MUTIARA KATA

"Dunia pergi sambil berpaling, dan akhirat datang sambil mengadap. Setiap satu dari keduanya mempunyai anak. Jadilah engkau anak akhirat, dan jangan menjadi salah satu anak dunia. Sebab, hari ini adalah hari untuk beramal; tidak ada hisab (perhitungan amal di akhirat). Sedangkan hari esok adalah hisab; tidak ada hari untuk beramal."


"Ilmu umpama hujan, yang tidak memberikan manfaat kecuali bagi tanah yang subur dan suci. Begitulah juga ilmu tidak memberi manfaat kecuali bagi jiwa yang suci, hati yang sedar dan naluri yang peka."

FIKRAH ISLAM





30 Julai 2012

4.19 سُوۡرَةُ القَدرSurah al-Qadr


Surah 97:Kemuliaan/Keagongan/Ukuran

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ (١) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ (٢) لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬ (٣) تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذۡنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ۬ (٤) سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ (٥)
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) itu pada Lailatul-Qadar, (1) Dan tahukah engkau apakah  Lailatul-Qadar itu? (2) Lailatul-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. (3) Pada Malam itu, para malaikat dan roh (Jibril) turun dengan perintah Tuhan mereka, kerana membawa segala urusan (yang bijaksana); (4) Sejahteralah Malam itu hingga fajar menyingsing! (5)

Nama Surah

Surah ini adalah surah Makkiyah. Dinamakan al-Qadr kerana membicarakan tentang kebesaran, kelebihan,kemuliaan dan keberkatan malam al-Qadr. Diturunkan selepas surah ‘Abasa. Surah ini juga menerangkan permulaan al-Qur’an diturunkan, Manakala surah al-Baiyinah menerangkan salah satu sebab mengapa Allah swt menurunkan al-Qur’an.

Sedikit Sirah

Perlu diketahui bahawa sebelum penurunan al-Qur’an, corak kehidupan masyarakat Arab Quraisy yang Jahiliyyah di Makkah tidak  sesuai dengan jiwa Rasulullah saw. Mereka menyembah berhala-berhala, suka berjudi, minum arak, penzinaan dan perbuatan maksiat yang lain amat tidak mententeramkan Baginda. Oleh itu Baginda lebih banyak mengasingkan diri dari masyarakat liar itu sambil merenungi penciptaan alam yang amat mengkagumkan. Rasulullah saw hanya akan bersama-sama mereka jika ada sesuatu yang baik sahaja.

Rasulullah saw tidak mempunyai jalan yang jelas yang boleh mententeramkan jiwanya di saat itu. Oleh itu  tergerak dihati Baginda untuk bertahannuth(uzlah/menyendiri) di Gua Hira’ . Baginda berulang alik ke gua itu di sepanjang bulan Ramadhan. Baginda ke sana bertujuan mencari ketenangan sambil bertafakur mencari petunjuk dan kebenaran dari Allah swt. Itulah sahaja antara pilihan yang ada.

Hakikatnya, semua ini merupakan perancangan Allah swt untuk mempersiapkan Nabi Muhammad saw  memegang jawatan yang amat penting dan berat.

Pada usia Baginda 40-an, tanda-tanda kenabian mula terserlah. Baginda telah bermimpi benar bagaikan fajar yang terang di pagi hari. Menurut riwayat Ibn Ishaq, wahyu pertama iaitu permulaan surah al-‘Alaq adalah diturunkan dalam bulan Ramadhan semasa Rasulullah saw beribadat di dalam Gua Hira’ ini.

Asbabun Nuzul

Ibnu Abi Hatim dan al-Wahidi meriwayatkan dari Mujahid mengemukakan bahawa Rasulullah saw pernah menyebut tentang seorang dari Bani Israel yang berjuang fisabilillah menggunakan senjatanya selama 1000 bulan secara berterusan. Kaum muslimin merasa kagum dengan perjuangan orang tersebut. Maka Allah swt menurunkan ayat 1-3 dari surah al-Qadr yang menerangkan bahawa satu malam lailatul qadar itu lebih baik daripada perjuangan Bani Israel itu selama 1000 bulan.

Ibnu Jarir meriwayatkan dari Mujahid mengemukakan bahawa pada zaman Bani Israel terdapat seorang lelaki yang beribadat pada malam hari dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya. Perbuatan ini dilakukan selama 1000 bulan. Maka Allah swt menurunkan ayat 1-3 dari surah al-Qadr ini yang menjelaskan bahawa satu malam lailatul qadar itu adalah lebih baik daripada amalan 1000 bulan Bani Israel tersebut.

Ayat 1

إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ (١)
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada Lailatul-Qadar, (1)”

Allah swt telah menggunakan kata ganti nya pada ayat ini. Namun begitu ia tetap difahami sebagai kata ganti kepada al-Qur’an kerana ia sangat besar nilainya kepada Rasulullah saw.

Ayat ini juga sejajar dengan firman Allah swt dalam surah al-Dukhan 44:3,

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).

Ia diturunkan pada bulan Ramadhan berdasarkan kepada firman Allah swt di dalam surah al-Baqarah 2:185,

“….bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah……”


Pendapat Ibnu Abbas dan sejumlah ulama, kemudian dipegang oleh jumhur ulama, bahawa “Yang dimaksudkan dengan turunnya al-Qur’an dalam ayat-ayat di atas ialah turunnya al-Qur’an secara sekaligus ke Baitul ‘Izzah di langit dunia untuk menunjukkan kepada para malaikat-Nya bahawa betapa agongnya persoalan ini. Selanjutnya al-Qur’an diturunkan kepada Nabi saw secara beransur-ansur selama dua puluh tiga tahun bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa yang mengiringinya bermula dari beliau diutus sehinggalah wafatnya. Selama tiga belas tahun beliau tinggal di Makkah, dan selama itu jugalah wahyu turun kepadanya. Selepas hijrah, beliau tinggal di Madinah selama sepuluh tahun. Beliau wafat dalam usia enam puluh tiga tahun.”

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas, dia pernah ditanya oleb Athiyah bin al-Aswad, katanya, “Dalam hatiku terjadi keraguan berkenaan firman Allah, “Bulan Ramadhan itu ialah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Qur’an”, dan firman Allah, “Sesungguhnya Kami rnenurunkannya pada Lailatul Qadr”. Padahal al-Qur’an itu ada yang diturunkan pada bulan Syawwal, Dzulqa’edah, Dzuihijjah, Muharram, Shafar dan Rabi’ui Awwal.” lbnu Abbas menjawab, “Al-Qur’an ditununkan pada Lailatul Qadr sekaligus, kemudian diturunkan secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit dan terpisah-pisah serta perlahan-lahan di sepanjang bulan dan hari.” (Hadis Riwayat Ibnu Mardawaih dan al-Baihaqi dalam Kitab al-Asma’ wa ash-Shifat)


Ayat 2-3

(٣) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ (٢) لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬
Dan tahukah engkau apakah  Lailatul-Qadar itu? (2) Lailatul-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. (3)

Allah swt telah menyebut tentang malam Lailatul Qadr(malam kemuliaan). Kemudian Allah swt bertanya pula apakah malam tersebut? Apa yang mulia? Bagaimana yang dikatakan mulia? Sudah tentu tiada siapa yang dapat menjawab persoalan-persoalan itu. Ia di luar pemikiran manusia. Melainkan ia dikhabarkan oleh Allah Azzawa Jalla sendiri. Sesungguhnya Dia-lah pencipta dan memiliki seluruh alam buana ini. Justeru ,Dia ingin kita memahami betul-betul apakah malam Lailatul-Qadr itu.

Allah Azzawa Jalla menjelaskan bahawa malam yang mulia itu adalah lebih mulia, lebih baik dan lebih istimewa daripada seribu bulan. Kemuliaan, kelebihan dan keistimewaan ini tidak akan diperolehi dari mana-mana malam di dalam bulan yang lain selain dari bulan Ramadhan.

Mengikut As-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah di dalam Fi Zilalil Qur’an, angka bilangan yang disebut di dalam Al-Qur’an di tempat-tempat yang seperti ini tidaklah memberi makna bilangan yang terbatas, malah yang dimaksudkan dengan bilangan itu(1000 bulan) ialah bilangan yang banyak.

Laila juga memberi erti masa. Manakala Qadr memberi erti ukuran. Jadi Lailatul Qadr boleh diertikan sebagai ukuran masa atau mutu/kualiti masa yang diberikan oleh Allah swt kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Panjang atau pendeknya keberkatan itu bergantung kepada rahmat Allah swt  yang boleh menjadikan satu malam itu sahaja adalah lebih baik dari 1000 bulan(83 tahun).

Rasulullah saw di Isra’ Mi’rajkan dalam ukuran masa berapa lama? Menurut riwayat Saidatina Aisyah r.ha bahawa perjalanan Rasulullah saw hanyalah seketika sahaja kerana tempat perbaringan Baginda terasa masih panas sekembalinya dari Isra’ Mi’raj itu. Jika difikirkan dengan logik akal, perjalanan dari Mekah ke Baitul Maqdis, kemudian naik ke langit tujuh ,seterusnya  bertemu dengan Allah swt dan akhirnya  melalui perjalan pulang semula, semua ini sudah tentu memakan masa yang berbulan-bulan lamanya. Itulah keberkatan masa yang diberikan oleh Allah swt kepada Rasulullah saw.

Ulama termasyur, Imam As-Syafi’e dapat mengkhatamkan bacaan 30 juzuk al-Qur’an dalam satu pusingan tawaf sahaja. Ini bermakna beliau dapat mengkhatamkan bacaan al-Qur’an sebanyak  tujuh kali semasa tawaf tujuh pusingan. Inilah keberkatan masa yang Allah swt anugerahkan kepada beliau.

Oleh itu, kita sebagai orang awam jangan melepaskan peluang mendapat  keberkatan pada malam al-Qadr ini dengan melaksanakan peribadatan dan berubudiyah kepada Allah swt. Allah swt-lah yang memilih malam ini sebagai malam yang berkat. Yakinlah kita dengan tawaran yang julung-julung kali ini. Sesungguhnya Allah swt tidak pernah memungkiri janji-Nya.


Ayat 4

تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذۡنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ۬ (٤)
Pada Malam itu, para malaikat dan roh (Jibril) turun dengan perintah Tuhan mereka, kerana membawa segala urusan (yang bijaksana); (4)

Allah swt memperjelaskan lagi kenapa malam al-Qadr itu mempunyai kelebihan, kemuliaan dan keistimewaan melebihi malam-malam yang lain. Pada malam itu, malaikat Jibril(roh) turun ke bumi. Begitu juga  para malaikat yang lain turun dari tujuh petala langit dan dari Sidrah al-Muntaha. Mereka menerima arahan dari Allah Azzawa Jalla dan dengan keizinan-Nya untuk berurusan dengan manusia di bumi. Tidakkah ini suatu kemuliaan dan keistimewaan diberikan kepada manusia dari Rabb-nya? Mereka turun ke bumi semata-mata menguruskan urusan manusia. Ini semua adalah perintah Allah swt. Tidak terasakah kasih sayang Allah Azzawa Jalla kepada makhluk-Nya yang bernama manusia?

Allah swt berfirman di dalam surah Maryam, ayat 64;
“Dan tidaklah kami(Jibril) turun, kecuali dengan perintah Tuhanmu.”

Rasulullah saw bersabda, maksudnya;
“Sesungguhnya Allah telah menentukan satu ketentuan yang khusus pada malam al-Bara’ah(malam melupuskan). Apabila tiba malam al-Qadr maka Allah sampaikan ketentuan khusus itu kepada malaikat pelaksana.”

Apakah ketentuan khusus atau segala urusan(al-Qadr:4) yang dimaksudkan itu ?

Merujuk kepada Fi Zilalil Qu’ran, Lailatul-Qadr adalah satu malam yang amat agung kerana ia telah dipilih oleh Allah swt sebagai malam permulaan Nuzul-Qur’an atau permulaan melimpahkan cahaya agama Allah swt ke seluruh alam. Al-Qur’an membawa kepada kesejahteraan dan kedamaian yang meresap ke dalam hati dan kehidupan manusia. Di dalamnya juga mengandungi aqidah, kefahaman, syari’at dan adab sopan yang memancarkan kesejahteraan di bumi dan di hati nurani. Kedudukan hakikat-hakikat peraturan-peraturan dan kedudukan hati-hati manusia itulah ‘urusan yang bijaksana’. Pentingnya melebihi dari kepentingan individu-individu, kedudukan kerajaan, kedudukan bangsa dan lebih penting  dari kepentingan-kepentingan yang lain.

As-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah menggambarkan peristiwa malam yang agung itu berkilau-kilau memancarkan nur al-Qur’an. Nur yang membawa ketenangan, keindahan dan kemesraan. Kilauan itu juga dari nur para malaikat dan Jibril yang berulang-alik  di antara bumi dan alam al-Mala’ul-A’la di sepanjang malam tersebut.

Allah swt telah mengangkat darjat Nabi saw dan pengikut-pengikut risalahnya. Ia juga merupakan penamat risalah kenabian.

Allah swt berfirman di dalam surah al-Dukhan, ayat 4;
“Pada malam itu ditentukan segala urusan dengan penuh hikmah.”

Ayat 5
سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ (٥)
Sejahteralah Malam itu hingga fajar menyingsing! (5)

Roh surah ini adalah beramal di malam al-Qadr. Bermula dari waktu Maghrib dan berakhir di waktu Subuh(fajar menyingsing).

Imam Ahmad meriwayatkan dari ‘Ubadah Ibn al-Samit bahawa Rasulullah saw bersabda;
“Malam al-Qadr berlaku pada sepuluh malam terakhir. Barangsiapa yang menghayati (dan memakmurkan) malamnya dengan penuh kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan segala dosa yang telah lalu dan akan datang. Malam al-Qadr berlaku pada malam yang witir: malam Sembilan, malam ketujuh, malam kelima atau malam ketiga atau malam yang terakhir.”

Di dalam sahih al-Bukhari dan sahih Muslim, sabda Rasulullah saw;
“Carilah Lailatul-Qadr itu pada malam-malam sepuluh yang terakhir dari bulan Ramadhan.”

“Barangsiapa yang berbuat ibadat pada Lailatul-Qadr kerana didorong keimanan dan harapan mendapatkan pahala dari Allah nescaya diampunkan segala yang telah lalu.”

Abu Daud al-Tayalisi meriwayatkan dari Ibn ‘Abbas r.a bahawa Rasulullah saw telah bercerita tentang malam al-Qadr, Baginda bersabda;
“Malam al-Qadr adalah malam yang penuh nyaman dan penuh ketenangan, tidak terlalu panas juga tidak terlalu sejuk, matahari muncul di waktu paginya dalam suasana kemerahan yang samar-samar.”

Diriwayatkan oleh Abi Asim al-Nabil daripada Jabir Ibn Abdillah bahawa Rasulullah saw bersabda;
“Sesungguhnya aku telah melihat malam al-Qadr,tetapi aku lupa masanya. Ia berlaku(sekitar) sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Ia adalah satu malam yang tenang, nyaman, tidak terlalu panas dan juga tidak terlalu sejuk. Malamnya cerah bagaikan berbulan. Para syaitan tidak keluar pada malam tersebut sehinggalah cahaya fajar menyingsing.”

Jelas di sini bahawa malam al-Qadr adalah malam yang diliputi dengan segala kebaikan disebabkan turunnya al-Qur’an dan para malaikat sebagai saksi. Malam yang serba selamat, aman, baik dan berkat sehingga fajar menyingsing.

Pengajaran daripada surah:

1.    Al-Qur’an adalah panduan kehidupan yang tersangat penting bagi setiap Mukmin.

2.    Beramal dan berbuat kebajikan pada malam al-Qadr adalah lebih baik dari beramal dalam seribu bulan yang tidak ada malam al-Qadr kerana malam tersebut Allah swt menyediakan kebaikan yang banyak, yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain.

3.    Para malaikat akan turun dari tujuh petala langit untuk berurusan hal-hal manusia atas arahan Allah swt.

4.    Hikmah disebalik kerahsiaan malam al-Qadr ialah agar setiap Mukmin sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah swt, bersungguh-sungguh, tidak malas dan sentiasa mengingati Allah swt.

5.    Sesiapa yang melupakan malam al-Qadr akan kehilangan nikmat Allah swt dan kerugian tidak memperolehi kedamaian hati. Juga tidak akan mendapat keberkatan yang dijanjikan.

6.    Amal ibadat yang dilakukan pada malam itu hendaklah beserta dengan hati yang penuh  keimanan, ikhlas  dan harapan mendapat pahala  dari Allah swt.

7.    Bersabarlah untuk beramal pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.

Wallahu’alam.


13 Julai 2012

2.7 ADAKAH SUDAH MUSLIM?


Seorang yang beragama Islam juga di panggil sebagai seorang Muslim. Ini kerana seorang yang mengaku dirinya Muslim telah menerima agama Islam sebagai agamanya. Jika agamanya terbatal, maka terkeluarlah dia dari kelompok Muslim tersebut. Jadilah dia seorang yang kafir.

Apa makna menerima Islam sebagai agamanya? Bagaimana agama Islam boleh terbatal dari diri seseorang? Apakah akibat menjadi seorang kafir?

Persoalan-persoalan ini sepatutnya wujud di dalam benak seorang Muslim. Pengetahuan ini mampu menjadikan seseorang itu menjadi Muslim yang sejati.

Seseorang yang menerima Islam sebagai agamanya adalah seorang yang menerima dan melaksanakan  ajaran Rasulullah saw secara sengaja dan sedar. Ini bermakna dia telah beriman dengan ajaran Islam. Jika tidak, dia bukanlah seorang Muslim yang sejati.

Justeru itu, Muslimnya seseorang bukanlah melalui keturunan, bukan pula melalui pakaian yang berjubah dan bersarban dan bukan melalui nama yang diberi oleh ibubapa. Perbezaan diantara seorang yang kafir dan seorang yang Muslim ialah melalui perbezaan pengetahuan tentang ad-Din dan kesanggupannya sebagai hamba untuk melaksanakan pengetahuan tersebut. Pemikiran dan perbuatannya mestilah selari dengan kehendak Allah swt. Oleh itu sangat penting ibubapa Muslim membekalkan ilmu pengetahuan tentang ad-Din kepada anak-anak mereka supaya mereka benar-benar menjadi seorang Muslim yang sejati.

Rasulullah saw telah menyeru orang-orang kafir Quraisy supaya memeluk agama Islam melalui kalimah Toiyibah atau kalimah syahadah. Namun sukar bagi mereka melafazkan kalimah itu kerana mereka faham benar dengan natijah pengucapan kalimah tersebut. Mereka tidak sanggup kehilangan segala kemewahan mereka, pangkat dan keselesaan mereka. Apakah sebenarnya pengertian tentang kalimah ini ?

Hadith kedua dari hadith 40 Imam an-Nawawi yang di panggil sebagai hadith Jibril (Ibu segala hadith) ada menyebut tentang Islam, Iman, ihsan dan tanda-tanda kecil Qiamat. Bahagian yang menyebut tentang Islam ialah:

“………Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau………………”- H.R Imam Muslim

Seorang kafir yang ingin menjadi Muslim wajib melafazkan kalimah ini, kemudian mestilah yakin di dalam hatinya tentang apa yang dilafazkan, diikuti dengan melaksanakan tuntutan-tuntutan syari’at Islam. Jika dia mengingkari salah satu daripadanya, maka terbatallah Islamnya.

Oleh itu, sebelum kalimah Toiyibah ini dilafazkan, seseorang itu perlulah mempunyai keimanan yang  jazam. Perlu yakin dengan kewujudan Allah swt. Kemudian bersaksi atau berikrar atau berjanji bahawa tiada Tuhan(Ilah) melainkan Allah swt. Berjanji kepada siapa? Dia telah bersaksi, berikrar dan berjanji kepada Allah swt Yang Maha Mendengar.  Dia juga bersaksi, berikrar dan berjanji kepada dirinya sendiri dan juga kepada semua makhluk yang ada di bumi dan di langit. Semua ikrar dan persaksian ini dipersaksikan oleh rambutnya, bulu roma-nya, anggota tubuhnya, makhluk di langit dan di bumi. Di hari Akhirat nanti, mereka ini-lah yang akan menjadi saksi-saksi di atas ikrar-ikrar yang telah dibuat.

Apakah yang diikrarkan dan dijanjikan itu? Dia berikrar dan berjanji bahawa tiada Ilah iaitu tiada Penguasa, tiada Pencipta, tiada Pemelihara, tiada Pemberi rezeki dan tiada yang Mendengar doa-doa yang mampu mengabulkannya melainkan Allah swt.

Mengakui bahawa Allah swt sebagai Tuhan bagi sekelian makhluk di bumi dan di langit juga membawa erti apa sahaja yang dimiliki olehnya adalah sebenarnya milik Allah swt. Allah swt menguasai hidupnya sehingga Allah swt –lah yang menetapkan kematiannya. Oleh itu, hanya Allah swt sahaja yang patut ditakuti, dipuja-puja dan disembah. Mengakui juga bahawa hanya hukum-hukum Allah swt sahaja yang patut diikuti.

Pengetahuan atau pemahaman seperti ini-lah yang mampu menguasai hidupnya sehingga berupaya mengubah pemikirannya, mengubah akhlaknya dan mengubah cara hidupnya secara total sebagaimana cara hidup seorang Muslim. Dia akan sanggup mengenepikan pemikirannya sendiri atau nasihat dari orang lain melainkan nasihat daripada al-Qur’an dan hadith. Dia akan rajin menjalankan kewajipan kepada Allah swt. Dia akan sanggup mengorbankan kebebasan dan kemerdekaan diri sendiri demi Allah swt. Dia akan menyerah diri dengan tanpa ragu-ragu dan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Ini-lah kekuatan kalimah Toiyibah. Kalimah ini mampu mengubah seorang yang kafir kepada seorang Muslim. Seorang yang kotor rohaniyahnya kepada seorang yang suci rohaniyahnya. Dulu dia dibenci oleh Allah swt, kini disayangi oleh Allah swt. Tercatat dulunya dia ahli neraka, kini tercatat dia adalah ahli syurga. Dulu ikatan persaudaraan antara sesama mereka adalah tidak kuat, kini ikatan persaudaraan itu sangat kuat kerana ia terikat dengan ikatan aqidah. Pertalian darah juga mampu terputus. Anak yang kafir tidak layak (mengikut syari’at) menerima harta pusaka ayahnya yang Muslim. Batasan aurat juga perlu dijaga. Inilah perubahan-perubahan yang begitu drastik akibat daripada kalimah Toiyibah.

Untuk memperolehi perubahan yang drastik sebegini, perlu-lah juga berlaku komitmen yang tinggi terhadap Allah swt. Seorang yang dahaga, tidak akan dapat menghilangkan dahaganya jika dia hanya menyeru atau menyatakan dengan mulutnya; “Air….air”. Komitmen yang perlu dibuat ialah dia perlu ke dapur kemudian mengambil air minuman dan seterusnya meminum minuman tersebut. InsyaAllah, Allah swt akan menerima usahanya dan sebagai ganjaran air tersebut menghilangkan dahaganya.

Begitu juga dengan kalimah Toiyibah. Kalimah ini tidak akan dapat mengubah apa-apa perubahan yang drastik iaitu dari kafir menjadi Muslim, kotor kepada suci, dibenci kepada disayangi, ahli neraka kepada ahli syurga, tiada ikatan aqidah yang kuat dan tidak layak menerima harta pusaka jika dia hanya melafazkan “Aku bersaksi bahawa tiada Ilah melainkan Allah.” kemudian tiada usaha atau komitmen yang diberikan kepada Allah swt. Bagaimanakah Allah swt akan menerima ikrar atau persaksian ini jika tiada usaha yang dibuat untuk memecahkan tembok perbezaan atau berusaha merentasi jurang perbezaan ini ? Ini bermakna persaksian dan ikrar yang dilafazkan adalah persaksian dan ikrar yang palsu. Dia adalah seorang yang penipu. Dia telah menipu Allah swt. Menipu anggota tubuhnya. Menipu makhluk yang ada di bumi dan di langit. Ingat, jangan sangka kamu telah menipu Allah swt. Tetapi kamu sebenarnya telah menipu dirimu sendiri.

Bagaimana pula dengan lafaz “…dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.” ? Persaksian ini menunjukkan dia menerima tanpa ragu-ragu bahawa Nabi Muhammad saw sebagai Rasul yang dipilih dan ditugaskan menyampaikan hukum-hukum Allah swt melalui al-Qur’an nur Karim. Cara hidup Baginda adalah sunnah ikutan. Jika orang lain menjadi ikutan, maka ikrar dan persaksiannya adalah bohong semata-mata. Oleh itu sangat penting bagi seseorang yang mengakui dirinya Muslim bertadabur al-Qur’an dan mempelajari sirah Nabi saw.

Allah swt telah mentakrifkan kalimah ini dalam surah Ibrahim, ayat 24 hingga ayat 27:

أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلاً۬ كَلِمَةً۬ طَيِّبَةً۬ كَشَجَرَةٍ۬ طَيِّبَةٍ أَصۡلُهَا ثَابِتٌ۬ وَفَرۡعُهَا فِى ٱلسَّمَآءِ (٢٤) تُؤۡتِىٓ أُڪُلَهَا كُلَّ حِينِۭ بِإِذۡنِ رَبِّهَا‌ۗ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَڪَّرُونَ (٢٥) وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ۬ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ ٱجۡتُثَّتۡ مِن فَوۡقِ ٱلۡأَرۡضِ مَا لَهَا مِن قَرَارٍ۬ (٢٦) يُثَبِّتُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱلۡقَوۡلِ ٱلثَّابِتِ فِى ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَفِى ٱلۡأَخِرَةِ‌ۖ وَيُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلظَّـٰلِمِينَ‌ۚ وَيَفۡعَلُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ (٢٧)

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. (24) Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). (25)Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. (26) Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. (27)

Seorang Muslim yang sejati mempunyai asas atau ‘foundation’ yang kuat dan kukuh bagaikan sepohon pokok berakar tunjang. Sebesar mana ujian melanda, ia tetap utuh dan tegak berdiri. Cabang-cabang menjalar ke sana sini dan menghasilkan buah yang manis. Begitu juga kalimah Toiyibah perlu bertunjang di dalam diri sebagai tapak asas yang kuat.

Apabila kalimah ini tidak kuat dan tidak bertunjang di dalam diri, maka seseorang Muslim itu mudah terpesong bagaikan tumbuhan berakar serabut. Pohon ini mudah dicabut dan tidak berguna seperti rumput yang melata.

Begitu juga bagi sebuah rumah. Pembinaannya memerlukan sebuah tapak atau ‘foundation’ yang kuat dan kukuh. Barulah tiang-tiang dan dindingnya dapat berdiri dengan kuat dan kukuh. Jika tapak asasnya tidak kuat, maka tiang dan dindingnya juga turut tidak dapat bertahan lama. Jika tapak asas tiada, maka tiang-tiang dan dindingnya tidak dapat didirikan langsung.

Persoalan yang perlu dijawab:

1.    Sudahkah kita berjaya memecahkan tembok perbezaan dan merentasinya selepas mengucapkan kalimah Toiyibah/Syahadah??

2.    Sudah sanggupkah kita melepaskan kepentingan diri, keselesaan dan keinginan diri sendiri demi Allah Azza wa Jalla??

3.    Apakah bukti-bukti yang menunjukkan kita sudah Muslim??

Perlu kita ingat, Islam bermaksud patuh dan tunduk kepada Allah swt. Mereka yang ingkar kepada Allah swt adalah seorang yang kufur. Adakah kita termasuk di dalam kumpulan manusia yang patuh atau kumpulan yang ingkar? Allah swt mengirimkan al-Qur’an dan Rasul supaya kita dapat mengenal-Nya dan tahu bagaimana untuk memperhambakan diri kepada-Nya. Sudahkah kita cuba mengambil tahu apakah isi kandungan al-Qur’an dan mengikuti ajaran Rasulullah saw? Jika masih belum, maka status Muslim kita diragui ketulinannya. Semoga kita termasuk di dalam golongan yang dipelihara keimanannya oleh Allah swt Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Amin ya Robbal ‘Alamin.

02 Julai 2012

4.18 Surah At-Tiin - سُوۡرَةُ التِّین

Buah Tiin
Surah ke-95: 8 ayat 


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

 وَٱلتِّينِ وَٱلزَّيۡتُونِ (١) وَطُورِ سِينِينَ (٢) وَهَـٰذَا ٱلۡبَلَدِ ٱلۡأَمِينِ (٣) لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬ (٤) ثُمَّ رَدَدۡنَـٰهُ أَسۡفَلَ سَـٰفِلِينَ (٥) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُمۡ أَجۡرٌ غَيۡرُ مَمۡنُونٍ۬ (٦) فَمَا يُكَذِّبُكَ بَعۡدُ بِٱلدِّينِ (٧) أَلَيۡسَ ٱللَّهُ بِأَحۡكَمِ ٱلۡحَـٰكِمِينَ (٨) 


Demi (buah) Tiin dan (buah) Zaytun (1) Dan demi Bukit Tursinai (2) Dan demi negeri (Mekah) yang aman ini (3) Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (4) Kemudian Kami kembalikan dia ke tingkat yang sebawah-bawahnya (5) Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka untuk mereka pahala yang tidak putus-putus (6) Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu? (7) Bukankah Allah Hakim yang seadil-adilnya (8)


Tema dan kandungan surah 


Surah ini terdiri dari 8 ayat, termasuk golongan surah Makkiyah. Ia diturunkan sesudah surah Al-Buruuj. Nama At-Tiin diambil dari kata “At-tiin” yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Tema utama surah ini ialah kesempurnaan kejadian manusia dan faktor kejatuhannya. Walaupun manusia adalah makhluk yang terbaik rohaniah dan jasmaniahnya, tetapi mereka akan menjunam ke darjat yang paling bawah disebabkan kekufuran kepada Allah dan Rasulullah s.a.w serta keingkarannya terhadap Hari Kebangkitan. Surah ini juga mengisytiharkan dasar keadilan mutlak Allah berbentuk ganjaran dan pembalasan di Hari Akhirat.


Fikrah ayat

Ayat 1-3

وَٱلتِّينِ وَٱلزَّيۡتُونِ (١) وَطُورِ سِينِينَ (٢) وَهَـٰذَا ٱلۡبَلَدِ ٱلۡأَمِينِ (٣)

Demi (buah) Tiin dan (buah) Zaytun (1)
Dan demi Bukit Tursinai (2)
Dan demi negeri (Mekah) yang aman ini (3)

Allah swt bersumpah sebanyak empat kali dalam ayat-ayat ini. Dua sumpah pertama adalah dengan dengan nama buah al-Tiin dan buah al-Zaitun; dan yang berikutnya dengan nama dua tempat yakni Bukit Tursina dan juga Kota Mekah.

Persoalannya kenapakah Allah bersumpah sedemikian ?

Buah al-Tiin adalah makanan orang Arab yang mahsyur dan berkhasiat tinggi. Menjadi penawar kepada pelbagai penyakit. Dalam hadith Hasan yang diriwayatkan oleh Ibn Sani dari Abu Na'im daripada Abu Dzar: “Sesungguhnya buah al-Tiin dapat menyembuhkan penyakit buasir dan ia juga dapat menyembuhkan ruam kaki, panau dan gout

Buah Zaitun dijadikan makanan dan minyak yang diperah dari buah ini menjadi kuah dan campuran berbagai jenis ubat. Berupaya mengurangkan risiko penyakit jantung (dengan izin Allah). Ia mengandungi Mono-unsaturated Fatty Acid (MUFA) dan vitamin E.

Firman Allah swt (bermaksud): “Dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkatnya, (iaitu) pohon Zaitun yang tidak tumbuh di sebelah timur dan tidak tumbuh di sebelah barat(nya)” – QS (al-Nur:35).

Walaupun buah-buah ini (al-Tiin dan al-Zaitun) adalah buah yang berkualiti, tetapi apakah pula kaitannya dengan dua sumpah berikutnya iaitu sumpah dengan dua tempat (Bukit Tursina dan Kota Mekah)?

Setiap sumpah mempunyai kaitan dengan mesej/tema yang lebih besar yang Allah ingin kita mengambil pengajaran daripadanya. Mengikut mufassirin, sebutan buah al-Tiin dan al-Zaitun adalah isyarat kepada tempat-tempat dan peristiwa-peristiwa kemenangan di dalam perjuangan agama Allah.

Mengikut pemahaman orang Arab, sesuatu lokasi diberi nama mengikut kepada kepopularan sesuatu perkara di situ. Buah al-Tiin banyak di kawasan Bukit Judi, Damaskus Syria (Kawasan Syam). Iaitu tempat mendaratnya bahtera Nabi Nuh a.s. Manakala buah Zaitun banyak ditanam di kawasan Baitul-Maqdis, Palestin. Tempat yang diberkati dan tanah bagi para Nabi. Ia juga tempat Nabi Isa a.s. dan Nabi Ibrahim a.s berda'wah.

Firman Allah swt dalam ayat ke-2 (bermaksud): “Dan demi Bukit Sinai” adalah merujuk kepada Bukit Tursina, tempat Nabi Musa bin Imran a.s. bercakap dengan Allah swt.

Manakala dalam ayat ke-3 (bermaksud): “Dan demi Kota yang aman ini merujuk kepada al-Makkah al-Mukarramah. Tempat yang dimuliakan oleh Allah swt dengan adanya al-Kaabah al-Musyarah. Ia juga tempat kelahiran Rasulullullah s.a.w dan tempat baginda diangkat menjadi Rasulullah. Mekah dinamakan sebagai al-Balad al-amin kerana disitu terdapat keamanan dan kesejahteraan. Sebagaimana firman Allah swt (bermaksud): “Barangsiapa memasukinya (Masjid al-Haram) dia beroleh keamanan. (Ali-Imran, 3:97)

Oleh itu, ulama mufasirin menyatakan bahawa tempat-tempat ini (syam, baitul-maqdis, tursina, Mekkah) mempunyai kaitan dengan perjuangan Rasul `Ulul-Azmi yang menegakkan kalimah tauhid. Maka hendaklah para da'i mengambil teladan dari para Rasul ini. Mereka mempunyai keteguhan semangat, keazaman yang tinggi, kesabaran luar biasa dan kekuatan tawakal dalam menghadapi segala ujian untuk menyampaikan agama Allah Azza Wajalla di mukabumi.

Ayat 4

 لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬ (٤)
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (4)

Manusia mendapat kedudukan yang istimewa di sisi Allah swt. Dimuliakan dalam bentuk asal penciptaan sebagai makhluk yang terbaik (ahsan taqwim). Dari ayat ini, jelas ternyata betapa besarnya perhatian Allah swt terhadap manusia. Manusia telah diciptakan dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Memang tiap-tiap kejadian itu diciptakan Allah swt dengan sebaik-baiknya, tetapi dalam surah ini disebut secara khusus bahawa manusia itu dijadikan dengan sebaik-baik susunan dan bentuk rupa dan ditempat-tempat yang lain dalam Al-Quran menunjukkan bahawa Allah swt memberikan perhatian dan 'inayah yang lebih besar terhadap makhluk manusia.

Penghormatan Allah swt terhadap makhluk insan berbanding makhluk-makhluk yang lain ialah dengan cara penciptaan yang menggabungkan unsur tanah dan tiupan roh, mengumpulkan unsur bumi dan langit sehingga terbentuk manusia yang sebaik-baik kejadian secara zahir dan batin. Malah Allah swt telah mengurniakan manusia dengan berbagai-bagai bakat kebolehan yang diletakkan di dalam fitrahnya, iaitu bakat-bakat kebolehan yang melayakkannya memegang teraju khalifah di bumi, di mana mereka dapat mengubah, menyusun dan mencipta sehingga mampu mentadbir muka bumi ini.

Namun kemuliaan manusia ini hanya berguna jika diikat dengan tali aqidah. Kekuatan, kekuasaan, kekayaan dan kebijaksanaan adalah perlu bagi membantu tugas khalifah memakmurkan bumi ini dengan jalan Ilahi. Jika sebaliknya, maka kemuliaan yang ada hanya bersifat sementara, menimbulkan penyakit hati, menjauhkan diri dari Rahmat dan Berkat Allah Azza Wajalla, dan tidak dapat menolong kita di akhirat.

Sayangnya manusia kerap lupa terhadap keistimewaan yang telah dikurniakan Allah swt kepada mereka. Kejatuhan ciri rohaniyah manusia akan menjatuhkan kejatuhan ciri insaniyah manusia. Inilah yang dinyatakan dalam ayat ke-5.

Ayat 5-6


 ثُمَّ رَدَدۡنَـٰهُ أَسۡفَلَ سَـٰفِلِينَ (٥) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُمۡ أَجۡرٌ غَيۡرُ مَمۡنُونٍ۬ (٦)

 Kemudian Kami kembalikan dia ke tingkat yang sebawah-bawahnya (5)
Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka untuk mereka pahala yang tidak putus-putus (6)

Ayat-ayat ini adalah jantung dan nadi utama dalam surah ini. Kita akan dapat merasai ayat ini jika kita mengetahui punca kenapa manusia dikembalikan ke tingkat yang sebawah-bawahnya. Terdapat dua jenis golongan manusia di dalam ayat ini iaitu:
  1. Golongan yang cenderung kepada syaitan
  2. Golongan yang beriman dan beramal soleh.
Kesudahan dari amalan mereka juga berbeza.

Ulama' tafsir memberikan dua pendapat pada ayatKemudian Kami kembalikan dia ke tingkat yang sebawah-bawahnya”

1.  Pendapat pertama : Manusia akan dihumbankan ke tempat paling bawah di dalam neraka apabila mereka tidak mentaati Allah swt dan tidak mengikuti Rasul-Nya.

2.  Pendapat kedua : Manusia akan dikembalikan kepada umur yang tua dan tidak bermaya, lemah akalnya, hilang ingatan (Semua orang akan melalui peringkat tua tidak kira samada orang beriman ataupun orang kafir dan berbuat maksiat)

Pendapat yang pertama ialah, golongan insan yang menyelewang dari fitrah ad-din, maka dia akan menjunam ke lapisan neraka yang terkebawah sekali. Mereka masuk neraka kerana kekafiran mereka. Pengecualian adalah kepada orang yang beriman dengan Allah Azza Wajalla, Rasul-Nya dan hari Akhirat serta melakukan amal soleh. Untuk golongan ini, mereka mendapat pahala yang tidak putus-putus kerana ketaatan mereka.

Ayat 5 & 6 ini, menunjukkan kebenaran Hari Akhirat. Yakni, amal manusia akan diberikan balasan di hari tersebut. Mereka yang beriman dan beramal soleh mendapat ganjaran syurga, sebaliknya golongan jahat dan kufur mendapat balasan buruk, ditempatkan di neraka yang paling bawah.

Pendapat kedua tafsir ayat 5 & 6 memberi makna, apabila seseorang itu semakin tua dan tidak mampu lagi beramal (seperti seusia muda), maka Allah menuliskan pahala untuknya sepertimana pahala yang selalu ia dapat pada usia mudanya.

Dari Ahmad, Bukhari dan Ibn Hibban mentakhrijkan daripada Abu Musa al-Asy'ari; beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya):
Kalau ada hamba Allah yang sakit atau dalam perjalanan (bermusafir) maka nescaya Allah tuliskan untuknya pahala yang kerap dibuatnya ketika beliau sihat atau ketika tidak ke mana-mana.” Dalam riwayat lain ada tambahan dari beliau berbunyi: “Bagi mereka pahala yang tidak putus-putus”.

Orang Mu'min yang bertaqwa juga tidak akan ditakdirkan berubah semasa tua dengan menjadi orang yang nyanyuk. Ini adalah mengikut hadith yang ditakrijkan oleh Hakim dan dianggap sahih oleh al-Baihaqi, yang diriwayatkan oleh Ibn `Abbas : “ Sesiapa yang (suka) membaca al-Qur'an ia tidak (ditakdirkan) menjadi nyanyuk

Apa yang perlu difahami dari ayat ke-5 & 6 ialah `ending' atau pengakhiran kepada dua jenis  golongan manusia. Allah swt menyatakan dalam surah al-Jathiyah 45:21 (maksudnya) “Apakah orang-orang yang melakukan kejahatan itu mengira bahawa Kami akan memperlakukan mereka seperti orang-orang beriman dan yang mengerjakan kebajikan, iaitu sama dalam kehidupan dan kematian mereka ? Alangkah buruknya penilaian mereka itu”.

Justeru itu, berusahalah menjadi orang beriman dengan erti kata yang sebenarnya. Nilai keimananlah yang akan menghubungkan kita dengan hidayat Allah Azza Wajalla. Keimanan adalah tali hubungan di antara fitrah manusia dengan Tuhan Pencipta-Nya. Apabila tali ini putus, maka nur yang menerangi manusia akan padam. Akibatnya manusia akan jatuh ke darjat paling terendah dan hanya layak menjadi bahan api neraka.

Ayat 7-8

 فَمَا يُكَذِّبُكَ بَعۡدُ بِٱلدِّينِ (٧) أَلَيۡسَ ٱللَّهُ بِأَحۡكَمِ ٱلۡحَـٰكِمِينَ (٨)

Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu? (7)
Bukankah Allah Hakim yang seadil-adilnya (8)

Ayat ini adalah teguran bagi orang yang melupakan Allah swt sedangkan Allah-lah yang mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian. Apakah mereka masih mendustakan hari kebangkitan dan hari pembalasan? Sedangkan mereka tahu bahawa siapa yang mampu memulakan sesuatu kejadian, maka pasti mewujudkan semula setelah tiada adalah mudah bagi Allah swt.

Allah swt menegaskan hakikat keupayaan-Nya menjadikan semula makhluk dengan firmanNya (bermaksud) Bukankah Allah Hakim yang seadil-adilnya”

Sekiranya hakim di dunia pun memberikan hukuman kepada penjahat dan memberikan keadilan kepada orang yang tidak bersalah, maka apa pula pandangan kita kepada Allah swt? Tidakkah Allah swt itu Pengadil Yang Maha Adil apabila Dia menetapkan hukuman-hukuman yang seperti ini. Ganjaran pahala dan syurga; serta pembalasan neraka menunjukkan keadilan Allah. Walaupun kadangkala perbuatan jahat/zalim manusia terlepas dari pengadilan di dunia, tetapi ia tetap akan dihitung di akhirat kelak. Begitulah juga sebaliknya pada perbuatan baik dan amal soleh. Itulah tanda keadilan Allah Azza Wajalla. Allah swt tidak menganiyai sesiapapun. Allah swt akan melakukan penghakiman besar pada hari Kiamat. Pada waktu itu, orang yang teraniaya akan dapat menuntut bela terhadap manusia yang menganiyainya.

Pengajaran

1.    Orang Mu’min sepatutnya mencintai dan meneladani para Rasul 'Ulul-Azmi. Sifat keteguhan hati, istiqomah, kesabaran dan tawakal yang tinggi perlu ada pada setiap da'i.
2.    Insan adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah Azza Wajalla. Maka hendaklah kita bersyukur kepada Allah swt dengan mengingati dan mencintai-Nya; membawa Islam dalam diri, melaksanakan tuntutan ad-din bagi mendapat keredhaan dan keampunan Allah.
3.    Menyeleweng dari fitrah ad-din adalah faktor kejatuhan manusia dan akan memberikan natijah seburuk-buruknya.
4.    Orang beriman dan beramal soleh mendapat ganjaran pahala yang tidak putus-putus.
5.    Allah swt menyelar orang yang melupakan-Nya dan mengingkari Hari Pembalasan.
6.    Allah swt adalah Pencipta yang paling sempurna dalam setiap penciptaan-Nya dan hakim yang paling benar dan adil dalam penghakiman antara hamba-hamba-Nya.