31 Januari 2015

4.29 سُوۡرَةُ النّبَإِ - SURAH AN-NABA( Berita Besar) – Siri 1

Surah ke 78:40 ayat

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

عَمَّ يَتَسَآءَلُونَ (١) عَنِ ٱلنَّبَإِ ٱلۡعَظِيمِ (٢) ٱلَّذِى هُمۡ فِيهِ مُخۡتَلِفُونَ (٣) كَلَّا سَيَعۡلَمُونَ (٤) ثُمَّ كَلَّا سَيَعۡلَمُونَ (٥) أَلَمۡ نَجۡعَلِ ٱلۡأَرۡضَ مِهَـٰدً۬ا (٦) وَٱلۡجِبَالَ أَوۡتَادً۬ا (٧) وَخَلَقۡنَـٰكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا (٨) وَجَعَلۡنَا نَوۡمَكُمۡ سُبَاتً۬ا (٩) وَجَعَلۡنَا ٱلَّيۡلَ لِبَاسً۬ا (١٠) وَجَعَلۡنَا ٱلنَّہَارَ مَعَاشً۬ا (١١) وَبَنَيۡنَا فَوۡقَكُمۡ سَبۡعً۬ا شِدَادً۬ا (١٢) وَجَعَلۡنَا سِرَاجً۬ا وَهَّاجً۬ا (١٣) وَأَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡمُعۡصِرَٲتِ مَآءً۬ ثَجَّاجً۬ا (١٤) لِّنُخۡرِجَ بِهِۦ حَبًّ۬ا وَنَبَاتً۬ا (١٥) وَجَنَّـٰتٍ أَلۡفَافًا (١٦)
Tentang apakah mereka bertanya-tanya? (1) Tentang berita yang besar. (2) Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya. (3) Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu). (4) Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka). (5) (Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? (6) Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? (7) Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang? (8) Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? (9) Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? (10) Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki? (11) Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh? (12) Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya? (13) Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah. (14) Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan. (15) Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya? (16)

MUQADDIMAH DAN MULABASAT SURAH

Surah ini adalah surah Makkiyyah. Oleh itu tahulah kita suasana yang dihadapi oleh Nabi saw dan orang Mukmin yang berada di Makkah di ketika itu.

Dakwah Nabi saw ditentang dan banyak cabaran yang perlu ditempuhi. Termasuklah berita besar(An-Naba) yang dibawa Baginda saw menjadi suatu isu tohmahan. Orang-orang kafir Quraisy mempersoalkan berita besar ini. Mereka memperkatakannya bertujuan untuk mengejek dan memperlekehkan berita besar yang diwar-warkan oleh Nabi saw walaupun ia jelas kebenarannya. Oleh itu Allah SWT menempelak sikap mereka dan mengetuk hati-hati mereka dengan surah ini.

TADDABUR AYAT

Ayat 1-3

عَمَّ يَتَسَآءَلُونَ (١)
Tentang apakah mereka bertanya-tanya? (1)

Secara balaghahnya, Allah SWT mengecam sikap orang-orang kafir Quraisy di waktu itu yang saling bertanya sesama sendiri tentang sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dipersoalkan lagi. Ia adalah suatu perkara yang datangnya dari Sang Pencipta dan Sang Pentadbir sekelian alam.

Ada yang mempersoalkannya secara mengejek-ngejek dan merendah-rendahkan Rasulullah saw. Seolah-olah perkara yang disampaikan Nabi saw adalah mustahil dan tidak dimasuk akal.

عَنِ ٱلنَّبَإِ ٱلۡعَظِيمِ (٢)
Tentang berita yang besar. (2)

Disini Allah SWT tidak menyebutkan perkara yang dipertikaikan secara tepat, tetapi Allah SWT menyebutkannya sebagai ‘berita yang amat besar”.

Terdapat tiga pendapat ulama’ berkenaan `berita besar’ ini yakni;

1.    Hari Kiamat/Hari Kebangkitan (Kebanyakan tafsir mengambil pendapat ini).
2.    Kedatangan Nabi Muhammad saw.
3.    Al-Qur’an

Ketiga-tiga pendapat ini telah ditarjih (diterima pakai).

Seorang Mujahid dan ulama’ besar berasal dari Syria, As-Syeikh Sa’id Hawa dalam kitabnya al-Asas Fi Tafsir (15 jilid tafsir 30 juzuk) telah mengatakan bahawa ‘berita besar’ itu ialah Al-Qur’an. Pendapat ini diambil dari tiga orang mufassir yakni Ibnu Abbas (sahabat), Mujahid dan Qatadah (kedua-duanya tabi’in).

Sesungguhnya berita yang besar ini (Al-Qur’an) telah merubah garis perjalanan hidup manusia ke jalan yang lurus.

Orang-orang kafir menghina Al-Qur’an dengan pelbagai tohmahan seperti Al-Qur’an itu ialah sihir, syair dan merupakan kalam dari Nabi Muhammad saw.

Bagaimana dengan sikap kita?

Apakah kita benar-benar yakin terhadap Al-Qur’an atau sekadar dibibir sahaja? Adakah kita memandang Al-Qur’an sepertimana orang-orang kafir Quraisy terdahulu memandangnya? Mereka tidak mengetahui hakikatnya, tidak menghayati kebenaran yang terkandung didalamnya dan mereka hanya menumpu kepada hal-hal ritual dan mengecilkan peranannya.

Jika kita meyakini bahawa Al-Qur’an ini adalah ‘berita besar’ datang dari Allah SWT, nescaya kita akan merasa gerun dan takut serta akan mengubah sikap kita terhadapnya. Cara kita memandang Al-Qur’an juga akan berbeza dari orang yang tidak meyakininya.
Al-Qur’an bukan setakat perhiasan, dimuliakan fizikalnya dan dibaca sahaja. Ia perlu diimani, dipelihara,dijaga adab-adab terhadapnya, ditaddabur ayat-ayatnya, diamalkan dan didakwahkan setiap pesanan-pesanan yang ada. Muhasabahlah diri. Adakah kita sudah memberikan hak-hak Al-Qur’an itu.

Mengapa ‘berita besar’ ini susah untuk dipercayai dan diyakini walaupun ia datang daripada Allah SWT? Ia berkaitan dengan ‘qimmatul aqidah’ (قمة عقيدة).

Qimmatul aqidah adalah puncak aqidah yakni hakikat iman dan Islam yang di dalam kalimah tauhid; La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah, pada maksud dan syarat-syaratnya. Apabila sahabat masuk Islam, seketika itu juga ia meninggalkan segala masa lalunya di era jahiliyyah dan berpindah sejauh-jauhnya dari dunia jahiliyyah.

Kalimah syahadah ini bukanlah sekadar kata-kata yang diucapkan berulang-ulang dengan lidah tanpa kesedaran, penghayatan terhadap maksud dan terkesan terdahap kehidupan. Ini kerana ia mendasari sistem kehidupan itu sendiri dan kepada siapa ‘loyalty’ itu diberikan, terhadap siapa kita berlepas diri, untuk siapa cinta kita dan kepada siapa kita benci.

Orang kafir Quraisy mengetahui kewujudan Allah SWT. Ini dapat diperhatikan dari nama-nama keturunan mereka, ada yang bernama Abdullah(hamba Allah). Sewaktu Abdul Muthalib berdialog bersama Abrahah dalam peristiwa tentera bergajah, beliau meletakkan penjagaan Kaabah kepada Allah SWT. Beliau yakin dengan kekuasaan-Nya. Namun begitu, mereka tidak beriman kepada Allah SWT dengan iman yang sebenarnya sebagaimana firman Allah SWT; al-Hijr:96 yang bermaksud, “….orang-orang yang menganggap adanya tuhan yang lain disamping Allah…..”.

Mereka menjadikan sesuatu yang lain sebagai tuhan, sesuatu yang menarik mereka dari beriman sepenuhnya secara ikhlas kepada Allah SWT. Ini termasuklah tempat tinggal, kaum kerabat, keluarga, jawatan maupun harta. Inilah tandingan-tandingan kepada Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah:165 yang bermaksud; “….diantara manusia ada yang menjadikan selain Allah sebagai tandingan. Mereka mencintainya sebagaimana cinta kepada Allah .”

Kaum Arab Quraisy juga diwaktu itu bergantung pada sesuatu yang lain untuk mendatangkan kebaikan atau menolak kemudharatan.

Qimmatul aqidah adalah ibu kepada iman. Keyakinan yang tulen (ikhlas) terhadap Allah SWT akan memberi kesan yang besar kepada tindakan lahiriyah. Ia tidak meragui dan ‘never say no’ pada apa yang Allah SWT perintahkan dan larang. Persoalan Kiamat, mati hidup semula, persoalan malaikat, persoalan qadha qadar ‘automatic’ akan selesai. Kami yakin dan kami taat.

Maka, dapat dilihat sikap sahabat apabila ayat pengharaman arak dibacakan, mereka terus menuangkannya sehingga membanjiri bumi Madinah.

Apabila ayat mewajibkan menutup aurat dibacakan, mereka terus mengoyakkan langsir-langsir mereka untuk dijadikan hijab.

Inilah sikap generasi al-Qur’an yang tidak memberi alasan, tidak mengatakan ‘tidak’ pada apa sahaja perintah Allah SWT. Ini semua terbentuk dengan pemahaman yang jitu terhadap Qimmatul aqidah.

Bagaimana pula dengan pertanyaan Nabi Ibrahim a.s terhadap Allah SWT sebagaimana di dalam surah al-Baqarah:260 yang bermaksud; “Dan ingatlah ketika Nabi Ibrahim merayu dengan berkata, “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman; “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaan-Ku)?” Nabi Ibrahim menjawab; “Bahkan(aku percaya dan yakin) akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku yang sangat ingin menyaksikannya.”

Ayat ini tidak bermaksud bahawa Nabi Ibrahim a.s tidak beriman dengan Allah SWT tetapi bertanya untuk mengetahui ‘bagaimana caranya’ Allah SWT menghidupkan makhluk yang mati bagi memberi ketenangan hati dan mencapai tahap keimanan yang lebih tinggi daripada tahap ‘ilmu yakin’ kepada ‘ainun yakin’.

Meyakini ke-Esaan Allah adalah perkara POKOK(ibu). Mengetahui proses bagaimana dan cara Allah menghidupkan makhluk adalah merupakan perkara bukan utama(anak).
Beriman kepada Allah SWT hendaklah 100%(ikhlas), Iman boleh berkurang atau meningkat di paras 100% ke atas. Ia tidak boleh berkurang daripada paras 100% kerana ia memberi makna imannya telah tidak tulen(tidak ikhlas) kepada Allah SWT. Diparas bawah daripada 100%, imannya telah bercampur dengan samada ‘syak’ atau ‘zon’ atau ‘waham’. Maka kafirlah ia.

Jika tidak percaya kepada hari Kiamat, bermakna ia tidak percaya kepada Allah SWT dan imannya menjadi rosak.

Kenapa orang kafir Quraisy mempertikai kenabian Rasulullah saw dan Hari Kebangkitan? Ini kerana mereka tidak mencapai qimmatul aqidah itu. Hari Kiamat  adalah berita yang amat besar. Mempertikaikan Hari Kiamat adalah suatu yang ganjil dan pelik.

Risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw adalah perkara yang amat besar. Ia datang untuk mengubah peradaban dan kepercayaan orang-orang Arab Makkah yang rosak selepas kewafatan Nabi Ismail a.s. 5000 tahun sebelum kemunculan Nabi Muhammad saw.
Qimmatul aqidah inilah yang tidak diterima oleh orang kafir Quraisy.

ٱلَّذِى هُمۡ فِيهِ مُخۡتَلِفُونَ (٣)
Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya. (3)

Mereka mempertikaikan kebenaran ‘berita besar’ itu. Mereka telah berselisih pendapat.

Ayat 4-5

 كَلَّا سَيَعۡلَمُونَ (٤) ثُمَّ كَلَّا سَيَعۡلَمُونَ (٥)
Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu). (4) Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka). (5)

Kalimat كل (ayat 4) digunakan untuk menyatakan bantahan dan penolakkan. Secara balaghahnya, kita boleh membacanya seperti; “No! No! No! Nantilah mereka akan tahulah akibatnya”.

Kalimat ثم (ayat 5), Imam Nasafi (ulama’ yang masyur dari mazhab hanafi) mengatakan bahawa kalimat ini menunjukkan bahawa ia adalah sangat berat. Secara balaghahnya ia seolah-olah berbunyi; “ Kan Aku dah cakap, janganlah sekali-kali membantah/berselisih perkara berita besar ini, nanti kamu tahulah.”

Yang dimaksudkan ‘kamu tahu’ merujuk kepada akibat dari membantah berita besar. Apabila hari Kiamat kelak, nescaya mereka akan melihat dengan mata kepala mereka sendiri betapa dasyat dan pedihnya azab Allah SWT. Di waktu itu tiada taubat yang diterima.

Ayat 6-16

أَلَمۡ نَجۡعَلِ ٱلۡأَرۡضَ مِهَـٰدً۬ا (٦) وَٱلۡجِبَالَ أَوۡتَادً۬ا (٧) وَخَلَقۡنَـٰكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا (٨) وَجَعَلۡنَا نَوۡمَكُمۡ سُبَاتً۬ا (٩) وَجَعَلۡنَا ٱلَّيۡلَ لِبَاسً۬ا (١٠) وَجَعَلۡنَا ٱلنَّہَارَ مَعَاشً۬ا (١١) وَبَنَيۡنَا فَوۡقَكُمۡ سَبۡعً۬ا شِدَادً۬ا (١٢) وَجَعَلۡنَا سِرَاجً۬ا وَهَّاجً۬ا (١٣) وَأَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡمُعۡصِرَٲتِ مَآءً۬ ثَجَّاجً۬ا (١٤) لِّنُخۡرِجَ بِهِۦ حَبًّ۬ا وَنَبَاتً۬ا (١٥) وَجَنَّـٰتٍ أَلۡفَافًا (١٦)
(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? (6) Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? (7) Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang? (8) Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? (9) Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? (10) Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki? (11) Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh? (12) Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya? (13) Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah. (14) Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan. (15) Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya? (16)

Allah SWT menceritakan, memperincikan dan membilang-bilang nikmat yang diberikan-Nya. Allah SWT sangat berkuasa bahkan bekuasa membuat apa sahaja. Kenapa Allah SWT berkata demikian? Untuk memberi tahu bahawa semua nikmat-nikmat itu hanyalah untuk manusia. Bukan untuk makhluk-makhluk Allah yang lain.

Bumi sebagai hamparan, gunung-ganang sebagai pasaknya agar bumi kukuh, dijadikan manusia berpasang-pasang agar dapat berkembang biak, malam untuk beristirehat, di siang hari untuk bekerja dan beraktiviti, langit yang kukuh tidak runtuk walaupun tiada tiang, Matahari bagaikan lampu dan sumber haba, awan yang menggendong air hujan, dengan air hujan membolehkan bijian dan tumbuh-tumbuhan hidup subur; semua ini adalah semata-mata untuk manusia sebagai nikmat yang banyak. Mana mungkin untuk manusia mengingkari Allah SWT sedangkan mereka melihat kekuasaan ini dengan mata mereka sendiri.

Ayat-ayat 6-16 ini adalah dalam bentuk soalan-soalan yang ditujukan kepada mereka yang mempertikaikan kebenaran ‘berita besar’ (ayat 2). Ia berbentuk ‘tafkhim’ yang bermaksud untuk membesarkan Allah SWT dan memperlekehkan orang yang bertanya tentang ‘berita besar’ ini.

Allah SWT telah menyediakan kesemua sembilan nikmat ini sebelum kewujudan manusia lagi. Kalaulah Allah SWT telah menjadikan kesemua nikmat tersebut untuk keperluan fizikal manusia, mana mungkin Allah SWT membiarkan kehidupan di dunia ini tanpa petunjuk. Itulah sebabnya Allah SWT menjadikan al-Qur’an sebagai petunjuk yang memandu manusia ke jalan yang benar. Oleh itu al-Qur’an itu sebagai sesuatu yang besar dan penting.

Di dalam ayat 6-16 ini juga menggunakan ‘dhamir’(ganti nama) nahnu yang bermaksud Kami. Penggunaan ‘Kami’ tidak ‘Aku’ adalah untuk menunjukkan keagungan Allah SWT. Ia tetap merujuk kepada Allah yang satu.

Terdapat hikmah-hikmah pada setiap penciptaan Allah SWT;

َلَمۡ نَجۡعَلِ ٱلۡأَرۡضَ مِهَـٰدً۬ا (٦)
Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? (6)

Allah SWT telah menghamparkan permukaan bumi bagi kemudahan penghuninya umpama kepentingan buaian kepada bayi, sehingga menyenyakkan tidur.

وَٱلۡجِبَالَ أَوۡتَادً۬ا (٧)
Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? (7)

Pemasakkan gunung-ganang untuk meneguhkan paksi bumi, tidak bergoyang. Maka penduduk bumi dapat menjalankan aktiviti dan urusan masing-masing dengan selesa. Tidak merasai takut dan risau.

وَخَلَقۡنَـٰكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا (٨)
Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang? (8)

Diantara hikmahnya ialah agar lahir perasaan tenteram, rasa kasih sayang dan dapat menyambung zuriat keturunan.

وَجَعَلۡنَا نَوۡمَكُمۡ سُبَاتً۬ا (٩)
Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? (9)

Allah SWT menjadikan tidur sebagai kerehatan untuk tubuh badan. ‘Al-Subat’ bermaksud berhenti dari bergerak buat seketika sedang nyawa masih di badan. Tidur dapat menghilangkan kepenatan, memperbaharui kekuatan dan kecergasan.

وَجَعَلۡنَا ٱلَّيۡلَ لِبَاسً۬ا (١٠)
Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? (10)

Kegelapan malam bagaikan pakaian yang menyelubungi tubuh dari penglihatan zahir. Seolah-olah ia melindungi rahsia dirinya dari diketahui orang.

وَجَعَلۡنَا ٱلنَّہَارَ مَعَاشً۬ا (١١)
  Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki? (11)

Suasana siang yang terang membolehkan manusia menjalankan urusan kehidupan. Manusia sering lupa dengan kejadian siang dan malam ini. Sangat sedikit yang bersyukur.

وَبَنَيۡنَا فَوۡقَكُمۡ سَبۡعً۬ا شِدَادً۬ا (١٢)
Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh? (12)

Allah SWT telah membina tujuh lapisan langit yang kukuh. Ia begitu hebat, tiada tiang tetapi tidak runtuh. Ciptaannya sungguh sempurna yang dihiasi dengan bintang-bintang semata-mata untuk manusia mengecapi nikmat keindahannya.

وَجَعَلۡنَا سِرَاجً۬ا وَهَّاجً۬ا (١٣)
Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya? (13)

Matahari bagaikan lampu yang boleh berfungsi menerangi alam. Habanya memberi manfaat untuk manusia dan kehidupan.

وَأَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡمُعۡصِرَٲتِ مَآءً۬ ثَجَّاجً۬ا (١٤) لِّنُخۡرِجَ بِهِۦ حَبًّ۬ا وَنَبَاتً۬ا (١٥) وَجَنَّـٰتٍ أَلۡفَافًا (١٦)
Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah. (14) Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan. (15) Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya? (16)

Kehidupan memerlukan air. Air adalah perlu untuk menumbuhkan biji benih dan menyuburkan tumbuh-tumbuhan dan kebun-kebun.

Pengajaran ayat:

1.    Kesemua sembilan nikmat yang Allah SWT ungkitkan adalah berada disekeliling kita. Ada yang melihat tetapi tidak merasai apa-apa. Seolah-olah ia satu pandangan atau perkara yang biasa(rutin) sehingga tidak terjentik hati sanubari. Sebaliknya suka kepada perkara-perkara yang pelik berlaku walaupun di depan mata terserlah kekuasaan Allah SWT yang menunjukkan kesempurnaan dan kebijaksanaan Pencipta.

2.    Jika Allah SWT berkuasa untuk menjadikan kesemua perkara di atas, maka sudah semestinya perkara tentang Hari Kiamat, kedatangan Rasulullah saw dan al-Qur’an adalah suatu perkara yang tidak perlu dipersoalkan.


3.    Nikmat-nikmat yang manusia perolehi, seharusnya disyukuri dengan sifat patuh yang mutlak kepada Allah SWT. Jangan ia tidak dihargai dengan melaksanakan maksiat. Ketahuilah kesemua nikmat yang dikecapi akan ditanya oleh Allah SWT kelak.

Wallahu’alam

Note;
Ustaz Salam menggunakan tafsir asas fi-tafsir oleh as-syeikh sa’id Hawa. Tafsir ini mengumpulkan 4 tafsir yang besar yakni;
1.    Tafsir Qurtubi
2.    Tafsir Ibnu Kathir
3.    Tafsir an-nasafi(seorang ulama’ tafsir terkenal bermazhab Hanafi, tafsirnya dugunakan di sekolah-sekolah menengah di Mesir).


4.    Fi Zilalil Qur’an oleh as-Syahid Sayyid Qutb.