Peralihan qiblat telah berlaku sebanyak dua kali.
1.
Peralihan
dari Ka’abah ke Masjidil Aqsa
2.
Peralihan
semula dari Masjidil Aqsa ke Ka’abah.
Peristiwa ini
berlaku pada zaman Madinah. Merujuk kepada Fi Zilalil Qur’an, menyatakan tiada
riwayat yang qat’i mengenai peristiwa peralihan qiblat dari Ka’abah ke Masjidil
Aqsa dan tiada satu ayat yang menerangkan sejarah peralihan ini secara
terperinci.
Namun
daripada riwayat-riwayat yang ada, dapatlah dibuat kesimpulan secara umum;
selepas Hijrah kaum Muslimin mengarahkan qiblat mereka ke Baitul Maqdis dengan
perintah Ilahi kepada Rasulullah saw. Perintah ini kuat dipercayai bukanlah
perintah menerusi al-Qur’an. Kemudian ayat 144 dari surah al-Baqarah telah
memansukhkan perintah ini.
Setengah
riwayat menyatakan perubahan ini adalah hasil pujukan segolongan Kaum Yahudi
kepada Rasulullah saw dengan alasan bahawa kota itu adalah suatu tanah suci
yang telah disediakan oleh Allah bagi tempat kediaman para Rasul-Nya; “Maka jika engkau itu benar-benar seorang
Rasul Tuhan, wahai Muhammad, hendaklah engkau berdiam di tanah suci itu,
menurut jejak para Rasul Tuhan yang terdahulu daripada engkau.”
Sebelum
kelahiran Rasulullah saw, nabi-nabi tinggal di rumah ibadat di Baitul-Maqdis.
Justeru itu, Rasulullah
saw hanya menghadap mukanya ke Baitul-Maqdis ketika solat dengan keizinan Allah
swt bebanding terus tinggal di sana.
Keadaan awal Madinah(Yastrib)
Sebelum
kedatangan Rasulullah saw, Madinah dan penduduk di sekitarnya terutama dua kaum
majoriti di situ iaitu kaum Aus dan kaum Khazraj menguasai perkampungan Madinah.
Malangnya mereka sering bertelingkah dan
berperang antara satu sama. Ada riwayat menyatakan, walaupun pertelingkahan
mereka berlangsung lebih kurang 120 tahun lamanya, namun tiada penyelesaian.
Kaum Yahudi
pula terbahagi kepada tiga golongan iaitu Banu Quraidhah, Banu Nadhir dan Banu
Qainuqa’. Walaupun pada peringkat awal mereka hanya menumpang di Madinah, oleh
kerana kecerdikan dan kekayaan harta, mereka dapat mempengaruhi penduduk
Madinah.
Kaum Khazraj
telah mendapat bantuan daripada kaum Yahudi Banu Nadhir dan Qainuqa’. Manakala
kaum Aus mendapat bantuan daripada kaum Yahudi Banu Quraidhah.
Selepas
kedatangan Islam, kaum Aus dan Khazraj mula bersatu. Kepimpinan Islam mula
berkembang luas dan sukar dibendung lagi. Oleh itu, ketiga-tiga golongan kaum
Yahudi mula bersatu dan cuba menghalangi pengaruh Islam yang cepat tersebar.
Menyedari tindakan orang-orang Yahudi ini, Rasulullah saw membuat satu
perjanjian damai dengan mereka supaya dapat sama-sama hidup dengan aman
walaupun berlainan pegangan.
Walaupun
perjanjian itu disambut baik, tetapi secara diam-diam kaum Yahudi dan kaum
munafiq memusuhi Islam. Kaum Yahudi memusuhi Islam kerana kedengkian. Mereka
bimbang tipu daya mereka dalam beragama akan terbongkar. Mereka bimbang
pengaruh dan kependetaan mereka lenyap. Lalu
mereka mengejek dan mencerca Rasulullah saw dan pengikut baginda. Malah
mereka sanggup mengubah kitab Taurat untuk kepentingan hujjah mereka.
Tambahan
lagi,disebalik perdamaian yang diterima oleh kaum Yahudi, mereka sebenarnya
berhasrat kaum Muslimin dapat bersama mereka menentang kerajaan Nasrani yang
telah berkuasa di Baitul-Maqdis dan telah menghalau mereka dari kota suci itu.
Namun sia-sia, malah kerajaan Islam telah mendahului pengaruhnya berbanding
kerajaan Nasrani. Oleh itu mereka telah melanggar perjanjian damai ini.
Sebaliknya memusuhi Islam secara terang-terangan dengan apa cara sekalipun demi
mengembalikan aqidah orang Islam kepada agama mereka.
Manakala kaum
munafiq dari golongan Khazraj pula
memusuhi Islam kerana sakit hati disebabkan tidak dapat menjadi pemimpin utama
di Madinah. Islam tampak menyerlah dan mereka mula ditinggalkan.
Dalam pada
permasalahan kaum Yahudi dan kaum Munafiq berkecamuk membebani Rasulullah saw,
datang pula kumpulan Nasrani Najran ke Madinah untuk mengambil kesempatan
meluaskan pengaruh mereka di Jazirah Arab. Mereka telah datang kepada Nabi saw
seramai 60 orang dengan berpakaian mewah dan membawa hadiah-hadiah seperti
karpet berbulu dari Yamen. Mereka telah mempersoalkan ketuhanan Nabi ‘Isa a.s.
Masing-masing mempertahankan kepercayaan mereka bahawa Nabi ‘Isa a.s itu putera
Tuhan dan terdapat tiga Tuhan.
Perubahan qiblat dan fitnah yang dihadapi.
Persoalan mengadap
qiblat kearah Baitul-Maqdis, iaitu qiblat bagi kaum Yahudi dan Nasara telah
menjadi punca alasan kepada kaum Yahudi untuk menolak kemasukan mereka ke dalam
agama Islam kerana orang Islam telah mengiktiraf qiblat mereka. Ini menunjukkan
bahawa agama mereka adalah benar. Qiblat mereka adalah yang sebenar dan
merekalah yang asal. Orang Islam sepatutnya berpegang kepada agama mereka.
Inilah hujjah mereka untuk meragu-ragukan pengikut Nabi Muhammad saw dan
penduduk sekitarnya.
Bagi kaum
Muslimin pula, perubahan ini adalah suatu yang sangat sukar bagi mereka. Sejak
dilahirkan mereka memuliakan Baitullah dan berqiblatkannya. Ditambah lagi
dengan hujjah kaum Yahudi yang meragukan itu.
Oleh yang
demikian, Rasulullah saw seringkali menengadah mukanya ke langit bertawajjuh
kepada Allah tanpa sepatah kata kerana menjaga adab sopannya terhadap Allah swt
dan menunggu arahan-Nya yang menyukakan baginda.
Kemudian
turunlah ayat al-Baqarah:144
“Sesungguhnya Kami melihat engkau
kerapkali menengadah mukamu ke langit, dan sesungguhnya Kami berkenan
memalingkanmu kearah qiblat yang disukaimu. Oleh itu hadapilah mukamu kearah
Masjidil-Haram, dan di mana sahaja kamu berada, maka halakanlah muka kamu ke
arahnya.”
Peristiwa ini
berlaku di dalam bulan yang ke 16
atau ke 17 Hijrah. Menurut riwayat yang masyhur, ketika itu Nabi saw sedang
mengerjakan solat ‘Asar bersama sahabat-sahabatnya. Dan ketika itu juga Nabi
saw memalingkan mukanya ke Baitullah. Sekalian sahabat-sahabat yang menjadi ma’mum
ketika itupun lalu ikut apa yang dilakukan oleh Nabi saw.
Sekali lagi
kaum Yahudi di Madinah, kaum Munafiqun dan kaum Musyrikin di Makkah gempar dan menabur
fitnah. Kaum Yahudi sebenarnya terasa terkilan dengan pertukaran semula qiblat
ini kerana tiada lagi hujjah kukuh yang selama ini menjadi alasan mereka dalam
menunjukkan keangkuhan dan kesombongan mereka. Pendeta Yahudi telah datang
berjumpa dengan Rasulullah saw seraya berkata;
“Ya Muhammad, mengapa engkau sekarang
pindah qiblat yang telah engkau hadapi, padahal engkau katanya seorang nabi
yang mengikut agama Nabi Ibrahim? Tetapi sekarang terbukti menyalahi qiblat
Nabi Ibrahim dan nabi-nabi dari Bani Israil dahulu, maka dari itu kembalilah
menghadap ke Baitul-Maqdis, nanti kita akan mengikut dan membenarkan seruanmu.”
Kaum
Musyrikin di Makkah pula berkata;
“Muhammad ini memang selamanya tidak
mempunyai pendirian yang tetap. Nanti dia kembali semula berqiblatkan
Baitul-Maqdis. Siapa yang ikut dia adalah orang yang bodoh.”
Kaum
Munafiqun berkata;
“Kalau qiblat yang dihadapi oleh
Muhammad yang dulu itu benar, maka qiblat yang sekarang ini salah. Jika qiblat
yang dahulu itu salah, maka qiblat yang sekarang ini yang benar. Tetapi mengapa
dia tidak menyatakan yang sebenarnya kepada kita?”
Kaum Yahudi menimbulkan
lagi keraguan kepada kaum Muslimin dengan kata-kata;
“ Jika menghala ke qiblat
Baitul-Maqdis tidak itu tidak sah, maka solat kamu di sepanjang masa ini
tentulah sia-sia sahaja. Dan jika penghalaan ke qiblat Baitul-Maqdis itu benar,
maka penghalaan yang baru ke Masjidil-Haram itu adalah tidak benar dan ia akan
menghilangkan pahala segala solat kamu yang menghadap ke arahnya.”
Mereka
berkata lagi; “ Pemansukhan dan perubahan
perintah-perintah atau ayat-ayat itu tidak sekali-kali terbit dari Allah. Inilah
bukti bahawa Muhammad tidak menerima wahyu dari Allah.”
Penghinaan
semua ini dijawab oleh Allah swt dengan berfirman;
“Orang-orang
bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: Apa sebabnya yang
menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya
selama ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Timur dan barat adalah kepunyaan Allah
(maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita
mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya ke jalan yang lurus. (142) Dan demikianlah (sebagaimana Kami
telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat
Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang
yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)
dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran
perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan
kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk
menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang
benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling
tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat)
itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah
diberikan Allah petunjuk hidayat” –QS al-Baqarah:142-143
Kemudian,
pada suatu ketika Nabi saw mendapat pertanyaan dari sebahagian
sahabat-sahabatnya;
“Ya Rasulullah bagaimana hukum
mereka(sahabat-sahabat) yang telah meninggal lebih dahulu sebelum terjadi
pindah semula qiblat ini? Apakah amal mereka yang sudah-sudah diterima oleh
Allah?”
Pada
waktu itu Rasulullah saw tidak memberi jawapan atas pertanyaan mereka tadi,
kemudian Allah swt menurunkan wahyu-Nya;
“Dan tidaklah Allah akan
menyia-nyiakan iman kamu, kerana sesungguhnya Allah itu pada manusia Penyayang
lagi Pengasih.” – QS al-Baqarah:143
Pengajaran daripada
peristiwa ini:
1.
Peristiwa
ini merupakan satu peristiwa yang besar di dalam sejarah pertumbuhan jama’ah
Muslimin dan ia mempunyai kesan yang besar di dalam kehidupan mereka.
2.
Arah
atau tempat menghadap untuk solat itu hanyalah lambang-lambang kelainan dan
pengkhususan. Kelainan dan khusus dalam pemikiran, kefahaman, sahsiah, matlamat
, minat, cita-cita dan identiti.
3.
Allah
swt inginkan Baitullah sebagai rumah suci Allah, bukan rumah suci bagi
orang-orang Arab yang ditokok tambah sifat dan cirinya. Maka berlaku penyucian
hati dan matlamat bagi kaum Muslimin dengan peristiwa ini.
4.
Perubahan
qiblat yang pertama, dari Ka’abah ke Masjidil-Aqsa adalah suatu pendidikan yang
ditunjukkan oleh sepotong ayat;
“
(Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan
tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai
Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami
tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa
pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya)” – QS al-Baqarah:143
Orang
Arab sentiasa memuliakan Baitullah di zaman Jahiliyah. Ia adalah lambang
kemuliaan bangsa mereka. Dengan peristiwa ini, Allah swt ingin membersihkan hati mereka supaya bulat kepada Allah semata-mata. Bersih
dari kemegahan perkauman dan semangat fanatik bangsa. Menghilangkan penyakit
asobiyah Jahiliyah.
5.
Apabila
perintah kembali berqiblatkan Baitullah, ini mematahkan hujjah kaum Yahudi tentang
kebenaran mereka. Umat Musliminlah yang menjadi pewaris janji Allah dengan Nabi
Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s.
6.
Peristiwa
ini sebagai peringatan kepada Rasulullah saw dan umat Islam keseluruhannya supaya
jangan sekali-kali mengikuti kemauan kaum Yahudi dan Nasara dan jangan
sekali-kali terpengaruh dengan pemikiran mereka yang menarik. Bahkan tidak usah
menaruh harapan kepada mereka untuk beriman dan mengikut agama Islam.
Sesungguhnya mereka sudah mengakui kebenaran Nabi Muhammad saw tetapi memang
sengaja mereka ingkar.
“Dan demi jika engkau
datangkan pada orang-orang yang telah diberi Kitab dengan tiap-tiap keterangan,
niscaya mereka tidak juga mengikut qiblat engkau, dan engkau pun tidak akan
mengikut qiblat mereka; dan tidak pula sebahagian mereka akan mengikut qiblat
sebahagian yang lain. Dan demi jika engkau mengikut kemauan mereka itu, sesudah
datang kepada engkau ilmu pengetahuan, sesungguhnya engkau seketika itu
termasuk daripada golongan orang-orang yang menganiaya.” – QS al-Baqarah:145
7.
Kaum
Muslimin mestilah sentiasa berwaspada terhadap gerak-geri dan langkah-langkah
mereka terhadap kelicikan mereka memutar belitkan ayat-ayat Allah swt. Mereka
mempunyai sifat-sifat munafiq.
“Apakah kamu berangan-angan bahawa
mereka akan beriman kepada kamu, sedangkan segolongan dari mereka telah pun
mendengar kalam Allah kemudian mereka ubahkannya setelah mereka memahaminya,
sedangkan mereka tahu.”
– QS al-Baqarah:75
8.
Dakwah
Islam bukanlah dakwah fanatik. Sebaliknya ia memperjuangkan kesatuan umat di
atas asas Islam semata-mata untuk kebaikan dan kebenaran.
9.
Umat
Islam mestilah menunjukkan identiti sendiri. Qiblat yang tersendiri, sahsiah
yang tersendiri, mempunyai keistimewaan dan tidak perlu mematuhi sesiapa
kecuali kepada Allah swt yang telah memilih mereka sebagai khalifah.
“Selamanya kaum Yahudi dan kaum
Nasrani tidak akan berpuas hati sehingga engkau mengikut agama mereka.
Katakanlah; Sesungguhnya hidayat Allah itulah hidayat yang sebenar. Jika engkau
mengikut kehendak nafsu mereka setelah datang kepadamu ilmu yang sebenar, maka
tiada lagi pelindung dan penolong yang dapat menyelamatkan engkau dari ‘azab
Allah.” – QS
al-Baqarah:120
Wallahu’alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan