Khowathir bermaksud lintasan-lintasan. Berasal daripada perkataan Kho-ti-ro. Apabila kita mentadabbur Al-Qur’an, akan terlintas di fikiran berkenaan intipati atau mesej yang ingin disampaikan oleh Allah s.w.t melalui al-Qur’an Nur Karim.
Rasulullah s.a.w telah berpesan kepada kita;
“Telahku tinggalkan bagi kalian dua perkara. Apabila kalian berpegang teguh kepada keduanya, kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu al-Qur’an dan sunnah Rasulullah s.a.w”
Kita perlu menerima hakikat bahawa kita hanyalah seorang hamba. Kepunyaan Allah s.w.t-lah segala-galanya. Hidupan, cakerawala maupun pentadbiran kerajaan langit dan bumi adalah tertakluk kepada kehendak-Nya. Namun dengan kemurahan dan limpah kurnia-Nya, manusia dan jin di anugerahkan senaskah al-Qur’an dan seorang Rasul sebagai penunjuk jalan, contoh tauladan dan tempat rujukan.
Oleh itu, sangat perlu memahami isi kandungan al-Qur’an dan amalan Rasulullah saw melalui sirahnya. Menjadi suatu yang pelik jika tatacara atau panduan kehidupan yang boleh membawa kepada kejayaan cemerlang dan harmoni tidak diendahkan. Inilah yang dikatakan berlaku kerugian yang besar.
Pada bulan Ramadhan, al-Qur’an akan dibaca atau ditilawah sehingga khatam beberapa kali. Imam As-Syafi’e dapat mengkhatamkan al-Qur’an sebanyak 60 kali sepanjang bulan yang mulia ini. Sehingga timbul persoalan; manakah yang lebih utama, memperbanyak membaca al-Qur’an atau bertadabur al-Qur’an?
Jawapan kepada persoalan ini bergantung kepada siapa pembaca al-Quran tersebut. Jika pembaca al-Qur’an itu orang Arab atau mereka yang faham al-Qur’an seperti Sahabat Nabi s.a.w, tabi’in maupun Iman As-Syafi’e, maka digalakkan memperbanyakkan tilawah al-Qur’an. Jika pembaca itu seorang yang tidak memahami bahasa al-Qur’an, maka digalakkan tilawah dan bertadabur sekali.
Allah swt menimbulkan persoalan ini dengan nada yang agak marah, ada juga nada tanda tanya supaya kita berfikir;
“Maka apakah mereka tidak mentadaburi al-Qur’an ataukah pada hati-hati mereka ada penutup-penutupnya?” – (QS Muhamad:24)
Allah swt juga menyuruh kita supaya membaca al-Qur’an secara tartil;
“……dan bacalah al-Qur’an dengan tartil(perlahan-lahan lagi jelas).” – (QS Al-Muzzammil:4)
Tadabur al-Qur’an ialah seseorang yang membaca al-Qur’an itu cuba untuk mengambil pengajaran dan memikirkan pengertian dari ayat-ayat yang dibacanya sehingga hati mendapat sesuatu kesan daripada ayat-ayat tersebut. Dengan kata lain, hati terkesan dengan pengajaran yang diperolehi sehingga boleh mengubah peribadi dan amalan harian.
Orang yang tidak mentadabur al-Qur’an adalah orang yang sama ada telah dikunci mati oleh Allah swt atau pun mereka sendiri telah mengunci hati mereka daripada pengajaran al-Qur’an.
Oleh itu, orang Islam keseluruhannya hendaklah membaca al-Qur’an secara tartil dan bertadabur dengannya. Berpandukan surah Muhamad:24 ini membuktikan betapa pentingnya bertadabur al-Qur’an.
Jika di teliti, orang membaca al-Qur’an kerana banyak sebab;
1. Mendengar dan membaca al-Qur’an dapat menenangkan jiwa kerana ia menusuk ke dalam hati walaupun tidak memahaminya.
2. Membaca al-Qur’an untuk menghalau hantu, jin atau syaitan.
3. Membaca dan mempelajari al-Qur’an untuk memperbaiki tajwid.
4. Membaca al-Qur’an sebab pertandingan. Siapa yang menang akan mendapat ganjaran tertentu.
5. Membaca al-Qur’an untuk mendapat pahala. Dalam bulan Ramadhan, membaca hanya satu huruf akan mendapat 10 ganjaran.
6. Membaca al-Qur’an untuk bertadabur.
Marilah kita naik satu tingkatan lagi iaitu cuba memahami al-Qur’an melalui mentadaburinya. Apabila membaca al-Qur’an, bacalah juga terjemahannya. Jika ada bahagian yang tidak difahami, tandakan bahagian tersebut kemudian bertanyalah pada yang lebih arif.
Kenapa memilih Khowathir Qur’aniyah sebagai topik perbincangan?
Orang awam seperti kita ini, apabila membaca al-Quran kadang-kadang tidak dapat mengambil pengajaran yang sebenar apakah pokok perbincangan utama yang hendak disampaikan melalui setiap surah. Sebagai contoh, surah al-Baqarah. Al-Baqarah bermakna `lembu’ tetapi apabila kita membaca surah ini, tidak banyak menceritakan hal berkenaan lembu. Hanya satu muka surat sahaja yang menyentuh kisah lembu. Sedangkan surah ini mempunyai 50 muka surat. Apa perkaitan sebenarnya nama lembu ini dengan kisah keseluruhan surah? Inilah yang hendak dibincangkan dalam topik ini.
Permulaan surah al-Baqarah, menceritakan pembahagian manusia kepada 3 golongan. Kemudian menceritakan sedikit kejadian Nabi Adam dan kesannya terhadap Iblis. Kemudian menceritakan agak panjang kisah Bani Israil, kemudian sedikit berkenaan dengan Nabi Ibrahim. Di dalam keempat-empat perkara ini, sebenarnya ada sesuatu topik utama atau mesej utama yang hendak disampaikan. Kemudian, setiap topik utama dalam setiap surah akan wujud perkaitan tertentu menuju kepada yang satu. Ini juga akan dibincangkan di dalam topik ini.
Apakah perkaitan nama surah dengan isi kandungan surah tersebut? Kenapa surah al-Fatihah berada di depan sekali dan diakhiri dengan surah an-Nas mengikut susunan di dalam Mushaf? Ini semua akan dibincangkan dan yang paling penting ialah kita mendapat gambaran atau lintasan-lintasan wahyu Allah swt semasa membaca al-Qur’an.
Jelaslah disini sebab-sebab mengapa kita memilih Khowathir Qur’aniyah ialah:
1. Bukan sekadar membaca al-Qur’an tetapi juga memahami dengan jelas tujuan tiap-tiap surah dan misi yang ingin disampaikan untuk kita.
2. Mengetahui perkaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain dan kesatuannya.
3. Mengetahui setiap surah mempunyai kesatuan tema, mempunyai tujuan dan saling menyempurnakan antara satu sama lain.
4. Mengetahui sebab penamaan sesuatu surah dan perkaitannya dengan isi kandungannya.
5. Walaupun kita tidak memahami makna keseluruhan ayat, kita akan dapat pemahaman tujuan umum/global surah-surah. Dengan ini dapat membantu memahami seluruh isi al-Qur’an.
6. Ia sangat bermanfaat kerana dapat memberi prinsip-prinsip dasar dalam memahami al-Qur’an. Justeru dapat menjadi acuan bagi penghafal al-Qur’an dan pemerhati ilmu tafsir.
7. Melahirkan kecintaan kepada al-Qur’an dan meyakini bahawa ia diturunkan oleh Zat Yang Bijaksana.
Akhir kata, perlulah diingatkan bahawa perbincangan ini bukanlah suatu tafsir. Ia adalah ijtihad yang boleh membantu generasi baru meningkatkan pemahaman, pentadaburan ayat-ayat al-Qur’an dan mengetahui korelasi surah-surah yang ada di dalamnya. Kemungkinan terdapat pendapat-pendapat yang lain(khilaf) ke atas perbincangan yang sama, maka boleh dianalisa dan diterima. Wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan