03 November 2013

6.2 ARBA’IN IMAM AN-NAWAWI: Pemahaman Hadith 18

 

عَنْ أَبِي ذَرٍّ جُنْدَبِ بْنِ جُنَادَةَ، وَأَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم قَالَ: "اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْت، وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقْ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ" . 
رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ [رقم:1987] وَقَالَ: حَدِيثٌ حَسَنٌ، وَفِي بَعْضِ النُّسَخِ: حَسَنٌ صَحِيحٌ.

Terjemahan;

“Dari Abu Zar, Jundub bin Junadah dan Abu Abdurrahman, Mu’az bin Jabal radhiallahu
'anhuma dari Rasulullah saw beliau bersabda : Bertakwalah kepada Allah dimana saja
kamu berada, iringilah keburukan dengan kebaikan niscaya ia akan menghapuskannya
dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik”

(Riwayat Turmuzi, dia berkata hadithnya hasan, pada sebagian cetakan dikatakan
hasan sahih).


Pengenalan;

Hadith ini diriwayatkan oleh dua orang sahabat yang masyhur iaitu Jundub bin Junadah(Abu Zar) dan Mu’az bin Jabal.

Abu Zar r.a pernah menjadi khadam kepada Rasulullah saw sehingga mengetahui banyak rahsia Rasulullah saw dan seorang yang paling memahami al-Qur’an sehingga berakhlak menghampiri akhlak Baginda Nabi saw.

Mu’az r.a pula seorang yang sangat bijak. Ada perbualannya dengan Rasulullah saw menjadi suatu dalil yang menunjukkan bahawa kita boleh berijtihad.


Pemahaman Hadith;

Merujuk kepada hadith ini, terdapat  3 isi pokok yang perlu diperhatikan dan perlu dilaksanakan:

1.      Bertaqwalah kepada Allah swt dimana saja kita berada (Menunaikan Haq Allah swt)
2.      Iringi perbuatan buruk dengan perbuatan baik (Menunaikan Haq Mukallaf)
3.      Berakhlak dengan akhlak yang baik sesama manusia (Menunaikan Haq Hamba)


BERTAQWA KEPADA ALLAH SWT DIMANA BERADA

اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْت
Bertakwalah kepada Allah dimana saja
kamu berada

Terlalu banyak seruan Allah swt di dalam Al-Qur’an meminta kita supaya bertaqwa;

“Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan demi sesungguhnya, Kami telah perintahkan orang-orang yang diberi Kitab dahulu daripada kamu dan juga (perintahkan) kamu, iaitu hendaklah bertakwa kepada Allah dan jika kamu kufur ingkar, maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”  - (An-Nisa’:131)

 “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” – (An-Nisa’:1)

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat (benar dalam segala perkara).” – (Al-Ahzab:70)

Rasulullah saw juga memulakan khutbahnya dengan seruan Allah swt supaya bertaqwa;

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam” – (Aali-‘Imran:102)
Di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda:
“Sesungguhnya Baginda saw telah ditanya; “ Apakah perkara yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam syurga?’ Baginda saw menjawab: ‘Ketaqwaan kepada Allah dan keelokkan budi pekerti(akhlak).” – (HR Imam Ahmad, Ibnu Majah dan at-Tirmizi)


Apakah Maksud Taqwa ?

Maksud asal taqwa ialah seseorang itu meletakkan pelindung yang dapat memelihara dirinya daripada perkara yang ditakuti dan diawasinya. Ini bermakna, ketaqwaan kepada Allah ialah seseorang itu meletakkan `pelindung’  tersebut untuk memelihara dirinya daripada kemarahan, kemurkaan dan balasan siksa Tuhannya yang ditakuti. `Pelindung’ yang dimaksudkan ialah melaksana keta’atan kepada Tuhannya dan menjauhi larangan-Nya.

Bagaimana pula jika seseorang itu bertaqwa (mencari perlidungan) selain daripada Allah swt?

Ketahuilah bahawa ketaqwaan mestilah dikaitkan dengan Allah ‘Azza wa jalla. Tidak boleh disandarkan kepada yang lain selain daripada Allah swt.

Baginda saw bersabda;

“Allah Ta’ala berfirman (dalam sebuah hadith qudsi); Akulah yang berhak ditaqwakan (dipelihara diri daripada kemurkaan-Ku). Oleh itu, sesiapa yang memelihara dirinya daripada kemurkaan-Ku, lalu dia tidak menyekutukan tuhan yang lain bersama-Ku, maka Aku berhak mengampunkannya.” –(HR at-Tarmizi,Ahmad, ad-Darimi, Ibnu-Majah dan lain-lain. Disahihkan oleh al-Hakim. Diakui oleh az-Zahabi)


Bagaimana untuk mendapat taqwa kepada Allah swt yang sempurna?

Lakukanlah amalan-amalan berikut:

1.    Mengerjakan segala perkara yang wajib dalam agama dan meninggalkan segala perkara yang diharamkan dan diragui (syubhah) atau meninggalkan dosa besar dan dosa-dosa kecil.

Allah swt berfirman;

 “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya). Hendaklah setiap diri (hamba) melihat dan memerhatikan apa yang telah dia sediakan untuk hari esok (Hari Akhirat). Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat meliputi Pengetahuan-Nya dengan segala yang kamu kerjakan.” – (al-Hasyr:18)

2.    Mengerjakan segala amalan sunat dan meninggalkan perkara makruh.
3.    Bersifat ihsan (melakukan ibadat dalam keadaan seolah-olah melihat Allah swt)

Allah swt berfirman;

“Sesungguhnya Allah bersama (dengan menolong) orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang bersifat ihsan (dengan sabar dan ta’at)” – (QS an-Nahl:128)

4.    Tidak syirik dan ikhlas kepada Allah swt.

Mu’az bin Jabal r.a berkata; “Pada Hari Kiamat akan diseru: ‘Dimanakah orang-orang yang bertaqwa?’ Lalu mereka pun bangun di bawah naungan ar-Rahman. Allah swt tidak berhijab dan tidak berselindung daripada mereka. Mereka pun bertanya kepada-Nya; ‘Siapakah orang-orang yang bertaqwa itu?’ Lalu Allah berfirman; ‘Golongan yang memelihara diri daripada syirik dan penyembahan berhala, serta mereka mengikhlaskan ibadat kepada Allah.”

Seseorang Muslim mestilah berusaha untuk mengetahui perkara-perkara yang perlu diawasi (mengetahui dengan ilmu), kemudian memelihara diri daripada perkara-perkara tersebut.


Mengapa perlu bertaqwa kepada Allah swt?

Ketahuilah bahawa taqwa itu sangat besar pengaruhnya. Ia adalah induk kepada segala perkara dan menghimpun segala kebaikan. Diantara kesan-kesan yang akan diperolehi ialah;

1.    Allah swt akan memelihara dirinya.
2.    Allah swt akan mengasihinya.
3.    Allah swt memberi pahala berdasarkan taqwanya.
4.    Allah swt akan menjadikan untuknya jalan keluar daripada segala perkara yang menyusahkannya.
5.    Dirinya tidak akan merasai kesunyian, kebimbangan atau takut di dunia yang fana ini.

Di dalam hadith ini, diminta bertaqwa kepada Allah swt di mana sahaja’. Di mana sahaja bermaksud di tempat tersembunyi atau pun di tempat terang-terangan. Semasa bersendirian atau beramai-ramai.

Allah swt berfirman;

“Tidakkah Tuhan yang telah mencipta (semua makhluk) mengetahui (segala-galanya), sedangkan Dia Maha Halus Ilmu-Nya lagi Maha mendalam Pengetahuan-Nya?” – (QS al-Mulk:14)


Ciri-ciri orang yang bertaqwa kepada Allah swt

1.    Sentiasa ta’at dan tidak menderhakai Allah swt kerana takutkan azab-Nya.
2.    Sentiasa mengingati Allah swt di dalam hatinya (zikir).
3.    Sentiasa bersyukur dan tidak kufur.
4.    Sentiasa dalam keadaan berhati-hati seolah-olah sedang berjalan di jalanan yang berduri.
5.    Sentiasa bermuhasabah diri (menilai diri sendiri).
6.    Tidak memandang rendah kebaikan yang hendak dilakukan walaupun kecil.
7.    Berwaspada kepada keburukkan yang hendak dlakukan walaupun kecil.
8.    Meninggalkan banyak perkara halal kerana takutkan perkara haram (Muttaqin yakni orang yang memelihara diri).
9.    Sentiasa mengharapkan pahala Allah swt.

Allah swt berfirman;

“Tetapi (pemilik) kebaikan (yang benar) ialah orang yang beriman kepada Allah, Hari Akhirat, para malaikat, kitab-kitab dan nabi-nabi. Dia juga menyumbangkan harta sedangkan dia menyayanginya kepada kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, orang yang bermusafir yang keputusan bekalan, orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba abdi. Dia juga mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Begitu juga orang-orang yang menyempurnakan janji mereka apabila mereka membuat perjanjian (dengan Allah atau manusia). Begitu juga orang-orang yang sabar dalam kesempitan, sakit dan semasa teruk bertempur dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (dalam keimanan atau dakwaan kebaikan mereka). Dan mereka itulah juga orang-orang yang benar-benar bertaqwa.” – (QS al-Baqarah:177)

Demikianlah sifat orang yang bertaqwa kepada Allah swt. Ketaqwaan dapat mempengaruhi peribadi seseorang Muslim. Sebaliknya, ketiadaan taqwa kepada Allah swt memberi kesan sebaliknya. Timbul perasaan hasad, pergaduhan, penggunaan riba, tidak amanah dalam perniagaan dan masalah sosial yang tidak dapat dibendung disebabkan tidak menjaga pandangan mata antara bukan mahram.


Bagaimanakah untuk menghadirkan taqwa kepada Allah swt?

Hendaklah berusaha untuk sentiasa merasai dihati bahawa Allah swt dekat dengan dirinya (Muroqobah). Dia juga sentiasa memerhatikannya (menghadirkan sifat ihsan) sehingga menimbulkan perasaan malu terhadap Tuhannya.

Wujudkan perasaan takut kepada Allah swt sehingga perasaan itu dapat mengawal dirinya daripada melakukan dosa besar dan dosa-dosa kecil. Sesungguhnya Allah swt sangat berkuasa dan Allah swt senantiasa mengawasi dan mengetahui segala tindak-tanduk yang dilakukan. Ketahuilah bahawa kerajaan langit dan bumi adalah milik-Nya.

Allah swt berfirman tentang golongan yang bersifat ihsan;

“…..Dan Dia membalas orang-orang yang bersifat ihsan dengan balasan yang paling elok (syurga) iaitu orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji melainkan dosa-dosa kecil (Ia diampunkan dengan menjauhi dosa-dosa besar).” – (QS an-Najm:31-32)

Ulama’ salaf berkata;

a)    Jika kamu menyangka bahawa Allah swt tidak melihat kamu, maka sesungguhnya kamu telah menjadi kafir.
b)   Jika kamu tahu bahawa Allah melihat kamu, namun ia tidak sedikit pun menghalang kamu daripada melakukan maksiat, maka sesungguhnya kamu berani menderhakai Allah swt.
c)    Jika ingin mengawal pandangan mata, sentiasalah mengingati bahawa pandangan Allah swt adalah lebih pantas daripada pandangan kita yang ingin melihat itu.
d)   Jika bersendirian, berkatalah: “Ada yang memerhatikan aku.”

Sentiasalah ingat, bahawa ketaqwaan kepada Allah swt di tempat sulit merupakan tanda kesempurnaan iman. Semua amalan yang dilakukan oleh seseorang tidak akan disia-siakan (tanpa balasan) disisi Allah swt. Sesungguhnya tidak ada sebarang pendiding atau persembunyian yang berguna untuk menghalang kekuasaan-Nya.

Segalanya adalah datang dari Allah swt. Berusahalah, kerana kita hanya diminta oleh-Nya untuk berusaha mencapai ketaqwaan itu. Kecapilah kemanisan iman yang akan diperolehi dari ketaqwaan kepada Allah swt.


IRINGI PERBUATAN BURUK DENGAN PERBUATAN BAIK

 وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا
Iringilah keburukan dengan kebaikan niscaya ia akan menghapuskannya

Sebagai manusia biasa, kecuaian dalam bertaqwa pasti akan berlaku. Maka disarankan melakukan kebaikan mengiringi perbuatan dosa. Inilah akhlak orang yang bertaqwa, apabila ia tergelincir dengan dosa, perasaan takut kepada Allah swt menghantuinya. Lantas ia bertaubat memohon keampunan dan meninggalkan dosa-dosa itu dengan segera.

Keburukan’ yang dimaksudkan ialah perbuatan-perbuatan yang mendatangkan dosa. ‘Kebaikan’ yang dimaksudkan ialah melakukan amalan soleh, memohon keampunan dan bertaubat daripada dosa yang dilakukan.

Allah swt berfirman:

Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu terhadap orang-orang yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilan, kemudian mereka bertaubat sesudah itu serta memperbaiki amalannya, sesungguhnya Tuhanmu sesudah (mereka bertaubat) itu, adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” –(QS al-Nahl:119)


Penghapusan Dosa

Seseorang hamba pasti akan melakukan dosa yang telah ditakdirkan keatasnya, seperti sabda Rasulullah saw;

“Telah ditulis (ditakdirkan oleh Allah swt) ke atas setiap manusia, habuan masing-masing daripada dosa zina. Dia akan memperolehi habuan itu, tanpa dapat dielakkan lagi.” –(HR Al-Bukhori dan Muslim)

Namun Allah swt telah memberi jalan keluar daripada dosa itu melalui taubat dan memohon keampunan-Nya. Usah diteruskan dosa itu berpanjangan. Biarkan syaitan menjadi letih dan kecewa kerana tidak berjaya menyesatkan hamba Allah swt.

Iblis menangis ketika ayat ini diturunkan:

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” – (QS Aali-‘Imran:135)


Penghapusan dosa besar

1.    Taubat nasuha

Perbuatan keji yang menyebabkan dosa besar akan terhapus dengan bertaubat nasuha  yakni taubat yang sebenar dan jujur, tanpa kembali lagi kepada dosa itu dan tanpa sebarang keinginan untuk mengulanginya lagi.

2.    Tidak syirik

Pastikan tiada percampuran dalam keta’atan (syirik). Keta’atan hanyalah kepada Allah swt semata-mata.

3.    Iringi perbuatan buruk dengan perbuatan baik

Iringilah perbuatan dengan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah swt. Semoga amalan-amalan tersebut menghapuskan kesemua kesan dosa yang telah dilakukan.

Allah swt berfirman;

“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – (QS al-Furqon:70)

Imam Ahmad dan at-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar r.’anhuma;

“Sesungguhnya seorang lelaki telah datang menemui Nabi saw, lalu beliau berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya telah melakukan satu dosa besar. Adakah saya masih berpeluang untuk bertaubat?’ Baginda saw pun bertanya; ‘Adakah kamu masih mempunyai ibu?’ Beliau menjawab; ‘Tidak’. Baginda saw bertanya lagi; ‘Adakah kamu mempunyai ibu saudara sebelah ibu?’ Beliau menjawab; ‘Ada’. Baginda saw pun bersabda; ‘Oleh itu, berbaktilah kepadanya.”


Penghapusan dosa kecil

Manakala dosa-dosa kecil akan terhapus jika:

1.    Seseorang itu tidak melakukan dosa besar kecuali jarang sekali, kemudian bertaubat dengannya.

Allah swt berfirman;

“Sekiranya kamu menjauhi dosa-dosa besar yang kamu dilarang melakukannya, nescaya Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (iaitu dosa-dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).” – QS an-Nisa’:31

2.    Seseorang yang apabila melakukan satu dosa kecil, dosa itu tenggelam dalam kebaikan-kebaikannya yang boleh menghapuskan dosa itu.

Allah swt berfirman;

“Dan mereka tidak meneruskan dosa yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (kesalahan dan akibatnya).” – QS Aali-‘Imran:135

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda;

“Solat lima waktu, solat Juma’at hingga solat Juma’at dan Ramadhan hingga Ramadhan menghapuskan dosa yang dilakukan antaranya, selama mana dosa-dosa besar ditinggalkan.” – (HR Imam Ahmad dan Muslim)

Juga daripada Abu Hurairah r.a, Sabda Nabi saw;

“Tidakkah kamu mahu saya tunjukkan kamu kepada amalan yang kerananya Allah akan menghapuskan dosa-dosa kamu dan mengangkat darjat-darjat kamu? Menyempurnakan wudhuk di masa atau tempat yang tidak disukai (masa yang sukar atau tempat yang mencabar seperti sangat sejuk, kesakitan dan seumpanya), memperbanyakkan langkah ke masjid, dan menunggu solat yang lain selepas selesai satu solat.” – (HR Imam Malik dan Muslim)

Jelas disini, perbuatan yang baik dan sukar sehingga menggugat jiwa untuk melakukannya boleh menghapuskan dosa. Di antara perkara yang sukar ialah menahan hawa nafsu dan menghalang daripada kecenderungannya. Kesakitan yang dialami oleh seorang yang syahid boleh menghapuskan dosanya. Oleh kerana mereka beramal soleh dengan lisan dan anggotanya sehingga syahid, maka selain penghapusan dosa, Allah swt juga mengangkat darjat mereka disisi-Nya. Subhanallah, bersabarlah.

Selain daripada itu, perbanyakkan berzikir (mengingati dan menyebut kebesaran Allah swt) kerana ia juga termasuk perbuatan baik yang boleh menghapuskan dosa kecil.

Rasulullah saw bersabda;

“Sesiapa yang mengucapkan: (لا إله إلا الله وحده لا شريك له ) sebanyak seratus kali, maka seratus kebajikan ditulis untuknya. Seratus kejahatan dipadam daripadanya. Ia juga menyamai pahala pembebasan seratus orang hamba.” – (HR Imam Malik, al-Bukhori dan Muslim).

Allah swt berfirman;

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (134) Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (135)Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. (136)” – (QS Aali-‘Imran:133-136)


Penerimaan taubat terserah kepada Allah swt.

Hanya Allah sahaja yang layak menerima taubat dan menghapuskan dosa-dosa hamba-Nya. Ketidaktahuan ini boleh menimbulkan perasaan takut kepada-Nya. Merasai dosa yang ada bagaikan gunung yang akan menghempap. Bimbang takut-takut taubat tidak diterima. Keadaan seperti ini menimbulkan kesungguhan dalam beramal dengan amalan-amalan soleh.

Kita perlu yakin bahawa terdapat keistimewaan bagi orang-orang yang bertaqwa. Bertaubatlah, semoga mendapat rahmat Allah swt.

Allah swt berfirman:

“ Dan Allah membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang terbaik (syurga). (Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan yang keji (seperti zina) kecuali salah-silap yang kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhan kamu adalah Maha Luas keampunan-Nya.” – (QS An-Najm:31-32)


Bagaimana dengan orang yang membiarkan dosanya berpanjangan?

Dalam Musnad al-Imam Ahmad, diriwayatkan daripada hadith ‘Abdullah bin ‘Amr r. ‘anhuma, bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Kasihanilah (makhluk Allah), nescaya kamu dikasihani. Ampunkanlah (kesalahan orang lain kepada kamu), nescaya kamu diampunkan. Lembah Wail (Lembah di dalam neraka) bagi orang-orang yang telinga mereka seperti corong air kepada kata-kata yang baik. Lembah Wail juga bagi orang-orang yang berterusan dalam dosa yang mereka lakukan, sedangkan mereka mengetahui (kesalahan dan akibat perbuatan mereka).

Seseorang yang mendengar peringatan dengan telinga kiri kemudian keluar melalui telinga kanan (bagai corong air) tanpa mengambil pengajaran dengannya (berilmu tetapi tidak mengamalkannya) akan dimasukkan ke dalam neraka. Begitu juga bagi mereka yang membiarkan dosanya berpanjangan.


Meyakini penerimaan taubat

Allah swt berfirman;

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. – (QS al-Tahrim:8)

‘Aisyah r.’anha meriwayatkan, Nabi saw bersabda:

“Sesungguhnya apabila seseorang hamba mengaku dengan dosanya kemudian bertaubat, pasti Allah menerima taubatnya.” – (HR Al-Bukhori, Muslim dan Ahmad)

Taubat seseorang pasti diampunkan dengan syarat taubatnya adalah taubat nasuha dan tidak mensyirikkan Allah swt. Kemudian iringi perbuatan buruk dengan perbuatan baik.


Bagaimanakah Penghapusan Dosa itu berlaku?

Dihari Pembalasan (Kiamat), pahala dan dosa akan ditimbang. Jika pahala melebihi dosanya satu pahala sahaja, ia akan dimasukkan ke dalam syurga.

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Ibnu Lahi’ah; “Sa’id bin Jubair berkata lagi: ‘Bagi setiap orang yang baik dan orang yang jahat, satu dosa sahaja ditulis untuk setiap satu amalan jahat. Sementara sepuluh pahala pula ditulis untuk setiap satu amalan baik. Apabila tiba Hari Kiamat, Allah Ta’ala akan menggandakan lagi segala amalan baik orang mukmin, sebanyak sepuluh kebaikan untuk satu kebaikan. Lalu Allah swt menghapuskan daripadanya sepuluh kejahatan dengan setiap satu kebaikan. Maka sesiapa yang amalan baiknya melabihi amalan jahatnya sekali pun seberat zarrah, dia akan memasuki syurga.”

Melalui firman Allah swt di dalam surah az-Zalzalah:7-8;

“Maka sesiapa yang melakukan satu kebaikan (sekalipun) seberat zarrah, dia akan melihatnya (dalam buku amalannya serta dibalas dengannya). Dan sesiapa yang melakukan kejahatan (sekali pun) seberat zarrah, dia akan melihatnya (dalam buku amalannya serta dibalas dengannya).”

Ulama' tafsir menyatakan, Allah swt mengampunkan dosa orang yang bertaqwa tetapi tidak menghapuskannya dari catatan di dalam buku catatannya sebelum ia dibaca oleh tuannya di akhirat kelak. Ia ditutup daripada pengetahuan seluruh makhluk dengan rahmat-Nya. Hamba-Nya gembira apabila membaca amalan baik, tetapi merasa malu, takut dan sedih dengan Tuhannya apabila membaca amalan buruk. Allah swt menunjukkan keampunan dan penghapusan dosa-dosanya itu. Hambanya kemudian sujud kerana bersyukur.


BERAKHLAK DENGAN AKHLAK YANG BAIK SESAMA MANUSIA

وَخَالِقْ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik

Pergaulan yang berakhlak sesama manusia merupakan ciri orang yang bertaqwa. Tidak cukup dengan hanya menunaikan haq hamba kepada Allah swt. Seorang yang bertaqwa juga perlu menunaikan haq sesama manusia.


Kepentingan Akhlak Yang Mulia

1.    Menunjukkan iman yang sempurna.

Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah saw telah bersabda;

“Orang beriman yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya di kalangan mereka.” – (HR Imam Ahmad, Abu Dawud dan at-Tarmizi.)

2.    Paling berat dalam timbangan dan dapat mencapai darjat orang yang berpuasa dan beribadat pada waktu malam.

Daripada Abu ad-Darda’ r.a, Rasulullah saw bersabda;

“Tiada sesuatu pun yang diletakkan di dalam neraca (pada Hari Kiamat) lebih berat daripada keelokan akhlak. Sesungguhnya orang yang memiliki keelokan akhlak mencapai dengan keelokan akhlaknya itu akan darjat orang yang banyak berpuasa dan bersembahyang.” – (HR Imam Ahmad,Abu Dawud dan at-Tarmizi).

3.    Disayangi oleh Allah swt dan tempat duduknya merupakan yang paling hampir dengan para nabi.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr r.’anhuma, Rasulullah saw bersabda;

“Sesungguhnya Baginda saw bertanya: ‘Tidakkah kamu mahu saya beritahu kamu tentang orang yang paling dikasihi oleh Allah dan tempat duduknya pula paling hampir denganku pada Hari Kiamat?’ Mereka menjawab: ‘Ya, beritahulah kepada kami’. Lalu Nabi saw bersabda: ‘Iaitu orang yang paling baik akhlaknya di kalangan kamu.” – (HR Ibnu Hibban)

4.    Memperolehi tempat yang tinggi di syurga.

Daripada Abu Umamah r.a, Rasulullah saw bersabda;

“Saya menjamin sebuah mahligai di tempat yang paling tinggi di Syurga untuk sesiapa yang elok akhlaknya.” – (HR Abu Dawud)


Apakah Itu Keelokkan Akhlak?

Ulama’ menyatakan bahawa keelokkan akhlak itu ialah:

1.    Pemurah
2.    Berkorban
3.    Tabah
4.    Bermanis muka
5.    Menyumbang perkara yang baik dan menghalang perkara yang menyakiti orang lain
6.    Tidak marah
7.    Tidak bercakap kasar
8.    Memaafkan orang yang tersilap kecuali untuk mendidik atau melaksanakan hudud
9.    Menuntut bela bagi pihak yang dizalimi tanpa melebihi batas
10. Menyambung silaturahim

Daripada Mu’az bin Anas al-Juhani, Rasulullah saw bersabda;

“Sifat mulia yang paling baik ialah kamu menyambung hubungan dengan orang yang memutuskan hubungannya dengan kamu, kamu memberi kepada orang yang tidak member kepadamu, dan kamu memaafkan orang yang mencercamu.” – (HR Imam Ahmad)


Saranan Hadith

1.    Bertaqwa dan bermuraqobah kepada Allah Ta’ala.
2.    Memperbanyakkan amalan soleh bagi menghapuskan dosa-dosa kecil.
3.    Memperbanyakkan istighfar dan zikrullah.
4.    Bertaubat daripada dosa-dosa besar.
5.    Bergaul dengan manusia dengan akhlak yang mulia.


Wallahu’alam