17 Disember 2012

5.11 SURAH AALI-‘IMRAN (KELUARGA 'IMRAN) – Bahagian 1


NAMA SURAH

Keluarga Imran adalah satu-satunya keluarga yang tsabat (tetap teguh) dan istiqomah berpegang dengan agama (ad-Din) semasa Bani Israil sesat di kala itu. Walaupun dinamakan surah  Aali-‘Imran (keluarga ‘Imran), namun surah ini tidak menyebutkan tentang ‘Imran. Allah SWT telah memilih dua tokoh wanita yang tsabat iaitu isteri ‘Imran (di dalam tafsir Ibn Kathir menyebut namanya ialah Hannah bint Faqudh) dan anaknya Sayyidah Maryam. 'Imran mempunyai dua cahaya mata. Kedua-duanya adalah perempuan. Hasil perkongsian  anak pertamanya dengan Nabi Zakariya a.s, lahirlah Nabi Yahya a.s. Manakala anak keduanya Sayyidah Maryam melahirkan Nabi 'Isa a.s dengan tanpa bapa. Sungguh sebuah keluarga mulia, agung dan bertaqwa. Keluarga para nabi.

Tsabat isteri ‘Imran

Isteri ‘Imran pada asalnya sukar mendapat anak.  Senggang waktu dengan anak pertamanya begitu lama. Kemudian dia bernazar kepada Allah SWT jika dia memperolehi anak, dia akan menjadikan anaknya itu anak yang soleh dan menjadikannya penolong agama Allah SWT. Dia bercita-cita agar anaknya dapat membebaskan Masjil Al-Aqsa dari kekuasaan Romawi.

إِذۡ قَالَتِ ٱمۡرَأَتُ عِمۡرَٲنَ رَبِّ إِنِّى نَذَرۡتُ لَكَ مَا فِى بَطۡنِى مُحَرَّرً۬ا فَتَقَبَّلۡ مِنِّىٓ‌ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ 
“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menazarkan kepada Engkau anak yang dalam kandunganku menjadi hamba yang soleh dan berkhidmat (di Baitul maqdis). Kerana itu terimalah (nazar) itu daripadaku.” – (Aali-‘Imran:35)

Setelah melahirkan, anaknya adalah seorang perempuan.

فَلَمَّا وَضَعَتۡہَا قَالَتۡ رَبِّ إِنِّى وَضَعۡتُہَآ أُنثَىٰ وَٱللَّهُ أَعۡلَمُ بِمَا وَضَعَتۡ وَلَيۡسَ ٱلذَّكَرُ كَٱلۡأُنثَىٰ‌ۖ وَإِنِّى سَمَّيۡتُہَا مَرۡيَمَ وَإِنِّىٓ أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ ٱلشَّيۡطَـٰنِ ٱلرَّجِيمِ
“Maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata: ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan, dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu, dan anak laki-laki tidaklah seperti anak perempuan. Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam.” – (Aali-‘Imran:36)

Isteri ‘Imran tsabat (tetap teguh) dengan pendiriannya, walaupun anak itu perempuan, dia tetap menyerahkan anaknya ke Baitul Maqdis untuk pengabdian kepada Allah SWT. Oleh itu Allah Ta’ala telah menerima ketulusan niatnya;

فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍ۬ وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنً۬ا
“Maka Tuhannya menerimanya (sebagai nazar) dengan penerimaan yang baik, dan mendidiknya dengan pendidikan yang baik.” – (Aali-‘Imran:37)

Oleh kerana itu, isteri ‘Imran menjadi lambang keteguhan pada fikrah.

Tsabat Sayyidah Maryam

Sayyidah Maryam adalah seorang yang kuat beribadat, sangat menta’ati perintah Allah SWT dan sangat menjaga kehormatan (iffah) dirinya. Walaupun dia dipilih mengandungkan Nabi Isa a.s dengan tanpa disentuh oleh seorang lelaki, dia tetap ta’at (tsabat dalam keta’atan) kepada kehendak Allah Ta’ala dan masih tsabat memelihara kehormatannya dengan memencilkan diri jauh dari perkampungannya sehingga kelahiran Nabi Isa a.s. Dia tetap bersabar apabila dinista dan dicerca oleh sanak-saudara serta masyarakat kampungnya apabila beliau pulang bersama anaknya yang dibawa dalam kendungan. Beliau adalah wanita pilihan Allah SWT melebihi wanita lain.

Allah berfirman;

وَإِذۡ قَالَتِ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕڪَةُ يَـٰمَرۡيَمُ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَٮٰكِ وَطَهَّرَكِ وَٱصۡطَفَٮٰكِ عَلَىٰ نِسَآءِ ٱلۡعَـٰلَمِينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Mariam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu dan mensucikanmu dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu). -(Aali-‘Imran:42)

PENGENALAN
v  Surah ini adalah surah Madaniyah, diturunkan selepas surah al- Anfal.

v  Mempunyai 200 ayat.

v  Susunan di dalam Mushaf; surah kedua selepas surah al-Baqarah.

v  Dikatakan sebagai kembar kepada surah al-Baqarah (Az-Zahrawan – dua surah yang bersinar) karena kedua surah ini menyingkapkan hal-hal yang menurut apa yang disampaikan Al-Qur'an disembunyikan oleh para Ahlil Kitab, seperti kejadian dan kelahiran Nabi Isa dan kedatangan Nabi Muhammad saw .

v  Kedua-dua surah bermula dengan huruf muqatha’ah(di baca secara terpisah) iaitu huruf Alif, Laam, Miim dan berakhir dengan doa.

v  Ketiga-tiga surah awal di dalam Mushaf (al-Fatihah, al-Baqarah dan Aali-Imran) berakhir dengan doa menunjukkan betapa penting berdoa dan berharap kepada Allah SWT di dalam kehidupan seharian.

v  Merupakan sambungan daripada surah al-Baqarah, supaya berpegang teguh(tsabat) dan istiqomah apa yang telah disarankan di dalam surah ini.

v  Ayat-ayat Al-Quran Madaniyah, khususnya surah-surah al-Baqarah, Aali-Imran, An-Nisa’ dan Ma’idah banyak menyingkap tabir ahlul-kitab, menelanjangi keburukan mereka, serta menjelaskan tipu daya mereka.

v  Surah yang memperjelaskan ayat ke-7 surah al-Fatihah. Golongan yang sesat ialah golongan Nasrani yang menyatakan Nabi Isa a.s dan ibunya adalah dua tuhan yang lain dari Allah SWT.

HURUF MUQATHA'AH
Terdapat banyak pendapat ulama’ tentang penggunaan huruf muqatha’ah ini di dalam al-Qur’an. Huruf-huruf ini bagaikan kod-kod di dalam komputer. Ia boleh digunakan untuk membentuk perkataan dan seterusnya boleh membentuk ayat-ayat.
Di dalam Fi Zilalil Qur’an, as-Syahid Sayyid Qutb mengambil pendapat bahawa penggunaan huruf muqatha’ah di dalam surah al-Baqarah adalah untuk mencabar orang Quraisy sebagaimana firman Allah SWT;
“Dan jika kamu masih dalam keraguan (terhadap al-Qur’an) yang telah Kami turunkan kepada hamba Kami, maka bawalah satu surah yang serupa dengannya dan panggillah saksi-saksi kamu selain dari Allah jika kamu benar.” – (al-Baqarah:23)
Seolah-olah Allah SWT berkata kepada orang-orang kafir;
‘Bukankah huruf-huruf ini juga huruf-huruf dalam bahasa kalian? Bukankah ia bahan dasar bahasa yang kalian gunakan? Mampukah kalian mendatangkan sesuatu yang mirip dengan al-Qur’an ini dari huruf-huruf bahasa kalian?’
Sudah tentu mereka tidak boleh menandingi ayat-ayat Allah SWT kerana huruf-huruf al-Qur’an mempunyai ruh yang boleh menghidupkan jiwa.
Manakala penggunaannya di dalam surah Aali-‘Imran pula menunjukkan bahawa huruf-huruf itu adalah sama seperti huruf-huruf di dalam kitab samawi yang diperakui oleh ahlil-kitab. Maka tidak menjadi suatu yang pelik jika ia digunakan di dalam al-Qur’an yang diturunkan kepada Rasulullah saw.

TEMA/TOPIK UTAMA SURAH
Tsabat (Tetap teguh) dan Istiqomah.

Di dalam surah al-Baqarah, Allah SWT meminta setiap khalifah mempunyai manhaj dan memiliki peribadi Muslim yang ta’at kepada kehendak Allah SWT, bersifat tamayyuz(berbeza:-dengan orang kafir), tawazzun(keseimbangan) dan bertaqwa.
Di dalam surah Aali-‘Imran ini, Allah SWT meminta kita Tsabat dan istiqomah dengan manhaj dan sifat-sifat ini walau apa pun yang berlaku ke atas diri kita. Kepayahan-kepayahan itu merupakan suatu ujian keimanan bagi seseorang khalifah.
Saranan supaya tsabat dan istiqomah ini dapat di lihat di permulaan surah dan di akhirnya.

الٓمٓ (١) ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ (٢) نَزَّلَ عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقً۬ا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّوۡرَٮٰةَ وَٱلۡإِنجِيلَ (٣) 
Alif, Laam, Miim. (1) Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya. (2) Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya dan Dia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.(3)–(Aali-'Imran: 1-3)
Tuhanmu adalah Tuhan yang Esa, Dialah Yang Memberikan keteguhan dalam hati. Al-Kitab (al-Qur’an) itu haq, dialah jalanmu menuju keteguhan terhadap agama ini.
 يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
 Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (200) – QS Ali-Imran:200
ٱصۡبِرُ sabarkan dirimu
صَابِرُ membantu orang lain untuk bersabar
رَابِطُ Selalu bersiap siaga
Kita mesti bersabar dan membantu orang lain untuk bersabar. Sentiasa bersiap siaga menghadapi bahaya apa pun yang datang dari luar baik berupa tentera, pemikiran maupun syubhat.

PEMBAHGIAN SURAH
Terbahagi kepada dua bahagian utama;

1.    Ayat 1-120 (120 ayat)

Bagaimana tsabat pemikiran (fikriyyan) pada kebenaran.

1.1  perdebatan dengan ahlil-kitab: Nasrani Najran


2.    Ayat 120-200 (80 ayat)

Bagaimana tsabat tindakan (amaliyyin) pada kebenaran.

2.1  Peristiwa perang Uhud

MULABASAT SURAH
Hampir keseluruhan surah ini diturunkan di dalam tahun ke-2 hingga tahun ke-3 hijrah kecuali ayat ke-61, yang menerangkan Mubahalah. Kemungkinan diturunkan ketika kunjungan Kristian Najran yang berlaku pada tahun ke-9 Hijrah.
Pada masa ini, selepas kemenangan di peperangan Badar, kaum Muslimin telah mendapat kedudukan yang agak stabil dibawah pemerintahan Rasulullah saw. Namun begitu, mereka terpaksa menghadapi situasi musuh di sekeliling mereka yang menunggu-nunggu peluang untuk menyerang, menyebarkan fitnah-fitnah yang dusta dan akibat daripada itu berlaku kekeliruan dikalangan mereka.
Kemunculan benih nifaq dimulai oleh Abdullah ibn Ubay ibn Salul dari pembesar Khazraj. Beliau terpaksa memendam hasad dengki dan dendam kesumatnya terhadap Rasulullah saw dengan memasuki barisan Muslimin secara munafiq dan pura-pura. Benih nifaq ini berkembang dan semakin subur.
Dalam pada itu, kaum Yahudi juga menunggu-nunggu peluang untuk mebimbangkan, menimbulkan keraguan dan kegelisahan di kalangan kaum Muslimin yang masih belum matang fikrah mereka. Tidak mustahil ada di kalangan kaum Muslimin yang terpengaruh dengan di’ayah mereka.
Dapatlah dirasakan bagaimana keadaan kaum Muslimin yang mundar-mandir dengan perasaan mereka sehingga terpaksa menerima hakikat kekalahan mereka di peperangan Uhud.
Al-Qur’an diturunkan untuk membimbing dan menghadapi tipudaya-tipudaya ini, menghapuskan fitnah-fitnah dusta dan kekeliruan yang ditimbulkan. Ia meneguhkan hati-hati kaum Muslimin dan merasai perhatian istimewa dalam penilaian Allah SWT yang amat mengetahui seluruh jiwa, seluruh benda dan seluruh urusan.
Bimbingan ini boleh digunakan di zaman kita kini apabila menghadapi situasi yang sama seperti kaum Muslimin di kala itu.

Wallahu’alam

1 ulasan:

  1. salam dr, boleh bagitahu tak maksud muqatha'ah, mulbasat dan mubahalah dari segi bahasa juga?jzkk.
    lagi satu, dimana ana boleh dapatkan biodata dr yeu qiu wai?

    p/s: ana guna khowatir quraniyyah juga utk anak2 usrah ana yg baru :)

    BalasPadam