07 November 2012

5.6 AL-BAQARAH(SAPI BETINA) Bahagian 2


Juzuk 2

Topik perbincangan: Suruhan dan larangan adalah perlu untuk khalifah

Sikap yang perlu ada bagi orang Mukmin juga sebagai seorang khalifah ialah:
a.       Taat perintah Allah swt.
b.      Bertamayyuz dan bertawazzun.
c.       Bertaqwa kepada Allah swt.   
  
1.       Mengikut apa sahaja suruhan Allah swt tanpa banyak soal(Taat).

Ujian ketaatan pertama: Peralihan Qiblat
Al-Baqarah:142 (m/s 22 di dalam mushaf)-sebanyak 2 mukasurat.

“Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus. (142)”


(Kedudukan Jerusalem(Baitul Maqdis – Masjidil Aqsa), Al-Madinah dan Makkah)


Semasa di Makkah, kaum Muslimin berqiblatkan Masjidil al-Haram. Ia juga merupakan qiblat Nabi Ibrahim a.s. Setelah berhijrah ke Madinah, mereka masih berqiblatkan di Makkah tempat tumpah darah mereka yang sangat disayangi sehinggalah Rasulullah saw mendapat arahan dari Ilahi supaya berqiblatkan Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis sedangkan ia adalah qiblat bagi orang-orang Yahudi sehingga kini.

Arahan ini menyebabkan ramai dikalangan kaum Muslimin menjadi keliru, kerana pada pemikiran mereka adakah perlu mengikut qiblat orang-orang Yahudi? Sudah tentu mereka akan dicerca dan disindir oleh orang-orang Yahudi.

Namun, mereka tetap menukar qiblat mereka dengan hati yang berat, kerana tetap taat dengan Rasulullah saw. Mengikut sirah, mereka terpaksa mengadap ke Baitul Maqdis selama 16 – 17 bulan. Kemudian mereka disuruh menukar semula qiblat menghadap ke Makkah selepas turunnya ayat supaya berqiblatkan Masjidil al-Haram (al-Baqarah:144) .

“….Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya)…..” – QS al-Baqarah:142

Segalanya milik Allah swt. Arah mana sekali pun tidak penting bagi-Nya. Yang penting adalah ketaatan kepada kehendak atau perintah-Nya.

Ini satu bentuk ujian dari Allah swt untuk mengetahui mana satukah di kalangan manusia yang beriman kepada ayat-Nya;

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayat dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman). (143)”- QS al-Baqarah:143
1.       Tamayyuz dan Tawazzun(Perbezaan dan Seimbang)

Ujian ketaatan kedua: Sa’i di Safa dan Marwah

Seorang khalifah yang Mukmin perlu berbeza dari segi sikap, perasaan, iman dan seluruh cara hidupnya berbanding dengan orang-orang kafir.

Peristiwa peralihan Qiblat selama 16 – 17 bulan ini juga sudah cukup untuk mengajar kaum Muslimin supaya tidak terlalu ta’sub kepada tanah air tempat tumpah darah mereka. Mereka mesti bersih dari sikap asobiyah Jahiliyah.

Satu lagi ujian dan didikan Allah swt terhadap orang Mukmin ialah bersa’i di Safa dan Marwah.

“Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah dia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.” – QS al-Baqarah:158

Hasil dari penurunan ayat peralihan qiblat, kaum Muslimin menjadi terlalu ekstrem menunjukkan perbezaan mereka daripada orang-orang kafir. Perbuatan Sa’i antara Safa dan Marwah adalah perbuatan biasa bagi peribadatan orang-orang Yahudi di masa itu. Sepatutnya mereka perlu berbeza dan tidak bersa’i seperti orang-orang Yahudi ini. Lagi pun di bukit Safa telah diletakkan berhala bernama Aasaf, manakala di Marwah diletakkan berhala bernama Nailah. Oleh sebab itu para sahabat Nabi saw tidak berasa selesa untuk bersa’i. Ayat al-Baqarah:158 ini menerangkan Allah swt membenarkan perbuatan sa’i  kerana ia adalah sebahagian daripada Syi’ar Allah swt. Lagi pun asal usul sa’i antara Safa dan Marwah adalah kerana mengikuti Nabi Ibrahim a.s.

Justeru itu, terdidiklah kaum Muslimin dengan peribadi yang berbeza dengan kaum kafir tetapi tidak semua yang dilakukan oleh kaum Musyrikin adalah tidak baik. Mana-mana yang baik, boleh dilaksanakan selagi tidak bercanggah dengan syari’at Allah swt. Tidak terlalu ta’sub kepada sesuatu sehingga menyebabkan tiada petimbangan. Maka, sikap yang perlu ada bagi setiap Mukmin ialah berbeza dengan kaum kafir kerana mempunyai pendirian sendiri, namun perlu juga seimbang.

Ketiga-tiga sikap ini berjalan seiringan dalam proses pengislahan yang menyeluruh. Ianya teruji dengan suruhan pelaksanaan hukum-hukum syari’at yang juga untuk kebaikan dalam kehidupan.


2.       Pelaksanaan hukum-hukum Allah swt.

Ujian ketaatan ketiga: Syumul Islah dan Kebaikan

Pembersihan jiwa mestilah secara keseluruhan dan total kehadrat Allah swt. Pembersihan meliputi semua perkara kebaikan atau kebajikan.

Firman Allah swt dalam al-Baqarah:177,

“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa.”

Para ulama’ menyatakan bahawa ayat ini mencakupi keseluruhan Islam. Iaitu mencakupi aqidah, ibadah, mu’amalah dan akhlak yang baik(rujuk tafsir untuk kefahaman lanjut).

Di dalam Fi Zilalil Qur’an, perkara kebajikan yang di maksudkan ialah yang melibatkan pandangan, kefahaman, perasaan, tindakan-tindakan atau perilaku. Kefahamannya itu akan memberi kesan kepada hati dan kemudian tindakannya akan memberi kesan kepada kehidupan seharian sama ada kepada individu atau masyarakat.

Ujian Ketaatan keempat: Syumul Islah secara praktikal

Seterusnya, seorang khalifah perlu melaksanakan hukum-hukum Allah swt seperti:

1.       Hukum Pidana/Jina’i (ayat 178-179)

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: Orang merdeka dengan orang merdeka dan hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa) dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (178) Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa. (179)”

Ini adalah peraturan bermasyarakat yang diikat dengan semangat ketaqwaan dan khasyiah kepada Allah swt. Oleh itu seruan atau kefardhuan ini adalah untuk orang yang beriman supaya mereka memikirkan hikmah-hikmah tersembunyi di sebalik kefardhuan ini.

Allah swt juga memperlihatkan ni’mat dan rahmat-Nya dengan mengurniakan undang-undang diat ini yang mengandungi keringanan dan kasihan belas kepada orang-orang yang beriman. Undang-undang ini tidak diberikan kepada Bani Israil di dalam kitab Taurat.

Keadilan yang tegas ini dapat mematahkan kejahatan jiwa dan memadamkan dendam kesumat di dalam hati dan dapat mencegah penjenayah dari melanjutkan jenayahnya, tetapi dalam waktu yang sama Islam menggalakkan kearah kema’afan.

2.       Hukum Waris (ayat 180)
“Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa. (180)”

Ini merupakan satu bentuk takaful am kekeluargaan di luar sempadan pusaka. Seseorang itu tidak dibenarkan menganiaya para pewaris dan tidak dibenarkan juga mengabaikan kerabat-kerabat yang bukan pewaris. Semua ini mestilah berpandukan ketaqwaan dengan adil dan saksama. As-sunnah telah membataskan wasiat itu tidak melebihi kadar satu pertiga, dan satu perempat itu adalah lebih afdhal supaya kepentingan pihak para pewaris tidak digugat dengan kerabat yang bukan pewaris. Inilah sifat peraturan-peraturan kemasyarakatan yang diwujudkan oleh Islam dengan penuh kelarasan dan aman damai.

3.       Ibadah: Puasa (ayat 183)
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (183)”

Allah swt mengetahui bahawa pelaksanaan hukum ini memerlukan jiwa yang bertaqwa, perasaan yang jernih hening, kesedaran yang peka dan rasa takut kepada-Nya. Oleh itu jiwa-jiwa ini perlu ditolong, didorong, dan dirangsang supaya hukum-hukum yang difardhukan dapat dilaksana dengan senang hati dan yakin. Inilah tujuan utama puasa supaya setiap jiwa mencapai ketaqwaan.

Maka, kebanyakan ayat hukum akan beserta dengan saranan supaya bertaqwa.
“……Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa. (187)”

4.       Jihad dan qital(perang)
Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. (190) Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar Masjidilharam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir. (191)” – QS al-Baqarah:190-191

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (195)” – QS al-Baqarah:195

Pada awal zaman Makkah adalah dilarang berperang. Tujuannya supaya jiwa para Mukminin terbiasa dengan bersabar menjunjung perintah dan patuh kepada kepimpinan dan menunggu keizinan. Ia juga supaya terwujud imbangan di antara perasaan terburu-buru dengan tindakan yang berhikmat dan imbangan di antara semangat berkobar-kobar dengan sikap yang berhati-hati.

Jihad bukanlah untuk menumpahkan darah semata-mata. Tetapi untuk memelihara agama Allah swt daripada serangan musuh yang melampaui batas. Infaq dijalan Allah swt juga termasuk dalam jihad.

5.       Haji
Nabi Ibrahim a.s berdoa;
“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (128)”

Jawapan bagi doa Nabi Ibrahim a.s ini diterangkan dalam ayat 196-200. Haji adalah persiapan awal untuk menghadapi perang. Oleh itu di dalam surah ini haji diterangkan selepas penerangan jihad. Keluar berjihad fisabilullah memerlukan jiwa yang bersih daripada penyakit-penyakit rohani. Perbuatan haji melatih individu untuk persediaan mental, fizikal dan rohaniyah.  

6.       Hukum Berkeluarga.

Pembangunan keluarga adalah suatu yang sangat berat. Persiapan jiwa seperti ketaatan kepada Allah swt, taqwa, puasa dan haji adalah diperlukan. Oleh itu ia diterangkan di akhir-akhir surah bagi menghadapi permasalahan seperti pernikahan, perceraian, penyusuan, dan peminangan (khitbah). Diingatkan lagi dengan ayat bahawa Allah swt Maha Melihat dan Maha Mengetahui apa sahaja yang dikerjakan serta bertaqwalah.
“…….Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.” – QS al-Baqarah:234

“Dan pemaafan kamu itu lebih dekat kepada taqwa.” –QS al-Baqarah:237

Ujian kelima: Memasuki Islam secara keseluruhan

Rukun Islam

Rukun Islam telah diterangkan dengan terperinci dalam surah al-Baqarah ini yang meliputi syahadatain(ayat 3), solat(ayat 238), puasa(ayat 183), haji(ayat 196-200) dan zakat(ayat 43). Termasuklah penerangan tentang infaq dan riba.

Saranan penting dari Allah swt selepas penurunan ayat-ayat hukum ini ialah supaya setiap Muslimin masuk ke dalam Islam secara sempurna dan menyeluruh (ayat 208).

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (208)”

Bukannya mengambil sebahagian hukum yang disukai sahaja.

“…maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?....” – QS al-Baqarah:85 

Pelaksanaan syari’at secara syumul memerlukan jiwa yang bertaqwa. Mukmin yang bertaqwa adalah lahir dari sistem pentarbiyahan sebagaimana pentarbiyahan Rasulullah saw mentazkiyah para sahabat dan umat sezaman dengannya. Sistem usrah patut diperluaskan sebagai pelengkap kepada semua sistem tarbiyah terutama pembersihan rohani yang telah bercampur baur dengan perkara yang bathil.

Penutup juzuk 2

Ayat 246 hingga 252 mengungkap pertempuran Thalut melawan Jalut. Allah swt ingin memaparkan sekolompok Bani Israil yang berjaya dan sekolompok lagi gagal. Kejayaan dan kegagalan tertakluk kepada;
1.       Ketaatan
2.       Ketaqwaan
3.       Kesediaan mental dan fizikal

Kegagalan disebabkan;
1.       Mengabaikan perintah Allah swt
2.       Berpaling setelah diperintah berperang
3.       Tidak taat kepada Nabi
4.       Tidak lulus ujian dengan meminum air sungai
5.       Hanya mengukur kemenangan dan kekalahan secara mata kasar/material sahaja
6.       Takut menghadapi musuh

Semua sebab-sebab kegagalan ini menunjukkan bahawa pemilik jiwa sebegini tidak layak mengusung manhaj dan tidak layak memegang kepimpinan di muka bumi(khalifah). Sungguh cantik susunan dan paparan di dalam al-Qur’an. Lengkap dengan arahan dan larangan, kemudian diberikan contoh-contoh sebagai sokongan kefahaman. Sesungguhnya Allah swt sangat Halus dan Teliti dalam semua perkara.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan