14 November 2011

4.10 SURAH QURAISH - سُوۡرَةُ قُرَیش

(Makkiyah)

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

لِإِيلَـٰفِ قُرَيۡشٍ (١) إِۦلَـٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ (٢) فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَـٰذَا ٱلۡبَيۡتِ (٣) ٱلَّذِىٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٍ۬ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۭ (٤)

“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Mekah) (1) (Iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam), (2) Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, (3) Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan.(4)”


Latar belakang surah:
Surah ini dinamakan sebagai surah Quraisy kerana ia menceritakan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada orang-orang Quraisy.

Surah Quraisy adalah kesinambungan dari surah Al-Fil. Dalam mushaf Ubay, kedua-dua surah ini dianggap satu surah sahaja. Tetapi dalam mushaf al-Imam, surah ini telah dipisahkan dari surah Al- Fil.

Surah Quraisy ini dibaca mengikut turutan susunan Musyhaf. Ia dibaca selepas surah al-Fi yang menceritakan tentang tentera bergajah. Ini adalah tauqifinya (susunan daripada Allah swt).

Apakah perkaitan antara tentera bergajah dengan kaum Quraisy? Pada zaman Nabi saw, kaum Quraisy tidak ingin mengikut seruan Baginda saw. Mereka adalah ‘penanda aras’ kepada orang-orang Arab yang lain tentang kebenaran pegangan mereka.Jika orang Quraisy beriman, orang-orang Arab yang lain akan turut beriman. Ini dapat dilihat dari peristiwa orang-orang Arab yang berbondong-bondong masuk Islam setelah kaum Quraisy masuk Islam selepas Fathu Makkah. Ini telah dinyatakan dalam surah al-Nasr.

Peristiwa kemenangan orang-orang Quraisy terhadap tentera bergajah menyebabkan mereka dihormati oleh seluruh penduduk Semenanjung Tanah Arab. Mereka beranggapan tidak mungkin kaum Quraisy dibantu oleh tentera Allah swt (iaitu burung-burung) jika pegangan mereka salah. Kaum Quraisy menjaga Ka’abah dan mendapat perlindungan Allah. Perlindungan ini membawa maksud pengiktirafan Allah kepada mereka. Walaupun dikala itu mereka masih menyembah berhala-berhala di sekeliling Ka'abah tersebut.

Memang menjadi tabi’at manusia melihat sesuatu perkara mengikut pandangan mata. Jika dia mendapat pertolongan Allah, tidak mungkin dia salah. Jika dia ramai pengikut, tak mungkin dia salah. Kaum Quraisy mendapat pertolongan Allah, sudah tentu Allah sayang kepada mereka.

Orang-orang Quraisy juga bebas kemana sahaja mereka pergi. Sama ada untuk perniagaan, kunjungan persahabatan atau melancong. Tiada siapa yang berani mengganggu mereka. Lanun pengacau jalanan pun tidak berani menyekat mereka. Allah telah memberi penghormatan dan rezeki yang luas kepada mereka.

Firman Allah swt:

أَوَلَمۡ يَرَوۡاْ أَنَّا جَعَلۡنَا حَرَمًا ءَامِنً۬ا وَيُتَخَطَّفُ ٱلنَّاسُ مِنۡ حَوۡلِهِمۡ‌ۚ أَفَبِٱلۡبَـٰطِلِ يُؤۡمِنُونَ وَبِنِعۡمَةِ ٱللَّهِ يَكۡفُرُونَ (٦٧)

“Tidakkah mereka melihat Kami jadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman sentosa, sedangkan manusia (di negeri-negeri) di sekeliling mereka rompak-merompak.” – QS Al-Ankabut: 67

Nabi Ibrahim pernah berdo’a;

وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِـۧمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنً۬ا وَٱرۡزُقۡ أَهۡلَهُ ۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٲتِ مَنۡ ءَامَنَ مِنۡہُم بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ ۥ قَلِيلاً۬ ثُمَّ أَضۡطَرُّهُ ۥۤ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلنَّارِ‌ۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ (١٢٦)

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab Neraka dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali. (126)” – QS Al-Baqarah:126

Mengikutkan faktor geografi, Tanah Arab adalah kering-kontang dan tiada apa yang istimewa kecuali kewujudan ka’abah. Mereka dikurniakan makanan yang banyak dan buah-buahan sebagai tanda kemewahan.disebabkan Ka’bah, tempat mereka menjadi tumpuan.

Berkat do’a Nabi Ibrahim a.s :

رَّبَّنَآ إِنِّىٓ أَسۡكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِى بِوَادٍ غَيۡرِ ذِى زَرۡعٍ عِندَ بَيۡتِكَ ٱلۡمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجۡعَلۡ أَفۡـِٔدَةً۬ مِّنَ ٱلنَّاسِ تَہۡوِىٓ إِلَيۡہِمۡ وَٱرۡزُقۡهُم مِّنَ ٱلثَّمَرَٲتِ لَعَلَّهُمۡ يَشۡكُرُونَ (٣٧)

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur. (37)” – QS Ibrahim:37

Nabi Ibrahim (berasal dari Iraq) telah membawa isterinya Hajar (berasal dari Mesir) bersama anak mereka Nabi Ismail a.s yang masih bayi ke tengah-tengah padang pasir (kedudukan Ka’abah sekarang). Baginda meninggalkan Hajar dan Ismail dengan hanya berbekalkan sekarung kurma dan sebekas penuh minuman. Nabi Ibrahim a.s kemudianya bergerak semula untuk ke Palestin.

Hajar bertanya kepada suaminya; “ Ya Ibrahim, adakah kamu akan meninggalkan kami di sini?”

Nabi Ibrahim menjawab; “Ya”

Hajar bertanya lagi; “Adakah Tuhanmu menyuruhmu berbuat seperti ini?”

Nabi Ibrahim menjawab; “Ya, Tuhanku menyuruh aku meninggalkan kamu di sini.”

Hajar kemudiannya berkata dengan yakin; “ Jika Tuhanmu menyuruhmu meninggalkan aku dan anak ini di sini, maka Dia tidak akan mensia-siakan kami.”

Kemudian berlaku peristiwa pencarian air oleh Hajar kerana kehausan. Hajar berlari dari bukit Safa ke bukit Marwah sebanyak 7 kali dan akhirnya Allah swt mengurniakan air zam-zam yang merupakan air terbaik berbanding dengan air-air yang lain. Air zam-zam adalah air bertenaga dan barakah.

Setelah kewujudan air zam-zam ini, datanglah kaum Jurhum (orang Arab) daripada Yaman meminta izin dengan Hajar untuk tinggal di kawasan itu. Maka mereka telah berkampung disitu sehingga Nabi Ismail a.s berkahwin dengan gadis Jurhum berketurunan Arab.

Nabi Ibrahim a.s telah datang melawat anaknya sebanyak 4 kali; iaitu dalam peristiwa Nabi Ibrahim a.s menyuruh Nabi Ismail a.s menukar isterinya, ketika pembinaan Ka’abah bersama-sama dan penyembelihan Nabi Ismail a.s sebagai korban.

Nabi Ibrahim a.s membawa agama tauhid disekitar tanah Arab. Oleh itu ramai di kalangan mereka ke Makkah untuk melakukan haji.

Kemunculan berhala di Makkah berpunca dari seorang Quraisy yang ke Syam. Semasa dia melalui suatu tempat di sana, dia melihat patung berhala. Maka dia bertanya; “Ini apa?”

Orang di situ menjelaskan; “Ini adalah patung memperingati nabi-nabi dan orang yang soleh. Kami buat seperti ini untuk mengambil berkat mereka. Kami menghormati mereka.”.

Lama kelamaan, seolah-olah mereka menyembah patung tersebut. Orang Quraisy meminta satu daripada patung-patung itu untuk dibawa pulang ke Makkah, meletakkannya di Ka’abah dan menceritakan kepada penduduk Makkah apakah maksud patung tersebut sebagaimana yang diceritakan kepadanya oleh orang di Syam. Kemudian bertambah ramai yang menyembah patung berhala itu. Orang Arab yang datang membuat haji juga turut membawa pulang berhala ke tempat mereka. Menjadikan patung berhala tersebar dan bertambah banyak sehingga mencapai angka 360 buah yang berada di dalam Ka’abah.

Adakah apa yang dilakukan oleh orang-orang Quraisy ini betul? Sudah semestinya tidak. Oleh itu surah ini diturunkan untuk mengingatkan kaum Quraisy supaya hanya menyembah Allah swt sebagai Tuhan mereka.

Perbincangan Ayat:

Ayat 1 – 2:

لِإِيلَـٰفِ قُرَيۡشٍ (١) إِۦلَـٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ (٢)

“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Mekah) (1) (Iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam), (2)”

Surah ini dikatakan sambungan dari surah al-Fil kerana ia bermula dengan ‘huruf jar’ dan ‘majrur’ iaitu dengan huruf ‘Lam’(ل) .Kebiasaannya, ia bergantung kepada perbuatan sebelumnya. Jika dibaca terjemahannya; “Kerana kebiasaan…” seolah-olah ia tergantung dan berkait dengan peristiwa sebelumnya. Apakah yang telah berlaku sehingga jawapannya; “Kerana kebiasaan..”.

Melihat kepada ayat terakhir surah al-Fil;

فَجَعَلَهُمۡ كَعَصۡفٍ۬ مَّأۡڪُولِۭ (٥)

“Lalu Dia menjadikan mereka binasa seperti daun-daun yang dimakan ulat.(5)”Allah swt menjadikan tentera bergajah binasa seperti daun-daun dimakan ulat. Kerana apa? Kerana ingin mengekalkan kebiasaan orang-orang Quraisy yang hidup aman damai. Mengekalkan kestabilan kehidupan mereka. Kenapa Allah swt tujukan ayat ini kepada orang Quraisy? Kerana Allah swt ingin mengingatkan kepada mereka supaya hanya bertuhankan Allah ‘Azzawajalla sahaja, bukan kepada berhala-berhala mereka sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 3 – 4.

Ayat 3 – 4:

فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَـٰذَا ٱلۡبَيۡتِ (٣) ٱلَّذِىٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٍ۬ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۭ (٤)

“Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, (3) Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan.(4)”

Huruf (فَ ) adalah huruf jar yang menunjukkan penekanan. Allah swt ingin menyatakan bahawa; “Maka kamu mestilah berterusan mengabdikan diri kepada Tuhan rumah(Ka’abah) ini.”

Allah swt telah memberi tiga (3) keistimewaan kepada kaum Quraisy;

1. Pertolongan menentang tentera bergajah.
2. Menghilangkan perasaan takut dan menimbulkan rasa aman walau kemana sahaja mereka pergi.
3. Mendapat ni’mat rezeki yang banyak sehingga tidak merasa lapar.

Kenapa orang-orang Quraisy dapat keistimewaan ini? Kerana Ka’abah-lah mereka mendapat semua ini. Bukan disebabkan mereka itu kaum Quraisy. Bukan juga kerana berhala yang mereka sembah.

Allah swt telah menempelak mereka kerana ingkar dengan seruan Rasulullah saw dan menyuruh mereka menyembah hanya kepada Allah swt, manakala patung-patung berhala itu bukanlah tuhan untuk disembah.

Pengajaran yang boleh diambil:

1. Orang yang hidup senang tidak semestinya betul. Orang yang mendapat pertolongan Allah swt tidak semestinya betul. Berlaku sesuatu keajaiban ke atas diri seseorang tidak semestinya dia betul. Orang yang mendapat karamah tidak semestinya dia betul. Jadi apa yang betul?
Seseorang itu akan betul selagi dia mengikut Al-Qur’an dan sunnah Nabi saw. Bermaksud dia telah mengikut syari’at.

Menghimbau kembali kepada peristiwa orang Islamyang telah kalah dalam peperangan Uhud dan orang Musyrikin telah menang. Kemenangan kaum Musyrikin ini tidak menunjukkan mereka adalah betul. Begitu juga dalam peristiwa-peristiwa aneh atau ajaib yang lain.

Imam Ghazali pernah berkata:

“Apabila kamu melihat seseorang boleh terbang di udara atau boleh berjalan di atas air tetapi dia telah menyalahi sunnah, maka saksikanlah bahawa dia adalah syaitan.”

Orang yang berjubah putih, bersarban dan banyak bertapa di dalam hutan atau gua tidak semestinya dia betul. Kenapa? Sebab dia tidak menunaikan solat Jumaat. Dia telah melanggar syari’at.

Berlaku keajaiban dalam perubatan secara batin. Perawat dapat melakukan pembedahan tanpa menggunakan peralatan seperti pisau bedah dan sebagainya. Pesakit diminta membaca ayat suci al-Qur’an dan berselawat kepada Nabi saw sebelum pembedahan dilakukan. Kemudian perawat dapat mengeluarkan segala usus dalam perut dengan tanpa berlaku pendarahan. Usus yang telah dikeluarkan dimasukkan kembali ke dalam perut dan perut yang dibedah ditutup dengan hanya menyapu tangan perawat keatas bahagian yang terbuka. Kemudian pesakit akan terus dapat bangun berjalan dan sihat. Adakah perawat ini betul atau dia ada karamah? Tidak semestinya betul walaupun dia menggunakan ayat suci al-Quran pada peringkat awal. Satu keajaiban telah berlaku. Tidak mungkin ia satu karamah kerana dia tahu dan pasti apa yang ingin dilakukan. Sedangkan karamah adalah suatu yang tidak pasti berlaku dan tidak diketahui boleh berlaku. Perawat telah menggunakan ilmu sihir dalam perubatannya. Sihir adalah sesuatu yang boleh dipelajari. Tetapi kita kena ingat, sihir adalah termasuk di dalam kategori dosa-dosa besar yang 7.

Kita sebagai orang awam, jangan terkeliru dengan keadaan-keadaan seperti beristidraj, karamah, wali, sihir dan mukjizat.

Mukjizat hanya berlaku kepada nabi dan rasul.

Istidraj adalah keadaan di mana seseorang itu mendapat kenikmatan dan kesenangan atau kemudahan dari Allah swt sehingga dia lupa diri, bangga diri, sombong, tamak dan penyakit-penyakit yang lain yang boleh membinasakannya hingga masuk neraka di akhirat kelak.

Karamah selalunya dikaitkan dengan wali. Wali bermaksud orang yang disayangi oleh Allah swt selepas Rasulullah saw. Karamah dianugerahkan kepada seorang wali sebagai anugerah. Sedangkan si wali itu sendiri tidak menyedari dia mempunyai karamah. Seorang wali tidak semestinya mempunyai karamah. Orang yang mengaku dirinya seorang wali adalah bukan wali. Kenapa? Kerana tiada siapa mengetahui dirinya adalah wali.

Dalam konteks surah ini, berlaku keajaiban, kenikmatan dan keamanan kepada kaum Quraisy. Ini tidak menunjukkan mereka adalah betul.

2. Allah Maha Memelihara rumah-Nya. Allah swt membiarkan semua ini berlaku ke atas kaum Quraisy kerana ada maslahah atau hikmahnya. Inilah qadar Allah swt dan inilah perancangan dan kehendak-Nya. Orang Arab masuk Islam beramai-ramai apabila melihat kepercayaan mereka kaum Quraisy masuk Islam. Rasulullah saw berjaya membuka Kota Mekah.

3. Manusia cepat lupa kepada Penciptanya setelah mereka dilalaikan oleh kesenangan dan kemewahan dunia yang sementara ini. Hanya kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan sunnah akan menetapkan hati-hati mereka ke jalan yang lurus dan bersedia untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi.

3 ulasan:

  1. Surah ini dikatakan sambungan dari surah al-Fil kerana ia bermula dengan ‘huruf jar’ dan ‘majrur’ iaitu dengan huruf ‘Lam’(ل) .Kebiasaannya, ia bergantung kepada perbuatan sebelumnya. Jika dibaca terjemahannya; “Kerana kebiasaan…” seolah-olah ia tergantung dan berkait dengan peristiwa sebelumnya. Apakah yang telah berlaku sehingga jawapannya; “Kerana kebiasaan..”.

    erm.. part niey x paham sgt~ bley ummi terangkan???

    BalasPadam
  2. urm.. sy ada soalan kat surah al-fill jgk~

    BalasPadam