MUTIARA KATA

"Dunia pergi sambil berpaling, dan akhirat datang sambil mengadap. Setiap satu dari keduanya mempunyai anak. Jadilah engkau anak akhirat, dan jangan menjadi salah satu anak dunia. Sebab, hari ini adalah hari untuk beramal; tidak ada hisab (perhitungan amal di akhirat). Sedangkan hari esok adalah hisab; tidak ada hari untuk beramal."


"Ilmu umpama hujan, yang tidak memberikan manfaat kecuali bagi tanah yang subur dan suci. Begitulah juga ilmu tidak memberi manfaat kecuali bagi jiwa yang suci, hati yang sedar dan naluri yang peka."

FIKRAH ISLAM





27 Disember 2012

4.25 TSABAT DALAM PERANG BADAR


1.0 Persediaan Mempertahankan Madinah

Islam masuk ke Madinah dalam keadaan puak-puak kafir memburu mereka dari segenap penjuru. Oleh itu Madinah menjadi tempat perlindungan dan harus ada persediaan agar tidak diserang musuh dari sekitarannya. Pengalaman di Makkah menjadi pengajaran bahawa kelemahan adalah tangga kehinaan dan kegelinciran kearah keburukkan. Persediaan perlu bagi mengelakkan cahaya Islam dipadam.

Allah SWT telah memberi seruan melalui firman-Nya;

وَلَا يَحۡسَبَنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ سَبَقُوٓاْ‌ۚ إِنَّہُمۡ لَا يُعۡجِزُونَ (٥٩) وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٍ۬ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّڪُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡ‌ۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَىۡءٍ۬ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ (٦٠) ۞ وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ (٦١) وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُ‌ۚ هُوَ ٱلَّذِىٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Dan janganlah orang-orang yang kafir itu menyangka (bahawa) mereka telah terlepas (dari kekuasaan dan balasan Kami); sesungguhnya mereka tidak akan dapat melemahkan (kekuasaan Kami). (59) Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya. (60) Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. – (al-Anfal:59-62)

Selari dengan arahan wahyu. Demi menjaga hak Allah SWT, hak kehidupan dan seiring dengan pentadbiran semasa, Rasulullah saw melatih para sahabat membuat persediaan awal dan mempelajari kaedah berperang. Di ketika itu, kemahiran berkuda, memanah dan penggunaan pedang adalah sangat penting. Semua peringkat usia terlibat, muda maupun sudah berusia. 

Allah SWT berfirman;

فَقَـٰتِلۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ لَا تُكَلَّفُ إِلَّا نَفۡسَكَ‌ۚ وَحَرِّضِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ‌ۖ عَسَى ٱللَّهُ أَن يَكُفَّ بَأۡسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ‌ۚ وَٱللَّهُ أَشَدُّ بَأۡسً۬ا وَأَشَدُّ تَنكِيلاً۬

Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri dan berilah perangsang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu dan (ingatlah) Allah Amatlah besar kekuatanNya dan Amatlah berat azab seksaNya. – (an-Nisa’:84)

Setelah kedudukan kaum Muslimin kukuh, Baginda mula menghantar pasukan-pasukan tentera yang bersenjata untuk meronda di padang pasir yang berdekatan dengan Madinah. Di laluan-laluan kafilah antara Makkah dan Syam. Ia juga bertujuan untuk mendapat maklumat-maklumat daripada kafilah-kafilah tersebut. Penghantaran tentera telah dibuat secara berkala termasuk tentera yang diketuai oleh Baginda sendiri.

Hikmah penghantaran pasukan-pasukan tentera sebegini adalah memberi isyarat kepada orang-orang Musyrikin dan Yahudi di Madinah serta orang-orang badwi yang tinggal di sekitar Madinah bahawa kaum Muslimin adalah kuat dan sudah terlepas daripada kelemahan lama. Rumah, harta benda dan aqidah mereka tidak boleh dicerobohi lagi. Mereka sudah bebas dari cengkaman Quraisy. Walaupun bilangan mereka sedikit, setidak-tidaknya mereka mampu menimbulkan rasa gerun di pihak musuh. Ia juga sebagai amaran kepada kaum Quraisy supaya tidak bertindak melulu terhadap kaum Muslimin.  

Pada suatu ketika, Kurz bin Jabir al-Fihri telah menyerang Madinah dan melarikan haiwan ternakan penduduk Madinah. Lantas Nabi saw keluar mengejarnya sehingga sampai ke Wadi Safawan berdekatan Badar, tetapi tidak berjaya menangkapnya.

2.0  Badar al-kubra

Pada bulan Rejab tahun kedua Hijrah, satu pasukan tentera yang diketuai oleh ‘Abdullah bin Jahsy telah berjaya mengalahkan kafilah dagangan Quraisy. Akibat daripada ini, kemarahan  kaum Musyrikin Quraisy semakin bertambah terhadap kaum Muslimin (Allah SWT telah bersetuju dan menjawab persoalan pasukan ‘Abdullah bin Jahsy yang dikecam kerana berperang pada bulan haram berperang; al-Baqarah:217-218). Kesannya, mereka lebih berhati-hati dengan kaum Muslimin.

2.1  Berita kafilah Abu Sufyan

Pada suatu ketika, Nabi saw mendapat khabar bahawa satu kafilah Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb bersama dengan 30 hingga 40 orang sedang dalam perjalanan ke Syam. Mereka membawa bersama 1000 ekor unta yang sarat dengan muatan. Oleh kerana Madinah berada di tengah perjalanan dagangan, Nabi saw beserta dengan sebilangan sahabat keluar Madinah. Namun Kafilah Abu Sufyan dapat melepasi mereka menuju ke Syam. Lalu mereka pulang semula ke Madinah.

Tidak berapa lama kemudian, mereka dapat berita bahawa kafilah Abu Sufyan itu sedang di dalam perjalanan pulang ke Makkah dari Syam.

Rasulullah saw bersabda;
“Ini adalah kafilah pedagangan Quraisy. Bersamanya ada harta benda mereka. Oleh itu keluarlah untuk mendapatkannya. Semoga Allah akan memberikan harta benda itu kepada kamu sebagai harta ghanimah.”  Hadith sahih dan diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam daripada Ibnu ‘Abbas r.’anhuma.

Barang dagangan kafilah Abu Sufyan ini sangat banyak, cukup untuk menggantikan kerugian yang ditanggung oleh kaum Muslimin ketika mereka berhijrah ke Madinah dahulu.

 2.2  Kepatuhan sahabat mengikut seruan Nabi

Rasulullah saw mengajak mana-mana sahabat yang ingin keluar Madinah bersamanya secara sukarela. Mereka menyangka misi mereka kali ini tidak ubah seperti misi pasukan-pasukan yang lepas. Oleh itu tiada persediaan yang lengkap dibuat untuk peperangan yang lebih besar.

Kejadian ini berlaku pada awal Ramadhan dan umat Islam berpuasa. Rasulullah saw bersama para-sahabat keluar dari Madinah. Baginda telah memilih Amr bin Ummu Maktum menjadi imam menggantikannya di Madinah. Bersama Baginda ialah 82 orang Muhajirin dan 231 orang Ansar dengan 70 ekor unta. Mereka menaikinya secara bergilir-gilir, seekor unta untuk 3 orang.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada ‘Abdulullah bin Mas’ud r.a bahawa beliau berkata:
“Pada hari peperangan Badar, kami bergilir-gilir tiga orang di atas seekor unta. Abu Lubabah dan Ali bin Abi Tholib bergilir dengan Rasulullah saw. Apabila tiba giliran Rasulullah saw berjalan, mereka berdua berkata kepada Baginda saw; ‘Kami akan terus berjalan supaya Tuan terus menunggang.’ Baginda saw bersabda; ‘Kamu berdua tidaklah lebih kuat berjalan daripadaku. Aku pula bukanlah orang yang tidak perlu kepada pahala berbanding kamu!” –juga diriwayatkan oleh al-Hakim, katanya hadith ini sahih seperti syarat Muslim.

Dua panji berwarna hitam dibawa bersama dan Baginda memilih Qais bin Abu Sha’sha’ah sebagai panglima pasukan belakang. Mereka melalui jalan yang biasa dilalui oleh manusia.

 2.3 Tindakan Abu Sufyan

Ketika Abu Sufyan mendekati Hijaz, dia mendapat maklumat bahawa Nabi saw dan tentera Muslimin telah datang untuk menyekat perjalanan mereka. Oleh itu beliau telah menghantar Dhamdham bin Amr Al-Ghifari memohon bantuan dari orang-orang Quraisy di Makkah.

Sehubungan dengan itu semua ketua dan pemuda yang gagah daripada kaum Quraisy bersiap sedia untuk menghadapi kaum Muslimin. Seramai 950 orang tentera, 200 ekor kuda dan hamba-hamba perempuan pemukul gendang untuk menaikkan semangat juang mereka berjaya dikumpulkan. Angkatan perang Quraisy telah di ketuai oleh Abu Jahal menuju kesebelah Utara.

Ketika Rasulullah saw dan para sahabat tiba di Ash-Shafra’, Baginda telah mengutus 2 orang ke Badar untuk mendapatkan maklumat perjalanan kafilah Abu Sufyan. Jejak kaum Muslimin telah diketahui oleh Abu Sufyan melalui najis unta 2 orang utusan ini. Najis unta tersebut mengandungi biji kurma daripada Madinah. Oleh itu Abu Sufyan telah mengubah arah perjalanannya. Mereka melalui laluan pantai dan tidak belok ke kiri dari Badar. Mereka telah berjaya melepasi sekatan kaum Muslimin.

Lalu Abu Sufyan menulis surat kepada kaum Quraisy;
“Sesungguhnya kamu keluar hanyalah untuk menyelamatkan kafilah, orang-orang dan harta benda kamu. Allah telah menyelamatkan mereka semua. Oleh itu pulanglah sahaja.”

Lantas Abu Jahal berkata;
“Demi Allah, kita tidak akan pulang sehingga kita sampai ke Badar. Kemudian kita tinggal di situ selama 3 hari. Kita sembelih unta, makan dan minum arak. Hamba-hamba perempuan pula akan menghiburkan kita semua sehingga orang Arab dengar kisah perjalanan dan perhimpunan kita. Dengan itu mereka akan sentiasa gerun kepada kita selama-lamanya.”

Tetapi Bani Zuhrah dan Bani Adi tidak meneruskan perjalanan mereka ke Badar.

 2.4  Motivasi Rasulullah saw

Sementara itu, semangat tentera Muslimin menjadi kendur setelah mendapat berita bahawa kafilah Abu Sufyan telah mengubah haluan. Rasulullah saw mendapati bahawa maju ke hadapan adalah lebih baik  daripada berundur kerana tentera Makkah telah keluar untuk menyerang mereka. Lagi pula tujuan utama mereka adalah untuk meninggikan kalimah Allah SWT dan melemahkan kalimah syirik.

Tentera Muslimin meneruskan perjalanan hingga ke lembah Badar yang berhampiran dengan Madinah. Manakala tentera Quraisy berkhemah di lembah Badar yang berjauhan dari Madinah.

Disebelah malamnya, Rasulullah saw telah menghantar ‘Ali, az-Zubair dan Sa’ad r.’anhum untuk merisik maklumat keadaan sekitar mereka. Mereka telah berjaya menangkap dua orang hamba Quraisy yang hendak mendapatkan air. Melalui keduanya, tahulah mereka bahawa tentera Quraisy telah hampir dengan jumlah yang lebih ramai daripada mereka.

2.5  Wala’ para Sahabat Muhajirin dan Ansar

Rasulullah saw telah bermesyuarat dengan para sahabat r.’anhum. Abu Bakar as-Siddiq r.a, ‘Umar bin al-Khattab r.a dan al-Miqdad bin ‘Amr r.a telah bersetuju untuk berjuang bersama Baginda saw.

Seterusnya Baginda saw meminta pandangan kaum Ansar. Tentera Ansar adalah yang lebih ramai dari kalangan mereka, Semasa perjanjian Aqabah mereka berjanji hanya akan melindungi Nabi saw apabila Baginda saw berada di Madinah. Sedangkan peperangan yang akan mereka hadapi ini adalah di luar Madinah. Sa’ad bin Mu’az mewakili kaum Ansar telah bangun dan memberikan wala’-nya kepada Baginda Rasulullah saw.

Justeru itu Rasulullah saw bersabda dengan senang hati;
“Ayuh berjalan dan bergembiralah. Sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan kepadaku salah satu daripada dua kumpulan itu. Demi Allah, seolah-olah aku nampak tempat terbunuhnya kaum itu.”

2.6 Pandangan sahabat dalam strategi peperangan

Kaum Muslimin bersiap sedia untuk menempuhi peperangan. Mereka berkhemah di satu sumber air yang paling hampir dengan Badar.

Al-Hubab bin al-Munzir r.a bertanya kepada Rasulullah saw;
“Boleh tuan beritahu kepadaku, adakah Allah SWT yang menyuruh Tuan berkhemah di tempat ini sehingga kami tidak boleh mengingkarinya, atau ia hanyalah pendapat, taktik dan strategi perang?”

Baginda saw menjawab; “Ini hanyalah pendapat, taktik dan strategi perang sahaja.”

Mendengarkan yang demikian, al-Hubab mencadangkan supaya mereka berkhemah berhampiran dengan kaum Quraisy dan membina kolam air baru disitu. Kemudian mengalirkan sumber-sumber air Quraisy disekitarannya ke  kolam baru mereka. Sumber air Quraisy perlu ditutup supaya mereka tiada sumber air. Ini adalah satu strategi perang yang dipersetujui oleh Rasulullah saw dan terus dilaksanakan.

Sa’ad bin Muadz pula mencadangkan membina sebuah bangsal untuk Baginda saw di bahagian agak belakang dari medan pertempuran dan berhampiran dengan barisan tentera Ansar. Jika ditakdirkan mereka hampir kalah, Baginda saw dinasihatkan menaiki kenderaan yang disediakan untuk mendapatkan tentera Ansar itu. Maka mereka tidak akan berundur apabila melihat Baginda saw yang dicintai berjuang bersama mereka. Cadangan ini juga dipersetujui dan dilaksanakan.

                                                                          Lokasi Perang Badar

2.7  Intipan pihak musuh

Tentera Quraisy sampai di Badar agak terkemudian. Umair bin Wahab diutus untuk mendapatkan maklumat tentang musuh mereka. Didapati tentera Muslimin hanya seramai sekitar 300 orang dan tiada bala bantuan yang lain. Namun semangat juang mereka tampak menggerunkan. Hakim bin Hizam mencadangkan kepada Uthbah bin Rabi’ah supaya tidak meneruskan peperangan ini. Tetapi cadangan mereka ditentang keras oleh Abu Jahal dan mencabar Uthbah bin Rabi’ah supaya tidak digelar sebagai pengecut. Oleh itu, peperangan ini tetap akan diteruskan.

2.8 Pertolongan Allah SWT sebelum peperangan

Pada malam sebelum perang Badar, Allah SWT telah menurunkan hujan menyebabkan pasir di sekitaran menjadi padat dan keras. Ini memudahkan pergerakan tentera Muslimin dan tidak mengganggu pandangan. Mereka juga diserang oleh rasa mengantuk menyebabkan mereka tertidur dan dapat berehat untuk persediaan perang esoknya.

Allah SWT berfirman;

 إِذۡ يُغَشِّيكُمُ ٱلنُّعَاسَ أَمَنَةً۬ مِّنۡهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيۡكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً۬ لِّيُطَهِّرَكُم بِهِۦ وَيُذۡهِبَ عَنكُمۡ رِجۡزَ ٱلشَّيۡطَـٰنِ وَلِيَرۡبِطَ عَلَىٰ قُلُوبِڪُمۡ وَيُثَبِّتَ بِهِ ٱلۡأَقۡدَامَ
(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu) dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan). – (al-Anfal:11)

Sebaliknya, hujan yang turun menyebabkan kawasan sekitaran tentera Quraisy menjadi becak dan menyebabkan pergerakan mereka menjadi lebih sukar.

Rasulullah saw sentiasa memeriksa barisan tentera Muslimin dan memberi kata semangat kepada mereka. Kemudian balik semula ke bangsal lalu berdoa dengan khusyuk memohon pertolongan dari Allah SWT yang Maha Merahmati.

Di antara doa Baginda saw ialah;
“Ya Allah jika kumpulan hamba-Mu ini musnah(dalam peperangan ini), Engkau tidak akan disembah lagi di bumi ini. Ya Allah, tunaikanlah apa yang Engkau telah janjikan kepadaku. Ya Allah, aku memohon pertolongan-Mu.”

Abu Bakar r.a terus menemani Baginda saw dibelakangnya dan membetulkan semula selendang Baginda sambil berkata kepada Baginda dalam keadaan sayu melihatkan kesungguhan Baginda berdoa;  “Wahai Rasulullah, cukuplah Tuan bermunajat kepada Tuhanmu, kerana sesungguhnya Dia pasti akan menunaikan janji-Nya kepada Tuan.”  HR Bukhari dan Muslim

2.9  Perang Badar bermula

Pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah(624M) berlakulah perang Badar al-Kubra. Serangan dimulakan oleh puak Musyrikin. Al-Aswad bin ‘abdil Aswad menyerbu kearah kolam air kaum Muslimin. Lantas Hamzah bin ‘Abdul Mutthalib r.a berjaya membunuhnya di dalam kolam tersebut.

Seterusnya tiga orang kaum Musyrikin keluar iaitu ‘Uthbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah dan al-Walid bin ‘Uthbah (satu keluarga). Mereka inginkan puak Muhajirin sebagai lawan. Lalu Rasulullah saw memanggil ‘Ubaidah bin al-Hariths, Hamzah r.a dan ‘Ali r.a.

Di dalam pertempuran satu lawan satu ini,
-      Hamzah r.a berjaya membunuh Syaibah.
-      ‘Ali r.a berjaya membunuh al-Walid.
-      Manakala ‘Ubaidah dan ‘Uthbah kedua-duanya cedera.

Kemudian Hamzah r.a dan ‘Ali r.a menyerang ‘Uthbah dan berjaya membunuhnya.
‘Ubaidah di bawa kepada Rasulullah saw dan kemudian menghembuskan nafasnya yang  terakhir.

Tentera Quraisy berasa marah lalu menghujani tentera Muslimin dengan anak-anak panah. Rasulullah saw memerintahkan pasukan pemanah mematahkan serangan mereka dan bertahan di tempat masing-masing. Mereka hanya dibenarkan menyerang di medan pertempuran bersama sahabat yang lain apabila menerima arahan daripada Baginda saw.

2.10  Doa Rasululullah saw

Rasulullah saw berada di dalam bangsal dan berdoa serta memerhatikan ketabahan, kesabaran dan kepahlawanan tenteranya mempertahankan agama Allah SWT.

Baginda saw terlelap sekejap, apabila terjaga terus bersabda;
“Bergembiralah wahai Abu Bakar! Pertolongan Allah telah pun datang. Ini Jibril. Dia memegang tali kekang kudanya sambil menunggangnya di tengah-tengah debu yang berterbangan.”

Rasulullah saw keluar dari bangsalnya ke tempat sahabat lalu memberikan kata-kata peransang;
“Demi Tuhan yang diri Muhammad berada di dalam tangan-Nya, sesiapa yang melawan mereka pada hari ini lalu dibunuh dalam keadaan sabar dan mengharapkan keredhaan Allah , dalam keadaan mara dan tidak berundur(untuk melarikan diri), nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.

Rasulullah saw mengambil segenggam kerikil dan meniup kepadanya. Kemudian melemparkannya kearah tentera Quraisy sambil bersabda kepada para sahabat;
“Kuatkan serangan kamu!”

 2.11  Tsabat dan semangat juang para sahabat

Di dalam peperangan ini, bapa melawan anak dan adik-beradik berlawan sesama sendiri. Prinsip dan dasar perjuangan telah berbeza yang memisahkan antara mereka. Saidina Abu Bakar r.a bersama Rasulullah saw, manakala anaknya ‘Abdur Rahman berjuang bersama Abu Jahal.’Utbah bin Rab’ah menentang Islam manakala anaknya  Abu Huzaifah r.a memperjuangkan Islam.

Laungan tentera Muslimin ialah; “Ahad(Allah Maha Esa), Ahad(Allah Maha Esa)”.

Semasa ‘Abdur Rahman bin ‘Auf r.a di dalam saf perang Badar, tiba-tiba di kanan dan kirinya terdapat dua orang muda belia berbisik kepadanya; “Wahai pakcik, tunjukkan Abu Jahal kepada saya.” 

Abdur Rahman bertanya; “Wahai anak saudaraku, apa yang engkau hendak lakukan?” 

Dia menjawab; “Aku telah berjanji kepada Allah, jika aku nampaknya, aku akan membunuhnya atau aku akan mati kerana hendak membunuhnya!”

Mereka berdua (anak Afra’) telah menyerang Abu Jahal dengan semangat sekali dan meninggalkannya dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Kemudian mereka berdua meneruskan perjuangan dan akhirnya mendapat syahid. Tentera Quraisy berpecah dan bertempiaran lari selepas Abu Jahal tumbang.

Abdullah bin Mas’ud r.a lalu berhampiran tempat mayat-mayat mereka yang terbunuh, lalu menemui Abu Jahal yang masih nyawa-nyawa ikan. Beliau memijak dada Abu Jahal untuk menamatkan riwayatnya.

Barisan tentera Musyrikin menjadi lemah di bawah tekanan dan tentangan iman yang zuhud kepada nikmat kehidupan dunia. Mereka juga gerun kepada Nabi saw yang telah turun sendiri ke medan perang sambil bertarung habis-habisan bersama para sahabat r.’anhum. Lalu kekuatan mereka patah dan mereka diserang rasa takut. Akhirnya tentera Muslimin berjaya melumpuhkan kekuatan musuh dan mereka mengalami kerugian yang besar.

Allah SWT berfirman;

إِذۡ يُوحِى رَبُّكَ إِلَى ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ أَنِّى مَعَكُمۡ فَثَبِّتُواْ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ‌ۚ سَأُلۡقِى فِى قُلُوبِ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ ٱلرُّعۡبَ فَٱضۡرِبُواْ فَوۡقَ ٱلۡأَعۡنَاقِ وَٱضۡرِبُواْ مِنۡہُمۡ ڪُلَّ بَنَانٍ۬ (١٢) ذَٲلِكَ بِأَنَّهُمۡ شَآقُّواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ‌ۚ وَمَن يُشَاقِقِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ فَإِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ (١٣) ذَٲلِڪُمۡ فَذُوقُوهُ وَأَنَّ لِلۡكَـٰفِرِينَ عَذَابَ ٱلنَّارِ
(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka. (12) (Perintah) yang demikian ialah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan RasulNya dan sesiapa yang menentang Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya. (13) Itulah (azab dunia) maka rasalah dia (hai orang-orang kafir). Sesungguhnya orang-orang yang kafir disediakan baginya azab Neraka (di akhirat).- (al-Anfal:12-14)

Kesudahannya, 70 orang Musyrikin mati dalam keadaan hina, kebanyakan mereka adalah pemuka dan pemimpin Makkah dan 70 orang lagi telah ditawan. Selain daripada itu telah lari bertempiaran. Manakala pihak Muslimin seramai 14 orang syahid, 6 orang dari kalangan Muhajirin dan 8 orang dari kalangan Anshar. Inilah kemenangan yang dijanjikan Allah SWT kepada kaum Muslimin.

Allah SWT berfirman;

 وَلَقَدۡ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ بِبَدۡرٍ۬ وَأَنتُمۡ أَذِلَّةٌ۬‌ۖ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ (١٢٣) إِذۡ تَقُولُ لِلۡمُؤۡمِنِينَ أَلَن يَكۡفِيَكُمۡ أَن يُمِدَّكُمۡ رَبُّكُم بِثَلَـٰثَةِ ءَالَـٰفٍ۬ مِّنَ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ مُنزَلِينَ (١٢٤) بَلَىٰٓ‌ۚ إِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ وَيَأۡتُوكُم مِّن فَوۡرِهِمۡ هَـٰذَا يُمۡدِدۡكُمۡ رَبُّكُم بِخَمۡسَةِ ءَالَـٰفٍ۬ مِّنَ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ مُسَوِّمِينَ
Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (123) (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?. (124) Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.-(Aali-‘Imran:123-125)

2.12  Pengakhiran Perang Badar

Rasulullah saw mengarahkan agar mayat tentera Musyrikin dicampakkan ke dalam perigi lama kemudian ditimbus. Pada waktu tengah malam, Baginda saw telah pergi ke perigi itu dan bersabda;
“Wahai isi perigi, wahai ‘Utbah bin Rabi’ah, wahai Syaibah bin Rabi’ah, wahai Umayyah bin Khalaf, wahai Abu Jahal bin Hisyam, adakah kamu semua telah mendapati apa yang dijanjikan Tuhan kamu kepada kamu  itu benar? Sesungguhnya aku telah mendapati apa yang dijanjikan Tuhanku kepadaku itu benar.”

Lalu para sahabat bertanya;
“Wahai Rasulullah, adakah Tuan menyeru orang-orang yang telah menjadi bangkai?” 

Baginda saw bersabda; “Sesungguhnya mereka lebih mendengar kata-kataku berbanding kamu sendiri, tetapi mereka tidak boleh menjawab pertanyaanku.”

Rasulullah saw tinggal di Badar selama 3 hari kemudia berangkat balik ke Madinah bersama tawanan perang dan harta ghanimah. Baginda saw telah menghantar ‘Abdullah bin Rawahah dan Zaid bin Harithah r.’anhuma memaklumkan kemenangan mereka kepada penduduk Madinah. Berita gembira ini sampai ke pengeahuan mereka selepas mereka selesai mengebumikan Ruqayyah puteri Rasulullah saw. Suaminya ‘Uthman bin ‘Affan r.a tidak dapat menyertai perang Badar kerana Baginda saw meminta beliau merawat isterinya. Namun begitu, ‘Uthman r.a tetap mendapat bahagiannya daripada harta ghanimah perang Badar.

3.0  Pengajaran Dari Peperangan Badar

ۡ ڪَانَ لَكُمۡ ءَايَةٌ۬ فِى فِئَتَيۡنِ ٱلۡتَقَتَا‌ۖ فِئَةٌ۬ تُقَـٰتِلُ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَأُخۡرَىٰ ڪَافِرَةٌ۬ يَرَوۡنَهُم مِّثۡلَيۡهِمۡ رَأۡىَ ٱلۡعَيۡنِ‌ۚ وَٱللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصۡرِهِۦ مَن يَشَآءُ‌ۗ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَعِبۡرَةً۬ لِّأُوْلِى ٱلۡأَبۡصَـٰرِ
Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah) dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya). (13)

3.1 Kepentingan Perang Badar

1.    Merupakan peperangan yang pertama bagi umat Islam. Ia membuka mata orang-orang Arab (ketika itu) terhadap agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw. Kekuatan aqidah/tauhid menjelma dalam diri umatnya sehingga memberi kekuatan prinsip atau dasar kehidupan mereka.

2.    Ia menentukan kesinambungan dakwah Islam.
Rasulullah saw berdoa;
“Ya Allah jika kumpulan hamba-Mu ini musnah(dalam peperangan ini), Engkau tidak akan disembah lagi di bumi ini. Ya Allah, tunaikanlah apa yang Engkau telah janjikan kepadaku. Ya Allah, aku memohon pertolongan-Mu.”

3.    Menonjolkan kekuatan Islam dan menimbulkan ketakutan orang kafir untuk membuat sebarang penindasan terhadap umatnya.

      4.   Memberi isyarat kepada kabilah lain bahawa kuasa baru telah bangkit di Semenanjung Arab
            dan juga menguatkan kuasa Nabi Muhammad (SAW) sebagai ketua masyarakat Madinah yang 
            sering bertelagah sebelumnya. Suku Arab tempatan mula memeluk Islam dan berpakat dengan 
            Muslim dari Madinah dan dengan demikianlah perkembangan Islam bermula.


3.2 Faktor Kemenangan Dalam Perang Badar

            1. Tsabat (Tetap teguh) dan Istiqomah
            2. Ukhuwah
            3. Majlis Syura (mesyuarat)
            4. Strategi Yang Betul
            5. Pertolongan Allah SWT

Tsabat (Tetap teguh) Dan Istiqomah

v  Rasulullah saw tsabat membina kekuatan umat dengan mengadakan latihan peperangan yang berkala.

v  Tsabat dalam keta’atan pada haq Allah SWT.
Ø  (an-Nisa’:84 , al-Anfal:59-62)
Ø  Rasulullah saw meneruskan misinya walaupun ketika itu puterinya Ruqayyah dalam keadaan gering.

v  Tsabat dalam keta’atan (wala’) kepada pemimpin.
Ø  Pada peringkat awal, para sahabat menyertai peperangan dengan sukarela, tanpa paksaan daripada Nabi saw.
Ø  Para sahabat dan kaum Ansar bersama Rasulullah saw meneruskan perjalanan ke Badar walaupun mengetahui kafilah Abu Sufyan telah terlepas.
Ø  Pasukan pemanah tidak berganjak dari tempatnya selagi tidak menerima arahan dari Rasulullah saw.

v  Meneruskan perjuangan walaupun kelengkapan perang tidak sempurna dan bilangan tentera yang sedikit.

v  Meneruskan perjuangan walaupun pada bulan Ramadhan.

v  Tsabat dalam rahmat Allah SWT. Rasulullah saw berdoa bersungguh-sungguh, tanpa berputus asa dan bertawakal kepada-Nya.

v  Para sahabat dan tentera Islam tsabat dalam medan perang, tidak berundur apabila menghadapi musuh. Slogan mereka; “Ahad…Ahad”.

   v  Tsabat dalam mempertahankan prinsip dan dasar Islam sehingga bapa melawan  
               anak dan adik beradik melawan adik beradik. Saidina Abu Bakar r.a bersama
               Rasulullah saw, manakala anaknya ‘Abdur Rahman berjuang bersama Abu 
              Jahal.’Utbah bin Rab’ah menentang Islam manakala anaknya  Abu Huzaifah r.a 
              memperjuangkan Islam.

     Ukhuwah

   v  Dalam perjalanan, bergilir-gilir menaiki unta yang satu.
Ø  Imam Ahmad meriwayatkan daripada ‘Abdulullah bin Mas’ud r.a bahawa beliau berkata:
“Pada hari peperangan Badar, kami bergilir-gilir tiga orang di atas seekor unta. Abu Lubabah dan Ali bin Abi Tholib bergilir dengan Rasulullah saw. Apabila tiba giliran Rasulullah saw berjalan, mereka berdua berkata kepada Baginda saw; ‘Kami akan terus berjalan supaya Tuan terus menunggang.’ Baginda saw bersabda; ‘Kamu berdua tidaklah lebih kuat berjalan daripadaku. Aku pula bukanlah orang yang tidak perlu kepada pahala berbanding kamu!” –juga diriwayatkan oleh al-Hakim, katanya hadith ini sahih seperti syarat Muslim.

v  Bersatunya pasukan pemanah dan tiada perpecahan.

Majlis Syura

v  Sebelum Rasulullah saw meneruskan perjalanan ke Badar, Baginda saw meminda pandangan sahabatnya Abu Bakar ash-Siddiq r.a dan Umar al-Khatthab r.a. Kemudian meminta pandangan kaum Ansar kerana kumpulan mereka paling ramai.

v  Rasulullah saw mendengar pandangan-pandangan ahli syura dan melaksanakannya apabila ia memberi manfa’at. Baginda saw telah menerima pandangan Al-Hubab bin al-Munzir r.a untuk berkhemah berhampiran tentera Quraisy. Baginda saw juga menerima pandangan Sa’ad bin Muadz untuk membina bangsal untuknya di bahagian berdekatan dengan tentera Ansar.


Strategi Yang Betul

v  Membina kekuatan dengan melatih tentera bersenjata menghadapi peperangan kecil sebelum menghadapi peperangan yang besar.

v  Rasulullah saw melantik ketua menggantikannya di Madinah sepanjang peninggalannya.

v  Mengambil tahu maklumat musuh; pergerakan dan kekuatan mereka.

v  Menimbulkan rasa takut di pihak musuh.

v  Membawa panji-panji menunjukkan kekuatan tentera Islam.

v  Rasulullah saw sentiasa memeriksa barisan tenteranya sebagai tanda sentiasa berwaspada dan bersiap-siaga.

v  Melibatkan golongan muda dalam peperangan kerana mereka tangkas dan bertenaga(anak Afra’ telah menumbangkan Abu Jahal).

v  Rasulullah saw sebagai pemimpin sentiasa meniupkan semangat dan kata-kata yang memotivasikan.
Ø  “Ayuh berjalan dan bergembiralah. Sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan kepadaku salah satu daripada dua kumpulan itu. Demi Allah, seolah-olah aku nampak tempat terbunuhnya kaum itu.”
Ø  “Demi Tuhan yang diri Muhammad berada di dalam tangan-Nya, sesiapa yang melawan mereka pada hari ini lalu dibunuh dalam keadaan sabar dan mengharapkan keredhaan Allah , dalam keadaan mara dan tidak berundur(untuk melarikan diri), nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.”


     Pertolongan Allah SWT

v  Menurunkan hujan menyebabkan pasir padat dan keras, ini memudahkan pergerakan tentera Muslimin tetapi menyebabkan kawasan tentera Quraisy becak dan menyukarkan pergerakan mereka.

v  Menimbulkan rasa mengantuk kepada tentera Muslimin supaya dapat rehat yang cukup sebelum bertempur dengan musuh esoknya. Lazimnya, bila berada dalam keadaan yang genting (seperti peperangan) seseorang itu tidak dapat melelapkan matanya kerana bimbang.

v  Menurunkan malaikat turut berperang membantu tentera Muslimin.
Ø  Abdullah bin Abbas meriwayatkan bahwa ketika seorang sahabat mengejar dengan gigih seorang musyrik yang ada di depannya, tiba-tiba ia mendengar suara pukulan dan suara penunggang kuda yang menghentakkan kudanya. Lalu sahabat tersebut melihat orang musyrik itu jatuh tewas terkapar dengan keadaan hidung dan wajahnya terluka berat akibat pukulan keras. Hal tersebut ia ceritakan kepada Rasulullah saw, Baginda bersabda, “Kau benar, itu adalah pertolongan Allah dari langit ketiga.” (H.R.Bukhari dan Muslim)

v  Meneguhkan hati tentera Islam.

v  Mencampakkan rasa gerun di dalam hati tentera Musyrikin.

     (Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka. (12) (Perintah) yang demikian ialah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan RasulNya dan sesiapa yang menentang Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya. (13) Itulah (azab dunia) maka rasalah dia (hai orang-orang kafir). Sesungguhnya orang-orang yang kafir disediakan baginya azab Neraka (di akhirat).- (al-Anfal:12-14)

     Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (123) (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?. (124) Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.- (Aali-‘Imran:123-125)

     Segala-galanya adalah dari Allah SWT. Usah sombong kerana sesungguhnya manusia sebenarnya adalah lemah.

      Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir) dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (17) Demikianlah (caranya nikmat yang dikurniakanNya kepada kamu) dan sesungguhnya Allah sentiasa melumpuhkan tipu daya orang-orang yang kafir. (18) –(al-Anfal:17-18)


Wallahu’alam