Surah 97:Kemuliaan/Keagongan/Ukuran
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ (١) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ
(٢) لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬ (٣) تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا
بِإِذۡنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ۬ (٤) سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ (٥)
Sesungguhnya Kami telah menurunkan
(Al-Quran) itu pada Lailatul-Qadar, (1) Dan tahukah engkau apakah Lailatul-Qadar itu? (2) Lailatul-Qadar itu
lebih baik dari seribu bulan. (3) Pada Malam itu, para malaikat dan roh
(Jibril) turun dengan perintah Tuhan mereka, kerana membawa segala urusan (yang
bijaksana); (4) Sejahteralah Malam itu hingga fajar menyingsing! (5)
Nama
Surah
Surah ini adalah surah
Makkiyah. Dinamakan al-Qadr kerana membicarakan tentang kebesaran, kelebihan,kemuliaan
dan keberkatan malam al-Qadr. Diturunkan selepas surah ‘Abasa. Surah ini juga
menerangkan permulaan al-Qur’an diturunkan, Manakala surah al-Baiyinah
menerangkan salah satu sebab mengapa Allah swt menurunkan al-Qur’an.
Sedikit
Sirah
Perlu diketahui bahawa sebelum
penurunan al-Qur’an, corak kehidupan masyarakat Arab Quraisy yang Jahiliyyah di
Makkah tidak sesuai dengan jiwa
Rasulullah saw. Mereka menyembah berhala-berhala, suka berjudi, minum arak,
penzinaan dan perbuatan maksiat yang lain amat tidak mententeramkan Baginda.
Oleh itu Baginda lebih banyak mengasingkan diri dari masyarakat liar itu sambil
merenungi penciptaan alam yang amat mengkagumkan. Rasulullah saw hanya akan bersama-sama
mereka jika ada sesuatu yang baik sahaja.
Rasulullah saw tidak
mempunyai jalan yang jelas yang boleh mententeramkan jiwanya di saat itu. Oleh
itu tergerak dihati Baginda untuk
bertahannuth(uzlah/menyendiri) di Gua Hira’ . Baginda berulang alik ke gua itu
di sepanjang bulan Ramadhan. Baginda ke sana bertujuan mencari ketenangan
sambil bertafakur mencari petunjuk dan kebenaran dari Allah swt. Itulah sahaja
antara pilihan yang ada.
Hakikatnya, semua ini
merupakan perancangan Allah swt untuk mempersiapkan Nabi Muhammad saw memegang jawatan yang amat penting dan berat.
Pada usia Baginda 40-an,
tanda-tanda kenabian mula terserlah. Baginda telah bermimpi benar bagaikan
fajar yang terang di pagi hari. Menurut riwayat Ibn Ishaq, wahyu pertama iaitu
permulaan surah al-‘Alaq adalah diturunkan dalam bulan Ramadhan semasa
Rasulullah saw beribadat di dalam Gua Hira’ ini.
Asbabun
Nuzul
Ibnu Abi Hatim dan
al-Wahidi meriwayatkan dari Mujahid mengemukakan bahawa Rasulullah saw pernah
menyebut tentang seorang dari Bani Israel yang berjuang fisabilillah
menggunakan senjatanya selama 1000 bulan secara berterusan. Kaum muslimin
merasa kagum dengan perjuangan orang
tersebut. Maka Allah swt menurunkan ayat 1-3 dari surah al-Qadr yang
menerangkan bahawa satu malam lailatul qadar itu lebih baik daripada perjuangan
Bani Israel itu selama 1000 bulan.
Ibnu
Jarir meriwayatkan dari Mujahid mengemukakan bahawa pada zaman Bani Israel
terdapat seorang lelaki yang beribadat pada malam hari dan berjuang memerangi
musuh pada siang harinya. Perbuatan ini dilakukan selama 1000 bulan. Maka Allah
swt menurunkan ayat 1-3 dari surah al-Qadr ini yang menjelaskan bahawa satu
malam lailatul qadar itu adalah lebih baik daripada amalan 1000 bulan Bani
Israel tersebut.
Ayat 1
إِنَّآ
أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ (١)
“Sesungguhnya
Kami telah menurunkannya pada Lailatul-Qadar, (1)”
Allah swt telah
menggunakan kata ganti ‘nya’ pada ayat ini. Namun begitu ia tetap
difahami sebagai kata ganti kepada al-Qur’an kerana ia sangat besar nilainya
kepada Rasulullah saw.
Ayat ini juga sejajar dengan
firman Allah swt dalam surah al-Dukhan 44:3,
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam
yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi
peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”
Ia
diturunkan pada bulan Ramadhan berdasarkan kepada firman Allah swt di dalam
surah al-Baqarah 2:185,
“….bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi
petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang
menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang
salah……”
Pendapat Ibnu Abbas
dan sejumlah ulama, kemudian dipegang oleh jumhur ulama, bahawa “Yang
dimaksudkan dengan turunnya al-Qur’an dalam ayat-ayat di atas ialah turunnya
al-Qur’an secara sekaligus ke Baitul ‘Izzah di langit dunia untuk menunjukkan
kepada para malaikat-Nya bahawa betapa agongnya persoalan ini. Selanjutnya
al-Qur’an diturunkan kepada Nabi saw secara beransur-ansur selama dua puluh
tiga tahun bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa yang mengiringinya bermula
dari beliau diutus sehinggalah wafatnya. Selama tiga belas tahun beliau tinggal
di Makkah, dan selama itu jugalah wahyu turun kepadanya. Selepas hijrah, beliau
tinggal di Madinah selama sepuluh tahun. Beliau wafat dalam usia enam puluh
tiga tahun.”
Diriwayatkan dari Ibnu
Abbas, dia pernah ditanya oleb Athiyah bin al-Aswad, katanya, “Dalam hatiku
terjadi keraguan berkenaan firman Allah, “Bulan Ramadhan itu ialah bulan yang
di dalamnya diturunkan al-Qur’an”, dan firman Allah, “Sesungguhnya Kami
rnenurunkannya pada Lailatul Qadr”. Padahal al-Qur’an itu ada yang diturunkan
pada bulan Syawwal, Dzulqa’edah, Dzuihijjah, Muharram, Shafar dan Rabi’ui
Awwal.” lbnu Abbas menjawab, “Al-Qur’an ditununkan pada Lailatul Qadr
sekaligus, kemudian diturunkan secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit dan
terpisah-pisah serta perlahan-lahan di sepanjang bulan dan hari.” (Hadis
Riwayat Ibnu Mardawaih dan al-Baihaqi dalam Kitab al-Asma’ wa ash-Shifat)
Ayat
2-3
(٣) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا
لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ (٢) لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬
Dan
tahukah engkau apakah Lailatul-Qadar
itu? (2) Lailatul-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. (3)
Allah swt telah menyebut
tentang malam Lailatul Qadr(malam kemuliaan). Kemudian Allah swt bertanya pula
apakah malam tersebut? Apa yang mulia? Bagaimana yang dikatakan mulia? Sudah
tentu tiada siapa yang dapat menjawab persoalan-persoalan itu. Ia di luar
pemikiran manusia. Melainkan ia dikhabarkan oleh Allah Azzawa Jalla sendiri.
Sesungguhnya Dia-lah pencipta dan memiliki seluruh alam buana ini. Justeru ,Dia
ingin kita memahami betul-betul apakah malam Lailatul-Qadr itu.
Allah Azzawa Jalla
menjelaskan bahawa malam yang mulia itu adalah lebih mulia, lebih baik dan
lebih istimewa daripada seribu bulan. Kemuliaan, kelebihan dan keistimewaan ini
tidak akan diperolehi dari mana-mana malam di dalam bulan yang lain selain dari
bulan Ramadhan.
Mengikut As-Syahid
Sayyid Qutb Rahimahullah di dalam Fi Zilalil Qur’an, angka bilangan yang
disebut di dalam Al-Qur’an di tempat-tempat yang seperti ini tidaklah memberi
makna bilangan yang terbatas, malah yang dimaksudkan dengan bilangan itu(1000
bulan) ialah bilangan yang banyak.
Laila juga memberi erti masa. Manakala Qadr memberi erti ukuran. Jadi Lailatul
Qadr boleh diertikan sebagai ukuran masa atau mutu/kualiti masa yang diberikan
oleh Allah swt kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Panjang atau pendeknya
keberkatan itu bergantung kepada rahmat Allah swt yang boleh menjadikan satu malam itu sahaja
adalah lebih baik dari 1000 bulan(83 tahun).
Rasulullah saw di Isra’
Mi’rajkan dalam ukuran masa berapa lama? Menurut riwayat Saidatina Aisyah r.ha
bahawa perjalanan Rasulullah saw hanyalah seketika sahaja kerana tempat
perbaringan Baginda terasa masih panas sekembalinya dari Isra’ Mi’raj itu. Jika
difikirkan dengan logik akal, perjalanan dari Mekah ke Baitul Maqdis, kemudian
naik ke langit tujuh ,seterusnya bertemu
dengan Allah swt dan akhirnya melalui
perjalan pulang semula, semua ini sudah tentu memakan masa yang berbulan-bulan
lamanya. Itulah keberkatan masa yang diberikan oleh Allah swt kepada Rasulullah
saw.
Ulama termasyur, Imam
As-Syafi’e dapat mengkhatamkan bacaan 30 juzuk al-Qur’an dalam satu pusingan
tawaf sahaja. Ini bermakna beliau dapat mengkhatamkan bacaan al-Qur’an sebanyak
tujuh kali semasa tawaf tujuh pusingan.
Inilah keberkatan masa yang Allah swt anugerahkan kepada beliau.
Oleh itu, kita sebagai
orang awam jangan melepaskan peluang mendapat
keberkatan pada malam al-Qadr ini dengan melaksanakan peribadatan dan
berubudiyah kepada Allah swt. Allah swt-lah yang memilih malam ini sebagai
malam yang berkat. Yakinlah kita dengan tawaran yang julung-julung kali ini.
Sesungguhnya Allah swt tidak pernah memungkiri janji-Nya.
Ayat
4
تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ
وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذۡنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ۬ (٤)
Pada Malam itu, para malaikat dan roh
(Jibril) turun dengan perintah Tuhan mereka, kerana membawa segala urusan (yang
bijaksana); (4)
Allah swt memperjelaskan
lagi kenapa malam al-Qadr itu mempunyai kelebihan, kemuliaan dan keistimewaan
melebihi malam-malam yang lain. Pada malam itu, malaikat Jibril(roh) turun ke
bumi. Begitu juga para malaikat yang
lain turun dari tujuh petala langit dan dari Sidrah al-Muntaha. Mereka menerima
arahan dari Allah Azzawa Jalla dan dengan keizinan-Nya untuk berurusan dengan
manusia di bumi. Tidakkah ini suatu kemuliaan dan keistimewaan diberikan kepada
manusia dari Rabb-nya? Mereka turun ke bumi semata-mata menguruskan urusan
manusia. Ini semua adalah perintah Allah swt. Tidak terasakah kasih sayang
Allah Azzawa Jalla kepada makhluk-Nya yang bernama manusia?
Allah swt berfirman di
dalam surah Maryam, ayat 64;
“Dan
tidaklah kami(Jibril) turun, kecuali dengan perintah Tuhanmu.”
Rasulullah saw bersabda,
maksudnya;
“Sesungguhnya
Allah telah menentukan satu ketentuan yang khusus pada malam al-Bara’ah(malam
melupuskan). Apabila tiba malam al-Qadr maka Allah sampaikan ketentuan khusus
itu kepada malaikat pelaksana.”
Apakah ketentuan khusus
atau segala urusan(al-Qadr:4) yang dimaksudkan itu ?
Merujuk kepada Fi
Zilalil Qu’ran, Lailatul-Qadr adalah satu malam yang amat agung kerana ia telah
dipilih oleh Allah swt sebagai malam permulaan Nuzul-Qur’an atau permulaan
melimpahkan cahaya agama Allah swt ke seluruh alam. Al-Qur’an membawa kepada
kesejahteraan dan kedamaian yang meresap ke dalam hati dan kehidupan manusia.
Di dalamnya juga mengandungi aqidah, kefahaman, syari’at dan adab sopan yang
memancarkan kesejahteraan di bumi dan di hati nurani. Kedudukan hakikat-hakikat peraturan-peraturan dan
kedudukan hati-hati manusia itulah ‘urusan
yang bijaksana’. Pentingnya melebihi dari kepentingan individu-individu,
kedudukan kerajaan, kedudukan bangsa dan lebih penting dari kepentingan-kepentingan yang lain.
As-Syahid Sayyid Qutb
Rahimahullah menggambarkan peristiwa malam yang agung itu berkilau-kilau memancarkan
nur al-Qur’an. Nur yang membawa ketenangan, keindahan dan kemesraan. Kilauan
itu juga dari nur para malaikat dan Jibril yang berulang-alik di antara bumi dan alam al-Mala’ul-A’la di
sepanjang malam tersebut.
Allah swt telah mengangkat
darjat Nabi saw dan pengikut-pengikut
risalahnya. Ia juga merupakan penamat risalah kenabian.
Allah swt berfirman di
dalam surah al-Dukhan, ayat 4;
“Pada
malam itu ditentukan segala urusan dengan penuh hikmah.”
Ayat 5
سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ (٥)
Sejahteralah
Malam itu hingga fajar menyingsing! (5)
Roh surah ini
adalah beramal di malam al-Qadr. Bermula dari waktu Maghrib dan berakhir di
waktu Subuh(fajar menyingsing).
Imam Ahmad
meriwayatkan dari ‘Ubadah Ibn al-Samit bahawa Rasulullah saw bersabda;
“Malam
al-Qadr berlaku pada sepuluh malam terakhir. Barangsiapa yang menghayati (dan
memakmurkan) malamnya dengan penuh kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan
segala dosa yang telah lalu dan akan datang. Malam al-Qadr berlaku pada malam
yang witir: malam Sembilan, malam ketujuh, malam kelima atau malam ketiga atau
malam yang terakhir.”
Di dalam sahih
al-Bukhari dan sahih Muslim, sabda Rasulullah saw;
“Carilah
Lailatul-Qadr itu pada malam-malam sepuluh yang terakhir dari bulan Ramadhan.”
“Barangsiapa
yang berbuat ibadat pada Lailatul-Qadr kerana didorong keimanan dan harapan
mendapatkan pahala dari Allah nescaya diampunkan segala yang telah lalu.”
Abu Daud al-Tayalisi
meriwayatkan dari Ibn ‘Abbas r.a bahawa Rasulullah saw telah bercerita tentang malam
al-Qadr, Baginda bersabda;
“Malam al-Qadr adalah
malam yang penuh nyaman dan penuh ketenangan, tidak terlalu panas juga tidak
terlalu sejuk, matahari muncul di waktu paginya dalam suasana kemerahan yang
samar-samar.”
Diriwayatkan oleh Abi
Asim al-Nabil daripada Jabir Ibn Abdillah bahawa Rasulullah saw bersabda;
“Sesungguhnya aku telah
melihat malam al-Qadr,tetapi aku lupa masanya. Ia berlaku(sekitar) sepuluh
malam terakhir bulan Ramadhan. Ia adalah satu malam yang tenang, nyaman, tidak
terlalu panas dan juga tidak terlalu sejuk. Malamnya cerah bagaikan berbulan.
Para syaitan tidak keluar pada malam tersebut sehinggalah cahaya fajar
menyingsing.”
Jelas di sini bahawa
malam al-Qadr adalah malam yang diliputi dengan segala kebaikan disebabkan
turunnya al-Qur’an dan para malaikat sebagai saksi. Malam yang serba selamat,
aman, baik dan berkat sehingga fajar menyingsing.
Pengajaran
daripada surah:
1.
Al-Qur’an
adalah panduan kehidupan yang tersangat penting bagi setiap Mukmin.
2.
Beramal
dan berbuat kebajikan pada malam al-Qadr adalah lebih baik dari beramal dalam
seribu bulan yang tidak ada malam al-Qadr kerana malam tersebut Allah swt
menyediakan kebaikan yang banyak, yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain.
3.
Para
malaikat akan turun dari tujuh petala langit untuk berurusan hal-hal manusia
atas arahan Allah swt.
4.
Hikmah
disebalik kerahsiaan malam al-Qadr ialah agar setiap Mukmin sentiasa melakukan
ketaatan kepada Allah swt, bersungguh-sungguh, tidak malas dan sentiasa
mengingati Allah swt.
5.
Sesiapa
yang melupakan malam al-Qadr akan kehilangan nikmat Allah swt dan kerugian
tidak memperolehi kedamaian hati. Juga tidak akan mendapat keberkatan yang
dijanjikan.
6.
Amal
ibadat yang dilakukan pada malam itu hendaklah beserta dengan hati yang
penuh keimanan, ikhlas dan harapan mendapat pahala dari Allah swt.
7.
Bersabarlah
untuk beramal pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.
Wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan