Pada waktu
ini, kaum Yahudi di Madinah sedang ramai membicarakan tentang kemajuan dakwah
Rasulullah saw. Di waktu ini juga berlaku perbantahan yang hebat antara pendeta
mereka dengan Baginda. Kemudian muncul pula kaun Nasrani Najran (Yaman) yang
terdiri daripada 60 orang. 14 orang daripadanya adalah golongan bangsawan. 3
orang daripada 14 orang ini adalah yang terkemuka. Al-‘Aaqib (‘Abdul-Masih) sebagai
ketua rombongan dan penasihat, As-Sayyid sebagai pegawai kebajikan dan Abu Harithah (seorang Arab dari keturunan
Bakr bin Wail) sebagai pembesar, pendeta atau ulama’ tertinggi yang dihormati
oleh para raja Rom yang beragama kristian dan telah mendirikan gereja-gereja
untuk beliau.
Keadaan
mereka kelihatan sangat mewah. Tafsir Ibn Kathir menyatakan bahawa mereka tiba
dan masuk ke dalam masjid Nabi saw selepas Rasulullah saw menunaikan solat
Asar. Mereka berada di situ selama tiga hari.
Ada riwayat
menyatakan sesampai mereka di Madinah, mereka terus masuk ke dalam masjid Nabi
saw dan menunaikan solat. Ada di kalangan sahabat ingin menegur perbuatan
mereka, tetapi dihalang oleh Rasulullah saw seraya bersabda:
“Biarkanlah mereka itu mengerjakan
solat cara mereka, yaitu menghadap ke arah Timur.”
Sehabis
solat, mereka menghadap kepada Nabi saw sambil menyampaikan bermacam hadiah.
Diantaranya ialah sebuah permaidani yang indah dan bergambar. Beberapa buah
tikar daripada bulu. Permaidani bergambar tidak diterima oleh Nabi saw,
manakala tikar daripada bulu diterima oleh Baginda.
Kedatangan
mereka dapat dijangkakan untuk memperbesarkan pengaruh kristian di Jazirah
Arab. Selama ini pengaruh mereka terhalang oleh pendeta Yahudi. Mereka ingin
mengambil kesempatan sementara berlakunya persengketaan antara kaum Yahudi
dengan Nabi saw.
Tiga orang
yang termuka itu telah bersoal jawab dengan Rasulullah saw berkenaan dengan
ketuhanan Nabi ‘Isa a.s. Ada yang menganggap Nabi Isa a.s adalah anak Allah ,
ada yang menganggap Nabi ‘Isa a.s itu sendiri sebagai Tuhan, ada yang
menganggap ada tiga tuhan (trinity) .Diantara persoalan yang mereka kemukakan
ialah; “Siapakah bapa kepada ‘Isa?
Rasulullah
saw tidak terus menjawab sebelum meminta petunjuk daripada Allah SWT. Maka
turun firman Allah SWT:
إِنَّ مَثَلَ عِيسَىٰ عِندَ ٱللَّهِ كَمَثَلِ ءَادَمَۖ خَلَقَهُ ۥ
مِن تُرَابٍ۬ ثُمَّ قَالَ لَهُ ۥ كُن فَيَكُونُ (٥٩) ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ
فَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ
Sesungguhnya
perbandingan (kejadian) Nabi ‘Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian)
Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya:
Jadilah engkau! Maka menjadilah ia. (59) Perkara yang benar ialah yang datang
dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu.
(60) –(Aali-‘Imran:59-60)
Mereka
percaya dan mempersoalkan bahawa Nabi ‘Isa a.s adalah Tuhan kerana wujud
keajaiban pada diri baginda iaitu dia boleh menghidupkan semula orang yang
telah mati, membolehkan orang yang buta melihat semula, menyembuhkan penyakit
kusta, boleh menghidupkan burung yang diperbuat daripada tanah dan dapat
memberi tahu tentang makanan yang telah dimakan dan disimpan di rumah seseorang
walaupun orang tersebut berada berjauhan dari rumah mereka. Sedangkan seseorang
Muslim percaya bahawa semua keajaiban ini adalah mukjizat yang dikurniakan
kepada Nabi ‘Isa a.s oleh Allah SWT sebagai petanda kebenaran kerasulannya.
Pada zaman kenabian Nabi ‘Isa a.s, bidang perubatan adalah termasyhur. Oleh itu
mukjizat beliau dapat mengatasi kemasyuran itu.
Mereka
percaya dan mempersoalkan bahawa Nabi ‘Isa a.s adalah anak Allah kerana dia
dilahirkan tanpa bapa. Kemudian dia boleh pula berbicara semasa di dalam
buaiyan.
Mereka juga
percaya dan mempersoalkan Nabi ‘Isa a.s adalah Tuhan dari tiga Tuhan (triniti)
kerana Allah berfirman; “Kami telah memerintahkan, menjadikan
dan memutuskan….” Mereka mempersoalkan, jika Allah itu tunggal, sudah tentu
Dia menyatakan; “Aku telah memerintahkan, menjadikan dan memutuskan….” Oleh itu ‘Isa
dan Allah adalah dari yang tiga (triniti).
Ada beberapa
riwayat menyebut bahawa ayat 1 hingga ayat 83 surah Aali-‘Imran ini telah diturunkan
mengenai dialog Rasulullah saw dengan rombongan Nasrani Najran yang datang ke
Madinah. Penjelasan daripada Rasulullah saw tentang kekeliruan kepercayaan dan
kerasulan Baginda adalah jelas. Namun
mereka tetap ingin mempertahankan kepercayaan yang mereka pegang selama ini.
Maka dikala
itu Allah SWT mewahyukan kepada Rasulullah saw ayat 61-63 iaitu ayat mubaahalah.
فَمَنۡ حَآجَّكَ فِيهِ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ فَقُلۡ
تَعَالَوۡاْ نَدۡعُ أَبۡنَآءَنَا وَأَبۡنَآءَكُمۡ وَنِسَآءَنَا وَنِسَآءَكُمۡ
وَأَنفُسَنَا وَأَنفُسَكُمۡ ثُمَّ نَبۡتَہِلۡ فَنَجۡعَل لَّعۡنَتَ ٱللَّهِ عَلَى
ٱلۡڪَـٰذِبِينَ (٦١) إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلۡقَصَصُ ٱلۡحَقُّۚ وَمَا مِنۡ
إِلَـٰهٍ إِلَّا ٱللَّهُۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (٦٢)
فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَإِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِٱلۡمُفۡسِدِينَ
Kemudian
sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh
pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: Marilah kita menyeru
anak-anak kami serta anak-anak kamu dan perempuan-perempuan kami serta
perempuan-perempuan kamu dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon
kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan
kepada orang-orang yang berdusta. (61) Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang
benar dan tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan (ingatlah),
sesungguhnya Allah, Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (62)
Kemudian kalau mereka berpaling (enggan menurut), maka sesungguhnya Allah
sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan. (63)-
(Aali-‘Imran:61-63)
Sehubungan
dengan itu, Rasulullah saw mengajak Al-‘Aaqib dan As-Sayyid : “Marilah kita bermubaahalah saja, mudah-mudahan
laknat Allah SWT dijatuhkan kepada sesiapa yang berdusta.”
Pada mulanya
mereka bersedia untuk bermubaahalah dengan Nabi saw. Tetapi kemudian mereka
meminta diberi tempoh untuk berunding dengan penasihat mereka yang tertinggi.
Kata mereka; “Yaa Abal-Qaasim! Biarkanlah
kami berfikir dahulu tentang urusan kami, kemudian kami akan datang lagi kepada
engkau dengan apa yang kami kehendaki, bahawa kami akan mengerjakan apa yang
engkau ajakkan kepada kami.” Permintaan mereka ini diperkenankan oleh Nabi
saw.
Kemudian
mereka meminta pandangan Al-‘Aaqib, penasihat Nasrani yang tertinggi. Kata
mereka; “Bagaimana pendapat engkau, Ya ‘Abdal-Masieh tentang bermubaahalah
dengan Muhammad?”
Kata
Al-‘Aaqib: “Demi Allah, wahai golongan
Nashara (Nasrani), sesungguhnya kamu telah mengetahui bahawa Muhammad itu
seorang Nabi yang diutus, dan sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan
yang jelas dari teman-teman kamu, bukan? Sesungguhnya kamu telah mengerti
bahawa tidak ada suatu kaum yang berlaknat-laknatan (bermubaahalah) dengan
seorang Nabi, melainkan mereka pasti hancur binasa, tidak akan ada yang
ketinggalan orang-orang tua mereka; dan tidak akan ada keturunan mereka, dan
sungguh kamu tidak akan menang selama-lamanya jika kamu mengerjakan mubaahalah
dengan dia. Maka jika kamu menolak bermubaahalah, lantaran kecintaan kepada
agama kamu dan mempertahankan apa yang telah berlaku pada kamu dan temanmu,
maka hendaklah kamu meminta diri meninggalkan orang itu(Nabi saw) kemudian
kembalilah kamu ke negeri kamu.”
Kemudian
mereka datang menghadap Nabi saw lalu berkata; “Ya Abal-Qaasim! Sesungguhnya kami telah berpendapat dan memutuskan
bahawa kami jangan sampai bermubaahalah dengan engkau; dan supaya kami
meninggalkan engkau di atas agama engkau; dan kami akan kembali mengikut agama
kami sebagaimana biasa. Sekalipun demikian, kami memohon kepada engkau sudi
apalah kiranya mengutus seorang dari sahabat engkau yang engkau redhai dan
engkau percaya untuk kami angkat menjadi hakim di qabilah kami dalam segala
urusan yang mengenai harta yang kami perselisihkan dan kami pertengkarkan yang
seringkali terjadi dalam kalangan kami. Kerana sesungguhnya engkau itu bagi
kami satu kepuasan.”
Permohonan
mereka diperkenankan Nabi saw dengan memutuskan supaya Abu ‘Ubaidah bin Al-Jarrah
berangkat bersama-sama kaum Nasrani Najran ke qabilah mereka untuk menjadi
hakim di sana. Rasulullah saw bersabda: “
Keluarlah (berangkatlah) kamu bersama mereka, maka hukumilah antara mereka itu
dengan kebenaran tentang segala sesuatu yang diperselisihkan oleh mereka.”
Mubaahalah
ialah mengadakan satu perhimpunan yang besar, dimana para hadirin serentak
berdo’a kepada Allah SWT agar menimpakan laknat kepada pihak yang berdusta.
Diriwayatkan bahawa Nabi saw telah memilih Saidina Ali dan Fatimah serta dua
orang anak mereka iaitu al-Hasan dan al-Husain. Baginda keluar bersama mereka
lalu berkata: “Bilamana aku berdoa,
hendaklah kamu mengaminkannya.”
Riwayat yang
tersebut itu menunjukkan bahawa kaum Nasrani Najran tidak berani menghadapi
tetangan bermubaahalah dari Nabi. Dengan demikian jelaslah mereka mengerti akan
kebenaran dakwah Nabi dan menginsyafi akan kedustaan mereka sendiri. Sekali pun
demikian, mereka telah insyaf dan tertarik pula oleh dasar-dasar keadilan
hukum-hukum yang dibawa oleh Nabi,sehingga mereka mengajukan permohonan kepada
beliau supaya Baginda mengirim seorang dari sahabat yang dipercayai untuk
diangkat menjadi hakim di qabilah mereka untuk memutuskan soal-soal yang
mengenai harta benda yang diperselisihkan oleh mereka.
Selepas
utusan tersebut enggan bermubaahalah, mereka mengikat perjanjian damai bersama
Nabi saw dengan membayar jizyah(ufti)
seribu buah baju besi pada bulan Safar dan seribu buah lagi pada bulan Rejab
serta sejumlah dirham. Ini juga menunjukkan bahawa kekuatan dan keyakinan mereka
terhadap apa yang diperkatakan oleh Rasulullah saw. Ia juga merupakan pengakuan
bahawa mereka tiada bukti terhadap apa yang mereka istiharkan.
Menurut
riwayat juga, sebelum para pendeta Nasrani Najran kembali ke kabilah mereka,
berlaku perkumpulan perdebatan dihadapan Nabi saw antara pendeta Yahudi dan
pendeta Nasrani Najran di Kota Madinah. Telah berlaku perselisihan tentang
agama Nabi Ibrahim a.s dan ketuhanan masing-masing.
Para pendeta
Yahudi berkata; “Nabi Ibrahim itu ialah
seorang Yahudi.”
Para pendeta
Nasrani Najran berkata: “Nabi Ibrahim itu
tidak lain melainkan seorang Nasrani.”
Dikala itu
turunlah wahyu;
يَـٰٓأَهۡلَ
ٱلۡڪِتَـٰبِ لِمَ تُحَآجُّونَ فِىٓ إِبۡرَٲهِيمَ وَمَآ أُنزِلَتِ ٱلتَّوۡرَٮٰةُ
وَٱلۡإِنجِيلُ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِهِۦۤۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ (٦٥) هَـٰٓأَنتُمۡ
هَـٰٓؤُلَآءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِيمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمٌ۬ فَلِمَ تُحَآجُّونَ
فِيمَا لَيۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمٌ۬ۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا
تَعۡلَمُونَ (٦٦) مَا كَانَ إِبۡرَٲهِيمُ يَہُودِيًّ۬ا وَلَا نَصۡرَانِيًّ۬ا
وَلَـٰكِن كَانَ حَنِيفً۬ا مُّسۡلِمً۬ا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ (٦٧)
إِنَّ أَوۡلَى ٱلنَّاسِ بِإِبۡرَٲهِيمَ لَلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ وَهَـٰذَا
ٱلنَّبِىُّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْۗ وَٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani
mempertengkarkan tentang (agama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak
diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil
sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal? (65) Ingatlah! Kamu ini orang-orang
(bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada
pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka
mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit
pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat
yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya. (66) Bukanlah Nabi Ibrahim
itu seorang pemeluk agama Yahudi dan bukanlah dia seorang pemeluk agama
Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang
Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah) dan dia pula bukanlah
dari orang-orang musyrik. (67) Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali
kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya
dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya iaitu umat
Islam) dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang
yang beriman. (68) – (Aali-‘Imran:65-68)
Begitulah penjelasan
yang jelas dari Allah SWT. Mengambil kesempatan ini, Rasulullah saw mengajak
mereka kembali kepada tauhid yang benar dan beribadat kepada Tuhan Yang Maha
Esa kerana tiada Tuhan melainkan Allah SWT.
Namun begitu, kaum
Yahudi tetap mempercayai dan menganggap bahawa ‘Uzair itu anak Allah. Kaum
Nasrani pula mempercayai dan menganggap ‘Isa itu anak Allah. Dengan itu Baginda
Rasulullah saw berseru lagi dengan wahyu yang diterima;
قُلۡ يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَـٰبِ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ ڪَلِمَةٍ۬
سَوَآءِۭ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ
بِهِۦ شَيۡـًٔ۬ا وَلَا يَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابً۬ا مِّن دُونِ
ٱللَّهِۚ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُولُواْ ٱشۡهَدُواْ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ
Katakanlah
(wahai Muhammad): Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan
antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan
kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun dan jangan pula sebahagian dari
kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang
dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab
itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah
kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam. (64)
– (Aali-‘Imran:64)
Malangnya,
perbalahan antara mereka semakin memuncak. Pihak Yahudi mengatakan; “Tidaklah orang-orang Nasrani itu dalam
kebenaran sedikitpun.”
Manakala
pihak Nasrani berkata; “Tidaklah
orang-orang Yahudi di dalam kebenaran sedikit pun.”
Melihatkan
keadaan ini, Rasulullah saw memperdengarkan ayat Allah SWT;
وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ لَيۡسَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ عَلَىٰ شَىۡءٍ۬
وَقَالَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ لَيۡسَتِ ٱلۡيَهُودُ عَلَىٰ شَىۡءٍ۬ وَهُمۡ يَتۡلُونَ
ٱلۡكِتَـٰبَۗ كَذَٲلِكَ قَالَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ مِثۡلَ قَوۡلِهِمۡۚ
فَٱللَّهُ يَحۡكُمُ بَيۡنَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ فِيمَا كَانُواْ فِيهِ
يَخۡتَلِفُونَ
Dan orang-orang Yahudi
berkata: Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang
benar) dan orang-orang Nasrani pula berkata: Orang-orang Yahudi tidak mempunyai
sesuatu pegangan (agama yang benar); padahal mereka membaca Kitab Suci
masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum
Jahiliah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan
oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada
hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya. (113) – (al-Baqarah:113)
Begitulah
perbalahan antara kaum Yahudi dan Nasrani Najran di hadapan Nabi saw.
Masing-masing mempertahankan kebenaran masing-masing walaupun pada hakikatnya
adalah bathil. Mereka begitu fanatik dan mengikut kepercayaan orang yang
terdahulu daripada mereka secara membuta tuli. Mereka tidak menggunakan akal
fikiran yang waras.
Sehingga suatu
ketika kaum Yahudi mengatakan; “Orang-orang
yang akan mengisi syurga Tuhan kelak tidak lain melainkan kaum Yahudi.”
Pendeta dan
para pendeta nasrani pula dengan sombong berkata; “Orang-orang yang akan menjadi pengisi syurga Tuhan kelak tidak ada
lain melainkan kaum Nasrani.”
Sangkaan dan
anggapan mereka ditolak oleh Allah SWT dengan firman-Nya;
وَقَالُواْ لَن يَدۡخُلَ ٱلۡجَنَّةَ إِلَّا مَن كَانَ هُودًا أَوۡ
نَصَـٰرَىٰۗ تِلۡكَ أَمَانِيُّهُمۡۗ قُلۡ هَاتُواْ بُرۡهَـٰنَڪُمۡ إِن ڪُنتُمۡ
صَـٰدِقِينَ (١١١) بَلَىٰ مَنۡ أَسۡلَمَ وَجۡهَهُ ۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٌ۬
فَلَهُ ۥۤ أَجۡرُهُ ۥ عِندَ رَبِّهِۦ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ
يَحۡزَنُونَ
Dan mereka (Yahudi dan
Nasrani) berkata pula: Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan
orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani. Yang demikian itu hanyalah
angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah kemari
keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu,
jika betul kamu orang-orang yang benar. (111) (Apa yang kamu katakan itu
tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi
perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan
beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan
berdukacita. (112) – (al-Baqarah:111-112)
Sesungguhnya
syurga Allah SWT bukan untuk golongan bangsa atau kaum, tetapi disediakan
kepada sesiapa sahaja yang menyerahkan diri kepada Allah SWT, ta’at dan patuh
kepada-Nya dengan ikhlas, tidak mempersekutukan dengan sesiapa jua dan berbuat
baik menurut jalan dan cara yang telah ditentukan oleh –Nya sebagaimana yang diberi
contoh oleh Rasulullah saw.
Wallahu’alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan