30 Oktober 2012

5.3 AL BAQARAH(SAPI BETINA) Bahagian 1

Kelebihan surah:

 Imam Muslim r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Pada hari Qiamat al-Qur’an akan didatangkan beserta ahlinya, iaitu mereka yang mengamalkannya di dunia. Yang berada di depan adalah surah al-Baqarah dan Ali-Imran. Keduanya memberikan pembelaan untuk sahabatnya.”

Dalam riwayat Imam Muslim yang lain:

“Keduanya seolah-olah dua awan, atau dua naungan hitam. Di antaranya terdapat cahaya atau keduanya seperti dua kelompok burung yang sedang terbang.”

Imam al-Bukhari r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Rumah yang di dalamnya dibacakan surah al-Baqarah tidak akan dimasuki oleh syaitan.”

Dalam riwayat lain disebut, “….tidak akan dimasuki syaitan selama 3 hari.”

Seorang Mukmin yang membaca, menghafal dan terutama yang mengamalkan surah al-Baqarah dan surah Ali-Imran ini akan menjadi sahabat kepada keduanya. Mereka akan dibela dan dipayungi di akhirat kelak. Manakala rumah yang dibaca dengan surah al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan. Ini adalah satu jaminan yang perlu diyakini. Gunalah senjata ini sebagai pelindungan di dunia dan di akhirat.

Surah Madaniyyah:

Surah ini diturunkan di Madinah. Bermula selepas hijrah Rasulullah saw ke Madinah sehinggalah Rasulullah saw wafat (sepanjang 10 tahun). Surah ini mengiringi pembentukan masyarakat Islam dan umat Islam.

Tema/Topik utama surah:

Memegang amanah sebagai khalifah

Atau dengan kata lain; Kamu bertanggungjawab terhadap muka bumi ini. Apa sahaja yang berlaku di atas muka bumi ini adalah tanggungjawab kamu sama ada kesan baik atau buruk.

Allah swt berfirman di alam surah al-Baqarah:30

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.”

Di dalam surah al-Ahzab:72

“Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir tidak akan melaksanakannya(berat), lalu dipikullah amanat itu oleh manusia.”

Manusia adalah sebahagian daripada alam ciptaan Allah swt. Manusia diberikan akal dan jawatan khalifah yang menjadikannya makhluk istimewa. Jawatan ini adalah satu kemestian. Diberi mandat menguasakan bumi agar teratur sesuai dengan manhaj atau cara yang dikendaki oleh Allah swt. Sesiapa pun tidak boleh menarik diri dari tugas ini. Di akhirat kelak akan dipersoalkan tanggungjawab ini sama ada dilaksana ataupun tidak.

Kelengkapan untuk mentadbir telah tersedia dan lengkap. Allah swt menjadikan semua makhluk di bumi ini untuk kegunaan manusia. Maka pergunakanlah ia dengan sewajarnya.

Allah swt berfirman dalam surah al-Baqarah:22

“Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air(hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki Allah, padahal kamu mengetahui.”

Jelaslah disini bahawa manusia perlu memastikan semua diatas muka bumi ini mengikut cara atau kehendak Allah swt. Mereka mesti memastikan ia boleh berlaku.

Kepimpinan ini akan digantikan kepada yang lain jika berlaku maksiat atau tidak menjalankan tugasnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt. Sejarah telah membuktikannya sebagaimana dinyatakan di dalam al-Qur’an, turutan amanah yang diberikan oleh Allah swt;

1.       Iblis. Tetapi tidak menjalankan tanggungjawab dengan mengikut kehendak Allah swt.

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam!” Maka merekapun sujud kecuali Iblis. Ia menolak dan menyombongkan diri; dan ia termasuk orang-orang yang zalim!” – QS al-Baqarah:34


2.       Nabi Adam telah dikeluarkan dari syurga kerana ingkar arahan Allah swt, tetapi telah bertaubat dan mendapat pengampunan Allah swt.

“Lalu keduanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga dan dikeluarkan dari keadaan semula.” – QS al-Baqarah:36

Qobil dan pengikut Nabi Adam a.s juga telah ingkar dan tidak menunaikan tanggungjawabnya.

3.       Ada anak cucu Nabi Ibrahim a.s yang telah tidak menunaikan tanggungjawab ini.

4.       Pengikut Nabi Musa a.s (Bani Israil), telah menyembah lembu (Samiri) walaupun hanya ditinggalkan oleh Nabi Musa a.s dalam tempoh yang tidak lama.

5.       Sekarang berpindah kepada umat Nabi Muhammad saw. Jika tidak menjalankan tanggungjawab ini, Allah swt akan pindahkan amanah ini pada orang lain.

Maka, maksiat adalah penyebab terjadinya penggantian kepemimpinan. Belajarlah dari kesalahan umat terdahulu dan hindarilah kesalahan tersebut supaya dapat kekal memimpin dunia.

Pembahagian surah:

 Surah al-Baqarah adalah surah yang terpanjang di dalam al-Qur’an. Mengandungi 286 ayat.

2 juzuk ½

1 juzuk mengandungi 20 mukasurat. 2 juzuk mengandungi 40 mukasurat. ½ lagi adalah 8 mukasurat. Jumlah semua 48 mukasurat.

Juzuk 1

 Terbahagi kepada 4 kisah atau cerita.

1.       Kejadian manusia. Ayat 1 – 20.

 Manusia dibahagikan kepada 3 kategori mengikut pandangan Allah swt.

                                I.            Mukmin dan sifat-sifatnya. Ayat 1 - 5

                              II.            Orang kafir dan sifat-sifatnya. Ayat 6 -7

                            III.            Orang munafik dan sifat-sifatnya. Ayat 8 – 20

Sifat orang munafik adalah bahaya. Menjadi kafir adalah rugi selama-lamanya. Hanya orang Mukmin yang dipilih oleh Allah swt sebagai pemimpin dunia. Sifat utama pemimpin dunia yang pertama disebutkan ialah beriman pada yang ghaib. Sifat ini-lah yang tidak dimiliki oleh pimpinan terdahulu. Mereka materialisme dan hanya percaya kepada benda yang boleh dilihat oleh mata kasar.

2.       Kisah Nabi Adam a.s. Ayat  30 – 38

Kisah Nabi Adam dan iblis ada di banyak tempat di dalam al-Qur’an. Seolah-olah kisah yang
sama diulang-ulang tetapi gaya penceritaan yang berbeza. 

             Allah swt mulakan cerita dengan penegasan ‘ingatlah!’. Ingat apa?  “(ketika) Aku nak jadikan
             khalifah di bumi.”-QS al-Baqarah:30. Jadi manusia pertama menjadi khalifah ialah Nabi Adam
             a.s             

             Khalifah adalah dari perkataan ‘Kho-La-Fa’ yang bermaksud belakang. Yang mengganti. Iaitu
             yang mengganti memimpin untuk melaksanakan apa yang dikehendaki oleh Allah swt.    
             Khalifah Saidina Abu Bakar r.a bermaksud yang mengganti memimpin sebagaimana
             Rasulullah saw memimpin, mengikut apa yang dikehendaki oleh Allah swt. Begitu juga kita
             sebagai umat Nabi Muhammad saw.  Apa sebenarnya yang Allah swt nak? Perlulah merujuk  
             al-Qur’an untuk mengetahui apa yang dikehendaki oleh Allah swt disamping mendalami
             sunnah Rasulullah swt sebagai penunjuk atau contoh tauladan.

             Oleh kerana Nabi Adam a.s melakukan sesuatu yang menjadi larangan Allah swt, maka telah
             diturunkan ke bumi bersama dengan isterinya Hawa. Walaupun segalanya adalah tetapan
             Allah swt, namun Allah swt menjadikan sesuatu itu beserta dengan asbab-asbabnya.
             Disebabkan hasutan syaitan sebagai musuh manusia yang ketat, Nabi Adam a.s dikeluarkan
             dari Syurga turun ke bumi kerana gagal dengan ujian ketaatan kepada Allah swt supaya tidak
             mendekati sepohon pokok di dalam syurga.

Allah swt telah mengajarkan kepada Nabi Adam a.s tentang dunia. Ini merupakan satu
persiapan dan pemberitahuan dari Allah swt bahawa seorang khalifah perlu faham bahawa
memakmurkan bumi tidak hanya dengan ibadah khusus seperti solat dan puasa sahaja,
tetapi juga dengan pengelolaan kehidupan dan teknologi. Disamping berhati-hati dengan
halangan dan cabaran terutama daripada syaitan yang direjam.


3.       Kisah Bani Israil. Ayat 40 - 123

Allah swt mulakan kisah Bani Israil dengan “Wahai Bani Israil! Ingatlah nikmat-Ku yang telah Aku berikan kepadamu. Dan penuhilah janjimu kepada-Ku niscaya Aku penuhi janji-Ku kepadamu dan takutlah kepada-Ku saja.” – QS al-Baqarah:40

Apakah janji Bani Israil ini? janji itu ialah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah dan mengingati nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh Allah swt, tetapi mereka telah gagal menunaikannya serta melupakan nikmat-nikmat tersebut. Apakah nikmat-nikmat itu? Di antaranya;

·         Menyelamatkan mereka daripada Fir’aun dengan terbelahnya laut.(ayat 50)

·         Memaafkan kesalahan mereka.(ayat 52)

·         menaungi mereka dengan awan dan mengurniakan kepada mereka ‘manna’ dan ‘salwa’.(ayat 57)

Kepimpinan Bani Israil adalah kepimpinan yang gagal. Banyak kesalahan dan keingkaran
mereka. Ini adalah satu peringatan kepada kepimpinan yang akan datang supaya berhati-hati
dalam memimpin. Jangan terjerumus ke dalam kesalahan sebagaimana yang dialami oleh
Bani Israil.

Apakah kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan? Di antaranya;

·         Tidak beriman kepada Allah swt kecuali apa yang terlihat oleh mata kasar. Bermakna tidak beriman pada yang ghaib.(ayat 55)

·         Membunuh para nabi.

·         Banyak berbuat dosa.

·         Mendustakan ayat-ayat Allah swt.

·         Mempunyai rencana yang busuk(melakukan pelanggaran pada hari Sabtu)

·         Banyak dolak-dalih(banyak songe) terhadap kisah sapi betina.

Kebanyakan ujian yang diberikan kepada mereka ialah tugasan ketaatan kepada Allah swt dan mensyukuri nikmat-Nya.

Kisah sapi betina dan perkaitannya dengan nama surah:

Kisah sapi betina dipilih oleh Allah swt sebagai tajuk surah(ayat 67-71). Ini supaya kaum muslimin tidak banyak soal terhadap suruhan Allah swt dalam memegang amanah ini dan dapat menghindari kesalahan yang serupa.

Kisah al-Baqarah ini bermula dengan seorang lelaki dari kalangan Bani Israil terbunuh. Tiada seorang pun mengetahui pelakunya sehingga berlaku perselisihan di antara mereka. Lalu Allah swt menurunkan wahyu agar mereka menyembelih sapi betina dan mengambil sekerat daging untuk dipukulkan kepada si mayat. Allah swt pun menghidupkannya dan mayat itu memberi tahu nama pembunuhnya.

Allah swt meminta mereka berbuat demikian kerana mereka tidak percaya benda yang ghaib. Juga untuk menunjukkan kekuasaan Allah swt ke atas segala sesuatu dan tidak semua urusan berlaku seperti kebiasaan.

Pada mulanya mereka enggan melaksanakan suruhan Allah swt kerana perbuatan itu tidak logik dan tidak dapat memahami hikmah disebalik suruhan tersebut. Inilah kesalahan mereka; materialism, banyak membangkang, ketidaktaatan kepada Allah swt dan para nabi, dan menyimpang dari manhaj yang sebenar. Jadi kita semua perlu ingat, usah menjadi seperti mereka. Ketaatan kepada Allah swt adalah satu kemestian walaupun hati tidak menyukainya.

Oleh itu surah ini diberi nama al-Baqarah supaya ingat bahawa betapa bahaya perilaku seperti ini. Allah swt melarang meniru perilaku mereka meskipun sekadar istilah yang digunakan oleh  mereka (ayat 104).

Ini adalah satu refleksi kepada kita supaya tidak suka meniru-niru gaya barat walaupun dalam penggunaan perkataan. Allah swt juga mengingatkan orang Mukmin supaya berhati-hati dengan tipudaya mereka kerana mereka ingin orang Mukmin mengikuti mereka sehingga menjadi kafir seperti mereka(ayat 109).

4.       Kisah Nabi Ibrahim a.s. Ayat 124 – 141

Penghujung juzuk 1 diakhiri dengan contoh kepimpinan yang berjaya. Allah swt berfirman;

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat(perintah dan larangan), lalu Ibrahim menyempurnakannya. Allah berfirman, ‘Sesungguhnya aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia.” – QS al-Baqarah:124

Ujian-ujian Nabi Ibrahim a.s di antaranya;

·         Mendapat tentangan dari ayahnya dan kaumnya.

·         Dilemparkan di dalam api.

·         Dikehendaki berhijrah dengan meninggalkan isteri di tengah padang pasir yang kontang.

·         Diperintahkan menyembelih anak sendiri.

Dengan ketaatan dan sabar terhadap ujian-ujian ini, Allah swt telah melantik beliau sebagai imam(ketua). Kemudian Nabi Ibrahim a.s berkata;

“(Dan saya mohon juga) dari keturunanku.” Allah berfirman, ‘Janji-Ku(ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim.” – QS al-Baqarah:124

Ini bermakna, Allah swt hanya akan memilih mereka yang taat kepada-Nya meskipun dari kalangan umat Nabi Muhammad saw. Kemudian Nabi Ibrahim berdoa;

“Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab(al-Qur’an) dan al-Hikmah(as-Sunah) serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” – QS al-Baqarah:129

Doa Nabi Ibrahim ini termakbul dengan kelahiran Nabi Muhammad saw.

Nabi Musa a.s, Nabi Isa a.s dan Nabi Muhammad saw telah mengikuti ajaran Nabi Ibrahim a.s. Kemudian diceritakan sedikit kisah Nabi Ya’qub a.s, Nabi Ishak a.s dan Nabi Ismail a.s.

Perkaitan dengan surah yang lain

·         Dituntut tidak menyerupai Bani Israil(al-Baqarah:104) sebagaimana ayat “bukan (jalan) mereka yang dimurkai.” - QS al-Fatihah:7

·         Surah al-Baqarah:136 menjelaskan mengenai orang yang mendapat nikmat Allah swt sebagaimana di dalam ayat; “Tunjukilah kami jalan yang lurus, (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka…” – QS al-Fatihah:6-7

·         Surah al-Baqarah: 38 memperjelaskan lagi al-Baqarah:2 dan terdapat perkaitan dengan saranan sentiasa berdoa kepada Allah swt agar sentiasa berada di atas petunjuk ini; al-Fatihah:6

Tiada ulasan:

Catat Ulasan