19 November 2012

4.21 KISAH PERTEMPURAN THALUT MELAWAN JALUT (al-Baqarah 246 – 252)


Peristiwa ini berlaku sewaktu pimpinan Bani Israil, yakni selepas kewafatan Nabi Musa a.s. Bani Israil adalah suatu kaum yang mempunyai ramai nabi-nabi, di dalam sejarah mereka yang panjang.

Pada suatu ketika, para pembesar dan cerdik pandai Bani Israil telah berkumpul dan menemui nabi mereka (tidak disebut nama nabi itu di dalam al-Qur’an) supaya dapat melantik seorang raja/pemimpin yang dapat menentang Jalut dalam peperangan fi sabilillah.

“Apakah tidak kamu melihat kepada pemimpin-pemimpin dari Bani Israil selepas Musa wafat, ketika mereka berkata kepada seorang nabi mereka: Angkatlah untuk kami seorang raja agar kami dapat berperang fi Sabilillah” – al-Baqarah:246

Permintaan untuk perang Fi Sabilillah ini menggambarkan seolah-olah timbul kesedaran keimanan di dalam jiwa mereka. Sekaligus menunjukkan mereka menganut agama Allah yang benar dan musuh mereka adalah bathil, sesat dan kafir.

Kemudian nabi mereka ingin memastikan sejauh manakah keazaman dan kekukuhan niat mereka untuk melaksanakan tugas berat ini. Juga ketaatan mereka kepada kata-kata seorang nabi sepertinya.

“Kata (nabi mereka); Apakah mungkin jika kamu diwajibkan berperang bahawa kamu tidak mahu berperang?” – al-Baqarah:246

Kebimbangan Nabi mereka adalah disebabkan jika dia bersetuju dengan permintaan tersebut, maka peperangan akan menjadi satu kefardhuan ke atas kaumnya. Adalah wajib bagi mereka taat kepada arahan nabi dengan tidak berbelah bagi.

Oleh kerana keghairahan dan semangat ingin berjuang melonjak-lonjak, mereka berkata;

“Mengapa kami tidak mahu berperang fi sabilillah, sedangkan kami telah diusir dari kampung halaman kami dan (dipisahkan dari) anak-anak kami?” – QS al-Baqarah:246

Hati mereka bertekad bahawa satu-satunya jalan yang ada ialah berperang. Ini adalah kerana mereka telah diusir dari kampung halaman dan anak-anak mereka telah ditawan.
Malangnya apabila peperangan benar-benar diarahkan, ramai yang mula berdolak-dalih, cuba mengingkari janji, tidak lagi taat kepada nabi mereka, mula berpecah-belah dan berpaling dari kebenaran. Inilah sifat-sifat buruk Bani Israil sejak dahulu lagi.

“Maka apabila peperangan telah diwajibkan ke atas mereka, mereka berpaling darinya kecuali sebahagian kecil daripada mereka. Dan Allah itu Maha Mengetahui terhadap orang-orang yang zalim.” QS- al-Baqarah:246

Allah swt mengecam mereka yang berpaling dari kewajipan berjihad (perang). Bukan sahaja mereka telah menzalimi diri mereka sendiri, malah mereka telah menzalimi nabi mereka dan menzalimi perjuangan yang benar.

Kemudian nabi mereka mengkhabarkan kepada mereka;

“Allah telah mengangkatkan Thalut sebagai raja kamu.” QS-al-Baqarah:247

Mendengarkan demikian, ada lagi pula yang mula membantah. Mereka merasakan bahawa Thalut tidak layak menjadi raja mereka kerana dia tidak setaraf dengan mereka. Malah Thalut adalah seorang yang miskin. Oleh itu dia tidak berhak menerima warisan sebagai seorang raja. Mereka telah berkata kepada nabi mereka itu;

“Bagaimana Thalut diberi kuasa memerintah kami sedangkan kami lebih berhak darinya memegang kuasa pemerintahan itu, lagi pula dia tidak diberikan harta kekayaan yang luas?” QS- al-Baqarah:247

Nabi mereka menjawab;

“Sesungguhnya Allah telah memilihnya untuk memerintah kamu dan Dia telah menambahkan kepadanya keluasan ilmu pengetahuan dan keperkasaan tubuh badan dan Allah mengurniakan kuasa pemerintahan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui.” QS- al-Baqarah:247

Nabi mereka menjelaskan bahawa Thalut adalah seorang yang dipilih oleh Allah, mempunyai kelebihan ilmu pengetahuan, mempunyai kekuatan jasmani dan yakinlah bahawa Allah swt lebih mengetahui siapakah yang lebih layak memikul tugas raja ini.
Demi meyakinkan hati-hati mereka, mereka ingin melihat suatu mu’jizat secara zahir yang membuktikan bahawa Thalut adalah pilihan Allah swt. Ini juga satu sifat buruk yang selalu dimiliki oleh Bani Israil.

Kemudian nabi mereka berkata;

“Sesungguhnya tanda kelayakannya menjadi raja ialah datangnya Tabut kepada kamu yang mengandungi ketenteraman dari Tuhan kamu dan sisa-sisa dari peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun dibawa oleh para malaikat. Sesungguhnya kejadian itu sebagai tanda kepada kamu jika kamu benar orang-orang yang beriman.” QS-al-Baqarah:248

Selepas kewafatan Nabi Musa a.s di al-Tiih, Nabi Yusya’ bin Nun bersama Bani Israil keluar dari al-Tiih menuju ke Baitul-Maqdis. Mereka berjaya menakluki Baitul-Maqdis dan merampas harta rampasan termasuk peninggalan-peninggalan suci mereka iaitu sebuah peti atau Tabut yang mengandungi barang-barang peninggalan para ambia’ dari keluarga Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s. Menurut satu riwayat peti itu mengandungi naskah loh-loh Taurat yang dikurniakan kepada Nabi Musa a.s di atas bukit Tursina. Inilah Mu’jizat yang akan mereka lihat, ia dibawa oleh para malaikat dan hati mereka akan merasa tenang dan tenteram olehnya. Mu’jizat ini telah berjaya meyakinkan kaum Bani Israil.

Seterusnya, Thalut mempersiapkan tenteranya yang masih tinggal dan membawa mereka ke medan perang seraya berkata;

“Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebuah sungai. Sesiapa yang minum dari sungai itu, maka dia bukan dari pengikutku kecuali orang yang mencedok secedok dengan tangannya. Lalu mereka minum air sungai itu kecuali sedikit sahaja dari mereka.” QS al-Baqarah:249

Ternyata tentera-tenteranya teruji dengan kesabaran, kepatuhan kepada ketua dan kesanggupan menghadapi kesusahan dalam memikul tugas. Ujian demi ujian mereka tempuhi, akhirnya hanya sedikit dari kalangan mereka yang berjaya. Kebanyakan daripada mereka telah meminum air sungai dengan sepuas-puasnya dan menyerah kalah untuk tidak terus berjuang.

Ujian-ujian ini telah dapat menapis keimanan angkatan tentera Thalut;

“Dan apabila Thalut dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya menyeberangi sungai itu, mereka pun berkata: Kami tidak mempunyai tenaga kekuatan lagi pada hari ini untuk melawan Jalut dan tentera-tenteranya.” QS al-Baqarah:249

Kini Thalut bersama dengan tenteranya yang beriman, namun sebahagian daripada mereka mula berasa gentar apabila melihat tentera Jalut yang ramai bilangannya. Keimanan mereka masih belum sempurna kerana mereka lupa dengan kekuasaan Allah swt yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.

Manakala kumpulan kecil Mukmin yang sejati berkata;

“Lalu berkatalah orang-orang yang yakin bahawa mereka akan tetap menemui Allah: Berapa banyak peristiwa kumpulan yang sedikit telah mengalahkan kumpulan yang banyak dengan keizinan Allah, dan Allah itu bersama-sama orang-orang yang sabar.” QS al-Baqarah:249

Kemenangan pasti akan dicapai oleh mereka yang berhubung rapat dengan sumber kekuatan yang tiada tolok bandingnya lagi iaitu kekuatan dari Allah swt yang menguasai segala urusan. Kemenangan diserahkan kepada Allah swt; Dengan keizinan Allah, dan Allah itu bersama-sama orang-orang yang sabar.”

Mereka juga memperbaharui janji mereka dengan Allah swt dan bertawajjuh kepada-Nya dengan hati mereka. Mereka juga memohon pertolongan dan kemenangan dalam menghadapi peperangan ini.

“Dan apabila (mereka yang beriman) keluar menentang Jalut dan tenteranya mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Curahkanlah kesabaran ke atas kami dan kukuhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami mengalahkan kaum yang kafir.” QS al-Baqarah:250

Inilah doa yang tulus ikhlas kepada Allah swt. Oleh yang demikian Allah swt telah mencurahkan kesabaran keatas mereka dan membuatkan mereka diselubungi dengan ketenangan, ketenteraman dan ketabahan menghadapi kesusahan. Apabila Allah swt meneguhkan pendirian mereka, maka ia tidak akan bergoncang lagi.

“Lalu mereka mengalahkan musuh mereka dengan keizinan Allah dan Daud telah membunuh Jalut dan Allah mengurniakan kepadanya kerajaan dan hikmat dan mengajarkan kepadanya sebahagian dari ilmu yang dikehendaki-Nya.” QS al-Baqarah:251

Kemenangan adalah milik Allah swt. Anugerah ini adalah untuk Mukmin kesayangan-Nya yang melaksanakan kehendak-Nya dengan tiada kepentingan diri sendiri. Niat yang baik dan keazaman yang kukuh untuk terus taat dan bertawajjuh kepada Yang Esa dengan penuh keikhlasan.

Nabi Daud a.s ketika itu adalah seorang anak muda Bani Israil yang masih belia, sedangkan Jalut adalah seorang raja yang gagah perkasa dan seorang panglima perang yang sangat ditakuti. Namun urusan hidup tidak berlangsung mengikut keadaan-keadaannya yang lahiriyah tetapi ia berlangsung mengikut hakikat-hakikatnya yang berada di tangan Allah swt.
Kematian Jalut kelihatan sangat mudah ditangan Nabi Daud a.s. Malah baginda telah menerima teraju pemerintahan daripada Thalut. Kemudian mewariskannya kepada putera beliau iaitu Nabi Sulaiman a.s. Zaman Nabi Daud a.s adalah zaman keemasan bagi Bani Israil.

Di dalam masa yang sama, Nabi Daud a.s diangkat sebagai seorang nabi. Allah swt telah mengajarkan beliau ilmu pertukangan membuat baju besi dan alat-alat perang.

Tujuan sebenar pertarungan ini ialah untuk mewujudkan kebaikan di bumi dan menguatkannya melawan kejahatan dan pencerobohan.

“Dan andainya Allah tidak menolak pencerobohan setengah yang lain tentulah bumi menjadi rosak, tetapi Allah mempunyai limpah kurnia ke atas semesta alam.” QS al-Baqarah:251

Allah swt mengakhiri kisah ini dengan firman-Nya;

“Itulah ayat-ayat Allah yang Kami bacakannya kepadamu dengan membawa kebenaran dan sesungguhnya engkau adalah dari nabi-nabi yang diutuskan(Allah).” QS al-Baqarah:252

Kisah ini adalah kisah benar. Allah swt sendiri yang membacakannya sebagai pedoman kepada Rasulullah saw dan umatnya terhadap umat yang terdahulu.


Pengajaran yang boleh diambil:


1.    Bani Israil biasanya mempunyai sifat yang suka memungkiri janji, mengelak dari ketaatan, enggan melaksanakan tugas, berpecah-belah dan berpaling dari kebenaran yang jelas. Sifat-sifat ini hendaklah dijauhi oleh orang-orang Islam. Untuk mengubahnya memerlukan tarbiyah yang berkesan dan memakan masa yang agak lama.

2.    Orang yang berpaling dari perjuangan dan enggan memikul tugas kebenaran untuk menentang kebathilan adalah termasuk di dalam golongan yang zalim.

3.    Di dalam ketenteraan, orang yang tidak tahan diuji dan cepat mengalah dengan kesusahan adalah orang-orang yang patut dikeluarkan dari barisan perjuangan kerana mereka merupakan benih-benih kelemahan dan kekalahan.

4.    Berniat berjuang Fi Sabilillah sahaja tidak mencukupi. Ia akan teruji secara amali/praktikal.

5.    Kemenangan yang hakiki adalah melalui kekuatan aqidah dan iradat Ilahi. Bukannya tertakluk kepada kekuatan kebendaan dan majoriti.

6.    Hubungan jiwa dengan Allah swt perlulah tinggi dan ikhlas. Ini dapat direalisasikan melalui doa-doa yang mathur.

7.    Kepimpinan hanya akan diberi kepada seorang Mukmin yang sejati, taat dan patuh terhadap kehendak Sang Pencipta yang memiliki segala urusan di langit dan di bumi.

 
Wallahu’alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan