ISI KANDUNGAN SURAH
1. Keimanan/Aqidah
2. Hukum-hukum(syari’at)
·
Mesyuarat
·
Bermubahalah
·
Larangan
melakukan riba
3. Kisah-kisah
·
Keluarga
Imran
·
Perdebatan
Nasrani Najran dengan Rasulullah saw
·
Perang
Badar dan Perang Uhud
4. Lain-lain
·
Ayat
Muhkamaat dan ayat Mutasyaabihat
·
Sifat-sifat
Allah SWT
·
Sifat-sifat
orang yang bertaqwa
·
Islam
satu-satunya agama yang diredhai Allah SWT
·
Kemudharatan
mengambil orang kafir sebagai teman kepercayaan
·
Peringatan
kepada Ahlil-Kitab
·
Ka’bah
adalah rumah peribadatan yang tertua
·
Faedah
mengingati Allah SWT dan merenungkan ciptaan-Nya
Daripada keseluruhan isi surah, dapat disimpulkan bahawa
tema atau topik utama yang hendak disampaikan di dalam surah Aali-‘Imran ini ialah
supaya tsabat(berpegang teguh) dan istiqomah di atas kebenaran.
TSABAT FIKRIYAN DAN AMALIYYIN
Berkesinambungan dengan surah al-Baqarah, para da’ei yang memegang jawatan sebagai khalifah, diperingatkan supaya tsabat dan istiqomah kepada dua perkara:
1.
Teguh pemikiran
(Fikriyyan)
dalam menghadapi Ahlil-Kitab (Yahudi dan Nasrani) yang menyentuh
keteguhan aqidah ( ayat 1-120).
Musuh-musuh
kaum Muslimin(di zaman Rasulullah saw) bukan sahaja memerangi mereka di medan
perang dengan pedang dan panah, malah musuh-musuh itu memerangi mereka dengan
menyerang aqidah mereka dengan menyebarkan keraguan, kekeliruan dan
mengatur berbagai tipu muslihat. Mula-mula mereka bertindak menggugatkan kerana
kaum Muslimin tidak akan lemah kecuali aqidah mereka telah lemah. Mereka tidak
akan tewas sesudah jiwa mereka tewas.
Justeru
itu, musuh yang paling besar kepada umat Muslimin ialah musuh yang berusaha
melalaikan mereka dari aqidah keimanan mereka. Memesongkan sistem dan cara
hidup yang diatur oleh Allah SWT. Mengelirukan mereka dari hakikat musuh-musuh
mereka yang sebenar dan matlamat-matlamat mereka yang jauh.
Al-Qur’an
sentiasa memberi amaran (kepada kaum Muslimin) dari tipu daya musuh-musuh
mereka. Mendedahkan kedengkian dan niat-niat jahat musuh-musuh mereka itu yang
tersembunyi. Betapa kerdil dan hinanya musuh-musuh itu di sisi Allah SWT dan
al-Qur’an menegaskan bahawa Allah SWT tetap bersama kaum Muslimin.
Oleh
itu, al-Qur’an dari awal-awal lagi menolak senjata yang beracun ini. Ia
mendesak kaum Muslimin supaya berdiri teguh di atas kebenaran yang dipegang
oleh mereka dan menolak kekeliruan dan keraguan yang ditabur oleh
Ahlil-Kitab(Yahudi dan Nasrani).
Rujuk:http://bersamaummualiya.blogspot.com/2012/12/224-peristiwa-rombongan-nasrani-najran.html
2.
Teguh dalam Tindakan
(Amaliyyin) menghadapi serangan luar seperti dalam Perang Badar dan
perang Uhud. Mengambil pengiktibaran dari kekeliruan yang timbul dan cara mengatasinya
( ayat 120-200).
Peperangan
Badar dan Uhud adalah suatu anugerah Allah SWT kepada generasi yang
terkemudian. Ia menjadi contoh tauladan yang patut diamati. Setiap ketentuan
Ilahi ada sebab musabab dan hikmahnya. Kita patut belajar daripada mereka yang
terdahulu. Setiap masalah akan ada penyelesaiannya. Setiap kesusahan akan ada kesenangannya.
Allah SWT akan memilih mereka yang tetap teguh (tsabat) dengan kesabaran, keta’atan
dan bersyukur kepada-Nya.
Rujuk:http://bersamaummualiya.blogspot.com/2013/01/426-uhud-ghazwah-pengajaran-bahagian-1.html
http://bersamaummualiya.blogspot.com/2013/03/427-uhud-ghazwah-pengajaran-bahagian-2.html
PENGARUH FIKRIYYAN DAN AMALIYIN TERHADAP KAUM MUSLIMINhttp://bersamaummualiya.blogspot.com/2013/03/427-uhud-ghazwah-pengajaran-bahagian-2.html
Imam Ibnul Qayyim
rahimullah membahagikan kaum kuffar di sekeliling Madinah kepada tiga golongan
setelah penghijrahan Nabi saw di sana.
1. Golongan yang berdamai dan berjanji tidak memerangi Nabi saw dan
tidak membantu musuh Baginda, sedangkan mereka tetap kafir.
2. Golongan yang memerangi Nabi saw.
3. Golongan munafik
Ketika itu, berlaku
penentangan kepada kaum Muslimin Madinah secara pemikiran dan tindakan fizikal.
Musuh datang dari sekeliling Madinah dan juga dari dalam Kota Madinah itu sendiri.
1. Tipu daya golongan
Ahlil-Kitab
Ahli-Kitab yang dimaksudkan ialah Yahudi dan Nasrani, manakala yang
dimaksudkan dengan kitab di sini ialah kitab Taurat dan Injil. Taurat ialah
kitab yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Musa a.s.
Kaum Yahudi merupakan
umat yang pedengki. Menipu dan khianat adalah kebiasaan mereka. Suka membangkang
kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Mereka telah dikutuk dan dicerca sebagaimana
firman Allah SWTyang bermaksud:
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Wahai Ahlil-Kitab, mengapa kamu ingkari ayat-ayat
Allah, padahal Allah Maha Menyaksikan apa yang kamu kerjakan? "Katakanlah:
"Wahai Ahlil-Kitab, mengapa kamu menghalangi orang yang beriman daripada
menurut jalan Allah, kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong,
padahal kamu menyaksikan (kebenarannya). Dan (ingatlah) Allah sekali-kali tidak
lalai daripada apa yang kamu kerjakan. (Aali-`Imran:98-99)
Tipudaya kaum Yahudi
telah bermula sejak Rasulullah saw masih berada di Mekah. Mereka membantu
orang-orang Quraisy dengan memberikan idea-idea dalam bentuk pertanyaan dan
persoalan untuk menguji Rasulullah saw seperti soalan berkenaan dengan ruh
dan persoalan Ashabul-Kahfi.
Penghijrahan Rasulullah
saw ke Madinah merupakan satu tamparan hebat kepada kaum Yahudi. Ia seakan
kiamat kepada mereka. Hati mereka tidak tenang dan keluh-kesah dan kehidupan
menjadi tidak tenteram kerana berdirinya negara Islam di Madinah. Islam telah
membongkar sikap buruk orang Yahudi dan membebaskan penduduk Madinah dari
kejahatan mereka.
Pelbagai tipu daya telah
dilakukan bagi membantut perjuangan Islam. Mereka mengkhianati Allah SWTdan
Rasul-Nya; tidak berpegang kepada piagam Madinah; mengkhianati kaum Muslimin
dan membela orang Musyrik dan kafir; serta menyakiti Rasulullah saw.
Orang-orang munafiq juga berada di dalam asuhan mereka.
Kaum Yahudi juga
menimbulkan kekeliruan dan menyesatkan manusia dengan mencampur adukkan
kebenaran dan kebathilan; dan juga menyembunyikan kebenaran.
Ayat-ayat al-Qur'an
berkenaan hal di atas adalah sangat banyak. Ayat-ayat al-Qur'an Madaniyah
terutamanya Surah al-Baqarah, Aali-'Imran, An-Nisa' dan al-Ma’idah banyak
menyingkap tabir kaum Yahudi dan membongkar keburukan mereka. Umat Islam
hendaklah tsabat dalam pendirian agar tidak tertipu dengan tipu daya kaumYahudi.
Tidak berwala', redha dan mengikuti mereka. Merekalah musuh Allah SWT
yang membunuh para Nabi dan agen utama yang merosakkan dunia.
2. Tipu daya golongan
Munafiq
Siapakah yang digelar
munafiq ? Orang munafiq ialah manusia yang menzahirkan sesuatu yang
bertentangan dengan bathinnya, dia mengucapkan sesuatu yang tidak pernah
terlintas di hatinya dan dia menunjukkan keIslamannya tetapi pada masa yang
sama menyembunyikan kekufurannya.
Sifat munafiq ini ada
ditempat yang adanya kekuatan yang digeruni. Oleh itu ia tidak pernah wujud di
Makkah ketika orang Islam terdiri daripada orang dhaif, yang tidak ditakuti dan
digeruni langsung oleh orang Musyrikin. Tetapi ia wujud selepas orang Islam
berhijrah ke Madinah al-Munawwarah dan selepas tertubuhnya satu negeri yang
kuat, dan setelah orang Islam mendapat kemenangan dan menewaskan musuh mereka,
iaitu orang Musyrikin dalam Peperangan Badar.
Dari sini, timbullah
sifat munafiq dan orang-orang yang munafiq agar mereka dapat memperolehi habuan
mereka daripada harta rampasan perang apabila orang Islam menang, agar mereka
dapat hidup di kalangan orang Islam dan mereka seolah-olah sama seperti orang
Islam dalam setiap perkara.
Bahaya daripada
orang-orang munafiq yang bergaul dengan kaum Muslimin adalah sangat besar.
Berperang dengan golongan kafir atau Yahudi adalah lebih mudah berbanding
dengan orang munafiq. Mereka bergaul dengan kaum Muslimin di waktu pagi dan
petang; membocorkan rahsia kaum Muslimin kepada musuh serta menunggu-nunggu
kehancuran kaum Muslimin. Sedangkan kaum Muslimin tidak mengetahui identiti
mereka dan tidak mungkin berperang secara fizikal dengan mereka.
Kemunculan golongan munafiq
adalah ujian dan nikmat Allah SWT kepada kaum Muslimin. Ujian ini merupakan
sunnah rabbaniyah di dalam menyaring dan membersihkan jiwa di atas haq. Allah SWT
tidak membiarkan umat ini bercampur baur tanpa ada perbezaan antara Mukmin dan
munafiq.
Firman Allah SWT yang
bermaksud:
مَّا كَانَ ٱللَّهُ لِيَذَرَ
ٱلۡمُؤۡمِنِينَ عَلَىٰ مَآ أَنتُمۡ عَلَيۡهِ حَتَّىٰ يَمِيزَ ٱلۡخَبِيثَ مِنَ
ٱلطَّيِّبِۗ
" Allah
sekali-kali tidak akan meninggalkan orang-orang Mukmin dalam keadaan kamu (yang
bercampur aduk) sekarang ini sehingga Dia membezakan yang buruk (Munafiq) dari
yang baik (Mukmin)." – (Aali-`Imran:179)
Di antara tipu-daya kaum
munafiq yang paling menonjol terhadap dakwah Islam di Madinah ialah:
1. Kecenderungan mereka untuk bersekutu dengan Yahudi dan Nasrani
bagi melawan kaum Muslimin. Tujuan mereka adalah untuk melemahkan umat Islam.
Allah swt membongkar tipu-muslihat dan niat jahat mereka dalam banyak ayat di
dalam al-Qur'an. (Al-Hasyr:11-12, Al-Mujadilah:14, An-Nisa':143,
Al-Munafiqun:7-8)
2. Menolak untuk berhukum dengan syari’at Allah SWT dan memilih untuk
berhukum kepada taghut.
3. Menjadi pengintip bagi kaum kuffar dan membongkar rahsia-rahsia
kaum Muslimin kepada orang-orang kafir. Mereka duduk mendampingi Nabi saw,
kemudian melapurkan perbicaraan Baginda kepada kaum Yahudi.
4. Meniupkan semangat perkauman, menimbulkan adu domba, provokasi,
mengapi-apikan dan fitnah di tengah-tengah kaum Muslimin. Tujuannya agar Kaum
Ansar dan Muhajirin berbalah antara satu sama lain.
5. Tidak tsabat dan bersikap pengecut ketika peperangan. Kaum
Muslimin telah mengalami kejutan awal apabila satu-pertiga pasukan di bawah
pimpinan Ibnu Ubay menarik diri dalam peperangan Uhud sebagaimana firman Allah
SWT;
ٱلَّذِينَ قَالُواْ
لِإِخۡوَٲنِہِمۡ وَقَعَدُواْ لَوۡ أَطَاعُونَا مَا قُتِلُواْۗ قُلۡ فَٱدۡرَءُواْ
عَنۡ أَنفُسِڪُمُ ٱلۡمَوۡتَ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ
"Merekalah juga yang mengatakan tentang hal
saudara-saudaranya (yang telah terbunuh di medan perang Uhud), sedang mereka
sendiri tidak turut berperang: Kalaulah mereka taatkan kami (turut menarik
diri) tentulah mereka tidak terbunuh. Katakanlah (wahai Muhammad): Jika
demikian, hindarkanlah maut dari diri kamu, jika betul kamu orang-orang yang
benar.” - ( Aali-`Imran:168)
CONTOH-CONTOH AYAT YANG MEMINTA TSABAT FIKRIYYIN DAN AMALIYYIN
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ
تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ
Wahai orang-orang yang beriman!
Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali
kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.- (Aali-'Imran:102)
وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ
وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ
بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ
شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَاۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ
ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَہۡتَدُونَ
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian
kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah
nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu),
lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan
nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam
yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan
kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu
(disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu
ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya. - (Aali-'Imran:103)
وَكَأَيِّن مِّن نَّبِىٍّ۬ قَـٰتَلَ مَعَهُ ۥ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ۬
فَمَا وَهَنُواْ لِمَآ أَصَابَہُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَمَا ضَعُفُواْ وَمَا
ٱسۡتَكَانُواْۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّـٰبِرِينَ
Dan
berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh
ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah
semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka
juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh) dan
(ingatlah), Allah sentiasa Mengasihi orang-orang yang sabar. - (Aali-'Imran:146)
ٱلَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدۡ جَمَعُواْ
لَكُمۡ فَٱخۡشَوۡهُمۡ فَزَادَهُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَقَالُواْ حَسۡبُنَا ٱللَّهُ
وَنِعۡمَ ٱلۡوَڪِيلُ
Mereka
juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka:
Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu,
oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin menambahkan iman
mereka lalu berkata: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik
pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami). - (Aali:'Imran:173)
فَلَمَّآ أَحَسَّ عِيسَىٰ
مِنۡہُمُ ٱلۡكُفۡرَ قَالَ مَنۡ أَنصَارِىٓ إِلَى ٱللَّهِۖ قَالَ ٱلۡحَوَارِيُّونَ
نَحۡنُ أَنصَارُ ٱللَّهِ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَٱشۡهَدۡ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ
Maka ketika Nabi Isa merasa (serta
mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah
dia: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan
menegakkan agamaNya)?. Orang-orang "Hawariyyuun" (Penyokong-penyokong
Nabi Isa) berkata: Kamilah penolong-penolong (Utusan) Allah. Kami telah beriman
kepada Allah dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah
orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah). - (Aali-'Imran:52)
Kaum
Hawariyyun telah berlaku tsabat dalam menolong agama Allah Ta’ala sedangkan
kebanyakan kaum Yahudi telah kufur.
APAKAH YANG MENGHILANGKAN TSABAT
1.
Syahwat
2.
Ikut
Syaitan
Manusia diciptakan
dengan mempunyai keinginan (syahwat) semulajadi (fitrah) . Keinginan ini
ditugaskan oleh Allah SWT untuk memainkan peranan asasi bagi memelihara zuriat
keturunannya dan maju dalam kehidupan. Oleh itu Islam tidak menyarankan ia
ditekan atau dibunuh tetapi dikawal dan diatur supaya keinginan itu dikuasai,
bukan menguasai dirinya.
Keinginan
yang berteraskan syaitan, adalah keinginan yang kotor dan berdosa.
Oleh sebab
itulah al-Qur’an membentangkan kenikmatan-kenikmatan jiwa di alam Akhirat yang
akan dicapai oleh mereka yang berjaya mengawal diri mereka di dalam kehidupan
dunia.
Firman Allah SWT;
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٲتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ
وَٱلۡقَنَـٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ
ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِۗ ذَٲلِكَ مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ
ٱلدُّنۡيَاۖ وَٱللَّهُ عِندَهُ ۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ
“Dihiaskan
(dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini
nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak
bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi
terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu
ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat
kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)”. – (Aali-‘Imran:14)
Kemudian Allah SWT
menyambung lagi;
قُلۡ أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيۡرٍ۬ مِّن ذَٲلِڪُمۡۚ لِلَّذِينَ
ٱتَّقَوۡاْ عِندَ رَبِّهِمۡ جَنَّـٰتٌ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ
خَـٰلِدِينَ فِيهَا وَأَزۡوَٲجٌ۬ مُّطَهَّرَةٌ۬ وَرِضۡوَٲنٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِۗ
وَٱللَّهُ بَصِيرُۢ بِٱلۡعِبَادِ
“Katakanlah
(wahai Muhammad): Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik
daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi
Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka
kekal di dalamnya. Disediakan juga (pasangan-pasangan) isteri-isteri yang suci
bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah dan (ingatlah), Allah sentiasa
Melihat akan hamba-hambaNya.” – (Aali-‘Imran:15)
Kenikmatan
yang paling besar ialah mendapat nikmat keredhaan Allah SWT. Mendapat cinta dan
kasih daripada-Nya.
Di dalam
peperangan Uhud, pasukan pemanah telah ingkar arahan Rasulullah saw. Allah SWT mengetahui
isi hati mereka. Disebabkan maksiat yang mereka lakukan; yaitu perasaan tamak kepada
harta dunia, mereka telah menerima kekalahan.
Firman Allah
SWT;
إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَلَّوۡاْ مِنكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡتَقَى ٱلۡجَمۡعَانِ
إِنَّمَا ٱسۡتَزَلَّهُمُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ بِبَعۡضِ مَا كَسَبُواْۖ وَلَقَدۡ عَفَا
ٱللَّهُ عَنۡہُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ۬
Bahawasanya
orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari
bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu
sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian
dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang
lalu) dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. - (Aali-'Imran:155)
Jiwa manusia
apabila ia melakukan sesuatu kesalahan, kekuatan imannya akan menghilang.
Hubungannya dengan Allah SWT menjadi lemah. Kesepaduan dan keseimbangan diri
tergugat. Kemudian dia akan terdedah kepada berbagai-bagai fikiran yang buruk,
ragu-ragu dan gelisah dengan sebab rosak hubungannya dengan Allah SWT dan luntur
kepercayaannya terhadap keredhaan Allah SWT. Di waktu inilah syaitan menemui
jalannya memasuki ke dalam hati manusia dan dapat memimpinnya melakukan
kesalahan demi kesalahan, sedangkan di waktu itu ia jauh dari perlindungan
Allah SWT (mohon dijauhkan Allah).
Oleh kerana
itu, perlu berhati-hati dengan tipu daya syaitan dan kehendak syahwat yang
keterlaluan.
Wallahu’alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan