20 Disember 2011

4.12 SURAH AL- A’SR - سُوۡرَةُ العَصر

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)

“Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.(3)”

Latar Belakang Surah:

Surah diturunkan di Makkah(Makkiyyah). Penurunan ayat ini ketika fasa ke dua zaman Makkah(sila rujuk berinteraksi dengan Al-Qur’an: 1.6 Latar Belakang Al-Qur’an). Ketika ini dakwah secara terang-terangan sedang berlaku, orang Mukmin berada di dalam keadaan yang sangat tertekan. Sehinggakan sahabat yang menunaikan solat di celah-celah bukit pun dipukul dan diseksa. Kaum Musyrikin sangat memusuhi kaum Muslimin semata-mata kerana kalimat; “LA ILAHA ILALLAH MUHAMMAD RASULULLAH”.

Kepercayaan ini bercanggah dengan kepercayaan orang-orang Makkah. Rasulullah saw mengajak mereka berbuat baik dan memberi makan orang miskin, mereka tidak menentang. Rasulullah saw melarang mereka membunuh anak sendiri, mereka tidak menentang. Rasulullah saw melarang mencuri, mereka boleh menerima nasihat tersebut. Tetapi apabila Rasulullah saw mengajak kepada kalimah syahadah, “LA ILAHA ILALLAH MUHAMMAD RASULULLAH”, mereka melenting dan memusuhi Rasulullah saw dan pengikutnya. Sehingga menuduh Baginda gila dan sasau. Kenapa ini berlaku??

Di zaman Makkah ini, Abu Jahal dan pengikutnya telah menemui Rasulullah saw sebanyak empat kali supaya berhenti dari dakwahnya. Abu Jahal berkata; “Muhammad jika engkau inginkan apa-apa, beritahulah aku”.
Rasulullah saw menjawab; “Aku ingin engkau menyebut satu perkataan sahaja.”
Sambil tersenyum Abu Jahal menyatakan; “Baiklah, bukan hanya satu, sepuluh perkataan pun boleh.”
Rasulullah saw terus menyebut; “LA ILAHA ILALLAH MUHAMMAD RASULULLAH.”
Dengan perasaan marah Abu Jahal menyambut; “Tidak habis-habis dengan kalimah ini, yang inilah kami tidak menyukainya.”

Kenapa kalimah syahadah begitu berbisa bagi orang-orang Makkah? Kenapa kalimah ini tidak memberi kesan yang sama dan mendalam kepada kebanyakan orang Islam zaman sekarang? Azan berkumandang dan bacaan tahlil beribu-ribu kali pun, seolah-olah tidak menyentuh perasaan dan hati nurani mereka. Kenapa boleh jadi begini?? Nampaknya amat perlu mendalami kalimah syahadah ini.

Begitulah situasi ketika penurunan ayat ini. Surah ini juga diturunkan selepas penurunan surah ad-Dhuha(diturunkan selepas wahyu terputus). Ketika ini orang Mukmin dihina dan dicemuh oleh kaum Musyrikin.

Terdapat peristiwa berkaitan dengan surah ini. ‘Amru bin al-Asr menemui Musailamah al-Kazzab. Musailamah bertanya kepada ‘Amru; “Apa yang diturunkan kepada sahabatmu(Muhammad) setakat masa ini?”
Jawab ‘Amru; “Sesungguhnya telah turun kepadanya suatu surah ringkas yang penuh bermakna.”
Musalailamahbertanya; “Apakah dia?”
‘Amru menjawab; “Demi masa,sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta saling berpesan-pesan agar menurut kebenaran dan berpesan-pesan agar bersabar(menghadapi halangan).”
Lantas Musailamah pun berfikir sejenak, kemudian beliau berkata; “Sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku surah seperti itu.”
‘Amru berkata kepadanya; “Apakah dia?”
Lalu Musailamah berkata; “Wahai bintang ubar, wahai ubar. Molekmu hanya tentang telinga dan dada yang lebar. Yang lainnya penuh bintat dan calar.”
Kemudian Musailamah bertanya; “Apa pendapat engkau wahai ‘Amru?”
Kata ‘Amru; “Demi Allah, engkau maklum bahawa aku tahu engkau berdusta.”

Ubaidullah bin Hafs meriwayatkan, jika sahabat Rasulullah saw bertemu, mereka tidak akan berpisah melainkan salah seorang daripadanya membaca surah ini sampai habis. Kemudian barulah mereka memberi salam antara satu sama lain.

Imam Shafi’I Rahimahullah berkata: “Kalau orang ramai merenung dan mengambil pakai surah ini pun sudah memadai bagi mereka.”

Ini menunjukkan, surah ini memberi makna yang yang sangat meluas dan mendalam.

Perbincangan Ayat:

Ayat 1

وَٱلۡعَصۡرِ (١)
“ Demi masa!”

Allah swt memulakan ayat ini dengan bersumpah:- “و ” bermaksud “Demi” bagi menunjukkan sesuatu sangat penting yang akan disampaikan.Semua hamba-Nya mesti memberi perhatian betul-betul pada apa yang hendak diperkatakan. Masa adalah makhluk kerana masa dijadikan Allah swt. Allah swt boleh bersumpah dengan makhluk, tetapi kita sebagai hamba tidak dibenarkan bersumpah dengan makhluk. Kita hanya boleh bersumpah dengan Asma’- Asma’ Allah.

Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a dari Nabi saw bersabda:

“Sesungguhnya Allah swt telah melarang kamu untuk bersumpah atas nama bapak-bapakmu. Barang siapa yang hendak bersumpah, maka bersumpahlah atas nama Allah, atau lebih baik diam.” Muttafaq ‘alaih – ( HR Bukhari(6108) dan Muslim(1646) )

Orang Arab dahulu suka bersumpah dengan keturunannya seperti “ Demi datuk moyang kita….” Atau “ Demi ibuku Maimunah, aku berkata benar.” Ada juga yang bersumpah dengan pangkatnya atau hartanya. Ini semua adalah dilarang dalam Islam kerana hanya Allah Azawajalla yang berkuasa keatas sesuatu. Tiada yang setanding dengan-Nya.

Apabila seseorang itu bersumpah dalam percakapannya, dia bermaksud apa yang dinyatakan adalah benar atau penting. Tiada ragu-ragu lagi untuk dipercayai. Seperti ; “Demi Allah! Aku lihat sendiri Dollah mencuri motor engkau.” Atau “Wallahi! Saya tidak mengambil barang awak itu.”

Dalam surah ini Allah swt bersumpah yang menunjukkan apa yang hendak disampaikan adalah benar, tiada ragu-ragu untuk dipercayai dan ia adalah sangat penting sebagai peringatan.

Terdapat beberapa penafsiran terhadap perkataan عَصۡر .
1. Masa yang hampir tamat tempohnya.(Kehidupan dunia sekejap sahaja lagi)
2. Pati hasil perahan buah atau ‘jus’.(Inti pati/asas-asas kehidupan)
3. Waktu Asar (kebanyakan ulama mentafsirkan solat Asar sebagai solat al-wusta.)
4. Era atau fasa.

Allah swt bersumpah dengan masa (benda asas yang Allah jadikan). Semua makhluk akan melalui detik-detik masa. Gelap dan terang silih berganti. Peristiwa, keadaan dan kepentingan-kepentingan yang lain sentiasa berubah. Ini menunjukkan kekuasaan Pencipta dan Pentadbirannya tidak terbatas. Oleh itu sangat perlu diberi perhatiaan terhadap peringatan-peringatan Sang Pencipta.

Ayat 2

إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢)
"Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2)”

Perkataan (إِنَّ ) memberi penekanan ‘sesungguhnya’

Perkataan (ل ) juga memberi penekanan ‘sesungguhnya’

Maka, Allah swt menguatkan penekanan-Nya supaya kita benar-benar ingat dan memberi perhatian sungguh-sungguh. Seolah-olah ia adalah suatu wasiat yang mesti ditunaikan.

Sesungguhnya semua manusia adalah dalam kerugian. Kerugian di sini adalah kerugian yang hakiki. Kerugian di dunia tidaklah merisaukan sangat kerana ia hanya sementara. Kerugian yang hakiki adalah kerugian di akhirat kelak. Semuanya akan dipersoalkan di hari Pengadilan.

Hadith Rasulullah saw:

“Rasulullah saw bersabda dengan maksud: Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara lain, yaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sihat engkau sebelum dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum masa miskinmu, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datangnya saat kematian" - (HR Muslim dan Tirmizi)

Namun, Allah swt membuat pengecualian. Mereka yang tidak ingin rugi ialah mereka yang mempunyai 4 perkara yang dijelaskan di dalam ayat ke 3.

Ayat 3

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)

“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.(3)”

Siapakah orang yang tidak rugi itu? Mereka ialah orang yang;
1. Beriman
2. Beramal soleh
3. Berpesan-pesan dengan kebenaran
4. Berpesan-pesan dengan sabar


Seseorang itu mestilah mempunyai keimanan dahulu, barulah dia mempunyai kesanggupan beramal dengan amalan-amalan yang soleh. Apabila mempunyai keduanya, baru wujud kekuatan untuk berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.

Apakah iman itu sebenarnya?

Firman Allah swt:

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya(yakin) kepada Allah dan rasul-rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar(pengakuan imannya).” – ( QS Hujurat: 15 ).
Umar bin al-Khattab r.a meriwayatkan ketika Jibril datang kepada Nabi saw menyerupai seorang Arab bertanya tentang Islam, iman dan ihsan. Rasulullah saw menjawab mengenai iman melalui sabdanya:

“Beriman dengan Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat, dan beriman dengan takdir baik dan jahat.” – ( HR Bukhari dan Muslim ).

Letaknya iman ialah di dalam hati. Seseorang yang beriman ialah dia percaya dan yakin di dalam hatinya, membenarkan dengan lisan dan beramal dengan anggotanya. Oleh itu wujud perkaitan yang sangat rapat antara iman dan amal soleh. Orang yang beriman akan automatik beramal dengan amalan yang soleh. Orang yang tidak dapat melakukan amalan yang soleh, seolah-olah dia masih belum beriman.

Di dalam Fi Zilalil Qur’an, menerangkan tabi’at iman dan nilainya dalam kehidupan manusia. Keimanan ialah hubungan manusia yang kerdil sebagai hamba dengan Allah swt yang bersifat mutlak, azali dan kekal serta hubungannya dengan alam al-wujud dan sistem atau undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Hubungan ini merupakan suatu kebahagiaan yang tinggi dan kegembiraan yang melimpah, disamping merupakan suatu kemesraan terhadap hidup dan terhadap alam buana sama seperti kemesraan kekasih terhadap kekasih. Keuntungan ini-lah yang paling besar, kehilangannya akan menyebabkan kerugian yang tidak dapat dibandingkan dengan kerugian yang lain.

Beriman dengan Allah swt membebaskan manusia dari perhambaan kepada yang lain. Adanya iman memberi kesedaran bahawa berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sesama manusia. Oleh itu dia tidak menghina orang lain dan tidak tunduk melainkan kepada Allah Yang Maha Kuasa. Inilah kemerdekaan yang sebenar.

Ciri Rabbaniyah menjadi teras keimanan. Kehidupannya bebas dari kongkongan hawa nafsu dan kepentingan sesuatu. Ia diganti dengan syari’at dan keadilan. Ciri Rabbaniyah ini juga meningkatkan rasa bangga seseorang Mukmin terhadap nilai agamanya dan memandang rendah kepada kefahaman-kefahaman jahiliyah.

Martabat Uluhiyah dan martabat Ubudiyah kepada Allah yang tiada perantara memberi nur di dalam hati, memberi ketenteraman kepada roh dan memberi kemesraan dan kepercayaan kepada jiwa, disamping menyingkirkan keraguan, ketakutan, kecemasan dan kegelisahan serta menghapuskan perasaan takbur dan sombong terhadap sesama makhluk.

Amalan-amalan soleh seperti jujur, amanah, murah hati, berkata benar dan sebagainya akan wujud apabila iman telah bertapak di dalam hati. Ia bukanlah lahir secara kebetulan, bukan lahir hasil dari keinginan tiba-tiba dan bukan sesuatu yang dilakukan sekali sekala sahaja. Malah ia adalah amalan hasil dari motif-motif yang bersambung dengan Allah, menuju kepada matlamat tertentu. Berjuang kerana Allah, bekerjasama mempertahankannya, menjadi Muslim yang mempunyai satu matlamat dan satu panji yakni panji Islam.

Seorang Mukmin yang merasai dia sedang dilihat oleh Allah akan menggeletar anggotanya kerana Allah mengetahui jelingan mata yang tidak jujur dan rahsia-rahsia yang tersimpan di dalam dada. Allah swt mengawasinya dengan ketat menyebabkan dia lebih berhati-hati dan berwaspada terhadap syari’at dan undang-undang yang telah ditetapkan-Nya. Ketakutannya bertambah apabila memikirkan hari Pembalasan kelak. Ia merupakan gerakan yang automatik selepas bertapaknya hakikat iman di dalam hati. Andainya iman itu tidak bergerak secara tabi’i seperti ini, maka ia adalah iman yang palsu.

Oleh itu, keimanan adalah punca segala kegiatan hidup yang baik. Amalan yang tidak berlandaskan keimanan adalah disia-siakan Allah swt.

Firman Allah swt:

“Bandingan amalan orang-orang yang kafir terhadap tuhan mereka sama seperti abu yang ditiup angin pada hari ribut yang kencang. Mereka tidak dapat mengambil faedah sesuatu apa dari amalan-amalan yang mereka usahakannya.” – ( QS Ibrahim: 18 )

“Dan orang-orang yang kafir, amalan-amalan mereka adalah sama seperti fatamorgana di padang datar, di mana si dahaga menyangkakannya air, tetapi apabila ia datang ke tempat itu, ia tidak dapati air sedikitpun.” – ( QS an-Nur : 39 )

Petikan dari Fi Zilalil Qur’an; dari kata-kata saling berpesan itu nampaklah satu gambaran umat atau kelompok bersatupadu, terpilih, sedar dan tegak di bumi di atas lunas-lunas kebenaran, keadilan dan kebaikan. Inilah gambaran yang dikehendaki oleh Islam. Inilah ukhuwah Islamiyah. Amalan saling berpesan kepada kebenaran adalah keperluan dalam perjuangan. Agama Islam yang benar tidak dapat ditegakkan melainkan dengan pengawasan dan kawalan kelompok Muslimin yang saling membantu, saling berpesan dan bersatupadu.

Orang Mukmin juga saling berpesan supaya bersikap sabar. Sabar melawan tentangan hawa nafsu sendiri, sabar melawan tentangan orang lain, sabar menghadapi gangguan dan kesulitan, sabar menentang keangkuhan, kebatilan dan kejahatan, sabar mengharungi jalan perjuangan yang panjang, sabar menempuh peringkat-peringkat perjuangan yang lambat, sabar kerana hilang batu-batu tanda di jalan perjuangan dan sabar kerana kejauhan matlamat. Ini akan membekalkan perasaan kasih mesra terhadap satu sama lain dan keazaman dalam tekad perjuangan yang kukuh.

Penulis Fi Zilalil Qur’an menonjolkan rasa bimbangnya kerana umat manusia telah meninggalkan panji-panji yang telah dikibarkan Allah untuk mereka, meninggalkan panji-panji iman untuk bergantung dengan panji-panji kebangsaan.

Al-Ustaz Abul-Hasan an-Nadawi dalam bukunya(Apakah ruginya dunia dengan sebab kejatuhan umat Muslimin) berkata; sifat sifat pemimpin Islam yang layak memimpin umat-umat manusia ialah:

1. Mempunyai Kitab Suci dan syari’at yang diturunkan Allah swt.

Firman Allah swt:

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu jadi orang-orang yang menegakkan kebenaran kerana Allah, dan janganlah rasa benci terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu berlaku tidak adil kerana keadilan itu lebih dekat kepada taqwa dan bertaqwalah kepada Allah Yang Maha Mengetahui segala apa yang dilakukan kamu.” – ( QS al-Ma’idah : 8 )

2. Tidak memegang teraju pemerintahan dan kepimpinan tanpa mendapat didikan akhlak dan tanpa menjalani pembersihan jiwa.

Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya kami, demi Allah, tidak melantikkan ke jawatan ini(jawatan ketua) seseorang yang memohonnya atau seseorang yang sangat meminatinya.”

Firman Allah swt:

“Negeri akhirat itu Kami peruntukkannya kepada orang-orang yang tidak ingin berlagak angkuh di bumi dan melakukan kerosakkan. Dan balasan yang baik itu ialah untuk orang-orang yang bertaqwa.” – ( QS al-Qasas : 83 )

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah-amanah itu kepada orang-orang yang berhak menerimanya dan apabila kamu mengadili di antara manusia, maka hendaklah kamu hukumkan mereka dengan keadilan.” – ( QS an-Nisa’ : 58 )

“Dialah (Allah) yang telah melantikkan kamu menjadi pemerintah-pemerintah di bumi dan mengangkat dari kamu ke darjat-darjat yang mengatasi sebahagian yang lain untuk menguji kamu terhadap nikmat-nikmat yang telah dikurniakan kepada kamu.” – ( QS al-An’am : 165 )

3. Bukan berkhidmat untuk kepentingan perkauman tetapi mengeluarkan manusia dari menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah Yang Tunggal.

4. Manusia tersusun dari jisim dan roh. Dia mempunyai hati, minda, sentimen-sentimen dan anggota-anggota. Manusia tidak akan berbahagia, berjaya dan mencapai kemajuan yang seimbang melainkan seluruh(kekuatan ini) subur dan berkembang dengan seimbang.

Contoh-contoh tamadun yang soleh adalah dari pemerintahan khalifah-khalifah ar-Rasyidin. Yakni zaman kebahagiaan di bawah naungan perlembagaan Islam yang ditegakkan asas-asasnya dalam surah al-Asr ini.

Di akhirat sanalah untung rugi yang sebenar. Keuntungan mendapat syurga dan keredhaan Allah swt atau kerugian tidak mendapat syurga dan keredhaan Allah swt. Jika kerugian ini berlaku, batu lebih senang daripada mereka.

Firman Allah swt:

“Pada hari itu setiap orang akan melihat apa yang telah dilakukan oleh dua tangannya dan setiap orang kafir akan berkata: ‘Alangkah baiknya jika aku jadi tanah.’” – ( QS an-Naba’ : 40 )

Surah ini begitu tegas sekali menentukan jalan yang betul. Seluruh manusia akan berada dalam kerugian melainkan orang-orang yang beriman, melakukan amalan yang soleh dan saling berpesan supaya menjunjung agama yang benar dan supaya bersikap sabar. Inilah satu-satunya jalan, tiada jalan yang lain lagi untuk tidak mendapat kerugian di hari Pembalasan.

Pengajaran yang boleh diambil:

1. Takrifan iman ialah mengikrarkan dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota badan.

Para ulama telah ittifaq(sepakat) mengatakan:

Mereka yang hanya mengaku dengan lidah sahaja dan mendustakan dengan hatinya, mereka itu tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang beriman. Dan mereka itu adalah orang-orang yang munafik. Dan akan diazab lebih kuat daripada azab orang-orang yang ingkar. Dan mereka itu akan ditempatkan(dimasukkan) ke dalam neraka yang paling bawah. – (Syarah al-Nawawi Sahih Muslim : 1/147)

2. Iman mendorong kepada gerakan, tindakan, amalan, pembinaan dan pembangunan yang bertawajjuh kepada Allah.

3. Iman juga menyebabkan pembabitan diri dalam sistem hidup Rabbani, iaitu cara hidup yang sentiasa bergerak dan bertindak di alam ini, iaitu gerakan yang lahir dari satu perencanaan dan menuju kearah satu tujuan.

4. Majoriti manusia adalah dalam kerugian kecuali orang yang beriman, beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan supaya sabar. Inilah satu-satunya jalan untuk mendapat keuntungan yang hakiki.

Wallahu’alam.

1 ulasan: