23 November 2012

4.22 AYAT KURSI (al-Baqarah:255)


                                                        بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ  

ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ‌ۚ لَا تَأۡخُذُهُ ۥ سِنَةٌ۬ وَلَا نَوۡمٌ۬‌ۚ لَّهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشۡفَعُ عِندَهُ ۥۤ إِلَّا بِإِذۡنِهِۦ‌ۚ يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡ‌ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىۡءٍ۬ مِّنۡ عِلۡمِهِۦۤ إِلَّا بِمَا شَآءَ‌ۚ وَسِعَ كُرۡسِيُّهُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ‌ۖ وَلَا يَـُٔودُهُ ۥ حِفۡظُهُمَا‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ (٢٥٥)
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya). (255)

Dengarkan bacaannya menerusi :   http://www.youtube.com/watch?v=FkKO_NEfBXY 

Ayat Kursi ini adalah ayat aqidah/tauhid. Diturunkan di Madinah (ayat Madaniyah).

Perkaitan ayat

Ayat 253: Menggesa manusia berjihad mengorbankan jiwa. Para Rasul a.s. mempunyai kelebihan yang berbeza-beza. Namun seruan dan misi mereka adalah sama yakni seruan tauhid.

Ayat 254: Menggesa manusia mengorbankan harta ke jalan Fi Sabilillah sementara masih berada di dunia.

Ayat 255 (ayat Kursi): Menetapkan prinsip tauhid dan asas peribadatan. Semua amalan (termasuk amalan pengorbanan jiwa dan harta seperti ayat 253 dan 254) mestilah berpaksikan Allah SWT. Ia membangkitkan rasa kebesaran dan kekuasaan-Nya. Oleh itu, manusia sebagai hamba amat patut mematuhi perintah dan tunduk kepada hukum-hakam Allah SWT (Kami dengar dan kami taat).

Kefahaman ayat Kursi yang jelas sehingga mampu meresap keyakinan di dalam hati adalah amat penting kerana ia merupakan asas  seluruh sistem hidup Islam. Jika kefahaman dan keyakinan ini masih belum tertanam di dalam hati, maka sukar bagi individu itu untuk patuh dan taat kepada sistem hidup yang dikendaki oleh Allah SWT. Amalannya belum tentu diterima sebagai amalan yang ikhlas.

Perlu diingatkan bahawa lawan bagi ikhlas adalah syirik. Jika kita telah melaksanakan amalan yang syirik, maka amalan itu ditolak dan tidak diterima oleh Allah SWT walaupun percampurannya dalam amalan hanya bernilai  0.1% sahaja, amalan itu tetap dikira sebagai amalan yang tidak ikhlas. Perbanyakkan beristighfar dan berdoa semoga tidak melakukan perkara-perkara yang syirik.

Konsep Wahdaniyah (Esa atau tunggal)

ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ
“Allah, tiada Tuhan melainkan Dia.”

ALLAH itu Esa pada Zat-Nya, Sifat-Nya dan Perbuatan-Nya. Tiada suatu pun yang menyerupai dari segi Zat, Sifat dan perbuatan Allah SWT.
Ini adalah satu ketegasan yang jelas bahawa hanya Allah SWT satu-satunya Tuhan Yang patut disembah, Allah yang dimuliakan, Allah yang diagongkan; Allah yang dipatuhi; Allah yang ditaati; Allah yang digeruni dan segala amalan-amalan hanyalah ditujukan kerana Dia. Inilah konsep paling asas mesti wujud di dalam hati untuk mewujudkan seluruh sistem hidup Islam.
Selepas daripada ini akan wujud konsep bertawajjuh kepada Allah Yang Maha Esa dengan memusatkan perhambaan, ketaatan, kepatuhan dan segala amalan hanyalah kepada Allah Tuhan Semesta Alam. Peraturan atau sistem yang lain daripada Allah SWT adalah ditolak.

Sifat Hayat Allah Yang Maha Esa

ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ‌ۚ
“Yang Maha Hidup, Maha Pentadbir (yang menjadi sumber pergantungan makhluk).”

Allah SWT sahaja mempunyai sifat Hayat iaitu Hayat Zati. Iaitu tiada permulaan dan tiada akhiran. Kewujudan Allah SWT tidak terikat dengan kiraan masa sebagaimana makhluk ciptaan-Nya; pada masa sekian dan tarikh sekian makhluk ciptaan-Nya dilahirkan/wujud kemudian pada masa dan tarikh sekian Makhluk ciptaan-Nya itu mati/ditamatkan riwayatnya. Sedangkan Allah SWT sentiasa hidup. Oleh itu sifat hayat hanya dimiliki oleh Allah SWT sahaja.

Sifat Qayum Allah SWT(ٱلۡقَيُّومُ )

Allah SWT adalah Pentadbir yang tunggal. Dialah yang mentadbir, mengurus dan mengendalikan segala makhluk yang maujud. Makhluk yang maujud adalah bergantung sepenuhnya kepada kewujudan Allah SWT dan Pentadbiran-Nya. Maka perlu wujud hubungan yang rapat antara makhluk dan Pentadbirnya melalui hubungan hati nurani yang faham dan jelas tentang hakikat ini. Sistem hidupnya terikat dengan sistem yang telah diatur oleh Allah SWT mengikut Iradat dan Kebijaksanaan Allah SWT.
Allah SWT berfirman;

“Tiada sesuatupun yang setanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” QS al-Syura:11

Maksud Tidak Mengantuk dan Tidak Tidur

لَا تَأۡخُذُهُ ۥ سِنَةٌ۬ وَلَا نَوۡمٌ
“Tidak pernah mengantuk dan tidak pernah tidur.”

Allah SWT tidak pernah rasa mengantuk dan tidak pernah tidur. Sejajar dengan sifat-Nya yang  sentiasa mentadbir dan menguruskan segala sesuatu. Sedangkan segala sesuatu itu sangat bergantung kepada-Nya. Dia tidak merasa letih dan lemah kerananya. Tiada yang serupa dan setanding dengan sifat Allah SWT.

Daripada Abu Musa: Rasulullah saw berdiri dalam kumpulan kami, lalu mengucapkan empat perkara;
“Sesungguhnya Allah tidak tidur, dan tidak sepatutnya Dia tidur; Dia merendahkan dan meninggikan neraca-Nya; diangkat kepada-Nya amalan (hamba) waktu siang sebelum ia melakukan amalan waktu malam, dan diangkat kepada-Nya amalan (hamba) waktu malam sebelum ia melakukan amalan waktu siang; hijab-Nya adalah cahaya atau api, jika Dia membukanya pasti nur wajah-Nya itu akan membakar saujana pandangan mata manusia.” - HR Imam Bukhari


Allah SWT Pemilik Alam Buana Yang Mutlak.

لَّهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ
“Dia memiliki segala isi langit dan bumi.”

Pemilik mutlak bermaksud pemilikan yang tidak dibatasi dengan sebarang ikatan, sebarang syarat, sebarang jarak dan sebarang perkongsian. Allah itu Esa, Pentadbir yang tunggal dan Pemilik yang tunggal. Ini bermakna sejak dari dulu lagi manusia tidak memiliki apa-apa. Mereka  hanyalah meminjam atau menjadi pemegang amanah atau sebagai perwakilan untuk menjaga apa yang dianugerahkan kepadanya oleh Pemilik Tunggal. Syarat-syarat yang telah ditentukan mestilah dipatuhi. Jikalau tidak, pengurusan sesuatu yang diamanahkan  adalah tidak sah.Pemberian atau pinjaman itu boleh ditarik balik pada bila-bila masa sahaja mengikut kehendak-Nya yang mutlak.
Kesedaran terhadap hakikat ini mampu menyingkirkan sifat-sifat tamak haloba, bakhil atau kikir, dan sikap suka berlumba-lumba untuk mengumpul harta. Sebaliknya, sifat-sifat redha terhadap apa yang ada, bermurah hati dan tidak terlalu mengejar harta dapat dipupuk di dalam hati. Malahan hati akan menjadi lebih tenang dan tenteram sewaktu mendapat rezeki atau sewaktu tidak memperolehi rezeki. Hati tidak akan merasa kecewa apabila ada sesuatu yang luput atau hilang daripadanya. Hati juga tidak merasa kempunan terhadap sesuatu yang jauh untuk dimiliki.

Anugerah Syafa’at Hak Mutlak Allah SWT

مَن ذَا ٱلَّذِى يَشۡفَعُ عِندَهُ ۥۤ إِلَّا بِإِذۡنِهِ
“Siapakah yang berkuasa memberi syafa’at di sisi-Nya melainkan dengan keizinan-Nya.”

Di antara tanda keagungan dan kebesaran Allah ‘Azzawajalla ialah bahawa seseorang manusia tidak boleh bertindak untuk memberi pertolongan kepada sesiapapun di sisi-Nya melainkan dengan izin daripada-Nya. Ini sebagaimana firman Allah SWT;

“(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafa’at mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendaki dan diredhai-Nya.”  -QS  al-Najm:26

Firman Allah SWT lagi;

“(Pada) masa datangnya(hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata(untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah.” - QS Hud:105

Rasulullah saw juga tidak dapat memberi syafa’at kepada umatnya melainkan ia mendapat keizinan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
  
Ilmu Allah SWT yang syumul

يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡ‌ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىۡءٍ۬
“Dia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedangkan mereka tidak mengetahui sesuatu dari ilmu-Nya melainkan apa yang dikehendaki oleh-Nya.”

Hakikat sifat Allah SWT yang memiliki ilmu yang syumul dapat menzahirkan kedudukan manusia yang sebenar. Siapakah manusia jika dibandingkan dengan keluasan ilmu Allah SWT?

Dia mengetahui apa yang ada di hadapan dan di belakang kita! Tidak gementarkah hati yang mendengarnya? Allah tahu apa yang kita tidak ketahui. Allah tahu apa yang telah berlalu dan tahu apa yang akan berlaku. Manusia tidak mengetahui sedikit pun dari ilmu Allah melainkan ilmu yang diizinkan oleh Allah untuknya.

Tetapi manusia lupa kepada hakikat ini. Mereka terpesona dengan ilmu seperti ilmu sains yang diizinkan Allah kepada mereka. Mereka tidak bersyukur tetapi berlagak angkuh dan kadang-kadang mereka kufur. Malah ada yang menganggap dialah Tuhan di bumi ini.

Tahukah kita bahawa Allah SWT telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada manusia sejak tugas khilafah diserahkan kepada mereka. Allah SWT juga berjanji memperlihatkan bukti-bukti kekuasaan-Nya supaya dapat membantu tugas-tugas ini. Mana-mana rahsia yang tiada perkaitan dengan tugas khilafah di atas muka bumi tetap menjadi rahsia. Seperti rahsia tarikh kematian, rezeki masing-masing dan akhiran amalan baik atau buruk bagi setiap manusia.


Singgahsana Pemerintahan Ilahi digambarkan dalam bentuk fizikal

ۚ وَسِعَ كُرۡسِيُّهُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ‌ۖ وَلَا يَـُٔودُهُ ۥ حِفۡظُهُمَا‌ۚ
“Luas singgahsana-Nya meliputi langit dan bumi dan tidaklah memberatkan-Nya untuk keduanya.”

Pengungkapan kursi (singgahsana) dalam al-Qur’an dalam bentuk abstrak menggambarkan kuasa pemerintahan yang luas adalah lebih mudah untuk digambarkan dan menyentuh hati. Allah adalah Tuan empunya langit dan bumi dan Dia-lah Pemerintah yang mutlak untuk keduanya. Namun begitu, memerintah singgahsana yang begitu luas tidak sedikit pun memberatkan-Nya. Tiada kepenatan dan tiada keletihan. Berbeza dengan manusia memerlukan rehat dan tidur untuk menghilangkan kepenatan.


Sifat Maha Tinggi dan Maha Besar Hanya Tertentu kepada Allah sahaja.

وَهُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ
“Dan Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Penggunaan ٱل dalam ٱلۡعَلِىُّ dan ٱلۡعَظِيمُ menunjukkan sifat Ketinggian dan sifat Kebesaran adalah khusus kepada Allah ‘Azzawajalla, tidak boleh kepada yang lain. Maka manusia tidak boleh berlagak mempunyai kuasa yang tinggi dan berpangkat besar sehingga menimbulkan keangkuhan dan kesombongan yang keterlaluan. Nanti Allah SWT akan kembalikannya kepada kerendahan dan kehinaan serta ‘azab yang sangat pedih di Akhirat kelak.

Hati seorang Mukmin adalah takut kepada Allah SWT. Ia dapat merasakan kebesaran dan keagungan Allah yang membawa kepada adab sopan menjunjung hak Allah dan merasa segan dan malu untuk berlagak angkuh terhadap para hamba Allah. Inilah ‘aqidah dan kefahaman di samping merupakan amalan dan perilaku seorang Muslim yang Mukmin.


Keutamaan ayat kursi

Hadith Nabi saw;

Abu Hurairah r.a berkata, “Rasulullah saw pernah memberiku tugas untuk menjaga zakat Ramadhan. Aku lalu didatangi sesusuk tubuh(tidak dikenali), ia menceduk makanan dengan tangannya dan aku pun merebutnya kembali seraya berkata kepadanya, ‘Sungguh aku akan mengadukanmu kepada Rasulullah.’ Abu Hurairah menceritakan percakapannya hingga susuk tubuh itu berkata; ‘Apabila engkau hendak berbaring di atas tempat tidur maka bacalah ayat kursi. Sungguh akan selalu ada penjaga dari Allah yang menemanimu dan syaitan tidak akan berani mendekatimu hingga pagi hari.’ Nabi bersabda; ‘Ia berkata benar kepadamu meski ia pendusta. Ia adalah syaitan.” – HR Bukhari(5010)


Hadith Nabi saw;

“Ubay bin Ka’ab r.a meriwayatkan, “Rasulullah bersabda, ‘Wahai Abu Mundzir, tahukah kamu satu ayat dari kitab Allah yang paling agung?’ Aku menjawab, ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’ Beliau bertanya lagi, ‘Wahai Abu Mundzir, tahukah kamu satu ayat dari kitab Allah yang paling agung?’ Aku menjawab, ‘La ilaha illa Huwal Hayyul Qayyum(ayat kursi).’ Rasulullah pun lantas menepuk dadaku seraya bersabda, ‘Semoga ilmu membuatmu bahagia, wahai Abu Mundzir.” – HR Muslim(810)

Merujuk kepada hadith di atas, ayat kursi merupakan ayat al-Qur’an yang paling agung. Orang yang membaca ayat Kursi sebelum tidur akan mendapat penjagaan dari Allah dan syaitan tidak akan berani mendekatinya hingga pagi hari.

Peringatan

Allah SWT menurunkan al-Qur’an bertujuan untuk difahami isi kandungannya kemudian mengambil pengajaran daripadanya. Maka  al-Qur’an sepatutnya digunakan sebagai panduan kehidupan di atas muka bumi Allah SWT ini. Permasalahan yang dihadapi sama ada dari segi ‘aqidah, ibadah maupun mu’amalah boleh diselesaikan melalui rujukan al-Quran dan boleh diperjelaskan lagi dengan sunnah Rasulullah saw.

Malangnya sesetengah daripada kita lebih tertarik kepada beberapa ayat tertentu bertujuan untuk perubatan semata-mata. Kemudian tersalah meletakkan kekuasaan penyembuhan kepada ayat-ayat yang dibaca atau kepada orang yang membacanya.

Sebagai contoh; ayat Kursi dibacakan untuk menghalau hantu, jin atau syaitan atau tujuan-tujuan yang lain. Kemudian hati mula berkata;

“Wah! Hebat ayat Kursi ini.” Atau “Wah! ‘Power’ betul ustaz  ini.”

Hati mula meyakini bahawa ayat Kursi inilah yang menyembuhkan atau si pembaca ayat inilah mempunyai karamah. Secara tidak sedar disudut hati telah mengagungkan ayat yang dibaca atau telah meninggikan darjat si pembaca ayat itu. Kefahaman seperti ini telah mensyirikkan Allah SWT. Perlulah diperbetulkan dengan cuba memahami apakah sebenarnya yang Allah SWT hendak kita faham daripada ayat-ayat yang dibaca itu. Kemudian barulah kita memohon fadhilat-fadhilatnya.

Penjelasan dari ayat Kursi ayat demi ayat diatas jelas menerangkan bahawa tiada syafa’at (pertolongan)melainkan dengan izin Allah SWT. Allah SWT mengetahui segala-galanya sama ada di hadapan atau di belakang kita. Allah SWT terus menerus mengurus makhluk-Nya. Tidak tidur dan tidak lemah. Hanya Dia Yang patut di Agongkan. Hanya Dia Yang patut di Tinggikan. Hanya kepada-Nya patut mengharap pertolongan kerana Hanya Dia yang Tunggal Yang menguruskan Pentadbiran alam buana sama ada yang ghaib maupun yang nyata. Syaitan dan Jin hanya takut kepada Allah SWT. Oleh itu mintalah kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh. Kemudian pasti Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang memberikannya kepada kita.

Wallahu’alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan