apa yang diucapkannya itu benar-benar merupakan firman Allah."

Kemudian setelah dipujuk dan diprovokasi oleh Kaum Quraishy, setelah beberapa waktu, akhirnya al-Walid berkata, "Tidaklah Al-Qur'an ini melainkan sihir yang yang diterimanya. Ini tidak lain, hanya perkataan manusia”. Allah mendedahkan kisah al-Walid dalam surah al-Muddathir sebanyak tujuh ayat (74:18-25)

Abu Jahal juga mengakui kerasulan Nabi Muhammad saw. Dalam perbualannya dengan Abu Dzar (sebelum memeluk Islam), Abu Jahal berkata “ Mustahil rasanya jika ia bukan seorang Rasul. Otaknya pintar, bahkan cerdas. Walaupun dia tidak boleh membaca ataupun menulis tetapi baik kepada semua orang tua ataupun muda. Budi pekerti dan akhlaknya sangat mulia. Satu hal lagi yang perlu kau ketahui, ia sangat tabah menghadapi apapun yang terjadi padanya. Ia mempunyai daya tarik yang hebat sekali.” Walaubagaimanapun, kerana ego, keangkuhan, kuasa, pangkat dan kedudukannya, Abu Jahal telah menolak untuk beriman.

Ad-din disini bererti Hari Pembalasan. Firman Allah di atas walaupun dalam bentuk istifham (tanda tanya), tetapi tujuan ayat-ayat seumpama ini adalah untuk menunjukkan kehairanan dan keanehan terhadap sikap manusia. Kita sebenarnya berhutang dengan Allah. Allah mencipta kita dan mengekalkan kehidupan kita (udara, air.. dll). Maka sebagai balasannya, kita hendaklah berubudiyah(memperhambakan diri) kepada Allah. Setiap amalan kita dicatat dan akan diadili di Hari Pembalasan. Tidak percaya kepada Hari Pembalasan ini adalah satu contoh bagi keadaan manusia yang rugi.

Ad-Din juga bermaksud agama. Satu sistem cara hidup dan pakej lengkap yang syamil, kamil dan mutakamil. Ia hendaklah diterima keseluruhannya baik dari segi keyakinannya dan juga amalan. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah (2:208) “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya...” Penolakan sebahagiannya juga adalah mendustakan ad-Din. Contohnya; mengatakan bahawa hadith bukan sumber Islam ataupun tiada politik dalam Islam ataupun meyakini syari'at Islam tidak sesuai.


فَذَٲلِكَ ٱلَّذِى يَدُعُّ ٱلۡيَتِيمَ (٢
Itulah orang yang menindas/mengherdik anak-anak yatim (2).

Ada pendapat ia diturunkan kepada Abu Jahl. Beliau adalah penyelia seorang anak yatim. Pada suatu hari dalam keadaan tidak berbaju anak yatim itu datang meminta sedikit harta (kepunyaan sendiri) kepada Abu Jahl. Lantas Abu Jahl menolak ke tepi anak yatim tersebut. Manakala Ibn Juraij berkata, ia diturunkan kepada Abu Sufian. Menurut riwayat, Abu Sufian menyembelih unta setiap minggu. Maka datanglah anak yatim meminta sebahagian daripadanya. Beliau lantas mengetuk anak yatim tersebut dengan tongkatnya, lalu Allah pun menurunkan surah ini.

Orang-orang yang mendustakan ad-Din(agama) dan Hari Pembalasan adalah golongan yang benar-benar menghalang, mengherdik dan menzalimi anak-anak yatim daripada mendapat hak-hak mereka. Malah mereka tidak melayani golongan tersebut dengan baik. Pada masa dahulu orang-orang Arab Jahiliyyah tidak suka mewariskan harta peninggalan kepada kaum wanita dan kanak-kanak.


وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلۡمِسۡكِينِ (٣)
Dan tidak menggalakkan manusia memberi makan kepada orang miskin (3)

Orang-orang yang mendustakan ad-Din (agama dan Hari Pembalasan) dan menindas anak yatim juga tidak menggalakkan diri, kaum keluarga dan juga orang lain supaya memberi makan kepada fakir miskin yang memerlukan, lantaran terlalu bakhil dengan harta kekayaan. Mereka adalah orang yang membuat dosa berganda-ganda.

Perilaku orang yang tidak beriman ini dijelaskan lagi dalam Surah al-Fajr (ayat 17-18) : “Tidak, bahkan kamu tidak memuliakan anak yatim, dan kamu tidak suka menggalakkan orang lain memberi makan kepada fakir miskin iaitu fakir miskin yang tidak memiliki sesuatu atau tidak dapat menampung keperluan hidupnya. Istilah

طَعَامِ ٱلۡمِسۡكِينِ
adalah `mudaf Ilaih' dalam nahu bahasa `arab. Ini bermaksud `makanan orang-orang miskin' iaitu makanan itu adalah kepunyaan si miskin. Yakni, pada harta orang kaya itu ada hak yang yang perlu diberikan kepada golongan miskin.

Dalam ayat 2 hingga 3: Apa yang dipelajari dari ayat-ayat ini bahawa orang-orang beriman berlainan sikapnya dari orang-orang yang mendustakan ad-Din. Hakikat keimanan yang mantap akan mendorong mereka menolong anak-anak yatim dan orang miskin. Pertolongan itu hendaklah diusahakan sebaik mungkin. Bukan sahaja kepada individu, keluarga atau badan kebajikan tertentu, tetapi hendaklah berusaha untuk mengubah sistem ekonomi kapitalis yang ada kepada Islam agar masyarakat yang miskin atau anak-anak yatim dapat bernaung dalam sistem yang lebih adil. Pemerintahan Khalifah Umar `Abdul Aziz walaupun singkat tetapi telah membuktikan keadilan ekonomi Islam dan rakyat miskin terbela.


فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡمُصَلِّينَ (٤) ٱلَّذِينَ هُمۡ عَن صَلَاتِہِمۡ سَاهُونَ (٥)
Kecelakaan bagi orang-orang yang melakukan solat (4)Yang lalai dari solat mereka (5)”

Ayat 4-7 adalah bagi orang Munafik dan orang-orang Islam yang mengerjakan hak Allah dengan lalai dan sambil lewa. Bukan sahaja orang-orang musyrikin akan diseksa, malah orang munafik dan Muslim yang leka / lalai / tidak prihatin dalam solat mereka adalah orang yang rugi dan celaka.

Diriwayatkan oleh Ibn al-Munzir daripada Ibn `Abbas mengenai ayat tersebut, beliau berkata: “Diturunkan kepada orang-orang Munafik. Mereka mempamerkan ibadat solat mereka kepada orang-orang Islam bila bersama mereka; tetapi meninggalkan ibadat tersebut apabila orang-orang Islam tidak ada bersama. Mereka juga tidak suka memberikan pertolongan atau meminjamkan sesuatu kepada orang lain”. Perkataan

سَاهُونَ
- "sahun" bermaksud kelalaian yang merujuk kepada mereka yang:
  1. Hanya solat sekali-sekala. Mengambil ringan terhadap solat, sekejap solat dan sekejap tidak; contoh orang yang solat Jumaat tetapi tidak solat lima waktu; ataupun hanya solat pada hari raya sekali atau dua kali setahun.

  2. Melewat-lewatkan solat, yakni menangguh di akhir waktu; dan kadangkala terpaksa di qadha'.

  3. Tergesa-gesa solat. Cepat ruku' dan sujudnya seperti ayam mematuk.

  4. Melakukan solat dengan malas. Firman Allah dalam surah al-Nisa' 4: 142 Apabila mereka berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas, mereka hanya bertujuan riya' (memperlihatkan sembahyangnya kepada manusia)

  5. Tidak menunaikan rukun dan syarat solat dengan sempurna

Kerugian dan kesiksaanlah bagi orang-orang yang `sahun' dalam solatnya. Orang-orang sebegini lalai dan tidak prihatin terhadap solat. Sekiranya mereka solat, mereka tidak mengharapkan ganjaran pahala dari solat yang dilakukan; juga tidak takut kepada balasan dosa jika mereka meninggalkan solat.

Di dalam ayat di atas Allah menggunakan istilah " `an " dan tidak `fi' yang membawa maksud `lalai daripada solat' dan bukannya `lalai di dalam solat. Lupa dalam solat adalah sesuatu yang dimaafkan jika dilakukan secara tidak sengaja dan diluar kesedaran. Hadith Nabi saw mengungkapkan bahawa Baginda sendiri pernah lupa dalam solat. Bahkan sujud sahwi itupun disyari'atkan untuk kes-kes seperti ini. Para sahabat Rasulullah saw juga pernah terlupa


ٱلَّذِينَ هُمۡ يُرَآءُونَ (٦)
Orang-orang yang riya' (6).

Solat bukanlah harakat-harakat kosong tanpa penghayatan yang ikhlas. Orang-orang yang rugi ialah mereka yang solat tetapi tidak mendirikan solat. Mereka membaca segala bacaannya, tetapi hati mereka tidak menghayati bacaan-bacaan itu dan tidak hidup dengannya. Jiwa mereka tidak menghadirkan hakikat solat dan hakikat isinya dari bacaan-bacaan, doa-doa dan tasbih. Mereka juga riya' dalam solat. Mereka ingin menunjukkan kepada orang lain dan bukannya kerana Allah.

Riya' bermakna melakukan ibadah untuk tujuan duniawi agar diri mereka dikagumi orang. Riya' ada berbagai-bagai jenis:

  1. Berhias diri dengan niat supaya disanjung atau dipuji orang.

  2. Memakai baju lusuh untuk menunjukkan zuhud dengan dunia.

  3. Dengan perkataan, yakni menuturkan perkataan-perkataan yang menyelar, memuja dunia, berlagak mempamerkan nasihat atau sedih kononnya tidak sempat melakukan kebaikan.

  4. Mempamerkan ibadah solat, sedekah atau menghias-hias solatnya agar dikagumi orang.

Orang yang munafik berbeza dengan orang yang bersifat riya'. Manusia munafik ialah manusia yang menampilkan keimanan tetapi menyembunyikan kekufuran, manakala orang yang riya' pula ialah orang yang menyatakan sesuatu yang tidak wujud dalam hatinya samada khusyu' mahupun lain-lain agar orang menganggapnya sebagai orang yang kuat beragama dan wara'.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr berkata: Rasulullah saw bersabda; “ sesiapa yang mendedahkan amalannya kepada manusia lain, nescaya Allah akan mendedah, menghina dan memperkecilkannya kepada makhluk yang lain”.

Amat sukar menghindari riya' kecuali orang yang suka mendisiplinkan diri dan mengasuhnya agar bersifat ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah. Sebab itu Rasululullah saw bersabda:“ Riya' itu lebih sukar dikesan dari semut hitam yang kecil di malam yang gelap pekat di celah-celah cemara rambut yang hitam”.

وَيَمۡنَعُونَ ٱلۡمَاعُونَ (٧)

Dan orang-orang yang enggan memberi pertolongan (7)”

Mereka enggan membantu dan suka menghalang orang-orang yang hendak melakukan kebaikan kepada orang lain. Perkataan `al-Ma'un' adalah kata nama bagi semua benda yang sering dipinjamkan di antara sesama manusia. Ini termasuklah baldi, periuk, perkakas rumah dsb. An-Nasa'i meriwayatkan daripada `Abdullah bin Mas'ud berkata: “ Setiap kebaikan (yang dihulurkan) adalah sedekah dan kami menganggap al-Ma'un pada zaman Rasulullah saw adalah seperti memberi pinjam baldi dan periuk. Syeikh al-Sya'rawi mengatakan `al-Ma'un' ialah semua benda yang Allah berikan kepada kita; dan kita tidak boleh menahan ia dari dimanfaatkan oleh orang lain. Pada lumrahnya ia diberi kerana mudah dan sedikit.

Ada juga pendapat lain yang mengatakan bahawa al-Ma'un maksudnya enggan mengeluarkan zakat harta. Masih lagi dalam kategori sedikit dan mudah iaitu 2.5% dari simpanan; bukannya dari pendapatan.

Dalam keadaan sekarang, perkakas-perkakas dapur diperlukan dalam kenduri-kendara atau dalam satu majlis ilmu/halaqah, maka janganlah kita berkira sangat untuk meminjamkan peralatan di rumah kita untuk majlis tersebut.

Golongan munafik dan golongan tak beriman tidak bersikap baik sesama makhluk. Enggan berbakti dan berbuat kebajikan kepada saudara-saudara mereka. Mereka tidak suka meminjamkan barang-barangnya kepada orang lain; sedangkan barang tersebut tidak akan habis dan tetap menjadi miliknya. Malah mereka juga berat untuk menunaikan zakat dan tidak mahu melakukan berbagai jenis pengorbanan yang lain.

Pengajaran surah

  1. Allah swt mencela orang-orang yang mendustakan ad-Din.

  2. Orang yang mendustakan ad-Din adalah mereka yang suka mengherdik, menghalau, menafikan hak, menindas dan menganiaya anak yatim. Bahkan suka meninggalkan amal kebajikan.

  3. Orang yang mendustakan ad-Din tidak suka menggalakkan orang lain bersedekah makan minum kepada golongan miskin; bersifat bakhil dan sering mengadakan alasan-alasan untuk menolong orang.

  4. Musibah dan celaka besar terhadap orang yang melakukan tiga perkara (a) melalaikan solat, (b) berbuat sesuatu dengan riya', (c) enggan menolong orang lain (walaupun perkara yang mudah dan ringan).

  5. Lalai dalam solat membawa maksud – meninggalkan solat, jarang solat, solat di akhir waktu, solat tergesa-gesa, solat dengan malas.

  6. Allah menyenaraikan empat sifat orang kafir / tidak beriman / hipokrit / munafik yakni mereka (a) bakhil dan kikir; (b) meninggalkan / lalai dalam solat (c) bersifat riya' (d) enggan memberi pertolongan dan zakat.

4 ulasan:

  1. alhamdulillah...terima kasih atas sharing

    BalasPadam
  2. Assalamu alaikum. Blh share rujukan petikan dari kitab tafsir yg mane? Menarik kupasan tafsir.

    BalasPadam