MUTIARA KATA

"Dunia pergi sambil berpaling, dan akhirat datang sambil mengadap. Setiap satu dari keduanya mempunyai anak. Jadilah engkau anak akhirat, dan jangan menjadi salah satu anak dunia. Sebab, hari ini adalah hari untuk beramal; tidak ada hisab (perhitungan amal di akhirat). Sedangkan hari esok adalah hisab; tidak ada hari untuk beramal."


"Ilmu umpama hujan, yang tidak memberikan manfaat kecuali bagi tanah yang subur dan suci. Begitulah juga ilmu tidak memberi manfaat kecuali bagi jiwa yang suci, hati yang sedar dan naluri yang peka."

FIKRAH ISLAM





25 Oktober 2011

4.9 SURAH AL-FIL/SURAH GAJAH(105:1-5)/ سُوۡرَةُ الفِیل

Latar Belakang Surah

Nama surah ini diambil sempena dari ayat pertama; “Tidakkah kamu tahu bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera bergajah.”

Surah ini diturunkan di Makkah(Makkiyah)

Penting bagi kita mengetahui bila surah ini diturunkan supaya dapat merasai sebagaimana para sahabat merasai semasa turunnya surah ini. Peristiwa bergajah ini sangat masyhur dalam kehidupan penduduk Semenanjung Tanah Arab yang berlaku sebelum kebangkitan Rasulullah saw (570 Masehi, abad ke 6) di mana tempoh di antara Tahun Gajah dan perutusan Rasulullah saw ialah selama 40 tahun.

Pada masa itu pemerintahan di Hijaz yang berpusat di kota Makkah adalah di dalam tangan Abdul Muttalib(datuk Nabi saw). Pemerintahan di Yaman pula dipegang oleh seorang Nasrani yang bernama Abrahah bin al-Sabbah al-Asyram. Ia adalah panglima perang dari Kerajaan Habsyi.

Abrahah telah membina sebuah gereja di Yaman atas nama Seri Maharaja Habsyah(al-Qullays). Gereja ini dihiasi indah dari peralatan yang indah dan menarik supaya perhatian orang-orang Arab dari Baitul-Haram di Makkah beralih ke gereja tersebut. Malah penduduk di Yaman sendiri telah memberi perhatian kepada Baitul-Haram.

Tetapi kaum-kaum Arab tidak berganjak. Mereka beranggapan dan bangga bahawa mereka adalah dari zuriat Ibrahim dan Ismail yang membina rumah suci itu. Mereka yakin bahawa kepercayaan mereka adalah lebih baik dari kepercayaan kaum Ahlil- Kitab yang berada disekeliling mereka. Orang Arab melihat kaum Ahlil-Kitab ini dilanda kucar-kacir dan keruntuhan.

Abrahah telah membuat keputusan untuk meruntuhkan Ka’bah supaya tumpuan orang Arab tidak lagi kepadanya. Beliau telah memimpin angkatan tentera yang ramai yang disertai dengan gajah-gajah. Ada riwayat menyatakan beribu-ribu jumlahnya. Ada barisan berkuda berperisai, ada berkenderaan unta dengan senjata tombak, kapak dan busur. Sebahagian besar daripadanya adalah barisan bergajah(ada meriwayatkan 9 atau 13 ekor) termasuk Abrahah menunggangi gajah. 60 000 orang tentera berjalan dibelakangnya. Mereka menuju serentak ke Hijaz.

Kemaraan mereka telah sampai ke pengetahuan orang-orang Arab dimerata tempat termasuk di Yaman. Seorang pembesar dari kaum bangsawan dan raja-raja Yaman bernama Zu Nafar telah bangkit dan menyeru kaum-kaumnya serta orang-orang Arab lainnya bangun menentang Abrahah demi mempertahankan Ka’bah. Seruan ini telah mendapat sambutan tetapi telah kalah dan menjadi tawanan Abrahah.

Nufayl ibn Habib al-Khath’ami juga bangkit memimpin dua kabilah Arab(Banu Khath’ami dan Banu Himyar) menentang Abrahah. Mereka juga kalah dan ditawan oleh Abrahah. Nufayl telah bersetuju menjadi pemandu jalan kepada Abrahah dalam perjalanannya ke negeri Arab itu.

Apabila angkatan Abrahah lalu di Ta’if, beberapa orang dari suku Tahaqif menemui Abrahah mengatakan Ka’bah tiada di situ tetapi di Makkah supaya Abrahah tidak mengganggu rumah suci mereka yang dibina untuk berhala al-Laata. Mereka telah menghantar penunjuk jalan bersama Abrahah.

Setelah sampai di Mughammas yang terletak di antara Ta’if dan Makkah, Abrahah telah menghantar seorang panglimanya ke Makkah. Panglima itu telah merampas dan membawa kehadapannya binatang ternak dan lain-lain kepunyaan kaum Quraisy di Tihamah termasuk 200 ekor unta milik Abdul Muttalib ibn Hasyim. Suku-suku Quraisy, Kinanah dan Huzayl dan penduduknya di Tanah Haram cuba melawan tetapi membatalkan niat mereka kerana tidak berupaya melawan tentera Abrahah.

Kemudian Abrahah menghantar utusannya ke Makkah untuk menemui ketua negeri itu supaya menyatakan kedatangannya bukanlah untuk memerangi penduduk Makkah, tetapi untuk merobohkan Ka’bah sahaja. Jika mereka tidak ingin berperang, hendaklah ketua mereka datang mengadap Abrahah.

Abdul Muttalib berkata kepada perutusan itu; “ Demi Allah, kami tidak mahu memeranginya. Kami tidak mempunyai kekuatan untuk berperang. Ka’bah ini ialah rumah Allah dan rumah kekasih-Nya Ibrahim a.s. Oleh itu, jika Allah mempertahankan rumah ini, maka itu memang rumah-Nya dan Tanah Haram-Nya, dan jika Allah membiarkanya untuk diroboh Abrahah, maka kami tidak punya kekuatan untuk mempertahankannya.” Lalu utusan itu keluar bersama Abdul Muttalib untuk menemui Abrahah.

Kata Ibn Ishaq, Abdul Muttalib adalah seorang yang sangat tampan, cantik dan hebat. Oleh itu sebaik sahaja Abrahah melihatnya, ia terus menyambutnya dengan penuh hormat. Tetapi oleh kerana beliau tidak suka dilihat oleh orang-orang Habsyah ia duduk bersama Abdul Muttalib di atas singgahsananya, lalu ia turun dan duduk di atas hamparan, kemudian mempersilakan Abdul Muttalib duduk di sampingnya. Beliau berkata kepada jurubahasanya; “ Awak tanya dia, apakah maksud kedatangannya?”

Jawab Abdul Muttalib; “ Maksud kedatangan saya ialah untuk meminta tuan gabenor memulangkan kembali 200 ekor unta yang telah dirampasnya.”

Jurubahasa pun menyampaikan kepada Abrahah apa yang dinyatakan oleh Abdul Muttalib. Abrahah membalas; “ Katakan kepadanya, Beta mulanya amat memandang tinggi kepada awak, kemudian sekarang beta memandang rendah kepada awak apabila awak menyatakan maksud kedatangan awak untuk mengadap beta. Adakah wajar awak datang mengadap beta kerana hendak berunding dengan beta untuk meminta balik 200 ekor unta kepunyaan awak yang dirampas oleh beta itu, dan awak langsung tidak mahu berunding dengan beta tentang nasib rumah Ka’bah yang menjadi pegangan agama awak dan agama nenek moyang awak, sedangkan maksud kedatangan beta ialah untuk merobohkannya?”

Jawab Abdul Muttalib; “Saya ini hanya tuan punya unta-unta itu sahaja, sedangkan rumah Ka’bah ini ada tuan punyanya yang akan mempertahankannya.”

Sampuk Abrahah; “Ia tidak akan dapat menahani beta.”

Jawab Abdul Muttalib;“Tuan bebas berbuat apa yang tuan suka.” Lalu Abrahah pun memulangkan unta-untanya.

Abdul Muttalib pulang mendapatkan kaum Quraisy dan menceritakan kepada mereka apa yang telah berlaku. Ia menyuruh mereka keluar dari Kota Makkah dan berlindung di celah-celah bukit, kemudian beliau menuju ke Ka’bah dan memegang gelang pintunya, berdiri bersama sekumpulan orang Quraisy berdo’a kepada Allah dan memohon pertolongan-Nya.

Ada riwayat menceritakan bahawa Abdul Muttalib telah berseloka:

Tuhanku! Hamba-Mu tiada kuasa
Kecuali mempertahankan rumahnya
Kerana itu, pertahankanlah rumah-Mu
Salib dan kekuatan mereka
Tidak akan dapat mengalahkan-Mu
Andainya Engkau hendak membiarkan mereka
Meruntuhkan kiblat kami
Maka urusan itu terserah kepada-Mu


Tentera bergajah mula menuju ke Makkah untuk meruntuhkan Ka’bah. Sebelum sampai, tiba-tiba gajah terduduk dan tidak mahu meneruskan perjalanan. Askar-askar Abrahah cuba memaksa gajah bangkit dan menghala ke Ka’bah tetapi gagal. Allah telah menahan gajah-gajah itu dari melanggar makkah. Allah telah melepaskan pasukan-pasukan burung yang melontar ke arah mereka anak-anak batu yang membinasakan mereka seperti daun-daun kering yang reput dan dimakan ulat. Abrahah turut menderita parah. Ia dibawa beserta dengan tenteranya keluar dari Makkah. Jari jemarinya gugur sebatang demi sebatang hingga sampai ke San’aa ibu kota Yaman. Beliau tidak mati sehingga dadanya berlubang menampakkan jantungnya.

Kelihatan kemenangan seolah-olah dipihak kaum Quraisy walaupun tiada tindakbalas daripada mereka. Segenap penduduk Kota Makkah keluar dari tempat persembunyian dan kembali semula ke rumah masing-masing.

Setelah Allah mempertahankan Makkah daripada ancaman raja Habsyah, semua masyarakat Arab mula menghormati orang-orang Quraisy dan berkata; ‘Mereka adalah orang-orang yang dikasihi oleh Allah. Allah berperang untuk mereka dan mereka diselamatkan daripada ancaman musuh. Itu adalah ni’mat Allah yang terbesar yang dikurniakan kepada mereka.'

Surah ini diturunkan kepada Rasulullah saw sesudah turunnya surah al-Kafirun. Merujuk kepada perbincangan surah al-Kafirun(Fikrah al-Qur’an:4.7), orang-orang Quraisy memikirkan bagaimana untuk menyekat atau memberhentikan da’wah Nabi saw.

Maka Allah swt menurunkan surah ini untuk memperingatkan orang-orang Quraisy terhadap pertolongan Allah swt dan mempertikaikan sikap degil mereka terhadap ajaran Rasulullah saw walaupun dikala kejadian tentera bergajah ini tidak dilihat oleh Baginda dan para sahabatnya tetapi telah disaksikan oleh orang-orang Quraisy di kala itu.

Terjemahan Surah:

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصۡحَـٰبِ ٱلۡفِيلِ (١) أَلَمۡ يَجۡعَلۡ كَيۡدَهُمۡ فِى تَضۡلِيلٍ۬ (٢) وَأَرۡسَلَ عَلَيۡہِمۡ طَيۡرًا أَبَابِيلَ (٣) تَرۡمِيهِم بِحِجَارَةٍ۬ مِّن سِجِّيلٍ۬ (٤) فَجَعَلَهُمۡ كَعَصۡفٍ۬ مَّأۡڪُولِۭ (٥)

Tidakkah engkau lihat bagaimana Tuhanmu bertindak terhadap angkatan tentera bergajah ? (1) Tidakkah Dia jadikan rancangan jahat mereka berada dalam kesesatan? (2) Dan Dia telah melepaskan ke atas mereka burung-burung yang terbang berpasuk-pasukan? (3) Sambil melontar ke atas mereka batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras; (4) Lalu Dia menjadikan mereka binasa seperti daun-daun yang dimakan ulat.(5)

Perbincangan ayat:

Ayat 1: “Tidakkah engkau lihat bagaimana Tuhanmu bertindak terhadap angkatan tentera bergajah?”

Menurut al-Qurtubi, perkataan تَرَ bermakna kamu melihat. Siapa yang melihat? Peristiwa yang termasyur di kalangan umat Arab ini berlaku sewaktu Rasulullah saw masih belum dilahirkan. Kemasyuran peristiwa ini sehingga mereka menjadikannya sebagai tahun permulaan sejarah(Tahun Gajah).

Mereka menyatakan kelahiran Nabi saw berlaku 2 tahun sebelum Tahun Gajah atau 10 tahun selepas Tahun Gajah. Pendapat yang masyhur ialah Rasulullah saw sendiri dilahirkan pada Tahun Gajah. Turunnya ayat ini semasa Nabi saw berumur 40 tahun. Ini bermakna, orang yang pernah melihat kejadian ini telah pun berusia 50 tahun ke atas di zaman Nabi saw.

Jelas sekali, ayat ini ingin menunjukkan kekaguman terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah swt. Ini merupakan peringatan buat orang Quraisy yang pernah melihat sendiri kejadian ini bahawa Allah swt telah menolong mereka dari tentera bergajah. Sepatutnya mereka segera membalas dengan menganut agama Allah yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Ayat 2: “Tidakkah Dia jadikan rancangan jahat mereka berada dalam kesesatan(gagal)?”

Perkataan كَيۡد bermaksud tipu daya yang dibuat oleh orang yang lemah untuk menghadapi orang yang kuat dan berkuasa. Ini bermakna walaupun pada pandangan manusia tentera Abrahah adalah gagah tidak terkalah, tetapi mereka adalah lemah pada pandangan Allah swt. Mudah bagi Allah swt menggagalkan rancangan atau tipu daya mereka.

Dengan pertanyaan ini, Allah swt ingin mengingatkan kaum Quraisy terhadap ni’mat-Nya kepada mereka. Iaitu ni’mat menjaga dan memelihara Ka’bah ketika mereka tidak berdaya untuk menghadapi tentera bergajah itu. Moga-moga dengan peringatan ini mereka merasa malu kerana perbuatan mereka mengingkari Allah swt dan mengurangkan rasa angkuh mereka terhadap Rasulullah saw. Bila-bila masa sahaja Allah swt boleh menghancurkan mereka yang kuat dan gagah tetapi menentang Rasulullah saw dan da’wahnya.

Begitu juga apa yang telah berlaku ke atas kaum-kaum sebelumnya. Seperti kaum Nabi Nuh, Kaum Nabi Luth dan kaum Nabi Musa telah dimusnahkan kerana keingkaran mereka terhadap Allah dan rasul-rasul-Nya. Kaum Bani Israeil pula terhina hingga sekarang kerana tidak bersyukur dengan kemuliaan yang Allah berikan. Malah angkuh dengan kekuatan mereka.

Ayat 3 – 5 : “ Dan Dia telah melepaskan ke atas mereka burung-burung yang terbang berpasuk-pasukkan(3). Sambil melontarkan ke atas mereka batu-batu yang pejal(4). Lalu Dia menjadikan mereka (binasa) seperti daun-daun dimakan ulat(5).”

Perkataan أَبَابِيلَ memberi makna kumpulan atau pasukan-pasukan. Bukannya nama sejenis/spesies burung sebagaimana yang dinasyidkan oleh Kumpulan Raihan; ‘burung Ababil’ .

Manakala perkataan سِجِّيلٍ۬ memberi maksud batu dan tanah. Yaitu, batu yang berpalit dengan tanah.

Perkataan عَصۡفٍ۬ pula memberi erti daun kayu yang kering. Seperti daun-daun yang dimakan ulat adalah satu gambaran fizikal pecah belah tubuh badan akibat terkena batu-batu yang dilontar oleh pasukan-pasukan burung.

Ketiga-tiga ayat ini menceritakan bagaimana Allah swt menggagalkan rancangan jahat Abrahah dan tentera bergajah.

Pengajaran yang boleh diambil:

1. Melihat daripada latar belakang surah ini, Orang-orang Arab sendiri mempercayai dan yakin dengan kewujudan Allah swt walaupun dimasa yang sama mereka menyembah berhala-berhala. Mereka yakin bahawa Allah akan mempertahankan Ka’bah(rumah suci).

2. Dari kata-kata Abdul Mutalib; “Saya ini hanya tuan punya unta-unta itu sahaja, sedangkan rumah Ka’bah ini ada tuan punyanya yang akan mempertahankannya.” Ulama tauhid mengambil pengajaran bahawa orang-orang Arab sangat memahami perkataan ‘Rabb’. Tetapi mereka telah menolak ‘Ilah’. Oleh itu, kalimah syahadah tidak diterima oleh orang-orang Arab kerana mempunyai perkataan ‘Ilah’.

Sangat penting bagi kita memahami secara terperinci perbezaan antara perkataan ‘Rabb’ dan ‘Ilah’

3. Peristiwa tentera bergajah ini sangat termasyhur. Apakah sebenarnya yang hendak Allah ketengahkan? Kejadian ini tidak berlaku secara semulajadi. Bukan juga Allah membantu mereka bermakna pihak Quraisy adalah benar. Allah swt mematikan tentera bergajah adalah kerana takdir-Nya. Inilah perancangan Allah untuk kejadian yang lebih besar kemudiannya.

4. Peringatan Allah melalui peristiwa ini dengan persoalan-persoalan yang menunjukkan kehairanan dan ganjil adalah merupakan sebahagian dari kecaman terhadap orang Quraisy dan orang-orang Arab yang lainnya kerana sikap mereka yang degil untuk beriman kepada Allah swt.

5. Musuh Islam yang tamak dan haloba sentiasa mengintai-intai tempat suci Islam. Namun Allah swt sendiri telah memelihara rumah suci-Nya termasuklah Madinatul-Rasul daripada rancangan-rancangan yang jahat

6. Muktahir ini banyak bencana alam telah berlaku seperti sunami di Acheh dan di Jepun. Ramai yang mempersoalkan; “Kamu tidak tengok ke apa yang berlaku di Acheh?” atau “Kamu tidak tengok ke apa yang berlaku di Jepun?” Sepatutnya persoalan berbunyi; “Kamu tidak tengok ke apa Allah swt telah buat ke atas orang-orang di Acheh?” atau “Kamu tidak tengok ke apa Allah swt telah buat terhadap orang-orang Jepun?”Bencana ini merupakan satu peringatan dari Allah swt.

Oleh itu, orang-orang Quraisy sepatutnya merasai ada kuasa Allah dalam kejadian tentera bergajah ini.

7. Sudah menjadi sikap manusia, jika ada sesuatu kejadian yang berlaku beserta dengan sebab musababnya, maka mereka menganggap perkara tersebut adalah lumrah alam. Contohnya, rumah terbakar; sebab musabab kebakaran adalah lintar pintas atau api pelita. Tidak terlintas di dalam fikiran mereka bahawa disebalik kebakaran itu ada kuasa yang lebih besar yang mengurus segalanya mengikut kehendak-Nya.
Manakala jika ada sesuatu kejadian yang berlaku diluar sebab musabab, maka mereka akan mengaitkan kejadian tersebut dengan kuasa luar seperti sihir atau karamah. Contohnya, melihat seseorang yang boleh berjalan di atas air. Sudah tentu mengaitkan kejadian itu dengan benda yang ghaib atau sesuatu yang karamah.

Tidak terlintaskah di fikiran bahawa segala sesuatu yang berlaku itu hanyalah boleh berlaku dengan keizinan Allah swt dan segala kekuatan adalah pemberian-Nya jua ?

2 ulasan:

  1. salam~ urm.. tentang wabak cacar tu syed qutb x bgitu percaya kan?? harus utk percaya yg "burung/apa2 bnatang yg terbang" tu sbgai vector/pembawa penyakit..

    BalasPadam
  2. Wa'alaikumussalam wbt Nur,
    Pertamanya akak nak minta maaf sangat-sangat kerana terlepas pandang ulasan dari Nur, Ini-lah kelemahan yang perlu diperbaiki. Nur boleh baca ulasan Sayyid Qutb di dalam Fi Zilalil Qur'an jilid 10, mukasurat 422, versi Bahasa Melayu.

    wabak cacar tu adalah mengikut pandangan As-Syeikh Muhammad 'Abduh. Sayyid Qutb tidak bersetuju dengan pendapat beliau. Sayyid Qutb cenderung kepada tafsiran bahawa ia adalah berlaku menurut undang-undang Allah yang luar biasa, yakni Allah telah menghantar pasukan-pasukan burung yang luar biasa membawa batu-batu yang luar biasa, mengikut kudrat Allah swt.

    Sayyid Qutb bimbang cerita-cerita seperti ini ditokok tambah dengan unsur-unsur yang keterlaluan.

    Wallahu'alam

    BalasPadam