A. PERSEDIAAN
QURAISY
maruah mereka. Ketua-ketua
mereka merasakan adalah lebih baik mati daripada hidup
terhina. Lebih-lebih
lagi apabila angkatan perdagangan mereka dapat dirampas oleh
ekspedisi Zaid
Al-Harith. Oleh kerana itu mereka telah mengadakan mesyuarat, kaum wanita
juga
turut serta seperti Hindun binti ‘Uthbah. Hasil pemesyuaratan itu, mereka
bersepakat
adalah sepeti berikut:
1.
Keuntungan
dagangan kafilah Abu Sufyan ke Syam sebanyak 50 000 dinar banyaknya akan digunakan
untuk memerangi Rasulullah saw dan tenteranya.
2.
Kabilah
Tihamah, Kinanah dan kabilah-kabilah Arab disekitar Makkah berjanji bahawa
mereka akan memerangi kaum Muslimin dengan sekuat-kuatnya.
Abu
Sufyan bin Harb berkata;
“Hai orang-orang Quraisy, sesungguhnya
Muhammad telah membunuh orang-orang terbaik kamu dan membinasakan orang-orang
pilihan kamu. Oleh kerana itu, bantulah kami dengan kekayaan kamu untuk
memeranginya. Mudah-mudahan kami boleh mengambil balas dendam atas kematian
orang-orang kita.”
3.
Wanita-wanita
Quraisy yang kematian ahli keluarga semasa peperangan Badar harus ikut serta
dalam rombongan peperangan.
Namun, Allah SWT telah
berfirman bahawa pengorbanan harta mereka adalah sia-sia dan kelak mereka akan
menyesal:
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu menafkahkan harta
mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan
harta itu, kemudian menjadi penyesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan.
Dan ke dalam Neraka Jahannamlah orang-orang yang kafir dikumpulkan.” – (al-Anfal:36)
Maka seramai 3000 orang
tentera telah berjaya dikumpulkan iaitu 200 orang berkuda dan 700 orang menaiki
unta. Mereka dilengkapi dengan senjata yang lengkap. Abu Sufyan bin Harb telah menjadi
ketua rombongan, Abu ‘Amir Ar Rahib menjadi ketua para hamba sahaya manakala Hindun
binti Uthbah menjadi ketua kaum wanita.
Wahsyi seorang hamba
bangsa Habsyi telah mendapat jaminan akan dibebaskan oleh majikannya jika dapat
membunuh Saidina Hamzah r.a.
Abu Izzah al-Jumahl seorang
tukang syair yang terkenal, telah dibebaskan oleh Rasulullah saw dari tawanan
peperangan Badar dengan percuma, tanpa membayar tebusan sedikit pun kerana dia
berjanji tidak akan mengganggu Islam dan tidak akan memerangi kaum Muslimin.
Malahan dia adalah seorang yang miskin. Tetapi dia telah diminta oleh Shafwan
bin Umayyah supaya ikut berangkat memerangi kaum Muslimin dan mengarang
syair-syair yang berisi ejekan kepada tentera Islam yang menggembirakan kaum
Quraisy. ‘Amar berkata: “Saya sudah
berjanji tidak memusuhi Muhammad dan kaumnya, maka jika saya tertawan semula
tentu saya dibunuh.” Namun Syafwan tidak henti-henti memujuknya dan
menjanjikan harta kekayaan kepadanya serta akan menjaga anak-anaknya jika dia
terbunuh, akhirnya dia turut berangkat dan menjadi tukang syair bagi kaum
Musyrikin.
Tentera Musyrikin juga
membawa tuhan mereka yang besar bernama Hubal. Perempuan-perempuan yang dibawa
ditugaskan sebagai penyanyi, penari dan sebagai pelayan. Minuman keras juga
dibawa dengan banyak.
Rahsia kaum Musyrikin
diketahui Rasulullah saw
Ibnu ‘Abbas r.a sebagai
pengintip kaum Muslimin telah turut serta di dalam mesyuarat pemuka Quraisy.
Beliau mengambil keputusan tidak akan menyertai mereka. Kemudian dalam
diam-diam beliau telah mengirim sepucuk surat menyampaikan rancangan Quraisy
tersebut kepada Rasulullah saw melalui seseorang dari Banu Ghifar yang sanggup
menyampaikan surat paling lewat 3 hari
dengan upah yang berpatutan.
Ketika beliau sampai di
Madinah, Rasulullah saw sedang menuju ke pintu Masjid Quba’. Maka surat itu
diserahkan kepada Rasulullah saw.
Nabi saw telah meminta
Ubayya bin Ka’ab r.a membacakannya dan kemudian meminta beliau merahsiakan berita
tersebut dari pengetahuan ramai. Sebelum pulang ke Madinah Rasulullah saw telah
singgah ke rumah Sa’ad bin Robi’ untuk membincangkan perkara ini.
A. PERSEDIAAN
KAUM MUSLIMIN
Pada keesokan harinya,
selepas solat subuh berjama’ah Rasulullah saw mengumumkan perancangan tentera
Musyrikin Quraisy dan menyatakan mereka sedang menuju ke Madinah. Baginda saw
juga memaklumkan bahawa Baginda telah bermimpi seekor lembu telah disembelih,
hujung pedangnya yang runcing telah sumbing, pedangnya yang bernama Dzulfaqar
terlepas dari sarungnya, tangannya dimasukkan ke dalam baju perangnya dan dia mengiringkan seekor binatang kibasy.
Seorang sahabat
bertanya: “Ya Rasulullah, apakah ta’wil
mimpi tuan itu?”
Rasulullah saw
menerangkan: “Lembu yang disembelih itu,
seorang dari sahabatku akan terbunuh, hujung pedangku sumbing ialah seorang
sahabatku akan terbunuh, terlepasnya pedang Dzulfaqar dari sarungnya ialah akan
adanya dua perkara yang hebat, tangan dimasukkan ke dalam baju perisai besi
ialah kita harus didalam kota Madinah menentang musuh, adapun binatang kibasy
yang dimiringkan ialah aku akan membunuh seseorang pelindung kaum.”
Kemudian mesyuarat telah
diadakan membincangkan strategi yang terbaik menghadapi tentera musuh. Rasulullah saw
mencadangkan supaya peperangan berlaku di dalam Madinah. Apabila musuh sampai
dilorong-lorong jalan di dalam Madinah, kaum Muslimin boleh menyerang mereka.
Manakala kaum wanita pula boleh menyerang dari atas bumbung-bumbung rumah.
Ketua-ketua Muhajirin
dan Ansar telah bersetuju. Abdullah bin Ubay bin Salul juga bersetuju dengan
pandangan Rasulullah saw kerana dari pengalaman-pengalamannya yang lepas,
bertahan dari dalam kota akan membawa kemenangan. Lagi pula keadaan sekeliling
kota Madinah merupakan tembok yang sangat kukuh dan kuat sebagai benteng. Kaum
wanita dan anak-anak juga boleh membantu.
Tetapi di kalangan
pemuda yang tidak berpeluang berjihad di dalam peperangan Badar telah mencadangkan
supaya mereka menetang musuh dari luar
Kota Madinah. Kaum Muslimin harus menunjukkan penentangan ke atas kesombongan orang-orang
Quraisy walaupun mereka telah mengumpul kekuatan bersama-sama penduduk sekitar
Makkah. Jikalau tidak, mereka akan sewenang-wenangnya menyerang Madinah sesuka
hati mereka sehingga berjaya membinasakan kaum Muslimin.
Para pemuda dengan
semangat berkata: “Ya Rasulullah, apa
yang kita khuatirkan dan apa pula yang kita takutkan? Jika kita menang, itulah
yang kita harapkan. Jika kita kalah, kita mati sebagai syahid. Tempat kita
sudah disediakan di dalam syurga oleh Allah SWT!”
Oleh kerana wahyu yang
berkaitan tidak diturunkan oleh Allah SWT, Baginda saw telah mengambil
keputusan untuk menerima pendapat majoriti untuk keluar dari Kota Madinah.
Sementara itu,
Rasulullah saw telah mengirim dua utusan untuk meninjau keadaan kaum Quraisy. Didapati
mereka telah menguasai suatu dusun sebelah Utara sejauh 3 batu dari Madinah.
Kemudian dihantar lagi utusan yang lain untuk meninjau keadaan mereka. Salamah
bin Saalamah pula diutus untuk meninjau keadaan pasukan berkuda mereka.
Hasil daripada tinjauan
ini, kaum Muslimin telah bersiap sedia dengan senjata masing-masing, mengadakan
penjagaan di tepi Madinah dan sebahagian yang lain mengawal disekeliling masjid
untuk mempertahankan Nabi saw dari segala kemungkinan. Waktu itu Rasulullah saw
masih belum mengeluarkan arahan kerana masih belum menerima wahyu yang khusus
berkenaan dengannya.
Selepas solat Juma’at, Baginda
saw memberitahu bahawa mereka akan memenangi pertempuran ini jika mereka
bersungguh-sungguh, sabar dan tahan dengan penderitaan. Pengurusan Madinah
diserahkan kepada Abdullah bin Ummi Maktum.
Selepas solat Asar
berjama’ah, Baginda saw masuk ke dalam rumah(Sayyidatina Aisyah r.ha) bersama dengan
Saidina Abu Bakar r.a dan Saidina Umar r.a. Keduanya memakaikan Baginda serban,
mengenakan baju besi dan dilengkapi dengan pedang sebagai panglima perang.
Sebahagian sahabat mula
berasa bersalah dan berdosa kerana tuntutan mereka. Sebahagiannya pula mula merasa
bimbang dan takut kalau-kalau ia melanggar ketentuan Allah SWT.
Tidak lama kemudian, Rasulullah
saw keluar dengan berpakaian perang dan bersenjata lengkap. Diwaktu itu ramai
kaum Muslimin berkata: “Ya Rasulullah,
kita tidak memaksa tuan. Terserahlah kepada tuan membuat keputusan yang
dikehendaki. Semua perkara ini diserahkan kepada Allah dan kepada tuan!”
Rasulullah saw bersabda:
“Sungguh
aku telah mengajak kamu pada perkara ini(tidak keluar dari Madinah), maka kamu
telah menolak. Tidaklah wajar bagi seorang nabi yang telah memakai baju besinya
menanggalkannya semula , sehingga Allah SWT menghukum di antaranya dengan
musuhnya. Fikirkanlah segala apa yang kami perintahkan kepadamu, maka ikutilah
oleh mu akan dia! Mudah-mudahan pertolongan bagi kamu selama kamu tetap sabar.” – Hadith sahih diriwayatkan oleh Imam
Ahmad dan al-Hakim.
Baginda saw telah menyerahkan
3 buah bendera kepada 3 orang sahabat iaitu Mus’ab bin’Umair memegang bendera
Muhajirin, Usaid bin Hudlair membawa bendera golongan Aus(Ansar) dan Hubab bin
Mundzir membawa bendera golongan Khazraj(Ansar). Kemudian mereka mula berangkat
keluar Madinah seramai 1000 orang. 100 orang bersenjata lengkap dan hanya dua
orang tentera berkuda. Sa’ad bin Ubadah berada dihadapan Nabi saw.
Penyaringan
tentera
Tentera Muslimin
bergerak menuju ke tempat tentera Musyrikin. Sebelah malamnya(Juma’at malam
Sabtu, 11 Syawal), mereka tiba di sebuah dusun bernama Syaikhain untuk berhenti
rehat. Disini Baginda saw telah memeriksa barisan tenteranya. Mereka yang
dibawah umur 15 tahun diminta pulang ke Madinah kecuali Rafi’ bin Khudaij yang
mahir memanah dan Samurah bin Jundap yang pandai berlawan. Rasulullah saw telah
menguji kemahiran mereka berdua.
Sehabis solat, Baginda
saw lalu bersabda: “Semalam saya
lihat(mimpi), bahawa malaikat-malaikat memandikan Hamzah.” Tiada seorang
pun memperpanjangkan cerita ini kerana masing-masih telah memahaminya.
Kemudian, Rasulullah saw
dan tentera Muslimin menyambung perjalanan mereka. Dipertengahan jalan, mereka
bertemu dengan segolongan orang-orang
bersenjata yang tidak dikenali. Baginda saw bertanya kepada tentera yang
ada dibelakangnya: “Siapakah mereka itu?”
Seorang sahabat
menjawab: “Mereka itu golongan kaum
Yahudi, sekutu Abdullah bin Ubay.”
Baginda saw bertanya: “Adakah mereka telah ikut Islam?”
Sahabat tadi menjawab: “Tidak ya Rasulullah.”
Kemudian Baginda saw
bersabda: “Sesungguhnya kita tidak akan
meminta tolong pada ahli kufur untuk mengalahkan ahli syirik.”
Pengkhianatan
Abdullah bin Ubay
Tentera Muslimin
meneruskan perjalanan sehingga ke sebuah dusun bernama Syawath. Tiba-tiba
Abdullah bin Ubay dan 300 sekutunya telah menarik diri dari peperangan dengan alasan
bahawa Rasulullah saw tidak menerima pendapatnya tetapi mengikuti pendapat para
pemuda yang tidak berpengetahuan. Abdullah bin ‘Amr bin Hiram (termasuk
golongan Khazraj) cuba memujuk mereka dengan berkata: “Hai kaumku! Ingatlah kamu kepada Allah dan takutlah kepada-Nya. Adakah
kamu hendak merendahkan kepada kaum dan Nabimu?”
Sekutu Abdullah bin Ubay
menjawab: “Jika kita mengerti akan
perang, nescaya kita mengikut kamu.”
Oleh itu Abdullah bin
‘Amr berkata: “Mudah-mudahan Allah
membinasakan kamu, dan mudah-mudahan Allah memberi kekayaan akan Nabi-Nya
daripada kelakuan kamu yang keji itu.”
Sehubungan dengan itu,
Allah SWT telah berfirman yang bermaksud;
“…dan untuk Dia mengetahui secara zahir akan orang-orang yang
bersifat munafiq dan dikatakan kepada mereka (iaitu Abdullah bin Ubay dan para
pengikutnya) ; ‘Marilah berperang dijalan Allah, atau pertahankanlah (kami
daripada musuh dengan kamu meramaikan bilangan kami, sekalipun kamu tidak mahu
berperang.)’ Mereka menjawab; ‘Kalaulah kami tahu berperang, tentulah kami
mengikut kamu.’ Pada hari itu, mereka lebih dekat kepada kekufuran berbanding
kepada keimanan.” – QS (Ali-‘Imran:167)
Justeru itu tinggallah
tentera Muslimin seramai 700 orang. Timbul pula sedikit perselisihan dari
kalangan tentera Muslimin dari kalangan Khazraj dan Aus. Golongan Khazraj lebih
suka Abdullah bin Ubay dan sekutunya dihapuskan dahulu, tetapi golongan Aus
lebih suka mereka dibiarkan saja. Berlakunya perselisihan ini, Allah SWT
menurunkan firmanNya:
“Maka mengapa bagi kamu(disebabkan orang munafiq) kamu menjadi
dua golongan? Dan Allah telah merosakkan mereka itu, disebabkan apa yang mereka
kerjakan. Apakah kamu berkehendak akan menunjukkan orang yang Allah telah
sesatkan, dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak akan dapati
baginya suatu jalan.” – QS (An-Nisa’:88)
Lalu Rasulullah saw
bersabda:
“Sungguh
Dia yang baik, Dia memusnahkan akan
kejelekkan sebagaimana api melenyapkan kejelekkan perak.”
Orang
yang buta mata dan buta hatinya
Perselisihan antara
golongan Aus dan Khazraj dapat diselesaikan. Perjalanan seterusnya dibantu oleh
Khaitsamah untuk menunjukkan jalan yang dekat dan tidak dilalui oleh kaum
Musyrikin. Tiba-tiba apabila melalui jalan yang kecil kepunyaan Marba’ bin
Qaidli yang buta, Rasulullah saw telah ditaburi dengan pasir oleh beliau sambil
berkata: “Kalau engkau itu Pesuruh Allah,
maka aku tidak menghalalkan kamu melalui jalanku.” Segera Sa’ad bin Zaid
memukulnya dengan senjata tajam hingga luka parah. Sahabat yang lain ingin
membunuhnya tetapi telah dihalang oleh Rasulullah saw dengan bersabda: “Janganlah kamu membunuh dia, kerana orang
itu buta matanya dan buta pula hatinya.”
Rasulullah
saw menyusun strategi perang
Setibanya tentera
Muslimin ke sebuah kampung dikaki Bukit Uhud, kelihatan tentera Musyrikin yang
empat kali ganda bilangannya dengan kelengkapan perang yang mencukupi telah menduduki
beberapa kawasan disitu. Baginda saw mengumpulkan tenteranya dan menyusun
kedudukan mereka ke tempat yang strategik iaitu membelakangi Bukit Uhud. Namun
dibahagian belakangnya terdapat suatu jalan yang terbuka yang boleh
dipergunakan oleh musuh. Maka baginda saw telah menempatkan 50 orang pasukan
memanah di atas bukit di bahagian belakang tersebut dengan diketuai oleh
Abdullah bin Jubair.
Barisan tentera
penyerang pula, sayap kanan diserahkan kepada Mundzir bin ‘Amr, sayap yang lain
dihadapi oleh tentera-tentera Muslimin yang lain. Bendera Islam dipegang oleh
Mush’ab bin ‘Umair. Kemudian Rasulullah saw bersabda:
“Telah
tiba dalam hatiku Ruhul-Amin(malaikat Jibril). Bahawa sesungguhnya sekali-kali
tidak akan mati seseorang sehingga sempurnalah penghabisan rezekinya, tidak
akan dikurangi sedikitpun daripadanya sekalipun terlambat(datangnya). Maka dari
itu, hendaklah kamu sekalian takut kepada Allah dan perbaikilah olehmu sekalian
dalam mencari rezeki. Tidaklah memberatkan beban kamu, sekalian akan
terlambatnya rezeki itu jikalau kamu mencarinya dengan derhaka pada Allah.
Seorang Mukmin dengan seorang Mukmin itu seperti kepala dari tubuh, apabila
mengaduh(sakit), terasalah baginya semua tubuhnya.”
Dikala itu, tentera
Musyrikin telah bersedia. Sayap kanan barisan berkuda dipimpin oleh Khalid bin
al-Walid dan sayap kiri barisan berkuda dipimpin oleh Ikrimah bin Abu Jahal.
Barisan tengah dipimpin oleh Shafwan bin Umayyah dan lain-lain dari pahlawan
Quraisy. Bendera mereka dipegang oleh Abu Thalhah.
Kemudian Baginda saw
bersabda kepada pasukan pemanah:
“Jagalah
kepadaku sebelah belakangku ini, maka sesungguhnya aku khuatir kalau mereka
datang kepadaku dari arah belakangku. Dan tetaplah kamu akan tempat kamu
masing-masing dan janganlah kamu tinggalkan daripadanya. Jikalau kamu melihat
akan daku mengundurkan mereka sehingga aku memasuki dalam barisan tentera
mereka, maka janganlah kamu berpecah belah dari tempatmu masing-masing. Jika
kamu melihat aku dibunuh, maka janganlah kamu menolong akan daku dan janganlah
kamu menolak daripadaku, dan tidak lain hendaklah kamu memanah dengan panah
pada kuda-kuda mereka, kerana bahawasanya kuda itu tidak akan dapat mendahului
panah. Sesungguhnya kita senantiasa menang, selama kamu tetap bertempat akan
tempat kamu masing-masing. Hendaklah kamu menolak dengan panah daripada kita,
agar supaya mereka tidak dapat datang dari belakang kita, dan jangan pula kamu
tinggalkan tempat ini, baik kita dikalahkan ataupun dumenangkan.”
Rasulullah saw berpesan
kepada Abdullah bin Jubair:
“Tolaklah
olehmu dari kita kuda-kuda itu dengan panahmu, janganlah sampai mereka datang
dari belakang kita, dan tetaplah kamu pada tempatmu sekalipun menang atau
kalah.”
Kepada tentera Muslimin umumnya,
Baginda saw bersabda:
“Janganlah
kamu memerangi seseorang, sehingga kami memerintahkannya dengan perang.”
A. GHAZWAH
UHUD BERMULA
Peperangan
satu lawan satu
Tentera Musyrikin
menunjukkan kekuatan mereka dengan barisan yang bersedia dengan lengkap.
Rasulullah saw mengeluarkan pedangnya dari sarungnya, sebelah pedang itu
tertulis; Takut itu tercela, dan berani
itu kemuliaan, seseorang penakut itu tidak akan selamat daripada qadar.
Rasulullah saw bersabda:
“Siapa
yang akan memegang pedang ini dengan haqnya?” bermaksud siapakah yang sanggup
memegang pedangnya buat melibas musuh-musuh yang sombong-sombong itu?
Ramai dari kalangan
sahabat ingin memegang pedang tersebut tetapi tidak diperkenankannya,
termasuklah Umar, Ali, Zubair dan lain-lain. Kemudian Abu Dujanah(Samak bin
Kharsyah) bangun berdiri lalu bertanya: “
Apa haqnya(pedang itu) ya Rasulullah?”
Nabi saw menjawab: “Bahawa kamu memukul dengan dia pada muka
musuh sehingga ia bengkok!”
Abu Dujanah berkata: “ Saya yang memegang dia dengan(menepati)
haqnya.”
Rasulullah saw
menyerahkan pedang tersebut kepada Abu Dujanah kerana terkenal dengan perkasa
dan gagah berani. Kalau berperang, dia selalunya meliuk-liukkan kepadanya
seperti seorang yang bongkak. Namun dalam waktu peperangan tidaklah mengapa
sedemikian dihadapan musuh. Beliau juga selalu akan memakai serban berwarna
merah apabila ingin berperang sampai mati. Dengan pedang yang diberi oleh
Rasulullah saw, beliau akan sentiasa berada di saf hadapan.
Setelah kedua tentera
Muslimin dan Musyrikin berhadapan di antara satu sama lain, keluar seorang
tentera Musyrikin dengan menunggang unta
mencabar pihak lawan dengan berkata: “Siapa
yang akan lawan satu sama satu?” Beliau berteriak begitu sebanyak tiga
kali.
Kemudian keluar
az-Zubair bin al-‘Awwam r.a maju melompat ke atas untanya. Bergelutlah mereka
di atas unta sehingga kedua-duanya jatuh ke bawah dengan kedudukan az- Zubair
berada di atas tentera Musyrikin itu. Dengan cepat az-Zubair membunuhnya dan
kemenangan berpihak kepada kaum Muslimin. Rasulullah saw bersabda:
“Bagi
tiap-tiap seorang Nabi (tentu) ada pembantunya, dan bahawasanya pembantuku (ialah)
Zubair.”
Kemudian az-Zubair
kembali ke barisan tentera Muslimin. Seterusnya keluar pula Thalhah bin Abi Thalhah al-Badr ke
tengah-tengah hadapan kedua-dua tentera seraya berkata: “Siapa yang akan lawan
satu sama satu”? Beliau berteriak begitu berulang kali. Tetapi tiada sambutan
di pihak Muslimin. Oleh Thalhah berteriak lagi: “Hai pengikut-pengikut
Muhammad! Kamu semua telah menyangka bahawa Tuhan mencepatkan kita dengan
pedang kamu ke neraka dan mencepatkan kamu dengan petang kita ke syurga? Maka
dari itu siapakah seorang dari kamu mempercepatkan kita dengan pedangnya ke
neraka atau kami mencepatkan dia dengan pedang kita ke syurga? Sungguh kamu
berdusta. Demi Latta dan ‘Uzza, kalau kamu semua tahu betul-betul begitu,
niscaya keluarlah seorang daripadamu kepada kita sekarang.”
Mendengarkan kata-kata
yang sombong itu, Ali bin Abi Thalib pun keluar untuk bertanding dengan
Thalhah. Saidina Ali telah memukul kakinya dengan kuat sehingga terputus.
Kemudian ditinggalkan Thalhah dalam keadaan memalukan tanpa membunuhnya.
Baginda saw bertanya
kepada Saidina Ali r.a: “Apa yang melarang kamu membunuhnya?”
Saidina Ali r.a
menjawab: “Ya, kerana dia telah menampakkan kemaluannya kepada saya, maka saya
kesihan kepadanya.”
Rasulullah saw bersabda:
“Bunuhlah”
Maka dengan cepat
Saidina Ali r.a kembali ke tempat Thalhah dan membunuhnya.
Seterusnya perlawanan
satu lawan satu adalah seperti berikut:
Tentera Quraisy
|
Tentera Muslimin
|
Kemenangan
|
Uthman bin Abu Thalhah
|
Hamzah bin Abu
Muthalib r.a
|
Kaum Muslimin
|
Abu Sa’id bin Abu
Thalhah
|
Sa’ad bin Abi Waqqash
r.a
|
Kaum Muslimin
|
Musafi bin
Thalhah(Thalhah yang dibunuh oleh Saidina Ali r.a).
|
Ashim bin Tsabit r.a
|
Kaum Muslimin
|
Harts bin
Thalhah(saudara Musafi)
|
Ashim bin Tsabut r.a
|
Kaum Muslimin
|
Khilab bin
Thalhah(saudara Musafi dan Harts)
|
Zubair r.a
|
Kaum Muslimin
|
Jallas bin
Thalhah(saudara Musafi, Harts dan Khilab)
|
Thalhah bin Ubaidillah
r.a
|
Kaum Muslimin
|
Arthah bin Surahbil
|
Ali bin Abi Thalib r.a
|
Kaum Muslimin
|
Suraih bin Qaridh
|
Hamzah r.a
|
Kaum Muslimin
|
Abu Zaid bin ‘Amr
|
Qazman r.a
|
Kaum Muslimin
|
anak Surahbil (saudara
Arthah)
|
Qazman r.a
|
Kaum Muslimin
|
Shu’ab (bangsa
Habsyi).
|
Qazman r.a
|
Kaum Muslimin
|
Dengan ini seramai 12
orang tentera Musyrikin yang kuat telah terbunuh. Tentera Muslimin belum
seorang pun yang mati. Abu Sufyan sebagai ketua tentera Musyrikin telah memesan
kepada pemegang bendera mereka supaya betul-betul memegang bendera kerana
menang atau kalah bergantung kepada mereka.
Perihal
Abu Dujanah
Maka pertempuran tentera
Muslimin dan tentera Musyrikin berlaku dengan hebatnya. Abu Dujanah terus
menerjang barisan musuh sambil berjalan dengan keadaan yang bongkak. Diketika
itu Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya
itu berjalan yang Allah murkai akan dia, kecuali di dalam keadaan seperti ini.”
Barang siapa bertemu
dengan Abu Dujanah pasti akan menemui kematian. Kepalanya dililit dengan kain
merah yang tertera; ‘Pertolongan dari
Allah dan kemenangan telah dekat.’
Kemenangan
awal kaum Muslimin dan Kesyahidan Hamzah r.a
Pertempuran kedua belah
pihak sangat hebat. Semangat jihad tentera Muslimin tampak terserlah. Kemaraan
mereka seperti air bah yang meruntuhkan benteng pihak musuh.
Hamzah bin Abdul
Muttalib r.a berperang bagaikan singa yang mengganas. Wahsyi yang diupah untuk membunuhnya melihat
Hamzah r.a menumbangkan seorang demi seorang dengan pedangnya. Akhirnya beliau syahid di tangan Wahsyi yang
tepat balingan tombaknya. Diriwayatkan beliau berjaya menumpaskan 31 orang
tentera Musyrikin.
Walaupun kaum muslimin
mengalami kerugian besar dengan kesyahidan Hamzah, namun tentera Muslimin yang
sedikit bilangannya itu masih lagi menguasai situasi peperangan seluruhnya.
Semangat Jihad Kaum Muslimin
Kisah Abu
Dujanah(pemuda)
Abu Dujanah telah
menunaikan haq pedang Rasulullah saw dengan melibas mana-mana tentera
Musyrikin. Beliau terkenal dengan gelaran ‘Ashabatul
Hamraa’ yang bermaksud ikatan merah. Ini disebabkan apabila dia mengikat
kain merah di atas kepalanya, maka diketahui bahawa dia akan berperang
bermati-matian. Tidak akan kisah apa yang akan berlaku ke atas dirinya.
Kisah Hanzhalah bin Abu
Amir (pemuda)
Hanzhalah bin Abu Amir
r.a seorang pemuda yang telah menyambut seruan jihad walaupun ketika itu beliau
baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Oleh kerana bimbang terlepas daripada
mendapat syahid, beliau telah keluar rumah dalam keadaan berhadas besar dan
telah benar-benar mendapat syahid yang
dicarinya. Rasulullah saw bersabda;
“Hanzhalah
bin Abu Amir akan dimandikan oleh para malaikat.”
Kisah Samurah bin Jundab
Al-Fazari dan Rafi’ bin Khadij (remaja)
Samurah bin Jundab
Al-Fazari dan Rafi’ bin Khadij berumur 15 tahun. Pada mulanya Rasulullah saw
tidak mengizinkan mereka berperang kerana masih kecil. Apabila diterangkan bahawa
mereka hebat dalam memanah, maka Baginda saw membenarkan mereka menyertai
bersama. Manakala 6 orang lagi diminta pulang ke Madinah kerana di bawah umur
15 tahun.
Kisah Anash bin Nadhar
(remaja)
Anash bin Nadhar tidak
dapat turut serta dalam peperangan Badar. Dikala diterima sebagai perajurit
Uhud, beliau sangan gembira dan bertempur bermati-matian sehingga tidak
menghiraukan dirinya sendiri. Ketika ajalnya hampir datang, dia berkata kepada
temannya Sa’ad bin Mu’az: “Tujuan saya
telah tercapai hai kawanku Sa’ad. Bau syurga yang harum semerbak telah tercium
oleh saya di kaki bukit Uhud.”
Kisah Husail bin Jabir
dan Tsabit bin Waqasy (orang tua)
Husail bin Jabir(nama
sebenarnya Al-Yaman ayah kepada Huzaifah bin Al-Yaman) dan Tsabit bin Waqasy
ditempatkan bersama kaum wanita dan kanak-kanak kerana sudah tua. Namun mereka
berdua berbincang dan bersetuju ke medan perang tanpa pengetahuan yang lain. Moga-moga Allah SWT mengurniakan
mereka mati syahid. Tsabit bin Waqasy dibunuh orang-orang Musyrikin. Manakala
Husail bin Jabir terkena tikaman kaum Muslimin kerana tidak mengenalinya.
Huzaifah bin al-Yaman berkata: “Demi
Allah, ini ayahku. Mudah-mudahan Allah mengampuni kamu, kerana Allah Zat yang
paling Penyayang.” Rasulullah saw ingin memberi diyat kepadanya, namun
beliau menyedekahkan diyatnya kepada kaum Muslimin. Ini menyebabkan beliau
bertambah baik disisi Rasulullah saw.
Kisah Mukhairiq (yahudi)
Mukhairiq adalah seorang
Yahudi Bani Tsa’labah bin Al-Fithyaun. Beliau berkata: “Hai semua orang-orang Yahudi, demi Allah kamu telah mengetahui bahawa
membantu Muhammad adalah kewajipan kamu.”
Mereka berkata: “Hari ini hari Sabtu.”
Mukhairiq menjawab: “Tiada hari Sabtu bagi kamu.” Kemudian
dia terus mengambil pedang dan bekalannya seraya berkata lagi: “Jika aku meninggal dunia, hartaku menjadi
milik Muhammad. Ia bebas menggunakannya untuk apa saja yang diinginkanya.”
Beliau telah berjuang
bersama Rasulullah saw hingga syahid. Rasulullah saw bersabda: “Mukhairiq adalah orang Yahudi yang paling
baik.”
Kisah Amr bin Al-Jamuh
(cacat anggota)
Amr bin Al-Jamuh adalah seorang
yang pincang. Beliau mempunyai empat orang anaknya yang gagah berperang seperti
singa di kebanyakan perang bersama Rasulullah saw. Mereka telah menghalangnya dari
turut ke Perang Uhud dengan berkata: “Sesungguhnya
Allah SWT telah memaafkanmu.”
Beliau telah mengadu
kepada Rasulullah saw. Baginda bersabda: “Adapun
engkau, sungguh Allah telah memaafkanmu dan engkau tidak wajib berjihad.”
Kemudian Baginda
bersabda kepada anak-anaknya: “Kamu tidak
berhak menghalang ayah kamu, mudah-mudahan Allah memberinya mati syahid.”
Oleh itu, Amr bin
Al-Jamuh berangkat bersama Rasulullah saw dan telah gugur sebagai syahid.
Situasi
peperangan berubah: tidak tsabat dalam
keta’atan
Melihatkan tentera
Quraisy mula melarikan diri, tentera pemanah Muslimin teruja dengan harta
ghanimah yang ditinggalkan. Mereka mula menuruni bukit meninggalkan tempat
perjuangan yang telah ditetapkan oleh Rasulullah saw. Ada dikalangan mereka
memanggil-manggil mereka supaya tidak turun daripada bukit itu selagi tidak
menerima arahan daripada Baginda saw.
Di ketika itu, tentera
musyrikin yang di ketuai oleh Khalid bin al-Walid telah mengambil kesempatan
itu untuk menyerang tentera Muslimin dari arah belakang. Melihatkan tentera
pimpinan Khalid bin al-Walid yang mara menyerang tentera Muslimin, tentera
Quraisy yang melarikan diri itu berpatah balik dan bersemangat semula untuk
menyerang dari arah hadapan.
Ibnu Qam’ah
menjerit-jerit bertanyakan dimanakah Baginda saw untuk dibunuh. Mush’ab bin
Umair yang membawa bendera tentera Muslimin dan rakan-rakan cuba
menghalanginya. Ibnu Qam’ah berjaya membunuh Mush’ab bin Umair yang disangkanya
adalah Rasulullah saw. Sambil berlari-lari beliau menjerit dan mengulangi
dengan bangga perkataan: “Muhammad telah
terbunuh!”
Tentera
Muslimin berpecah
Akibat daripada itu, tentera
Muslimin menjadi kucar-kacir. Sebahagiannya melarikan diri menuju berhampiran
dengan Kota Madinah. Merasa malu untuk masuk ke dalam Kota Madinah.
Sebahagian besar masih
lagi bertempur dengan bersemangat. Tsabit bin Dah-dah memperingatkan sahabat-
sahabatnya: “Hai para kawanku Ansar! Jika
betul Nabi Muhammad telah mati terbunuh, biarlah ia mati. Kerana Allah jualah
yang tidak mati selama-lamanya! Oleh itu berpeganglah pada agamamu dengan kukuh
dan kuat! Allah sendirilah yang akan menolong dan memberi kemenangan kepadamu!”
Sebahagian lagi (ada
yang meriwayatkan seramai 14 orang; 7 sahabat Muhajirin dan 7 sahabat Ansar)
mempertahankan peribadi Rasulullah saw dengan semangat yang luar biasa.
Dalam keadaan yang kelam
kabut itu, orang yang pertama menjumpai Baginda saw ialah Ka’ab bin Malik
dengan melihat isyarat daripada Nabi saw. Spontan beliau menjerit: “Wahai kaum Muslimin, bergembiralah. Inilah
dia Rasulullah!” sekali lagi Rasulullah saw memberi isyarat bahawa suara
yang kerasnya didengari oleh kaum Musyrikin. Sahabat yang berdekatan meluru
mengelilingi Nabi saw di dekat Uhud yang dilindungi oleh 14 sahabat menjadikannya
30 orang.
14 orang yang
dimaksudkan iaitu golongan Muhajirin terdiri dari Saidina Abu Bakar r.a,
Saidina Umar r.a, Saidina Ali r.a, Abdurrahman bin Auf, Zubair bi Al-Awwam,
Sa’ad bin Abi Waqqash dan Abu Ubaidah bin Al-Jarrah. Golongan Ansar terdiri
dari Abu Dujanah, Al-Hubab bin Al-Munzir, Ashim bin Tsabit, Al-Hariths bin
Ash-Shammah, Sahal bin Hanif, Sa’ad bin Mu’az dan Usaid bin Hudhair.
Pengorbanan
Sahabat-Sahabat Rasulullah saw
Tentera Musyrikin yang
mendengar jeritan Ka’ab bin Malik juga turut meluru kearah Baginda saw. Para
sahabat menjadikan batang tubuh mereka sebagai dinding melindungi Baginda saw
daripada serangan musuh.
Abu Dujanah yang berada
di hadapan Nabi saw dihujani dengan anak panah sehingga tubuhnya dipenuhi oleh
anak panah-anak panah itu.
Abu Thalhah al-Ansari
r.a adalah seorang pemanah yang mahir dan cekap mengenai sasaran. Apabila
beliau memanah, Rasulullah saw mengangkat badan Baginda bagi melihat di manakah
anak panah itu jatuh. Thalhah mengangkat dadanya sambil berkata: “Beginilah, Anak panah musuh tidak akan
mengenai mu ya Rasulullah. Aku rela menebus mu dengan ibubapaku(kiasan
menunjukkan kasih sayang). Dadaku menjadi pelindung kepada dada mu ya
Rasulullah.”
Anas bin Nadhar telah
menyerbu ke arah musuh dan berjuang bermati-matian. Akhirnya dia syahid dengan
70 tetakan ditubuhnya, hanya saudaranya mengenalinya melalui jari-jemarinya.
Abdurrahman bin Auf r.a
mengalami luka di mulut, gigi hadapannya patah dan mendapat 20 lebih luka di
badan. Sebahagiannya di kaki menyebabkan dia tidak mampu untuk bergerak lagi.
Ketika Baginda dikepung
oleh orang-orang Quraisy, Baginda berkata: “Siapakah
yang sanggup mengorbankan nyawa untuk ku?” Ziyad bin As-Sakan bersama lima
orang Ansar tampil melindungi Baginda. Mereka bertempur habis-habisan hingga
satu persatu gugur sebagai syuhada’. Kemudian datang sekelompok kaum Muslimin
yang akhirnya dapat menyingkirkan orang-orang Musyrik dari sekitar Rasulullah
saw. Rasulullah saw bersabda: “Dekatkan
dia(Ziyad bin As-Sakan) kepadaku.” Mereka meletakkan Ziyad di atas kaki
Baginda sebagai bantal. Kemudian beliau meninggal dunia sewaktu pipinya berada
di atas kaki Rasulullah saw.
Panji tentera Muslimin
beralih tangan dari Mush’ab bin Umair r.a kepada Ali bin Abi Thalib r.a setelah
Mush’ab r.a syahid.
Kecederaan
Rasulullah saw
Uthbah bin Abi Waqqash
telah melempar sepotong besi dan
batu-batuan kearah Rasulullah saw. Lemparan itu mengenai wajah Baginda saw dan
menyebabkan gigi (antara gigi hadapan dan gigi taring) patah, dahi dan bibir
pecah serta berdarah. Hathib bin Balta’ah telah mengejar Uthbah dan
membunuhnya.
Abdullah bin Syihab
Az-Zuhri juga turut melempar batu-batu kearah Rasulullah saw sehingga melukai
dahi, mematahkan gigi dan menyebabkan gigi tersebut tertusuk bibir Baginda saw.
Ibnu Qami’ah pula
melemparkan dua bulatan besi berbentuk cincin daripada baju besi kearah Baginda
saw, lemparan itu berjaya menusuk pipi Baginda saw. Abu Ubaidah bin al-Jarrah
mencabut salah satu besi sehingga gigi depannya tercabut dan mencabut besi yang
satu lagi dengan gigi depan yang lain dan tercabut juga menyebabkan kedua-dua
gigi depannya tercabut.
Diketika itu juga datang
Ubayya bin Khalaf yang bertopeng besi di atas kudanya bernama ‘Ud. Beliau
menerobos kepungan sahabat sambil berkata: “Mana
orang yang mendakwa dirinya Nabi itu, hendaklah dia melawan aku, jika dia
benar-benar seorang Nabi, tentu aku dibunuh olehnya. Mari maju melawan aku!”
Mendengarkan suara Ubayya yang bongkak itu, Baginda saw memberi isyarat kepada
sahabat supaya membiarkan dia mendekatinya. Tetapi belum sempat dia
menghampiri, Baginda saw telah mengambil tombak kepunyaan Hariths bin
Ash-Shammah dan melontarkannya ke arah Ubayya. Lontaran itu mengenai lehernya
sehingga dia jatuh dari atas kudanya. Ubayya kembali menaiki kudanya dan
berlalu menuju ke tempat kaumnya dalam keadaan tercedera. Beliau telah mati
dalam perjalanan ke Makkah.
Rasulullah saw berdo’a: “Ya Allah, aku memohon keuzuran kepada
Engkau daripada perbuatan mereka(kaum Muslimin) itu, dan aku berlepas diri
kepada Engkau daripada apa yang didatangkan oleh kaum Musyrikin.”
Selanjutnya Baginda saw
bersabda: “Bagaimana kaum boleh
berbahagia kalau mereka melukai wajah Nabi mereka padahal dia mengajak mereka
kepada Tuhan mereka.” -HR Bukhari
dan Muslim
Berkait dengan itu,
Allah SWT menurunkan firman-Nya:
“Tidak ada sedikit pun campur tanganmu dalam urusan mereka itu
atau Allah menerima taubat mereka atau mengazab mereka, kerana sesungguhnya
mereka itu orang-orang zalim. Kepunyaan Allah apa yang ada di langit dan yang
ada di bumi. Dia memberi ampun kepada siapa yang Dia kehendaki; Dia menyeksa
siapa yang Dia kehendaki; dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” QS –(Ali ‘Imran:128-129)
Rasulullah saw juga
bersabda: “Amat keras murka Allah atas
orang yang oleh Nabi saw telah dibunuhnya di jalan Allah; amat sangat murka
Allah atas orang-orang yang melukai muka Nabi Allah.” – HR Bukhari dari
Ibnu Abbas r.a
Langkah
mempertahankan diri : Naik ke Bukit Uhud
Rasulullah saw bergerak
kearah bukit Uhud. Tiba-tiba Baginda saw terjatuh ke dalam salah satu lubang
perangkap yang dibuat oleh Abu Amir. Kedua lutut Baginda saw terluka dan jatuh
pengsan. Ali bin Abu Thalib memegang tangan Rasulullah saw dan Thalhah bin
Ubaidillah mengangkat Baginda hingga Baginda berdiri tegak. Malik bin Sinan
yang tidak lain ialah Abu Sa’id Al-Khudri mengusap darah dari wajah Baginda dan
menelannya. Rasulullah saw bersabda: “Barang
siapa yang darahnya menyentuh darahku, ia tidak akan disentuh neraka.”
Melihatkan kecederaan
yang berlaku ke atas Rasulullah saw, tentera Muslimin mula mengatur serangan ke
atas musuh dan bertekad bahawa lebih baik hancur dalam menyerang daripada
hancur binasa diserang musuh.
Rasulullah saw terus
bergerak ke bukit Uhud. Kemudian Baginda saw mencari air yang berdekatan untuk
membasuh darah dan kotoran pada tubuhnya. Air yang dijumpai agak berbau. Oleh
itu Baginda saw tidak meminumnya. Diketika itu Baginda saw dapati beberapa
orang Quraisy sedang mengintai-ngintai mencari peluang untuk menyerang. Maka
baginda saw meminta beberapa orang sahabat mengusir mereka daripada atas bukit.
Akhirnya mereka dapat diusir turun.
A. GAZWAH
UHUD BERAKHIR
Kekuatan dan keberanian
tentera Muslimin tidak menyusut walaupun ramai di antara mereka cedera. Uthman
bin Abdullah dari pihak Musyrikin cuba datang menyerang tetapi dapat ditewaskan
oleh Harts bin Shammah dan Abu Dujanah.
Muslimah
yang terlibat dalam peperangan
Ummu Umarah yang
mengikuti suaminya ke peperangan itu membantu mengambil air untuk tentera
Muslimin. Dilihat olehnya keadaan Rasulullah saw, beliau pun turut serta
menangkis serangan musuh sehingga tubuhnya dicederakan pada 12 tempat. Begitu
juga Ummu Aiman, bertugas sebagai mengangkat air untuk tentera tetapi
melibatkan diri dalam pertempuran sehingga berjaya membunuh seorang Musyrikin
yang bernama Hubab bin Arafah.
Rahmat
Allah SWT dengan rasa mengantuk
Sedang Baginda saw dan
para sahabat membersihkan luka dan mengubatinya, tiba-tiba naik ke atas bukit
Khalid bin Al-Walid dan pasukan pimpinannya untuk menyerang kaum Muslimin.
Saidina Umar bin Al-Khatab bersama sebarisan tentera Muslimin bergerak
menghalau mereka menuruni bukit.
Tentera Muslimin
mengalami keletihan yang teruk. Dengan rahmat Allah SWT, mereka rasa tenang dan
mengantuk. Mereka terlelap sehingga pedang terlepas dari genggaman mereka.
Allah SWT berfirman:
“Kemudian, selepas kamu ditimpa perkara yang mendukacitakan itu,
Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang
meliputi segolongan daripada kamu(yang benar beriman, lalu mereka tertidur
sehingga pedang mereka terlepas daripada genggaman).” QS (Ali ‘Imran:154)
Akibat keletihan yang
teruk, Rasulullah saw yang berbaju besi di depan dan belakangnya mula merasai
lemah. Baginda gagal untuk memanjat
sebuah batu di hadapannya. Kemudian Thalhah bin Ubaidillah memangku dan mengangkat
Baginda saw sehingga mampu berdiri tegak. Disebabkan bantuan Thalhah ini,
Rasulullah saw bersabda: “Thalhah wajib
masuk syurga.”
Rasulullah saw juga
pernah bersabda: “Barangsiapa yang ingin
melihat orang syahid berjalan di atas muka bumi, hendaklah ia melihat Thalhah
bin Ubaidillah.”
Peperangan
dihentikan oleh pihak Musyrikin
Melihatkan semangat dan
kekuatan tentera Muslimin, kaum Musyrikin mengambil keputusan untuk berundur
dan menamatkan pertempuran.
Pada waktu zohor,
Rasulullah saw mengimami solat secara duduk. Kemudian terdengar suara Abu
Sufian berseru dengan suara yang keras: “Apakah
pada kaum ada Ibnu Abi Kabsyah?” Yang dimaksudkan ialah Nabi saw. Baginda
saw meminta para sahabat tidak menjawab sehingga seruan diutarakan sebanyak
tiga kali.
Kemudian kedengaran Abu
Sufian bertanya lagi: “Apakah pada kaum
ada Ibnu Quhafah?” Yang dimaksudkan ialah Saidina Abu Bakar r.a. Rasulullah
saw meminta para sahabat tidak menjawab.
Kemudian kedengaran Abu
Sufian bertanya lagi : “Apakah pada kaum
ada Ibnu Khatab?” Yang dimaksudkan ialah Saidina Umar r.a. Rasulullah saw
juga meminta para sahabat supaya tidak menjawab seruan itu.
Lalu Abu Sufian berkata:
“Sungguh mereka telah mati terbunuh. Maka
seandainya mereka masih hidup, niscaya mereka menjawab.”
Saidina Umar r.a bangkit
dan menjawab: “Dustalah kamu hai seteru
Allah! Mudah-mudahan Allah mengekalkan atas kamu barang yang menghinakan kamu!”
Abu Sufian menyambut: “Menanglah(agama) Hubal! Mulialah(agama)
Hubal!”
Mendengarkan yang
demikian, Rasulullah saw meminta Saidina Umar r.a menjawab: “Allah yang Maha Mulia dan Maha Tinggi!
Tidak ada selain-Nya.”
Abu Sufyan menyahut: “Bagi kita ada Uzza dan bagi kamu tidak ada
Uzza.”
Nabi saw bersabda kepada
Saidina Umar r.a: “Katakanlah oleh kamu: Allah penolong kita, dan tidak ada
penolong bagi kamu!”
Abu Sufyan berkata: “Hari ini dengan hari(perang) Badar, dan
perang itu berganti-ganti.” Bermaksud peperangan Uhud adalah balasan dari
peperangan Badar.
Saidina Umar r.a
menyahut dengan keras: “Tidak sama!
Kematian kita dalam syurga dan kematian kamu dalam neraka.”
Kemudian Abu Sufian
memanggil Saidina Umar r.a mendekatinya. Rasulullah saw merelakan untuk melihat
apakah yang dikehendaki olehnya.
Abu Sufyan bertanya kepada
Saidina Umar r.a: “ Hai Umar, Muhammad
telah terbunuh bukan?”
Saidina Umar r.a
menjawab: “Demi Allah, tidak! Dan
sesungguhnya beliau (Nabi) sungguh mendengar perkataan kamu sekarang!”
Abu Sufyan berkata: “Kamu lebih benar dan lebih baik daripada
Ibnu Qam’ah.” Dia menyambung dengan sombong: “Tahun depan aku berjanji dengan berperang lagi di Badar!”
Rasulullah saw meminta
Saidina Umar menjawab: “Ya, itulah
perjanjian di antara kita dan kamu!”
Kemudian Abu Sufyan
berlalu. Maka peperangan Uhud pun berakhir. Namun begitu, Rasulullah saw
merasai ragu-ragu kerana tidak mungkin tentera yang besar dari pihak musuh akan
mengundurkan diri. Oleh itu Baginda saw meminta Saidina Ali r.a mengawasi
gerak-geri mereka. Jika mereka menarik kuda-kuda mereka ke arah Selatan dan
menaiki unta-unta mereka, maka petunjuk mereka menghala pulang ke Makkah. Jika
mereka menarik menaiki kuda-kuda mereka kearah Utara dan menghalau unta-unta
mereka, maka petunjuk mereka menyerang Madinah. Jika mereka menghala ke
Madinah, tentera Muslimin mestilah menawan mereka.
Apabila diamat-amati
oleh Saidina Ali r.a, didapati mereka menarik kuda-kuda mereka dan menunggangi
unta-unta mereka menuju ke Selatan. Menunjukkan bahawa mereka bergerak pulang
ke Makkah.
Inilah sikap hati-hati
Baginda saw yang ditunjukkan.
PENGAJARAN
Musuh Islam
~ Musuh-musuh Islam akan
bergabung sesama mereka untuk menentang Islam sebagaimana kaum Musyrikin
bergabung dengan Abu Sufyan untuk menentang Rasulullah saw.
~ Mereka sanggup
mengorbankan harta benda mereka demi dendam dan kesombongan mereka. Namun
pengorbanan mereka adalah sia-sia disisi Allah SWT.
Kaum Munafiq
~Kaum Munafiq seperti
Abdullah bin Ubay bin Salul akan memberi banyak alasan untuk tidak menyusahkan
dirinya sendiri. Inilah sikap orang Munafiq yang suka berdalih untuk
kepentingan dirinya sendiri.
~ Malah mereka akan menyusahkan
orang Islam. kaum Munafiq seramai 300 orang menarik diri dari peperangan.
Sebenarnya mereka bersifat penakut.
Syahwat dan syaitan
~Syahwat dan pujukan
syaitan mampu meruntuhkan sifat tsabat.
~Allah SWT berfirman:
“Dijadikan indah pada
(pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu;
wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda
pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah lading. Itulah kesenangan hidup di
dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).” QS – (Ali ‘Imran:14)
~ Abu Izzah al- Jumahl sanggup
menentang Rasulullah saw semata-mata kerana ditawarkan harta kekayaan dan
perlindungan anak-anak. Jasa baik Baginda telah dilupakan.
~Sebahagian pasukan
pemanah tentera Muslimin melupakan pesanan Rasulullah saw semata-mata melihat
harta ghanimah dan menyangka telah memenangi peperangan.
Mesyuarat
~Bermesyuarat adalah
sangat penting mendapatkan keputusan yang baik. Rasulullah saw mengadakan mesyuarat
sebelum memulakan peperangan. Walaupun Baginda saw mempunyai pendapat sendiri,
keputusan mesyuarat adalah lebih utama.
~Baginda saw menunjukkan
sikap tsabat terhadap keputusan mesyuarat dengan bersabda: “Tidak wajar bagi seorang nabi, apabila dia memakai baju perisainya
untuk dia menanggalkannya semula, sehinggalah Allah memberikan hukuman
antaranya dan musuhnya.”
Tsabat dalam keta’atan
~Tetap teguh dalam
keta’atan terhadap pemimpin mampu membawa kepada kejayaan. Sebahagian pasukan
pemanah Muslimin telah tidak tsabat dengan arahan Rasulullah saw dan ketua
Pemanah yakni Abdullah bin Jubair r.a. Ini menjadi penyebab hilangnya
pertolongan Allah SWT. Tentera Muslimin ramai menjadi syahid.
Straregi yang baik
~Setiap gerak-kerja
mesti mempunyai strategi yang baik dan teliti. Rasulullah saw membahagikan
tenteranya dan menempatkan mereka di tempat yang strategik. Pasukan pemanah
mengawal pasukan penyerang dari belakang. Pasukan penyerang pula mahir dalam
penggunaan pedang.
~Rasulullah saw tidak
membenarkan kaum kafir Yahudi daripada menyertai kumpulan kaum Muslimin. Sikap
berhati-hati ini penting supaya tidak membawa masalah yang lebih besar semasa
peperangan.
~Sebagai seorang ketua,
Rasulullah saw memberi perangsang dan motivasi kepada tenteranya supaya berjiwa
besar. Baginda saw telah menawarkan pedang yang dipegang sebagai lambang
kekuatan dan bertempur habis-habisan.
~Kelengkapan perang adalah
penting untuk membantu kejayaan seperti anak panah, pedang, tombak dan perisai
digunakan sebagai pertahanan dalam peperangan. Rasulullah saw sendiri telah
memakai dua baju besi sebagai perisai.
Peranan Wanita
~Rasulullah saw
bersetuju jika para wanita terlibat dalam memerangi kaum Musyrikin dengan
membaling batu kepada mereka melalui tempat yang selamat iaitu dari atas
bumbung rumah.
~Para ibu kaum Muslimin sebagai
pendorong kepada anak-anak dan suami mereka untuk berjuang mendapatkan syahid.
~Di dalam peperangan
Uhud, Nasibah Ummu ‘Umarah al-Ansoriyyah bertugas mengambil air dan memberi minum
tentera Muslimin yang telah tercedera. Melihatkan keadaan genting serangan ke
atas Nabi saw, beliau telah turut serta berperang melindungi Rasulullah saw.
Begitu juga Ummu Aiman.
Kaum Muslimin mencari akhirat berbanding kesenangan dunia
~Semangat jihad kaum
Muslimin amat mengkagumkan. Masing-masing tidak ingin melepaskan peluang untuk
mendapat syahid dihadapan Allah SWT. Mereka merebut kesenangan hidup di akhirat
berbanding kesenangan kehidupan di dunia. Yang muda, kurang 15 tahun ingin ke
medan jihad. Yang tua, yang tempang juga tidak ingin melepas peluang untuk
berjihad. Yang baru berkahwin pun sanggup meninggalkan isteri dan kesenangan
dunia itu semata-mata untuk mengejar syahid kerana Allah SWT.
~Tiada erti kekalahan.
Bagi mereka, mereka tetap akan menang. Sama ada menang mendapat syahid atau
menang dapat mengalahkan musuh Islam.
~Para sahabat menyayangi
Rasulullah saw melebihi sayang mereka kepada diri mereka sendiri. Sanggup
bergadai nyawa demi mempertahankan Baginda saw.
Ghazwah Uhud adalah Ghazwah ujian dan penapisan
~Melalui Ghazwah Uhud
ini, terserlah dengan jelas, siapakah yang benar-benar beriman dan siapakah
yang kufur atau munafiq.
Allah SWT berfirman:
“Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan
syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedangkan mereka kekal di dalamnya
dan itulah sebaik-baik orang-orang yang beramal.” QS – (Ali ‘Imran:136)
Maksudnya;
Pahala orang-orang yang
ta’at. Allah SWT menyebutkan musibah yang menimpa kaum Muslimin, ujian yang
terjadi pada mereka, pembersihan terhadap apa yang ada pada mereka, dan
menunjukkan beberapa orang dari mereka menjadi syuhada’, Allah berfirman
menghiburkan mereka, menjelaskan kepada mereka apa yang mereka kerjakan, dan
apa yang Dia kerjakan pada mereka.
Allah SWT berfirman:
“Jika kamu(di Perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum
(kafir) itupun (pada Perang Badar) mendapat luka yang serupa, dan masa
(kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia.” –QS (Ali ‘Imran:140)
Maksudnya:
Aku kitarkan di antara
manusia untuk proses ujian dan pembersihan.
Setelah itu Allah SWT
berfirman:
“Dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan
orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu djadikan-Nya (gugur sebagai)
syuhada’, dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.” – QS (Ali ‘Imran:140)
Maksudnya:
Agar Allah SWT
membezakan antara orang-orang Mukmin dengan orang-orang Munafiq dan memuliakan
orang-orang Mukmin dengan menjadikan mereka sebagai syuhada’. Orang Munafiq
menampakkan keta’atan dengan mulut sedangkan hati mereka terus- menerus bermaksiat.
Kemudian Allah SWT
berfirman:
“Dan agar Allah membersihkan orang-orang beriman, dan
membinasakan orang-orang yang kafir.” – QS (Ali ‘Imran:141)
Maksudnya:
Allah SWT menguji
orang-orang yang beriman kerana ingin membersihkan mereka dengan ujian yang
terjadi pada mereka, dengan kesabaran dan keyakinan mereka. Dengan ini Allah
SWT membatalkan ucapan orang-orang Munafiq dengan mulut mereka yang tidak
bersumber dari hati mereka sehingga terlihat jelas kekafiran mereka yang selama
ini mereka tutup-tutupi.
Kemudian Allah SWT
berfirman:
“Apakah kamu kira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum
nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata
orang-orang yang sabar.” – QS (Ali ‘Imran:142)
Maksudnya:
Apakah kamu kira kamu masuk
syurga dan mendapatkan balasan kemuliaan dari-Ku, padahal Aku belum menguji
kamu dengan penderitaan dan hal-hal yang tidak menyenangkan sehingga dengan
cara seperti itu Aku mengetahui kejujuran kamu dengan beriman kepada-Ku dan
bersabar atas apa saja yang menimpa kamu di jalan-Ku.
~ Kaum Muslimin diuji
dengan berita kewafatan Rasulullah saw dalam peperangan. Siapakah di antara
mereka yang terus berjuang dan menegakkan Islam selepas ketiadaan Baginda.
Inilah tugas Khalifah, iaitu mengambil tugas Rasul selepas kewafatannya. Perlu
bersikap tsabat.
Allah SWT berfirman:
“Muhammad tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah
berlalu sebelumnya beberapa Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu
berbalik ke belakang? Barang siapa berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat
mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun dan Allah akan member balasan
kepada orang-orang yang bersyukur.” – QS (Ali ‘Imran:144)
Maksudnya:
Apakah jika Muhammad
meninggal dunia atau terbunuh, kamu keluar dari agama Islam, menjadi kafir seperti
sebelumnya, meninggalkan jihad melawan musuh, meninggalkan Kitab Allah, dan
meninggalkan agama-Nya yang ditinggalkan nabi kepada kamu? Padahal Muhammad
telah menjelaskan kepada kamu dalam apa yang ia bawa dari-Ku bahawa ia akan
mati dan meninggalkan kamu!
Taubat untuk Keampunan Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang
~ Setiap Muslim, apabila
tersedar dari kesilapan maka bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat.
Sesungguhnya Allah SWT Maha menerima taubat hamba-hamba-Nya yang berdoa
kepada-Nya.
Allah SWT berfirman:
“Tidak ada doa mereka selain ucapan, ‘Ya Tuhan kami, ampunilah
dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan
kami dan tetapkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap kaum yang
kafir.”
– QS (Ali ‘Imran:147)
Maksudnya:
Ucapkan seperti mereka
ucapkan, ketahuilah bahawa musibah itu terjadi kerana dosa-dosa kamu. Mintalah
ampunan kepada Allah sebagaimana mereka meminta ampunan kepada-Nya. Berjalanlah
di atas agama kamu seperti mereka berjalan di atas agama mereka. Janganlah kamu
murtad dari agama kamu, mintalah Allah mengukuhkan kaki-kaki kamu seperti mereka
meminta hal yang sama kepada-Nya. Dan mintalah pertolongan kepada-Nya atas
orang-orang kafir, kerana itu semua termasuk ucapan para pengikut nabi yang
telah terbunuh dan mereka tidak berbuat seperti perbuatan kamu.
Menentang orang yang menghina Allah SWT dan agama-Nya
~Rasulullah saw tidak
meminta para sahabat menjawab seruan Abu Sufyan tentang diri mereka tetapi
Baginda saw meminta Saidina Umar r.a bersuara apabila Abu Sufyan menghina Allah
SWT dan agama-Nya dengan kata-kata: . “Menanglah(agama)
Hubal! Mulialah(agama) Hubal!” dan seterusnya.
~Kepayahan Rasulullah
saw dan para sahabat Baginda saw semata-mata kerana mempertahankan Allah SWT
dan agama-Nya. Mereka yakin Allah SWT pasti membantu mereka jika mereka ta’at,
sabar, dan tsabat dalam perjuangan. Ganjaran daripada Allah SWT adalah sangat
besar jika mereka terkorban kerana-Nya.
Wallahu’alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan