Juzuk 3
(ayat 253 – 286 )
Masih lagi berkisar kepada persediaan untuk
memikul tugas umat Islam sebagai seorang khalifah.
“Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas
sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara
mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikanNya (pangkat)
sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan dan Kami berikan Nabi Isa
Ibni Mariam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia
dengan Rohulqudus (Jibril) dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang
yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah
datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka).
Tetapi mereka bertelingkah, maka timbullah di antara mereka: Orang yang beriman
dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak
berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.(253)” QS al-Baqarah:253
Ayat ini
terdapat perhubungan penceritaan mengenai rasul-rasul dan pengikut-pengikutnya
diakhir juzuk 2. Masing-masing rasul mempunyai kelebihan masing-masing mengikut
keperluan dan Allah swt berupaya berbuat
apa sahaja yang dikehendaki-Nya.
Kemudian
disebabkan perselisihan dan peperangan yang berlaku, Allah swt menekankan kepentingan
pengorbanan iaitu menginfakkan harta benda yang dimiliki kepada jalan Fi
Sabilillah sebelum ianya terlambat.
“ Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari
apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang
tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat),
serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah
orang-orang yang zalim. (254)” QS al-Baqarah:254
Ayat Kursi
Sungguh cantik
susunan ayat al-Qur’an. Selepas mendengar penerangan sikap yang perlu dipupuk,
arahan-arahan yang perlu diikuti dan contoh-contoh kehidupan umat terdahulu
secara ‘live’, muncul pula ayat 255
dengan jelas memaparkan siapakah Allah swt yang mengutarakan semua ini untuk
diikuti.
“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang
Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang
tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang
ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya
melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan
apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun
dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu
kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan
bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara
keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar
(kekuasaanNya). (255)” QS al-Baqarah:255
Ayat ini
adalah ayat aqidah/Tauhid. Ia memberi kefahaman berkenaan;
·
Wahdaniyah Allah swt
·
Hayat-Nya
·
Semua perkara tertakluk kepada kehendak-Nya
·
Ilmu yang dimiliki
·
Penguasaan dan pemeliharaan-Nya
·
Syafa’at hanya seizin-Nya
Rujuk perbincangan pada: http://bersamaummualiya.blogspot.com/2012/11/422-ayat-kursi-al-baqarah255.html
Kefahaman
ini adalah kefahaman asas yang mesti difahami oleh setiap Muslim. Selepas
daripada kefahaman ini, Allah swt mengutarakan satu persoalan;
“ Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya
telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang
tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya
dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan
putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (256)” QS al-Baqarah:256
Allah swt
tidak memaksa untuk mentaati-Nya, namun telah jelas yang mana satu jalan yang
benar dan yang mana satu jalan yang sesat. Manusia bebas membuat pilihan.
Tetapi ingat! Allah swt memberi jaminan bahawa Dia hanya melindungi dan
membantu orang-orang yang beriman. Yakni orang-orang yang meyakini apa yang
dinyatakan di dalam ayat Kursi di atas. Allah swt berfirman;
“Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang
beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) dan
orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan
mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli Neraka,
mereka kekal di dalamnya. (257)” QS al-Baqarah:257
Kemudian
Allah swt memberi 3 kisah sebagai pengukuhan terhadap penegasan-Nya bahawa Dia
berkuasa menghidupkan dan mematikan. Kisah tersebut ialah;
·
Kisah Nabi Ibrahim a.s dengan Raja Namrud (ayat 258)
·
Kisah ‘Uzair (ayat 259)
·
Kisah Nabi Ibrahim a.s memohon diperlihatkan bagaimana Allah swt
menghidupkan orang mati (ayat 260)
Rujuk perbincangan pada:http://bersamaummualiya.blogspot.com/2012/12/423-kekuasaan-allah-swt-mematikan-dan.html
Selepas
mendapat keyakinan terhadap Allah swt, Dia mensyari’atkan sistem kewangan dalam
Islam yang lebih menjurus kepada konsep takaful;
1.
Riba dilarang kerana menghancurkan masyarakat.
Larangan keras melaksanakan riba:
“Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba
dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan
zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam
kekufuran dan selalu melakukan dosa. (276)”
“Wahai
orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah
(jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang
berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. (278) Oleh itu, kalau kamu tidak juga
melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan dari Allah dan
RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat) dan jika kamu bertaubat,
maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang
demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi
oleh sesiapa. (279)”
Pengistiharan perang dari Allah swt dan Rasul-Nya terhadap masyarakat
yang mengamalkan riba. Sistem riba telah melahirkan masyarakat yang tidak
tenteram dan hidup dalam keadaan yang terumbang-ambing kerana berlaku
penindasan manusia dengan kejam.
2. Kaedah bermu’amalah:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang
piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah
kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di
antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis
enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia
menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang
itu dengan jelas) dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya dan
janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang
yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak
merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil
(benar) dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan
kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang
lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi
saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu
maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi dan janganlah saksi-saksi itu
enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi dan janganlah kamu jemu menulis
perkara hutang yang bertempoh masanya itu, samada kecil atau besar jumlahnya.
Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan)
keterangan saksi dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.
Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri,
maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya dan adakanlah saksi apabila kamu
berjual beli dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan dan
kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian
adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu
bertakwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar
kamu dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (282)”
Hukum ini adalah bersangkutan dengan hutang
piutang, perniagaan tunai dan gadaian yang bersih daripada riba. Inilah
kehalusan dan ketelitian dalam undang-undang agama Islam supaya setiap hati
menjadi tenteram. Semua ini melibatkan sifat taqwa di dalam diri seseorang
manusia.
Penutup juzuk 3
Allah swt mengakhiri juzuk 3 dengan dua doa;
“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya
dari Tuhannya dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah
dan Malaikat-malaikatNya dan Kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya. (Mereka
berkata:) Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya.
Mereka berkata lagi: Kami dengar dan
kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami dan kepadaMu jualah
tempat kembali. (285)” QS al-Baqarah:285
Slogan orang
Islam ialah: “Kami dengar dan kami taat”
Slogan Bani
Israil ialah: “Kami dengar tetapi tidak
mentaatinya.”
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya
olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga
menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata):
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau
kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan
yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang
terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada
kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami,
serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong
kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum
yang kafir. (286)” QS al-Baqarah:286
Sesungguhnya
manusia itu lemah dan sering membuat kesilapan. Oleh itu, untuk memegang amanah
yang besar ini(khalifah), ia memerlukan pertolongan, perlindungan, kemaafan dan
rahmat Allah swt. Allah swt pasti akan memakbulkan doa orang-orang Mukmin yang
sejati.
Wallahu’alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan