Orang yang beriman menggunakan sebab-sebab kerana ia diperintah berbuat begitu, tetapi Allahlah yang menentukan kesan-kesan dan natijah-natijahnya. Keyakinan kepada rahmat Allah dan keadilan-Nya, kepada hikmat kebijaksanaan Allah dan ilmu-Nya itulah satu-satunya tempat perlindungan yang aman dan tempat yang selamat dari bisikan-bisikan dan godaan-godaan syaitan:
“Syaitan menjanjikan(menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu melakukan kejahatan, sedangkan Allah janjikan kamu dengan keampunan dan limpah kurnia dari-Nya dan Allah itu Maha Luas Pengurniaan-Nya dan Maha Mengetahui.” – (al-Baqarah:268)………..Sayyid Qutb
Orang yang beriman ialah orang yang sangat meyakini kepada Allah dan Rasulnya, dia akan menggunakan sebab-sebab atau asbab-asbab bagi sesuatu kejadian atau ketetapan, kerana Allah menyuruhnya berbuat demikian. Orang-orang beriman sentiasa mencari asbab-asbab untuk mencapai kejayaan dan kebaikan. Ini kerana asbab-asbab itu adalah usaha-usaha mereka menuju matlamat kejayaan dan kebaikan. Kemudian bertawakal kepada Allah kerana kesan dan natijahnya adalah hak Allah semata-mata.
Seorang mu’min akan belajar bersungguh-sungguh kerana kesungguhan itu adalah asbab kepada kejayaan. Belajar bersungguh-sungguh adalah usaha yang dilakukan oleh pelajar. Dia berusaha kerana Allah suka hamba-Nya yang berusaha bersungguh-sungguh. Usahanya itulah yang dikira oleh Allah untuk mendapatkan ganjaran, samada ganjaran itu diperolehi di Dunia ataupun di tangguhkan ke negeri Akhirat.
Sekiranya seorang mu’min gagal dalam usahanya, dia mengetahui itu adalah baik baginya. Dia tidak akan kecewa kerana dia akan memperolehi ganjaran dari Tuhannya berbentuk pahala untuk tabungan akhirat. Kesusahan yang dialami juga adalah sebagai kifarah terhadap dosanya.
“Tiada suatu kesusahan yang menimpa Mu’min hingga geselan batu yang melukakan kakinya (melainkan kifarat bagi bagi dosanya)” – Diriwayatkan oleh Ibn Jarir.
Seorang mu’min juga akan bersabar, tidak berputus asa dan berusaha lagi setelah gagal. Orang mu’min yakin bahawa Allah itu Maha Adil dan Maha Pemberi Rahmat. Setiap yang telah ditetapkan adalah baik buatnya. Ketetapan Allah itu beserta dengan hikmat , kebijaksanaan dan ilmu-Nya. Tiada yang setanding dengan ilmu Allah. Hanya Dia yang Maha Mengetahui segalanya, apakah hikmat disebalik kegagalan atau kejayaan yang diperolehinya. Firman Allah dalam surah Yusuf ayat 87, Nabi Ya’kob berkata kepada anak-anaknya;
“Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.
Jika natijahnya dia berjaya, Alhamdulillah, itu juga baik buat dia. Dia harus bersyukur dan lebih berusaha kerana kejayaan itu adalah dari kehendak (Iradat) Allah. Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah Tuhan sekelian ‘Alam. Inilah sikap seorang mu’min. Hati orang yang beriman adalah tenang, aman tenteram dan tiada keluh kesah.
“Seorang mu’min itu amatlah dikagumi! Kerana seluruh urusannya baik belaka. Dan hal ini tidak dapat dicapai oleh sesiapa pun kecuali orang yang beriman, iaitu jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur dan ini memberi kebaikan kepadanya, dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar dan ini juga memberi kebaikan kepadanya” – HR Muslim
Berdoa juga adalah satu usaha(Insyaallah akan diterangkan dalam bab doa). Malah ia merupakan senjata orang mukmin. Dengan berdoa dapat mengeratkan hubungan antara hamba dan Khaliqnya. Menggambarkan kekuasaan Allah dan kelemahan hamba-Nya yang sudah pasti berharap pertolongan dan keizinan Dia. Namun doa tidak boleh mengubah Qadar Allah. Kita berdoa kerana Allah suruh kita berdoa kepada-Nya walaupun dalam hal mengikat tali kasut.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 186;
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
Dengan keimanan dan beri’tiqad seperti ini, tiadalah ruang untuk syaitan berbisik-bisik dengan kejahatan. Berusahalah untuk memantapkan aqidah, dan sentiasa mengingati Allah dan berdoa kepada-Nya serta meminta perlindungan dari Allah terhadap gangguan syaitan. Syaitan akan melarikan diri jika kita sentiasa mengingati Allah, ia akan kembali apabila tiada ingatan kepada Allah (rujuk fikrah al-Quran; 4.2 surah an-Nas).
Antara contoh-contoh bisikan syaitan:
“Itulah kau…..suka sangat attend usrah sana, ceramah sini, nak tunjuk alim konon, tengok! Kan gagal periksa.”
“Bussines kau asyik gagal je….tak payah buat bussines lagi, relax-relax dulu, tenangkan fikiran. Kalau nak bussines juga, baik ikut taktik si Johan tu , bagi duit sikit kat orang dalam, ajak karaoke, ha…..sekarang dah pakai BMW pun si Johan tu”
“ Ish….tak perlu infakkan harta kau, susah-susah kerja pagi petang……nak bagi orang buat apa. Nanti jatuh miskin. Biar mereka cari rezeki sendiri.”
Semua bisikan-bisikan syaitan, samada syaitan berupa iblis, jin atau manusia adalah janji-janji kosong. Rezeki adalah urusan Allah. Susah senang masa depan adalah ketentuan-Nya. Kejayaan sesuatu perniagaan juga dengan kehendak Allah. Kita diminta berusaha bersungguh-sungguh dan setelah itu bertawakal. Juga kita hendaklah berusaha mencari kesilapan mengapa masih tidak diberi keizinan mendapat kejayaan.
Firman Allah dalam surah ar-Rad ayat 11;
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”
Firman Allah lagi dalam surah an-Nahl ayat 53;
“...dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah( datangnya), dan bila ditimpa oleh kemudharatan, maka hanya kepada-Nya lah kamu meminta pertolongan.”
Disebalik kegagalan itu sebenarnya Allah ingin menambah pahala dengan bertambahnya usaha, Allah juga akan menaikkan darjatnya disisi Allah kerana dia semakin hampir dengan Rabbnya, bertambah pengharapan terhadap pertolongan dan kasian belas Allah. Merintih sehingga menitiskan air mata. Merendah diri sebagai hamba dan meyakini sepenuh hati bahawa Allah tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya yang ikhlas. Segala ketentuan Allah adalah baik bagi dirinya. Dia redha apa sahaja keputusan yang Allah berikan. Usah gusar, kerana dia tahu hidup di Dunia hanya sementara. Kesusahan di Dunia hanya sedikit dan sementara. Jika dia berjayapun, kejayaan yang diperolehi itu juga sementara. Yang paling penting bagi dia ialah mendapat keredhaan Ilahi. Hanya redha Allah dia akan mendapat kesenangan dan kegembiraan yang abadi, kekal buat selama-lamanya di Akhirat kelak.
Marilah kita melihat beberapa kisah untuk menambah kefahaman kita berkenaan qadar, qadha’, usaha dan tawakal;
Kisah 1 :
Pernah seorang Arab Badui datang menghadap Nabi saw. Orang itu datang dengan menunggang kuda. Setelah sampai, dia turun dari kudanya dan menghadap ke arah Rasulullah saw, tanpa terlebih dahulu mengikat kudanya. Nabi saw menegur orang itu, ”Kenapa kuda itu tidak engkau ikat?.” Orang Arab Badui itu menjawab, ”Biarlah, saya bertawakkal kepada Allah”. Nabi pun bersabda, ”Ikatlah kudamu, setelah itu bertawakkallah kepada Allah”
Kisah 2
Lihatlah kepada Sultan Muhammad al-Fateh, sentiasa berusaha dan berfikir untuk kejayaan Islam. Usaha yang panjang dan tabah. Beliau mencari-cari apakah gerangan yang boleh menyebabkan dia akan memperolehi kejayaan. Dia yakin dengan hadith Rasulullah saw; “Sesungguhnya Konstantinopel itu pasti dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”. Dia tidak boleh tinggal diam menanti Qadar Allah. Allah menyuruh dia berusaha. Akhirnya….Konstantinopel jatuh ke tangannya. Usahanya bukan sedikit, cobaan dan dugaannya bukan sedikit, kesusahan demi kesusahan diharungi, pengharapan kepada Allah semakin bertambah dan akhirnya matlamat tercapai. Apakah matlamatnya? dia ingin melihat kalimah Tauhid dijulang. Bukan pangkat dan kekayaan. Usahanya tulus dan ikhlas kerana Allah swt. Oleh itu kejayaan yang diperolehi bukan calang-calang kejayaan. Kejayaan menegakkan Islam di Konstantinopel iaitu negara yang dikatakan kuat dan berkuasa.
Kebanyakan di antara kita jarang untuk mempersoalkan siapakah kita?
Usaha kita untuk siapa?
Adakah ia benar-benar tulus dan ikhlas kerana Allah swt?
Apakah setiap usaha yang dilakukan berada di bawah lingkungan syari’at Allah?
Untuk apa Allah memberi kejayaan yang kita impi-impikan itu?
Adakah kejayaan yang sangat dikejar itu untuk kepentingan Islam ?
Setiap yang kita lakukan akan menjadi ibadah bila dilakukan kerana Allah dan untuk mencari keredhaan-Nya. Biarlah kita menjadi kaya dan kekayaan itu sebagai sumber ekonomi dan perjuangan Islam, bukan hanya untuk kepentingan diri dan keluarga.
Berusahalah untuk menjadi cerdik pandai, dan kepandaian yang Allah beri itu, digunakan untuk kemajuan Islam, bukan untuk setakat mendapatkan pangkat, kuasa dan bermegah-megah. Rasulullah saw bersabda;
“Tidak akan masuk syurga orang yang didalam hatinya ada sebiji sawi dari sifat kesombongan.” - HR. Muslim.
Seorang mu’min tidak akan memisahkan perkara dunia dan akhirat. Tasawur ini penting agar dia tidak leka dengan keberhasilan usaha yang dilakukan. Malangnya ilmu sains yang diajar dan yang dipelajari hampir di serantau dunia datangnya daripada Barat. Mereka telah menonjolkan kehebatan orang-orang yang menemui sebab-sebab itu sebagai orang yang hebat, dialah perekacipta sesuatu yang baru yang sangat berguna kepada ‘alam sejagat. Secara tidak sedar mereka menanam pemikiran wujudnya kuasa lain selain kuasa Allah swt. Mereka telah mengajar ‘mensyarikatkan’ Allah dan berlaku pemisahan antara sains dan Islam.
Sedangkan orang mu’min meyakini bahawa Allah-lah yang menjadikan sebab-sebab itu dan kemudian menentukan hasil dan natijah kepada sebab-sebab itu. Seorang saintis hanya perlu menyelidiki dan mencari sebab-sebab ciptaan Allah itu sebagai satu usaha untuk kemajuan sains dan teknologi . Kemajuan sains dan teknologi dapat menyumbangkan keselesaan dan kemudahan kepada kehidupan manusia. Mereka akan membongkar rahsia-rahsia kejadian ‘Alam. Dapat merasai kehebatan dan kekuasaan Allah dalam mentadbir ‘Alam Buana ini. Dapat merasai kebenaran ayat-ayat Allah di dalam al-Quran. Dapat merasai begitu banyak nikmat yang diperolehi dari Rabbnya sebagai Penguasa yang Maha Hebat yang memiliki ilmu yang tidak terbatas. Usaha-usaha mereka akan diberi ganjaran oleh Allah jika mereka dengan tulus ikhlas melaksanakan suruhan Allah supaya memakmurkan dunia dan penghuninya. Jelas sekali sains dan Islam tidak boleh dipisahkan.
Firman Allah dalam surah al-Qashas ayat ke 77;
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan