Kisah Nabi Ibrahim a.s berdebat dengan raja (Raja Namrud) yang menolak konsep wahdaniyah dan kuasa
hakimiyah (ayat 258)
أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِى
حَآجَّ إِبۡرَٲهِـۧمَ فِى رَبِّهِۦۤ أَنۡ ءَاتَٮٰهُ ٱللَّهُ ٱلۡمُلۡكَ إِذۡ قَالَ
إِبۡرَٲهِـۧمُ رَبِّىَ ٱلَّذِى يُحۡىِۦ وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا۟ أُحۡىِۦ وَأُمِيتُۖ
قَالَ إِبۡرَٲهِـۧمُ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَأۡتِى بِٱلشَّمۡسِ مِنَ ٱلۡمَشۡرِقِ فَأۡتِ
بِہَا مِنَ
ٱلۡمَغۡرِبِ فَبُهِتَ ٱلَّذِى كَفَرَۗ وَٱللَّهُ لَا يَہۡدِى
ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ (٢٥٨)
Tidakkah
engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah
membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah
memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku
ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan. Dia menjawab: Aku juga boleh
menghidupkan dan mematikan. Nabi Ibrahim berkata lagi: Sesungguhnya Allah
menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat? Maka
tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah
tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. (258)
Telah berlaku
perdebatan antara Nabi Ibrahim a.s dengan seorang raja di masa itu (tidak
dinyatakan namanya di dalam al-Qur’an) mengenai Allah SWT. Para ahli tafsir dan
ahli sejarah menyatakan raja itu ialah raja Babilonia yang bernama Namrud. Diriwayatkan
Namrud memerintah selama 400 tahun dengan penuh kezaliman.
Raja ini
tidak menolak kewujudan Allah SWT. Cuma tidak percaya kepada kekuasaan
pentadbiran yang tunggal yang mampu dilaksanakan oleh Allah SWT. Dia juga
menolak bahawa hak perundangan hanyalah milik Allah SWT di atas muka bumi ini.
Kuasa
memerintah sebagai raja telah mengaburkan hatinya. Dia tidak bersyukur tetapi
sebaliknya bersikap sombong dan angkuh. Undang-undang Allah SWT atau syari’at
Allah SWT telah ditukarkan kepada undang-undang pemikirannya sendiri. Malah
mengaku pula sebagai tuhan.
Allah SWT
menyatakannya di dalam al-Qur’an untuk tatapan Nabi saw dan umatnya dengan nada
seolah kehairanan tetapi hakikatnya mengeji dan memburukkan;
“Tidakkah
engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah
membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah
memberikan orang itu kuasa pemerintahan?”
Maksudnya: “Tidakkah kamu lihat wahai orang yang
berakal? Kisah si kafir yang angkuh itu, yang berdebat dengan Nabi Ibrahim a.s.
berkenaan dengan keesaan Allah dan kesyumulan kudrat-Nya, kerana Allah SWT
telah memberikan kekuasaan, tetapi tidak digunakan pada jalan kebaikan,
sebaliknya ia digunakan pada jalan kebatilan, kekufuran dan keburukan.”
Memang tidak
patut apabila kuasa yang dikurniakan oleh Allah SWT, sebaliknya dia mengaku
dirinya yang punya kuasa.
Ketika itu
Nabi Ibrahim a.s mengajak raja itu menyembah Allah SWT dan menumpukan ibadat
kepada Allah SWT semata. Baginda berkata;
“Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan.”
Hujah Nabi
Ibrahim a.s boleh difahami begini; “
Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah SWT yang menciptakan kehidupan dan
mengadakannya, kemudian mematikan roh dan menamatkan kehidupannya. Keupayaan
untuk melakukan itu semua tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan Dia.”
Raja itu
menjawab dengan sombong dan angkuh;
“Aku
juga boleh menghidupkan dan mematikan.”
Maksudnya: “Aku boleh mengampunkan sesiapa sahaja
daripada hukuman bunuh, dan aku boleh membunuh sesiapa sahaja yang aku mahu.”
Dengan
jawapan yang bodoh itu, Nabi Ibrahim a.s. boleh sahaja mematikan hujahnya
dengan berkata, “ Apa yang kamu katakan
itu bukanlah dalam hal menghidupkan dan mematikan, sebaliknya ia menunjukkan
kezaliman dan sikap yang melampau”.
Akan tetapi,
Nabi Ibrahim a.s. tidak berkata begitu. Baginda lebih suka membiarkan kata-kata
kufur itu, lantas Baginda mendatangkan hujah lain yang membuatkan raja kelu dan
tidak mampu lagi menyombongkan diri.
Mengikut
Qatadah, al-Suddi dan Muhammad Ishak ialah raja itu mampu menghukum dua orang
mengikut kehendaknya. Seorang diarahkan dibunuh dan seorang lagi dibiarkan
hidup.
Sebenarnya,
raja yang kafir ini tidak memahami hakikat kematian dan kehidupan. Apa yang
dilakukannya atau yang diarahkannya adalah hanya asbab-asbab kematian orang
tersebut. Hakikatnya Allah SWT-lah yang mengambil nyawa/roh seseorang mengikut
tetapan-Nya. Memang susah untuk berdebat dengan seseorang yang suka memutar
belitkan kenyataan.
Kemudian Nabi
Ibrahim a.s mengemukakan hujahnya yang seterusnya:
“Sesungguhnya
Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat?”
Apakah hasilnya
hujah yang mantap ini, yang dihamburkan oleh Nabi Ibrahim a.s. kepada raja yang
sombong itu?
“Maka
tercenganglah orang kafir itu (lalu diam membisu) Dan (ingatlah), Allah tidak
akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.”
Maksudnya raja
itu tewas, kaget dan tidak dapat menyambung hujah. Lidahnya kelu tidak dapat
berkata-kata lagi. Dia telah dikejutkan oleh soalan yang tidak mampu dijawab.
Namun sudah menjadi ketentuan Allah SWT terhadap makhluk-Nya, bahawa Dia tidak
akan membimbing orang yang zalim kepada kebenaran dan petunjuk. Ini kerana
mereka lebih sukakan kezaliman dan lebih mengutamakan jalan syaitan berbanding
jalan kebenaran.
Bagi mereka
yang bijak, apabila bukti telah jelas dan dalil telah terang, mereka segera
berpuas hati dan kebenaran akan segera diakui.
Lain halnya
dengan orang bodoh, jahil dan sombong, mereka akan terus mempertahankan
kebatilan dan menentang kebenaran walaupun telah mengetahuinya. Keadaan ini
adalah kerana dorongan niat jahat mereka, akal yang lemah dan pandangan yang
tertutup.
Raja yang sombong
tercengang dan tergamam itu tahu bahawa dia tidak akan mampu menerbitkan
Matahari dari sebelah Barat. Semua hadirin pun tahu. Maka terserlah-lah
kelemahan dan kedustaannya.
Kisah ini
boleh menjadi contoh dan pengalaman kepada Nabi saw dan kaum Muslimin untuk
menghadapi para pengingkar dan untuk melatih hati menghadapi kedegilan mereka.
Ia juga , memaparkan hakikat keupayaan manusia dan hakikat Kekuasaan, Kebesaran
dan Keesaan Allah SWT . Keduanya dapat diperhatikan dengan mata hati dan mata
kasar.
Kisah ‘Uzair dan kehidupan semula
setelah mati (ayat 259)
أَوۡ كَٱلَّذِى مَرَّ عَلَىٰ
قَرۡيَةٍ۬ وَهِىَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا قَالَ أَنَّىٰ يُحۡىِۦ هَـٰذِهِ
ٱللَّهُ بَعۡدَ مَوۡتِهَاۖ فَأَمَاتَهُ ٱللَّهُ مِاْئَةَ عَامٍ۬ ثُمَّ بَعَثَهُ ۥۖ
قَالَ ڪَمۡ لَبِثۡتَۖ قَالَ لَبِثۡتُ يَوۡمًا أَوۡ بَعۡضَ يَوۡمٍ۬ۖ قَالَ بَل
لَّبِثۡتَ مِاْئَةَ عَامٍ۬ فَٱنظُرۡ إِلَىٰ طَعَامِكَ وَشَرَابِكَ لَمۡ
يَتَسَنَّهۡۖ وَٱنظُرۡ إِلَىٰ حِمَارِكَ وَلِنَجۡعَلَكَ ءَايَةً۬ لِّلنَّاسِۖ
وَٱنظُرۡ إِلَى ٱلۡعِظَامِ ڪَيۡفَ نُنشِزُهَا ثُمَّ نَكۡسُوهَا لَحۡمً۬اۚ
فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُ ۥ قَالَ أَعۡلَمُ أَنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬
قَدِيرٌ۬ (٢٥٩)
Atau
(tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui
sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata:
Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya
(rosak binasanya)? Lalu dia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah)
selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya
kepadanya: Berapa lama engkau tinggal (di sini)? Dia menjawab: Aku telah
tinggal (di sini) sehari atau setengah hari. Allah berfirman: (Tidak benar),
bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh
itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya
dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya
bersepah) dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda
(kekuasaan Kami) bagi umat manusia dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai)
itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan
daging. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah
dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu. (259)
Allah SWT
memaparkan satu lagi kisah untuk membuktikan kekuasaan-Nya sebagai Penguasa dan
Pentadbir. Kisah ini dimulai dengan satu pertanyaan supaya manusia berfikir
tentang kebesaran-Nya;
“(tidakkah
engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah
negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: Bagaimana Allah
akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak
binasanya)?”
Mengikut satu
pendapat yang termasyur, orang yang melalui sebuah negeri itu ialah ‘Uzair bin
Syirkhiyan. Manakala negeri yang dimaksudkan ialah Baitul Maqdis.
Terdapat beberapa
pendapat yang lain berkenaan dengan nama dan tempat bagi kisah ini. Namun , di
dalam Fi Zilalil Qur’an menyebutkan; di dalam al-Qur’an tidak disebut nama
orang dan nama tempat yang khusus bagi kisah ini. Yang hendak disampaikan ialah
jalan cerita sebagai pengajaran. Jika nama-nama itu penting, maka sudah tentu
Allah SWT telah menyebutkannya secara jelas seperti nama Abu Lahab yang
terdapat di dalam surah al-Masad. Jelas sekali di sini, apa yang perlu
diperhatikan ialah isi pokok yang hendak disampaikan oleh Allah SWT untuk
difahami oleh pendengar atau pembaca al-Qur’an.
“Bagaimana Allah akan menghidupkan
(membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?”
Pertanyaan
yang timbul dalam benak orang itu menunjukkan dia telah mengakui kewujudan
Allah SWT. Tetapi dengan perasaan takjub, dia tertanya-tanya bagaimana boleh
dihidupkan kembali (dibina semula) negeri ini setelah begitu dasyat
kerosakkannya. Sudah tentu memerlukan kuasa yang Maha Hebat dan Maha Agong.
Begitulah seseorang yang berjalan dan melihat kebesaran Allah SWT.
“Lalu
dia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun,
kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: Berapa lama engkau
tinggal (di sini)? Dia menjawab: Aku telah tinggal (di sini) sehari atau
setengah hari. Allah berfirman: (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal
(berkeadaan demikian) selama seratus tahun.”
Allah SWT
ingin menunjukkan Kebesaran dan Kekuasaan-Nya bukan sahaja melalui dalil- dalil
aqli, tetapi juga melalui pengalaman-pengalaman peribadi. Pembuktian ini
menambahkan lagi keyakinan yang mendalam di sudut hati.
Orang itu
menyangka bahawa dia berada di situ selama sehari atau setengah hari. Sedangkan
dia telah pun berada di tempat itu selama 100 tahun lamanya. Ini menunjukkan
bahawa perasaan bersangka-sangka bukanlah suatu kayu ukur yang tepat bagi
sesuatu hakikat. Perasaan bersangka-sangka itu boleh mengelirukan dan
menyesatkan.
Apa yang
disarankan ialah, menggunakan pancaindera untuk melihat dan memerhati
bukti-bukti atau dalil-dalil Kebesaran Allah SWT dan sifat-sifat Keagongan-Nya.
“Oleh
itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya
dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya
bersepah) itu.”
Selama 100
tahun tempoh masa, dirinya dan makanannya tidak berubah keadaannya dengan
kehendak Allah SWT. Berbanding dengan keldai tunggangannya telah musnah dan
yang hanya tinggal ialah tulang belulang yang bersepah-sepah. Sedangkan
dirinya, makanannya dan keldainya berada di tempat yang sama, terdedah pada
cuaca yang sama dan telah mengalami tempoh masa yang sama. Inilah Kebesaran
Allah SWT dan sesuatu itu boleh terjadi mengikut kehendak-Nya jua.
“Kami
(lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi
umat manusia dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami
menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging. Maka apabila telah
jelas kepadanya (apa yang berlaku itu)”
Allah SWT
telah memilih dirinya sebagai contoh tauladan kepada generasi yang terkemudian.
Tiada yang Allah jadikan adalah sia-sia. Sungguh bertuah orang itu dapat
melihat sendiri dengan matanya bagaimana Allah SWT menyusun kembali tulang
belulang keldai yang bersepah itu, kemudian menyalutkannya dengan daging dan
keldai itu hidup seperti sebelumnya.
Sungguh
takjub dengan apa yang telah dialaminya dan orang itu berkata;
“Sekarang
aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.”
Hatinya bertambah
yakin dengan Allah SWT. Adalah mudah bagi Allah untuk menghidupkan dan
mematikan mengikut kehendak-Nya.
Kisah Nabi Ibrahim a.s memohon
diperlihatkan bagaimana Allah SWT menghidupkan yang mati (ayat 260).
وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِـۧمُ
رَبِّ أَرِنِى ڪَيۡفَ تُحۡىِ ٱلۡمَوۡتَىٰۖ قَالَ أَوَلَمۡ تُؤۡمِنۖ قَالَ بَلَىٰ
وَلَـٰكِن لِّيَطۡمَٮِٕنَّ قَلۡبِىۖ قَالَ فَخُذۡ أَرۡبَعَةً۬ مِّنَ ٱلطَّيۡرِ
فَصُرۡهُنَّ إِلَيۡكَ ثُمَّ ٱجۡعَلۡ عَلَىٰ كُلِّ جَبَلٍ۬ مِّنۡہُنَّ جُزۡءً۬ا
ثُمَّ ٱدۡعُهُنَّ يَأۡتِينَكَ سَعۡيً۬اۚ وَٱعۡلَمۡ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ
حَكِيمٌ۬ (٢٦٠)
Dan
(ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: Wahai Tuhanku!
Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang
mati? Allah berfirman: Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)? Nabi
Ibrahim menjawab: Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang
demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya). Allah
berfirman: (Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah
olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap
sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya
semuanya akan datang kepadamu dengan segera dan ketahuilah sesungguhnya Allah
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (260)
Mengikut
sejarah hidup Nabi Ibrahim a.s, sedari kecil baginda sangat suka memerhatikan
alam sekeliling dan mengkajinya. Apabila Allah SWT mewahyukan kepada baginda
bahawa Allah SWT akan menghidupkan semula orang mati dan menghimpunkan mereka semula
pada hari kiamat, timbul perasaan ingin tahu rahsia ciptaan Ilahi dari dekat
dan bertanya;
“Wahai
Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk
yang mati?”
Kata-katanya
mengunakan (رَبِّ ) (Tuhanku)
menunjukkan kesempurnaan adabnya terhadap Penciptannya, iaitu sebelum baginda
bertanya kepada Tuhannya, baginda merendahkan diri serta mengiktiraf ketuhanan
dan kekuasaan-Nya terlebih dahulu.
Nabi Ibrahim
a.s adalah seorang yang amat takut kepada Allah SWT, amat sabar, amat beriman,
amat redha, amat khusyu’, amat kuat beribadat, amat hampir dengan Allah SWT dan
disayangi Allah SWT. Allah SWT berfirman;
“Adakah
engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?”
Maksudnya: “Adakah benar apa yang kamu minta?
Seolah-olah kamu tidak beriman bahawa Aku berkuasa menghidupkan sesuatu yang
mati dan melakukan apa jua pun ?”
Pertanyaan
Nabi Ibrahim a.s ini bukan kerana untuk menguatkan keimanan. Baginda adalah
seorang yang sangat beriman. Keinginan melihat dari dekat dan merasainya
menyebabkan Baginda menjawab;
“Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi
(aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin
menyaksikannya).”
Allah SWT
sememangnya tahu keimanan hamba kesayangan-Nya. Ini hanyalah permohonan
menunjukkan kemesraan baginda dengan Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang
dan Maha Pengasih. Maka Allah SWT telah memperkenankan permohonan ini dengan
berfirman;
“(Jika demikian), ambillah empat
ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah
itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian
serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera
dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Allah SWT
tidak menyatakan jenis burung yang tertentu. Baginda mengumpulkan empat ekor
burung dan mengecamkannya betul-betul.
Selepas baginda menyembelihkannya, baginda kemudian mencincang-cincang hingga
hancur. Kemudian membahagikan cincangan burung kepada beberapa bahagian untuk
diletakkan di atas bukit-bukau di sekitar baginda. Selepas semuanya selesai,
baginda pun menyeru semua burung-burung tersebut. Ternyata dihadapan matanya
kelihatan seluruh bahagian badan yang tercincang itu berkumpul semula dan hidup
kembali seperti mana burung-burung yang asal dan datang kepada dirinya.
Inilah apa
yang dilihat oleh Nabi Ibrahim a.s. Manusia lain hanya melihat hasil akhir yang
telah sempurna. Inilah rahsia yang diluar jangkauan pemikiran manusia. Manusia
tidak akan tahu sesuatu dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya.
Inilah urusan yang ghaib yang tersembunyi.
Dialog ini juga
bertujuan untuk menerangkan bukti yang paling sempurna tentang keesaan Allah.
Ia juga menjelaskan bahawa Allah menjawab persoalan hamba-Nya yang terpilih itu
untuk menenangkan hati mereka dan memberi peluang kepada mereka meminta apa
sahaja yang mereka mahu, serta untuk menerima permintaan mereka dengan penuh
kelembutan dan kemuliaan.
Sesungguhnya
Allah SWT ada berfirman;
إِنَّمَآ أَمۡرُهُ ۥۤ إِذَآ أَرَادَ شَيۡـًٔا أَن يَقُولَ لَهُ ۥ
كُن فَيَكُونُ (٨٢)
“Sesungguhnya keadaan
kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman
kepada (hakikat) benda itu: Jadilah engkau!. Maka ia terus menjadi. (82)”- QS Yasin:82
Inilah
kisah-kisah orang yang terdahulu yang berlaku berabad lamanya sebelum kita
dilahirkan. Ia diceritakan di dalam al-Qur’an sebagai suri tauladan kepada
orang-orang yang beriman.
Ketiga-tiga
kisah ini tertumpu kepada rahsia hidup dan mati dimana Allah SWT memiliki kuasa
menghidupkan dan mematikan mengikut kehendak-Nya. Ia ada perkaitan dengan ayat
al-Kursi yang telah menjelaskan sifat-sifat Allah SWT. Ini semua bertujuan
memberi kefahaman yang betul terhadap hakikat-hakikat alam al-wujud di dalam
hati dan akal seseorang Muslim. Sistem hidup Islam tidak akan dapat tertegak
dan teguh kecuali ia mempunyai pertalian dengan ‘aqidah dan dengan kefahaman
yang sempurna teradap alam buana dan hubungan-hubungannya dengan Allah SWT.
Pengajaran
yang boleh diambil;
1.
Ketiga-tiga
ayat di atas menjadi dalil kepada kekuasaan Allah SWT menghidupkan dan
mematikan mengikut kehendak-Nya. Mengemukakan dalil yang jelas dan logik yang
bijak, yang segera dapat mematikan hujah orang yang takbur atau degil supaya
mereka terus kelu tanpa kata.
2.
Setiap
pegangan atau i’tiqad perlulah mempunyai dalil naqli dan dalil aqli sebagai
sokongan.
3.
Orang
yang mempunyai akal fikiran, semasa berdialog mereka akan menggunakan cara yang
bijaksana, tinggi adabnya, sentiasa bersabar, menjawab secara terbuka, tetap di
atas kebenaran dan mempunyai tujuan yang bersih.
4.
Keyakinan
dapat dipupuk dengan tiga cara: ilmu yakin, ‘ainul yakin (melihat) dan haqqul
yakin (merasai,pengalaman).
5.
Betapa
sempurnanya kehendak Allah dan kasih sayang-Nya kepada Nabi Ibrahim a.s. yang
amat tinggi. Allah SWT dapat berbuat apa sahaja yang dikehendaki-Nya.
6.
Hanya
kepada Allah SWT patut diMuliakan, diTinggikan dan diAgongkan.
Wallahu’alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan