MUTIARA KATA

"Dunia pergi sambil berpaling, dan akhirat datang sambil mengadap. Setiap satu dari keduanya mempunyai anak. Jadilah engkau anak akhirat, dan jangan menjadi salah satu anak dunia. Sebab, hari ini adalah hari untuk beramal; tidak ada hisab (perhitungan amal di akhirat). Sedangkan hari esok adalah hisab; tidak ada hari untuk beramal."


"Ilmu umpama hujan, yang tidak memberikan manfaat kecuali bagi tanah yang subur dan suci. Begitulah juga ilmu tidak memberi manfaat kecuali bagi jiwa yang suci, hati yang sedar dan naluri yang peka."

FIKRAH ISLAM





16 Julai 2011

3.16 Qadar Allah : Tiada Yang Berkebetulan

Di bawah bayangan al-Qur’an jua aku dapat mempelajari bahawa di dalam alam al-wujud ini tiada ruang bagi kebetulan yang membuta tuli dan bagi kejadian-kejadian luar dugaan yang mendadak Kerana:

إِنَّا كُلَّ شَىۡءٍ خَلَقۡنَـٰهُ بِقَدَرٍ۬ (٤٩)
“Sesungguhnya Kami ciptaan segala sesuatu itu dengan ukuran yang rapi.” – (al-Qamar:49)

وَلَمۡ يَتَّخِذۡ وَلَدً۬ا وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ شَرِيكٌ۬ فِى ٱلۡمُلۡكِ وَخَلَقَ ڪُلَّ شَىۡءٍ۬ فَقَدَّرَهُ ۥ تَقۡدِيرً۬ا (٢)
“Dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, iaitu menentukan keadaan makhluk itu dengan ketentuan taqdir yang sempurna.” – (al-Furqan:2) …………Sayyid Qutb


Semua perkara atau keadaan yang berlaku atau yang terjadi ke atas makhluk yang wujud di dalam Alam Semesta ini bukanlah suatu yang berlaku dengan sendirinya atau secara kebetulan. Ia adalah suatu yang telah dirancang dengan teliti dari semua segi, semua ukuran, semua sudut dan semua keadaan oleh Allah sebagaimana yang telah difirmankan dalam surah al-Qamar ayat 49. Begitu juga di dalam surah al-Furqan ayat 2. Setiap ketentuan Allah itu adalah Qadar-Nya.

Jadi fahamlah kita bahawa Qadar itu ialah ketentuan atau ketetapan Allah sejak azali lagi. Sejak azali bermaksud suatu yang tiada permulaan. Sesuatu yang tiada permulaan ialah sesuatu yang wujud sebelum wujudnya masa atau waktu. Kita perlu faham bahawa 'waktu' itu adalah makhluk Allah sebagai mana makhluk yang lain seperti manusia, binatang, tumbuhan, batu, air, udara, langit, cakerawala, malah mati juga adalah suatu makhluk.

Semua yang wujud dan yang berlaku adalah sudah ditentukan oleh Allah swt kerana Dia adalah ‘Khaliq’ iaitu Maha Pencipta. Dia boleh mencipta apa sahaja. Suatu yang berlaku itu seolah-olah suatu projek atau kertas kerja yang telah lengkap dengan objektifnya, cara kerjanya, masalah yang perlu dihadapi, cara mengatasi dan hasil akhir . Ini bermaksud semuanya telah dirancang lebih awal. Oleh itu menjadi kesalahan jika kita katakan apa yang berlaku keatas diri kita ini adalah secara kebetulan. Tiada istilah kebetulan dalam kamus hidup orang Islam. Semuanya telah ditetapkan.

Cuba lihat situasi berikut:
1. “Wah! Hari ini kita mendapat keuntungan yang besar. Kebetulan ada seorang jutawan telah menempah semua produk kita.”

2. Seorang pelajar sekolah rendah darjah satu telah meninggal dunia ditempat kejadian dalam suatu kemalangan. Seorang saksi telah berkata; Kebetulan semasa budak tu melintas, sebuah motosikal telah membelok kearahnya dengan laju.”

Sebenarnya tiada kebetulan, semuanya sudah di dalam tetapan Allah:

1. Allah telah menetapkan (Qadar Allah), hari ini orang itu mendapat rezeki yang banyak. Bersyukurlah kerana ia mungkin sebagai ujian atau anugerah dari Allah swt.

2. Allah telah menetapkan(Qadar Allah) ajal pelajar tersebut pada hari itu. Sesungguhnya Allah berupaya mengambil kembali apa yang telah dipinjamkannya. Tidak mengapa mengalirkan air mata tanda kesedihan tetapi tidaklah perlu terlalu kecewa sehingga bertindak melulu. Seolah-olah tidak redha dengan ketentuan Allah swt. Siapalah kita untuk tidak bersetuju dengan ketentuan-Nya.

Di dalam al-Quran menceritakan kisah Nabi Yusuf a.s sebagai pengiktibaran, tiada kebetulan malah ia adalah tetapan dengan perancangan yang rapi. Perencanaan Ilahi yang rapi ini terdapat pada ketentuan waktu, penentuan tempat, penentuan kadar dan sempurna dalam segala keadaan dan suasana;

Allah swt telah menetapkan Nabi Ya’kub a.s berkahwin lagi sehingga mempunyai Nabi Yusuf a.s dan saudaranya Bunyamin. Ini bertujuan supaya saudara-saudara Nabi Yusuf a.s yang tidak seibu denganya menaruh hasad dengki kepada beliau dan membuangkannya ke dalam sebuah telaga. Mereka tidak membunuh beliau supaya beliau dapat dipungut oleh pengembara-pengembara dan menjualkannya di Mesir; supaya beliau dapat dipelihara di dalam istana pembesar Mesir; supaya beliau dicintai oleh isteri pembesar itu; supaya beliau dapat mengatasi nafsu keinginannya; supaya beliau disumbatkan ke dalam penjara; Supaya beliau bertemu di dalam penjara itu dua orang pelayan raja; supaya beliau dapat menta'birkan mimpi mereka berdua .... Mengapa Yusuf a.s menerima keseksaan itu? Mengapa Nabi Ya'kub a.s juga turut terseksa? Mengapa Nabi Ya'kub hilang penglihatannya kerana terlalu dukacita? Mengapa Yusuf a.s yang baik dan bersih hati itu terseksa dengan berbagai-bagai penderitaan?

Kemudian selepas sekian masa berada di dalam 'azab penjara barulah pertama kalinya datang jawapan, iaitu kerana taqdir Ilahi telah menyediakan beliau untuk mengendalikan pemerintahan negeri Mesir dan umatnya, juga negari-negeri jiran di dalam tahun-tahun kemarau yang berlangsung selama tujuh tahun itu. Kemudian apa lagi? Kemudian supaya beliau menjemput ibubapanya dan saudara-saudaranya ke negeri Mesir supaya dari keturunan merekalah lahirnya umat Israel supaya mereka ditindas oleh Fira'aun; supaya dibangkitkan Nabi Musa as dikalangan mereka dengan segala taqdir dan tadbir Ilahi yang menyelubungi perjuangan hidupnya.

Begitu juga peristiwa perkahwinan Nabi Ibrahim a.s, datuk kepada Nabi Ya'kub a.s dengan Siti Hajar dari bangsa Mesir itu bukanlah satu peristiwa `personal', malah segala peristiwa sebelumnya yang berlaku kepada Nabi Ibrahim a.s itulah yang telah membawa beliau berpindah dari tanahairnya di Iraq. Kemudian beliau lalu di negeri Mesir supaya beliau mengambil Siti Hajar di sana. Siti Hajar seterusnya melahirkan Nabi Ismail a.s, supaya Ismail dan ibunya tinggal di Baitullahil-Haram; supaya dibangkitkan Nabi Muhammad saw dari keturunan Nabi Ibrahim a.s di semenanjung Tanah Arab. Iaitu sebuah negeri yang paling sesuai untuk memikul tugas membawa agama Islam. Supaya berlakulah selepas itu peristiwa yang paling agung di dalam sejarah umat manusia umumnya.

Setiap perkara dan kejadian ada hikmatnya, tetapi hikmat itu adalah suatu hikmat ghaib yang amat mendalam dan mungkin tidak ternampak kepada pandangan manusia yang singkat:

فَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَيَجۡعَلَ ٱللَّهُ فِيهِ خَيۡرً۬ا ڪَثِيرً۬ا (١٩)
“Kamu mungkin bencikan sesuatu, sedangkan Allah menjadikan padanya kebajikan yang banyak.” –(an-Nisa’:19)

وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ شَرٌّ۬ لَّكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ (٢١٦)
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan kamu mungkin sukakan sesuatu, sedangkan ia lebih buruk kepada kamu. Dan hanya Allah yang mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” – (al-Baqarah:216)………..Sayyid Qutb


Semua Qadar Allah sudah tentu ada hikmat-hikmat disebaliknya. Allah tidak akan menjadikan sesuatu itu sia-sia. Malah sehelai daun yang gugur ke atas muka Bumi adalah di dalam pengetahuan dan perkiraan Allah. Di antara hikmat yang boleh difikirkan ialah, daun akan menjadi kompos atau baja kepada tumbuhan itu sendiri. Ia juga boleh memberi pengajaran kepada manusia yang berfikir bahawa setiap yang hidup pasti akan mati, setiap yang muda pasti akan tua dan gugur kerana lemah. Oleh itu manusia tidak perlu sombong kerana kesombongannya akan lenyap apabila tiba masa ia lemah. Mungkin ada banyak lagi hikmat-hikmat yang tidak dapat dijangkau oleh fikiran kita. Ini kerana fikiran manusia adalah terbatas. Idea-idea yang dia ada itu pun adalah ketetapan Allah sebagai suatu pengurniaan.

Kadang-kadang kita berasa benci suatu perkara itu berlaku keatas diri kita kerana dalam perkiraan kita ia adalah mencelakakan. Sedangkan terdapat banyak hikmat-hikmat yang tidak ketahui sebagaimana telah dinyatakan di dalam surah an-Nisa’ ayat 19 dan surah al-Baqarah ayat 216 diatas.

Perlulah diyakini bahawa setiap ketetapan yang Allah jadikan ke atas diri kita adalah baik untuk kita kerana ia mengandungi hikmat-hikmat yang kadang-kadang tidak terlihat oleh kita.

Kadang-kadang manusia hanya nampak hujung tali sejarah yang dekat sahaja dan tidak nampak hujung tali sejarah yang jauh. Kadang-kadang natijah/hasil yang ditunggu di dalam usia mereka yang pendek ini tidak kunjung tiba. Mereka terlindung dari hikmat tadbir Ilahi dan membuat mereka tidak sabar, lalu diminta dipercepatkan, dan membuat mereka tidak redha dan kadang-kadang naik bosan, kecewa, rasa marah dan bersifat ragu-ragu serta marah. Sesungguhnya Qadha' Allah meliputi segala-galanya, yang halus dan yang mendalam.

Allah telah mengajar manusia seperti mana di dalam Al-Qur'an bahawa segala sesuatu telah ditentukan oleh taqdir (Qadar) Ilahi supaya mereka menyerahkan urusan itu kepada Allah, supaya hati mereka tenteram dan tenang. Juga mereka berjalan bersama taqdir Ilahi dengan perasaan yang harmoni dan mesra dalam penghidupan ini.

2 ulasan:

  1. salamalayk, rsenye surah an-nisa':19 tu mcm x kena je. maybe boleh re-check..

    BalasPadam
  2. maaf. statement atas.. saya yg salah

    BalasPadam