Memaparkan catatan dengan label FIKRAH AL-QUR'AN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label FIKRAH AL-QUR'AN. Papar semua catatan

31 Januari 2015

4.29 سُوۡرَةُ النّبَإِ - SURAH AN-NABA( Berita Besar) – Siri 1

Surah ke 78:40 ayat

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

عَمَّ يَتَسَآءَلُونَ (١) عَنِ ٱلنَّبَإِ ٱلۡعَظِيمِ (٢) ٱلَّذِى هُمۡ فِيهِ مُخۡتَلِفُونَ (٣) كَلَّا سَيَعۡلَمُونَ (٤) ثُمَّ كَلَّا سَيَعۡلَمُونَ (٥) أَلَمۡ نَجۡعَلِ ٱلۡأَرۡضَ مِهَـٰدً۬ا (٦) وَٱلۡجِبَالَ أَوۡتَادً۬ا (٧) وَخَلَقۡنَـٰكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا (٨) وَجَعَلۡنَا نَوۡمَكُمۡ سُبَاتً۬ا (٩) وَجَعَلۡنَا ٱلَّيۡلَ لِبَاسً۬ا (١٠) وَجَعَلۡنَا ٱلنَّہَارَ مَعَاشً۬ا (١١) وَبَنَيۡنَا فَوۡقَكُمۡ سَبۡعً۬ا شِدَادً۬ا (١٢) وَجَعَلۡنَا سِرَاجً۬ا وَهَّاجً۬ا (١٣) وَأَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡمُعۡصِرَٲتِ مَآءً۬ ثَجَّاجً۬ا (١٤) لِّنُخۡرِجَ بِهِۦ حَبًّ۬ا وَنَبَاتً۬ا (١٥) وَجَنَّـٰتٍ أَلۡفَافًا (١٦)
Tentang apakah mereka bertanya-tanya? (1) Tentang berita yang besar. (2) Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya. (3) Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu). (4) Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka). (5) (Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? (6) Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? (7) Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang? (8) Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? (9) Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? (10) Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki? (11) Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh? (12) Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya? (13) Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah. (14) Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan. (15) Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya? (16)

MUQADDIMAH DAN MULABASAT SURAH

Surah ini adalah surah Makkiyyah. Oleh itu tahulah kita suasana yang dihadapi oleh Nabi saw dan orang Mukmin yang berada di Makkah di ketika itu.

Dakwah Nabi saw ditentang dan banyak cabaran yang perlu ditempuhi. Termasuklah berita besar(An-Naba) yang dibawa Baginda saw menjadi suatu isu tohmahan. Orang-orang kafir Quraisy mempersoalkan berita besar ini. Mereka memperkatakannya bertujuan untuk mengejek dan memperlekehkan berita besar yang diwar-warkan oleh Nabi saw walaupun ia jelas kebenarannya. Oleh itu Allah SWT menempelak sikap mereka dan mengetuk hati-hati mereka dengan surah ini.

TADDABUR AYAT

Ayat 1-3

عَمَّ يَتَسَآءَلُونَ (١)
Tentang apakah mereka bertanya-tanya? (1)

Secara balaghahnya, Allah SWT mengecam sikap orang-orang kafir Quraisy di waktu itu yang saling bertanya sesama sendiri tentang sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dipersoalkan lagi. Ia adalah suatu perkara yang datangnya dari Sang Pencipta dan Sang Pentadbir sekelian alam.

Ada yang mempersoalkannya secara mengejek-ngejek dan merendah-rendahkan Rasulullah saw. Seolah-olah perkara yang disampaikan Nabi saw adalah mustahil dan tidak dimasuk akal.

عَنِ ٱلنَّبَإِ ٱلۡعَظِيمِ (٢)
Tentang berita yang besar. (2)

Disini Allah SWT tidak menyebutkan perkara yang dipertikaikan secara tepat, tetapi Allah SWT menyebutkannya sebagai ‘berita yang amat besar”.

Terdapat tiga pendapat ulama’ berkenaan `berita besar’ ini yakni;

1.    Hari Kiamat/Hari Kebangkitan (Kebanyakan tafsir mengambil pendapat ini).
2.    Kedatangan Nabi Muhammad saw.
3.    Al-Qur’an

Ketiga-tiga pendapat ini telah ditarjih (diterima pakai).

Seorang Mujahid dan ulama’ besar berasal dari Syria, As-Syeikh Sa’id Hawa dalam kitabnya al-Asas Fi Tafsir (15 jilid tafsir 30 juzuk) telah mengatakan bahawa ‘berita besar’ itu ialah Al-Qur’an. Pendapat ini diambil dari tiga orang mufassir yakni Ibnu Abbas (sahabat), Mujahid dan Qatadah (kedua-duanya tabi’in).

Sesungguhnya berita yang besar ini (Al-Qur’an) telah merubah garis perjalanan hidup manusia ke jalan yang lurus.

Orang-orang kafir menghina Al-Qur’an dengan pelbagai tohmahan seperti Al-Qur’an itu ialah sihir, syair dan merupakan kalam dari Nabi Muhammad saw.

Bagaimana dengan sikap kita?

Apakah kita benar-benar yakin terhadap Al-Qur’an atau sekadar dibibir sahaja? Adakah kita memandang Al-Qur’an sepertimana orang-orang kafir Quraisy terdahulu memandangnya? Mereka tidak mengetahui hakikatnya, tidak menghayati kebenaran yang terkandung didalamnya dan mereka hanya menumpu kepada hal-hal ritual dan mengecilkan peranannya.

Jika kita meyakini bahawa Al-Qur’an ini adalah ‘berita besar’ datang dari Allah SWT, nescaya kita akan merasa gerun dan takut serta akan mengubah sikap kita terhadapnya. Cara kita memandang Al-Qur’an juga akan berbeza dari orang yang tidak meyakininya.
Al-Qur’an bukan setakat perhiasan, dimuliakan fizikalnya dan dibaca sahaja. Ia perlu diimani, dipelihara,dijaga adab-adab terhadapnya, ditaddabur ayat-ayatnya, diamalkan dan didakwahkan setiap pesanan-pesanan yang ada. Muhasabahlah diri. Adakah kita sudah memberikan hak-hak Al-Qur’an itu.

Mengapa ‘berita besar’ ini susah untuk dipercayai dan diyakini walaupun ia datang daripada Allah SWT? Ia berkaitan dengan ‘qimmatul aqidah’ (قمة عقيدة).

Qimmatul aqidah adalah puncak aqidah yakni hakikat iman dan Islam yang di dalam kalimah tauhid; La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah, pada maksud dan syarat-syaratnya. Apabila sahabat masuk Islam, seketika itu juga ia meninggalkan segala masa lalunya di era jahiliyyah dan berpindah sejauh-jauhnya dari dunia jahiliyyah.

Kalimah syahadah ini bukanlah sekadar kata-kata yang diucapkan berulang-ulang dengan lidah tanpa kesedaran, penghayatan terhadap maksud dan terkesan terdahap kehidupan. Ini kerana ia mendasari sistem kehidupan itu sendiri dan kepada siapa ‘loyalty’ itu diberikan, terhadap siapa kita berlepas diri, untuk siapa cinta kita dan kepada siapa kita benci.

Orang kafir Quraisy mengetahui kewujudan Allah SWT. Ini dapat diperhatikan dari nama-nama keturunan mereka, ada yang bernama Abdullah(hamba Allah). Sewaktu Abdul Muthalib berdialog bersama Abrahah dalam peristiwa tentera bergajah, beliau meletakkan penjagaan Kaabah kepada Allah SWT. Beliau yakin dengan kekuasaan-Nya. Namun begitu, mereka tidak beriman kepada Allah SWT dengan iman yang sebenarnya sebagaimana firman Allah SWT; al-Hijr:96 yang bermaksud, “….orang-orang yang menganggap adanya tuhan yang lain disamping Allah…..”.

Mereka menjadikan sesuatu yang lain sebagai tuhan, sesuatu yang menarik mereka dari beriman sepenuhnya secara ikhlas kepada Allah SWT. Ini termasuklah tempat tinggal, kaum kerabat, keluarga, jawatan maupun harta. Inilah tandingan-tandingan kepada Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah:165 yang bermaksud; “….diantara manusia ada yang menjadikan selain Allah sebagai tandingan. Mereka mencintainya sebagaimana cinta kepada Allah .”

Kaum Arab Quraisy juga diwaktu itu bergantung pada sesuatu yang lain untuk mendatangkan kebaikan atau menolak kemudharatan.

Qimmatul aqidah adalah ibu kepada iman. Keyakinan yang tulen (ikhlas) terhadap Allah SWT akan memberi kesan yang besar kepada tindakan lahiriyah. Ia tidak meragui dan ‘never say no’ pada apa yang Allah SWT perintahkan dan larang. Persoalan Kiamat, mati hidup semula, persoalan malaikat, persoalan qadha qadar ‘automatic’ akan selesai. Kami yakin dan kami taat.

Maka, dapat dilihat sikap sahabat apabila ayat pengharaman arak dibacakan, mereka terus menuangkannya sehingga membanjiri bumi Madinah.

Apabila ayat mewajibkan menutup aurat dibacakan, mereka terus mengoyakkan langsir-langsir mereka untuk dijadikan hijab.

Inilah sikap generasi al-Qur’an yang tidak memberi alasan, tidak mengatakan ‘tidak’ pada apa sahaja perintah Allah SWT. Ini semua terbentuk dengan pemahaman yang jitu terhadap Qimmatul aqidah.

Bagaimana pula dengan pertanyaan Nabi Ibrahim a.s terhadap Allah SWT sebagaimana di dalam surah al-Baqarah:260 yang bermaksud; “Dan ingatlah ketika Nabi Ibrahim merayu dengan berkata, “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman; “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaan-Ku)?” Nabi Ibrahim menjawab; “Bahkan(aku percaya dan yakin) akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku yang sangat ingin menyaksikannya.”

Ayat ini tidak bermaksud bahawa Nabi Ibrahim a.s tidak beriman dengan Allah SWT tetapi bertanya untuk mengetahui ‘bagaimana caranya’ Allah SWT menghidupkan makhluk yang mati bagi memberi ketenangan hati dan mencapai tahap keimanan yang lebih tinggi daripada tahap ‘ilmu yakin’ kepada ‘ainun yakin’.

Meyakini ke-Esaan Allah adalah perkara POKOK(ibu). Mengetahui proses bagaimana dan cara Allah menghidupkan makhluk adalah merupakan perkara bukan utama(anak).
Beriman kepada Allah SWT hendaklah 100%(ikhlas), Iman boleh berkurang atau meningkat di paras 100% ke atas. Ia tidak boleh berkurang daripada paras 100% kerana ia memberi makna imannya telah tidak tulen(tidak ikhlas) kepada Allah SWT. Diparas bawah daripada 100%, imannya telah bercampur dengan samada ‘syak’ atau ‘zon’ atau ‘waham’. Maka kafirlah ia.

Jika tidak percaya kepada hari Kiamat, bermakna ia tidak percaya kepada Allah SWT dan imannya menjadi rosak.

Kenapa orang kafir Quraisy mempertikai kenabian Rasulullah saw dan Hari Kebangkitan? Ini kerana mereka tidak mencapai qimmatul aqidah itu. Hari Kiamat  adalah berita yang amat besar. Mempertikaikan Hari Kiamat adalah suatu yang ganjil dan pelik.

Risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw adalah perkara yang amat besar. Ia datang untuk mengubah peradaban dan kepercayaan orang-orang Arab Makkah yang rosak selepas kewafatan Nabi Ismail a.s. 5000 tahun sebelum kemunculan Nabi Muhammad saw.
Qimmatul aqidah inilah yang tidak diterima oleh orang kafir Quraisy.

ٱلَّذِى هُمۡ فِيهِ مُخۡتَلِفُونَ (٣)
Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya. (3)

Mereka mempertikaikan kebenaran ‘berita besar’ itu. Mereka telah berselisih pendapat.

Ayat 4-5

 كَلَّا سَيَعۡلَمُونَ (٤) ثُمَّ كَلَّا سَيَعۡلَمُونَ (٥)
Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu). (4) Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka). (5)

Kalimat كل (ayat 4) digunakan untuk menyatakan bantahan dan penolakkan. Secara balaghahnya, kita boleh membacanya seperti; “No! No! No! Nantilah mereka akan tahulah akibatnya”.

Kalimat ثم (ayat 5), Imam Nasafi (ulama’ yang masyur dari mazhab hanafi) mengatakan bahawa kalimat ini menunjukkan bahawa ia adalah sangat berat. Secara balaghahnya ia seolah-olah berbunyi; “ Kan Aku dah cakap, janganlah sekali-kali membantah/berselisih perkara berita besar ini, nanti kamu tahulah.”

Yang dimaksudkan ‘kamu tahu’ merujuk kepada akibat dari membantah berita besar. Apabila hari Kiamat kelak, nescaya mereka akan melihat dengan mata kepala mereka sendiri betapa dasyat dan pedihnya azab Allah SWT. Di waktu itu tiada taubat yang diterima.

Ayat 6-16

أَلَمۡ نَجۡعَلِ ٱلۡأَرۡضَ مِهَـٰدً۬ا (٦) وَٱلۡجِبَالَ أَوۡتَادً۬ا (٧) وَخَلَقۡنَـٰكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا (٨) وَجَعَلۡنَا نَوۡمَكُمۡ سُبَاتً۬ا (٩) وَجَعَلۡنَا ٱلَّيۡلَ لِبَاسً۬ا (١٠) وَجَعَلۡنَا ٱلنَّہَارَ مَعَاشً۬ا (١١) وَبَنَيۡنَا فَوۡقَكُمۡ سَبۡعً۬ا شِدَادً۬ا (١٢) وَجَعَلۡنَا سِرَاجً۬ا وَهَّاجً۬ا (١٣) وَأَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡمُعۡصِرَٲتِ مَآءً۬ ثَجَّاجً۬ا (١٤) لِّنُخۡرِجَ بِهِۦ حَبًّ۬ا وَنَبَاتً۬ا (١٥) وَجَنَّـٰتٍ أَلۡفَافًا (١٦)
(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? (6) Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? (7) Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang? (8) Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? (9) Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? (10) Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki? (11) Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh? (12) Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya? (13) Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah. (14) Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan. (15) Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya? (16)

Allah SWT menceritakan, memperincikan dan membilang-bilang nikmat yang diberikan-Nya. Allah SWT sangat berkuasa bahkan bekuasa membuat apa sahaja. Kenapa Allah SWT berkata demikian? Untuk memberi tahu bahawa semua nikmat-nikmat itu hanyalah untuk manusia. Bukan untuk makhluk-makhluk Allah yang lain.

Bumi sebagai hamparan, gunung-ganang sebagai pasaknya agar bumi kukuh, dijadikan manusia berpasang-pasang agar dapat berkembang biak, malam untuk beristirehat, di siang hari untuk bekerja dan beraktiviti, langit yang kukuh tidak runtuk walaupun tiada tiang, Matahari bagaikan lampu dan sumber haba, awan yang menggendong air hujan, dengan air hujan membolehkan bijian dan tumbuh-tumbuhan hidup subur; semua ini adalah semata-mata untuk manusia sebagai nikmat yang banyak. Mana mungkin untuk manusia mengingkari Allah SWT sedangkan mereka melihat kekuasaan ini dengan mata mereka sendiri.

Ayat-ayat 6-16 ini adalah dalam bentuk soalan-soalan yang ditujukan kepada mereka yang mempertikaikan kebenaran ‘berita besar’ (ayat 2). Ia berbentuk ‘tafkhim’ yang bermaksud untuk membesarkan Allah SWT dan memperlekehkan orang yang bertanya tentang ‘berita besar’ ini.

Allah SWT telah menyediakan kesemua sembilan nikmat ini sebelum kewujudan manusia lagi. Kalaulah Allah SWT telah menjadikan kesemua nikmat tersebut untuk keperluan fizikal manusia, mana mungkin Allah SWT membiarkan kehidupan di dunia ini tanpa petunjuk. Itulah sebabnya Allah SWT menjadikan al-Qur’an sebagai petunjuk yang memandu manusia ke jalan yang benar. Oleh itu al-Qur’an itu sebagai sesuatu yang besar dan penting.

Di dalam ayat 6-16 ini juga menggunakan ‘dhamir’(ganti nama) nahnu yang bermaksud Kami. Penggunaan ‘Kami’ tidak ‘Aku’ adalah untuk menunjukkan keagungan Allah SWT. Ia tetap merujuk kepada Allah yang satu.

Terdapat hikmah-hikmah pada setiap penciptaan Allah SWT;

َلَمۡ نَجۡعَلِ ٱلۡأَرۡضَ مِهَـٰدً۬ا (٦)
Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? (6)

Allah SWT telah menghamparkan permukaan bumi bagi kemudahan penghuninya umpama kepentingan buaian kepada bayi, sehingga menyenyakkan tidur.

وَٱلۡجِبَالَ أَوۡتَادً۬ا (٧)
Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? (7)

Pemasakkan gunung-ganang untuk meneguhkan paksi bumi, tidak bergoyang. Maka penduduk bumi dapat menjalankan aktiviti dan urusan masing-masing dengan selesa. Tidak merasai takut dan risau.

وَخَلَقۡنَـٰكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا (٨)
Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang? (8)

Diantara hikmahnya ialah agar lahir perasaan tenteram, rasa kasih sayang dan dapat menyambung zuriat keturunan.

وَجَعَلۡنَا نَوۡمَكُمۡ سُبَاتً۬ا (٩)
Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? (9)

Allah SWT menjadikan tidur sebagai kerehatan untuk tubuh badan. ‘Al-Subat’ bermaksud berhenti dari bergerak buat seketika sedang nyawa masih di badan. Tidur dapat menghilangkan kepenatan, memperbaharui kekuatan dan kecergasan.

وَجَعَلۡنَا ٱلَّيۡلَ لِبَاسً۬ا (١٠)
Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? (10)

Kegelapan malam bagaikan pakaian yang menyelubungi tubuh dari penglihatan zahir. Seolah-olah ia melindungi rahsia dirinya dari diketahui orang.

وَجَعَلۡنَا ٱلنَّہَارَ مَعَاشً۬ا (١١)
  Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki? (11)

Suasana siang yang terang membolehkan manusia menjalankan urusan kehidupan. Manusia sering lupa dengan kejadian siang dan malam ini. Sangat sedikit yang bersyukur.

وَبَنَيۡنَا فَوۡقَكُمۡ سَبۡعً۬ا شِدَادً۬ا (١٢)
Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh? (12)

Allah SWT telah membina tujuh lapisan langit yang kukuh. Ia begitu hebat, tiada tiang tetapi tidak runtuh. Ciptaannya sungguh sempurna yang dihiasi dengan bintang-bintang semata-mata untuk manusia mengecapi nikmat keindahannya.

وَجَعَلۡنَا سِرَاجً۬ا وَهَّاجً۬ا (١٣)
Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya? (13)

Matahari bagaikan lampu yang boleh berfungsi menerangi alam. Habanya memberi manfaat untuk manusia dan kehidupan.

وَأَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡمُعۡصِرَٲتِ مَآءً۬ ثَجَّاجً۬ا (١٤) لِّنُخۡرِجَ بِهِۦ حَبًّ۬ا وَنَبَاتً۬ا (١٥) وَجَنَّـٰتٍ أَلۡفَافًا (١٦)
Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah. (14) Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan. (15) Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya? (16)

Kehidupan memerlukan air. Air adalah perlu untuk menumbuhkan biji benih dan menyuburkan tumbuh-tumbuhan dan kebun-kebun.

Pengajaran ayat:

1.    Kesemua sembilan nikmat yang Allah SWT ungkitkan adalah berada disekeliling kita. Ada yang melihat tetapi tidak merasai apa-apa. Seolah-olah ia satu pandangan atau perkara yang biasa(rutin) sehingga tidak terjentik hati sanubari. Sebaliknya suka kepada perkara-perkara yang pelik berlaku walaupun di depan mata terserlah kekuasaan Allah SWT yang menunjukkan kesempurnaan dan kebijaksanaan Pencipta.

2.    Jika Allah SWT berkuasa untuk menjadikan kesemua perkara di atas, maka sudah semestinya perkara tentang Hari Kiamat, kedatangan Rasulullah saw dan al-Qur’an adalah suatu perkara yang tidak perlu dipersoalkan.


3.    Nikmat-nikmat yang manusia perolehi, seharusnya disyukuri dengan sifat patuh yang mutlak kepada Allah SWT. Jangan ia tidak dihargai dengan melaksanakan maksiat. Ketahuilah kesemua nikmat yang dikecapi akan ditanya oleh Allah SWT kelak.

Wallahu’alam

Note;
Ustaz Salam menggunakan tafsir asas fi-tafsir oleh as-syeikh sa’id Hawa. Tafsir ini mengumpulkan 4 tafsir yang besar yakni;
1.    Tafsir Qurtubi
2.    Tafsir Ibnu Kathir
3.    Tafsir an-nasafi(seorang ulama’ tafsir terkenal bermazhab Hanafi, tafsirnya dugunakan di sekolah-sekolah menengah di Mesir).


4.    Fi Zilalil Qur’an oleh as-Syahid Sayyid Qutb.

23 Mei 2014

4.28 سُوۡرَةُ الهُمَزة/ al-Humazah (Pengumpat dan Pencaci)

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

وَيۡلٌ۬ لِّڪُلِّ هُمَزَةٍ۬ لُّمَزَةٍ (١) ٱلَّذِى جَمَعَ مَالاً۬ وَعَدَّدَهُ ۥ (٢) يَحۡسَبُ أَنَّ مَالَهُ ۥۤ أَخۡلَدَهُ ۥ (٣) كَلَّا‌ۖ لَيُنۢبَذَنَّ فِى ٱلۡحُطَمَةِ (٤) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا ٱلۡحُطَمَةُ (٥) نَارُ ٱللَّهِ ٱلۡمُوقَدَةُ (٦) ٱلَّتِى تَطَّلِعُ عَلَى ٱلۡأَفۡـِٔدَةِ (٧) إِنَّہَا عَلَيۡہِم مُّؤۡصَدَةٌ۬ (٨) فِى عَمَدٍ۬ مُّمَدَّدَةِۭ (٩)



Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, (1) Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; (2) Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! (3) Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam "Al-Hutamah". (4) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Al-Hutamah" itu? (5) (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya); (6) Yang naik menjulang ke hati; (7) Sesungguhnya api Neraka itu ditutup rapat atas mereka. (8) (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang. / (9)

Nama Surah dan kaitan dengan surah sebelumnya.

Nama surah diambil daripada ayat pertama daripada surah ini. Surah sebelumnya ialah surah al-Asr yang menyebut jenis manusia yang mendapat kerugian dan kebinasaan. Surah ini pula memberi contoh, sifat al-Humazah dan al-Lumazah yang memberikan kerugian yang teramat besar.

Mulabasat surah

Orang-orang kafir terutama pembesar-pembesar Quraisy yang kaya dan berharta sangat menentang perjuangan Nabi saw di Makkah. Tambahan pula rata-rata kaum Muslimin adalah miskin dan tidak berharta.

Masyarakat Arab pula sangat menyanjung tinggi mereka yang mempunyai harta kekayaan. Ukuran mereka kekayaan itulah nilai tertinggi dalam kehidupan. Ia sebagai penanda aras bagi `kehormatan’ dan `kedudukan’.  Jadilah mereka asyik menghitung dan menghimpun kekayaan.    
Jesteru itu mereka memandang hina, mencela, mencaci-maki dan mengejek dengan lidah, mengajuk gerak-geri dan suara kaum Muslimin yang mengajak mereka kepada kebenaran. Inilah serangan dari kafir Quraisy terhadap mereka yang beriman dalam bentuk mental. Ia sangat menyakitkan kaum Muslimin.

Surah al-Humazah ini menyatakan herdikan, bentakan dan ancaman yang menakutkan dari Allah swt kepada mereka yang bersifat sedemikian. Hari kiamat kelak mereka akan menerima azab secara fizikal dan jiwaraga. Kekayaan yang dimiliki tidak dapat membantu mereka lagi. Neraka Hutamah akan menghancur-leburkan tubuh badan mereka termasuk kesombongan dan ketakburan mereka itu. 

Pemahaman Ayat:
  
Ayat 1

وَيۡلٌ۬ لِّڪُلِّ هُمَزَةٍ۬ لُّمَزَةٍ (١
Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, (1) 

Permulaan ayat dengan perkataan وَيۡلٌ۬ (celaka) . Menunjukkan betapa marahnya Allah swt kepada mereka yang Humazah dan Lumazah. Celaka yang tersangat celaka. Mengapa begitu marah sekali Allah swt terhadap mereka ini?

Perkataan Humazah memberi erti yang mengaibkan yakni melakukan cercaan terang-terangan sehingga menyakitkan hati. Sedangkan Lumazah memberi erti isyarat yakni cercaan dilakukan dengan bahasa tubuh(kenyitan mata, mimik muka, riaksi bibir mulut) atau meniru-niru percakapan secara mengejek yang menyakitkan hati.

Menurut Ibn Kathir, al-Hammaz bererti orang yang melakukan umpatan dalam bentuk ucapan, sedangkan al-lammaz bererti orang yang melancarkan celaan dalam bentuk perbuatan. Keduanya bersifat merendahkan dan menilai orang lain kurang.

Ibnu Abbas mengatakan هُمَزَةٍ۬ لُّمَزَةٍ bererti orang yang suka mencela dan menilai cacat orang lain.

Ar-Rabi’ bin Anas mengatakan al-Humazah bererti melakukan pengumpatan di hadapannya, sedangkan al-lumazah itu adalah celaan yang dilakukan di belakang.

Kecelakaan yang besar yakni mereka akan mengalami kerugian yang sangat besar dan akan menerima azab yang sangat pedih dari Allah swt kerana mencela dan mencerca dakwah Nabi saw dan para sahabat. Sedangkan dakwah yang dibawa adalah kebenaran semata-mata. Dakwah yang dibawa adalah dari Allah swt kemudian disampaikan oleh Nabi saw dan para sahabat.

Penurunan surah ini adalah satu sokongan dari Allah swt kepada Baginda saw dan kaum Muslimin. Ia dapat mententeramkan hati mereka dan dapat menghilangkan keperitan yang dialami dari serangan mental kafir Quraisy. Keperitan itu menjadi kecil sehingga dapat diabaikan. Menerbitkan kesabaran dan ketenangan. Begitu juga kepada mereka yang menyambung perjuangan dan pendokong risalah Rasulullah saw dulu, kini dan selamanya. Ingatlah surah ini sebagai penyejuk hati dan penawar jiwa terhadap celaan orang kafir.

Allah swt berfirman;

“ Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (al-Hujraat:11)

Walaupun surah ini ditujukan kepada pencaci dan pencela para-pendakwah, ia juga boleh berbentuk umum. Yakni kepada pencaci dan pencela ciptaan Allah swt seperti mencela seseorang yang buruk paras rupanya atau hitam legam warna kulitnya dan seumpama. Atau yang mencela ketentuan Allah swt kepada seseorang diatas perbuatannya. Namun kecelakaan mereka tidak setinggi kecelakaan kepada mereka yang mencela para pendakwah.

Ini bermakna, tidak boleh wujud di dalam hati seseorang Muslim itu walau sebiji sawi perasaan menghina dan merendahkan seseorang yang lain. Jagalah hati sendiri agar tidak termasuk dalam herdikan dan bentakkan Allah swt sebagaimana ayat pertama surah ini.

Ayat 2 dan 3

ٱلَّذِى جَمَعَ مَالاً۬ وَعَدَّدَهُ ۥ (٢) يَحۡسَبُ أَنَّ مَالَهُ ۥۤ أَخۡلَدَهُ ۥ (٣
Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; (2) Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! (3) 

ٱلَّذِى (orang yang) yang dimaksudkan ialah mereka yang bersifat humazah dan lumazah ini selalunya suka serta asyik mengumpul harta dan menghitung-hitungnya sebagai bekalan. Sehingga mereka menyangka bahawa harta itu boleh mengekalkan mereka atau mereka boleh  mengekalkan harta mereka seolah-olah mereka akan hidup kekal di atas muka bumi ini.

Mengikut Fi Zilalil Qur’an, orang yang terlalu asyik dengan hartanya dan kekayaannya boleh menyebabkan lahir sifat humazah dan lumazah di dalam diri seseorang. Sehingga menyebabkan mereka menyangka dan yakin harta kekayaan itu merupakan kuasa kehidupan mereka; memberi kesenangan dalam kehidupan, menentukan kedudukan di dalam masyarakat, meninggikan martabat mereka dan mampu mengekalkan mereka di dunia ini. Bukankah ini suatu yang syirik?

Islam menggalakkan mencari harta kekayaan tetapi janganlah sampai lupa diri, lupa kepada siapa Pemberi rezeki dan lupa menunaikan hak harta tersebut sebagaimana Allah swt berfirman;

yang mengumpulkan harta kekayaan lalu menyimpannya (dengan tidak membayar zakatnya). (al-Ma’aarij:18)

Ayat 4

كَلَّا‌ۖ لَيُنۢبَذَنَّ فِى ٱلۡحُطَمَةِ (٤)
Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam "Al-Hutamah".

كَلَّا‌ۖ ….Oh tidak…tidak….sekali-kali tidak. Jangan sangka kamu akan kekal dan selamat dengan harta kekayaan yang diberikan. Tidak! Sesungguhnya mereka yang humazah dan lumazah ini pasti akan dicampakkan dalam keadaan yang hina ke dalam neraka Hutamah. Campakan ini bukan campakan yang biasa, tetapi campakan yang kasar dan dengan kemarahan yang amat sangat. Inilah kecelakaan yang diperolehi. Kerugian yang sangat besar di hari Pembalasan. Mereka yang memahami dan dapat merasai situasi seperti ini akan merasai gerun dan serik.

Ayat 5 – 9

وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا ٱلۡحُطَمَةُ (٥) نَارُ ٱللَّهِ ٱلۡمُوقَدَةُ (٦) ٱلَّتِى تَطَّلِعُ عَلَى ٱلۡأَفۡـِٔدَةِ (٧) إِنَّہَا عَلَيۡہِم مُّؤۡصَدَةٌ۬ (٨) فِى عَمَدٍ۬ مُّمَدَّدَةِۭ (٩)
 Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Al-Hutamah" itu? (5) (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya); (6) Yang naik menjulang ke hati; (7) Sesungguhnya api Neraka itu ditutup rapat atas mereka. (8) (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang. / (9)

Kemudian Allah swt bertanya; tahu ke apa dia al-Hutamah itu? Tersentap dengan pertanyaan ini kerana mengikut pemahaman orang Arab, Hutamah itu ialah `tempat pembuangan sampah’. Sudah tentu ia suatu yang berbeza.

Al-Hutamah itu ialah api Allah yang patuh dengan arahan-Nya. Mengapa Allah swt menyebut نَارُ ٱللَّهِ ? Yakni api Allah. Ia menggambarkan api ini bukan api yang biasa, ia adalah api kepunyaan Allah swt yang luar biasa. Mereka yang mengetahui sifat kekuasaan Allah swt akan pasti merasai gerun kerana kehebatan api ini adalah diluar jangkaan manusia.

Ayat 6 memperjelaskan lagi kedasyatan al-Hutamah; ia membakar jasad mereka sehingga ke hati. Ini kerana hati merupakan sumber yang melahirkan umpat keji dan menjadi sarang perasaan suka menyenda, sombong dan takbur.

Ayat seterusnya menambah lagi kegerunan kerana al-Hutamah ini menutupinya sehingga tiada siapa yang dapat menyelamatkannya dan bertanyakan halnya. Malahan mereka akan terikat dan ditambat pula pada tiang-tiang yang panjang seperti binatang tanpa sebarang kehormatan.

Inilah kecelakaan itu.

Pengajaran yang boleh diambil:

1.    Harta dan kekayaan sebagai salah satu sebab mengapa jiwa manusia menjadi angkuh dan sombong sehingga menerbitkan al-Humazah dan al-Lumazah.

2.    Harta dan kekayaan yang diperolehi perlu dikendalikan mengikut kehendak Islam.

3.    Perlu memelihara hati dari perasaan menghina dan merendahkan orang lain walaubagaimana bentuk sekali pun terutama kepada mereka yang mengajak kepada kebenaran.

4.    Surah ini merupakan ancaman yang menakutkan orang yang bersifat Humazah dan Lumazah.

5.    Surah ini menyenangkan, menghibur hati dan sebagai penawar kepada orang Mukmin.

6.    Surah ini adalah satu sokongan yang diberikan oleh Allah swt kepada pendakwah ke jalan kebenaran. Maka bergembiralah dan bertenanglah.

Wallahu’alam

10 Mac 2013

4.27 UHUD: GHAZWAH PENGAJARAN – Bahagian 2


A.   PERSEDIAAN QURAISY

 Kekalahan kaum Musyrikin Quraisy di peperangan Badar benar-benar telah menjatuhkan 
maruah mereka. Ketua-ketua mereka merasakan adalah lebih baik mati daripada hidup 
terhina. Lebih-lebih lagi apabila angkatan perdagangan mereka dapat dirampas oleh 
ekspedisi Zaid Al-Harith. Oleh kerana itu mereka telah mengadakan mesyuarat, kaum wanita 
juga turut serta seperti Hindun binti ‘Uthbah. Hasil pemesyuaratan itu, mereka bersepakat 
adalah sepeti berikut:

1.    Keuntungan dagangan kafilah Abu Sufyan ke Syam sebanyak 50 000 dinar banyaknya akan digunakan untuk memerangi Rasulullah saw dan tenteranya.

2.    Kabilah Tihamah, Kinanah dan kabilah-kabilah Arab disekitar Makkah berjanji bahawa mereka akan memerangi kaum Muslimin dengan sekuat-kuatnya. 
Abu Sufyan bin Harb berkata;
“Hai orang-orang Quraisy, sesungguhnya Muhammad telah membunuh orang-orang terbaik kamu dan membinasakan orang-orang pilihan kamu. Oleh kerana itu, bantulah kami dengan kekayaan kamu untuk memeranginya. Mudah-mudahan kami boleh mengambil balas dendam atas kematian orang-orang kita.”

3.    Wanita-wanita Quraisy yang kematian ahli keluarga semasa peperangan Badar harus ikut serta dalam rombongan peperangan.

Namun, Allah SWT telah berfirman bahawa pengorbanan harta mereka adalah sia-sia dan kelak mereka akan menyesal:
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi penyesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan. Dan ke dalam Neraka Jahannamlah orang-orang yang kafir dikumpulkan.” – (al-Anfal:36)

Maka seramai 3000 orang tentera telah berjaya dikumpulkan iaitu 200 orang berkuda dan 700 orang menaiki unta. Mereka dilengkapi dengan senjata yang lengkap. Abu Sufyan bin Harb telah menjadi ketua rombongan, Abu ‘Amir Ar Rahib menjadi ketua para hamba sahaya manakala Hindun binti Uthbah menjadi ketua kaum wanita.

Wahsyi seorang hamba bangsa Habsyi telah mendapat jaminan akan dibebaskan oleh majikannya jika dapat membunuh Saidina Hamzah r.a.

Abu Izzah al-Jumahl seorang tukang syair yang terkenal, telah dibebaskan oleh Rasulullah saw dari tawanan peperangan Badar dengan percuma, tanpa membayar tebusan sedikit pun kerana dia berjanji tidak akan mengganggu Islam dan tidak akan memerangi kaum Muslimin. Malahan dia adalah seorang yang miskin. Tetapi dia telah diminta oleh Shafwan bin Umayyah supaya ikut berangkat memerangi kaum Muslimin dan mengarang syair-syair yang berisi ejekan kepada tentera Islam yang menggembirakan kaum Quraisy. ‘Amar berkata: “Saya sudah berjanji tidak memusuhi Muhammad dan kaumnya, maka jika saya tertawan semula tentu saya dibunuh.” Namun Syafwan tidak henti-henti memujuknya dan menjanjikan harta kekayaan kepadanya serta akan menjaga anak-anaknya jika dia terbunuh, akhirnya dia turut berangkat dan menjadi tukang syair bagi kaum Musyrikin.

Tentera Musyrikin juga membawa tuhan mereka yang besar bernama Hubal. Perempuan-perempuan yang dibawa ditugaskan sebagai penyanyi, penari dan sebagai pelayan. Minuman keras juga dibawa dengan banyak.

Rahsia kaum Musyrikin diketahui Rasulullah saw

Ibnu ‘Abbas r.a sebagai pengintip kaum Muslimin telah turut serta di dalam mesyuarat pemuka Quraisy. Beliau mengambil keputusan tidak akan menyertai mereka. Kemudian dalam diam-diam beliau telah mengirim sepucuk surat menyampaikan rancangan Quraisy tersebut kepada Rasulullah saw melalui seseorang dari Banu Ghifar yang sanggup menyampaikan surat  paling lewat 3 hari dengan upah yang berpatutan.

Ketika beliau sampai di Madinah, Rasulullah saw sedang menuju ke pintu Masjid Quba’. Maka surat itu diserahkan kepada Rasulullah saw.

Nabi saw telah meminta Ubayya bin Ka’ab r.a membacakannya dan kemudian meminta beliau merahsiakan berita tersebut dari pengetahuan ramai. Sebelum pulang ke Madinah Rasulullah saw telah singgah ke rumah Sa’ad bin Robi’ untuk membincangkan perkara ini.

A.   PERSEDIAAN KAUM MUSLIMIN

Pada keesokan harinya, selepas solat subuh berjama’ah Rasulullah saw mengumumkan perancangan tentera Musyrikin Quraisy dan menyatakan mereka sedang menuju ke Madinah. Baginda saw juga memaklumkan bahawa Baginda telah bermimpi seekor lembu telah disembelih, hujung pedangnya yang runcing telah sumbing, pedangnya yang bernama Dzulfaqar terlepas dari sarungnya, tangannya dimasukkan ke dalam baju perangnya  dan dia mengiringkan seekor binatang kibasy.

Seorang sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, apakah ta’wil mimpi tuan itu?”

Rasulullah saw menerangkan: “Lembu yang disembelih itu, seorang dari sahabatku akan terbunuh, hujung pedangku sumbing ialah seorang sahabatku akan terbunuh, terlepasnya pedang Dzulfaqar dari sarungnya ialah akan adanya dua perkara yang hebat, tangan dimasukkan ke dalam baju perisai besi ialah kita harus didalam kota Madinah menentang musuh, adapun binatang kibasy yang dimiringkan ialah aku akan membunuh seseorang pelindung kaum.”  

Kemudian mesyuarat telah diadakan membincangkan strategi yang terbaik menghadapi tentera musuh. Rasulullah saw mencadangkan supaya peperangan berlaku di dalam Madinah. Apabila musuh sampai dilorong-lorong jalan di dalam Madinah, kaum Muslimin boleh menyerang mereka. Manakala kaum wanita pula boleh menyerang dari atas bumbung-bumbung rumah.

Ketua-ketua Muhajirin dan Ansar telah bersetuju. Abdullah bin Ubay bin Salul juga bersetuju dengan pandangan Rasulullah saw kerana dari pengalaman-pengalamannya yang lepas, bertahan dari dalam kota akan membawa kemenangan. Lagi pula keadaan sekeliling kota Madinah merupakan tembok yang sangat kukuh dan kuat sebagai benteng. Kaum wanita dan anak-anak juga boleh membantu.

Tetapi di kalangan pemuda yang tidak berpeluang berjihad di dalam peperangan Badar telah mencadangkan supaya mereka menetang musuh dari  luar Kota Madinah. Kaum Muslimin harus menunjukkan penentangan ke atas kesombongan orang-orang Quraisy walaupun mereka telah mengumpul kekuatan bersama-sama penduduk sekitar Makkah. Jikalau tidak, mereka akan sewenang-wenangnya menyerang Madinah sesuka hati mereka sehingga berjaya membinasakan kaum Muslimin.

Para pemuda dengan semangat berkata: “Ya Rasulullah, apa yang kita khuatirkan dan apa pula yang kita takutkan? Jika kita menang, itulah yang kita harapkan. Jika kita kalah, kita mati sebagai syahid. Tempat kita sudah disediakan di dalam syurga oleh Allah SWT!”

Oleh kerana wahyu yang berkaitan tidak diturunkan oleh Allah SWT, Baginda saw telah mengambil keputusan untuk menerima pendapat majoriti untuk keluar dari Kota Madinah.

Sementara itu, Rasulullah saw telah mengirim dua utusan untuk meninjau keadaan kaum Quraisy. Didapati mereka telah menguasai suatu dusun sebelah Utara sejauh 3 batu dari Madinah. Kemudian dihantar lagi utusan yang lain untuk meninjau keadaan mereka. Salamah bin Saalamah pula diutus untuk meninjau keadaan pasukan berkuda mereka.

Hasil daripada tinjauan ini, kaum Muslimin telah bersiap sedia dengan senjata masing-masing, mengadakan penjagaan di tepi Madinah dan sebahagian yang lain mengawal disekeliling masjid untuk mempertahankan Nabi saw dari segala kemungkinan. Waktu itu Rasulullah saw masih belum mengeluarkan arahan kerana masih belum menerima wahyu yang khusus berkenaan dengannya.

Selepas solat Juma’at, Baginda saw memberitahu bahawa mereka akan memenangi pertempuran ini jika mereka bersungguh-sungguh, sabar dan tahan dengan penderitaan. Pengurusan Madinah diserahkan kepada Abdullah bin Ummi Maktum.

Selepas solat Asar berjama’ah, Baginda saw masuk ke dalam rumah(Sayyidatina Aisyah r.ha) bersama dengan Saidina Abu Bakar r.a dan Saidina Umar r.a. Keduanya memakaikan Baginda serban, mengenakan baju besi dan dilengkapi dengan pedang sebagai panglima perang.

Sebahagian sahabat mula berasa bersalah dan berdosa kerana tuntutan mereka. Sebahagiannya pula mula merasa bimbang dan takut kalau-kalau ia melanggar ketentuan Allah SWT.

Tidak lama kemudian, Rasulullah saw keluar dengan berpakaian perang dan bersenjata lengkap. Diwaktu itu ramai kaum Muslimin berkata: “Ya Rasulullah, kita tidak memaksa tuan. Terserahlah kepada tuan membuat keputusan yang dikehendaki. Semua perkara ini diserahkan kepada Allah dan kepada tuan!”

Rasulullah saw bersabda:
“Sungguh aku telah mengajak kamu pada perkara ini(tidak keluar dari Madinah), maka kamu telah menolak. Tidaklah wajar bagi seorang nabi yang telah memakai baju besinya menanggalkannya semula , sehingga Allah SWT menghukum di antaranya dengan musuhnya. Fikirkanlah segala apa yang kami perintahkan kepadamu, maka ikutilah oleh mu akan dia! Mudah-mudahan pertolongan bagi kamu selama kamu tetap sabar.” – Hadith sahih diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Hakim.

Baginda saw telah menyerahkan 3 buah bendera kepada 3 orang sahabat iaitu Mus’ab bin’Umair memegang bendera Muhajirin, Usaid bin Hudlair membawa bendera golongan Aus(Ansar) dan Hubab bin Mundzir membawa bendera golongan Khazraj(Ansar). Kemudian mereka mula berangkat keluar Madinah seramai 1000 orang. 100 orang bersenjata lengkap dan hanya dua orang tentera berkuda. Sa’ad bin Ubadah berada dihadapan Nabi saw.

Penyaringan tentera

Tentera Muslimin bergerak menuju ke tempat tentera Musyrikin. Sebelah malamnya(Juma’at malam Sabtu, 11 Syawal), mereka tiba di sebuah dusun bernama Syaikhain untuk berhenti rehat. Disini Baginda saw telah memeriksa barisan tenteranya. Mereka yang dibawah umur 15 tahun diminta pulang ke Madinah kecuali Rafi’ bin Khudaij yang mahir memanah dan Samurah bin Jundap yang pandai berlawan. Rasulullah saw telah menguji kemahiran mereka berdua.

Sehabis solat, Baginda saw lalu bersabda: “Semalam saya lihat(mimpi), bahawa malaikat-malaikat memandikan Hamzah.” Tiada seorang pun memperpanjangkan cerita ini kerana masing-masih telah memahaminya.

Kemudian, Rasulullah saw dan tentera Muslimin menyambung perjalanan mereka. Dipertengahan jalan, mereka bertemu dengan segolongan orang-orang  bersenjata yang tidak dikenali. Baginda saw bertanya kepada tentera yang ada dibelakangnya: “Siapakah mereka itu?”
Seorang sahabat menjawab: “Mereka itu golongan kaum Yahudi, sekutu Abdullah bin Ubay.”
Baginda saw bertanya: “Adakah mereka telah ikut Islam?”
Sahabat tadi menjawab: “Tidak ya Rasulullah.”
Kemudian Baginda saw bersabda: “Sesungguhnya kita tidak akan meminta tolong pada ahli kufur untuk mengalahkan ahli syirik.”

Pengkhianatan Abdullah bin Ubay

Tentera Muslimin meneruskan perjalanan sehingga ke sebuah dusun bernama Syawath. Tiba-tiba Abdullah bin Ubay dan 300 sekutunya telah menarik diri dari peperangan dengan alasan bahawa Rasulullah saw tidak menerima pendapatnya tetapi mengikuti pendapat para pemuda yang tidak berpengetahuan. Abdullah bin ‘Amr bin Hiram (termasuk golongan Khazraj) cuba memujuk mereka dengan berkata: “Hai kaumku! Ingatlah kamu kepada Allah dan takutlah kepada-Nya. Adakah kamu hendak merendahkan kepada kaum dan Nabimu?”
Sekutu Abdullah bin Ubay menjawab: “Jika kita mengerti akan perang, nescaya kita mengikut kamu.”
Oleh itu Abdullah bin ‘Amr berkata: “Mudah-mudahan Allah membinasakan kamu, dan mudah-mudahan Allah memberi kekayaan akan Nabi-Nya daripada kelakuan kamu yang keji itu.”

Sehubungan dengan itu, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud;
“…dan untuk Dia mengetahui secara zahir akan orang-orang yang bersifat munafiq dan dikatakan kepada mereka (iaitu Abdullah bin Ubay dan para pengikutnya) ; ‘Marilah berperang dijalan Allah, atau pertahankanlah (kami daripada musuh dengan kamu meramaikan bilangan kami, sekalipun kamu tidak mahu berperang.)’ Mereka menjawab; ‘Kalaulah kami tahu berperang, tentulah kami mengikut kamu.’ Pada hari itu, mereka lebih dekat kepada kekufuran berbanding kepada keimanan.” – QS (Ali-‘Imran:167)

Justeru itu tinggallah tentera Muslimin seramai 700 orang. Timbul pula sedikit perselisihan dari kalangan tentera Muslimin dari kalangan Khazraj dan Aus. Golongan Khazraj lebih suka Abdullah bin Ubay dan sekutunya dihapuskan dahulu, tetapi golongan Aus lebih suka mereka dibiarkan saja. Berlakunya perselisihan ini, Allah SWT menurunkan firmanNya:
“Maka mengapa bagi kamu(disebabkan orang munafiq) kamu menjadi dua golongan? Dan Allah telah merosakkan mereka itu, disebabkan apa yang mereka kerjakan. Apakah kamu berkehendak akan menunjukkan orang yang Allah telah sesatkan, dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak akan dapati baginya suatu jalan.” – QS (An-Nisa’:88)

Lalu Rasulullah saw bersabda:
“Sungguh Dia  yang baik, Dia memusnahkan akan kejelekkan sebagaimana api melenyapkan kejelekkan perak.”

Orang yang buta mata dan buta hatinya

Perselisihan antara golongan Aus dan Khazraj dapat diselesaikan. Perjalanan seterusnya dibantu oleh Khaitsamah untuk menunjukkan jalan yang dekat dan tidak dilalui oleh kaum Musyrikin. Tiba-tiba apabila melalui jalan yang kecil kepunyaan Marba’ bin Qaidli yang buta, Rasulullah saw telah ditaburi dengan pasir oleh beliau sambil berkata: “Kalau engkau itu Pesuruh Allah, maka aku tidak menghalalkan kamu melalui jalanku.” Segera Sa’ad bin Zaid memukulnya dengan senjata tajam hingga luka parah. Sahabat yang lain ingin membunuhnya tetapi telah dihalang oleh Rasulullah saw dengan bersabda: “Janganlah kamu membunuh dia, kerana orang itu buta matanya dan buta pula hatinya.”

Rasulullah saw menyusun strategi perang

Setibanya tentera Muslimin ke sebuah kampung dikaki Bukit Uhud, kelihatan tentera Musyrikin yang empat kali ganda bilangannya dengan kelengkapan perang yang mencukupi telah menduduki beberapa kawasan disitu. Baginda saw mengumpulkan tenteranya dan menyusun kedudukan mereka ke tempat yang strategik iaitu membelakangi Bukit Uhud. Namun dibahagian belakangnya terdapat suatu jalan yang terbuka yang boleh dipergunakan oleh musuh. Maka baginda saw telah menempatkan 50 orang pasukan memanah di atas bukit di bahagian belakang tersebut dengan diketuai oleh Abdullah bin Jubair.

Barisan tentera penyerang pula, sayap kanan diserahkan kepada Mundzir bin ‘Amr, sayap yang lain dihadapi oleh tentera-tentera Muslimin yang lain. Bendera Islam dipegang oleh Mush’ab bin ‘Umair. Kemudian Rasulullah saw bersabda:
“Telah tiba dalam hatiku Ruhul-Amin(malaikat Jibril). Bahawa sesungguhnya sekali-kali tidak akan mati seseorang sehingga sempurnalah penghabisan rezekinya, tidak akan dikurangi sedikitpun daripadanya sekalipun terlambat(datangnya). Maka dari itu, hendaklah kamu sekalian takut kepada Allah dan perbaikilah olehmu sekalian dalam mencari rezeki. Tidaklah memberatkan beban kamu, sekalian akan terlambatnya rezeki itu jikalau kamu mencarinya dengan derhaka pada Allah. Seorang Mukmin dengan seorang Mukmin itu seperti kepala dari tubuh, apabila mengaduh(sakit), terasalah baginya semua tubuhnya.”

Dikala itu, tentera Musyrikin telah bersedia. Sayap kanan barisan berkuda dipimpin oleh Khalid bin al-Walid dan sayap kiri barisan berkuda dipimpin oleh Ikrimah bin Abu Jahal. Barisan tengah dipimpin oleh Shafwan bin Umayyah dan lain-lain dari pahlawan Quraisy. Bendera mereka dipegang oleh Abu Thalhah.


Kemudian Baginda saw bersabda kepada pasukan pemanah:
“Jagalah kepadaku sebelah belakangku ini, maka sesungguhnya aku khuatir kalau mereka datang kepadaku dari arah belakangku. Dan tetaplah kamu akan tempat kamu masing-masing dan janganlah kamu tinggalkan daripadanya. Jikalau kamu melihat akan daku mengundurkan mereka sehingga aku memasuki dalam barisan tentera mereka, maka janganlah kamu berpecah belah dari tempatmu masing-masing. Jika kamu melihat aku dibunuh, maka janganlah kamu menolong akan daku dan janganlah kamu menolak daripadaku, dan tidak lain hendaklah kamu memanah dengan panah pada kuda-kuda mereka, kerana bahawasanya kuda itu tidak akan dapat mendahului panah. Sesungguhnya kita senantiasa menang, selama kamu tetap bertempat akan tempat kamu masing-masing. Hendaklah kamu menolak dengan panah daripada kita, agar supaya mereka tidak dapat datang dari belakang kita, dan jangan pula kamu tinggalkan tempat ini, baik kita dikalahkan ataupun dumenangkan.”

Rasulullah saw berpesan kepada Abdullah bin Jubair:
“Tolaklah olehmu dari kita kuda-kuda itu dengan panahmu, janganlah sampai mereka datang dari belakang kita, dan tetaplah kamu pada tempatmu sekalipun menang atau kalah.”

Kepada tentera Muslimin umumnya, Baginda saw bersabda:
“Janganlah kamu memerangi seseorang, sehingga kami memerintahkannya dengan perang.”

A.   GHAZWAH UHUD BERMULA

Peperangan satu lawan satu

Tentera Musyrikin menunjukkan kekuatan mereka dengan barisan yang bersedia dengan lengkap. Rasulullah saw mengeluarkan pedangnya dari sarungnya, sebelah pedang itu tertulis; Takut itu tercela, dan berani itu kemuliaan, seseorang penakut itu tidak akan selamat daripada qadar.

Rasulullah saw bersabda:
“Siapa yang akan memegang pedang ini dengan haqnya?” bermaksud siapakah yang sanggup memegang pedangnya buat melibas musuh-musuh yang sombong-sombong itu?

Ramai dari kalangan sahabat ingin memegang pedang tersebut tetapi tidak diperkenankannya, termasuklah Umar, Ali, Zubair dan lain-lain. Kemudian Abu Dujanah(Samak bin Kharsyah) bangun berdiri lalu bertanya: “ Apa haqnya(pedang itu) ya Rasulullah?”
Nabi saw menjawab: “Bahawa kamu memukul dengan dia pada muka musuh sehingga ia bengkok!”
Abu Dujanah berkata: “ Saya yang memegang dia dengan(menepati) haqnya.”

Rasulullah saw menyerahkan pedang tersebut kepada Abu Dujanah kerana terkenal dengan perkasa dan gagah berani. Kalau berperang, dia selalunya meliuk-liukkan kepadanya seperti seorang yang bongkak. Namun dalam waktu peperangan tidaklah mengapa sedemikian dihadapan musuh. Beliau juga selalu akan memakai serban berwarna merah apabila ingin berperang sampai mati. Dengan pedang yang diberi oleh Rasulullah saw, beliau akan sentiasa berada di saf hadapan.

Setelah kedua tentera Muslimin dan Musyrikin berhadapan di antara satu sama lain, keluar seorang tentera Musyrikin dengan menunggang unta  mencabar pihak lawan dengan berkata: “Siapa yang akan lawan satu sama satu?” Beliau berteriak begitu sebanyak tiga kali.

Kemudian keluar az-Zubair bin al-‘Awwam r.a maju melompat ke atas untanya. Bergelutlah mereka di atas unta sehingga kedua-duanya jatuh ke bawah dengan kedudukan az- Zubair berada di atas tentera Musyrikin itu. Dengan cepat az-Zubair membunuhnya dan kemenangan berpihak kepada kaum Muslimin. Rasulullah saw bersabda:
“Bagi tiap-tiap seorang Nabi (tentu) ada pembantunya, dan bahawasanya pembantuku (ialah) Zubair.”

Kemudian az-Zubair kembali ke barisan tentera Muslimin. Seterusnya keluar pula  Thalhah bin Abi Thalhah al-Badr ke tengah-tengah hadapan kedua-dua tentera seraya berkata: “Siapa yang akan lawan satu sama satu”? Beliau berteriak begitu berulang kali. Tetapi tiada sambutan di pihak Muslimin. Oleh Thalhah berteriak lagi: “Hai pengikut-pengikut Muhammad! Kamu semua telah menyangka bahawa Tuhan mencepatkan kita dengan pedang kamu ke neraka dan mencepatkan kamu dengan petang kita ke syurga? Maka dari itu siapakah seorang dari kamu mempercepatkan kita dengan pedangnya ke neraka atau kami mencepatkan dia dengan pedang kita ke syurga? Sungguh kamu berdusta. Demi Latta dan ‘Uzza, kalau kamu semua tahu betul-betul begitu, niscaya keluarlah seorang daripadamu kepada kita sekarang.”

Mendengarkan kata-kata yang sombong itu, Ali bin Abi Thalib pun keluar untuk bertanding dengan Thalhah. Saidina Ali telah memukul kakinya dengan kuat sehingga terputus. Kemudian ditinggalkan Thalhah dalam keadaan memalukan tanpa membunuhnya.

Baginda saw bertanya kepada Saidina Ali r.a: “Apa yang melarang kamu membunuhnya?”
Saidina Ali r.a menjawab: “Ya, kerana dia telah menampakkan kemaluannya kepada saya, maka saya kesihan kepadanya.”
Rasulullah saw bersabda: “Bunuhlah”
Maka dengan cepat Saidina Ali r.a kembali ke tempat Thalhah dan membunuhnya.

Seterusnya perlawanan satu lawan satu adalah seperti berikut:
Tentera Quraisy
Tentera Muslimin
Kemenangan
Uthman bin Abu Thalhah
Hamzah bin Abu Muthalib r.a
Kaum Muslimin
Abu Sa’id bin Abu Thalhah
Sa’ad bin Abi Waqqash r.a
Kaum Muslimin
Musafi bin Thalhah(Thalhah yang dibunuh oleh Saidina Ali r.a).
Ashim bin Tsabit r.a
Kaum Muslimin
Harts bin Thalhah(saudara Musafi)
Ashim bin Tsabut r.a
Kaum Muslimin
Khilab bin Thalhah(saudara Musafi dan Harts)
Zubair r.a
Kaum Muslimin
Jallas bin Thalhah(saudara Musafi, Harts dan Khilab)
Thalhah bin Ubaidillah r.a
Kaum Muslimin
Arthah bin Surahbil
Ali bin Abi Thalib r.a
Kaum Muslimin
Suraih bin Qaridh
Hamzah r.a
Kaum Muslimin
Abu Zaid bin ‘Amr
Qazman r.a
Kaum Muslimin
anak Surahbil (saudara Arthah)
Qazman r.a
Kaum Muslimin
Shu’ab (bangsa Habsyi).
Qazman r.a
Kaum Muslimin

Dengan ini seramai 12 orang tentera Musyrikin yang kuat telah terbunuh. Tentera Muslimin belum seorang pun yang mati. Abu Sufyan sebagai ketua tentera Musyrikin telah memesan kepada pemegang bendera mereka supaya betul-betul memegang bendera kerana menang atau kalah bergantung kepada mereka.

Perihal Abu Dujanah

Maka pertempuran tentera Muslimin dan tentera Musyrikin berlaku dengan hebatnya. Abu Dujanah terus menerjang barisan musuh sambil berjalan dengan keadaan yang bongkak. Diketika itu Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya itu berjalan yang Allah murkai akan dia, kecuali di dalam keadaan seperti ini.”

Barang siapa bertemu dengan Abu Dujanah pasti akan menemui kematian. Kepalanya dililit dengan kain merah yang tertera; ‘Pertolongan dari Allah dan kemenangan telah dekat.’

Kemenangan awal kaum Muslimin dan Kesyahidan Hamzah r.a

Pertempuran kedua belah pihak sangat hebat. Semangat jihad tentera Muslimin tampak terserlah. Kemaraan mereka seperti air bah yang meruntuhkan benteng pihak musuh. 

Hamzah bin Abdul Muttalib r.a berperang bagaikan singa yang mengganas.  Wahsyi yang diupah untuk membunuhnya melihat Hamzah r.a menumbangkan seorang demi seorang dengan pedangnya.  Akhirnya beliau syahid di tangan Wahsyi yang tepat balingan tombaknya. Diriwayatkan beliau berjaya menumpaskan 31 orang tentera Musyrikin.

Walaupun kaum muslimin mengalami kerugian besar dengan kesyahidan Hamzah, namun tentera Muslimin yang sedikit bilangannya itu masih lagi menguasai situasi peperangan seluruhnya.

Wanita-wanita Quraisy tidak henti-henti membangkitkan semangat juang kaum lelaki mereka, sambil memukul gendang dan memberi galakan untuk berperang bermati-matian. Hindun binti Uthbah, isteri kepada Abu Sufyan sebagai ketua wanita Quraisy melaungkan syair-syair pembakar semangat. Namun begitu, tentera Quraisy mula merasa lemah dan patah semangat di hadapan keberanian tentera Muslimin. Akhirnya mereka lari lintang pukang ingin meninggalkan medan peperangan.

Semangat Jihad Kaum Muslimin

Kisah Abu Dujanah(pemuda)

Abu Dujanah telah menunaikan haq pedang Rasulullah saw dengan melibas mana-mana tentera Musyrikin. Beliau terkenal dengan gelaran ‘Ashabatul Hamraa’ yang bermaksud ikatan merah. Ini disebabkan apabila dia mengikat kain merah di atas kepalanya, maka diketahui bahawa dia akan berperang bermati-matian. Tidak akan kisah apa yang akan berlaku ke atas dirinya.

Kisah Hanzhalah bin Abu Amir (pemuda)

Hanzhalah bin Abu Amir r.a seorang pemuda yang telah menyambut seruan jihad walaupun ketika itu beliau baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Oleh kerana bimbang terlepas daripada mendapat syahid, beliau telah keluar rumah dalam keadaan berhadas besar dan telah benar-benar mendapat  syahid yang dicarinya. Rasulullah saw bersabda;
“Hanzhalah bin Abu Amir akan dimandikan oleh para malaikat.”

Kisah Samurah bin Jundab Al-Fazari dan Rafi’ bin Khadij (remaja)

Samurah bin Jundab Al-Fazari dan Rafi’ bin Khadij berumur 15 tahun. Pada mulanya Rasulullah saw tidak mengizinkan mereka berperang kerana masih kecil. Apabila diterangkan bahawa mereka hebat dalam memanah, maka Baginda saw membenarkan mereka menyertai bersama. Manakala 6 orang lagi diminta pulang ke Madinah kerana di bawah umur 15 tahun.

Kisah Anash bin Nadhar (remaja)

Anash bin Nadhar tidak dapat turut serta dalam peperangan Badar. Dikala diterima sebagai perajurit Uhud, beliau sangan gembira dan bertempur bermati-matian sehingga tidak menghiraukan dirinya sendiri. Ketika ajalnya hampir datang, dia berkata kepada temannya Sa’ad bin Mu’az: “Tujuan saya telah tercapai hai kawanku Sa’ad. Bau syurga yang harum semerbak telah tercium oleh saya di kaki bukit Uhud.”

Kisah Husail bin Jabir dan Tsabit bin Waqasy (orang tua)

Husail bin Jabir(nama sebenarnya Al-Yaman ayah kepada Huzaifah bin Al-Yaman) dan Tsabit bin Waqasy ditempatkan bersama kaum wanita dan kanak-kanak kerana sudah tua. Namun mereka berdua berbincang dan bersetuju ke medan perang tanpa pengetahuan yang lain. Moga-moga Allah SWT mengurniakan mereka mati syahid. Tsabit bin Waqasy dibunuh orang-orang Musyrikin. Manakala Husail bin Jabir terkena tikaman kaum Muslimin kerana tidak mengenalinya. Huzaifah bin al-Yaman berkata: “Demi Allah, ini ayahku. Mudah-mudahan Allah mengampuni kamu, kerana Allah Zat yang paling Penyayang.” Rasulullah saw ingin memberi diyat kepadanya, namun beliau menyedekahkan diyatnya kepada kaum Muslimin. Ini menyebabkan beliau bertambah baik disisi Rasulullah saw.

Kisah Mukhairiq (yahudi)

Mukhairiq adalah seorang Yahudi Bani Tsa’labah bin Al-Fithyaun. Beliau berkata: “Hai semua orang-orang Yahudi, demi Allah kamu telah mengetahui bahawa membantu Muhammad adalah kewajipan kamu.”
Mereka berkata: “Hari ini hari Sabtu.”
Mukhairiq menjawab: “Tiada hari Sabtu bagi kamu.” Kemudian dia terus mengambil pedang dan bekalannya seraya berkata lagi: “Jika aku meninggal dunia, hartaku menjadi milik Muhammad. Ia bebas menggunakannya untuk apa saja yang diinginkanya.”
Beliau telah berjuang bersama Rasulullah saw hingga syahid. Rasulullah saw bersabda: “Mukhairiq adalah orang Yahudi yang paling baik.”

Kisah Amr bin Al-Jamuh (cacat anggota)

Amr bin Al-Jamuh adalah seorang yang pincang. Beliau mempunyai empat orang anaknya yang gagah berperang seperti singa di kebanyakan perang bersama Rasulullah saw. Mereka telah menghalangnya dari turut ke Perang Uhud dengan berkata: “Sesungguhnya Allah SWT telah memaafkanmu.”
Beliau telah mengadu kepada Rasulullah saw. Baginda bersabda: “Adapun engkau, sungguh Allah telah memaafkanmu dan engkau tidak wajib berjihad.”
Kemudian Baginda bersabda kepada anak-anaknya: “Kamu tidak berhak menghalang ayah kamu, mudah-mudahan Allah memberinya mati syahid.”
Oleh itu, Amr bin Al-Jamuh berangkat bersama Rasulullah saw dan telah gugur sebagai syahid.

Situasi peperangan berubah:  tidak tsabat dalam keta’atan

Melihatkan tentera Quraisy mula melarikan diri, tentera pemanah Muslimin teruja dengan harta ghanimah yang ditinggalkan. Mereka mula menuruni bukit meninggalkan tempat perjuangan yang telah ditetapkan oleh Rasulullah saw. Ada dikalangan mereka memanggil-manggil mereka supaya tidak turun daripada bukit itu selagi tidak menerima arahan daripada Baginda saw.

Di ketika itu, tentera musyrikin yang di ketuai oleh Khalid bin al-Walid telah mengambil kesempatan itu untuk menyerang tentera Muslimin dari arah belakang. Melihatkan tentera pimpinan Khalid bin al-Walid yang mara menyerang tentera Muslimin, tentera Quraisy yang melarikan diri itu berpatah balik dan bersemangat semula untuk menyerang dari arah hadapan.  

Ibnu Qam’ah menjerit-jerit bertanyakan dimanakah Baginda saw untuk dibunuh. Mush’ab bin Umair yang membawa bendera tentera Muslimin dan rakan-rakan cuba menghalanginya. Ibnu Qam’ah berjaya membunuh Mush’ab bin Umair yang disangkanya adalah Rasulullah saw. Sambil berlari-lari beliau menjerit dan mengulangi dengan bangga perkataan: “Muhammad telah terbunuh!”

Tentera Muslimin berpecah

Akibat daripada itu, tentera Muslimin menjadi kucar-kacir. Sebahagiannya melarikan diri menuju berhampiran dengan Kota Madinah. Merasa malu untuk masuk ke dalam Kota Madinah.

Sebahagian besar masih lagi bertempur dengan bersemangat. Tsabit bin Dah-dah memperingatkan sahabat- sahabatnya: “Hai para kawanku Ansar! Jika betul Nabi Muhammad telah mati terbunuh, biarlah ia mati. Kerana Allah jualah yang tidak mati selama-lamanya! Oleh itu berpeganglah pada agamamu dengan kukuh dan kuat! Allah sendirilah yang akan menolong dan memberi kemenangan kepadamu!”

Sebahagian lagi (ada yang meriwayatkan seramai 14 orang; 7 sahabat Muhajirin dan 7 sahabat Ansar) mempertahankan peribadi Rasulullah saw dengan semangat yang luar biasa.

Dalam keadaan yang kelam kabut itu, orang yang pertama menjumpai Baginda saw ialah Ka’ab bin Malik dengan melihat isyarat daripada Nabi saw. Spontan beliau menjerit: “Wahai kaum Muslimin, bergembiralah. Inilah dia Rasulullah!” sekali lagi Rasulullah saw memberi isyarat bahawa suara yang kerasnya didengari oleh kaum Musyrikin. Sahabat yang berdekatan meluru mengelilingi Nabi saw di dekat Uhud yang dilindungi oleh 14 sahabat menjadikannya 30 orang.

14 orang yang dimaksudkan iaitu golongan Muhajirin terdiri dari Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Umar r.a, Saidina Ali r.a, Abdurrahman bin Auf, Zubair bi Al-Awwam, Sa’ad bin Abi Waqqash dan Abu Ubaidah bin Al-Jarrah. Golongan Ansar terdiri dari Abu Dujanah, Al-Hubab bin Al-Munzir, Ashim bin Tsabit, Al-Hariths bin Ash-Shammah, Sahal bin Hanif, Sa’ad bin Mu’az dan Usaid bin Hudhair.

Pengorbanan Sahabat-Sahabat Rasulullah saw

Tentera Musyrikin yang mendengar jeritan Ka’ab bin Malik juga turut meluru kearah Baginda saw. Para sahabat menjadikan batang tubuh mereka sebagai dinding melindungi Baginda saw daripada serangan musuh.

Abu Dujanah yang berada di hadapan Nabi saw dihujani dengan anak panah sehingga tubuhnya dipenuhi oleh anak panah-anak panah itu.

Abu Thalhah al-Ansari r.a adalah seorang pemanah yang mahir dan cekap mengenai sasaran. Apabila beliau memanah, Rasulullah saw mengangkat badan Baginda bagi melihat di manakah anak panah itu jatuh. Thalhah mengangkat dadanya sambil berkata: “Beginilah, Anak panah musuh tidak akan mengenai mu ya Rasulullah. Aku rela menebus mu dengan ibubapaku(kiasan menunjukkan kasih sayang). Dadaku menjadi pelindung kepada dada mu ya Rasulullah.”

Anas bin Nadhar telah menyerbu ke arah musuh dan berjuang bermati-matian. Akhirnya dia syahid dengan 70 tetakan ditubuhnya, hanya saudaranya mengenalinya melalui jari-jemarinya.

Abdurrahman bin Auf r.a mengalami luka di mulut, gigi hadapannya patah dan mendapat 20 lebih luka di badan. Sebahagiannya di kaki menyebabkan dia tidak mampu untuk bergerak lagi.

Ketika Baginda dikepung oleh orang-orang Quraisy, Baginda berkata: “Siapakah yang sanggup mengorbankan nyawa untuk ku?” Ziyad bin As-Sakan bersama lima orang Ansar tampil melindungi Baginda. Mereka bertempur habis-habisan hingga satu persatu gugur sebagai syuhada’. Kemudian datang sekelompok kaum Muslimin yang akhirnya dapat menyingkirkan orang-orang Musyrik dari sekitar Rasulullah saw. Rasulullah saw bersabda: “Dekatkan dia(Ziyad bin As-Sakan) kepadaku.” Mereka meletakkan Ziyad di atas kaki Baginda sebagai bantal. Kemudian beliau meninggal dunia sewaktu pipinya berada di atas kaki Rasulullah saw.

Panji tentera Muslimin beralih tangan dari Mush’ab bin Umair r.a kepada Ali bin Abi Thalib r.a setelah Mush’ab r.a syahid.

Kecederaan Rasulullah saw

Uthbah bin Abi Waqqash telah melempar sepotong besi  dan batu-batuan kearah Rasulullah saw. Lemparan itu mengenai wajah Baginda saw dan menyebabkan gigi (antara gigi hadapan dan gigi taring) patah, dahi dan bibir pecah serta berdarah. Hathib bin Balta’ah telah mengejar Uthbah dan membunuhnya.

Abdullah bin Syihab Az-Zuhri juga turut melempar batu-batu kearah Rasulullah saw sehingga melukai dahi, mematahkan gigi dan menyebabkan gigi tersebut tertusuk bibir Baginda saw.

Ibnu Qami’ah pula melemparkan dua bulatan besi berbentuk cincin daripada baju besi kearah Baginda saw, lemparan itu berjaya menusuk pipi Baginda saw. Abu Ubaidah bin al-Jarrah mencabut salah satu besi sehingga gigi depannya tercabut dan mencabut besi yang satu lagi dengan gigi depan yang lain dan tercabut juga menyebabkan kedua-dua gigi depannya tercabut.  

Diketika itu juga datang Ubayya bin Khalaf yang bertopeng besi di atas kudanya bernama ‘Ud. Beliau menerobos kepungan sahabat sambil berkata: “Mana orang yang mendakwa dirinya Nabi itu, hendaklah dia melawan aku, jika dia benar-benar seorang Nabi, tentu aku dibunuh olehnya. Mari maju melawan aku!” Mendengarkan suara Ubayya yang bongkak itu, Baginda saw memberi isyarat kepada sahabat supaya membiarkan dia mendekatinya. Tetapi belum sempat dia menghampiri, Baginda saw telah mengambil tombak kepunyaan Hariths bin Ash-Shammah dan melontarkannya ke arah Ubayya. Lontaran itu mengenai lehernya sehingga dia jatuh dari atas kudanya. Ubayya kembali menaiki kudanya dan berlalu menuju ke tempat kaumnya dalam keadaan tercedera. Beliau telah mati dalam perjalanan ke Makkah.

Rasulullah saw berdo’a: “Ya Allah, aku memohon keuzuran kepada Engkau daripada perbuatan mereka(kaum Muslimin) itu, dan aku berlepas diri kepada Engkau daripada apa yang didatangkan oleh kaum Musyrikin.”

Selanjutnya Baginda saw bersabda: “Bagaimana kaum boleh berbahagia kalau mereka melukai wajah Nabi mereka padahal dia mengajak mereka kepada Tuhan mereka.”  -HR Bukhari dan Muslim

Berkait dengan itu, Allah SWT menurunkan firman-Nya:
“Tidak ada sedikit pun campur tanganmu dalam urusan mereka itu atau Allah menerima taubat mereka atau mengazab mereka, kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang zalim. Kepunyaan Allah apa yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dia memberi ampun kepada siapa yang Dia kehendaki; Dia menyeksa siapa yang Dia kehendaki; dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” QS –(Ali ‘Imran:128-129)

Rasulullah saw juga bersabda: “Amat keras murka Allah atas orang yang oleh Nabi saw telah dibunuhnya di jalan Allah; amat sangat murka Allah atas orang-orang yang melukai muka Nabi Allah.” – HR Bukhari dari Ibnu Abbas r.a

Langkah mempertahankan diri : Naik ke Bukit Uhud

Rasulullah saw bergerak kearah bukit Uhud. Tiba-tiba Baginda saw terjatuh ke dalam salah satu lubang perangkap yang dibuat oleh Abu Amir. Kedua lutut Baginda saw terluka dan jatuh pengsan. Ali bin Abu Thalib memegang tangan Rasulullah saw dan Thalhah bin Ubaidillah mengangkat Baginda hingga Baginda berdiri tegak. Malik bin Sinan yang tidak lain ialah Abu Sa’id Al-Khudri mengusap darah dari wajah Baginda dan menelannya. Rasulullah saw bersabda: “Barang siapa yang darahnya menyentuh darahku, ia tidak akan disentuh neraka.” 

Melihatkan kecederaan yang berlaku ke atas Rasulullah saw, tentera Muslimin mula mengatur serangan ke atas musuh dan bertekad bahawa lebih baik hancur dalam menyerang daripada hancur binasa diserang musuh.

Rasulullah saw terus bergerak ke bukit Uhud. Kemudian Baginda saw mencari air yang berdekatan untuk membasuh darah dan kotoran pada tubuhnya. Air yang dijumpai agak berbau. Oleh itu Baginda saw tidak meminumnya. Diketika itu Baginda saw dapati beberapa orang Quraisy sedang mengintai-ngintai mencari peluang untuk menyerang. Maka baginda saw meminta beberapa orang sahabat mengusir mereka daripada atas bukit. Akhirnya mereka dapat diusir turun.

A.   GAZWAH UHUD BERAKHIR

Kekuatan dan keberanian tentera Muslimin tidak menyusut walaupun ramai di antara mereka cedera. Uthman bin Abdullah dari pihak Musyrikin cuba datang menyerang tetapi dapat ditewaskan oleh Harts bin Shammah dan Abu Dujanah. 

Muslimah yang terlibat dalam peperangan

Ummu Umarah yang mengikuti suaminya ke peperangan itu membantu mengambil air untuk tentera Muslimin. Dilihat olehnya keadaan Rasulullah saw, beliau pun turut serta menangkis serangan musuh sehingga tubuhnya dicederakan pada 12 tempat. Begitu juga Ummu Aiman, bertugas sebagai mengangkat air untuk tentera tetapi melibatkan diri dalam pertempuran sehingga berjaya membunuh seorang Musyrikin yang bernama Hubab bin Arafah.

Rahmat Allah SWT dengan rasa mengantuk

Sedang Baginda saw dan para sahabat membersihkan luka dan mengubatinya, tiba-tiba naik ke atas bukit Khalid bin Al-Walid dan pasukan pimpinannya untuk menyerang kaum Muslimin. Saidina Umar bin Al-Khatab bersama sebarisan tentera Muslimin bergerak menghalau mereka menuruni bukit.

Tentera Muslimin mengalami keletihan yang teruk. Dengan rahmat Allah SWT, mereka rasa tenang dan mengantuk. Mereka terlelap sehingga pedang terlepas dari genggaman mereka.
Allah SWT berfirman:
“Kemudian, selepas kamu ditimpa perkara yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan daripada kamu(yang benar beriman, lalu mereka tertidur sehingga pedang mereka terlepas daripada genggaman).” QS (Ali ‘Imran:154)

Akibat keletihan yang teruk, Rasulullah saw yang berbaju besi di depan dan belakangnya mula merasai lemah. Baginda gagal untuk  memanjat sebuah batu di hadapannya. Kemudian Thalhah bin Ubaidillah memangku dan mengangkat Baginda saw sehingga mampu berdiri tegak. Disebabkan bantuan Thalhah ini, Rasulullah saw bersabda: “Thalhah wajib masuk syurga.”

Rasulullah saw juga pernah bersabda: “Barangsiapa yang ingin melihat orang syahid berjalan di atas muka bumi, hendaklah ia melihat Thalhah bin Ubaidillah.”

Peperangan dihentikan oleh pihak Musyrikin

Melihatkan semangat dan kekuatan tentera Muslimin, kaum Musyrikin mengambil keputusan untuk berundur dan menamatkan pertempuran.

Pada waktu zohor, Rasulullah saw mengimami solat secara duduk. Kemudian terdengar suara Abu Sufian berseru dengan suara yang keras: “Apakah pada kaum ada Ibnu Abi Kabsyah?” Yang dimaksudkan ialah Nabi saw. Baginda saw meminta para sahabat tidak menjawab sehingga seruan diutarakan sebanyak tiga kali.

Kemudian kedengaran Abu Sufian bertanya lagi: “Apakah pada kaum ada Ibnu Quhafah?” Yang dimaksudkan ialah Saidina Abu Bakar r.a. Rasulullah saw meminta para sahabat tidak menjawab.

Kemudian kedengaran Abu Sufian bertanya lagi : “Apakah pada kaum ada Ibnu Khatab?” Yang dimaksudkan ialah Saidina Umar r.a. Rasulullah saw juga meminta para sahabat supaya tidak menjawab seruan itu.

Lalu Abu Sufian berkata: “Sungguh mereka telah mati terbunuh. Maka seandainya mereka masih hidup, niscaya mereka menjawab.”

Saidina Umar r.a bangkit dan menjawab: “Dustalah kamu hai seteru Allah! Mudah-mudahan Allah mengekalkan atas kamu barang yang menghinakan kamu!”

Abu Sufian menyambut: “Menanglah(agama) Hubal! Mulialah(agama) Hubal!”

Mendengarkan yang demikian, Rasulullah saw meminta Saidina Umar r.a menjawab: “Allah yang Maha Mulia dan Maha Tinggi! Tidak ada selain-Nya.”

Abu Sufyan menyahut: “Bagi kita ada Uzza dan bagi kamu tidak ada Uzza.”

Nabi saw bersabda kepada Saidina Umar r.a: “Katakanlah oleh kamu: Allah penolong kita, dan tidak ada penolong bagi kamu!”

Abu Sufyan berkata: “Hari ini dengan hari(perang) Badar, dan perang itu berganti-ganti.” Bermaksud peperangan Uhud adalah balasan dari peperangan Badar.

Saidina Umar r.a menyahut dengan keras: “Tidak sama! Kematian kita dalam syurga dan kematian kamu dalam neraka.”

Kemudian Abu Sufian memanggil Saidina Umar r.a mendekatinya. Rasulullah saw merelakan untuk melihat apakah yang dikehendaki olehnya.

Abu Sufyan bertanya kepada Saidina Umar r.a: “ Hai Umar, Muhammad telah terbunuh bukan?”

Saidina Umar r.a menjawab: “Demi Allah, tidak! Dan sesungguhnya beliau (Nabi) sungguh mendengar perkataan kamu sekarang!”

Abu Sufyan berkata: “Kamu lebih benar dan lebih baik daripada Ibnu Qam’ah.” Dia menyambung dengan sombong: “Tahun depan aku berjanji dengan berperang lagi di Badar!”

Rasulullah saw meminta Saidina Umar menjawab: “Ya, itulah perjanjian di antara kita dan kamu!”

Kemudian Abu Sufyan berlalu. Maka peperangan Uhud pun berakhir. Namun begitu, Rasulullah saw merasai ragu-ragu kerana tidak mungkin tentera yang besar dari pihak musuh akan mengundurkan diri. Oleh itu Baginda saw meminta Saidina Ali r.a mengawasi gerak-geri mereka. Jika mereka menarik kuda-kuda mereka ke arah Selatan dan menaiki unta-unta mereka, maka petunjuk mereka menghala pulang ke Makkah. Jika mereka menarik menaiki kuda-kuda mereka kearah Utara dan menghalau unta-unta mereka, maka petunjuk mereka menyerang Madinah. Jika mereka menghala ke Madinah, tentera Muslimin mestilah menawan mereka.

Apabila diamat-amati oleh Saidina Ali r.a, didapati mereka menarik kuda-kuda mereka dan menunggangi unta-unta mereka menuju ke Selatan. Menunjukkan bahawa mereka bergerak pulang ke Makkah.

Inilah sikap hati-hati Baginda saw yang ditunjukkan.

PENGAJARAN

Musuh Islam
~ Musuh-musuh Islam akan bergabung sesama mereka untuk menentang Islam sebagaimana kaum Musyrikin bergabung dengan Abu Sufyan untuk menentang Rasulullah saw.
~ Mereka sanggup mengorbankan harta benda mereka demi dendam dan kesombongan mereka. Namun pengorbanan mereka adalah sia-sia disisi Allah SWT.

Kaum Munafiq
~Kaum Munafiq seperti Abdullah bin Ubay bin Salul akan memberi banyak alasan untuk tidak menyusahkan dirinya sendiri. Inilah sikap orang Munafiq yang suka berdalih untuk kepentingan dirinya sendiri.
~ Malah mereka akan menyusahkan orang Islam. kaum Munafiq seramai 300 orang menarik diri dari peperangan. Sebenarnya mereka bersifat penakut.

Syahwat dan syaitan
~Syahwat dan pujukan syaitan mampu meruntuhkan sifat tsabat.
~Allah SWT berfirman:
  “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu; wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah lading. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).” QS – (Ali ‘Imran:14)
~ Abu Izzah al- Jumahl sanggup menentang Rasulullah saw semata-mata kerana ditawarkan harta kekayaan dan perlindungan anak-anak. Jasa baik Baginda telah dilupakan.
~Sebahagian pasukan pemanah tentera Muslimin melupakan pesanan Rasulullah saw semata-mata melihat harta ghanimah dan menyangka telah memenangi peperangan.

Mesyuarat
~Bermesyuarat adalah sangat penting mendapatkan keputusan yang baik. Rasulullah saw mengadakan mesyuarat sebelum memulakan peperangan. Walaupun Baginda saw mempunyai pendapat sendiri, keputusan mesyuarat adalah lebih utama.
~Baginda saw menunjukkan sikap tsabat terhadap keputusan mesyuarat dengan bersabda: “Tidak wajar bagi seorang nabi, apabila dia memakai baju perisainya untuk dia menanggalkannya semula, sehinggalah Allah memberikan hukuman antaranya dan musuhnya.”

Tsabat dalam keta’atan
~Tetap teguh dalam keta’atan terhadap pemimpin mampu membawa kepada kejayaan. Sebahagian pasukan pemanah Muslimin telah tidak tsabat dengan arahan Rasulullah saw dan ketua Pemanah yakni Abdullah bin Jubair r.a. Ini menjadi penyebab hilangnya pertolongan Allah SWT. Tentera Muslimin ramai menjadi syahid.

Straregi yang baik
~Setiap gerak-kerja mesti mempunyai strategi yang baik dan teliti. Rasulullah saw membahagikan tenteranya dan menempatkan mereka di tempat yang strategik. Pasukan pemanah mengawal pasukan penyerang dari belakang. Pasukan penyerang pula mahir dalam penggunaan pedang.
~Rasulullah saw tidak membenarkan kaum kafir Yahudi daripada menyertai kumpulan kaum Muslimin. Sikap berhati-hati ini penting supaya tidak membawa masalah yang lebih besar semasa peperangan.
~Sebagai seorang ketua, Rasulullah saw memberi perangsang dan motivasi kepada tenteranya supaya berjiwa besar. Baginda saw telah menawarkan pedang yang dipegang sebagai lambang kekuatan dan bertempur habis-habisan.
~Kelengkapan perang adalah penting untuk membantu kejayaan seperti anak panah, pedang, tombak dan perisai digunakan sebagai pertahanan dalam peperangan. Rasulullah saw sendiri telah memakai dua baju besi sebagai perisai.

Peranan Wanita
~Rasulullah saw bersetuju jika para wanita terlibat dalam memerangi kaum Musyrikin dengan membaling batu kepada mereka melalui tempat yang selamat iaitu dari atas bumbung rumah.
~Para ibu kaum Muslimin sebagai pendorong kepada anak-anak dan suami mereka untuk berjuang mendapatkan syahid.
~Di dalam peperangan Uhud, Nasibah Ummu ‘Umarah al-Ansoriyyah bertugas mengambil air dan memberi minum tentera Muslimin yang telah tercedera. Melihatkan keadaan genting serangan ke atas Nabi saw, beliau telah turut serta berperang melindungi Rasulullah saw. Begitu juga Ummu Aiman.

Kaum Muslimin mencari akhirat berbanding kesenangan dunia
~Semangat jihad kaum Muslimin amat mengkagumkan. Masing-masing tidak ingin melepaskan peluang untuk mendapat syahid dihadapan Allah SWT. Mereka merebut kesenangan hidup di akhirat berbanding kesenangan kehidupan di dunia. Yang muda, kurang 15 tahun ingin ke medan jihad. Yang tua, yang tempang juga tidak ingin melepas peluang untuk berjihad. Yang baru berkahwin pun sanggup meninggalkan isteri dan kesenangan dunia itu semata-mata untuk mengejar syahid kerana Allah SWT.
~Tiada erti kekalahan. Bagi mereka, mereka tetap akan menang. Sama ada menang mendapat syahid atau menang dapat mengalahkan musuh Islam.
~Para sahabat menyayangi Rasulullah saw melebihi sayang mereka kepada diri mereka sendiri. Sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan Baginda saw.

Ghazwah Uhud adalah Ghazwah ujian dan penapisan
~Melalui Ghazwah Uhud ini, terserlah dengan jelas, siapakah yang benar-benar beriman dan siapakah yang kufur atau munafiq.

Allah SWT berfirman:
“Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedangkan mereka kekal di dalamnya dan itulah sebaik-baik orang-orang yang beramal.” QS – (Ali ‘Imran:136)

Maksudnya;
Pahala orang-orang yang ta’at. Allah SWT menyebutkan musibah yang menimpa kaum Muslimin, ujian yang terjadi pada mereka, pembersihan terhadap apa yang ada pada mereka, dan menunjukkan beberapa orang dari mereka menjadi syuhada’, Allah berfirman menghiburkan mereka, menjelaskan kepada mereka apa yang mereka kerjakan, dan apa yang Dia kerjakan pada mereka.

Allah SWT berfirman:
“Jika kamu(di Perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada Perang Badar) mendapat luka yang serupa, dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia.” –QS (Ali ‘Imran:140)

Maksudnya:
Aku kitarkan di antara manusia untuk proses ujian dan pembersihan.

Setelah itu Allah SWT berfirman:
“Dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu djadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada’, dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.” – QS (Ali ‘Imran:140)

Maksudnya:
Agar Allah SWT membezakan antara orang-orang Mukmin dengan orang-orang Munafiq dan memuliakan orang-orang Mukmin dengan menjadikan mereka sebagai syuhada’. Orang Munafiq menampakkan keta’atan dengan mulut sedangkan hati mereka terus- menerus bermaksiat.

Kemudian Allah SWT berfirman:
“Dan agar Allah membersihkan orang-orang beriman, dan membinasakan orang-orang yang kafir.” – QS (Ali ‘Imran:141)

Maksudnya:
Allah SWT menguji orang-orang yang beriman kerana ingin membersihkan mereka dengan ujian yang terjadi pada mereka, dengan kesabaran dan keyakinan mereka. Dengan ini Allah SWT membatalkan ucapan orang-orang Munafiq dengan mulut mereka yang tidak bersumber dari hati mereka sehingga terlihat jelas kekafiran mereka yang selama ini mereka tutup-tutupi.

Kemudian Allah SWT berfirman:
“Apakah kamu kira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang sabar.” – QS (Ali ‘Imran:142)

Maksudnya:
Apakah kamu kira kamu masuk syurga dan mendapatkan balasan kemuliaan dari-Ku, padahal Aku belum menguji kamu dengan penderitaan dan hal-hal yang tidak menyenangkan sehingga dengan cara seperti itu Aku mengetahui kejujuran kamu dengan beriman kepada-Ku dan bersabar atas apa saja yang menimpa kamu di jalan-Ku.

~ Kaum Muslimin diuji dengan berita kewafatan Rasulullah saw dalam peperangan. Siapakah di antara mereka yang terus berjuang dan menegakkan Islam selepas ketiadaan Baginda. Inilah tugas Khalifah, iaitu mengambil tugas Rasul selepas kewafatannya. Perlu bersikap tsabat.

Allah SWT berfirman:
“Muhammad tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang? Barang siapa berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun dan Allah akan member balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” – QS (Ali ‘Imran:144)

Maksudnya:
Apakah jika Muhammad meninggal dunia atau terbunuh, kamu keluar dari agama Islam, menjadi kafir seperti sebelumnya, meninggalkan jihad melawan musuh, meninggalkan Kitab Allah, dan meninggalkan agama-Nya yang ditinggalkan nabi kepada kamu? Padahal Muhammad telah menjelaskan kepada kamu dalam apa yang ia bawa dari-Ku bahawa ia akan mati dan meninggalkan kamu!

Taubat untuk Keampunan Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
~ Setiap Muslim, apabila tersedar dari kesilapan maka bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Sesungguhnya Allah SWT Maha menerima taubat hamba-hamba-Nya yang berdoa kepada-Nya.

Allah SWT berfirman:
“Tidak ada doa mereka selain ucapan, ‘Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” – QS  (Ali ‘Imran:147)

Maksudnya:
Ucapkan seperti mereka ucapkan, ketahuilah bahawa musibah itu terjadi kerana dosa-dosa kamu. Mintalah ampunan kepada Allah sebagaimana mereka meminta ampunan kepada-Nya. Berjalanlah di atas agama kamu seperti mereka berjalan di atas agama mereka. Janganlah kamu murtad dari agama kamu, mintalah Allah mengukuhkan kaki-kaki kamu seperti mereka meminta hal yang sama kepada-Nya. Dan mintalah pertolongan kepada-Nya atas orang-orang kafir, kerana itu semua termasuk ucapan para pengikut nabi yang telah terbunuh dan mereka tidak berbuat seperti perbuatan kamu.

Menentang orang yang menghina Allah SWT dan agama-Nya
~Rasulullah saw tidak meminta para sahabat menjawab seruan Abu Sufyan tentang diri mereka tetapi Baginda saw meminta Saidina Umar r.a bersuara apabila Abu Sufyan menghina Allah SWT dan agama-Nya dengan kata-kata: . “Menanglah(agama) Hubal! Mulialah(agama) Hubal!” dan seterusnya.
~Kepayahan Rasulullah saw dan para sahabat Baginda saw semata-mata kerana mempertahankan Allah SWT dan agama-Nya. Mereka yakin Allah SWT pasti membantu mereka jika mereka ta’at, sabar, dan tsabat dalam perjuangan. Ganjaran daripada Allah SWT adalah sangat besar jika mereka terkorban kerana-Nya.

Wallahu’alam