02 Jun 2012

3.22 Kebathilan Pasti Akan Musnah

Sayyid Qutb berkata..

Kebaikan dan kebagusan (mengikut sistem Ilahi) juga merupakan sesuatu yang tulen sama seperti kebenaran(Haq). Ia tetap kekal di bumi ini.

 Sayyid Qutb kemudian membawa dua ayat daripada surah ar-Ra'd:17 dan Surah Ibrahim:24-27. Di dalam surah ar-Ra'd:17, Allah swt memberikan perbandingan/perumpamaan yang membuktikan bahawa Haq (kebenaran) akan kekal, manakala kebathilan pula akan lenyap hilang. Manakala dalam surah Ibrahim: 24-27 pula adalah satu perumpamaan di antara `kata-kata' oleh orang-orang beriman dengan orang kafir.

 Marilah kita bertadabbur dengan ayat-ayat ini; memohon kepada Allah swt agar diberikan kefahaman fikrahnya; bermuhasabah diri dan mengambil pengajaran untuk memangkin perubahan mengikut piawaian Allah swt; dapat memenuhi tanggungjawab khalifah dan berubudiyyah kepada Allah Azzawa Jalla.

 “Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut sukatannya. Maka arus itu membawa buih-buih yang mengembang dan terapung-apung. Dan dari logam-logam yang mereka leburkannya di dalam api untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada(pula) buih-buih yang serupa (seperti buih arus itu). Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia akan tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan” (Surah ar-Ra'd:17)

Di dalam ayat ini, Allah swt memperlihatkan kejadian alam agar manusia mengambil pengajaran darinya. Ia adalah sesuatu yang biasa dilihat dalam kehidupan manusia tetapi tidak ramai yang memikirkan hikmah disebaliknya. Sesungguhnya buih-buih yang timbul dipermukaan aliran arus dan buih dari permukaan logam yang dileburkan dalam api mengandungi pengajaran kepada mereka yang `ulul-albab'.

Sesetengah golongan salaf berkata “apabila aku membaca perumpamaan-perumpamaan yang dinyatakan di dalam Al-Qu'ran tetapi tidak memahaminya, maka aku akan menangis kerana Allah swt berfirman dalam surah al-`Ankabuut (29:43) yang bermaksud:

“Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buatkan untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu”

Penurunan hujan dari langit hingga membentuk saliran air di wadi-wadi/lembah-lembah mengikut kadar, sukatan dan ukurannya membuktikan qudrat Allah Yang Maha Esa dan Gagah Perkasa. Ia menjadi bukti betapa rapinya pentadbiran Allah. Setiap wadi akan mengumpul dan mengalirkan air mengikut kapasitinya; kerana sebahagian wadi bersaiz besar manakala yang lain adalah berukuran kecil. Ayat ini menunjukkan hati kita berbeza-beza di antara satu sama lain dalam keupayaan menerima ilmu. Sebahagian manusia hatinya cerah, mudah faham dan ilmunya banyak. Sebaliknya ada pula yang susah/sukar untuk memahami sesuatu perkara, malah ada yang benci untuk belajar.

Sesungguhnya ilmu pengetahuan yang berguna ialah ilmu yang dapat meningkatkan iman. Ia datang daripada hati yang ikhlas. Ilmu itu umpama hujan, yang tidak memberikan manfaat kecuali bagi tanah yang subur dan suci. Ia tidak memberi manfaat kecuali bagi jiwa yang suci, hati yang sedar dan naluri yang peka.

Di dalam ayat di atas, Allah swt menggambarkan bahawa air yang mengalir akan mengumpulkan buih-buih di permukaannya. Buih-buih ini berkembang dan kelihatan begitu banyak. Namun, buih-buih ini tidak kekal dan akan hilang lenyap. Yang tinggal ialah air yang mengalir tenang di bawahnya. 

Begitu juga dengan logam-logam seperti emas dan perak yang dileburkan, akan kelihatan banyak buih-buih dipermukaan cecair logam sama seperti buih-buih dari banjir dan arus yang deras. Buih-buih itu menutupi logam asli di dalamnya. Namun ia juga akan hilang dan yang tetap tinggal ialah logam yang bersih.

Itulah perumpaman di antara kebenaran dan kebathilan dalam hidup ini. Yang bathil kelihatan gah di mata manusia, tersohor dan menyeronokkan, namun ia tidak kekal lama dan tidak mempunyai daya tahan. Sedangkan kebenaran itu akan berjaya dan tenang, walaupun kadang-kadang disangkakan orang ia tersorok, tenggelam, hilang ataupun mati. Kebenaran itu tetap teguh seperti logam tulen yang berguna kepada manusia. 

Seterusnya dalam Surah Ibrahim, ayat ke 24-27, Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Tidakkah engkau perhatikan bagaimana Allah telah membuat satu perbandingan, iaitu kalimat yang baik itu laksana pokok yang baik, akar tunjangnya teguh dan dahannya (menjulang) ke langit (24). Ia mengeluarkan buah-buahnya setiap musim dan dengan izin Allah. Dan Allah membuat berbagai-bagai perbandingan kepada manusia supaya mereka berfikir dan mengambil pengajaran (25). Dan bandingan kalimat yang buruk itu laksana pokok yang buruk yang telah dicabut akar umbinya dari muka bumi, ia tidak mempunyai apa-apa keteguhan lagi (26). Allah meneguhkan (iman) orang-orang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan dunia dan Akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan Allah melakukan segala apa yang dikehendaki-Nya (27)" 

Mengikut tafsir Ibnu-Kathir, `Kalimat yang baik' ialah kalimah syahadah `La ilaha illallah' (tiada Ilah selain Allah). Manakala `pokok yang baik' adalah merujuk kepada orang mu'min. Kalimah yang haq ini akan tetap teguh di hati orang-orang beriman seperti akar yang teguh di bumi. Keteguhannya tidak dapat digoncang oleh angin ribut, tidak dapat dilanda badai kebathilan dan tidak lut dengan pelbagai kezaliman.

`Dahan pokok menjulang ke langit' adalah kiasan kepada amalan-amalan soleh dan kata-kata kebenaran daripada orang mu'min yang akan membawanya ke syurga. Ia sentiasa berbuah kerana amalannya yang istiqomah.

'Kalimat yang buruk', yakni kalimat yang bathil adalah laksana pokok yang buruk yang akarnya rapuh, tidak bertunjang di dalam bumi. Ia seolah-olah berada di atas permukaan tanah dan hanya menunggu masa untuk tersungkur. Kufur dan amalan kebathilan adalah menyimpang dari aqidah dan iman. Ia tidak mempunyai asas dan tidak akan diterima oleh Allah. Amalan mereka seumpama debu-debu angin yang ditiup angin kencang. Hilang begitu saja.

Kedua-dua perbandingan di atas bukanlah semata-mata untuk memberi perangsang kepada orang-orang beriman tetapi itulah hakikat sebenar di dalam kehidupan ini. Kebenaran dan kebaikan yang tulen tidak akan mati dan tidak akan layu walaupun disekat dan ditindas oleh kebathilan dan kejahatan jahiliyah. Kebathilan hanya hidup sekadar sementara menunggu habisnya kebaikan yang bercampur-aduk. Apabila berjaya dibersihkan, maka `haq' tulen akan menang dan kebathilan akan tumbang dan musnah, biarpun bagaimana besar dan kuatnya kebathilan jahiliyah itu.

Sesungguhnya Allah swt mengukuhkan pendirian orang-orang yang beriman di dalam kehidupan dunia dan akhirat dengan kalimat keimanan yang tertanam di dalam hati nurani mereka. Ia bertunjang di dalam fitrah semulajadi mereka dan membuahkan amalan-amalan soleh yang sentiasa membaharu dan kekal di dalam kehidupan mereka. Allah meneguhkan pendirian mereka dengan kalimat-kalimat Al-Qur'an, kalimat-kalimat Rasulullah saw dan dengan janji Allah swt yang akan memberikan kemenangan kepada kebenaran di dunia dan kejayaan di Akhirat. Dan orang-orang yang berpegang dengannya tidak akan dilanda gelisah dan keluh-kesah.

Sebaliknya pula, Allah swt menyesatkan orang-orang yang zalim dengan sebab kezaliman dan kesyirikan mereka (kata zalim itu sering digunakan di dalam ayat-ayat Al-Qur'an dengan makna syirik dan inilah ghalibnya). Juga kerena mereka menjauhi diri dari nur hidayat dan terumbang-ambing di dalam kegelapan-kegelapan jahiliyah dan kepercayaan khurafat. Mereka juga mengikuti pelbagai sistem hidup, undang-undang dan peraturan-peraturan nafsu mereka dan bukannya undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan Allah.

Seterusnya Sayyid Qutb melontarkan persoalan untuk kita berfikir.......

Manakah ketenteraman yang lebih ni'mat dari ketenteraman yang dilahirkan oleh kefahaman dan tanggapan ini? Manakah ketenangan yang lebih ni'mat dari ketenangan yang dicurahkan ke dalam hati oleh kefahaman dan tanggapan ini? Manakah kepercayaan terhadap `Haq', kebaikan dan keislahan yang lebih kuat dari kepercayaan ini? Dan manakah suatu kekuatan dan keunggulan yang mengatasi realiti hidup yang kecil ini yang dicurahkan ke dalam hati nurani oleh kefahaman dan tanggapan ini?

Kesimpulan perbincangan 

1. Kebathilan secara umumnya dilihat gah, menyeronokkan, berjaya dan seolah-olah menang.

2. Namun kebathilan itu tidak panjang hayatnya, ia bersifat sementara, tidak dapat bertahan, akan hilang lenyap dan akan musnah.

3. Kebenaran secara umumnya dilihat seakan-akan kalah pada permulaannya dan hampir tidak kelihatan.

4. Namun kebenaran akan teguh, mantap, tidak berubah dan tahan diuji walaupun ditindas oleh kezaliman dan kebathilan. Ia pasti akan berjaya pada akhirnya.

5. Kalimat-kalimat baik dari orang-orang beriman dan amalan soleh mereka akan membawa mereka ke syurga.

6. Kebaikan itu tetap berkesudahan dengan kebaikan; dan kejahatan juga tetap berakhir dengan kejahatan.

7. Allah swt akan menyesatkan orang-orang yang zalim(penting memahami maksud sebenar zalim ini).

8. Ia merupakan motivasi kepada penyambung tugas Nabi saw dan terus tetap beristiqomah dilandasan yang benar dan yang haq.

Wallahu'alam.