09 Oktober 2012

5.2 SURAH AL-FATIHAH


v  Surah Makkiyyah

Bermaksud turun sebelum hijrah Rasulullah saw ke Madinah. Perlu rujuk sirah bagaimana keadaan Rasulullah saw dan para Sahabat di ketika ini.

v  Ada 7 ayat sahaja.

Terdapat perbezaan pendapat(Khilaf-rujuk tafsir untuk pendetilan):

·  Mazhab Al-Syafi’e dan Hanbali mengatakan Basmallah dikira sebagai salah satu daripada 7 ayat ini. Maka wajib dibaca semasa membaca surah ini.

·  Mazhab Maliki dan Hanafi mengatakan Basmallah bukanlah satu ayat daripada 7 ayat ini. Maka tidak wajib dibaca semasa membaca surah ini.


v  Dibaca sekurang-kurangnya 17 kali dalam sehari di dalam solat kecuali berlaku solat qasar.

Sabda Rasulullah saw:

“Tidak sah solat bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihatul Kitab(al-Fatihah).” – HR Bukhari, Muslim, Abu ‘Uwanah dan al-Baihaqi.

v  Adalah surah yang paling agung dan hebat.

Allah swt berfirman:

“Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan al-Qur’an yang agung.” – QS Hijr: 87

Nabi saw bersabda:

“Sungguh aku akan mengajarkan kepadamu surah yang paling agung dalam al-Qur’an.”  Sahabat bertanya; “Surah apa itu , wahai Rasulullah?” Rasulullah saw membaca; “Alhamdulillah hirrobbil ‘alamin….” sampai akhir surah.” – HR Bukhari, Muslim dan lainnya.

Nabi saw bersabda di dalam hadith yang lain;

“Demi jiwaku yang ada dalam genggaman-Nya, tidaklah Allah menurunkan yang sebanding dengannya(al-Fatihah), baik di dalam Taurat, Injil, Zabur,maupun al-Furqon. Sesungguhnya ia adalah tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang(As-Sab’ul Matsani) dan al-Qur’an yang agung yang diberikan kepadaku.” – HR Ahmad

Ibnul Qayyim menegaskan, “Sesungguhnya Allah swt telah menurunkan sebanyak 104 kitab, seluruh maknanya terkumpul dalam 3 kitab, iaitu Taurat, Injil dan al-Qur’an. Seluruh makna pada 3 kitab tersebut terangkum dalam al-Qur’an. Seluruh makna al-Qur’an terhimpun dalam surah al-Fatihah. Dan seluruh makna al-Fatihah terhimpun dalam ayat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥)

v  Nama surah: perkaitan dengan isikandungannya.

·  Imam al-Qurtubi menyenaraikan 12 nama bagi surah ini.

·  Fatihah bermaksud pembuka. Pembuka kepada Mushaf al-Qur’an. Sebagai kunci pembuka berbagai makna al-Qur’an. Pembuka memahami surah-surah dalam al-Qur’an.

·  Juga di panggil sebagai Ummu al-Kitab(Induk al-Kitab) dan Ummu al-Qur’an(Ibu al-Qur’an) kerana isi kandungannya mengumpulkan semua makna yang ada dalam sebuah al-Qur’an. Iaitu ia terbahagi kepada 3 perkara asas;

o   Aqidah(Tauhid)

o    Ibadah(Fiqh)

o   Sistem Kehidupan(Manhaj al-Haya/cara hidup)

Setiap individu Muslim mempunyai keyakinan(Aqidah) kepada Allah swt sebagai Tuhan. Sebagai hamba, sudah pasti perlu membuat perhubungan dengan-Nya untuk kesejahteraan dunia dan akhirat. Hubungan ini boleh dibuat melalui ibadah(memperhambakan diri). Selain daripada ibadah khusus seperti solat, puasa dan zakat, seseorang Muslim itu perlu juga berhubungan dengan alam sekeliling. Cara atau kaedah  perhubungan yang betul(mengikut syari’at) dan sejahtera adalah satu sistem yang boleh pakai di setiap zaman. Inilah yang dikatakan sebagai Sistem Kehidupan. Semua ini terangkum di dalam surah al-Fatihah.

Ø  Ayat 1 – ayat 4 merangkumi aqidah seorang Muslim. Ibu keimanan kepada Allah swt.

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (١)

Ayat 1: “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”

Nama Tuhan kita ialah Allah yang bersifat sangat Pengasih dan sangat Penyayang kepada hamba-Nya. Tidak terhitung nikmat-nikmat yang diberikan kepada kita.

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٢)

Ayat 2: “Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam.”

Oleh kerana terlalu banyak nikmat yang diperolehi, sepatutnya segala puji-pujian adalah hanya untuk Allah swt, tidak kepada yang lain selain Allah swt kerana Allah-lah Rabb semesta alam. Dia Penjaga, Pemelihara, Pentadbir dan Pengurus segala yang ada di dalam alam semesta ini(semua yang di bumi dan di langit. Sama ada dalam kehidupan nyata ataupun ghaib).


ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (٣)

Ayat 3: Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.”    

Penjagaan Allah swt adalah yang terbaik kerana sifat-Nya yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤)

Ayat 4: “Pemilik Hari Pembalasan(Akhirat).”

Sifat Pemurah dan Penyayang Allah tidak bermakna kita boleh berbuat sesuka hati kita kerana Allah swt menjadikan Hari Akhirat sebagai hari Pembalasan kepada apa sahaja perbuatan kita semasa hidup. Kita akan dihisab. Perbuatan baik diberi ganjaran pahala manakala perbuatan jahat akan diberi ganjaran dosa. Orang yang berat timbangan dosanya akan dimasukkan ke dalam neraka manakala orang yang berat timbangan pahalanya akan dimasukkan kedalam syurga. Semuanya tertakluk kepada rahmat Allah swt.


Ø  Ayat 5 merangkumi ibadah seorang Muslim. Ia merupakan konsep/asas Uluhiyyah seseorang Muslim. 
إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥)

“Hanya kepada Engkau kami sembah, dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan.”

Segala perbuatan, ketundukan, kehambaan dan ikutan hanyalah kepada Allah swt sahaja. Tidak yang lain. Begitu juga segala pertolongan yang diminta dan yang diharapkan hanyalah daripada Allah swt. Tidak yang lain. Hatta mengikat tali kasut pun, perlu memohon pertolongan dari-Nya. Sesiapa yang meminta pertolongan selain daripada Allah swt adalah termasuk ke dalam golongan yang menyengutukan Allah swt.


Ø  Ayat 6 – ayat 7 merangkumi manhaj hidup Muslim.

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦) صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)

 “Tunjukilah kami jalan yang lurus. (Yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”

Jalan yang lurus ialah jalan yang diredhai oleh Allah swt dan membawa kepada nikmat syurga. Bukan jalan mereka yang dimurkai(Yahudi) dan bukan juga jalan mereka yang sesat(Nasrani/Kristian).

Orang Yahudi mengetahui kesalahan mereka tetapi degil dan ego sehingga sanggup ingkar terhadap Allah swt. Oleh itu mereka sangat dimurkai oleh Allah swt. Manakala orang Nasrani meyakini bahawa agama merekalah yang benar. Mereka telah sesat memilih agama.

Aqidah, ibadah dan sistem hidup Muslim perlu bergerak seiring atau serentak. Ia tidak boleh dipisah-pisahkan dalam menjalani kehidupan seorang Muslim.

v  Perkaitannya dengan surah-surah dalam al-Qur’an

·  غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ (al-Fatihah:7) diperjelaskan lagi di dalam surah al-Baqarah.

·  وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (al-Fatihah:7) diperjelaskan lagi di dalam surah Ali Imran.

·  Surah al-Fatihah sebagai pembuka al-Qur’an diawali dengan kalimah ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ . Surah An-Naas sebagai penutup al-Qur’an diakhiri dengan kalimah  مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ. Ini menunjukkan bahawa, al-Qur’an bukan hanya untuk kaum Muslimin tetapi juga petunjuk untuk semua umat manusia(an-Nas)

v  Mengandungi prinsip-prinsip asas agama

1. Nikmat dan rahmat Allah Azza Wajalla. Hubungan Allah swt dengan hamba-Nya adalah dilandasi oleh rahmat-Nya. Sama ada di dunia maupun di akhirat kelak.(  ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ   - diulang 2 kali)

2. Ikhlas. إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥)

3. Kawan yang baik/soleh.

4. Berwaspada dengan kawan yang jahat.

5. Nama-nama Allah(asma husna tertinggi).

6. Istiqomah.

7. Hari Pembalasan(akhirat).

8. Kepentingan doa.

9. Kesatuan umat.

v  Adab berdoa (Cara berinteraksi dengan Allah swt)

Bahagian pertama: Memuji-muji Allah swt.

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (١)
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٢) ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (٣) مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤) إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥)

Bahagian kedua: Permohonan

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦) صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)


Digalakkan juga berselawat ke atas Rasulullah saw selepas memuji Allah swt. Kemudian barulah berdoa memohon apa jua penyelesaian masalah yang dihadapi.

v  Hadith Qudsi: Berdialog dengan Allah swt

Rasulullah saw meriwayatkan dalam hadith Qudsi:

“Aku membahagi solat antara Aku da hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan bagi hamba-Ku apa yang ia minta, apabila hamba berkata ‘Segala puji Allah, Rabb semesta alam.’

Allah berfirman, ‘Hamba-Ku memuji-Ku.’

Apabila hamba berkata, ‘Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.’

Allah berfirman, ‘Hamba-Ku menyanjung-Ku.’

Apabila hamba berkata, ‘Yang menguasai hari pembalasan.’

Allah berfirman, ‘Hamba-Ku memuliakan-Ku.’ Atau berfirman, ‘Hamba-Ku berserah diri kepada-Ku.’

Apabila hamba berkata, ‘Hanya Engkaulah kami sembah dan hanya kepada Engkaulah yang kami meminta pertolongan.’

Allah berfirman, ‘Ini antara Aku dan hamba-Ku, dan baginya apa yang dimintanya.’

Apabila hamba berkata, ‘Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.’

Allah berfirman, ‘Ini antara Aku dan hamba-Ku dan baginya apa yang ia minta.” – HR Muslim

Setiapkali Umar bin Abdul Aziz membaca surah al-Fatihah, ia menghayati ayat demi ayat dan diam sejenak di sela-sela setiap ayat. Ketika ditanya alasannya, beliau menjawab, ‘Aku ingin menikmati jawapan Tuhanku.’

v  Kaya, mudah tajwid dan adalah passport memahami al-Qur’an

Surah yang istimewa dan kaya input.  Tiada tajwid yang rumit ditemui. Oleh itu sesiapa sahaja boleh membacanya walaupun bukan orang Arab. Ia sebagai passport ke wilayah bermunajat dan bermesra dengan Rabb Yang Maha Agung.


v  Tip-tip khusyu’ solat
Rasulullah saw bersabda:

“Seseorang tidak mendapat pahala solat kecuali hanya bahagian yang ia fahami dari solatnya.”

·  Semasa mengucapkan ‘Alhamdulillah’ di setiap rakaat – ingatkan nikmat Allah swt. Nikmat Islam, iman, al-Qur’an, utusan Nabi saw, harta, sihat, boleh melihat, boleh mendengar dan seterusnya.

“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” - QS an-Nahl:18

·  Semasa mengucapkan ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ – ingatkan nikmat dan rahmat Allah swt meliputi di dunia dan di akhirat.

·  Semasa mengucapkan مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ – ingatkan kedasyatan hari Qiamat. Mohonlah semoga dipermudahkan urusan di ketika itu oleh Allah swt. Takutkan azab-Nya yang tiada tandingan.

·  Semasa membaca إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ – ingatkan keikhlasan hanya kepada Allah swt. Perhambaan dan pertolongan adalah hanya kepada dan dari-Nya. Sematkan ia di dalam hati sebagai  moto kehidupan. Moto ini perlu sentiasa diperbaharui supaya sentiasa tulin dan tidak bercampur walaupun setitik.

·  Semasa mengucapkan ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ – Ingatkan hanya Allah swt sahaja yang mampu membimbing dan meneguhkan langkah pada jalan mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Merayu dan merintih kepada Allah swt. Mengaku kelemahan diri.

·  Semasa mengucapkan صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ – Ingatkan orang-orang yang mendapat nikmat seperti semua para nabi dari Nabi Ibrahim a.s hingga ke Nabi Muhammad saw,  Sahabat Baginda, Pahlawan Islam dan orang-orang yang soleh. Berharap dapat teguh di atas jalan seperti mereka.

·  Semasa mengucapkan غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ – Ingatkan musuh Islam dan orang kafir. Yang sesat dan mendapat murka Allah swt. Merayu supaya tidak seperti mereka.

Semoga solat kita semakin hidup, semakin kusyu’, semakin hampir dengan Allah swt dan komitmen kepada syari’at-Nya semakin bertambah. Amin.

Jika ingin memperolehi lebih lagi, rujuklah kitab tafsir dan hayatilah. Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan