10 Disember 2011

4.11 Surah Al-Qari'ah - سُوۡرَةُ القَارعَة

Surah 101: Surah Qiamat Yang Menggemparkan
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

ٱلۡقَارِعَةُ (١) مَا ٱلۡقَارِعَةُ (٢) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا ٱلۡقَارِعَةُ (٣) يَوۡمَ يَكُونُ ٱلنَّاسُ ڪَٱلۡفَرَاشِ ٱلۡمَبۡثُوثِ (٤) وَتَكُونُ ٱلۡجِبَالُ ڪَٱلۡعِهۡنِ ٱلۡمَنفُوشِ (٥) فَأَمَّا مَن ثَقُلَتۡ مَوَٲزِينُهُ ۥ (٦) فَهُوَ فِى عِيشَةٍ۬ رَّاضِيَةٍ۬ (٧) وَأَمَّا مَنۡ خَفَّتۡ مَوَٲزِينُهُ ۥ (٨) فَأُمُّهُ ۥ هَاوِيَةٌ۬ (٩) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا هِيَهۡ (١٠) نَارٌ حَامِيَةُۢ (١١)

“Hari Qiamat yang amat menggemparkan (1). Apakah Hari Qiamat yang amat menggemparkan itu ? (2).Dan tahukah engkau apakah Hari Qiamat yang amat menggemparkan itu ? (3).Pada hari itu, manusia seperti kelkatu yang terbang bertempiaran (4).Dan gunung-ganang (berterbangan) seperti bulu-bulu yang dibusarkan (5).Barang siapa yang berat timbangan amalan (kebaikan) nya (6).Maka ia (akan ditempatkan) dalam kehidupan yang senang-lenang (di syurga) (7).Dan barang siapa yang ringan timbangan amalan (kebaikan) nya (8).Maka tempat kembalinya ialah Neraka Hawiyah (9).Dan tahukah engkau apakah Neraka Hawiyah itu ? (10).Itulah Neraka yang apinya sangat panas dan pijar (11).”


Latar-belakang surah

Surah ini adalah surah Makiyyah. Ia adalah surah berkenaan aqidah, yakni keyakinan kepada perkara-perkara sam'iyat (Hari Akhirat). Al-Qari'ah adalah merupakan salah-satu nama hari Qiamat.

Dinamakan surah al-Qari'ah kerana pada permulaan surah ini, Allah mencetuskan rasa gerun dan takut tentang hari Qiamat. Kata-kata al-Qari'ah menyarankan makna bunyi ledakan yang menggemparkan dan menggentarkan hati dengan peristiwa-peristiwa yang dahsyat. Ia mengetuk dan dan menggugah hati manusia agar takut menghadapi hari Qiyamat. Ia merupakan suatu peringatan dan berita gerun yang tidak ada tolok bandingnya. Kata Muqatil.”Sesungguhnya surah ini memberi ancaman terhadap musuh-musuh Allah dengan azab. Adapun para auliya'Nya, mereka menikmati ketenteraman hati menghadapinya”.

Lafaz al-Qari'ah, bunyinya serta semua hurufnya turun memberi bayangan yang selaras dengan kesan-kesan Qiamat yang berlaku. Lafaz al-Qari'ah adalah sama dengan nama-nama Qiamat yang lain seperti As-Saakhkhah, al-Haqqah, dan al-Ghaasyiyah.

Selain nama-nama Qiamat di atas, banyak lagi nama-nama Qiamat yang lain di dalam al-Quran; dan setiap nama itu memberikan pengertian yang menunjukkan akan berlaku beberapa peristiwa yang kesemuanya merupakan kesukaran dan kesengsaraan sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman Allah Taala seperti:

1. Hari Kebangkitan (Yaumul Baath) - Surah al-Rum:56
2. Saah – Surah al-Qamar:1, Surah al-Haj:1
3. Hari Akhirat (Yaumul akhirat) – Surah al-A'ala:16-17
4. Hari Pembalasan (Yaumuddin) – Surah al-Fatihah:4
5. Hari Perhitungan Amal (Yaumul Hisab) – Surah al-Mu'minun:27
6. Hari Pembukaan Bicara (Yaumul Fath) – Surah as-Sajadah:29
7. Hari Pertemuan (Yaumut Talaq) – Surah al-Mu'minun:15-16
8. Hari Perhimpunan dan Hari Nampak Kerugian (Yaumul Jam'i Wayaumut Taghaabun) – Surah al-Taghaabun:91
9. Hari yang Kekal (Yaumul Khulud) – Surah Qaf:34
10. Hari Keluar dari Kubur (Yaumul Khuruj ) – Surah Qaf:42
11. Hari Penyesalan (Yaumah Hasrah) – Surah Maryam:39
12. Hari Terpekik Memanggil (Yaumut Tanad) – Surah al-Mu'minun:32
13. Saat yang Hampir (Aazifah) – Surah an-Najm:57-58
14. Hari Bencana yang Amat Besar (At-Toomatul Kubra) – Surah an-Naazia'at:34-35
15. Suara Jeritan yang Kuat (As-Saakhkhah) – Surah Abasa:33-37
16. Saat yang Tetap Berlaku (al-Haqqah) – Surah al-Haqqah:1-3
17. Hari Huru-Hara yang Meliputi (al-Ghaasyiyah):1-7
18. Peristiwa Dasyat (al-Waaqi'ah):1-6

Surah al-Qari'ah membincangkan tentang kedahsyatan hari Qiamat, peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalamnya dan kesudahannya. Ia menayangkan satu pemandangan dari pemandangan-pemandangan Hari Qiamat. Pemandangan yang ditayangkan di sini ialah pemandangan huru-hara dan kemusnahan yang berlaku kepada manusia dan gunung-ganang. Pada hari itu, umat manusia kelihatan seolah-olah makhluk yang amat kecil walaupun mereka ramai. Allah juga menyatakan tentang pembalasan segala amalan manusia serta keadaan mereka yang tergolong kepada dua kumpulan.

Ia adalah peringatan kepada orang-orang Islam yang berakal untuk setiap masa bersedia bagi menghadapi hari tersebut dengan bekalan iman dan amal yang soleh. Apabila membaca surah ini, orang-orang beriman akan merasa gementar terhadap hari Qiamat yang sangat hebat dan dahsyat yang dipenuhi dengan segala kepayahan, kengerian dalam suasana yang huru-hara.

Tafsir Surah

ٱلۡقَارِعَةُ (١) مَا ٱلۡقَارِعَةُ (٢) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا ٱلۡقَارِعَةُ (٣)

Hari Qiamat yang amat mengemparkan (1)
Apakah Hari Qiamat yang amat menggemparkan itu ? (2)
Dan tahukah engkau apakah Hari Qiamat yang amat menggemparkan itu ?(3)


Tiga ayat yang pertama membuatkan orang yang membacanya akan tertanya-tanya (questioning frame). Lafaz Al-Qari'ah telah di ulang-ulang sebanyak tiga kali. Ia menunjukkan peri-pentingnya hari tersebut.

Secara linguistik, Qara'a (ۡقَارِعَ) bermaksud `ketukan' atau ‘pukulan’ yang dahsyat dan kuat. Al-Qari'ah adalah bunyi yang sangat kuat, menakutkan dan mengemparkan. Ia bermaksud hari Qiamat yang menggemparkan. Al-Syawkani berkata ia dinamakan qari'ah kerana ia mengejutkan manusia dengan hal-hal yang menakutkan berupa langit hancur dan terbelah, bumi bergoncang dan dibinasakan dan bintang-bintang dimusnahkan. Dalam Tafsir Azhar, ia bermaksud “hari kegoncangan”.

Ia adalah bunyi sangkakala yang pertama ketika berlakunya hari Qiamat yang mengemparkan seluruh makhluk. Ia menegaskan betapa besarnya huru-hara dan kengerian dasyat malapetaka pada hari tersebut.

Allah menyatakan dalam surah al-Haqqah:13-18
“Maka apabila ditiupkan sangkakala dengan sekali tiup, dan bumi serta gunung-ganang di angkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur, maka pada saat itu berlakulah hari Qiamat .........”

يَوۡمَ يَكُونُ ٱلنَّاسُ ڪَٱلۡفَرَاشِ ٱلۡمَبۡثُوثِ (٤)

Pada hari itu, manusia seperti kelkatu yang terbang bertempiaran (4)

Ayat ke-4 dan ke-5 adalah jawapan dari 3 ayat yang pertama, yakni Allah menjelaskan dan menerangkan waktu dan tanda-tanda Qiamat. Hari Qiamat ialah hari musnahnya alam dunia ini, dan pada hari itu, manusia yang masih hidup kesemuanya mati. Kemudian seluruh manusia dibangkitkan, iaitu dihidupkan lagi setelah mereka mati. Rohnya dikembalikan ke dalam tubuhnya, dan mereka akan mengalami kehidupan kali kedua.

Setelah dikeluarkan dan dibangkitkan dari kubur, manusia berjalan tanpa sebarang petunjuk pada setiap arah perjalanan. Keadaan mereka seumpama serangga yang terbang berkeliaran dan bertebaran, tidak tentu arah. Kata al-Zamakhshari : “Mereka disifatkan sebagai kelkatu yang banyak, bertebaran dan berterbangan dalam keadaan lemah serta hina, berterbangan ke arah menyeru masing-masing dari pelbagai arah sebagaimana berterbangan kalkatu ke arah cahaya”

Inilah pemandangan pertama bagi Hari Qiamat yang amat menggemparkan itu, iaitu pemandangan yang amat menggoncangkan hati dan menggigilkan segenap sendi. Firman Allah Taala dalam surah al-Haj:1-2

“Wahai sekelian manusia! Bertaqwalah kepada Rabb kamu. Sesungguhnya gempa hari Qiamat itu sesuatu yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan lupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya, dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.”

وَتَكُونُ ٱلۡجِبَالُ ڪَٱلۡعِهۡنِ ٱلۡمَنفُوشِ (٥)

Dan gunung-ganang (berterbangan) seperti bulu-bulu yang dibusarkan (5)

Gunung-ganang adalah merupakan objek terkuat dan merupakan pasak bumi dan tercacak kukuh. Ketika hari Qiamat, ia akan hancur lebur menjadi debu-debu berterbangan . Firman Allah dalam surah at-Takwir 81:3 (maksudnya): “ Dan apabila gunung-gunung dihancurkan.”

Firman-Nya lagi dalam surah al-Muzammil, 73:14 (maksudnya): “...... dan gunung-gunung hancur lebur menjadi timbunan pasir yang berterbangan".

Jika gunung-ganang akan lebur dan hancur, maka bagaimanakah pula keadaan kita ketika itu ?

Tujuan Allah menyebut kedua-dua tanda hari Qiyamat (ayat ke-4 & 5) adalah untuk menggerun dan menimbulkan rasa takut yang mendalam terhadap kesengsaraan hari Qiamat dalam hati manusia. Keyakinan kita kepada Hari Qiamat akan memberi kesan terhadap bagaimana untuk kita hidup kita di dunia ini.

Seterusnya Allah menyatakan tentang pembalasan terhadap amalan manusia ketika di dunia. Di sini, al-Quran telah menanam ke dalam jiwa dan perasaan manusia tentang hakikat keadilan dan pembalasan. Di hari Qiamat, setiap orang mukallaf akan mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatannya di dunia.

فَأَمَّا مَن ثَقُلَتۡ مَوَٲزِينُهُ ۥ (٦) فَهُوَ فِى عِيشَةٍ۬ رَّاضِيَةٍ۬ (٧)

Barang siapa yang berat timbangan amalan (kebaikan) nya (6)
Maka ia (akan ditempatkan) dalam kehidupan yang senang-lenang (di syurga) (7)


Berat ringan timbangan amalan itu menyarankan adanya amalan-amalan yang bernilai dan dihargai Allah, dan adanya amalan-amalan yang tidak bernilai dan tidak dihargai Allah. Barangsiapa yang amalannya diterima oleh Allah (amalan kebaikan), maka dia berada dalam kehidupan yang menyenangkan dalam syurga.

Kalimah `Mawazin' (مَوَٲز ) adalah jamak kepada mizan, iaitu neraca penimbang (dacing) amal. As-Sya'rawi mengatakan istilah `mizan' digunakan kerana ia merujuk kepada satu alat penimbang yang berat dan tidak dipengaruhi oleh perasaan kasihan-belas. Namun kita tidak mengetahui bagaimana kaedah penimbangan tersebut dilakukan dan apakah piawaian yang digunakan.

Kalimah al-`Isyah (عِيشَةٍ۬ ) adalah satu ungkapan yang menghimpunkan segala nikmat pemberian Allah di dalam syurga. Syurga adalah tempat kediaman orang-orang beriman dan orang-orang yang beramal dengan amalan-amalan soleh yang mereka lakukan di dunia. Firman Allah Azza Wajalla (maksudnya) :

“Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh – ke dalam syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai.” Surah Muhammad:12.

Itulah nikmat yang diperolehi bagi orang-orang beriman dan beramal soleh yang amalannya diterima Allah. Ia adalah balasan dari kehidupan dunianya yang penuh dengan mujahadah bagi melaksanakan Islam.


وَأَمَّا مَنۡ خَفَّتۡ مَوَٲزِينُهُ ۥ (٨) فَأُمُّهُ ۥ هَاوِيَةٌ۬ (٩) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا هِيَهۡ (١٠) نَارٌ حَامِيَةُۢ (١١)

Dan barang siapa yang ringan timbangan amalan (kebaikan) nya (8)
Maka tempat kembalinya ialah Neraka Hawiyah (9)
Dan tahukah engkau apakah Neraka Hawiyah itu ? (10)
Itulah Neraka yang apinya sangat panas dan pijar (11)



Barangsiapa yang amalan kejahatannya lebih banyak dari amalan kebaikan (menurut pertimbangan dan penilaian Allah), maka tempat kembalinya adalah Neraka Hawiyah.

Kalimah `أُمُّ ' digunakan sebagai maksud `tempat kembali' dalam ayat ke-9. Makna asalnya ialah `ibu'. Si ibu ialah tempat kanak-kanak mencari perlindungan, sedangkan `ibu tempat kembali' bagi orang-orang yang ringan timbangannya untuk mencari perlindungan pada hari itu ialah Neraka Hawiyah. Yakni, neraka-lah yang akan memeluk dan mendakap serta menghimpitnya nanti.

Allah bertanya lagi: tahukah kamu apakah neraka Hawiyah tersebut? Satu pertanyaan yang menyarankan kejahilan (pendengarnya) untuk menakutkan dan mendatangkan kegerunan. Hawiyah adalah neraka yang jurangnya sangat dalam. Sesiapa yang jatuh ke dalam tidak dapat kembali lagi naik ke atas. Suhunya sangat panas; sangat pijar dan disertai nyalaan api yang amat hebat. Ini menunjukkan betapa panasnya api neraka tersebut yang melebihi kepanasan segala jenis api yang ada.

Mereka yang ringan timbangan amalan kebaikannya akan dihumban ke dalam neraka yang jurangnya yang sangat dalam dan dikelilingi serta dipeluk oleh api neraka yang amat panas. Walaubagaimana pun hakikat sebenarnya tidak diketahui kerana ia merupakan malapetaka yang tidak mampu digambarkan oleh akal sesiapapun. Ini adalah kerana Hari Qiamat itu sendiri lebih hebat dari ketentuan akal manusia.

Para sahabat apabila membaca ayat-ayat berupa azab seperti di atas akan berasa gerun, takut dan gementar serta menitiskan airmatanya; tapi sebaliknya mereka yang ada penyakit dalam hati, tidak akan berasa apa-apa apabila membacanya.

Pengajaran yang boleh di ambil

1. Beriman dengan penuh yakin bahawa kehidupan di dunia ini, dengan segala isinya pasti akan berakhir dengan kedatangan hari Qiamat nanti.

2. Hari Qiamat adalah amat dahsyat bagi (makhluk) di langit dan di bumi. Sangat hebat dan dahsyat suasana yang dihadapi oleh orang yang menghadapi Hari Qiamat – yang dipenuhi dengan segala kepayahan dan kengerian, menggegarkan hati, memekakkan telinga, menjadi tidak keruan dan tidak tentu-hala. Ia tidak mampu digambarkan oleh akal sesiapapun.

3. Manusia akan dihidupkan semula di negeri akhirat untuk menerima balasan amalan yang dikerjakan oleh mereka di dunia, samada amal kebajikan atau sebaliknya. Syurga disediakan bagi mereka yang beriman, beramal soleh dan berat timbangan (kebaikan)nya. Sebaliknya neraka adalah untuk mereka yang ringan timbangan (kebaikan) nya.

8 ulasan:

  1. sangat bermanfaat ulasan ini...terima kasih...agar dapat saya terangkan kepada anak murid saya nanti..moga ilmu ini akan terus tersebar dan memberi manfaat kepada sekelian ummat manusia yg alpa

    BalasPadam
  2. Sangat bermanfaat untuk usrah berkumpulan sbgai tajuk perbincangan

    BalasPadam
  3. sgt manfaat, mohon share untuk rujukan kami dan anak anak

    BalasPadam
  4. Alhamdulillah.. Sgt bermanfaat. Mohon share...

    BalasPadam
  5. Mohon share kuliah maghrib disurau kami

    BalasPadam
  6. sangat baik ulasannya. tpi jikalau bole letakkan sumber-sumber kitab tafsir seperti kata-kata alsyawkani dlm pencerahan yg anda berikan

    BalasPadam