21 Disember 2012

4.24 PERISTIWA ROMBONGAN NASRANI NAJRAN KE MADINAH DAN PERDEBATAN MEREKA DENGAN NABI SAW


Pada waktu ini, kaum Yahudi di Madinah sedang ramai membicarakan tentang kemajuan dakwah Rasulullah saw. Di waktu ini juga berlaku perbantahan yang hebat antara pendeta mereka dengan Baginda. Kemudian muncul pula kaun Nasrani Najran (Yaman) yang terdiri daripada 60 orang. 14 orang daripadanya adalah golongan bangsawan. 3 orang daripada 14 orang ini adalah yang terkemuka. Al-‘Aaqib (‘Abdul-Masih) sebagai ketua rombongan dan penasihat, As-Sayyid sebagai pegawai kebajikan  dan Abu Harithah (seorang Arab dari keturunan Bakr bin Wail) sebagai pembesar, pendeta atau ulama’ tertinggi yang dihormati oleh para raja Rom yang beragama kristian dan telah mendirikan gereja-gereja untuk beliau.
Keadaan mereka kelihatan sangat mewah. Tafsir Ibn Kathir menyatakan bahawa mereka tiba dan masuk ke dalam masjid Nabi saw selepas Rasulullah saw menunaikan solat Asar. Mereka berada di situ selama tiga hari.
Ada riwayat menyatakan sesampai mereka di Madinah, mereka terus masuk ke dalam masjid Nabi saw dan menunaikan solat. Ada di kalangan sahabat ingin menegur perbuatan mereka, tetapi dihalang oleh Rasulullah saw seraya bersabda:
“Biarkanlah mereka itu mengerjakan solat cara mereka, yaitu menghadap ke arah Timur.”
Sehabis solat, mereka menghadap kepada Nabi saw sambil menyampaikan bermacam hadiah. Diantaranya ialah sebuah permaidani yang indah dan bergambar. Beberapa buah tikar daripada bulu. Permaidani bergambar tidak diterima oleh Nabi saw, manakala tikar daripada bulu diterima oleh Baginda.
Kedatangan mereka dapat dijangkakan untuk memperbesarkan pengaruh kristian di Jazirah Arab. Selama ini pengaruh mereka terhalang oleh pendeta Yahudi. Mereka ingin mengambil kesempatan sementara berlakunya persengketaan antara kaum Yahudi dengan Nabi saw.
Tiga orang yang termuka itu telah bersoal jawab dengan Rasulullah saw berkenaan dengan ketuhanan Nabi ‘Isa a.s. Ada yang menganggap Nabi Isa a.s adalah anak Allah , ada yang menganggap Nabi ‘Isa a.s itu sendiri sebagai Tuhan, ada yang menganggap ada tiga tuhan (trinity) .Diantara persoalan yang mereka kemukakan ialah;  “Siapakah bapa kepada ‘Isa?
Rasulullah saw tidak terus menjawab sebelum meminta petunjuk daripada Allah SWT. Maka turun firman Allah SWT:

إِنَّ مَثَلَ عِيسَىٰ عِندَ ٱللَّهِ كَمَثَلِ ءَادَمَ‌ۖ خَلَقَهُ ۥ مِن تُرَابٍ۬ ثُمَّ قَالَ لَهُ ۥ كُن فَيَكُونُ (٥٩) ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ

Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi ‘Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: Jadilah engkau! Maka menjadilah ia. (59) Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu. (60) –(Aali-‘Imran:59-60)
Mereka percaya dan mempersoalkan bahawa Nabi ‘Isa a.s adalah Tuhan kerana wujud keajaiban pada diri baginda iaitu dia boleh menghidupkan semula orang yang telah mati, membolehkan orang yang buta melihat semula, menyembuhkan penyakit kusta, boleh menghidupkan burung yang diperbuat daripada tanah dan dapat memberi tahu tentang makanan yang telah dimakan dan disimpan di rumah seseorang walaupun orang tersebut berada berjauhan dari rumah mereka. Sedangkan seseorang Muslim percaya bahawa semua keajaiban ini adalah mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi ‘Isa a.s oleh Allah SWT sebagai petanda kebenaran kerasulannya. Pada zaman kenabian Nabi ‘Isa a.s, bidang perubatan adalah termasyhur. Oleh itu mukjizat beliau dapat mengatasi kemasyuran itu.
Mereka percaya dan mempersoalkan bahawa Nabi ‘Isa a.s adalah anak Allah kerana dia dilahirkan tanpa bapa. Kemudian dia boleh pula berbicara semasa di dalam buaiyan.
Mereka juga percaya dan mempersoalkan Nabi ‘Isa a.s adalah Tuhan dari tiga Tuhan (triniti) kerana Allah berfirman; Kami telah memerintahkan, menjadikan dan memutuskan….” Mereka mempersoalkan, jika Allah itu tunggal, sudah tentu Dia menyatakan; Aku telah memerintahkan, menjadikan dan memutuskan….” Oleh itu ‘Isa dan Allah adalah dari yang tiga (triniti).
Ada beberapa riwayat menyebut bahawa ayat 1 hingga ayat 83  surah Aali-‘Imran ini telah diturunkan mengenai dialog Rasulullah saw dengan rombongan Nasrani Najran yang datang ke Madinah. Penjelasan daripada Rasulullah saw tentang kekeliruan kepercayaan dan kerasulan  Baginda adalah jelas. Namun mereka tetap ingin mempertahankan kepercayaan yang mereka pegang selama ini.
Maka dikala itu Allah SWT mewahyukan kepada Rasulullah saw ayat 61-63 iaitu ayat mubaahalah.

فَمَنۡ حَآجَّكَ فِيهِ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ فَقُلۡ تَعَالَوۡاْ نَدۡعُ أَبۡنَآءَنَا وَأَبۡنَآءَكُمۡ وَنِسَآءَنَا وَنِسَآءَكُمۡ وَأَنفُسَنَا وَأَنفُسَكُمۡ ثُمَّ نَبۡتَہِلۡ فَنَجۡعَل لَّعۡنَتَ ٱللَّهِ عَلَى ٱلۡڪَـٰذِبِينَ (٦١) إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلۡقَصَصُ ٱلۡحَقُّ‌ۚ وَمَا مِنۡ إِلَـٰهٍ إِلَّا ٱللَّهُ‌ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (٦٢) فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَإِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِٱلۡمُفۡسِدِينَ

Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta. (61) Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar dan tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan (ingatlah), sesungguhnya Allah, Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (62) Kemudian kalau mereka berpaling (enggan menurut), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan. (63)- (Aali-‘Imran:61-63)
Sehubungan dengan itu, Rasulullah saw mengajak Al-‘Aaqib dan As-Sayyid : “Marilah kita bermubaahalah saja, mudah-mudahan laknat Allah SWT dijatuhkan kepada sesiapa yang berdusta.”
Pada mulanya mereka bersedia untuk bermubaahalah dengan Nabi saw. Tetapi kemudian mereka meminta diberi tempoh untuk berunding dengan penasihat mereka yang tertinggi. Kata mereka; “Yaa Abal-Qaasim! Biarkanlah kami berfikir dahulu tentang urusan kami, kemudian kami akan datang lagi kepada engkau dengan apa yang kami kehendaki, bahawa kami akan mengerjakan apa yang engkau ajakkan kepada kami.” Permintaan mereka ini diperkenankan oleh Nabi saw.
Kemudian mereka meminta pandangan Al-‘Aaqib, penasihat Nasrani yang tertinggi. Kata mereka; “Bagaimana pendapat  engkau, Ya ‘Abdal-Masieh tentang bermubaahalah dengan Muhammad?”
Kata Al-‘Aaqib: “Demi Allah, wahai golongan Nashara (Nasrani), sesungguhnya kamu telah mengetahui bahawa Muhammad itu seorang Nabi yang diutus, dan sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang jelas dari teman-teman kamu, bukan? Sesungguhnya kamu telah mengerti bahawa tidak ada suatu kaum yang berlaknat-laknatan (bermubaahalah) dengan seorang Nabi, melainkan mereka pasti hancur binasa, tidak akan ada yang ketinggalan orang-orang tua mereka; dan tidak akan ada keturunan mereka, dan sungguh kamu tidak akan menang selama-lamanya jika kamu mengerjakan mubaahalah dengan dia. Maka jika kamu menolak bermubaahalah, lantaran kecintaan kepada agama kamu dan mempertahankan apa yang telah berlaku pada kamu dan temanmu, maka hendaklah kamu meminta diri meninggalkan orang itu(Nabi saw) kemudian kembalilah kamu ke negeri kamu.”
Kemudian mereka datang menghadap Nabi saw lalu berkata; “Ya Abal-Qaasim! Sesungguhnya kami telah berpendapat dan memutuskan bahawa kami jangan sampai bermubaahalah dengan engkau; dan supaya kami meninggalkan engkau di atas agama engkau; dan kami akan kembali mengikut agama kami sebagaimana biasa. Sekalipun demikian, kami memohon kepada engkau sudi apalah kiranya mengutus seorang dari sahabat engkau yang engkau redhai dan engkau percaya untuk kami angkat menjadi hakim di qabilah kami dalam segala urusan yang mengenai harta yang kami perselisihkan dan kami pertengkarkan yang seringkali terjadi dalam kalangan kami. Kerana sesungguhnya engkau itu bagi kami satu kepuasan.”
Permohonan mereka diperkenankan Nabi saw dengan memutuskan supaya Abu ‘Ubaidah bin Al-Jarrah berangkat bersama-sama kaum Nasrani Najran ke qabilah mereka untuk menjadi hakim di sana. Rasulullah saw bersabda: “ Keluarlah (berangkatlah) kamu bersama mereka, maka hukumilah antara mereka itu dengan kebenaran tentang segala sesuatu yang diperselisihkan oleh mereka.”
Mubaahalah ialah mengadakan satu perhimpunan yang besar, dimana para hadirin serentak berdo’a kepada Allah SWT agar menimpakan laknat kepada pihak yang berdusta. Diriwayatkan bahawa Nabi saw telah memilih Saidina Ali dan Fatimah serta dua orang anak mereka iaitu al-Hasan dan al-Husain. Baginda keluar bersama mereka lalu berkata: “Bilamana aku berdoa, hendaklah kamu mengaminkannya.”
Riwayat yang tersebut itu menunjukkan bahawa kaum Nasrani Najran tidak berani menghadapi tetangan bermubaahalah dari Nabi. Dengan demikian jelaslah mereka mengerti akan kebenaran dakwah Nabi dan menginsyafi akan kedustaan mereka sendiri. Sekali pun demikian, mereka telah insyaf dan tertarik pula oleh dasar-dasar keadilan hukum-hukum yang dibawa oleh Nabi,sehingga mereka mengajukan permohonan kepada beliau supaya Baginda mengirim seorang dari sahabat yang dipercayai untuk diangkat menjadi hakim di qabilah mereka untuk memutuskan soal-soal yang mengenai harta benda yang diperselisihkan oleh mereka.
Selepas utusan tersebut enggan bermubaahalah, mereka mengikat perjanjian damai bersama Nabi saw dengan membayar jizyah(ufti) seribu buah baju besi pada bulan Safar dan seribu buah lagi pada bulan Rejab serta sejumlah dirham. Ini juga menunjukkan bahawa kekuatan dan keyakinan mereka terhadap apa yang diperkatakan oleh Rasulullah saw. Ia juga merupakan pengakuan bahawa mereka tiada bukti terhadap apa yang mereka istiharkan.
Menurut riwayat juga, sebelum para pendeta Nasrani Najran kembali ke kabilah mereka, berlaku perkumpulan perdebatan dihadapan Nabi saw antara pendeta Yahudi dan pendeta Nasrani Najran di Kota Madinah. Telah berlaku perselisihan tentang agama Nabi Ibrahim a.s dan ketuhanan masing-masing.
Para pendeta Yahudi berkata; “Nabi Ibrahim itu ialah seorang Yahudi.”
Para pendeta Nasrani Najran berkata: “Nabi Ibrahim itu tidak lain melainkan seorang Nasrani.”
Dikala itu turunlah wahyu;

 يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡڪِتَـٰبِ لِمَ تُحَآجُّونَ فِىٓ إِبۡرَٲهِيمَ وَمَآ أُنزِلَتِ ٱلتَّوۡرَٮٰةُ وَٱلۡإِنجِيلُ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِهِۦۤ‌ۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ (٦٥) هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِيمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمٌ۬ فَلِمَ تُحَآجُّونَ فِيمَا لَيۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمٌ۬‌ۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ (٦٦) مَا كَانَ إِبۡرَٲهِيمُ يَہُودِيًّ۬ا وَلَا نَصۡرَانِيًّ۬ا وَلَـٰكِن كَانَ حَنِيفً۬ا مُّسۡلِمً۬ا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ (٦٧) إِنَّ أَوۡلَى ٱلنَّاسِ بِإِبۡرَٲهِيمَ لَلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ وَهَـٰذَا ٱلنَّبِىُّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ‌ۗ وَٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani mempertengkarkan tentang (agama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal? (65) Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya. (66) Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah) dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik. (67) Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya iaitu umat Islam) dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman. (68) – (Aali-‘Imran:65-68)

Begitulah penjelasan yang jelas dari Allah SWT. Mengambil kesempatan ini, Rasulullah saw mengajak mereka kembali kepada tauhid yang benar dan beribadat kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana tiada Tuhan melainkan Allah SWT.

Namun begitu, kaum Yahudi tetap mempercayai dan menganggap bahawa ‘Uzair itu anak Allah. Kaum Nasrani pula mempercayai dan menganggap ‘Isa itu anak Allah. Dengan itu Baginda Rasulullah saw berseru lagi dengan wahyu yang diterima;


قُلۡ يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَـٰبِ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ ڪَلِمَةٍ۬ سَوَآءِۭ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ بِهِۦ شَيۡـًٔ۬ا وَلَا يَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابً۬ا مِّن دُونِ ٱللَّهِ‌ۚ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُولُواْ ٱشۡهَدُواْ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam. (64) – (Aali-‘Imran:64)
Malangnya, perbalahan antara mereka semakin memuncak. Pihak Yahudi mengatakan; “Tidaklah orang-orang Nasrani itu dalam kebenaran sedikitpun.”
Manakala pihak Nasrani berkata; “Tidaklah orang-orang Yahudi di dalam kebenaran sedikit pun.”
Melihatkan keadaan ini, Rasulullah saw memperdengarkan ayat Allah SWT;

وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ لَيۡسَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ عَلَىٰ شَىۡءٍ۬ وَقَالَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ لَيۡسَتِ ٱلۡيَهُودُ عَلَىٰ شَىۡءٍ۬ وَهُمۡ يَتۡلُونَ ٱلۡكِتَـٰبَ‌ۗ كَذَٲلِكَ قَالَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ مِثۡلَ قَوۡلِهِمۡ‌ۚ فَٱللَّهُ يَحۡكُمُ بَيۡنَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ فِيمَا كَانُواْ فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ
Dan orang-orang Yahudi berkata: Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar) dan orang-orang Nasrani pula berkata: Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar); padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya. (113) – (al-Baqarah:113)
Begitulah perbalahan antara kaum Yahudi dan Nasrani Najran di hadapan Nabi saw. Masing-masing mempertahankan kebenaran masing-masing walaupun pada hakikatnya adalah bathil. Mereka begitu fanatik dan mengikut kepercayaan orang yang terdahulu daripada mereka secara membuta tuli. Mereka tidak menggunakan akal fikiran yang waras.
Sehingga suatu ketika kaum Yahudi mengatakan; “Orang-orang yang akan mengisi syurga Tuhan kelak tidak lain melainkan kaum Yahudi.”
Pendeta dan para pendeta nasrani pula dengan sombong berkata; “Orang-orang yang akan menjadi pengisi syurga Tuhan kelak tidak ada lain melainkan kaum Nasrani.”
Sangkaan dan anggapan mereka ditolak oleh Allah SWT dengan firman-Nya;

وَقَالُواْ لَن يَدۡخُلَ ٱلۡجَنَّةَ إِلَّا مَن كَانَ هُودًا أَوۡ نَصَـٰرَىٰ‌ۗ تِلۡكَ أَمَانِيُّهُمۡ‌ۗ قُلۡ هَاتُواْ بُرۡهَـٰنَڪُمۡ إِن ڪُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ (١١١) بَلَىٰ مَنۡ أَسۡلَمَ وَجۡهَهُ ۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٌ۬ فَلَهُ ۥۤ أَجۡرُهُ ۥ عِندَ رَبِّهِۦ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar. (111) (Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (112) – (al-Baqarah:111-112)
Sesungguhnya syurga Allah SWT bukan untuk golongan bangsa atau kaum, tetapi disediakan kepada sesiapa sahaja yang menyerahkan diri kepada Allah SWT, ta’at dan patuh kepada-Nya dengan ikhlas, tidak mempersekutukan dengan sesiapa jua dan berbuat baik menurut jalan dan cara yang telah ditentukan oleh –Nya sebagaimana yang diberi contoh oleh Rasulullah saw.

Wallahu’alam

5.12 SURAH AALI-‘IMRAN (KELUARGA IMRAN) – Bahagian 2



ISI KANDUNGAN SURAH

1.    Keimanan/Aqidah
2.    Hukum-hukum(syari’at)
·         Mesyuarat
·         Bermubahalah
·         Larangan melakukan riba

3.    Kisah-kisah
·         Keluarga Imran
·         Perdebatan Nasrani Najran dengan Rasulullah saw
·         Perang Badar dan Perang Uhud

4.    Lain-lain
·         Ayat Muhkamaat dan ayat Mutasyaabihat
·         Sifat-sifat Allah SWT
·         Sifat-sifat orang yang bertaqwa
·         Islam satu-satunya agama yang diredhai Allah SWT
·         Kemudharatan mengambil orang kafir sebagai teman kepercayaan
·         Peringatan kepada Ahlil-Kitab
·         Ka’bah adalah rumah peribadatan yang tertua
·         Faedah mengingati Allah SWT dan merenungkan ciptaan-Nya
Daripada keseluruhan isi surah, dapat disimpulkan bahawa tema atau topik utama yang hendak disampaikan di dalam surah Aali-‘Imran ini ialah supaya tsabat(berpegang teguh) dan istiqomah di atas kebenaran.

TSABAT FIKRIYAN DAN AMALIYYIN

Berkesinambungan dengan surah al-Baqarah, para da’ei yang memegang jawatan sebagai khalifah, diperingatkan supaya tsabat dan istiqomah kepada dua perkara:

1.    Teguh pemikiran (Fikriyyan) dalam menghadapi Ahlil-Kitab (Yahudi dan Nasrani) yang menyentuh keteguhan aqidah ( ayat 1-120).
Musuh-musuh kaum Muslimin(di zaman Rasulullah saw) bukan sahaja memerangi mereka di medan perang dengan pedang dan panah, malah musuh-musuh itu memerangi mereka dengan menyerang aqidah mereka dengan menyebarkan keraguan, kekeliruan dan mengatur berbagai tipu muslihat. Mula-mula mereka bertindak menggugatkan kerana kaum Muslimin tidak akan lemah kecuali aqidah mereka telah lemah. Mereka tidak akan tewas sesudah jiwa mereka tewas.
Justeru itu, musuh yang paling besar kepada umat Muslimin ialah musuh yang berusaha melalaikan mereka dari aqidah keimanan mereka. Memesongkan sistem dan cara hidup yang diatur oleh Allah SWT. Mengelirukan mereka dari hakikat musuh-musuh mereka yang sebenar dan matlamat-matlamat mereka yang jauh.
Al-Qur’an sentiasa memberi amaran (kepada kaum Muslimin) dari tipu daya musuh-musuh mereka. Mendedahkan kedengkian dan niat-niat jahat musuh-musuh mereka itu yang tersembunyi. Betapa kerdil dan hinanya musuh-musuh itu di sisi Allah SWT dan al-Qur’an menegaskan bahawa Allah SWT tetap bersama kaum Muslimin.
Oleh itu, al-Qur’an dari awal-awal lagi menolak senjata yang beracun ini. Ia mendesak kaum Muslimin supaya berdiri teguh di atas kebenaran yang dipegang oleh mereka dan menolak kekeliruan dan keraguan yang ditabur oleh Ahlil-Kitab(Yahudi dan Nasrani).
      Rujuk:http://bersamaummualiya.blogspot.com/2012/12/224-peristiwa-rombongan-nasrani-najran.html

2.    Teguh dalam Tindakan (Amaliyyin) menghadapi serangan luar seperti dalam Perang Badar dan perang Uhud. Mengambil pengiktibaran dari kekeliruan yang timbul dan cara mengatasinya ( ayat 120-200).
Peperangan Badar dan Uhud adalah suatu anugerah Allah SWT kepada generasi yang terkemudian. Ia menjadi contoh tauladan yang patut diamati. Setiap ketentuan Ilahi ada sebab musabab dan hikmahnya. Kita patut belajar daripada mereka yang terdahulu. Setiap masalah akan ada penyelesaiannya. Setiap kesusahan akan ada kesenangannya. Allah SWT akan memilih mereka yang tetap teguh (tsabat) dengan kesabaran, keta’atan dan bersyukur kepada-Nya.
PENGARUH FIKRIYYAN DAN AMALIYIN TERHADAP KAUM MUSLIMIN

Imam Ibnul Qayyim rahimullah membahagikan kaum kuffar di sekeliling Madinah kepada tiga golongan setelah penghijrahan Nabi saw di sana.

1.    Golongan yang berdamai dan berjanji tidak memerangi Nabi saw dan tidak membantu musuh Baginda, sedangkan mereka tetap kafir.

2.    Golongan yang memerangi Nabi saw.

3.   Golongan munafik

Ketika itu, berlaku penentangan kepada kaum Muslimin Madinah secara pemikiran dan tindakan fizikal. Musuh datang dari sekeliling Madinah dan juga dari dalam Kota Madinah itu  sendiri.

1. Tipu daya golongan Ahlil-Kitab

Ahli-Kitab yang dimaksudkan ialah Yahudi dan Nasrani, manakala yang dimaksudkan dengan kitab di sini ialah kitab Taurat dan Injil. Taurat ialah kitab yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Musa a.s.

Kaum Yahudi merupakan umat yang pedengki. Menipu dan khianat adalah kebiasaan mereka. Suka membangkang kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Mereka telah dikutuk dan dicerca sebagaimana firman Allah SWTyang bermaksud:

 قُلۡ يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَـٰبِ لِمَ تَكۡفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَٱللَّهُ شَہِيدٌ عَلَىٰ مَا تَعۡمَلُونَ (٩٨) قُلۡ يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَـٰبِ لِمَ تَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ مَنۡ ءَامَنَ تَبۡغُونَہَا عِوَجً۬ا وَأَنتُمۡ شُهَدَآءُ‌ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahlil-Kitab, mengapa kamu ingkari ayat-ayat Allah, padahal Allah Maha Menyaksikan apa yang kamu kerjakan? "Katakanlah: "Wahai Ahlil-Kitab, mengapa kamu menghalangi orang yang beriman daripada menurut jalan Allah, kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya). Dan (ingatlah) Allah sekali-kali tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan. (Aali-`Imran:98-99)

Tipudaya kaum Yahudi telah bermula sejak Rasulullah saw masih berada di Mekah. Mereka membantu orang-orang Quraisy dengan memberikan idea-idea dalam bentuk pertanyaan dan persoalan untuk menguji Rasulullah saw seperti soalan berkenaan dengan  ruh dan persoalan Ashabul-Kahfi.

Penghijrahan Rasulullah saw ke Madinah merupakan satu tamparan hebat kepada kaum Yahudi. Ia seakan kiamat kepada mereka. Hati mereka tidak tenang dan keluh-kesah dan kehidupan menjadi tidak tenteram kerana berdirinya negara Islam di Madinah. Islam telah membongkar sikap buruk orang Yahudi dan membebaskan penduduk Madinah dari kejahatan mereka.

Pelbagai tipu daya telah dilakukan bagi membantut perjuangan Islam. Mereka mengkhianati Allah SWTdan Rasul-Nya; tidak berpegang kepada piagam Madinah; mengkhianati kaum Muslimin dan membela orang Musyrik dan kafir; serta menyakiti Rasulullah saw. Orang-orang munafiq juga berada di dalam asuhan mereka.

Kaum Yahudi juga menimbulkan kekeliruan dan menyesatkan manusia dengan mencampur adukkan kebenaran dan kebathilan; dan juga menyembunyikan kebenaran.

Ayat-ayat al-Qur'an berkenaan hal di atas adalah sangat banyak. Ayat-ayat al-Qur'an Madaniyah terutamanya Surah al-Baqarah, Aali-'Imran, An-Nisa' dan al-Ma’idah banyak menyingkap tabir kaum Yahudi dan membongkar keburukan mereka. Umat Islam hendaklah tsabat dalam pendirian agar tidak tertipu dengan tipu daya kaumYahudi. Tidak berwala', redha  dan mengikuti mereka. Merekalah musuh Allah SWT yang membunuh para Nabi dan agen utama yang merosakkan dunia.


2. Tipu daya golongan Munafiq

Siapakah yang digelar munafiq ? Orang munafiq ialah manusia yang menzahirkan sesuatu yang bertentangan dengan bathinnya, dia mengucapkan sesuatu yang tidak pernah terlintas di hatinya dan dia menunjukkan keIslamannya tetapi pada masa yang sama menyembunyikan kekufurannya.

Sifat munafiq ini ada ditempat yang adanya kekuatan yang digeruni. Oleh itu ia tidak pernah wujud di Makkah ketika orang Islam terdiri daripada orang dhaif, yang tidak ditakuti dan digeruni langsung oleh orang Musyrikin. Tetapi ia wujud selepas orang Islam berhijrah ke Madinah al-Munawwarah dan selepas tertubuhnya satu negeri yang kuat, dan setelah orang Islam mendapat kemenangan dan menewaskan musuh mereka, iaitu orang Musyrikin dalam Peperangan Badar.

Dari sini, timbullah sifat munafiq dan orang-orang yang munafiq agar mereka dapat memperolehi habuan mereka daripada harta rampasan perang apabila orang Islam menang, agar mereka dapat hidup di kalangan orang Islam dan mereka seolah-olah sama seperti orang Islam dalam setiap perkara.

Bahaya daripada orang-orang munafiq yang bergaul dengan kaum Muslimin adalah sangat besar. Berperang dengan golongan kafir atau Yahudi adalah lebih mudah berbanding dengan orang munafiq. Mereka bergaul dengan kaum Muslimin di waktu pagi dan petang; membocorkan rahsia kaum Muslimin kepada musuh serta menunggu-nunggu kehancuran kaum Muslimin. Sedangkan kaum Muslimin tidak mengetahui identiti mereka dan tidak mungkin berperang secara fizikal dengan mereka.

Kemunculan golongan munafiq adalah ujian dan nikmat Allah SWT kepada kaum Muslimin. Ujian ini merupakan sunnah rabbaniyah di dalam menyaring dan membersihkan jiwa di atas haq. Allah SWT tidak membiarkan umat ini bercampur baur tanpa ada perbezaan antara Mukmin dan munafiq.  

Firman Allah SWT yang bermaksud:


مَّا كَانَ ٱللَّهُ لِيَذَرَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ عَلَىٰ مَآ أَنتُمۡ عَلَيۡهِ حَتَّىٰ يَمِيزَ ٱلۡخَبِيثَ مِنَ ٱلطَّيِّبِ‌ۗ

" Allah sekali-kali tidak akan meninggalkan orang-orang Mukmin dalam keadaan kamu (yang bercampur aduk) sekarang ini sehingga Dia membezakan yang buruk (Munafiq) dari yang baik (Mukmin)." – (Aali-`Imran:179)

Di antara tipu-daya kaum munafiq yang paling menonjol terhadap dakwah Islam di Madinah ialah:

1.   Kecenderungan mereka untuk bersekutu dengan Yahudi dan Nasrani bagi melawan kaum Muslimin. Tujuan mereka adalah untuk melemahkan umat Islam. Allah swt membongkar tipu-muslihat dan niat jahat mereka dalam banyak ayat di dalam al-Qur'an. (Al-Hasyr:11-12, Al-Mujadilah:14, An-Nisa':143, Al-Munafiqun:7-8)

2.   Menolak untuk berhukum dengan syari’at Allah SWT dan memilih untuk berhukum kepada taghut.

3.   Menjadi pengintip bagi kaum kuffar dan membongkar rahsia-rahsia kaum Muslimin kepada orang-orang kafir. Mereka duduk mendampingi Nabi saw, kemudian melapurkan perbicaraan Baginda kepada kaum Yahudi.

4.    Meniupkan semangat perkauman, menimbulkan adu domba, provokasi, mengapi-apikan dan fitnah di tengah-tengah kaum Muslimin. Tujuannya agar Kaum Ansar dan Muhajirin berbalah antara satu sama lain.

5.   Tidak tsabat dan bersikap pengecut ketika peperangan. Kaum Muslimin telah mengalami kejutan awal apabila satu-pertiga pasukan di bawah pimpinan Ibnu Ubay menarik diri dalam peperangan Uhud sebagaimana firman Allah SWT;


ٱلَّذِينَ قَالُواْ لِإِخۡوَٲنِہِمۡ وَقَعَدُواْ لَوۡ أَطَاعُونَا مَا قُتِلُواْ‌ۗ قُلۡ فَٱدۡرَءُواْ عَنۡ أَنفُسِڪُمُ ٱلۡمَوۡتَ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ

"Merekalah juga yang mengatakan tentang hal saudara-saudaranya (yang telah terbunuh di medan perang Uhud), sedang mereka sendiri tidak turut berperang: Kalaulah mereka taatkan kami (turut menarik diri) tentulah mereka tidak terbunuh. Katakanlah (wahai Muhammad): Jika demikian, hindarkanlah maut dari diri kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar.” - ( Aali-`Imran:168)



CONTOH-CONTOH AYAT YANG MEMINTA TSABAT FIKRIYYIN DAN AMALIYYIN 

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.- (Aali-'Imran:102)

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَا‌ۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَہۡتَدُونَ

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya. - (Aali-'Imran:103)

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِىٍّ۬ قَـٰتَلَ مَعَهُ ۥ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ۬ فَمَا وَهَنُواْ لِمَآ أَصَابَہُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَمَا ضَعُفُواْ وَمَا ٱسۡتَكَانُواْ‌ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh) dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengasihi orang-orang yang sabar. - (Aali-'Imran:146)


ٱلَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدۡ جَمَعُواْ لَكُمۡ فَٱخۡشَوۡهُمۡ فَزَادَهُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَقَالُواْ حَسۡبُنَا ٱللَّهُ وَنِعۡمَ ٱلۡوَڪِيلُ

Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami). - (Aali:'Imran:173)


فَلَمَّآ أَحَسَّ عِيسَىٰ مِنۡہُمُ ٱلۡكُفۡرَ قَالَ مَنۡ أَنصَارِىٓ إِلَى ٱللَّهِ‌ۖ قَالَ ٱلۡحَوَارِيُّونَ نَحۡنُ أَنصَارُ ٱللَّهِ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَٱشۡهَدۡ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ

Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah dia: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?. Orang-orang "Hawariyyuun" (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: Kamilah penolong-penolong (Utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah). - (Aali-'Imran:52)

Kaum Hawariyyun telah berlaku tsabat dalam menolong agama Allah Ta’ala sedangkan kebanyakan kaum Yahudi telah kufur.


APAKAH YANG MENGHILANGKAN TSABAT 

1.    Syahwat

2.    Ikut Syaitan
Manusia diciptakan dengan mempunyai keinginan (syahwat) semulajadi (fitrah) . Keinginan ini ditugaskan oleh Allah SWT untuk memainkan peranan asasi bagi memelihara zuriat keturunannya dan maju dalam kehidupan. Oleh itu Islam tidak menyarankan ia ditekan atau dibunuh tetapi dikawal dan diatur supaya keinginan itu dikuasai, bukan menguasai dirinya.
Keinginan yang berteraskan syaitan, adalah keinginan yang kotor dan berdosa.
Oleh sebab itulah al-Qur’an membentangkan kenikmatan-kenikmatan jiwa di alam Akhirat yang akan dicapai oleh mereka yang berjaya mengawal diri mereka di dalam kehidupan dunia.
 Firman Allah SWT;

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٲتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَـٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِ‌ۗ ذَٲلِكَ مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُ ۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)”. – (Aali-‘Imran:14)

Kemudian Allah SWT menyambung lagi; 

قُلۡ أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيۡرٍ۬ مِّن ذَٲلِڪُمۡ‌ۚ لِلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ عِندَ رَبِّهِمۡ جَنَّـٰتٌ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا وَأَزۡوَٲجٌ۬ مُّطَهَّرَةٌ۬ وَرِضۡوَٲنٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ‌ۗ وَٱللَّهُ بَصِيرُۢ بِٱلۡعِبَادِ

“Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga (pasangan-pasangan) isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya.” – (Aali-‘Imran:15)

Kenikmatan yang paling besar ialah mendapat nikmat keredhaan Allah SWT. Mendapat cinta dan kasih daripada-Nya.

Di dalam peperangan Uhud, pasukan pemanah telah ingkar arahan Rasulullah saw. Allah SWT mengetahui isi hati mereka. Disebabkan maksiat yang mereka lakukan; yaitu perasaan tamak kepada harta dunia, mereka telah menerima kekalahan.

Firman Allah SWT;

إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَلَّوۡاْ مِنكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡتَقَى ٱلۡجَمۡعَانِ إِنَّمَا ٱسۡتَزَلَّهُمُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ بِبَعۡضِ مَا كَسَبُواْ‌ۖ وَلَقَدۡ عَفَا ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ۬

Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu) dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. - (Aali-'Imran:155)

Jiwa manusia apabila ia melakukan sesuatu kesalahan, kekuatan imannya akan menghilang. Hubungannya dengan Allah SWT menjadi lemah. Kesepaduan dan keseimbangan diri tergugat. Kemudian dia akan terdedah kepada berbagai-bagai fikiran yang buruk, ragu-ragu dan gelisah dengan sebab rosak hubungannya dengan Allah SWT dan luntur kepercayaannya terhadap keredhaan Allah SWT. Di waktu inilah syaitan menemui jalannya memasuki ke dalam hati manusia dan dapat memimpinnya melakukan kesalahan demi kesalahan, sedangkan di waktu itu ia jauh dari perlindungan Allah SWT (mohon dijauhkan Allah).

Oleh kerana itu, perlu berhati-hati dengan tipu daya syaitan dan kehendak syahwat yang keterlaluan.

Wallahu’alam

17 Disember 2012

5.11 SURAH AALI-‘IMRAN (KELUARGA 'IMRAN) – Bahagian 1


NAMA SURAH

Keluarga Imran adalah satu-satunya keluarga yang tsabat (tetap teguh) dan istiqomah berpegang dengan agama (ad-Din) semasa Bani Israil sesat di kala itu. Walaupun dinamakan surah  Aali-‘Imran (keluarga ‘Imran), namun surah ini tidak menyebutkan tentang ‘Imran. Allah SWT telah memilih dua tokoh wanita yang tsabat iaitu isteri ‘Imran (di dalam tafsir Ibn Kathir menyebut namanya ialah Hannah bint Faqudh) dan anaknya Sayyidah Maryam. 'Imran mempunyai dua cahaya mata. Kedua-duanya adalah perempuan. Hasil perkongsian  anak pertamanya dengan Nabi Zakariya a.s, lahirlah Nabi Yahya a.s. Manakala anak keduanya Sayyidah Maryam melahirkan Nabi 'Isa a.s dengan tanpa bapa. Sungguh sebuah keluarga mulia, agung dan bertaqwa. Keluarga para nabi.

Tsabat isteri ‘Imran

Isteri ‘Imran pada asalnya sukar mendapat anak.  Senggang waktu dengan anak pertamanya begitu lama. Kemudian dia bernazar kepada Allah SWT jika dia memperolehi anak, dia akan menjadikan anaknya itu anak yang soleh dan menjadikannya penolong agama Allah SWT. Dia bercita-cita agar anaknya dapat membebaskan Masjil Al-Aqsa dari kekuasaan Romawi.

إِذۡ قَالَتِ ٱمۡرَأَتُ عِمۡرَٲنَ رَبِّ إِنِّى نَذَرۡتُ لَكَ مَا فِى بَطۡنِى مُحَرَّرً۬ا فَتَقَبَّلۡ مِنِّىٓ‌ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ 
“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menazarkan kepada Engkau anak yang dalam kandunganku menjadi hamba yang soleh dan berkhidmat (di Baitul maqdis). Kerana itu terimalah (nazar) itu daripadaku.” – (Aali-‘Imran:35)

Setelah melahirkan, anaknya adalah seorang perempuan.

فَلَمَّا وَضَعَتۡہَا قَالَتۡ رَبِّ إِنِّى وَضَعۡتُہَآ أُنثَىٰ وَٱللَّهُ أَعۡلَمُ بِمَا وَضَعَتۡ وَلَيۡسَ ٱلذَّكَرُ كَٱلۡأُنثَىٰ‌ۖ وَإِنِّى سَمَّيۡتُہَا مَرۡيَمَ وَإِنِّىٓ أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ ٱلشَّيۡطَـٰنِ ٱلرَّجِيمِ
“Maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata: ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan, dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu, dan anak laki-laki tidaklah seperti anak perempuan. Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam.” – (Aali-‘Imran:36)

Isteri ‘Imran tsabat (tetap teguh) dengan pendiriannya, walaupun anak itu perempuan, dia tetap menyerahkan anaknya ke Baitul Maqdis untuk pengabdian kepada Allah SWT. Oleh itu Allah Ta’ala telah menerima ketulusan niatnya;

فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍ۬ وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنً۬ا
“Maka Tuhannya menerimanya (sebagai nazar) dengan penerimaan yang baik, dan mendidiknya dengan pendidikan yang baik.” – (Aali-‘Imran:37)

Oleh kerana itu, isteri ‘Imran menjadi lambang keteguhan pada fikrah.

Tsabat Sayyidah Maryam

Sayyidah Maryam adalah seorang yang kuat beribadat, sangat menta’ati perintah Allah SWT dan sangat menjaga kehormatan (iffah) dirinya. Walaupun dia dipilih mengandungkan Nabi Isa a.s dengan tanpa disentuh oleh seorang lelaki, dia tetap ta’at (tsabat dalam keta’atan) kepada kehendak Allah Ta’ala dan masih tsabat memelihara kehormatannya dengan memencilkan diri jauh dari perkampungannya sehingga kelahiran Nabi Isa a.s. Dia tetap bersabar apabila dinista dan dicerca oleh sanak-saudara serta masyarakat kampungnya apabila beliau pulang bersama anaknya yang dibawa dalam kendungan. Beliau adalah wanita pilihan Allah SWT melebihi wanita lain.

Allah berfirman;

وَإِذۡ قَالَتِ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕڪَةُ يَـٰمَرۡيَمُ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَٮٰكِ وَطَهَّرَكِ وَٱصۡطَفَٮٰكِ عَلَىٰ نِسَآءِ ٱلۡعَـٰلَمِينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Mariam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu dan mensucikanmu dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu). -(Aali-‘Imran:42)

PENGENALAN
v  Surah ini adalah surah Madaniyah, diturunkan selepas surah al- Anfal.

v  Mempunyai 200 ayat.

v  Susunan di dalam Mushaf; surah kedua selepas surah al-Baqarah.

v  Dikatakan sebagai kembar kepada surah al-Baqarah (Az-Zahrawan – dua surah yang bersinar) karena kedua surah ini menyingkapkan hal-hal yang menurut apa yang disampaikan Al-Qur'an disembunyikan oleh para Ahlil Kitab, seperti kejadian dan kelahiran Nabi Isa dan kedatangan Nabi Muhammad saw .

v  Kedua-dua surah bermula dengan huruf muqatha’ah(di baca secara terpisah) iaitu huruf Alif, Laam, Miim dan berakhir dengan doa.

v  Ketiga-tiga surah awal di dalam Mushaf (al-Fatihah, al-Baqarah dan Aali-Imran) berakhir dengan doa menunjukkan betapa penting berdoa dan berharap kepada Allah SWT di dalam kehidupan seharian.

v  Merupakan sambungan daripada surah al-Baqarah, supaya berpegang teguh(tsabat) dan istiqomah apa yang telah disarankan di dalam surah ini.

v  Ayat-ayat Al-Quran Madaniyah, khususnya surah-surah al-Baqarah, Aali-Imran, An-Nisa’ dan Ma’idah banyak menyingkap tabir ahlul-kitab, menelanjangi keburukan mereka, serta menjelaskan tipu daya mereka.

v  Surah yang memperjelaskan ayat ke-7 surah al-Fatihah. Golongan yang sesat ialah golongan Nasrani yang menyatakan Nabi Isa a.s dan ibunya adalah dua tuhan yang lain dari Allah SWT.

HURUF MUQATHA'AH
Terdapat banyak pendapat ulama’ tentang penggunaan huruf muqatha’ah ini di dalam al-Qur’an. Huruf-huruf ini bagaikan kod-kod di dalam komputer. Ia boleh digunakan untuk membentuk perkataan dan seterusnya boleh membentuk ayat-ayat.
Di dalam Fi Zilalil Qur’an, as-Syahid Sayyid Qutb mengambil pendapat bahawa penggunaan huruf muqatha’ah di dalam surah al-Baqarah adalah untuk mencabar orang Quraisy sebagaimana firman Allah SWT;
“Dan jika kamu masih dalam keraguan (terhadap al-Qur’an) yang telah Kami turunkan kepada hamba Kami, maka bawalah satu surah yang serupa dengannya dan panggillah saksi-saksi kamu selain dari Allah jika kamu benar.” – (al-Baqarah:23)
Seolah-olah Allah SWT berkata kepada orang-orang kafir;
‘Bukankah huruf-huruf ini juga huruf-huruf dalam bahasa kalian? Bukankah ia bahan dasar bahasa yang kalian gunakan? Mampukah kalian mendatangkan sesuatu yang mirip dengan al-Qur’an ini dari huruf-huruf bahasa kalian?’
Sudah tentu mereka tidak boleh menandingi ayat-ayat Allah SWT kerana huruf-huruf al-Qur’an mempunyai ruh yang boleh menghidupkan jiwa.
Manakala penggunaannya di dalam surah Aali-‘Imran pula menunjukkan bahawa huruf-huruf itu adalah sama seperti huruf-huruf di dalam kitab samawi yang diperakui oleh ahlil-kitab. Maka tidak menjadi suatu yang pelik jika ia digunakan di dalam al-Qur’an yang diturunkan kepada Rasulullah saw.

TEMA/TOPIK UTAMA SURAH
Tsabat (Tetap teguh) dan Istiqomah.

Di dalam surah al-Baqarah, Allah SWT meminta setiap khalifah mempunyai manhaj dan memiliki peribadi Muslim yang ta’at kepada kehendak Allah SWT, bersifat tamayyuz(berbeza:-dengan orang kafir), tawazzun(keseimbangan) dan bertaqwa.
Di dalam surah Aali-‘Imran ini, Allah SWT meminta kita Tsabat dan istiqomah dengan manhaj dan sifat-sifat ini walau apa pun yang berlaku ke atas diri kita. Kepayahan-kepayahan itu merupakan suatu ujian keimanan bagi seseorang khalifah.
Saranan supaya tsabat dan istiqomah ini dapat di lihat di permulaan surah dan di akhirnya.

الٓمٓ (١) ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ (٢) نَزَّلَ عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقً۬ا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّوۡرَٮٰةَ وَٱلۡإِنجِيلَ (٣) 
Alif, Laam, Miim. (1) Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya. (2) Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya dan Dia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.(3)–(Aali-'Imran: 1-3)
Tuhanmu adalah Tuhan yang Esa, Dialah Yang Memberikan keteguhan dalam hati. Al-Kitab (al-Qur’an) itu haq, dialah jalanmu menuju keteguhan terhadap agama ini.
 يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
 Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (200) – QS Ali-Imran:200
ٱصۡبِرُ sabarkan dirimu
صَابِرُ membantu orang lain untuk bersabar
رَابِطُ Selalu bersiap siaga
Kita mesti bersabar dan membantu orang lain untuk bersabar. Sentiasa bersiap siaga menghadapi bahaya apa pun yang datang dari luar baik berupa tentera, pemikiran maupun syubhat.

PEMBAHGIAN SURAH
Terbahagi kepada dua bahagian utama;

1.    Ayat 1-120 (120 ayat)

Bagaimana tsabat pemikiran (fikriyyan) pada kebenaran.

1.1  perdebatan dengan ahlil-kitab: Nasrani Najran


2.    Ayat 120-200 (80 ayat)

Bagaimana tsabat tindakan (amaliyyin) pada kebenaran.

2.1  Peristiwa perang Uhud

MULABASAT SURAH
Hampir keseluruhan surah ini diturunkan di dalam tahun ke-2 hingga tahun ke-3 hijrah kecuali ayat ke-61, yang menerangkan Mubahalah. Kemungkinan diturunkan ketika kunjungan Kristian Najran yang berlaku pada tahun ke-9 Hijrah.
Pada masa ini, selepas kemenangan di peperangan Badar, kaum Muslimin telah mendapat kedudukan yang agak stabil dibawah pemerintahan Rasulullah saw. Namun begitu, mereka terpaksa menghadapi situasi musuh di sekeliling mereka yang menunggu-nunggu peluang untuk menyerang, menyebarkan fitnah-fitnah yang dusta dan akibat daripada itu berlaku kekeliruan dikalangan mereka.
Kemunculan benih nifaq dimulai oleh Abdullah ibn Ubay ibn Salul dari pembesar Khazraj. Beliau terpaksa memendam hasad dengki dan dendam kesumatnya terhadap Rasulullah saw dengan memasuki barisan Muslimin secara munafiq dan pura-pura. Benih nifaq ini berkembang dan semakin subur.
Dalam pada itu, kaum Yahudi juga menunggu-nunggu peluang untuk mebimbangkan, menimbulkan keraguan dan kegelisahan di kalangan kaum Muslimin yang masih belum matang fikrah mereka. Tidak mustahil ada di kalangan kaum Muslimin yang terpengaruh dengan di’ayah mereka.
Dapatlah dirasakan bagaimana keadaan kaum Muslimin yang mundar-mandir dengan perasaan mereka sehingga terpaksa menerima hakikat kekalahan mereka di peperangan Uhud.
Al-Qur’an diturunkan untuk membimbing dan menghadapi tipudaya-tipudaya ini, menghapuskan fitnah-fitnah dusta dan kekeliruan yang ditimbulkan. Ia meneguhkan hati-hati kaum Muslimin dan merasai perhatian istimewa dalam penilaian Allah SWT yang amat mengetahui seluruh jiwa, seluruh benda dan seluruh urusan.
Bimbingan ini boleh digunakan di zaman kita kini apabila menghadapi situasi yang sama seperti kaum Muslimin di kala itu.

Wallahu’alam