MUTIARA KATA

"Dunia pergi sambil berpaling, dan akhirat datang sambil mengadap. Setiap satu dari keduanya mempunyai anak. Jadilah engkau anak akhirat, dan jangan menjadi salah satu anak dunia. Sebab, hari ini adalah hari untuk beramal; tidak ada hisab (perhitungan amal di akhirat). Sedangkan hari esok adalah hisab; tidak ada hari untuk beramal."


"Ilmu umpama hujan, yang tidak memberikan manfaat kecuali bagi tanah yang subur dan suci. Begitulah juga ilmu tidak memberi manfaat kecuali bagi jiwa yang suci, hati yang sedar dan naluri yang peka."

FIKRAH ISLAM





23 Mei 2014

4.28 سُوۡرَةُ الهُمَزة/ al-Humazah (Pengumpat dan Pencaci)

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

وَيۡلٌ۬ لِّڪُلِّ هُمَزَةٍ۬ لُّمَزَةٍ (١) ٱلَّذِى جَمَعَ مَالاً۬ وَعَدَّدَهُ ۥ (٢) يَحۡسَبُ أَنَّ مَالَهُ ۥۤ أَخۡلَدَهُ ۥ (٣) كَلَّا‌ۖ لَيُنۢبَذَنَّ فِى ٱلۡحُطَمَةِ (٤) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا ٱلۡحُطَمَةُ (٥) نَارُ ٱللَّهِ ٱلۡمُوقَدَةُ (٦) ٱلَّتِى تَطَّلِعُ عَلَى ٱلۡأَفۡـِٔدَةِ (٧) إِنَّہَا عَلَيۡہِم مُّؤۡصَدَةٌ۬ (٨) فِى عَمَدٍ۬ مُّمَدَّدَةِۭ (٩)


Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, (1) Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; (2) Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! (3) Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam "Al-Hutamah". (4) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Al-Hutamah" itu? (5) (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya); (6) Yang naik menjulang ke hati; (7) Sesungguhnya api Neraka itu ditutup rapat atas mereka. (8) (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang. / (9)

Nama Surah dan kaitan dengan surah sebelumnya.

Nama surah diambil daripada ayat pertama daripada surah ini. Surah sebelumnya ialah surah al-Asr yang menyebut jenis manusia yang mendapat kerugian dan kebinasaan. Surah ini pula memberi contoh, sifat al-Humazah dan al-Lumazah yang memberikan kerugian yang teramat besar.

Mulabasat surah

Orang-orang kafir terutama pembesar-pembesar Quraisy yang kaya dan berharta sangat menentang perjuangan Nabi saw di Makkah. Tambahan pula rata-rata kaum Muslimin adalah miskin dan tidak berharta.

Masyarakat Arab pula sangat menyanjung tinggi mereka yang mempunyai harta kekayaan. Ukuran mereka kekayaan itulah nilai tertinggi dalam kehidupan. Ia sebagai penanda aras bagi `kehormatan’ dan `kedudukan’.  Jadilah mereka asyik menghitung dan menghimpun kekayaan.    
Jesteru itu mereka memandang hina, mencela, mencaci-maki dan mengejek dengan lidah, mengajuk gerak-geri dan suara kaum Muslimin yang mengajak mereka kepada kebenaran. Inilah serangan dari kafir Quraisy terhadap mereka yang beriman dalam bentuk mental. Ia sangat menyakitkan kaum Muslimin.

Surah al-Humazah ini menyatakan herdikan, bentakan dan ancaman yang menakutkan dari Allah swt kepada mereka yang bersifat sedemikian. Hari kiamat kelak mereka akan menerima azab secara fizikal dan jiwaraga. Kekayaan yang dimiliki tidak dapat membantu mereka lagi. Neraka Hutamah akan menghancur-leburkan tubuh badan mereka termasuk kesombongan dan ketakburan mereka itu. 

Pemahaman Ayat:
  
Ayat 1

وَيۡلٌ۬ لِّڪُلِّ هُمَزَةٍ۬ لُّمَزَةٍ (١
Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, (1) 

Permulaan ayat dengan perkataan وَيۡلٌ۬ (celaka) . Menunjukkan betapa marahnya Allah swt kepada mereka yang Humazah dan Lumazah. Celaka yang tersangat celaka. Mengapa begitu marah sekali Allah swt terhadap mereka ini?

Perkataan Humazah memberi erti yang mengaibkan yakni melakukan cercaan terang-terangan sehingga menyakitkan hati. Sedangkan Lumazah memberi erti isyarat yakni cercaan dilakukan dengan bahasa tubuh(kenyitan mata, mimik muka, riaksi bibir mulut) atau meniru-niru percakapan secara mengejek yang menyakitkan hati.

Menurut Ibn Kathir, al-Hammaz bererti orang yang melakukan umpatan dalam bentuk ucapan, sedangkan al-lammaz bererti orang yang melancarkan celaan dalam bentuk perbuatan. Keduanya bersifat merendahkan dan menilai orang lain kurang.

Ibnu Abbas mengatakan هُمَزَةٍ۬ لُّمَزَةٍ bererti orang yang suka mencela dan menilai cacat orang lain.

Ar-Rabi’ bin Anas mengatakan al-Humazah bererti melakukan pengumpatan di hadapannya, sedangkan al-lumazah itu adalah celaan yang dilakukan di belakang.

Kecelakaan yang besar yakni mereka akan mengalami kerugian yang sangat besar dan akan menerima azab yang sangat pedih dari Allah swt kerana mencela dan mencerca dakwah Nabi saw dan para sahabat. Sedangkan dakwah yang dibawa adalah kebenaran semata-mata. Dakwah yang dibawa adalah dari Allah swt kemudian disampaikan oleh Nabi saw dan para sahabat.

Penurunan surah ini adalah satu sokongan dari Allah swt kepada Baginda saw dan kaum Muslimin. Ia dapat mententeramkan hati mereka dan dapat menghilangkan keperitan yang dialami dari serangan mental kafir Quraisy. Keperitan itu menjadi kecil sehingga dapat diabaikan. Menerbitkan kesabaran dan ketenangan. Begitu juga kepada mereka yang menyambung perjuangan dan pendokong risalah Rasulullah saw dulu, kini dan selamanya. Ingatlah surah ini sebagai penyejuk hati dan penawar jiwa terhadap celaan orang kafir.

Allah swt berfirman;

“ Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (al-Hujraat:11)

Walaupun surah ini ditujukan kepada pencaci dan pencela para-pendakwah, ia juga boleh berbentuk umum. Yakni kepada pencaci dan pencela ciptaan Allah swt seperti mencela seseorang yang buruk paras rupanya atau hitam legam warna kulitnya dan seumpama. Atau yang mencela ketentuan Allah swt kepada seseorang diatas perbuatannya. Namun kecelakaan mereka tidak setinggi kecelakaan kepada mereka yang mencela para pendakwah.

Ini bermakna, tidak boleh wujud di dalam hati seseorang Muslim itu walau sebiji sawi perasaan menghina dan merendahkan seseorang yang lain. Jagalah hati sendiri agar tidak termasuk dalam herdikan dan bentakkan Allah swt sebagaimana ayat pertama surah ini.

Ayat 2 dan 3

ٱلَّذِى جَمَعَ مَالاً۬ وَعَدَّدَهُ ۥ (٢) يَحۡسَبُ أَنَّ مَالَهُ ۥۤ أَخۡلَدَهُ ۥ (٣
Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; (2) Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! (3) 

ٱلَّذِى (orang yang) yang dimaksudkan ialah mereka yang bersifat humazah dan lumazah ini selalunya suka serta asyik mengumpul harta dan menghitung-hitungnya sebagai bekalan. Sehingga mereka menyangka bahawa harta itu boleh mengekalkan mereka atau mereka boleh  mengekalkan harta mereka seolah-olah mereka akan hidup kekal di atas muka bumi ini.

Mengikut Fi Zilalil Qur’an, orang yang terlalu asyik dengan hartanya dan kekayaannya boleh menyebabkan lahir sifat humazah dan lumazah di dalam diri seseorang. Sehingga menyebabkan mereka menyangka dan yakin harta kekayaan itu merupakan kuasa kehidupan mereka; memberi kesenangan dalam kehidupan, menentukan kedudukan di dalam masyarakat, meninggikan martabat mereka dan mampu mengekalkan mereka di dunia ini. Bukankah ini suatu yang syirik?

Islam menggalakkan mencari harta kekayaan tetapi janganlah sampai lupa diri, lupa kepada siapa Pemberi rezeki dan lupa menunaikan hak harta tersebut sebagaimana Allah swt berfirman;

yang mengumpulkan harta kekayaan lalu menyimpannya (dengan tidak membayar zakatnya). (al-Ma’aarij:18)

Ayat 4

كَلَّا‌ۖ لَيُنۢبَذَنَّ فِى ٱلۡحُطَمَةِ (٤)
Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam "Al-Hutamah".

كَلَّا‌ۖ ….Oh tidak…tidak….sekali-kali tidak. Jangan sangka kamu akan kekal dan selamat dengan harta kekayaan yang diberikan. Tidak! Sesungguhnya mereka yang humazah dan lumazah ini pasti akan dicampakkan dalam keadaan yang hina ke dalam neraka Hutamah. Campakan ini bukan campakan yang biasa, tetapi campakan yang kasar dan dengan kemarahan yang amat sangat. Inilah kecelakaan yang diperolehi. Kerugian yang sangat besar di hari Pembalasan. Mereka yang memahami dan dapat merasai situasi seperti ini akan merasai gerun dan serik.

Ayat 5 – 9

وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا ٱلۡحُطَمَةُ (٥) نَارُ ٱللَّهِ ٱلۡمُوقَدَةُ (٦) ٱلَّتِى تَطَّلِعُ عَلَى ٱلۡأَفۡـِٔدَةِ (٧) إِنَّہَا عَلَيۡہِم مُّؤۡصَدَةٌ۬ (٨) فِى عَمَدٍ۬ مُّمَدَّدَةِۭ (٩)
 Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Al-Hutamah" itu? (5) (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya); (6) Yang naik menjulang ke hati; (7) Sesungguhnya api Neraka itu ditutup rapat atas mereka. (8) (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang. / (9)

Kemudian Allah swt bertanya; tahu ke apa dia al-Hutamah itu? Tersentap dengan pertanyaan ini kerana mengikut pemahaman orang Arab, Hutamah itu ialah `tempat pembuangan sampah’. Sudah tentu ia suatu yang berbeza.

Al-Hutamah itu ialah api Allah yang patuh dengan arahan-Nya. Mengapa Allah swt menyebut نَارُ ٱللَّهِ ? Yakni api Allah. Ia menggambarkan api ini bukan api yang biasa, ia adalah api kepunyaan Allah swt yang luar biasa. Mereka yang mengetahui sifat kekuasaan Allah swt akan pasti merasai gerun kerana kehebatan api ini adalah diluar jangkaan manusia.

Ayat 6 memperjelaskan lagi kedasyatan al-Hutamah; ia membakar jasad mereka sehingga ke hati. Ini kerana hati merupakan sumber yang melahirkan umpat keji dan menjadi sarang perasaan suka menyenda, sombong dan takbur.

Ayat seterusnya menambah lagi kegerunan kerana al-Hutamah ini menutupinya sehingga tiada siapa yang dapat menyelamatkannya dan bertanyakan halnya. Malahan mereka akan terikat dan ditambat pula pada tiang-tiang yang panjang seperti binatang tanpa sebarang kehormatan.

Inilah kecelakaan itu.

Pengajaran yang boleh diambil:

1.    Harta dan kekayaan sebagai salah satu sebab mengapa jiwa manusia menjadi angkuh dan sombong sehingga menerbitkan al-Humazah dan al-Lumazah.

2.    Harta dan kekayaan yang diperolehi perlu dikendalikan mengikut kehendak Islam.

3.    Perlu memelihara hati dari perasaan menghina dan merendahkan orang lain walaubagaimana bentuk sekali pun terutama kepada mereka yang mengajak kepada kebenaran.

4.    Surah ini merupakan ancaman yang menakutkan orang yang bersifat Humazah dan Lumazah.

5.    Surah ini menyenangkan, menghibur hati dan sebagai penawar kepada orang Mukmin.

6.    Surah ini adalah satu sokongan yang diberikan oleh Allah swt kepada pendakwah ke jalan kebenaran. Maka bergembiralah dan bertenanglah.

Wallahu’alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan