MUTIARA KATA

"Dunia pergi sambil berpaling, dan akhirat datang sambil mengadap. Setiap satu dari keduanya mempunyai anak. Jadilah engkau anak akhirat, dan jangan menjadi salah satu anak dunia. Sebab, hari ini adalah hari untuk beramal; tidak ada hisab (perhitungan amal di akhirat). Sedangkan hari esok adalah hisab; tidak ada hari untuk beramal."


"Ilmu umpama hujan, yang tidak memberikan manfaat kecuali bagi tanah yang subur dan suci. Begitulah juga ilmu tidak memberi manfaat kecuali bagi jiwa yang suci, hati yang sedar dan naluri yang peka."

FIKRAH ISLAM





15 Jun 2013

6.0 ARBA’IN AL-NAWAWI (HADITH 40 IMAM NAWAWI)


Muqaddimah

Terdapat 42 hadith sahih yang dikumpulkan oleh Imam an-Nawawi rahimahullah. Sebahagian besarnya terdapat di dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.

Ia menjadi tumpuan disebabkan kepentingannya sebagai asas utama atau pokok-pokok ajaran dalam agama Islam. Ucapannya ringkas tetapi mampu memberikan makna yang luas dan mendalam bagi menjelaskan ruang lingkup agama. Ia juga mempunyai bab yang tersendiri bagi memperjelaskan lagi makna hadith yang masih samar.

Pada asalnya, Imam Hafizh Abu ‘Amr bin Shalah rahimahullah (Ibnu Shalah) telah mempelopori pengumpulan 26 hadith yang dikatakan ringkas tetapi dinilai olehnya sebagai asas dalam agama Islam dan mendalam maksudnya. 26 hadith ini dimuatkan di dalam al-haadiits al-Kulliyah (Hadith-hadith yang komprehensif). Kemudian al-Imam an-Nawawi telah menambah lagi hadith-hadith ini menjadikannya 42 hadith dan dimuatkan di dalam Arba’in.

Kenapa 42 hadith ini dikumpulkan?

Jawapannya ada di dalam Muqaddimah oleh Imam an-Nawawi:

الحدالله رب العالمين ، قيوم السموات والأرضين، مدبر الخلائق أجمعين، باعث
 الرسل صلواته وسلامه عليهم إلى المكلفين، لهدايتهم وبيان شرائع الدين، بالدلائل
القطعية وواضحات البراهين، أحمده على جميع نعمه وأسأله المزيد من فضله وكرمه.
وأشهد أن لا إله الله الواحد القهار الكريم الغفار.
وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله وحبيبه وخليله، أفضل المخلوقين المكرم بالقرآن
العزيز المعجزة المستمرة على تعاقب السنين، وبالسنن المستنيرة للمسترشدين،
المخصوص بجوامع الكلم وسماحة الدين،وصلوات الله وسلامه عليه وعلى سائر النبيين
والمرسلين وآل كل وسائر الصالحين. أمابعد،

Segala puja bagi Allah Tuhan seluruh Alam, Pencipta langit dan bumi, Pentadbir sekelian makhluk, Pengutus para Rasul a.s kepada orang-orang yang mukallaf, untuk memberikan hidayah dan menerangkan syari‘at agama kepada mereka, dengan dalil-dalil yang putus (yang yakin) serta bukti-bukti yang jelas.

Aku memuji-Nya atas segala nikmat-Nya. Aku berdo’a memohon tambahan kurniaan dan kemurahan-Nya.

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Maha Perkasa, Maha Pemurah lagi Maha Pengampun.

Dan aku bersaksi bahawa Saiyidina Muhammad saw adalah hambaNya, Rasul Utusan serta kekasihNya, yang merupakan semulia-mulia makhluk. Rasul yang dimuliakan dengan al-Qur’an al-‘Aziz yang menjadi mukjizat sepanjang zaman. Rasul yang dimuliakan dengan Sunnah-sunnah yang bercahaya bagi orang-orang yang mencari pedoman. Rasul yang dikhususkan dengan sifat jawami‘ al-kalim( suatu kata-kata yang pendek tetapi mengandungi erti yang mendalam dan rapi.) dan agama penyayang.

Selawat dan salam Allah ke atasnya dan juga atas sekelian para Nabi dan Rasul. Juga atas keluarga masing-masing serta sekelian orang-orang yang solihin.

Sesungguhnya kami telah meriwayatkan daripada Ali ibn Abi Talib, Abdullah ibn Mas‘uud, Mu‘az ibn Jabal, Abu al-Darda’, Ibnu ‘Umar, Ibnu ‘Abbas, Anas ibn Malik, Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudrie r.a. daripada pelbagai jalan riwayat bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من حفظ على أمتي أربعين حديثا من أمر دينها بعثه الله يوم القيامة فى زمرة الفقهاء ولعلماء

 “Barangsiapa yang menghafal atas umatku empat puluh hadis daripada (hadis yang) berkenaan dengan agama mereka, nescaya Allah akan membangkitkannya pada hari kiamat dalam golongan para fuqaha’ dan ‘ulama.”

Dalam suatu riwayat lain: “Nescaya Allah akan membangkitkannya sebagai seorang faqih dan ‘alim.”

Dalam riwayat Abu al-Darda’: “dan telah adalah aku (iaitu Rasulullah) pada hari kiamat menjadi orang yang memberikan syafa‘at dan saksi kepadanya”.

Dalam riwayat Ibnu Mas‘uud : “dikatakan kepadanya (orang yang menghafal 40 hadis) masuklah engkau daripada mana-mana pintu syurga yang engkau mahu”.

Dalam riwayat Ibnu ‘Umar : “nescaya dia ditulis termasuk dalam golongan ‘ulama’, dan dibangkitkan dalam golongan para syuhada’ ”.

Para ‘ulama hadis telah sepakat bahawa hadis ini adalah dha‘if walaupun jalan-jalan riwayatnya banyak.

Ramai para ‘ulama r.a. telah mengarang dalam bab ini (iaitu bab 40 hadis). Antara yang paling awal mengarang -dalam pengetahuan aku- ialah Abdullah ibn al-Mubarak, Muhammad ibn Aslam al-Thusie al-’Alim al-Rabbanie, al-Hasan ibn Sufian al-Nasa’ie, Abu Bakar al-Aajirie, Abu Muhammad ibn Ibrahim al-Asfahanie, al-Daraquthnie, al-Hakim, Abu Nu‘aim, Abu Abdul Rahman al-Salmie, Abu Sa‘id al-Malinie, Abu ‘Uthman al-Shabuni, Abdullah ibn Muhammad al-Ansari, Abu Bakar al-Baihaqie dan ramai lagi ‘ulama yang lain tiada terkira samada daripada kalangan ‘ulama terdahulu atau terkemudian.

Aku telah beristikharah kepada Allah Ta‘ala untuk mengumpulkan 40 hadis sebagai mengikuti jejak langkah para Imam tokoh ‘ulama dan para huffaz al-Islam ini. Para ‘ulama telah sepakat mengharuskan beramal dengan hadis dha‘if dalam soal fadhail a‘maal (iaitu fadhilat-fadhilat amalan – kelebihan sesuatu amalan dan pahala atau ganjaran. Para ulama hadis telah meletakkan syarat untuk beramal dengan hadis dhaif dalam perkara ini dengan beberapa syarat. Antaranya: i) dhaif yang tidak teruk dan melampau ii) berada di bawah amalan yang boleh diterima iii) jangan menganggap ianya thabit dari Nabi saw ketika beramal dengannya.)

Namun demikian, bukanlah pergantungan aku (dalam usaha mengumpulkan 40 hadis ini) kepada hadis dha‘if, bahkan pergantungan aku ialah kepada sabda Nabi SAW dalam beberapa hadis sahih :

ليبلغ الشاهد الغائب

yang bererti: “Hendaklah orang yang hadir (majlis Rasulullah dan mendengar pengajaran Nabi SAW) menyampaikan (apa yang didengarinya) kepada orang yang tidak hadir”,

Juga sabda Nabi SAW :

نصر الله امرءا سمع مقالتي فوعاها فأداها كما سمعها

yang bererti: “Allah mempercahayakan (wajah) seseorang yang mendengar kata ucapanku, lalu dia memahaminya, lantas dia menunaikannya sebagaimana dia mendengarnya”. (Menunaikannya bermaksud menyampaikannya kepada orang lain sama ada dengan lafaz yang sama tepat atau dengan makna kerana harus meriwayatkan hadis Nabi secara makna dengan beberapa syarat tertentu. Lihat (Syarah Hadis 40 Nawawi) karangan al-Imam Ibnu Daqiq, Maktabah al-Turath al-Islamie,Kaherah,1987 pada syarah muqadimah ini.)

Ada sebahagian ‘ulama yang mengumpulkan 40 perkara mengenai usuluddin, ada yang lain mengenai perkara furu‘. Ada yang mengenai jihad dan yang lain mengenai zuhud. Ada juga mengenai adab-adab dan ada pula mengenai khutbah. Semuanya adalah kerja-kerja yang bertujuan baik yang Allah Ta‘ala redhai akan orang-orang yang melakukannya.

Aku rasa ingin mengumpulkan 40 perkara yang terlebih penting daripada semua itu iaitu 40 hadis yang merangkumi semua topik tersebut. Setiap hadis (daripada 40 hadis tersebut) menjadi qaidah (prinsip) agung daripada prinsip-prinsip agama. Aku ingin mengumpulkan hadis-hadis yang telah disifatkan oleh para ‘ulama bahawa perligaran Islam bersekitar di lingkungannya, atau separuh Islam, atau sepertiga Islam atau seumpamanya.

Kemudian aku beriltizam dalam pemilihan 40 hadis ini agar ia merupakan hadis-hadis sahih , dan kebanyakannya adalah terdapat dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Aku membuang sanad-sanad hadis ini agar ia mudah dihafal dan manfaatnya lebih tersebar umum insyaaAllah Ta‘ala. Kemudian aku ikuti hadis-hadis ini dengan suatu part huraian makna lafaz-lafaz hadis (40 ini) yang agak samar.

Patut sangat bagi orang yang mencintai akhirat untuk dia mengenali hadis-hadis ini kerana kandungannya yang merangkumi perkara-perkara yang penting dan memperingatkan tentang segala amal ketaatan. Bagi yang benar-benar mentadaburnya, mereka akan dapat lihat.

Kepada Allah jua pergantungan aku, kepada-Nya jua harapan dan sandaran aku, dan segala puja dan nikmat itu bagi-Nya, dan hanya dengan-Nya jua taufiq dan pemeliharaan dari dosa.

Imam Nawawi
Damsyiq
Kurun ke 7 Hijrah


Siapakah al-Imam an-Nawawi?

Nama sebenarnya ialah Yahya bin Syarf bin Mari bin Hasan bin Husain bin Hazam. Lahir pada Muharam 631H, di deza Nawa, Barat Daya Damaskus, Syria. Oleh itu sejak kecil dia dipanggil sebagai an-Nawawi. Ayahnya seorang petani dan pedagang yang alim.

Beliau menghafal al-Qur’an sebelum usia baligh. Sangat rajin menuntut ilmu sejak dari kecil lagi. Setiap hari beliau membaca 12 pelajaran dalam bentuk syarah dan komentar. Berjaya menghafal kitab at-Tanbiih fii Furuu’isy-Syaafi’iyah dalam masa lebih kurang empat setengah bulan. Pada tahun yang sama, beliau juga Berjaya menghafal suku daripada kitab al-Muhadzdzab fil Furuu’.

Para ‘ulama mengakui beliau seorang yang zuhud, bermadzhabkan Imam asy-Syafi’i, menjadi contoh dalam hal keta’atan, menegakkan amar ma’ruf dan nahi munkar dan memberi nasihat kepada para penguasa. Oleh itu beliau mendapat gelaran “Muhyiddin” (orang yang menghidupkan agama), namun dirinya tidak menyukai dengan gelaran itu. 

Beliau juga dikenali sebagai Abu Zakariya walaupun dia tidak mempunyai anak. Beliau meninggal dunia sebelum sempat berumahtangga pada usia yang muda iaitu semasa berumur 45 tahun di kampung halamannya.
Allah SWT telah memberi keberkatan masa baginya. Di antara karya beliau ialah;

1.   Syarah Shahih Muslim
2.   Raudhatuth-Thaalibiin
3.   Riyaadhush-Shaalihin
4.   Adzkaarul-Munjiyaah min Kalaami Sayyidil-Abraar
5.   At-Tibyan fii Hamlatil-Qur’an
6.   Al-Arba’in Nawawi
7.   Syarah Bukhari
8.   Syarah Sunan Abu Daud
9.   Tahdziibul-Asmaa’ wal-Lughaat.

Wallahu’alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan