21 Januari 2012

4.14 - Surah Al-‘Aadiyat سُوۡرَةُ العَادیَات

Kuda Perang Yang Berlari Kencang
Surah ke 100 : 11 ayat


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

وَٱلۡعَـٰدِيَـٰتِ ضَبۡحً۬ا (١) فَٱلۡمُورِيَـٰتِ قَدۡحً۬ا (٢) فَٱلۡمُغِيرَٲتِ صُبۡحً۬ا (٣) فَأَثَرۡنَ بِهِۦ نَقۡعً۬ا (٤) فَوَسَطۡنَ بِهِۦ جَمۡعًا (٥) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودٌ۬ (٦) وَإِنَّهُ ۥ عَلَىٰ ذَٲلِكَ لَشَہِيدٌ۬ (٧) وَإِنَّهُ ۥ لِحُبِّ ٱلۡخَيۡرِ لَشَدِيدٌ (٨) ۞ أَفَلَا يَعۡلَمُ إِذَا بُعۡثِرَ مَا فِى ٱلۡقُبُورِ (٩) وَحُصِّلَ مَا فِى ٱلصُّدُورِ (١٠) إِنَّ رَبَّہُم بِہِمۡ يَوۡمَٮِٕذٍ۬ لَّخَبِيرُۢ (١١)



Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya. (1) Serta mencetuskan api dari telapak kakinya. (2) Dan meluru menyerbu musuh pada waktu Subuh. (3) Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. (4) Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh. (5) Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. (6) Dan sesungguhnya dia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian. (7) Dan sesungguhnya dia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (8) (Patutkah dia bersikap demikian?) Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? (9) Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? (10) Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka pada hari itu. (11)

Penurunan Ayat

Terdapat khilaf ulama’ berkenaan penurunan surah ini. Dari segi isi kandungan dan gaya bahasanya menjelaskan ia diturunkan pada awal Makkah.

Surah yang diturunkan di Makkah adalah surah yang mampu merangsang aqidah setiap muslim.

Mengikut seerah, surah ini diturunkan selepas surah Al- ‘Asr.

Asbabun Nuzul

Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Ibnu Abi Hatim dan al-Hakim dari Ibnu Abbas ada menyatakan bahawa Rasulullah saw telah mengutus sepasukkan tentera berkuda. Akan tetapi baginda tidak mendengar khabar berita daripada mereka selama sebulan. Maka turunlah ayat ini sebagai pemberitahuan tentang pasukan tersebut yang sedang bertempur melawan musuh dan juga menceritakan tentang kepahlawanan mereka.

Latar Belakang Surah

Surah ini adalah surah Makkiyah, maka terbayang oleh kita suasana Makkah di zaman Rasulullah saw. Orang Arab di kala itu suka kepada hiburan dan peperangan. Mereka terhibur dengan sajak, puisi dan kenderaan yang membanggakan seperti kuda terutama yang digunakan untuk peperangan. Mereka tidak berminat kepada ajakan-ajakan Rasulullah saw. Maka satu kaedah yang boleh menarik perhatian supaya apa yang hendak diperkatakan akan didengari ialah dengan perkara-perkara yang disukai oleh mereka. Maka Allah swt memulakan surah ini dengan haiwan kuda kebanggaan mereka. Ini adalah suatu teknik dakwah yang berkesan.

Allah swt menarik perhatian mereka dengan sesuatu yang mereka suka dan kemudian berkata-kata dengan gaya bersumpah yang menunjukkan perkara yang akan dicerita seterusnya adalah suatu perkara yang penting dan benar. Ia perlu didengar dan diperhatikan betul-betul. Begitu juga kepada kita zaman muktahir ini. Surah ini sangat penting dihayati.

Surah Makkiyah adalah surah tertumpu kepada aqidah. Bukan bermaksud hanya menceritakan aqidah Islam malah ia mampu merangsang kepada kemantapan aqidah itu sendiri selain dari meningkatkan keimanan kepada sesiapa yang membaca dan memahaminya.

Mengikut Al-Syahid Sayyid Qutb, apabila membaca bait-bait ayat surah ini, tergambar serta terasa rentak nada yang keras dan berdentam-dentum dalam suasana yang gempar, suasana yang hiruk-pikuk dan berdebu (ayat 1 – 5). Kemudian Allah swt menempelak sikap manusia yang sering melupakan nikmat Allah swt (ayat 6 – 8). Keadaan gegak gempita berakhir dengan pembongkaran kubur dan pengumpulan manusia ke Hadrat Allah Azawajalla (ayat 9 – 11).

Kesemua babak berlalu dengan pantas hingga ke pengakhirannya. Oleh itu, betapa pentingnya memahami Bahasa Arab untuk merasai babak-babak ini yang ditayangkan oleh Allah swt.

Penerangan Ayat

Ayat 1 – 5

وَٱلۡعَـٰدِيَـٰتِ ضَبۡحً۬ا (١) فَٱلۡمُورِيَـٰتِ قَدۡحً۬ا (٢) فَٱلۡمُغِيرَٲتِ صُبۡحً۬ا (٣) فَأَثَرۡنَ بِهِۦ نَقۡعً۬ا (٤) فَوَسَطۡنَ بِهِۦ جَمۡعًا (٥)

Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya. (1) Serta mencetuskan api dari telapak kakinya. (2) Dan meluru menyerbu musuh pada waktu Subuh. (3) Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. (4) Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh. (5)

وَٱلۡعَـٰدِيَـٰتِ ضَبۡحً۬ا (١)

و – Demi (sumpah)

عَـٰدِيَـٰتِ – yang berlari kencang menuju musuh(kuda), penambahan ٱلۡ menjadi ٱلۡعَـٰدِيَـٰتِ – khusus kepada kuda perang yang sedang berlari pantas menuju musuh.

ضَبۡحً۬ا – kedengaran nafas kuda tersebut yang berlari kencang.

Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya. (1)

Allah swt memulakan ayat dengan bersumpah. Kuda perang yang sangat diminati dan mencerminkan gerakan yang tangkas dan sifat kuda yang berani menuju musuh patut menjadi iktibar. Dalam surah Al-‘Asr, Allah swt juga memulakan ayat dengan bersumpah, tetapi dengan masa. Betapa pentingnya pergerakan masa yang perlu diisi bukan untuk dipersia-siakan.

Jika diteliti bagaimana Allah swt berdialog di dalam surah yang mempunyai sumpah, disitu terdapat objek yang disumpah dan subjek sebagai cerita sebenar yang hendak disampaikan. Sebagai contoh; ‘Demi masa manusia itu di dalam kerugian.’ Masa sebagai objek, manusia di dalam kerugian sebagai subjek. Di dalam surah ini, ayat 1 – 5 sebagai objek dan ayat seterusnya sebagai subjek.

Itulah keistimewaan al-Qur’an; Bahasanya yang lembut, menarik perhatian, tidak jemu dibaca dan bersesuaian di setiap zaman.

Berkait dengan nuzul turunnya surah ini, Allah swt telah menjawab tanda tanya yang wujud dalam benak Rasulullah saw, apakah yang terjadi kepada tentera berkuda yang telah dihantarnya. Bahawa kuda itu berlari pantas memecut ke arah musuh, kedengaran degusan nafasnya yang kencang. Larian tapak kuda menghasilkan percikan api hasil dari hentakan dan geselannya dengan puing-puing batu yang keras; Serta mencetuskan api dari telapak kakinya. (2)

Semua ini berlaku diwaktu subuh; Dan meluru menyerbu musuh pada waktu Subuh. (3)

Kemudian Allah menggambarkan keadaan kuda yang meluru berani ketengah-tengah kumpulan atau jama’ah musuh sehingga kelihatan debu-debu berterbangan di medan pertempuran tersebut. Betapa beraninya sahabat Rasulullah saw, tidak gentar jiwa mereka terhadap musuh Allah. Betapa bangganya Allah melihat gelagat mereka, berjuang demi Tuhannya seiring dengan kegagahan dengan kuda perang mereka; Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. (4) Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh. (5)

Kekuatan ini timbul dari kekuatan aqidah di dalam hati-hati mereka. Kekuatan seperti inilah yang perlu dipupuk, digilap dan dicanang semata-mata untuk Allah Robbul ‘Alamin.

Ahmad, Shaikani, Nasa’I dan Ibn Majah meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasululah saw bersabda:
“Batu jemala kuda memang membawa kebaikan sampai hari qiamat.”

Allah swt bersumpah dengan kuda juga menunjukkan bahawa haiwan kuda adalah haiwan yang istimewa dan dikagumi oleh manusia sehingga ke hari ini. Namun memilikinya bukanlah untuk berbangga-bangga dan riya’. Tetapi mengambil iktibar dengan ketangkasan kuda perang yang digunakan untuk berjihad fi sabilillah.

Di dalam ayat 1, Allah swt menyebut secara umum; عَـٰدِيَـٰتِ ‘sesuatu yang berlari pantas menuju musuh’. Di zaman Rasulullah saw haiwan kudalah yang berlari pantas. Jika dibaca ayat ini di zaman kita, sesuatu yang berlari laju dan membanggakan ialah seperti kereta Ferrari. Oleh itu ayat al- Quran bersesuaian dibaca di mana-mana zaman sekali pun. Ia boleh menerbitkan isi kandungan yang sama walaupun keadaan atau suasana yang berbeza. Penggunaan kenderaan secanggih mana pun, yang dinilai di sini ialah ketangkasannya, keberaniannya, dan kekuatan jiwanya.

Ayat 1 – 5, adalah babak Allah swt bersumpah supaya apa yang akan dinyatakan selepas ini adalah sesuatu yang sangat penting, perlu diberi perhatian dan diberi ingatan yang sungguh-sungguh. Apakah yang hendak diceritakan oleh Allah swt sebenarnya di dalam surah ini?

Ayat 6 – 8

إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودٌ۬ (٦) وَإِنَّهُ ۥ عَلَىٰ ذَٲلِكَ لَشَہِيدٌ۬ (٧) وَإِنَّهُ ۥ لِحُبِّ ٱلۡخَيۡرِ لَشَدِيدٌ (٨)

Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. (6) Dan sesungguhnya dia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian. (7) Dan sesungguhnya dia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (8)

Babak seterusnya, Allah swt ingin menyatakan sesungguhnya makhluk manusia kebanyakkannya tidak tahu bersyukur dan sering ingkar dengan-Nya. Tidak mengingati nikmat yang melimpah ruah ke atas mereka. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam segala gerak-geri dan tutur kata mereka.

Allah swt tidak menyusun ayat 6 seperti ini; لَكَنُودٌ۬ لِرَبِّهِۦ -‘sesungguhnya kebanyakan manusia ingkar kepada Tuhannya.’ Tetapi Allah swt menyusun ayat 6 ini seperti ; إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودٌ۬ –‘Sesungguhnya kebanyakan manusia kepada Tuhannyalah benar-benar ingkar’. Kenapa begitu? Ini kerana Allah swt ingin menyatakan bahawa hanya Tuhan Allah swt satu-satunya yang mereka ingkar, tidak yang lain. Seperti dengan boss syarikat….wow , betapa patuhnya ia untuk tidak dibuang kerja, tinggal solat tidak apa, asal perut terpelihara.

Tidak tahukah manusia bahawa rezeki masing-masing telah ditentukan oleh Allah swt sejak azali lagi. Manusia hanya perlu berusaha sebagai asbab mendapat rezeki.

Abu Abdurrahman Abdullah bin Mas’ud melaporkan; “Rasulullah saw menyampaikan kepada kami dan baginda adalah orang yang benar dan dibenarkan, ‘Sesungguhnya penyempurnaan penciptaan kamu berlaku di perut ibunya sebagai setitis mani selama 40 hari, kemudian berubah menjadi setitis darah selama 40 hari, kemudian menjadi segumpal daging selama 40 hari. Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat, lalu ditiupkan roh padanya. Kemudian diperintahkan supaya menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kecelakaan atau kebahagiaannya. Demi Allah yang tidak ada tuhan selain –Nya, sesungguhnya antara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dan syurga tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya antara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dan neraka tinggal sehasta, tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga.” – HR Bukhari dan Muslim.

Keingkaran ini telah pun diketahui,diperakui, malah disaksikan oleh manusia itu sendiri. Ini memberi maksud kebanyakkan manusia telah pun mengetahui bahawa mereka telah ingkar dengan Tuhan mereka. Tetapi mengapa mereka tidak bertaubat Semua makhluk di bumi dan bumi itu sendiri juga menjadi saksi di atas apa yang telah dilakukan oleh mereka ; Dan sesungguhnya dia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian. (7)

Manusia mempunyai sikap suka melupakan nikmat Allah swt kerana jiwa mereka, hati mereka yang sayangkan diri sendiri dan harta kekayaan. Sama ada dalam bentuk wang, kuasa dan nikmat-nikmat kesenangan hidup di dunia sehingga aqidah mereka terpesong, menjadikan kekayaan itu sebagai Tuhan atau mensyarikatkan Allah swt. (Syirik).

Sikap tamak haloba telah merajai hati mereka. Hukum-hakam dan undang-undang Allah tidak diendahkan lagi. Oleh itu, Allah swt menempelak orang yang sebegini kerana mereka telah keterlaluan; Dan sesungguhnya dia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (8)

Ayat 9 – 11


أَفَلَا يَعۡلَمُ إِذَا بُعۡثِرَ مَا فِى ٱلۡقُبُورِ (٩) وَحُصِّلَ مَا فِى ٱلصُّدُورِ (١٠) إِنَّ رَبَّہُم بِہِمۡ يَوۡمَٮِٕذٍ۬ لَّخَبِيرُۢ (١١)

(Patutkah dia bersikap demikian?) Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? (9) Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? (10) Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka pada hari itu. (11)

Babak akhir; Suatu gambaran yang akan berlaku sebagai peringatan dari Ar-Rahman dan Ar-Rahim bahawa bila tiba masanya, kubur-kubur akan digeledah dan dibongkar. Rahsia-rahsia yang tersimpan di dalam dada-dada akan diragut keluar. Semua ini berlaku dalam suasana yang keras, dasyat dan berdebu. Tidak takutkah kita?....ataukah hati-hati ini telah buta dengan kesibukan dunia yang kecil dan sementara ?

Dikala ini, segala urusan dan segala kesudahan kembali kepada Allah swt. Perkataan يَوۡمَٮِٕذٍ -‘pada hari itu’ memberi maksud; Sesungguhnya Allah swt mengetahui keadaan-keadaan manusia setiap waktu dan setiap saat kerana Allah swt Maha Mendengar lagi Maha Melihat dengan tiada batasannya. Mereka tidak akan dianiaya walau sebesar zarah sekali pun. Kebaikan akan dibalas baik dan menguntungkan,kejahatan atau kemaksiatan akan dibalas siksa atau kerugian.

Firman Allah swt di dalam surah Ali-Imran:181,
“Kami (Allah) akan menulis perkataan mereka itu.”

Maka jika mereka sedar dan yakin dengan apa yang akan berlaku ini, mereka tidak akan ingkar , tidak akan terlalu mencintai harta dan dunia, tidak akan melupai nikmat yang diberikan oleh Allah Azawajalla malah akan bersedia beramal untuk akhirat. Tanpa cetusan niat dan kemahuan di dalam hati, sudah tentu tidak akan berlaku sesuatu perbuatan anggota badan yang lain.

Hadith Qalb (sebahagian dari hadis ke-6 dalam Hadis 40 Imam An-Nawawi);
“Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik, maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa itu adalah hati”.- (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pengajaran Yang Boleh Diambil:

1. Allah swt bersumpah dengan Makhluknya, manusia tidak boleh bersumpah dengan makhluk.

2. Allah swt sukakan hambanya yang gagah perkasa, tangkas dan berjiwa besar.

3. Tiga sifat kebanyakan manusia yang perlu diperbaiki:

1. Sifat ingkar dengan Tuhannya
2. Sifat yang dia sendiri telah mengetahui apa yang telah dia lakukan tetapi tiada inisiatif atau usaha untuk memperbaikinya.
3. Sifat Tamak dan bakhil pada harta

Perhatikan situasi (1) berikut;

Mr N mempunyai seorang kekasih bernama Miss K. Pada suatu hari beliau membuat temu janji di taman rekreasi. Hampir 4 jam mereka di situ bermadu kasih. Oleh kerana terasa selamat dan seronok, mereka membuat temu janji susulan di hari yang lain.

Situasi seperti ini sering berlaku di zaman kita kini. Mr N dan Miss K mengetahui bahawa apa yang mereka lakukan adalah salah di dalam syari’at Islam. Namun mereka tetap melakukannya. Mereka telah ingkar kepada Allah swt dan mengetahui bahawa tindakan mereka salah. Itulah sikap manusia yang Allah swt terangkan dalam surah ini.

Bagaimana dengan situasi (2) berikut:

Mr A telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Beliau tinggal di Bandar Baru Bangi dan bekerja di Shah Alam. Isterinya seorang guru di sekolah Bandar Baru Bangi. Setiap pagi beliau terpaksa keluar rumah jam 5.30 pagi kerana tempat kerja agak jauh dan jalan yang sesak pada jam 6.30 hingga 8.00 pagi. Ada ketikanya, waktu subuh agak lewat. Dia terpaksa korbankan solat subuh kerana bimbang lewat ke tempat kerja. Begitu juga sewaktu pulang ke rumah, jalan raya sesak hingga melepasi waktu maghrib. Mr. A tahu dia berdosa meninggalkan solat tetapi demi anak isteri, dia terpaksa berbuat begini.

Situasi seperti ini juga sering berlaku di Malaysia. Walaupun Mr. A menyedari bahawa dia telah ingkar dengan Tuhannya, dia masih tidak mencari inisiatif memperbaiki keadaan dan sangat sayang dibuang kerja. Bimbang rezeki keluarga tidak dapat dicari. Dia telah tamak kepada harta dan bakhil untuk melepaskan hartanya walaupun terpaksa ingkar dengan Tuhannya. Hanya kepada Tuhannya dia ingkar, sesama manusia dia tersangat patuh dan taat.

Oleh itu, perlu sangat kita memahami konsep rezeki ini. Daripada hadith riwayat Bukhari dan Muslim di atas, terbukti bahawa bukan kita yang menentukan rezeki kita sendiri. Tetapi Allah swt telah pun menetapkan untuk kita. Kita hanya perlu patuh kepada suruhan Allah swt dan tahu apa tujuan Allah swt menjadikan manusia di atas muka bumi-Nya.

Beringat sebelum terlambat. Sebelum kubur dibongkar dan sebelum isi hati dikeluarkan. Diwaktu itu tiada lagi pengampunan dan tiada lagi belas kasihan.

Baik dan buruk sebesar zarah sekalipun akan dihisab. Sedarlah, bangunlah dari tidur yang panjang. Pintu taubat masih terbuka. Usaha masih diterima. Sesungguhnya Allah swt Maha Pengasih dan Maha Penyayang akan hamba-hambanya yang bertaubat dan beramal soleh.

Wallahu’alam.







04 Januari 2012

4.13 Surah at-Takathur - سُوۡرَةُ التّکاثُر

Surah ke 102: BERMEGAH-MEGAHAN (8 ayat)

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

أَلۡهَٮٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ (١) حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ (٢) كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٣) ثُمَّ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٤) كَلَّا لَوۡ تَعۡلَمُونَ عِلۡمَ ٱلۡيَقِينِ (٥) لَتَرَوُنَّ ٱلۡجَحِيمَ (٦) ثُمَّ لَتَرَوُنَّہَا عَيۡنَ ٱلۡيَقِينِ (٧) ثُمَّ لَتُسۡـَٔلُنَّ يَوۡمَٮِٕذٍ عَنِ ٱلنَّعِيمِ (٨)

“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), (1) Sehingga kamu masuk kubur. (2) Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! (3) Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! (4) Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). (5) (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat Neraka yang marak menjulang. (6) Selepas itu, demi sesungguhnya! Kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! (7) Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! (8)”

Nama Surah

Surah ini mengambil nama dari kalimah at takathur pada ayat pertama.

Latar-belakang Surah

Ulama tafsir berbeza pendapat samada surah ini ialah Surah Makiyyah ataupun Surah Madaniyah.

Ibn Abi Hatim telah meriwayatkan daripada Ibn Buraidah berkaitan dengan ayat ini (maksudnya): “Bermegah-megah (menunjukkan kelebihan) sering melalaikan kamu "(al-Takathur, 102:1); katanya surah ini diturunkan sempena dua kabilah dari kabilah orang-orang Ansar iaitu Bani Harithah dan Bani al-Harth. Keduanya kabilah ini saling menyombongkan diri di antara satu sama lain dengan kekayaan yang mereka miliki serta keturunan mereka dan saling tertanya-tanya di antara satu sama lain: “Apakah kalian semua mempunyai pahlawan segagah dan secekap si Fulan?” Mereka menyombongkan diri pula dengan kedudukan dan kekayaan orang yang masih hidup. Malahan mereka juga bermegah-megah dengan pahlawan yang telah gugur dengan menunjukkan tanah perkuburan mereka.

Maka Allah pun menurunkan ayat (bermaksud): “Bermegah-megah (menunjukkan kelebihan) sering melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur.” (al-Takathur, 102:1-2). Ia adalah sebagai teguran kepada orang-orang yang hidup bermegah-megah sehingga mereka lalai untuk melakukan ibadah kepada Allah.

Imam Bukhari dan Ibnu Jarir telah mengambil riwayat dari Ubayy bin Ka’ab: “Rasulullulah bersabda (maksudnya): “Seandainya anak Adam mempunyai dua lembah harta tentu dia masih menginginkan yang ketiga. Padahal yang memenuhi perut anak Adam hanyalah tanah-tanah (kuburnya) dan Allah tetap menerima taubat orang yang ingin bertaubat”

Hadis ini menguatkan hujah bahawa surah at-Takathur adalah Surah Madaniyah dengan alasan bahawa Ubayy bin Kaab memeluk agama Islam di Madinah. Hadis ini juga menceritakan hal kubur sebagaimana surah at-Takathur.

Menurut Abu Hayyan dan Shaukani, kebanyakan pentafsir muktabar berpendapat surah ini adalah surah Makkiyah. Begitu juga dengan Imam Sayuti. Menurut mereka kandungan dan gaya bahasa yang digunakan dalam Surah Al-Takathur mencerminkan bahawa ia adalah surah Makkiyah. Perihal kubur juga dinyatakan dalam banyak ayat seperti di dalam Al- An'am: 93, An-Nahl: 28, Al-Muminun: 99-100, Al-Mu'min: 45-46, yang mana kesemua surah ini adalah Surah Makiyyah.

Surah ini mempunyai pertalian dengan surah-surah sebelumnya (Zilzal, 'Aadiyat, al Qari'ah). Ia mempunyai satu `pattern’ iaitu berkenaan kehidupan di dunia, kehidupan di akhirat dan kehidupan Hari Pembalasan. Kesemua surah ini juga adalah surah Makiyyah.

Ibnu Jarir meriwayatkan dari Sayidina Ali r.a berkata; “Pada mulanya kami sangsi tentang seksa kubur. Selepas penurunan ayat ini(Surah at-Takathur 102:1-2) hilanglah kesangsian itu.”

Tafsir Surah

Ayat 1:

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ
Kamu telah dilekakan oleh pertandingan memperbanyakkan harta kekayaan (1)


alha - lahwan (past tense) - il-haa. Secara literalnya adalah bermaksud hiburan (Entertainment). Yakni manusia sibuk dan lalai. Ada beberapa situasi `kelalaian' yang berlaku (mengikut neraca Allah):
1. Membuang masa pada suatu perkara yang tidak penting.
2. Tidak memberi perhatian kepada perkara yang sepatutnya dibuat.
3. Memberi perhatian yang berlebihan kepada sesuatu perkara hingga Allah tidak diberi keutamaan sebagaimana yang sepatutnya.

Kalimah `Al-ha' adalah `fail madhi/past-tense’. Ia digunakan bagi menunjukkan sikap manusia yang suka bermegah-megah, berbangga dan berlumba-lumba untuk ni'mat dunia. Masa terbuang begitu sahaja, tiada nilai, tidak berfaedah dan sia-sia dari neraca Allah.

Istilah Takathur - kathra - kathir = banyak. Takathur juga bermaksud [Tafa'ul] - Mufa'alla, Ta'adhun = pertandingan/persaingan

Yakni `At-Takathur' melekakan dan mengalihkan perhatian manusia dari Allah. `Takathur' membawa beberapa maksud:

1 - Keinginan untuk mendapat lebih banyak.
Hendak lebih kaya, memiliki kereta mewah, mempunyai rumah lebih besar dan sebagainya.Ini akan melekakan dari mengingati dan bertawajuh kepada Allah swt.

2 – Bersaing dengan orang lain bagi memperoleh lebih banyak ni'mat keduniaan.
Bersaing untuk mendapat pangkat/kuasa mengikut jalan yang tidak diredhai Allah. Bermegah-megah dan bersaing dalam urusan perkahwinan supaya nampak lebih `grand', kelihatan mewah dari orang lain, dikatakan mengikut trend terkini sehingga ia nampak lebih hebat.

3 – Berbangga-bangga dan menunjuk-nunjuk kerana mempunyai banyak kelebihan.
Berbangga dengan harta-benda dan kemewahan yang dimiliki, keturunan yang hebat, anak-pinak yang ramai.

Akibat dari sikap bermegah-megah dan persaingan yang melekakan itu, maka manusia dilalaikan daripada kebenaran Islam. Lari dari tanggung-jawab sebagai hamba Allah, bersikap ambil mudah terhadap suruhan dan larangan Allah. Tidak bersyukur kemudian lalai dari mengingati Allah dan seterusnya melupakan manusia kepada Hari Pembalasan.

Mesej yang sama juga dapat dilihat dalam surah al-`Aadiyat,100:6-8 (maksudnya)
“dan sesungguhnya manusia itu sangat ingkar tidak berterima kasih kepada Tuhannya(6)”.
“dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan (sendiri) keingkarannya(7)”
“dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta(8)”

Sebahagian ahli tafsir menerangkan bahawa maksud ayat ini (8) ialah manusia sangat kuat cinta-nya kepada harta sehingga ia menjadi bakhil.


Terdapat banyak ayat dalam Al-Quran yang menceritakan perihal mereka yang dilalaikan oleh harta-benda sehingga menjadi ego dan melupakan Allah. Firman Allah dalam Surah al-Kahfi, 18:34 (maksudnya)
“Dan dia mempunyai kekayaan (kebun yang besar), maka dia berkata kepada kawannya ketika dia berdialog dengannya: “Aku mempunyai harta kekayaan yang lebih banyak dari engkau dan aku mempunyai pengikut-pengikut yang lebih kuat”

Ayat ini mengisahkan tuan punya ladang yang sangat sombong dan berbangga dengan kekayaannya. Dia mendabik dada kepada kawannya yang miskin. Dia telah melupakan Allah dan lupa juga untuk mensyukuri nikmat pemberian-Nya.

Firman Allah dalam surah Saba' , 34:35 (maksudnya):
“Dan mereka berkata: Kami lebih banyak mempunyai harta dan anak-anak (daripada kamu) dan kami sekali-kali tidak akan di azab”.

Manusia selalu merasakan bahawa kekayaan, kekuasaaan, keturunan dan anak-anak adalah tanda kekuatan dan menjadikan mereka bangga diri. Sesungguhnya `Takathur' melalaikan manusia dari ketaatan kepada Allah dan bersedia untuk beramal bagi Hari Pembalasan.

Allah memberikan peringatan kepada orang mu'min agar tidak lalai atas nikmat harta kekayaan dan anak-pinak. Firman Allah dalam Surah Al-Munafiqun 63:9 (maksudnya)
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu itu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi."

Harta kekayaan dan anak-pinak memang melalaikan jika hati tidak mempunyai kesedaran, tidak memahami matlamat kewujudannya dan tidak merasa mempunyai matlamat yang tinggi. Allah mengurniakan nikmat harta kekayaan dan anak pinak kepada manusia supaya dia dapat melaksanakan tugas khalifah di atas mukabumi ini dan bukan untuk melalaikannya dari mengingati Allah. Mereka yang lalai adalah orang-orang yang rugi. Mereka hilang `Sifat insan', yakni terhenti perhubungannya dengan Allah. Maka rugilah dia walau sebanyak mana dia memiliki harta kekayaan dan anak-pinak.

Begitu juga dalam surah al-Hadiid (57:20), Allah mengingatkan hamba-Nya bahawa manusia akan berbangga dan bersaing tentang harta dan anak-anak (maksudnya)
"Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan hiburan yang melalaikan, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan dan perlumbaan membanyakkan harta dan anak. Ia adalah laksana air hujan yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan mengkagumkan para penanam; kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering dan engkau lihat warnanya kuning, kemudian ia menjadi reput. Dan di Akhirat kelak disediakan 'azab yang dasyat dan keampunan dari Allah dan keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia itu tidak lain melainkan hanya suatu kenikmatan yang mempedayakan."

Kehidupan dunia apabila diukurkan dengan ukuran dunia dan ditimbangkan dengan neraca dunia, maka ia akan dilihat dan dirasakan sebagai satu kehidupan yang amat agung dan besar, tetap apabila ditimbangkan dengan neraca Akhirat, maka ia kelihatan kecil dan kerdil.

Permainan, hiburan, berbangga-bangga, berlumba-lumba memperbanyakkan harta dan anak merupakan hakikat kehidupan dunia. Al-Quran membuat perbandingan kehidupan dunia dengan satu perbandingan yang menarik mengikut cara bahasa al-Quran yang seni, iaitu kehidupan dunia ini adalah
“Laksana air hujan yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan mengkagumkan para penanam".
Ia mengandungi maksud sindiran terhadap orang-orang kafir yang amat tertarik dengan kehidupan dunia.

“Kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering dan engkau lihat warnanya kuning, kemudian ia menjadi reput”Kehidupan dunia ini telah ditetapkan tempohnya yang tertentu yang akan berakhir dengan segera.

Ibn Abbas apabila membaca surah at-Takathur akan memulakan bacaan dengan tambahan huruf tambahan `hamzah' pada permulaan ayat. Ia akan menjadikan ayat ini dalam bentuk persoalan .. "Adakah at-Takathur akan melalaikan kamu ?" Maka, marilah kita bermuhasabah dan menjawab soalan tersebut. Apakah kita telah dilalaikan oleh at-Takathur ? Kekayaan dan anak-anak sepatutnya lebih mengingatkan kita kepada Allah dan bukannya sebagai penyebab yang menjauhkan diri kita dari-Nya.

Ayat 2:

حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ

Sehingga kamu mengunjungi kubur-kubur (2)

Istilahزُرْ zur - zaara - ziyaara - bermaksud berjumpa seseorang ataupun menziarahi seseorang. Ia adalah lawatan atau satu keadaan yang bersifat sementara.

Maqaabir مَقَابِرَ adalah kata jamak (plural) kepada maqbara. مَ (Ma) adalah menunjukkan tempat. Kubur adalah tempat kita akan dimakamkan. Kubur adalah tempat persinggaan sementara sebelum tibanya Hari Pembalasan. Allah menggunakan istilah `kubur' dalam ayat ini dan bukannya `Syurga' atau `Neraka' yang bersifat kekal.

Allah memberikan peringatan bahawa kita telah disibukkan oleh sikap besar diri, bermegah-megah dengan kelebihan harta-benda, anak-pinak, sahabat handai, pangkat, kuasa serta berusaha mendapat lebih banyak lagi; sehingga menyebabkan kita sibuk, tidak mentaati Allah dan beramal untuk akhirat sehingga saat ketika ajal datang pun, kita masih lagi bersikap sedemikian rupa.

Kubur bukanlah tempat untuk dibuat perbandingan, bermegah-megah atau berbangga-bangga dengan perkara keduniaan. Ia sepatutnya menyedarkan kita tentang hakikat kematian. Kematian itu sendiri adalah nasihat yang terbesar.

Ingatlah wahai para pengumpul harta benda dan orang-orang yang disibukkan dengan hal keduniaan, bahawa Demi Allah, engkau tidak akan mendapatkan dari harta-bendamu kecuali selembar kain kafan; itupun akan rosak dan musnah. Jasadmu hanya untuk dimakan tanah. Mana perginya harta benda yang engkau kumpulkan? Adakah ia dapat menyelamatkanmu dari kengerian dan azab kubur? Pada saat mati, tapak tanganmu menjadi kosong dan tidak berisi. Yang kaya dan mulia akan berubah menjadi miskin dan hina.

Oleh itu kita digalakkan menziarahi kubur bagi menjernihkan hati dari cintakan dunia dan mengingati kematian. InsyaAllah ia akan menimbulkan perasaan tidak senang kepada dunia dan hati akan lebih menjadi lebih lunak dan condong pada kecintaan terhadap kampung akhirat. Al-Hakim di dalam sahihnya pernah meriwayatkan bahawa Rasululluh s.`a.w telah bersabda (maksudnya):
“Sesungguhnya aku (sebelum ini) telah melarang kamu semua dari menziarahi kubur. Kini ziarahlah kubur, sesungguhnya ia boleh melembutkan hati, mengalir air mata dan mengingatkan akhirat dan janganlah kamu berkata: “Jauhilah (kubur)”.

Ziarahilah kubur dan ia tidak terhad kepada kubur ibu-bapa atau saudara-mara sahaja kerana tujuan sebenar menziarahi kubur adalah untuk mengingati kematian yang mendatang. Orang yang berakal ialah orang yang selalu mengambil pengajaran dari kematian. Ad-Daqqaq mengatakan:

“Barangsiapa mengingat kematian, akan dimuliakan dengan tiga hal; pertama, segera bertaubat, kedua, qana'ah hati, dan ketiga, semangat beribadah. Dan barangsiapa lupa akan kematian, maka ia akan diazab dengan tiga hal; pertama, menunda-nunda taubat, kedua, tidak redha dengan yang sedikit, dan ketiga, bermalas-malas dalam beribadah.”

Saiyidina Ali bin Abi Talib r.'a. berkata: “ Dunia pergi sambil berpaling, dan akhirat datang sambil mengadap. Setiap satu dari keduanya mempunyai anak. Jadilah engkau salah satu anak akhirat, dan jangan menjadi salah satu anak dunia. Sebab, hari ini adalah hari untuk beramal, tidak ada hisab. Sedangkan hari esok adalah hisab, tidak ada hari untuk beramal.”

Ayat 3 and 4:

كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٣) ثُمَّ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٤)

Tidak sekali-kali begitu, kelak kamu akan mengetahui (3)
Kemudian tidak sekali-kali begitu, kelak kamu akan mengetahui (4)


“kal-laa” كَلَّا – Sudah semestinya (literally: no! Not at all).
“Sa” سَ – soon; “sawfa” سَوۡفَ - very soon.
“Ta'lamoon” تَعۡلَمُونَ – Kamu semua akan mengetahui

Apabila manusia bangun ketika Hari Pembalasan, mereka akan berkata “Apakah yang telah aku lakukan?”. Ini adalah kerana ketika di dunia, mereka bersikap tidak endah apabila diingatkan tentang kematian. Maka Allah mengatakan “kal-laa” yakni sudah semestinya mereka akan tahu; iaitu setelah mereka mati dan dikuburkan.

Sesetengah ulama tafsir menafsirkan ayat 3 “Tidak sekali-kali begitu, kelak kamu akan mengetahui!” bermaksud apabila manusia meninggal dan dikuburkan, barulah mereka menyedari realiti kehidupan yang sebenarnya.

Saiyidina Ali bin Abi Talib ra. berkata "Manusia sedang tidur dan apabila mereka mati, maka barulah mereka hidup". Ketika itu, mereka hanya menyedari betapa sia-sianya usia mereka di dunia selama ini.

Ayat ke-4 pula memberi penerangan ketika kita keluar dari kubur semasa Hari Pembalasan.

Perkataan ثُمَّ (setelah itu) menguatkan ayat yang sebelumnya (takhfeem)

Az-Zamakhshari menegaskan “kal-laa” adalah satu amaran ataupun ancaman dan gertakan supaya manusia bangkit serta sedar dari lamunannya, iaitu daripada sikap dan tabiatnya yang lalai..

Kalimah “kal-laa” diulang lagi pada ayat ke-4 yang menjelaskan amaran itu menjadi lebih keras, dan menekankan perlunya kita bertindak dengan segera. Yakni berhenti daripada lalai. Menjauhi sifat bermegah-megah, menunjuk-nunjuk dengan kelebihan harta atau pangkat yang menyebabkan alpa untuk beramal kepada kehidupan akhirat. Tidak sepatutnya seseorang itu memberi perhatian lebih kepada dunia berbanding akhirat dan mengabaikan kepentingan agamanya.

Ayat 5:

كَلَّا لَوۡ تَعۡلَمُونَ عِلۡمَ ٱلۡيَقِينِ

Tidak sekali-kali begitu, kerana jika kamu mengetahui dengan ilmu yang yakin (5)

“Laww” لَوۡ – menunjukkan penyesalan; iaitu jikalah kamu mengetahui

“ilm al yaqin” عِلۡمَ ٱلۡيَقِينِ – pengetahuan yang pasti (knowledge of certainty).

Yaqin menunjukkan kita sangat pasti dan tiada ragu-ragu. Melebihi dari sekadar `tahu'.

Terdapat tiga (3) jenis Keyaqinan:

1. 'Ilmul-yaqin – keyakinan berasaskan pengetahuan.
Contohnya rumput basah yang mungkin disebabkan oleh hujan; ataupun bila kita melihat asap, maka kita tahu ada api walaupun kita tidak melihatnya.

2. 'Ainul-Yaqin – keyakinan apabila kita melihatnya sendiri. Contohnya melihat sendiri kebakaran yang berlaku.

3. Haqqul-Yaqin – keyakinan bila kita merasa sendiri api itu. Panas dan membakar.

Allah memberikan kita dua (2) jenis Yaqin dalam kehidupan kita; iaitu 'Ilmul-yaqin dan Haqqul-yaqin. Al-Quran itu sendiri adalah 'Ilmul-Yaqin dan Haqqul-Yaqin. Allah berfirman dalam surah al-Haqqah (69:51) yang maksudnya:
“ Dan sesungguhnya Al-Quran itu benar-benar kebenaran yang diyakini (Haqqul-yaqin)".

Al-Qur'an bukan semata-mata keyaqinan, tetapi ia adalah kebenaran yang wujud di dalam keyaqinan itu. Kata-kata Haqqul-Yaqin adalah satu ungkapan istemewa untuk menguatkan makna dan penegasan iaitu Al-Qur'an itu amat mendalam dari segi kebenaran dan amat mendalam dari segi keyaqinan. Al-Qur'an menemukan kebenaran yang tulen. Setiap ayatnya membuktikan bahawa sumbernya ialah kebenaran yang utama dan sejati.

Mereka yang mendustakan al-Qur'an, tidak akan menerima 'Ilmul-Yaqin, tetapi yang dimintanya ialah 'Ainul-Yaqin. Mereka adalah orang yang jahil dan musuh kepada kebenaran. Mereka ingin melihat perkara-perkara ajaib dengan mata kepala mereka sendiri. Mereka kerap bertanya soalan-soalan yang bertujuan untuk mempermainkan dan menunjukkan keingkaran terhadap agama Allah. Al-Qur'an telah menyatakan dalam banyak ayat tentang dialog-dialog orang kafir dengan para nabi berkenaan permintaan-permintaan mereka yang melampaui batas. Namun mereka itu tetap kufur walaupun Allah menunaikan permintaan mereka. Lihatlah apa yang telah terjadi kepada kaum Nabi Saleh dan Nabi Musa.

Orang-orang kafir juga bersikap ragu-ragu terhadap Hari Qiamat. Mereka hanya sedar dan yaqin bila berada di Padang Masyar. Namun penyesalan itu tiada gunanya. Firman Allah dalam surah al-Jaatsiyah (45:32) yang bermaksud:

“Dan apabila dikatakan:`Sesungguhnya janji Allah itu tetap benar dan Hari Qiamat itu tidak mempunyai sebarang keraguan padanya, maka kamu telah menjawab: 'Kami tidak tahu apakah Hari Qiamat itu, kami fikir (hari Qiamat itu) hanya suatu anggapan (yang karut) sahaja dan kami sama sekali tidak yakin”.

Sesungguhnya orang kafir akan dilupakan Allah sebagaimana mereka melupakan Allah di dunia.

Kata Qatadah 'ilmul-Yaqin merujuk kepada pengetahuan tentang perkara-perkara yang berlaku selepas kematian. Sesungguhnya kematian akan pasti berlaku dan ia diyakini akan berlaku oleh orang Islam atau pun bukan Islam. Firman Allah dalam surah al-Hijr (15:99) yang maksudnya:
“dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal)”.

Manusia yang mengetahui dengan yaqin keadaan yang bakal dihadapi setelah kematian pasti akan meninggalkan sikap bermegah dan berbangga diri. Malah akan segera melaksanakan amal soleh. Tidak leka dan lalai dengan dunia. Malah tidak melupakan urusan akhirat yang amat penting dan tidak lupa juga membuat persediaan untuknya.

Ayat ini sebagai pengukuhan tegahan dan celaan terhadap sikap gila dunia dan terpesona dengan kemilau hidup duniawi yang fana'. Ungkapan ini bukanlah sekadar nasihat kosong. Akan tetapi ia menegaskan bahaya besar di hadapan. Ia memerlukan pengamatan yang mendalam dan pemikiran yang bersungguh-sungguh tentang nasib masa depan di akhirat kelak. Kesedaran seumpama ini tidak dapat dirasai pada kebiasaannya tanpa keimanan yang kuat dan jiwa yang sedar lagi sejahtera.

Al-Hasan berkata: “kal-laa” bermaksud benar seolah-olah dikatakan pasti anda akan mengetahuinya dengan yakin.

Ayat 6 dan 7.

لَتَرَوُنَّ ٱلۡجَحِيمَ (٦) ثُمَّ لَتَرَوُنَّہَا عَيۡنَ ٱلۡيَقِينِ (٧)

Sesungguhnya kamu akan tetap akan melihat Neraka Jahim (6)
Kemudian sesungguhnya kamu tetap akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (7)


*baris shadda pada huruf نَّ bermaksud ada 2 Noon.
La – disini adalah merupakan jawab bagi qasam (sumpah).
Lam dan 2 Noon adalah merupakan penegasan yang berulang-ulang. “Pasti, kamu akan pasti dan sepastinya akan melihat neraka Jahim”. Ayat ini menyatakan ancaman bahana melihat api neraka yang mengerunkan dan menakutkan.

Pada ayat ke-7 : Kemudian sesungguhnya kamu tetap akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin

Maksudnya seterusnya anda akan menyaksikan neraka Jahim dengan pandangan yang penuh yakin iaitu penyaksian dengan kedua biji mata anda. Oleh itu jauhkan diri anda dari terjerumus ke dalam api neraka dengan tidak melakukan maksiat, kejahatan, dosa-dosa besar serta perkara-perkara mungkar.

Firman Allah dalam Surah Maryam (19:71-72) yang maksudnya: “Dan tiada siapa pun dari kamu melainkan akan mendatanginya (neraka). Itulah keputusan yang telah ditetapkan Tuhanmu. Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa dan Kami akan tinggalkan orang-orang yang zalim itu melutut di dalam Neraka”.

Maksud ayat di atas, orang-orang beriman yang tidak masuk ke neraka juga turut menyaksikan pemandangan Neraka yang mengerikan. Maha Suci Allah yang menyelamatkan mereka darinya.

Ayat 8

ثُمَّ لَتُسۡـَٔلُنَّ يَوۡمَٮِٕذٍ عَنِ ٱلنَّعِيمِ (٨)

Kemudian sesungguhnya pada hari itu, kamu akan ditanya tentang segala ni'mat yang telah dini'mati kamu (8)

tus'aluuna – kamu pasti ditanya
la tus'aluuna – sudah semestinya kamu akan ditanya (you will certainly be asked).
la tus'alun-na (dengan shadda) - semestinya anda pasti dan pasti akan ditanya (certainly you will certainly, certainly be asked)

Dalam ayat ini Allah memberikan ancaman dan menegaskan sebanyak tiga (3) kali bahawa kita semua pasti, pasti dan pasti akan disoal-siasat berkaitan dengan segala ni’mat dunia yang melekakan anda dari beramal untuk akhirat.

Apakah nikmat dunia yang akan ditanya ? Bukan sahaja nikmat yang melekakan sehingga menyibukkan anda dari beramal malah ia termasuk ni’mat-ni’mat yang lain seperti ni’mat keamanan, kesihatan, waktu lapang, makanan, minuman, penginapan dan sebagainya.

Imam Bukhari di dalam bab Adab, Tarmizi dan Ibn Majah telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ubaidah bin Muhsin bahawa Rasulullah saw telah bersabda (maksudnya):
“Barangsiapa di antara kamu memulakan kehidupan pada waktu paginya dalam keadaan aman sejahtera di dalam kelompoknya, sihat tubuh badannya, cukup keperluan hariannya, maka seolah-olah ia telah dikurniakan dunia dan segala penjurunya.”

Dalam hadith yang lain, Imam Bukhari, Sunan al-Tarmizi, Nasai' dan Ibn Majah ada meriwayatkan daripada Ibn `Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dua ni’mat ramai manusia sering terpedaya dengannya iaitu kesihatan dan waktu lapang”.

Mereka bersikap cuai dalam mensyukuri dua ni’mat tersebut. Jadilah dia orang yang terpedaya dengan keni’matan dunia jika dia tidak melaksanakan kewajibannya.

Daripada Nabi s.a.w. sebagaimana diriwayatkan oleh al-Tarmizi, daripada Abi Barzah katanya: “Tidak berganjak kedua tapak kaki seseorang hamba pada hari kiamat kelak sehingga disoal-siasat berkaitan empat perkara: tentang umurnya di manakah dia habiskan, masa remaja di manakah dia curahkan, tentang hartanya di manakah dia cari dan ke mana pula ia membelanjakannya? Dan tentang ilmunya, apa yang telah diperbuat dengannya?"

Dalam satu hadith yang begitu menyentuh hati ialah hadith yang diriwayatkan daripada `Umar r.a. Ia bertanya “Ni’mat apakah yang kami semua akan disoal, wahai Rasulullah; sedangkan kami telah diusir keluar dari kampung halaman kami dan segala harta kami lupus?” Rasulullah s.aw. Menjawab: “ Tempat berteduh yang anda jadikan rumah-rumah, pokok-pokok dan khemah yang meneduhi anda dari panas dan sejuk, serta air (minuman) yang sejuk ketika hari yang panas.”

Dalam satu riwayat lain; Ibn Abi Shaibah dan Ahmad meriwayatkan daripada Mahmud Ibn Habid katanya: Apabila turun firman Allah swt (bermaksud): “Bermegah-megah menunjukkan kelebihan sering melalaikan kamu" (al-Takathur, 102:1); maka Nabi s.a.w. membacanya sehingga maksud ayat (firman Allah): “ Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang segala nikmat (yang kamu megah-megahkan di dunia itu.” (al-Takathur, 102:8).

Para sahabat bertanya: “ Wahai Rasulullah! tentang ni’mat yang manakah kami akan disoal? Sedangkan yang kami ada hanyalah dua al-Aswadan iaitu air dan kurma, kami ada pedang-pedang di tengkok-tengkok kami dan musuh yang bersiap sedia? Maka ni’mat apakah gerangan kami akan disoal nanti?” Jawab Baginda saw: “Adapun perkara itu tetap akan berlaku”.

Bagaimana dengan kita? ....ni’mat apakah yang kita ada berbanding para sahabat? Terasa diri ini kerdil, terkelu dan tunduk malu. Ironinya, dengan segala nikmat yang Allah swt berikan, amalan kita adalah begitu jauh berbanding Para sahabat.

Ingatlah ketika Hari Pembalasan, sedikit yang kita ada sedikit yang akan diselidiki. Lebih banyak yang kita ada, maka lebih banyak kita akan disoal-siasat nanti.

Kita sepatutnya sedar bahawa tidak perlu untuk bermegah-megah atas ni’mat yang Allah beri. Ucaplah Alhamdulillah dan pada masa yang sama timbulkanlah rasa gerun bahawa kita akan lebih dipersoalkan bila ni'mat yang kita perolehi di dunia ini semakin bertambah.

Pengajaran yang boleh di ambil

1. Allah swt mencela golongan yang disibukkan dengan keni'matan dunia dan berbangga-banga dengan harta yang banyak dan anak-pinak sehingga lupa menta'ati Allah Azawajalla.

2. Menziarahi kubur adalah ubat yang paling mujarab bagi melunakkan hati kerana amalan ini mengingatkan kita tentang kematian dan Hari Akhirat.

3. Allah swt memberi ancaman berulang-ulang bahawa betapa benarnya azab kubur dan Hari Akhirat itu. Mereka yang tidak memperdulikan ancaman Allah swt ini akan menyesal dan menanggung duka nestapa yang amat berat.

4. Manusia akan disoal-siasat tentang segala ni'mat dunia yang diperolehi. Segala punca pendapatan dan perbelanjaan akan ditanya.Tanamkanlah sifat Qana'ah dan bersyukur atas segala nikmat yang Allah berikan pada kita.

5. Keni'matan hidup dunia hanya babak pendek dalam perjalanan hidup yang panjang. Orang beriman akan memberikan perhatian yang berat kepada Akhirat dan mengenepikan keni'matan dunia yang menjadi kegemaran orang-orang yang berjiwa kosong.

Wallahu'alam.