Buah Tiin
Surah ke-95: 8 ayat
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
وَٱلتِّينِ وَٱلزَّيۡتُونِ (١) وَطُورِ سِينِينَ (٢) وَهَـٰذَا ٱلۡبَلَدِ ٱلۡأَمِينِ (٣) لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬ (٤) ثُمَّ رَدَدۡنَـٰهُ أَسۡفَلَ سَـٰفِلِينَ (٥) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُمۡ أَجۡرٌ غَيۡرُ مَمۡنُونٍ۬ (٦) فَمَا يُكَذِّبُكَ بَعۡدُ بِٱلدِّينِ (٧) أَلَيۡسَ ٱللَّهُ بِأَحۡكَمِ ٱلۡحَـٰكِمِينَ (٨)
Demi (buah) Tiin dan (buah) Zaytun (1) Dan demi Bukit Tursinai (2) Dan demi negeri (Mekah) yang aman ini (3) Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (4) Kemudian Kami kembalikan dia ke tingkat yang sebawah-bawahnya (5) Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka untuk mereka pahala yang tidak putus-putus (6) Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu? (7) Bukankah Allah Hakim yang seadil-adilnya (8)
Tema dan kandungan surah
Surah ini terdiri dari 8 ayat, termasuk golongan surah Makkiyah. Ia diturunkan sesudah surah Al-Buruuj. Nama At-Tiin diambil dari kata “At-tiin” yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Tema utama surah ini ialah kesempurnaan kejadian manusia dan faktor kejatuhannya. Walaupun manusia adalah makhluk yang terbaik rohaniah dan jasmaniahnya, tetapi mereka akan menjunam ke darjat yang paling bawah disebabkan kekufuran kepada Allah dan Rasulullah s.a.w serta keingkarannya terhadap Hari Kebangkitan. Surah ini juga mengisytiharkan dasar keadilan mutlak Allah berbentuk ganjaran dan pembalasan di Hari Akhirat.
Fikrah ayat
Ayat 1-3
وَٱلتِّينِ وَٱلزَّيۡتُونِ (١) وَطُورِ سِينِينَ (٢) وَهَـٰذَا ٱلۡبَلَدِ ٱلۡأَمِينِ (٣)
Demi (buah) Tiin dan
(buah) Zaytun (1)
Dan demi Bukit Tursinai
(2)
Dan demi negeri (Mekah)
yang aman ini (3)
Allah swt bersumpah
sebanyak empat kali dalam ayat-ayat ini. Dua sumpah pertama adalah dengan
dengan nama buah al-Tiin dan buah al-Zaitun; dan yang berikutnya dengan nama
dua tempat yakni Bukit Tursina dan juga Kota Mekah.
Persoalannya kenapakah
Allah bersumpah sedemikian ?
Buah al-Tiin adalah
makanan orang Arab yang mahsyur dan berkhasiat tinggi. Menjadi penawar kepada
pelbagai penyakit. Dalam hadith Hasan yang diriwayatkan oleh Ibn Sani dari Abu
Na'im daripada Abu Dzar: “Sesungguhnya buah al-Tiin dapat menyembuhkan
penyakit buasir dan ia juga dapat menyembuhkan ruam kaki, panau dan gout”
Buah Zaitun dijadikan
makanan dan minyak yang diperah dari buah ini menjadi kuah dan campuran
berbagai jenis ubat. Berupaya mengurangkan risiko penyakit jantung (dengan izin
Allah). Ia mengandungi Mono-unsaturated Fatty Acid (MUFA) dan vitamin E.
Firman Allah swt
(bermaksud): “Dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak
berkatnya, (iaitu) pohon Zaitun yang tidak tumbuh di sebelah timur dan tidak
tumbuh di sebelah barat(nya)” – QS (al-Nur:35).
Walaupun buah-buah ini
(al-Tiin dan al-Zaitun) adalah buah yang berkualiti, tetapi apakah pula
kaitannya dengan dua sumpah berikutnya iaitu sumpah dengan dua tempat (Bukit
Tursina dan Kota Mekah)?
Setiap sumpah mempunyai
kaitan dengan mesej/tema yang lebih besar yang Allah ingin kita mengambil
pengajaran daripadanya. Mengikut mufassirin, sebutan buah al-Tiin dan al-Zaitun
adalah isyarat kepada tempat-tempat dan peristiwa-peristiwa kemenangan di dalam
perjuangan agama Allah.
Mengikut pemahaman orang
Arab, sesuatu lokasi diberi nama mengikut kepada kepopularan sesuatu perkara di
situ. Buah al-Tiin banyak di kawasan Bukit Judi, Damaskus Syria (Kawasan Syam).
Iaitu tempat mendaratnya bahtera Nabi Nuh a.s. Manakala buah Zaitun banyak
ditanam di kawasan Baitul-Maqdis, Palestin. Tempat yang diberkati dan tanah
bagi para Nabi. Ia juga tempat Nabi Isa a.s. dan Nabi Ibrahim a.s berda'wah.
Firman Allah swt dalam
ayat ke-2 (bermaksud): “Dan demi Bukit Sinai” adalah merujuk kepada Bukit Tursina, tempat Nabi Musa bin
Imran a.s. bercakap dengan Allah swt.
Manakala dalam ayat ke-3
(bermaksud): “Dan demi Kota yang
aman ini” merujuk kepada al-Makkah
al-Mukarramah. Tempat yang dimuliakan oleh Allah swt dengan adanya al-Kaabah
al-Musyarah. Ia juga tempat kelahiran Rasulullullah s.a.w dan tempat
baginda diangkat menjadi Rasulullah. Mekah dinamakan sebagai al-Balad
al-amin kerana disitu terdapat keamanan dan kesejahteraan. Sebagaimana
firman Allah swt (bermaksud): “Barangsiapa memasukinya (Masjid
al-Haram) dia beroleh keamanan. (Ali-Imran, 3:97)
Oleh itu, ulama
mufasirin menyatakan bahawa tempat-tempat ini (syam, baitul-maqdis, tursina,
Mekkah) mempunyai kaitan dengan perjuangan Rasul `Ulul-Azmi yang menegakkan
kalimah tauhid. Maka hendaklah para da'i mengambil teladan dari para Rasul
ini. Mereka mempunyai keteguhan semangat, keazaman yang tinggi, kesabaran luar
biasa dan kekuatan tawakal dalam menghadapi segala ujian untuk menyampaikan
agama Allah Azza Wajalla di mukabumi.
Ayat 4
لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬ (٤)
Sesungguhnya Kami telah
menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (4)
Manusia mendapat
kedudukan yang istimewa di sisi Allah swt. Dimuliakan dalam bentuk asal
penciptaan sebagai makhluk yang terbaik (ahsan taqwim). Dari ayat ini, jelas ternyata betapa besarnya perhatian Allah swt
terhadap manusia. Manusia telah diciptakan dalam bentuk yang sebaik-baiknya.
Memang tiap-tiap kejadian itu diciptakan Allah swt dengan sebaik-baiknya,
tetapi dalam surah ini disebut secara khusus bahawa manusia itu dijadikan
dengan sebaik-baik susunan dan bentuk rupa dan ditempat-tempat yang lain dalam
Al-Quran menunjukkan bahawa Allah swt memberikan perhatian dan 'inayah yang
lebih besar terhadap makhluk manusia.
Penghormatan Allah swt
terhadap makhluk insan berbanding makhluk-makhluk yang lain ialah dengan cara
penciptaan yang menggabungkan unsur tanah dan tiupan roh, mengumpulkan unsur bumi
dan langit sehingga terbentuk manusia yang sebaik-baik kejadian secara zahir
dan batin. Malah Allah swt telah mengurniakan manusia dengan berbagai-bagai
bakat kebolehan yang diletakkan di dalam fitrahnya, iaitu bakat-bakat kebolehan
yang melayakkannya memegang teraju khalifah di bumi, di mana mereka dapat
mengubah, menyusun dan mencipta sehingga mampu mentadbir muka bumi ini.
Namun kemuliaan
manusia ini hanya berguna jika diikat dengan tali aqidah. Kekuatan, kekuasaan,
kekayaan dan kebijaksanaan adalah perlu bagi membantu tugas khalifah memakmurkan
bumi ini dengan jalan Ilahi. Jika sebaliknya, maka kemuliaan yang ada hanya
bersifat sementara, menimbulkan penyakit hati, menjauhkan diri dari Rahmat dan
Berkat Allah Azza Wajalla, dan tidak dapat menolong kita di akhirat.
Sayangnya manusia
kerap lupa terhadap keistimewaan yang telah dikurniakan Allah swt kepada
mereka. Kejatuhan ciri rohaniyah manusia akan menjatuhkan kejatuhan ciri
insaniyah manusia. Inilah yang dinyatakan dalam ayat ke-5.
Ayat 5-6
ثُمَّ رَدَدۡنَـٰهُ أَسۡفَلَ سَـٰفِلِينَ (٥) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُمۡ أَجۡرٌ غَيۡرُ مَمۡنُونٍ۬ (٦)
ثُمَّ رَدَدۡنَـٰهُ أَسۡفَلَ سَـٰفِلِينَ (٥) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُمۡ أَجۡرٌ غَيۡرُ مَمۡنُونٍ۬ (٦)
Kemudian Kami kembalikan
dia ke tingkat yang sebawah-bawahnya (5)
Kecuali orang-orang yang
beriman dan mengerjakan amal soleh, maka untuk mereka pahala yang tidak
putus-putus (6)
Ayat-ayat ini adalah
jantung dan nadi utama dalam surah ini. Kita akan dapat merasai ayat ini jika
kita mengetahui punca kenapa manusia dikembalikan ke tingkat yang
sebawah-bawahnya. Terdapat dua jenis golongan manusia di dalam ayat ini iaitu:
Justeru itu, berusahalah
menjadi orang beriman dengan erti kata yang sebenarnya. Nilai keimananlah yang
akan menghubungkan kita dengan hidayat Allah Azza Wajalla. Keimanan adalah tali hubungan di
antara fitrah manusia dengan Tuhan Pencipta-Nya. Apabila tali ini putus, maka
nur yang menerangi manusia akan padam. Akibatnya manusia akan jatuh ke darjat
paling terendah dan hanya layak menjadi bahan api neraka.
- Golongan yang cenderung kepada syaitan
- Golongan yang beriman dan beramal soleh.
Kesudahan dari amalan
mereka juga berbeza.
Ulama' tafsir memberikan
dua pendapat pada ayat “Kemudian Kami
kembalikan dia ke tingkat yang sebawah-bawahnya”
1. Pendapat pertama :
Manusia akan dihumbankan ke tempat paling bawah di dalam neraka apabila mereka
tidak mentaati Allah swt dan tidak mengikuti Rasul-Nya.
2. Pendapat kedua : Manusia
akan dikembalikan kepada umur yang tua dan tidak bermaya, lemah akalnya, hilang
ingatan (Semua orang akan melalui peringkat tua tidak kira samada orang beriman
ataupun orang kafir dan berbuat maksiat)
Pendapat yang pertama
ialah, golongan insan yang menyelewang dari fitrah ad-din, maka dia akan
menjunam ke lapisan neraka yang terkebawah sekali. Mereka masuk neraka kerana
kekafiran mereka. Pengecualian adalah kepada orang yang beriman dengan Allah
Azza Wajalla, Rasul-Nya dan hari Akhirat serta melakukan amal soleh. Untuk
golongan ini, mereka mendapat pahala yang tidak putus-putus kerana ketaatan
mereka.
Ayat 5 & 6 ini,
menunjukkan kebenaran Hari Akhirat. Yakni, amal manusia akan diberikan balasan
di hari tersebut. Mereka yang beriman dan beramal soleh mendapat ganjaran
syurga, sebaliknya golongan jahat dan kufur mendapat balasan buruk, ditempatkan
di neraka yang paling bawah.
Pendapat kedua tafsir
ayat 5 & 6 memberi makna, apabila seseorang itu semakin tua dan tidak mampu
lagi beramal (seperti seusia muda), maka Allah menuliskan pahala untuknya
sepertimana pahala yang selalu ia dapat pada usia mudanya.
Dari Ahmad, Bukhari dan
Ibn Hibban mentakhrijkan daripada Abu Musa al-Asy'ari; beliau meriwayatkan
bahawa Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya):
“Kalau ada hamba Allah yang sakit atau dalam perjalanan
(bermusafir) maka nescaya Allah tuliskan untuknya pahala yang kerap dibuatnya
ketika beliau sihat atau ketika tidak ke mana-mana.” Dalam riwayat lain ada tambahan dari beliau berbunyi: “Bagi
mereka pahala yang tidak putus-putus”.
Orang Mu'min yang
bertaqwa juga tidak akan ditakdirkan berubah semasa tua dengan menjadi orang
yang nyanyuk. Ini adalah mengikut hadith yang ditakrijkan oleh Hakim dan
dianggap sahih oleh al-Baihaqi, yang diriwayatkan oleh Ibn `Abbas : “ Sesiapa
yang (suka) membaca al-Qur'an ia tidak (ditakdirkan) menjadi nyanyuk”
Apa yang perlu difahami
dari ayat ke-5 & 6 ialah `ending'
atau pengakhiran kepada dua jenis golongan manusia. Allah swt menyatakan dalam
surah al-Jathiyah 45:21 (maksudnya) “Apakah orang-orang yang melakukan
kejahatan itu mengira bahawa Kami akan memperlakukan mereka seperti orang-orang
beriman dan yang mengerjakan kebajikan, iaitu sama dalam kehidupan dan kematian
mereka ? Alangkah buruknya penilaian mereka itu”.
Ayat 7-8
فَمَا يُكَذِّبُكَ بَعۡدُ
بِٱلدِّينِ (٧) أَلَيۡسَ ٱللَّهُ بِأَحۡكَمِ ٱلۡحَـٰكِمِينَ (٨)
Maka apakah yang
menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya
keterangan-keterangan) itu? (7)
Bukankah Allah Hakim yang
seadil-adilnya (8)
Ayat ini adalah teguran
bagi orang yang melupakan Allah swt sedangkan Allah-lah yang mencipta manusia
dengan sebaik-baik kejadian. Apakah mereka masih mendustakan hari kebangkitan
dan hari pembalasan? Sedangkan mereka tahu bahawa siapa yang mampu memulakan sesuatu
kejadian, maka pasti mewujudkan semula setelah tiada adalah mudah bagi Allah
swt.
Allah swt menegaskan
hakikat keupayaan-Nya menjadikan semula makhluk dengan firmanNya (bermaksud) “Bukankah Allah Hakim yang seadil-adilnya”
Sekiranya hakim di dunia
pun memberikan hukuman kepada penjahat dan memberikan keadilan kepada orang yang
tidak bersalah, maka apa pula pandangan kita kepada Allah swt? Tidakkah Allah
swt itu Pengadil Yang Maha Adil apabila Dia menetapkan hukuman-hukuman yang
seperti ini. Ganjaran pahala dan syurga; serta pembalasan neraka menunjukkan
keadilan Allah. Walaupun kadangkala perbuatan jahat/zalim manusia terlepas dari
pengadilan di dunia, tetapi ia tetap akan dihitung di akhirat kelak. Begitulah
juga sebaliknya pada perbuatan baik dan amal soleh. Itulah tanda keadilan Allah
Azza Wajalla. Allah swt tidak menganiyai sesiapapun. Allah swt akan melakukan
penghakiman besar pada hari Kiamat. Pada waktu itu, orang yang teraniaya akan
dapat menuntut bela terhadap manusia yang menganiyainya.
Pengajaran
1.
Orang Mu’min sepatutnya
mencintai dan meneladani para Rasul 'Ulul-Azmi. Sifat keteguhan hati,
istiqomah, kesabaran dan tawakal yang tinggi perlu ada pada setiap da'i.
2.
Insan adalah sebaik-baik
makhluk ciptaan Allah Azza Wajalla. Maka hendaklah kita bersyukur kepada Allah
swt dengan mengingati dan mencintai-Nya; membawa Islam dalam diri,
melaksanakan tuntutan ad-din bagi mendapat keredhaan dan keampunan Allah.
3.
Menyeleweng dari fitrah
ad-din adalah faktor kejatuhan manusia dan akan memberikan natijah
seburuk-buruknya.
4.
Orang beriman dan beramal
soleh mendapat ganjaran pahala yang tidak putus-putus.
5.
Allah swt menyelar orang
yang melupakan-Nya dan mengingkari Hari Pembalasan.
6.
Allah swt adalah Pencipta
yang paling sempurna dalam setiap penciptaan-Nya dan hakim yang paling benar
dan adil dalam penghakiman antara hamba-hamba-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan