11 Januari 2013

4.26 UHUD: GHAZWAH PENGAJARAN – Bahagian 1


Kemenangan tentera Muslim yang diketuai oleh Rasulullah saw di dalam peperangan Badar sangat terkesan kepada Semenanjung Arab. Semua tidak menyangka pihak Quraisy akan mengalami kekalahan. Justeru itu Islam mula terserlah dan kekuatannya digeruni. Namun masih wujud perasaan irihati dan dendam kesumat yang tersemat di dalam hati mereka yang memusuhi Islam;

1.   Kaum Musyrikin Makkah merasai kerugian yang sangat teruk.
 
2.   Kaum Yahudi merasai agama dan ekonomi mereka tergugat.
 
3.   Kaum munafiq (berada di Madinah) yang diketuai oleh Abdullah bin Ubay dan pengikutnya telah mengaku Islam.
 
4.   Orang Badwi(di persekitaran Madinah) yang menjadi lanun padang pasir merasai kegiatan mereka akan terancam.

Allah SWT berfirman: (Surah al-Maidah, 5:82)

“Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.”

 
Cabaran-cabaran selepas peperangan Badar

Oleh yang demikian, Rasulullah saw dan para sahabat perlu bertindak cerdas dan sentiasa berwaspada. Terdapat beberapa operasi ketenteraan telah berlaku berikutan hasil dari ketidaksenangan pihak musuh terhadap Islam;

Perang (Ghazwah) Bani Sulaim

Seminggu selepas kejadian perang Badar, Rasulullah saw mendapat berita bahawa Bani Sulaim dari kabilah Ghathafan telah mengumpul kekuatannya untuk menyerang Madinah. Maka Rasulullah saw bersama 200 tentera Muslim menyerbu wilayah mereka di al-Kudr. Menyebabkan mereka melarikan diri dan meninggalkan 500 ekor unta.  

Pakatan membunuh Rasulullah saw.

Pakatan ini telah dibuat oleh Shafwan bin Umayyah dan Umair bin Wahab al-Jamhi. Umair sanggup ke Madinah untuk membunuh Rasulullah saw kerana anaknya menjadi tawanan perang Badar. Alhamdulillah selepas berhadapan dengan Baginda saw, beliau telah melihat kebenaran dan mengucapkan syahadah di hadapan Nabi saw.

Perang (Ghazwah) Bani Qainuqa’

Bani Qainuqa’ adalah salah satu daripada kaum Yahudi yang telah melanggar perjanjian dengan Rasulullah saw. Mereka telah mengadakan provokasi sehingga berlaku pergaduhan yang boleh menumpahkan darah antara puak Aus dan Khazraj. Mereka juga telah menyulitkan kehidupan orang-orang Mukmin. Mereka enggan membayar hutang selagi pemiutang Muslim tidak mengikuti agama mereka.

Paling teruk ialah Ka’ab bin Asyraf. Mereka membuat kacau, mencela mengganggu setiap Muslimin yang datang ke pasar mereka. Malah berani menganggu wanita Muslim.

Rasulullah saw telah mengajak mereka berkumpul dan menasihati supaya mengikuti kebenaran. Baginda saw bersabda;

“Wahai orang-orang Yahudi, masuklah ke dalam Islam sebelum kamu ditimpa seperti apa yang telah menimpa kaum Quraisy.”

Dengan sombong mereka menjawab; “Hai Muhammad, janganlah tuan membanggakan kemenangan terhadap kaum Quraisy. Mereka itu tidak memahami ilmu peperangan. Seandainya kami yang tuan hadapi dalam peperangan, nescaya tuan akan mengetahui siapa sebenarnya kami ini.”

Kenyataan seperti ini adalah kenyataan terbuka untuk berperang.

Kemudian Allah SWT menurunkan ayat yang bermaksud;

“Katakanlah(wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: ‘Kamu akan dikalahkan (di dunia) dan akan di himpunkan (dibawa beramai-ramai pada hari qiamat) ke dalam neraka jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan.’ Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang), satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah), dan yang satu lagi (dari golongan) kafir musyrik. Mereka(golongan kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa: dua kali ramainya berbanding dengan (jumlah) mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dengan memberikan pertolongan-Nya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).” – (Surah Ali-Imran:12-13)

Rasulullah saw dan para sahabat tetap bersabar dengan kerenah orang-orang Yahudi ini. Kaum Muslimin masih berharap mereka akan mempercayai Nabi Muhammad saw sebagai utusan Allah SWT. Mempunyai hubungan yang rapat dengan kitab-kitab wahyu dari langit yang terdahulu.

Kesabaran ini menyebabkan kaum Yahudi bertindak lebih berani mempermainkan kaum Muslimin.

Suatu ketika, mereka telah mempermain-mainkan seorang wanita Muslim sehingga mendedahkan aurat beliau. Wanita itu terjerit-jerit minta pertolongan. Seorang Muslimin yang berada di tempat kejadian mengambil tindakan untuk mempertahankan wanita itu, malangnya beliau telah dibunuh oleh beberapa orang kaum Yahudi yang juga berada di situ.

Kejadian ini menyebabkan Rasulullah saw dan tentera Muslimin menuju ke Bani Qainuqa’. Baginda saw telah mengepung Yahudi Bani Qainuqa’ yang bersembunyi di dalam benteng-benteng mereka sehingga selama 15 hari. Allah SWT telah mencampakkan rasa takut di dalam hati-hati mereka. Akhirnya mereka menyerah dan bersedia menerima hukuman yang bakal diputuskan oleh Rasulullah saw.(dalam tanggapan mereka adalah hukuman bunuh).

Di saat itu muncul pula Abdullah bin Ubay bin Salul memainkan peranan kemunafiqkannya. Beliau telah memohon kepada Rasulullah saw supaya memaafkan sahabat-sahabat Yahudinya. Pada mulanya Rasulullah saw tidak mengendahkan permohonan itu, tetapi Abdullah bin Ubay tetap merayu sehingga pada ketiga kalinya, Baginda saw bersetuju dengan syarat mereka harus keluar dari Madinah dan tidak boleh tinggal berdekatan dengan kota Madinah lagi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud;

“Maka engkau (wahai Muhammad) melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (iaitu penyakit kelemahan aqidah, seperti Abdullah bin Ubay yang munafiq itu) bersegera kepada mereka (iaitu kepada berkasih sayang dan tolong menolong dengan orang kafir), sambil berkata; ‘Kami takut kami akan ditimpa perkara buruk (seperti kemarau dan kekalahan kepada musuh, lalu kami meminta pertolongan mereka, tetapi mereka tidak mahu menolong kami).’ Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya) atau mendatangkan sesuatu dari sisi-Nya (yang akan membongkar rahsia golongan munafiq itu), lalu mereka akan menyesal atas apa yang telah mereka sembunyikan dalam diri mereka.” – (al-Maidah:52)

Perang (Ghazwah) Sawiq

Abu Sufyan (sebelum Islam) dan tenteranya telah melakukan pengacauan di al-‘Uraidh. Mereka telah melakukan pembakaran dan penebangan pokok kurma. Seorang lelaki Ansar dan rakannya dibunuh. Kemudian lari balik ke Makkah.

Rasulullah saw dan tentera Muslimin telah mengejar mereka hingga ke Qarqaratul Kadar. Namun tentera Abu Sufyan melarikan diri dengan pantas dan sanggup meninggalkan bekalan sawiq (sejenis makanan yang diperbuat daripada tepung gandum dan barli) mereka supaya meringankan beban untuk melarikan diri. Maka perang ini dinamakan perang sawiq. 

Perang Dzi Amar

Ia berlaku di Dzi Amar. Kehadiran Rasulullah saw dan tentera Muslimin membuatkan perancangan Bani Tsa’labah dan Maharib untuk menyerang Madinah terbatal. Kaum Muslimin berjaya menakutkan mereka untuk bertindak sesuka hati dan menimbulkan kekacauan. Selepas sebulan, Baginda saw dan tentera Muslim pulang semula ke Madinah.

Pembunuhan Ka’ab Bin Al-Asyraf

Ka’ab Bin Al-Asyraf adalah seorang Yahudi. Dia sangat memusuhi Islam dan menyeru untuk memerangi Rasulullah saw. Membuat provokasi kepada kaum Quraisy dengan peristiwa Badar sehingga membangkitkan kemarahan dan kedengkian anak cucu orang Quraisy terhadap Baginda Nabi saw. Beliau juga mengajak mereka memerangi kaum Muslimin.

Di Makkah, Abu Sufyan bertanya kepada beliau; “Mana yang lebih engkau sukai, agama kami ataukah agama Muhammad dan para sahabatnya? Dan manakah yang lebih benar jalannya, kami ataukah Muhammad dan para sahabatnya?”

Ka’ab menjawab; “Kamulah yang lebih benar jalannya dan lebih baik.”

Maka turunlah firman Allah yang bermaksud;

“Tidakkah engkau perhatikan (dan berasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari kitab (taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah selain Allah, dan kepada thaghut, dan mereka pula berkata (memuji) kepada orang-orang kafir (kaum Musyrik Makkah), bahawa mereka (kaum Musyrik) itu lebih betul jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad).” – (an-Nisa’:51)

Di Madinah pula, Ka’ab menganggu isteri-isteri para sahabat dan menyakiti mereka dengan lidahnya yang tajam. Ketika itulah Rasulullah saw bersabda;

“Siapakah yang mahu membunuh Ka’ab bin Al-Asyraf? Sungguh dia telah menyakiti Allah dan Rasul-Nya.”

Muhammad bin Maslamah bangkit lalu berkata; “Aku, wahai Rasulullah. Adakah tuan perkenan jika aku yang membunuhnya?”

Jawab Rasulullah saw; “Ya”

Muhammad bin Maslamah membuat permohonan; “Izinkan aku untuk mengatakan sesuatu (kepadanya).”

Sahut Baginda saw; “Katakanlah.”

Muhammad bin Maslamah dan beberapa orang sahabatnya telah membuat tipudaya terhadap Ka’ab bin Asyraf. Akhirnya beliau berjaya membunuh Ka’ab.   

Orang-orang Yahudi mula ketakutan kerana pimpinan mereka Ka’ab bin Al-Asyraf telah mati. Mereka sedar bahawa Rasulullah saw tidak akan teragak-agak untuk bertindak ke atas mereka yang mengacau keamanan dan yang tidak menghormati perjanjian mereka. Oleh itu mereka tidak berani lagi berbuat sesuka hati dan berbuat seolah-olah menunaikan perjanjian mereka.

Ekspedisi Zaid Al-Harith

Ekspedisi ini adalah yang terakhir sebelum peperangan Uhud. Ia berlaku pada bulan jamadil Akhir tahun ketiga Hijrah.

Kaum Quraisy kebiasaannya akan berdagang ke Syam pada musim panas dan ke Habsyah pada musim sejuk. Sedangkan jalan terdekat ke sana adalah melalui Madinah dan perlu meminta keizinan tentera Muslimin terlebih dahulu. Maka, apabila hampir tiba musim panas, mereka mula bimbang laluan perdagangan mereka akan disekat oleh kaum Muslimin.

Al-Aswad bin Abdul Muttalib mencadangkan kepada Shafwan supaya melalui jalan yang lebih jauh iaitu melalui Iraq. Oleh kerana mereka tidak mahir melalui jalan itu, dicadangkan Farrat bin Hayyan dari Bani Bakr bin Wa’il sebagai pemandu jalan.

Kemudian, berangkatlah mereka dengan diketuai oleh Shafwan bin Umayyah. Takdir Allah SWT, keberangkatan mereka diketahui juga oleh kaum Muslimin melalui Salith bin an-Nu’man(Salith mendapat tahu daripada Nu’aim bin Mas’ud). Maka 100 orang tentera Islam yang diketuai oleh Zaid bin Harithah al-Kilabi pun berangkat ke laluan mereka. Sampai di daerah Najad di Qardah, Zaid Berjaya menyergap kafilah yang sedang lengah. Shafwan dan para pengawalnya melarikan diri tanpa melawan tentera Muslimin. Alhamdulillah, Farrat bin Hayyan telah memeluk Islam di hadapan Rasulullah saw.

Peristiwa ini merupakan bencana besar bagi orang-orang Quraisy. Mereka hanya mempunyai dua pilihan:

Pertama, berdamai dengan kaum Muslimin, yakni bermakna menghentikan kesombongan mereka.

Kedua, berperang untuk mengembalikan kewibawaan mereka dan melumpuhkan kekuatan kaum Muslimin.

Mereka telah memilih pilihan yang kedua dan bertekad untuk bertindakbalas. Inilah faktor penting yang menyebabkan berlakunya perang(Ghazwah) Uhud.

Pengajaran Yang Boleh Diambil:

1.   Allah SWT telah memaklumkan bahawa orang Yahudi dan Musyrikin adalah musuh
 Islam yang paling utama(5:82).

2.   Yahudi adalah satu kaum yang sering melanggar perjanjian, sifat dengki dan sombong
yang dimiliki adalah punca perbalahan antara manusia. Mereka akan sentiasa mencari
jalan untuk menyulitkan kehidupan kaum Muslimin.

3.   Musuh Islam akan sentiasa mencari jalan supaya dakwah Islam dihentikan.

4.   Islam adalah agama harmoni, kebanyakan peperangan yang berlaku disebabkan oleh tindakan musuh terlebih dahulu.

5.   Islam perlu menunjukkan kekuatan dan ukhuwahnya supaya musuh-musuh rasa takut untuk membuat sesuka hati terhadap orang-orang Mukmin lelaki dan perempuan.
 

Walluhu’alam