16 Julai 2011
3.16 Qadar Allah : Tiada Yang Berkebetulan
إِنَّا كُلَّ شَىۡءٍ خَلَقۡنَـٰهُ بِقَدَرٍ۬ (٤٩)
“Sesungguhnya Kami ciptaan segala sesuatu itu dengan ukuran yang rapi.” – (al-Qamar:49)
وَلَمۡ يَتَّخِذۡ وَلَدً۬ا وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ شَرِيكٌ۬ فِى ٱلۡمُلۡكِ وَخَلَقَ ڪُلَّ شَىۡءٍ۬ فَقَدَّرَهُ ۥ تَقۡدِيرً۬ا (٢)
“Dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, iaitu menentukan keadaan makhluk itu dengan ketentuan taqdir yang sempurna.” – (al-Furqan:2) …………Sayyid Qutb
Semua perkara atau keadaan yang berlaku atau yang terjadi ke atas makhluk yang wujud di dalam Alam Semesta ini bukanlah suatu yang berlaku dengan sendirinya atau secara kebetulan. Ia adalah suatu yang telah dirancang dengan teliti dari semua segi, semua ukuran, semua sudut dan semua keadaan oleh Allah sebagaimana yang telah difirmankan dalam surah al-Qamar ayat 49. Begitu juga di dalam surah al-Furqan ayat 2. Setiap ketentuan Allah itu adalah Qadar-Nya.
Jadi fahamlah kita bahawa Qadar itu ialah ketentuan atau ketetapan Allah sejak azali lagi. Sejak azali bermaksud suatu yang tiada permulaan. Sesuatu yang tiada permulaan ialah sesuatu yang wujud sebelum wujudnya masa atau waktu. Kita perlu faham bahawa 'waktu' itu adalah makhluk Allah sebagai mana makhluk yang lain seperti manusia, binatang, tumbuhan, batu, air, udara, langit, cakerawala, malah mati juga adalah suatu makhluk.
Semua yang wujud dan yang berlaku adalah sudah ditentukan oleh Allah swt kerana Dia adalah ‘Khaliq’ iaitu Maha Pencipta. Dia boleh mencipta apa sahaja. Suatu yang berlaku itu seolah-olah suatu projek atau kertas kerja yang telah lengkap dengan objektifnya, cara kerjanya, masalah yang perlu dihadapi, cara mengatasi dan hasil akhir . Ini bermaksud semuanya telah dirancang lebih awal. Oleh itu menjadi kesalahan jika kita katakan apa yang berlaku keatas diri kita ini adalah secara kebetulan. Tiada istilah kebetulan dalam kamus hidup orang Islam. Semuanya telah ditetapkan.
Cuba lihat situasi berikut:
1. “Wah! Hari ini kita mendapat keuntungan yang besar. Kebetulan ada seorang jutawan telah menempah semua produk kita.”
2. Seorang pelajar sekolah rendah darjah satu telah meninggal dunia ditempat kejadian dalam suatu kemalangan. Seorang saksi telah berkata; “Kebetulan semasa budak tu melintas, sebuah motosikal telah membelok kearahnya dengan laju.”
Sebenarnya tiada kebetulan, semuanya sudah di dalam tetapan Allah:
1. Allah telah menetapkan (Qadar Allah), hari ini orang itu mendapat rezeki yang banyak. Bersyukurlah kerana ia mungkin sebagai ujian atau anugerah dari Allah swt.
2. Allah telah menetapkan(Qadar Allah) ajal pelajar tersebut pada hari itu. Sesungguhnya Allah berupaya mengambil kembali apa yang telah dipinjamkannya. Tidak mengapa mengalirkan air mata tanda kesedihan tetapi tidaklah perlu terlalu kecewa sehingga bertindak melulu. Seolah-olah tidak redha dengan ketentuan Allah swt. Siapalah kita untuk tidak bersetuju dengan ketentuan-Nya.
Di dalam al-Quran menceritakan kisah Nabi Yusuf a.s sebagai pengiktibaran, tiada kebetulan malah ia adalah tetapan dengan perancangan yang rapi. Perencanaan Ilahi yang rapi ini terdapat pada ketentuan waktu, penentuan tempat, penentuan kadar dan sempurna dalam segala keadaan dan suasana;
Allah swt telah menetapkan Nabi Ya’kub a.s berkahwin lagi sehingga mempunyai Nabi Yusuf a.s dan saudaranya Bunyamin. Ini bertujuan supaya saudara-saudara Nabi Yusuf a.s yang tidak seibu denganya menaruh hasad dengki kepada beliau dan membuangkannya ke dalam sebuah telaga. Mereka tidak membunuh beliau supaya beliau dapat dipungut oleh pengembara-pengembara dan menjualkannya di Mesir; supaya beliau dapat dipelihara di dalam istana pembesar Mesir; supaya beliau dicintai oleh isteri pembesar itu; supaya beliau dapat mengatasi nafsu keinginannya; supaya beliau disumbatkan ke dalam penjara; Supaya beliau bertemu di dalam penjara itu dua orang pelayan raja; supaya beliau dapat menta'birkan mimpi mereka berdua .... Mengapa Yusuf a.s menerima keseksaan itu? Mengapa Nabi Ya'kub a.s juga turut terseksa? Mengapa Nabi Ya'kub hilang penglihatannya kerana terlalu dukacita? Mengapa Yusuf a.s yang baik dan bersih hati itu terseksa dengan berbagai-bagai penderitaan?
Kemudian selepas sekian masa berada di dalam 'azab penjara barulah pertama kalinya datang jawapan, iaitu kerana taqdir Ilahi telah menyediakan beliau untuk mengendalikan pemerintahan negeri Mesir dan umatnya, juga negari-negeri jiran di dalam tahun-tahun kemarau yang berlangsung selama tujuh tahun itu. Kemudian apa lagi? Kemudian supaya beliau menjemput ibubapanya dan saudara-saudaranya ke negeri Mesir supaya dari keturunan merekalah lahirnya umat Israel supaya mereka ditindas oleh Fira'aun; supaya dibangkitkan Nabi Musa as dikalangan mereka dengan segala taqdir dan tadbir Ilahi yang menyelubungi perjuangan hidupnya.
Begitu juga peristiwa perkahwinan Nabi Ibrahim a.s, datuk kepada Nabi Ya'kub a.s dengan Siti Hajar dari bangsa Mesir itu bukanlah satu peristiwa `personal', malah segala peristiwa sebelumnya yang berlaku kepada Nabi Ibrahim a.s itulah yang telah membawa beliau berpindah dari tanahairnya di Iraq. Kemudian beliau lalu di negeri Mesir supaya beliau mengambil Siti Hajar di sana. Siti Hajar seterusnya melahirkan Nabi Ismail a.s, supaya Ismail dan ibunya tinggal di Baitullahil-Haram; supaya dibangkitkan Nabi Muhammad saw dari keturunan Nabi Ibrahim a.s di semenanjung Tanah Arab. Iaitu sebuah negeri yang paling sesuai untuk memikul tugas membawa agama Islam. Supaya berlakulah selepas itu peristiwa yang paling agung di dalam sejarah umat manusia umumnya.
Setiap perkara dan kejadian ada hikmatnya, tetapi hikmat itu adalah suatu hikmat ghaib yang amat mendalam dan mungkin tidak ternampak kepada pandangan manusia yang singkat:
فَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَيَجۡعَلَ ٱللَّهُ فِيهِ خَيۡرً۬ا ڪَثِيرً۬ا (١٩)
“Kamu mungkin bencikan sesuatu, sedangkan Allah menjadikan padanya kebajikan yang banyak.” –(an-Nisa’:19)
وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ شَرٌّ۬ لَّكُمۡۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ (٢١٦)
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan kamu mungkin sukakan sesuatu, sedangkan ia lebih buruk kepada kamu. Dan hanya Allah yang mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” – (al-Baqarah:216)………..Sayyid Qutb
Semua Qadar Allah sudah tentu ada hikmat-hikmat disebaliknya. Allah tidak akan menjadikan sesuatu itu sia-sia. Malah sehelai daun yang gugur ke atas muka Bumi adalah di dalam pengetahuan dan perkiraan Allah. Di antara hikmat yang boleh difikirkan ialah, daun akan menjadi kompos atau baja kepada tumbuhan itu sendiri. Ia juga boleh memberi pengajaran kepada manusia yang berfikir bahawa setiap yang hidup pasti akan mati, setiap yang muda pasti akan tua dan gugur kerana lemah. Oleh itu manusia tidak perlu sombong kerana kesombongannya akan lenyap apabila tiba masa ia lemah. Mungkin ada banyak lagi hikmat-hikmat yang tidak dapat dijangkau oleh fikiran kita. Ini kerana fikiran manusia adalah terbatas. Idea-idea yang dia ada itu pun adalah ketetapan Allah sebagai suatu pengurniaan.
Kadang-kadang kita berasa benci suatu perkara itu berlaku keatas diri kita kerana dalam perkiraan kita ia adalah mencelakakan. Sedangkan terdapat banyak hikmat-hikmat yang tidak ketahui sebagaimana telah dinyatakan di dalam surah an-Nisa’ ayat 19 dan surah al-Baqarah ayat 216 diatas.
Perlulah diyakini bahawa setiap ketetapan yang Allah jadikan ke atas diri kita adalah baik untuk kita kerana ia mengandungi hikmat-hikmat yang kadang-kadang tidak terlihat oleh kita.
Kadang-kadang manusia hanya nampak hujung tali sejarah yang dekat sahaja dan tidak nampak hujung tali sejarah yang jauh. Kadang-kadang natijah/hasil yang ditunggu di dalam usia mereka yang pendek ini tidak kunjung tiba. Mereka terlindung dari hikmat tadbir Ilahi dan membuat mereka tidak sabar, lalu diminta dipercepatkan, dan membuat mereka tidak redha dan kadang-kadang naik bosan, kecewa, rasa marah dan bersifat ragu-ragu serta marah. Sesungguhnya Qadha' Allah meliputi segala-galanya, yang halus dan yang mendalam.
Allah telah mengajar manusia seperti mana di dalam Al-Qur'an bahawa segala sesuatu telah ditentukan oleh taqdir (Qadar) Ilahi supaya mereka menyerahkan urusan itu kepada Allah, supaya hati mereka tenteram dan tenang. Juga mereka berjalan bersama taqdir Ilahi dengan perasaan yang harmoni dan mesra dalam penghidupan ini.
11 Julai 2011
3.15 Pertarungan Di Antara Jahiliyah Dan Islam
Perbincangan ini ada perkaitan dengan siri yang lepas di bawah tajuk ‘Umat Yang Satu’
Surah Ibrahim 14:13
وَقَالَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ لِرُسُلِهِمۡ لَنُخۡرِجَنَّڪُم مِّنۡ أَرۡضِنَآ أَوۡ لَتَعُودُنَّ فِى مِلَّتِنَاۖ فَأَوۡحَىٰٓ إِلَيۡہِمۡ رَبُّہُمۡ لَنُہۡلِكَنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
“Dan orang-orang kafir itu berkata kepada rasul-rasul mereka: “Kami tetap akan mengusir kamu dari negeri kami atau kamu kembali semula kepada agama kami, lalu Allah Tuhan mereka mewahyukan kepada mereka: “ Sesungguhnya Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang zalim dan Kami tetap akan menempatkan kamu di negeri itu selepas (kebinasaan) mereka. (Janji) yang sedemikian adalah untuk orang-orang yang takut kepada maqam-Ku dan takut kepada janji `azab-Ku.”
Jahiliyah tidak rela Islam mempunyai identiti yang terpisah darinya. Jahiliyah tidak ingin melihat Islam wujud. Jahiliyah tidak sanggup hidup bersama Islam walaupun Islam boleh hidup disampingnya. Islam mempunyai identiti yang tersendiri, yakni bergerak mengikut syariaat Islam dan patuh kepada Allah. Inilah yang didengkikan oleh jahiliyah.
Orang-orang yang tidak inginkan Islam dan tidak yakin kepada Rasul dan para penda'wah; mereka bukan hanya sekadar meminta da'wah dihentikan, malah menuntut orang-orang yang menyeru kepada Islam supaya kembali kepada Jahiliyah. Bersama-sama mengikut Jahiliyah agar mereka tidak lagi mempunyai identiti/sifat Islam walaupun namanya ialah seperti orang Islam. Inilah yang ditolak oleh agama Islam dan para rasul-Nya. Justeru itu seseorang Muslim tidak harus menggabungkan dirinya dalam kelompok jahiliyah.
Apabila golongan Jahiliyah menunjukkan wajahnya yang sebenar, kejam dan zalim, maka tiada ruang lagi untuk berda'wah dan berhujah, namun Allah tidak akan menyerahkan para rasul-Nya dan para da'i yang mukhlis kepada Jahiliyah.
Kelompok Jahiliyah tidak akan membenarkan orang-orang beriman bergerak di dalam kalangan mereka KECUALI orang-orang ini bekerja dan mengorbankan daya tenaga untuk kepentingan golongan Jahiliyah dan menguatkan kedudukan mereka. Orang-orang yang menyangka bahawa mereka boleh bekerja meninggikan agama Islam dengan cara menyusup ke dalam masyarakat Jahiliyah adalah orang-orang yang tidak memahami `character' golongan Jahiliyah dan tidak mengambil pengajaran dari kisah-kisah nabi terdahulu. Para Rasul yang mulia menolak tuntutan supaya kembali semula ke dalam jahiliyah selepas mereka diselamatkan Allah dari golongan ini. Tiada kompromi dalam `aqidah dan ibadah sepertimana yang diterangkan dalam surah al-kafirun.
Allah akan menurunkan `azab yang membinasakan golongan jahiliyah; iaitu `azab yang tidak dapat dihalang oleh kekuatan manusia yang kerdil walaupun mereka penguasa-penguasa zalim dan bermaharajalela:
“Lalu Allah mewahyukan kepada mereka: Sesungguhnya Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim.” (13)
Kita mestilah memahami bahawa campur tangan Allah untuk menyelesaikan pertarungan di antara para Rasul dengan golongan Jahiliyah (kaum mereka) berlaku bila mana para-Rasul menolak tawaran mereka untuk kembali kepada agama kaum mereka, para Rasul berdiri teguh mempertahankan identiti Islam dan kelompok orang-orang beriman, dan sanggup berpisah dengan kaumnya atas dasar `aqidah. Maka terjadilah satu masyarakat berpecah menjadi dua umat berlainan (Islam dan Jahiliyah) yang mempunyai perbezaan dari segi `aqidah, cara hidup, cara pemikiran, `mind-set', neraca dan ukuran kepimpinan dalam masyarakat. Di ketika inilah Allah akan menimpakan pukulan `azab yang membinasakan para Taghut yang mengancam keselamatan para Mu'min. Allah akan mengukuhkan kedudukan orang-orang Mu'min dan memberikan kemenangan dan kedudukan yang kuat kepada rasul-rasul-Nya. Campur tangan ini tidak akan berlaku andainya orang-orang Islam melarutkan diri mereka di dalam masyarakat Jahiliyah.
“نَّ” pada perkataan “لَنُہۡلِكَنَّ “ ialah “نَّ” menunjukkan kepada keagungan dan ketegasan. Yakni Kami tetap akan membinasakan sekalian orang-orang yang zalim yang mengancam para Mu'minin.
Surah Ibrahim 14:14
وَلَنُسۡڪِنَنَّكُمُ ٱلۡأَرۡضَ مِنۢ بَعۡدِهِمۡۚ ذَٲلِكَ لِمَنۡ خَافَ مَقَامِى وَخَافَ وَعِيدِ (١٤)
“ Dan Kami akan menempatkan kamu mendiami negeri itu selepas mereka. (Janji) itu adalah untuk orang-orang yang takut kepada maqam keagungan-Ku dan takut kepada janji seksa-Ku” (14)
Ini bukannya pilih kasih dan bukan pula tindakan sembarangan, malah itulah undang-undang Allah yang berkuatkuasa dan adil. Ni'mat menjadi khalifah di bumi dikurniakan kepada mereka yang takut kepada kebesaran dan keagungan Allah. Mereka yang tidak sombong, takbur, zalim dan tidak bertindak sewenang-wenangnya kerena mereka takut kepada janji dan seksaan Allah. Oleh itu, golongan beriman akan berwaspada dan menjauhi segala perkara yang dimurkai Allah; tidak melakukan kerosakan dibumi; dan tidak menganiayaikan serta menzalimi manusia. Dengan ini, mereka wajar menerima ni'mat menjadi pemerintah di bumi.
Demikianlah bertembungnya kekuatan manusia yang kerdil (yang merasakan dirinya berkuasa dan bertindak zalim) dengan kekuatan Allah Yang Maha Gagah, Maha Kuasa dan Maha Agung. Sempurnalah tugas para Rasul yang telah memberikan peringatan dan melakukan pemisahan yang membezakan orang-orang Mu'min dan orang-orang yang mendustakan da'wah.
Surah Ibrahim 14:15-17
وَٱسۡتَفۡتَحُواْ وَخَابَ ڪُلُّ جَبَّارٍ عَنِيدٍ۬ (١٥) مِّن وَرَآٮِٕهِۦ جَهَنَّمُ وَيُسۡقَىٰ مِن مَّآءٍ۬ صَدِيدٍ۬ (١٦) يَتَجَرَّعُهُ ۥ وَلَا يَڪَادُ يُسِيغُهُ ۥ وَيَأۡتِيهِ ٱلۡمَوۡتُ مِن ڪُلِّ مَكَانٍ۬ وَمَا هُوَ بِمَيِّتٍ۬ۖ وَمِن وَرَآٮِٕهِۦ عَذَابٌ غَلِيظٌ۬ (١٧)
“ Dan mereka (Rasul) memohon kemenangan (kepada Allah), maka kecewalah setiap orang yang bermaharaja-lela dan degil”(15). Di belakangnya Neraka Jahannam dan mereka diberi minum dari air danur (16). Dia menghirupnya dan hampir-hampir tidak tertelan olehnya dan maut datang mengepunginya dari segenap tempat, tetapi dia tidak juga mati, dan dibelakangnya masih ada lagi `azab yang amat dasyat.” (17)
Golongan Jahiliyah yang zalim berdiri dalam satu barisan; para Rasul dan orang-orang Mu'min di barisan lain pula dan masing-masing berdoa untuk mendapat pertolongan dan kemenangan.
Kekecewaan telah menimpa setiap orang zalim yang degil di dunia ini. Mereka diberi balasan Neraka, dan diberi minuman dari air danur yang keluar dari tubuh-tubuh manusia. Mereka diberi minum secara kasar dan mereka menghirupkannya dangan jijik hampir-hampir tidak tertelan oleh mereka kerana terlalu kotor dan pahit. Kejijikan golongan jahiliyah yang zalim kelihatan begitu jelas dari kata-kata ayat ini. Mereka dikepung maut dari segenap penjuru, tetapi mereka tidak juga mati, supaya mereka merasa `azab itu sepenuhnya dan di belakang mereka ada lagi `azab yang amat dasyat.
Kata-kata غَلِيظٌ۬ yang bererti “kasar” atau “dasyat” menjadikan pemandangan ketika itu begitu menakutkan. Ini sesuai dengan kekuatan golongan Jahiliyah yang zalim yang mereka gunakan untuk menindas, mengganas, menyeksa dan mengancam penda'wah-penda'wah yang memperjuangkan kebenaran, keadilan, kebaikan dan `aqidah Islam.
09 Julai 2011
3.14 UMAT YANG SATU
“Dan sesungguhnya umat (para anbia') ini adalah umat kamu iaitu umat yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu. Oleh itu sembahlah Aku." - Surah al-Anbia' 21:92
‘Ini’ merujuk kepada Nabi-nabi yang di jelaskan didalam surah Anbia’ ayat 48 hinggalah ayat 91, mengisahkan peristiwa-peristiwa beberapa orang Nabi dengan babak-babak kisah yang pendek. Kisah Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s serta perbezaan di antara Taurat dan Al-Qur'an; Kisah Nabi Ibrahim dengan berhala-berhala kaumnya; Kisah anak-anak Nabi Ibrahim (Nabi Ismail as dan Nabi Isyaq as) dan cucunya (Nabi Ya'kub as); Kisah Nabi Lut dan kaumnya yang mengamalkan homoseks dan bagaimana Allah merahmati Nabi Lut as dan menyelamatkannya; Kisah Allah memperkenankan doa Nabi Nuh as dan menyelamatkannya dari malapetaka yang membinasakan kaum dan keluarganya; Kisah-kisah berkenaan kelebihan-kelebihan Nabi Daud dan Nabi Sulaiman as; Kisah kesabaran Nabi Ayyub as; Kisah Para Anbiya' yang terkenal sabar seperti Nabi Ismail as, Nabi Idris as dan Nabi Zulkifli as; Kisah Nabi Yunus as dan ujian yang ditempuhnya; Kisah Nabi Zakaria as dan Rahmat Allah kepadanya dengan mengurniakan anak ketika usianya tua iatu NabiYahya as.
‘Kamu’ merujuk kepada kita semua. Kita dan para Rasul-rasul sebelum ini disatukan oleh ‘aqidah. Ini diterangkan pada ayat ke-92; Allah menerangkan bahawa umat Anbia' adalah umat kamu. Para Rasul menyeru ke arah kesatuan `Aqidah dan kesatuan jalan menuju Allah, di sepanjang zaman seolah-olah mereka merupakan satu umat walaupun zaman dan tempat mereka berjauhan. Itulah umat yang satu di muka bumi dan Tuhan Yang Maha Esa di langit. Tiada Tuhan selain Allah dan Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.
“Angkatan manusia yang mulia yang bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat lama itu menghadapi - seperti yang tergambar di bawah bayangan Al-Qur'an - keadaan-keadaan yang serupa, krisis-krisis yang serupa dan pengalaman-pengalaman yang serupa di sepanjang zaman di berbagai-bagai tempat dan di kalangan berbagai-bagai kaum.
Angkatan ini menghadapi kesesatan, kebutaan, kezaliman, hawa nafsu yang liar, penindasan, kekejaman, ancaman dan pengusiran, tetapi ia terus mara menyusuri jalannya dengan langkah-langkah yang tetap, dengan hati nurani yang tenteram, dengan kepercayaan dan harapan yang penuh terhadap pertolongan Allah dengan hati yang menunggu-nunggu di setiap saat ketibaan janji Allah yang benar.” ......Sayyid Qutb
Apabila kita meneliti kisah-kisah yang diceritakan oleh Allah swt di dalam al-Quran, kita akan nampak sesuatu yang hendak dipaparkan sebagai satu tasawur atau paradigma Islam. Iaitu bagaimana Allah mengurniakan Rahmat dan pemeliharaan-Nya terhadap para Rasul-Nya. Begitu juga dengan akibat-akibat yang telah menimpa umat-umat yang mendustakan para Rasul setelah disampaikan kepada mereka penerangan-penerangan yang jelas. Dikisahkan jua beberapa ujian Allah terhadap para Rasul sama ada berbentuk kesenangan dan kesusahan dan bagaimana mereka telah menempuh ujian itu.
Kemudian umat Nabi Muhammad saw juga akan menghadapi ‘pattern’ yang sama. Apa yang akan dihadapi? Umat Nabi Muhammad saw akan menghadapi krisis yang serupa, pengalaman yang sama, walaupun di tempat yang berbeza dan dengan kaum yang berbeza, tutur bahasa juga berbeza tetapi masalah yang dihadapi adalah dalam bentuk yang serupa.
Sewaktu Rasulullah saw menerima wahyu yang pertama di gua Hira’, isterinya Khadijah membawa Baginda berjumpa dengan anak saudaranya bernama Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abd al-‘Uzza yang telah memeluk agama Nasrani. Beliau pernah menulis kitab-kitab suci dalam bahasa Ibri dan al-Injil dalam bahasa Hebrew dengan izin Allah.
Khadijah berkata; “Wahai anak saudaraku, cubalah kau dengar perihal dari saudaramu ini.” Jawab Waraqah; “Apakah gerangan wahai saudaraku?” Rasulullah saw pun menceritakan apa yang telah berlaku ke atasnya di gua Hira’.
Lantas Waraqah berkata; “ Itulah dia malaikat yang telah mendatangi Musa a.s, kalaulah daku ini masih muda, dan kalaulah daku masih hidup ke saat kau dihalau keluar oleh kaum kau.”Rasulullah saw bertanya; “Apakah aku ini akan dihalau keluar oleh mereka?”
Jawab Waraqah; “Ya, memang, tidak pernah datang seorang manusia seperti kau ini dengan bawaannya, malah kesemuanya ditentang, kalaulah daku sempat sampai ke hari-hari kau itu pasti akan ku bantu kau sepenuhnya,” Tidak berapa lama selepas itu Waraqah pun meninggal dunia.
Bagaimana Waraqah dengan yakin itu adalah malaikat, bukan hantu atau jin? Bagaimana Waraqah dapat menjangkakan bahawa Rasulullah saw akan ditentang dan diusir keluar dari kaumnya?
Beliau adalah penulis kitab suci dan al-Injil. Perkara yang sama telah berlaku kepada Rasul-Rasul sebelumnya. Sepatutnya kita kena faham bahawa ‘pattern’ kehidupan orng Islam adalah sama seperti ini. Penentangan dan siksaan pasti akan berlaku. Kalau tidak berlaku adalah suatu keganjilan. Tentu kita tidak melakukan suatu yang betul. Kita telah mengelak dari melakukan suatu perkara yang sepatutnya kita buat. Umat Islam sebelum dan selepas zaman Rasulullah saw semuanya ditentang kerana mereka bekerja menyebarkan Islam. Melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar.
Ramai juga yang takut untuk melaksanakan tugas ini kerana takut dipulaukan, takut digugurkan dari jawatan, takut dimarahi, takut itu dan takut ini. Natijahnya, dunia tidak akan berubah.
Kisah Nabi Musa a.s dikejar oleh Bani Israel dan Fir’aun yang berada di belakangnya. Ketika itu keimanan umatnya belum begitu mantap tetapi masih tetap mengikut arahannya. Mereka bertanya; “Wahai Musa, engkau hendak bawa kami ke mana?” Sampai di tepi persisiran pantai, mereka bertanya lagi; “Eh! Betul ke kau ni?”Nabi Musa a.s pun menjawab dengan yakin; “Bersama aku Allah yang menunjuk jalan.” Kemudian wahyu terus turun kepada beliau supaya memukul tongkatnya ke atas pasir. Laut pun terbelah. Nabi Musa a.s dan pengikutnya terselamat dengan pertolongan Allah swt.
Kisah Nabi Ibrahim a.s yang telah dimasukkan ke dalam api yang marak membakar. Di ketika itu beliau yakin Allah pasti menolongnya dan tidak akan mati terbakar. Beliau merasakan di dalam api itulah tempat yang paling selamat berbanding di luar sana.
Kisah Saidina ‘Ali r.a yang tidur di atas katil Nabi saw. Sebelum beliau ditinggalkan oleh Rasulullah saw, Baginda berpesan; “Kamu tidurlah di sini. Apabila kamu bangun, sampaikanlah kembali semua harta-harta simpanan yang telah diamanahkan kepadaku kepada tuan-tuan yang hak. Kita jumpa di Madinah.”Mendengarkan perkataan Rasulullah saw bahawa mereka akan berjumpa di Madinah, maka yakinlah dia bahawa ia akan selamat dan hidup. Beliau pernah berkata; “Aku tidak pernah tidur dengan aman dan tenteram melainkan pada malam itu.”
Dalam surah Ibrahim ayat 13 hingga 14, Allah swt berfirman:
وَقَالَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ لِرُسُلِهِمۡ لَنُخۡرِجَنَّڪُم مِّنۡ أَرۡضِنَآ أَوۡ لَتَعُودُنَّ فِى مِلَّتِنَاۖ فَأَوۡحَىٰٓ إِلَيۡہِمۡ رَبُّہُمۡ لَنُہۡلِكَنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ (١٣) وَلَنُسۡڪِنَنَّكُمُ ٱلۡأَرۡضَ مِنۢ بَعۡدِهِمۡۚ ذَٲلِكَ لِمَنۡ خَافَ مَقَامِى وَخَافَ وَعِيدِ (١٤)
“Orang-orang kafir berkata kepada Rasul-rasul mereka; ‘Kami sungguh-sungguh akan mengusir kamu dari negeri kami atau kamu kembali kepada agama kami.’ Maka Tuhan mewahyukan kepada mereka; ‘Kami pasti akan membinasakan orang-orang yang zalim itu.(13) dan Kami pasti akan menempatkan kamu di negeri-negeri itu sesudah mereka. Yang demikian itu (adalah untuk) orang-orang yang takut (akan menghadap) ke hadirat-Ku dan takut kepada ancaman-Ku.”
Semasa ayat ini diturunkan, orang-orang kafir masih belum dihancurkan oleh Allah. Sahabat Nabi Muhammad saw ketika itu merasai mereka juga akan menghadapi situasi yang sama. Mereka akan dihalau dari Mekah. Kemudian orang-orang kafir itu akan dihancurkan. Umat Islam akan menggantikan tempat mereka dan mencapai kemenangan. Ini akan hanya berlaku kepada orang yang takut kepada ancaman Allah dan takut untuk menghadap kepada-Nya.
Kesimpulannya, kita mestilah meyakini bahawa:
1. Setiap orang Islam yang melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar pasti akan menghadapi tentangan, ancaman, dan sikap yang sama terhadap mereka sebagaimana telah berlaku terhadap Rasul-rasul dan kaumnya yang terdahulu.
2. Nasib kesudahan yang sama akan berlaku kepada orang kafir dan orang Muslim. Orang kafir akan musnah dan orang Muslim akan menggantikan mereka dan akan mencapai kemenangan.
3. Apabila orang Muslim menerima tekanan yang semakin dasyat, ini menunjukkan pertolongan Allah semakin hampir.
4. Sekiranya tiada tentangan dan kecaman yang berlaku, ini menunjukkan orang Muslim sudah tidak melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan. Maka tiada kemenangan untuk orang Islam.
5. Sudah menjadi sunnahtullah, Allah tidak akan memberi kemenangan kepada orang-orang yang tidak bersih.
6. Orang Islam mestilah yakin dengan hati nurani yang tenteram, hati yang penuh pengharapan dan menunggu-nunggu terhadap pertolongan Allah
04 Julai 2011
4.7 Surah al-Kafirun سُوۡرَةُ الکافِرون
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ (١)
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! (1)
لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ (٢) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٣)
Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. (2) Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. (3)
وَلَآ أَنَا۟ عَابِدٌ۬ مَّا عَبَدتُّمۡ (٤) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٥)
Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. (4) Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. (5)
لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِىَ دِينِ (٦)
Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. (6)
Nama Surah
Surah ini dinamakan al-Kafirun kerana Allah swt memerintahkan Nabi Muhammad saw supaya menegaskan kepada orang-orang kafir; “Katakanlah, wahai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.”
Ia juga dinamakan al-Munabazah, al-Ikhlas dan al-Muqasyqasyah.
Berlaku khilaf (berlainan pendapat) tentang surah ini diturunkan di Mekah atau Madinah. Namun Pendapat yang terkuat adalah surah ini telah diturunkan di Mekah.
Terdapat hadith menyatakan(hadith yang tidak kuat) surah al-Kafirun ini menyamai 1/3 daripada al-Qur’an. Ada yang menyatakan ia menyamai ¼ daripada al-Qur’an.
Di dalam tafsir al-Qurtubi, ada suatu riwayat menyatakan, Rasulullah saw berkata kepada seorang sahabat yang miskin yang akan bermusafir; “Adakah kamu ingin aku ajarkan kepada mu dalam perjalanan kamu ini akan menjadikan kamu kaya?”
Sahabat menjawab ; “Bahkan ya Rasulullah”.
Kemudian Rasulullah saw pun mengajarkannya supaya membaca surah al-Ikhlas dan al-Kafirun. Apabila sahabat ini mengamalkan apa yang diajarkan oleh Rasulullah saw, beliau tidak lagi merasai kesusahan.
Namun, bukanlah tujuan utama kita mempelajari al-Qur’an untuk mendapatkan fadilat-fadilatnya. Yang paling penting (pokok)ialah pengajaran-pengajaran yang diperolehi daripada ayat-ayat tersebut.
Latarbelakang Surah/ Asbabun Nuzul
Kaum musyrikin Quraisy sentiasa tidak merasa senang dengan perkembangan dakwah Nabi saw. Pelbagai teknik telah digunakan untuk menyekat perkembangan ini.
Sebagaimana kisah dalam surah al-Lahab, bermula di bukit Safa, mereka telah memperolok-olokkan, memperlekeh-lekehkan, mempermain-mainkan, mendusta dan mempersendakan Rasulullah saw supaya dapat melemahkan semangat kaum muslimin. Sehingga sanggup menuduh Nabi saw sebagai gila(al-Hijr:6). Mereka menyatakan al-Quran itu cerita dongengan(al-Furqaan:5), tiada keistimewaan yang ada pada Nabi saw(al-Furqaan:7)
Namun dakwah Rasulullah saw tetap berjalan seperti biasa. Maka mereka mula menyiksa sesiapa sahaja yang mengikuti ajaran baru yang dibawa oleh Muhammad. Seperti kisah Bilal disiksa dan dihempap batu besar namun tetap dibibirnya melafazkan perkataan “Ahad, Ahad, Ahad”. Nampaknya hati orang mukmin adalah begitu kuat bertauhidkan hanya semata-mata kepada Allah swt.
Ibnu Hisyam menceritakan daripada Ibnu Ishaq, ‘Utbah Bin Rabi’ah salah Seorang pembesar Quraisy yang bijak dan jauh pandangannya telah bertemu dengan Rasulullah saw dan berkata; “Wahai anak saudaraku, sebagaimana kita ketahui bersama bahawa engkau adalah sedarah sedaging dengan kami, berasal dan keturunan dan baka yang mulia dan seperti yang diketahui ramai, bahawa engkau telah membawa suatu ajaran baru, memecahkan kaum puak kita di samping engkau selalu mengolok-olokkan dan memperbodohkan penyembahan berhala. Mahukah sekiranya aku tawarkan beberapa perkara, semoga engkau dapat menerima sebahagian darinya”
Maka Rasulullah saw pun berkata kepadanya; “Katakan, ya Abal-Walid, saya cuba mendengarnya.”
Maka berkatalah ‘Utbah: “Sekiranya tujuanmu membawa agama baru ini untuk mendapatkan harta kekayaan maka kami akan kumpulkan harta-harta kami untuk kamu sehingga kamu menjadi seorang yang lebih kaya-raya dan kami, sekiranya engkau bermaksud untuk mendapatkan kemuliaan maka kami sekalian bersedia bila-bila masa melantik engkau sebagai ketua kami, sekiranya engkau ingin menjadi raja, yang demikian pun kami bersedia juga untuk mempertabalkan engkau sebagai raja kami dan sekiranya segala tawaran tadi semuanya engkau tolak mentah-mentah maka yang terakhir sekali kami bersedia membelanjakan harta kekayaan kami untuk mencari tabib untuk merawat engkau hingga sembuh.”
Setelah itu Rasulullah saw menjawab dengan katanya: “Apakah sudah habis segala hasrat yang hendak dicurahkan itu?”
Jawab ‘Utbah: “Ya.”
Maka sambung Rasulullah saw, “sekiranya demikian maka dengarkanlah dariku pula”, Rasulullah saw membaca surah al-Fusilat dari ayat pertama hingga ayat ke tiga-belas, tiba-tiba ‘Uthbah meminta Rasulullah saw berhenti membacanya sebelum Baginda meneruskan ayat yang seterusnya kerana terpaku dengan ayat-ayat yang penuh ugutan itu.
‘Utbah pun kembali kepada sahabat-sahabatnya lalu ia ditanya: “Apakah pengkhabarannya,”
Jawab ‘Utbah. “Demi Sesungguhnya belum pernah aku dengar lagi barang sesuatu sepertimana aku dengar hari ini, ianya bukan sya’ir, bukan jampi, seloka, sihir dan bukan gurindam biarawan. Wahai kaum Qu raisy sekelian! dengarlah cakapku ini, berilah peluang kepada Muhammad, biarkanlah dengan usahanya itu. Demi Tuhan sesungguhnya apa yang kudengar tadi adalah suatu berita yang teristimewa. Andaikata apa yang digambarkan oleh Muhammad terhempap ke atas kamu maka tidak ada orang lain hanya Muhammad saja yang boleh melepaskan kamu, dan andaikata Muhammad boleh menonjol diri di kalangan bangsa ‘Arab maka percayalah bahawa kekuasaan kamu dan kemegahannya adalah kemegahan kamu jua.”
Jawab mereka: “Demi sesungguhnya engkau pun juga telah diperdaya oleh Muhammad dengan kelancaran lidahnya.”
Jawab ‘Utbah pula: “Apa yang kukatakan tadi adalah pendapatku tentang Muhammad dan pendapat kamu terserahlah kepada kamu sekelian.”
Al-Tabari dan lbnu Kathir serta periwayat yang lain menceritakan: Beberapa orang musyrikin termasuk di antaranya Al-Walid Bin Al-Mughirah dan Al-’As bin Wail telah datang menemui Rasulullah saw di rumahnya di mana mereka sekelian telah menawar kepada baginda hendak menyerahkan wang kekayaan mereka kepada Baginda sehingga menjadi manusia yang paling kaya di antara yang lain dan menawarkan juga untuk mengahwinkannya gadis jelitawan ‘Arab. Kedua tawaran itu meminta ditukarkan dengan satu syarat sahaja iaitu memberhentikan sikap penentangannya terhadap orang ‘Arab dan penyembahan berhala serta memberhentikan kecamannya terhadap adat tradisi yang mereka warisi dan datuk nenek terdahulu. Bila saja segala tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh Rasulullah saw dan sebagai usaha diplomatik mereka yang terakhir ialah menawarkan supaya Rasulullah saw bertolak ansur sehari menyembah berhala dan di hari yang lain pula mereka beramai- ramai menyembah Tuhan Nabi saw tetapi tawaran ini juga telah ditolak oleh Rasulullah saw. Diperjelaskan lagi dengan turunnya surah ini.
Jawatan raja memungkinkan Rasulullah saw membuat apa sahaja yang ia kehendaki dan dengan harta kekayaan Baginda dapat memajukan pergerakan Islam. Semuanya ditolak oleh Rasulullah saw. Ini sudah tentu ada sebab-sebab yang tersendiri (perlu difikirkan) mengapa Rasulullah saw bertindak sedemikian.
Al-Tabrani dan Ibn Abi Hatim mentakhrijkan hadith berikut daripada Ibn ‘Abbas; bahawa orang-orang Quraisy telah menawarkan kepada Rasulullah saw untuk memberi Baginda harta benda sehingga Baginda menjadi orang yang paling kaya di Mekah. Mereka berjanji akan mengawinkan Baginda dengan mana-mana wanita yang diingininya dengan syarat ; “Wahai Muhammad ini adalah untuk engkau dengan syarat engkau berhenti daripada mencerca tuhan-tuhan kami dan memburuk-burukkannya. Kalau engkau tidak mahu, maka sembahlah tuhan-tuhan kami selama setahun.”
Rasulullah saw menjawab; “Tunggulah sehingga aku melihat perintah Tuhanku.” Lalu Allah swt menurunkan surah ini (al-Kafirun:1-6) dan kemudian turun ayat 64 dari surah al-Zumar.
Kemudian mereka cuba berkompromi dengan Rasulullah saw dengan alasan ajaran mereka dan ajaran Muhammad adalah juga dari ajaran Nabi Ibrahim a.s.
Ibn Ishaq dan yang lain-lain telah menyebutkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa sebab turunnya surah ini ialah berikutan peristiwa di mana al-Walid bin al-Mughirah, al-‘As bin Wa’il, al-Aswad bin ‘Abd al-Muttalib dan ‘Umayyah bin Khalaf berjumpa dengan Rasulullah saw seraya berkata; “Wahai Muhammad,(begini sahajalah) kami menyembah apa yang engkau sembah dan engkau pula menyembah apa yang kami sembah. Kita sama-sama berkongsi pada setiap perkara. Sekiranya apa yang engkau bawa adalah lebih baik daripada pegangan kami, kami akan berkongsi dengan engkau mengenai perkara itu dan kami akan mengambil habuan kami daripadanya. Sekiranya pegangan kami adalah lebih baik dari pegangan engkau, maka engkau boleh berkongsi dengan kami mengenai perkara itu dan engkau masih boleh mengambil bahagian engkau daripadanya.” Lalu Allah swt menurunkan ayat ini.
Diriwayatkan pembesar-pembesar Quraisy tidak berputus asa dengan usaha mereka. Sekali lagi mereka datang beramai-ramai menemui Nabi saw mengemukakan kepada baginda apa yang pernah ditawarkan oleh ‘Utbah bin Rabi’ah dahulu, menawarkan kepadanya untuk memegang jawatan sebagai penganjur bangsa ‘Arab, kekayaan dan mengemukakan persediaan dan kesanggupan mereka untuk mencari tabib atau dukun sekiranya Nabi saw dirasuk oleh jin dan syaitan dengan syarat yang dahulu juga.
Semuanya itu dijawab oleh Rasulullah saw dengan katanya: “Sebenarnya aku ini tidak ada kena mengena dengan apa yang kamu suarakan tadi, segala apa yang aku bawa ini bukan dengan bertujuan mencari harta kekayaan dan pangkat dan kekuasaan, tetapi Tuhan telah mengutuskan aku untuk kamu sekelian di samping itu diturunkan Kitab Suci kepada aku dan Tuhan telah menyuruh aku menyampaikan berita yang menakutkan dan mengembirakan, kewajipanku Semata-mata menyampaikan apa yang telah dipertanggungjawabkan ke atasku, sekiranya kamu terima maka itu adalah habuan kamu untuk dunia dan akhirat dan kalaulah kamu tolak, tidak ada lain hanya bersabarlah sahaja sehingga Tuhan menjatuhkan hukumanNya di antara aku dan kamu sekelian.”
Setelah perbincangan berlarutan dan tawar-menawar pun berlanjutan tetapi Rasulullah saw tetap dengan pendiriannya dan sebagai kata yang terakhir dan pihak Quraisy: “Apa yang telah sampai kepengetahuan kami tentang seorang yang tinggal di Al-Yamamah bernama “Al- Rahman” dialah yang telah mengajar engkau segala-galanya ini, sesungguhnya kami tidak percaya langsung dengannya, segala-galanya telah kami usahakan setakat daya dan upaya kami dan sebagai kata yang terakhir dan kami untuk kau iaitu kami tidak akan biarkan engkau begitu sahaja, dan pilihlah antara dua; kalau tidak engkau yang membinasakan kami maka kamilah yang akan memusnahkan engkau; itu sahaja." Dengan kata-kata itu mereka pun berangkat pulang tanpa sesuatu pun yang tercapai.[ Tahzib Sirah Ibnu Hisyam dan Kitab Sirah yang lain.]
Fikrah Ayat
قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ (١)
قُلۡ - kata suruh/perintah yang wajib dilaksanakan, tidak boleh menolak sedikit pun kerana ia perintah dari Tuan kepada hamba-Nya. Walaupun pada asalnya suruhan ini kepada Rasulullah saw, ia juga merupakan suruhan kepada ummatnya. Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dan juga kepada ummatnya.
Allah swt menyuruh kita menyatakan apa? Katakanlah; يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ - “Wahai orang-orang kafir”. Kita tidak perlu menyebut perkataan kafir ini dengan perkataan yang lebih sopan. Allah swt menyuruh kita menyebutnya dengan sifat hakikinya iaitu ‘kafir’. Istilah yang paling tepat untuk digunakan adalah istilah yang telah digunakan di dalam al-Qur’an.
Melainkan jika kita berhadapan dengan situasi; ketika itu kita sedang bercakap dengan Ah Chong atau Muthu, untuk menjaga hatinya, kita menyebut perkataan ‘non Muslim’. Tetapi jika ketika itu kita sedang berbincang sesama muslim, kita perlu menyebut terus perkataan ‘kafir’ merujuk kepada orang kafir. Bukan dengan perkataan ‘non muslim’.
Kafir berasal dari perkataan ‘Kaf’, ‘Fa’, ‘Ro” yang bermakna ‘tutup’. Kaffaratul majlis bermakna memohon Allah swt menutup kesalahan-kesalahan yang berlaku semasa majlis samada secara sedar atau pun tidak. Kiffarah dosa bermakna penutup dosa. Mengapa Allah swt menggunakan perkataan ‘kafir’ untuk menggambarkan orang yang tidak beriman ini?
Manusia telah dijadikan mengikut fitrah(beriman dengan Allah swt – rujuk Muqaddimah Fi Zilalil Qur’an; asal kejadian manusia). Jika manusia berada di dalam keadaan yang sangat terdesak seperti lemas di lautan atau kapalterbang yang dinaiki menjunam jatuh, maka akan teringatlah mereka kepada Tuhan untuk berserah diri atau meminta tolong. Terbukti mereka telah menutup hati-hati mereka dari beriman kepada allah swt. Kafir sangat berlawanan dan tidak boleh sama langsung dengan orang-orang yang beriman.
Kata suruh ini juga bermaksud ia mestilah dilafazkan atau diumumkan kepada orang ramai, bukan hanya tersimpan didalam hati. Merasa bimbang sahaja tidak mencukupi. Kerisauan beserta dengan tindakan da’wahlah menyebabkan Rasulullah saw dan para sahabat ditentang dan diseksa oleh musuh. Jikalau ia hanya tersimpan didalam hati, itulah selemah-lemah iman. Sesungguhnya iman itu ialah sesuatu yang terletak di dalam hati, kena dinyatakan dengan lisan dan kemudian perlu dibuktikan dengan amal. (Rujuk al-Hujurat:14 -15). Orang yang beriman ialah mereka yang beriman dengan Allah swt dan Rasul-Nya, tidak ragu-ragu dan kemudian perlu berjihad dengan harta dan nyawanya.
Apa yang perlu kita umumkan? Kita perlu mengumumkan ayat berikut;
لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ (٢) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٣)
Tidak aku sembah(verb) apa yang kamu sembah(noun).(2) Dan kamu bukan penyembah(verb) apa yang aku sembah(noun).(3)
وَلَآ أَنَا۟ عَابِدٌ۬ مَّا عَبَدتُّمۡ (٤) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٥)
Aku bukan penyembah apa yang kamu sembah.(4) Bukan kamu penyembah apa yang aku sembah.(5)
Berlaku mengulangan perkataan dalam bentuk yang berbeza-beza. Wujud ‘jumlah fi’liyah’ iaitu jumlah ayat yang dimulakan dengan pebuatan. Jumlah ‘Isimiyah’ iaitu jumlah ayat yang dimulakan dengan nama. Pengulangan dalam bentuk ‘verb’ dan ‘noun’ ini memberi pemahaman yang tertentu iaitu dulu, kini dan selamanya orang kafir adalah berbeza dengan orang yang beriman dari segi aqidah dan peibadatannya. Ayat empat(4) menguatkan lagi ayat yang pertama. Manakala ayat lima(5) menguatkan lagi ayat yang ke dua.
Berlaku ‘mufassolah’ atau pemisahan yang nyata antara orang mukmin dan orang kafir. Tidak mungkin ada titik pertemuan atau kesamaan.
Zaman dulu, orang Quraisy suka menukar berhala mereka. Apabila mereka menjumpai batu yang lebih menarik, batu yang lama akan dibuang kemudian menyembah batu yang baru. Apa yang mereka sembah dahulu dan sekarang tidak akan dituruti oleh orang-orang yang beriman.
Ada riwayat menyatakan, ada terfikir oleh Rasulullah saw untuk melakukan kompromi dalam aqidah dalam dakwahnya dengan orang kafir. Moga-moga berlaku sedikit demi sedikit perubahan dalam pemikiran mereka apabila perhubungan bertambah akrab antara satu sama lain. Tetapi dengan turunnya surah ini menunjukkan Allah swt tidak membenarkan berkompromi dalam aqidah walaupun sesaat dengan orang-orang kafir.
Berkompromi dari segi perbuatan(kaedah da’wah) dibenarkan dalam dakwah Islam. Contohnya, mengikuti kawan-kawan ke tempat hiburan(tempat maksiat) dengan tujuan berdakwah(amal ma’ruf , nahi mungkar) dengan syarat kita pasti tidak akan terikut-ikut dengan tabi’at mereka. Jika ke tempat hiburan bukan untuk berdakwah, maka perbuatan itu adalah dilarang.
Maka perlu ada konsep Pemisahan(mufassolah) antara orang mukmin dan orang kafir. Pemisahan tersebut ialah pemisahan aqidah dan pemisahan syu’uriyah atau uzlah syu’uriyah. Pemisahan syu’uriyah bermaksud pemisahan perasaan di dalam hati yang berbeza di sudut pemikiran, pandangan dan penilaian. Perasaan sanubari, penilaian dan pemikiran orang mukmin adalah hasil dari sibghah(celupan) al-Quran . Sudah tentu ia sangat berbeza dengan orang kafir.
Manakala uzlah jasadiyah(tubuh) adalah dilarang dalam Islam. Ia telah dilaksanakan oleh golongan sufi. Mereka akan mengasingkan diri dari orang ramai, ke tempat yang sunyi supaya dapat beribadat dengan khusyu’ dan dapat mendekatkan diri dengan Allah swt. Ibadah seperti ini adalah tidak digalakkan. Ia adalah uzlah yang sia-sia dan bida’ah yang meruntuhkan walaupun ia penuh dengan niat yang ikhlas dan baik. Amalan bida’ah ini(pertapaan) ialah amalan yang ditiru dari kaum Nasrani.
Islam didikan Rasulullah saw adalah Islam amar makruf dan nahi mungkar, berjihad dan berdakwah.
Seorang ahli fiqh dari para tabi’in Kufah yang arif dan bijaksana, Amir As-Sya’bi telah meriwayatkan; Ada beberapa lelaki telah keluar dari Kufah dan tinggal di pinggir Bandar, beribadah di sana. Berita ini telah sampai ke pengetahuan Abdullah bin Mas’ud r.a. Lalu dia datang berjumpa mereka. Orang-orang itu gembira dengan kedatangan beliau. Tiba-tiba Ibnu Mas’ud berkata; “Apakah yang mendorong kamu berbuat begini?”
Mereka berkata; “Kami ingin lari dari hingar bingar kelam kelibut orang ramai untuk beribadat.”
Lalu kata Abdullah bin Mas’ud r.a; “Jika semua orang berbuat seperti apa yang kamu buat, siapakah yang akan memerangi musuh? Aku tidak akan tinggalkan tempat ini sehinggalah kamu pulang.”Kisah ini telah diriwayatkan oleh Syeikh ahli hadith Abdullah bin al-Mubarak.
Sebelum kedatangan Islam, Rasulullah saw beruzlah di Gua Hira’. Selepas menerima wahyu, Rasulullah saw tidak pernah lagi menuzlahkan diri dari masyarakat. Kenapa begitu? Rasulullah saw berkata; “Uzlah ummatku ialah pada qiamulailnya.” Walaupun diketika itu begitu banyak berhala-berhala di Kaabah, Baginda tidak lari dari masyarakat yang jahil itu. Keadaan yang rosak perlu diperbaiki. Mana yang baik diambil manfaatnya. Maka tinggallah Rasulullah saw di Mekkah selama 13 tahun. Sesiapa yang mengenali Allah tidak akan lari dari sesuatu dan dia tidak takut pada sesiapa pun kecuali Allah.
Kita juga perlu mengumumkan bahawa;
لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِىَ دِينِ (٦)
Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. (6)
‘Aku tak sama dengan kamu, kamu(orang kafir) tak sama dengan aku.’Seolah-olah orang mukmin di sini, manakala orang kafir berada di seberang sana. Tiada titian dan tiada jalan yang menghubungkan di antara mereka. Berlaku pemisahan aqidah dan perasaan tetapi tidak memisahkan diri dari masyarakat dan orang ramai.
Orang mukmin perlu merasai dirinya benar-benar terpisah dari jahiliyyah baik dari segi kefahaman, cara hidup dan cara bertindak iaitu satu perpisahan yang tiada titik pertemuan dan tiada kemungkinan untuk bekerjasama kecuali orang-orang yang berada dalam jahiliyyah itu berpindah dengan keseluruhan mereka ke dalam Islam.
Tanpa pemisahan seperti ini, kekeliruan, kekaburan, bermuka-muka dan tampalan-tampalan akan terus kekal. Sedangkan dakwah Islam tidak boleh ditegakkan di atas asas-asas yang lemah, malah ia tidak dapat ditegakkan melainkan di atas asas-asas yang tegas, terus-terang, berani dan jelas.
Apa yang kita dapat dari surah ini.
1. ‘Aqidah boleh dirosakkan oleh kepercayaan syirik.
2. Tiada tawar-menawar dalam urusan ‘Aqidah. Seperti amalan kongsi Raya yang melibatkan perayaan keagamaan. Kenyataan ‘semua agama adalah sama’ tidak boleh wujud kerana Islam adalah Islam. Kafir adalah tetap kafir.
3. Tiada titik pertemuan di antara orang mu’min dengan orang kafir. Konsep mufassolah atau pemisahan aqidah dan syu’uriyah(perasaan) perlu ada dalam diri setiap orang yang beriman. Situasi sekarang seperti;
Zina, arak, judi dan riba berleluasa.
Pecah amanah, penipuan, kroni sedang berleluasa.
Rompakan, pembunuhan, rogol juga berleluasa.
Kedangkalan ilmu Ad-din jelas kelihatan dimana-mana.
Mengerjakan perkara sunat tetapi meninggalkan perkara wajib seperti menunaikan umrah tetapi meninggalkan solat wajib lima waktu semasa dalam perjalanan pergi dan balik.
Keadaan-keadaan sebegini menyerupai keadaan jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Orang mukmin yang hidup ditengah masyarakat seperti ini mestilah tidak redha disanubarinya(uzlah syu’uriah) sambil memikirkan kaedah bagaimana dapat mengubati keadaan seperti ini. Bukan mengambil pendekatan memencilkan diri dari masyarakat.
Jika hati sanubari meredhai keadaan seperti ini, bermakna ia sama seperti orang kafir yang telah menutup hatinya dengan iman.
4. Semua peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah saw atau sebelumnya akan juga akan berlaku di zaman sekarang. Jika diamat-amati, umat Islam akan disibukkan dengan tugasan-tugasan pejabat. Mesyuarat dari pagi hingga ke petang. Dihantar kursus ke sana ke sini. Ditawarkan pangkat atau jawatan yang tinggi. Diberi imbuhan yang memberangsangkan. Sehingga tidak berkesempatan untuk memikirkan Ad-din. Tidak sempat untuk memikirkan siapakah kita sebenarnya dan apakah tujuan kita dijadikan oleh Allah swt.
5. Mengapa Rasulullah saw tidak menerima tawaran-tawaran berupa pangkat, wanita dan harta kekayaan?
Sebab Pertama;
Menggambarkan keaslian da’wah Nabi Muhammad saw.
Da’wah Baginda tulus, ikhlas kerana Allah swt dan tiada udang di sebalik batu. Bukan sebagai batu loncatan untuk mendapatkan yang lain seperti pangkat, wanita dan kekayaan.
Menunjukkan tiada penyakit di dalam hati Rasulullah saw. Baginda telah lali dengan ancaman dan diplomasi yang mengancam da’wahnya. Akan ada sesiapa sahaja yang cuba memasukkan jarum-jarum dan kuman-kuman was-was dan syak wasangka terhadap Islam.
Penolakan Rasulullah saw terhadap tawaran kaum Quraisy bukan setakat di bibir dan di lidah sahaja tetapi segala-galanya adalah dari hati nuraninya. Makanan dan minuman baginda adalah mudah dan ringkas dengan erti kata yang sebenar. Keadaan penghidup annya tidak lebih dan keadaan simiskin.(Cakap sama bikin)
‘Aishah pernah meriwayatkan dalam Al-Bukhari katanya: Rasulullah telah wafat dan tidak ada suatu pun yang boleh di makan oleh yang hidup hanya sebahagian roti, aku makan separuh darinya sehingga tertinggal begitu lama.
Dalam satu hadith yang lain pula Anas r.a menceritakan di dalam Al-Bukhari katanya: “Belum pernah Rasulullah saw memakan di dalam hidangan talam hinggalah baginda wafat, dan tidak pernah memakan roti yang baik hinggalah baginda wafat.”
Cara Rasulullah saw hidup mudah dan sederhana, samada pakaian, makanan atau alat kelengkapan rumah baginda. Baginda hanya tidur di atas tikar anyaman sahaja dan belum pernah meletak tubuhnya ke atas hamparan yang lembut-lembut. Pernah di suatu hari isteri-isterinya termasuk ‘Aisyah datang beramai-ramai menemui baginda untuk mengadu hal tentang kemiskinan yang mereka rasai di samping memohon tambahan belanja rumah untuk membeli alat-alat kelengkapan persiapan dan pakaian agar mereka tidak kurang ataupun sekurang-kurangnya sama dengan perempuan sahabat. RasuluLlah terpegun dengan penuh kemarahan dan sepatah pun tidak dijawabnya. Lepas itu turunlah ayat Qur’an yang berbunyi:
Yang bermaksud:
“Hai Nabi, katakanlah isteri-isterimu, Jika kamu sekalian mengingini penghidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supayaku berikan dan mut’ah (ialah satu pemberian yang diberikan kepada perempuan yang di ceraikan menurut kesanggupan suami)
dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu sekalian menghendaki (keredhaan) Allah dan RasulNya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik di antara kamu pahala yang besar.” - (Surah al-Ahzab 33:28 — 29)
Rasulullah saw pun membaca dua potongan ayat ini dan memberi peluang untuk mereka membuat pilihan antara penghidupan di samping Rasulullah saw atau dengan segala kemudahan, maka dipilihnya penghidupan di samping Rasulullah saw (tafsir Ibnu Kathir dan yang lain).
Apakah dengan ini masih terdapat lagi kepala-kepala dan akal-akal yang masih sangsi terhadap keNabiannya. Dengan Segala keterangan tadi masih terdapat orang yang cuba menuduh dan mengatakan bahawa da’wah Rasulullah saw itu bertujuan untuk mencari dan mencapai pangkat yang lebih tinggi dan kekayaan serta kesenangan dunia.
Sebab Ke Dua;
Matlamat tidak menghalalkan cara. Sebenamya syari’ah Islamiyyah telahpun menyediakan jalan-jalan dan cara-cara seperti mana disediakan tujuan dan matlamat. Tidak boleh mengambil sebarang jalan untuk mencapai matlamat, kecuali jalannya dan mengikut jalan dan liku-liku yang telah digariskan. Tujuan dan matlamat adalah sepenuhnya diasaskan oleh kebenaran dan kemuliaan.
Di dalam suasana yang tertentu penda’wah Islamiyyah mesti berkorban, berjihad dan menggadaikan nyawa kerana jalan dan saranan perjuangan mereka tidak boleh dibelok-belokkan mengikut sekehendak hati. sekiranya menempuh halangan dan rintangan maka di kala itu ia mestilah menggunakan kebijaksanaannya dalam memperkemaskan diri untuk berjihad, mengorbankan segala harta dan jiwa raga demi da’wah Islamiyyah. Kebijaksanaan ertinya meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya.
Ibnu al-Jauzi mensifatkan uzlah jasadiyah adalah kerja orang pengecut. Mereka yang berani ialah mereka yang belajar dan mengajarkannya kepada orang lain.
Talhah bin Ubaidillah al-Quraisyi r.a(sahabat yang dijamin masuk syurga) berkata; "Cukup menjadi keaiban kepada seseorang bila dia hanya duduk-duduk sahaja di rumah."
Imam al-Ghazali berkata; "Ketahuilah, mana-mana orang yang hanya duduk di rumahnya, walau di mana pun dia berada sebenarnya tidak dapat tidak telah melakukan kemungkaran. Sedangkan di luar sana masih ramai manusia yang jahil tentang agama."
Wallahu’alam.
02 Julai 2011
4.6 Surah al-Kauthar سُوۡرَةُ الکَوثَر
إِنَّا أَعۡطَيۡنَـٰكَ ٱلۡكَوۡثَ
Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu ni'mat yang melimpah-ruah
فَصَلّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ
Kerana itu dirikanlah solat dan berkorbanlah dengan ikhlas kerana Tuhanmu
إِنّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلۡأَبۡتَرُ
Sesungguhnya orang yang bencikan engkau (wahai Muhammad) dialah orang yang terputus
Surah ini adalah surah Makkiyah yang mengandungi 3 ayat. Namun al-Hassan, `Ikrimah dan Qatadah pula berpendapat ia adalah surah Madaniyah. Ini juga adalah pendapat Ibn Kathir.
Nama Surah
Dinamakan al-Kauthar kerana ia dimulakan dengan firman Allah yang ditujukan kepada Nabi Muhammad saw iaitu firman-Nya (bermaksud): "Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu `al-Kauthar' (ni'mat yang melimpah-ruah / sebuah sungai di syurga)". Yakni kebaikan yang banyak serta berterusan di dunia dan akhirat, antaranya sungai al-Kauthar yang terdapat dalam syurga.
Imam Muslim dengan lafaznya, Abu Daud dan al-Nasa'i telah meriwayatkan daripada Anas berkata: "Ketika Rasulullah saw berada bersama kami dalam masjid, tiba-tiba Baginda melelapkan matanya seketika, kemudian mengangkat kepalanya dalam keadaan senyum. Kami bertanya: "Apakah yang menyebabkan anda senyum, wahai Rasulullah saw. "Baginda menjawab: "Sesungguhnya telah diturunkan kepadaku sebentar tadi satu surah, lalu Baginda membaca:
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ إِنَّا أَعۡطَيۡنَـٰكَ ٱلۡكَوۡثَرَ إِنّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلۡأَبۡتَرُ إِنّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلۡأَبۡتَرُ
Seterusnya Baginda bertanya: "Apakah kalian tahu apa itu al-Kauthar? Kami menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Nabi menjawab: " Sesungguhnya ia adalah sebuah sungai yang dijanjikan oleh Allah kepadaku dan mempunyai banyak kebaikan. Di situ, ada takungan air (minum) yang dikunjungi umatku pada hari akhirat, bekas air yang disediakan sebanyak bintang di langit, sebahagian daripada umatku ditegah mendapatkannya." Aku berkata: "Tuhanku, sesungguhnya mereka adalah umatku." lalu Allah menjawab: "Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang telah mereka lakukan sepeninggalanmu."
Latarbelakang dan sebab turun surah
Surah ini dihadapkan khusus kepada Rasululullah saw sama seperti Surah adh-Dhuha dan Surah asy-Syarh. Dalam surah ini, Allah hiburkan Rasul-Nya dan menjanjikan ni'mat kebajikan tidak terhingga, dan mengancam musuhnya dengan malapetaka dan mengarahkan Baginda dan orang mu'min untuk bersyukur.
Surah ini merupakan gambaran kehidupan da'wah dan penda'wah dan gangguan-gangguan yang dihadapi Nabi saw; juga gambaran dari pemeliharaan Allah terhadap hamba-Nya. Allah meneguhkan hati Rasul-Nya, menenangkan fikirannya, memberi janji yang baik kepadanya. Allah memberikan ni'mat yang melimpah-ruah dan tidak putus. Manakala kesesatan dan kejahatan bersifat sebaliknya; tiada nilai dan terputus amalannya walaupun orang-orang lalai mempunyai tanggapan berlainan.
Tokoh-tokoh Quraisy yang biadap selalu menganggu Rasulullah saw dengan pelbagai tipu-daya, sendaan, ejekan, dan penghinaan untuk menjauhkan orang ramai dari mendengar da'wah Allah. Di antaranya ialah al-'As ibn Wa'il (ayah kepada `Amru bin `As), Abu Jahl (ayah Ikrimah), Abu Lahab, `Aqabah ibn Abu Mu'ait dll. Mereka mencemuh Rasulullah saw sebagai manusia yang putus keturunan (batar), kerana semua anak lelakinya wafat.
Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf dan Ibn al-Munzir telah menampilkan riwayat daripada `Ikrimah, katanya: "Setelah diturunkan wahyu kepada Nabi, Orang Quraisy berkata: "Muhammad orang yang terputus berkat dan tidaklah berketurunan berbanding kita", lalu turunlah ayat : "Sesungguhnya orang-orang yang membenci engkau (wahai Muhammad) dialah yang terputus." (al-Kauthar, 108:3)
Ibn Abi Hatim telah mengajukan riwayat daripada al-Suddi, katanya: "Orang Quraisy berkata apabila anak lelaki mati terputuslah keturunan si polan." Apabila anak lelaki Nabi saw meninggal dunia (al-Qasim), lantas al-`Asi bin Wa'il berkata: "Muhammad telah terputus (tidak lagi berketurunan)." lalu turun ayat berkenaan.
Ibn al-Munzir mengajukan riwayat daripada Ibn Jurayj bahawa ia berkata:"Pernah sampai berita kepadaku bahawa apabila Ibrahim anak Nabi Muhammad saw meninggal dunia, orang Quraisy berkata:"Sesungguhnya Muhammad sudah `batar' dan Nabi menjadi marah. Lalu turunlah ayat: " Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu sebuah sungai di syurga." (al-Kauthar, 108:1) sebagai takziah dan pengubat hati Baginda yang tersinggung.
Tipu daya orang-orang Quraisy mempunyai kesannya dalam masyarakat Arab yang memang berbangga-bangga dengan anak-anak lelaki yang ramai. Tikaman ini digunakan oleh musuh-musuh nabi saw untuk menggoreskan hati beliau dan mendukacitakannya. Memperkecilkan Baginda disebabkan kematian putera-putera Baginda, iaitu al-Qassim di Makkah dan Ibrahim di Madinah. Mereka bergembira dengan penderitaan orang-orang mukmin.
Kerana itulah turunnya surah ini untuk menenang dan menghiburkan hati Rasulullah saw. Juga untuk menerangkan hakikat ni'mat kebajikan yang kekal berterusan yang telah dikurniakan Allah kepadanya. Kematian putera-putera Baginda tidak dapat melemahkannya. Sebaliknya orang-orang yang membenci Baginda adalah orang-orang yang terputus (batar) dan tidak meninggalkan sebarang sejarah dibanggakan dan jauh dari segala kebaikan. Mereka adalah orang-orang hina dan rugi lantaran mereka tercantas daripada setiap kebaikan di dunia dan akhirat.
Fikrah Ayat
إِنَّا أَعۡطَيۡنَـٰكَ ٱلۡكَوۡثَ
Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu ni'mat yang melimpah-ruah
Satu persoalan yang menarik di sini ialah kenapakah Allah menggunakan kalimah إِنَّا (Sesungguhnya Kami) dan tidak إِنِّىٓ (Sesungguhnya Aku). Di dalam al-Quran istilah `Kami' dan `Aku' digunakan bersilih ganti. Ulama' mentafsirkan istilah إِنِّىٓ digunakan bilamana hendak diceritakan sifat-sifat zat Allah; yakni sifat 'ubudiyah Allah. Contohnya dalam surahTaha, 20:14
إِنَّنِىٓ أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنَا۟ فَٱعۡبُدۡنِى وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِڪۡرِىٓ
Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat Aku
Kalimah إِنَّا digunakan untuk menunjukkan sifat kebesaran dan kemurahan Allah; yakni digunakan bagi merujuk kepada himpunan sifat-sifat Allah yang banyak. Malah ayat إِنَّا أَعۡطَيۡنَـٰكَ bermaksud `Sesungguhnya Kami'(إِنَّا) dan `Kami memberi/mengurnia kepada kamu' (أَعۡطَيۡنَـٰك) . Dua (2) istilah `Kami' digunakan dalam ayat ini. Tujuannya untuk memberitahu bahawa ni'mat yang diberi sangat besar dan tidak ternilai; juga bagi menarik perhatian untuk orang yang mendengar ayat ini dan mereka akan terpaling untuk mengetahuinya.
Kata-kata al-Kauthar mempunyai dua pengertian. Pengertian khusus ialah nama sebuah sungai di syurga dan sebuah kolam yang dikunjungi oleh umatnya pada hari kiamat. Al -Tirmizi meriwayatkan daripada Ibn `Umar berkata Rasulullah saw bersabda: "Al-Kauthar adalah sebatang sungai di dalam syurga, kedua-dua tebingnya diperbuat daripada emas. Laluan airnya di atas batu permata, tanahnya lebih harum daripada kasturi, airnya lebih manis daripada madu dan lebih putih daripada salji". Hadis hasan lagi sahih.
Al-kauthar juga bermaksud `banyak tidak terbatas'. Maksudnya Kami kurniakan kepadamu ni'mat-ni'mat kebajikan yang banyak dan melimpah-limpah tidak terputus iaitu bertentangan dengan kempen-kempen yang dilancarkan oleh tokoh-tokoh Quraisy yang biadap. Pelbagai nikmat kebajikan di dalam berbagai-bagai bentuk dan tidak terhitung banyaknya dan tidak terkira. Diantaranya:
1. Ni'mat Nubuwwah dan ni'mat hubungannya dengan Allah, kerana orang yang telah menemui Allah tidak akan kehilangan sesuatu apa.
2. Ni'mat al-Quran: Al-Qu'ran yang diturunkan kepada Rasulullah saw adalah satu ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah tidak berkesudahan.
3. Ni'mat Al-Mala`ul-A`la : Para malaikat yang sentiasa mendoakan rahmat ke atas Rasulullah saw dan mendoakan rahmat ke atas orang-orang yang mendoakannya. Nama Rasulullah saw sentiasa berkembar dengan nama Allah, baik di bumi mahupun di langit.
4. Ni'mat As-Sunnah : Ia kekal berterusan sepanjang zaman di seluruh pelusuk bumi. Berjuta-juta manusia bersilih ganti menuruti sunnahnya, tidak berhenti-henti menyebut namanya, menyintai sirahnya dan sentiasa mengingatinya sampai Hari Qiamat.
فَصَلّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ
Kerana itu dirikanlah solat dan berkorbanlah dengan ikhlas kerana Tuhanmu
Qatadah, `Ata dan `Ikrimah berkata: "Bahawa maksud sembahyang di sini ialah sembahyang hari raya dan menyembelih binatang korban"
Setelah menerangkan ni'mat yang melimpah-ruah, Allah memerintah Rasul-Nya saw supaya mensyukuri ni'mat itu dengan kewajipannya yang pertama, iaitu kewajipan mengikhlas dan memusatkan hati kepada Allah dalam peribadatan, mendirikan solat dan menyembelih binatang korban semata-mata kerana Allah. Firman Allah dalam surah al-An'am, 6:162-163 " Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam, tiada sekutu bagiNya: dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerah diri (kepada Allah)."
Sikap ini tidak sama dengan sikap golongan Musyrikin yang menunaikan sembahyang dan berkorban bukan kerana Allah. Walaupun mereka ini memberi minum kepada para hujjaj dan memegang kunci Kaa'bah, namun amalan mereka langsung tidak diterima Allah.
Allah swt menggunakan istilah وَٱنۡحَرۡ ialah merujuk kepada binatang korban, iaitu dari segi nilainya ialah ke-dua selepas manusia. Binatang adalah lebih tinggi nilainya dari tumbuh-tumbuhan. Maksudnya ialah kita kena mengorbankan milik kita yang paling tinggi dan ialah `benda yang kurang dari itu' lebih senang untuk dikorbankan.
Sikap ikhlas adalah penting supaya amalan kita ini tidak sama dengan orang munafiq yang bersifat riya'. Seluruh kehidupan lahir dan batin adalah dikira sebagai satu unit dan Islam berusaha membersihkannya dari segala noda syirik. Hendaklah kita bertawajjuh kepada Allah dalam bentuknya yang bersih dan jelas.
إِنّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلۡأَبۡتَرُ
Sesungguhnya orang yang bencikan engkau (wahai Muhammad) dialah orang yang terputus
Di dalam ayat pertama Allah menerangkan bahawa Nabi Muhammad saw bukanlah seorang yang terputus, tetapi dikurniakan ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah dan berterusan. Di dalam ayat yang akhir ini pula, Allah menjelaskan bahawa orang yang terputus itu bukannya Nabi Muhammad saw, tetapi orang-orang yang memusuhi dan membencikannya. Nama mereka terputus, sedangkan nama Nabi Muhammad saw disanjung tinggi. Malah nama Abu Jahal pun malu untuk disebut oleh anaknya sendiri iaitu Ikrimah.
Neraca penilaian manusia adalah berbeza-beza mengikut budaya, bahasa dan kehidupannya. Tidak sama ukuran di antara satu bangsa dengan bangsa yang lain. Bagi orang Arab, zuriat lelaki adalah suatu kemestian. Orang lelaki yang tidak mempunyai anak lelaki digelar `Abtar'. Mereka berbangga dengan anak lelaki yang ramai dan amat memelihara nasab keturunan, contohnya ialah seperti keturunan raja, syed, nik ataupun pengiran. Istilah `abtar' ialah hina bagi orang Arab. Ada pepatah Arab yang menyebut "Orang yang tidak ada anak lelaki, maka dia tiada sebutan baginya". Namanya tidak disebut lagi dan `bin-nya' terputus, yakni keturunannya habis setakat itu.
Turunnya ayat ialah untuk membetulkan persepsi ini dan memberikan neraca yang sebenar dari pandangan al-Quran. Ukuran-ukuran Allah adalah berlainan dari ukuran-ukuran manusia, tetapi manusia terkeliru dan terpedaya dalam istilah penciptaan mereka yang tiada gunanya di akhirat kelak. Orang `abtar' ialah musuh Islam dan orang yang tidak memberi sumbangan pada Islam. Mereka terputus dari rahmat Allah.
Ibn `Abbas meriwayatkan bahawa ayat ini diturunkan kepada Abu Jahal. Pendek kata pulangan paku buah keras Allah ini ditujukan kepada semua orang yang memusuhi Nabi Muhammad saw. Al-Hassan al-Basri berkata: "Orang-orang Musyrikin mengatakan maksud abtar itu ialah orang yang hajatnya tidak sampai, gagal mencapai maksud. Sebab itu Allah terangkan musuh Baginda yang gagal mencapai maksud mereka.
Musuh-musuh Allah tidak meninggalkan apa-apa kesan pun terhadap Nabi saw. Da'wah dan Penda'wah tidak akan putus and tidak mungkin terputus. Ia sentiasa mempunyai tali pertalian yang kukuh dengan Allah Yang Maha Hidup, Maha Kekal, azali dan abadi.
Amat benarlah firman Allah Yang Maha Agung dan amat bohong tanggapan kaum musyrikin yang melakukan tipu daya yang jahat itu.
29 Jun 2011
4.5 SURAH AL-NASR - سُوۡرَةُ النّصر
Surah Madaniyyah(110:1-3)
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan(1)
وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا
Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai(2)
فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا
Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat(3)
Nama Surah dan Kelebihannya
Latarbelakang surah
Di dalam surah al-Nasr, Allah menjelaskan bahawa agama golongan kafir akan lenyap. Allah akan memberikan kemenangan dan kejayaan selepas ujian dan halangan (Surah al-Lahab menceritakan banyak halangan yang akan dilalui dalam berdakwah).
Secara ijma’, surah ini adalah merupakan surah Madaniyah. Tiada khilaf dalam hal ini. Namun begitu terdapat dua pendapat samada ia diturunkan selepas atau sebelum pembukaan kota Makkah (Fathu Makkah). Kota Mekah telah dibuka pada bulan Ramadhan tahun ke-8 Hijrah
Pendapat pertama: Selepas pembukaan Kota Mekah
Ibn `Umar berkata: Surah ini telah diturunkan di Mina semasa Hajj al-Wada’. Menurut riwayat, ketika Nabi saw menerima ayat-ayat tersebut, maka bersabdalah beliau “ Jiwaku telah memberitahukan kepadaku dan ajalku telah menghampiriku”. Kemudian diturunkan ayat (bermaksud): “Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu” (al-Maidah 5:3).
Begitu juga dari riwayat dua orang Hafiz iaitu Abu Bakar al-Bazzar dan al-Baihaqi daripada Ibn `Umar berkata: “ Surah ini (al-Nasr) diturunkan kepada Nabi saw pada pertengahan hari Tasyrik. Maka Baginda faham itu adalah tanda pamitan (selamat tinggal) atau al-Wada’. Rasulullah saw terus menunggang untanya al-Qaswa’ dan berangkat. Kemudian Baginda berkhutbah kepada orang ramai dengan khutbah yang masyhur. Khutbah tersebut dikenali sebagai khutbah Hajj al-Wada’
Pendapat kedua: Surah ini diturunkan sebelum pembukaan kota Mekah.
Surah ini diturunkan untuk mengembirakan nabi. Ini adalah janji Allah kepada Nabi untuk membantu Baginda mengalahkan penduduk Mekah; serta membuka kota Mekah. Dari segi nahu bahasa arab, walaupun kalimah “جَآءَ” adalah fi’il madhi (past tense) tapi maksud ayat ini adalah `present/future tense’. Bila ada kalimah إِذَا didepannya, maka إِذَا جَآءَ bermakna `apabila datang’. Ini menunjukkan keadaan yang akan berlaku di masa hadapan dan bukannya keadaan yang telah berlaku. Perkhabaran ini menunjukkan mukjizat Nabi saw dan tanda nubuwwah Baginda sebagai seorang Rasulullah.
Batas keupayaan manusia adalah terhad. Allah swt memberi kemenangan dan memperkenan doa Nabi saw. Pertolongan dan kemenangan datang dari Allah pada masa yang ditentukan-Nya dan dalam bentuk yang dikehendaki-Nya. Jangan kita berputus asa, kemenangan dan kejayaan akan tiba walaupun sekuat mana musuh Islam.
Fathu Makkah’ berlaku 2 tahun selepas perjanjian Hudaibiyah. Dalam perjanjian ini, kedua pihak (kafir Quraisy dan Islam) berjanji untuk menghentikan peperangan selama 10 tahun. Namun, pihak Quraisy telah mengkhianati perjanjian dengan menolong sekutunya Banu Bakar menyerang Banu Khuza’ah. Pengkhianatan puak Quraisyh ada kaitannya dengan tanggapan mereka terhadap Kaum Muslimin yang dianggap lemah selepas peperangan di Mu’tah. Ini adalah sebab utama berlakunya `Ghazwah Fathu Makkah’. Pada hakikatnya, kesemua ini adalah perancangan dan pertolongan dari Allah swt.Al-Quran menggunakan perkataan `Fath’ yang bermaksud `buka’. Di dalam Islam tiada konsep penjajahan atau penaklukan. Pembukaan Negara-negara Islam dipanggil sebagai `futuhat Islamiyah'. Bila sesuatu negeri tidak Islam, sebenarnya negeri itu ditutup untuk menerima hidayah. Oleh itu, Islam datang bukanlah untuk menawan negeri tersebut, tetapi menyampaikan da’wah dan Islam. Diberi tiga (3) pilihan; samada menerima Islam atau bayar jizyah atau perang sehingga kuasa yang menghalang hidayah kalah. Kemudian terpulang kepada rakyat itu memilih samada ingin memeluk Islam atau tidak – La iqra ha fi ad-din.
Bukhari dan Muslim di dalam kitab sahih masing-masing meriwayatkan daripada Ibn 'Abbas: "Sesungguhnya Rasulullah saw telah berkata di hari pembukaan Kota Mekah. Sesungguhnya tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Mekah, tetapi yang ada ialah jihad dan niat, sekiranya kamu dipanggil untuk berjihad, maka sahutlah seruan jihad tersebut".
وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا
Bila tentera bergajah menyerang Makkah, Allah datangkan burung memusnahkan tentera bergajah. Cerita pelik ini tersebar di seluruh semenanjung Tanah Arab dan tahun tersebut dinamakan Tahun Gajah. Peperangan tersebut sebenarnya di antara Habsyah dan Arab kerana kaum Quraisy adalah ketua bagi kabilah-kabilah Arab. Bila burung Ababil menolong tolong kaum Quraisy, maka tertanamlah di dalam pemikiran orang Arab bahawa benarnya kaum Quraisy ini. Tiba-tiba Nabi Muhammad saw datang dan mengatakan bahawa kaum Quraishy ini tidak betul, maka Orang Arab tidak boleh menerimanya.
Ujar Ibn Kathir dalam tafsirnya: Yang dimaksudkan dengan kemenangan di dalam surah ini ialah kemenangan membuka Kota Makkah. Setelah itu, qabilah-qabilah arab itu pun memeluk agama Allah sepuak demi sepuak. Dalam masa tidak sampai dua tahun selepas itu, seluruh Semenanjung Arab beriman kepada agama Allah. Tiada qabilah melainkan semuanya mengisytiharkan keislaman mereka.
فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا
“Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat “
Ayat ini menerangkan perintah Allah dalam meraikan kemenangan/kejayaan. Iaitu dengan bersyukur, bertasbih, memuji Allah, meminta ampun dan bertaubat kepada-Nya. Ini adalah adab sopan Nabi Muhammad saw di sepanjang hidupnya. Ketika mendapat pertolongan dari Allah membuka Kota Makkah, beliau lupakan kesukaan mendapat kemenangan dan terus membongkok di atas untanya, kerana bersyukur kepada Allah. Beliau dapat memasuki kembali negeri Makkah yang penduduknya telah menyakitinya, mengusirnya, memeranginya dan menentang dakwahnya dengan penuh kedegilan.
Pohonlah juga kepada Allah swt keampunan untuk dirimu dengan penuh rasa tawaddu' dan rasa sesal kerana kecuaian diri, juga sebagai pengajaran untuk umatmu. Mengikut Sayyid Qutb rahimullah, maksud Istighfar di saat kemenangan dan kehilangan kesabaran adalah:
Beristighfar terhadap pelbagai perasaan bangga, angkuh, sombong yang berkecamuk dalam hati di saat-saat mabuk kemenangan setelah sekian lama berjuang.
28 Jun 2011
3.13 ANGKATAN MUSLIMIN IALAH ANGKATAN YANG BERSINAMBUNGAN
Orang yang beriman mempunyai keturunan yang amat tua yang bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh. Dia adalah salah seorang dari angkatan manusia yang mulia dipimpin oleh para rasul yang mulia, iaitu Nuh, Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya`qub, Yusuf, Musa, `Isa dan Muhammad alayhimus-salam ….. Sayyid Qutb
Zuriat Adam meliputi semua Anbiya’ dan zuriat Nuh mengandungi para Anbiya’ selepasnya dan zuriat Ibrahim meliputi para Anbiya’ dari dua anaknya Ismail dan Isyaq, dan zuriat Ya’kub merupakan pokok keturunan Bani Israel. Sementara zuriat Ismail pula meliputi keturunan Arab termasuk Nabi Muhammad Khatamun –Nabiyin. Merekalah orang-orang yang bertaqwa dan amat peka terhadap Allah.
Umat para Anbiya ini adalah umat kita juga. Ia merupakan angkatan yang bersinambungan dari nabi-nabi terdahulu hingga ke umat Nabi Muhammad saw. Umat para-Anbiya’ adalah angkatan keimanan yang mempunyai `aqidah yang sama dan menjalani ujian-ujian hidup yang sama. Ujian-ujian yang dihadapi dan ditempuh pada satu jalan menuju keredhaan Allah; dan bukan kepada yang lain dari-Nya. Umat para Anbiya’ memperjuangkan tauhid yang ulung; iaitu tiada Tuhan selain Allah dan tiada Tuhan disembah melainkan Allah.
Para-Anbiya’ terdahulu menjadi contoh ikutan dalam perjuangan mereka. Bukan sahaja di dalam perjuangan `aqidah untuk mentauhidkan Allah; tetapi juga dalam seluruh pembawaan hidup mereka. Peristiwa-peristiwa yang dilalui dan interaksi dengan kerabat tetangga serta kaumnya menjadi panduan bagi umat yang terkemudian. Peristiwa-peristiwa ini akan berulang-kali berlaku dan ia adalah satu `pattern’ yang akan ditempuhi oleh golongan mu`minin hingga ke hari kiamat. Akan berlaku pelbagai ujian; baik berupa kesenangan dan kesusahan; kenikmatan dan penderitaan; ataupun kesempitan dan kesedihan. Ia adalah satu sunatullah dalam perjuangan `aqidah Islam.
Ujian merupakan proses yang perlu bagi mendapatkan muslimin yang terbaik. Al-Qur’an menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada umat para-anbiya’ terdahulu untuk kita mengambil pengajaran darinya. Peristiwa-peristiwa ini akan mendidik kelompok muslimin dengan kesan-kesan perasaan, emosi dan reaksi yang perlu ada. Ia membersihkan batinnya di bawah suluhan cahaya yang terang; membetulkan perasaan-perasaan, tanggapan-tanggapan, kefahaman-kefahaman dan nilai-nilai serta menegakkan dasar-dasar kehidupan Islamiyah yang kukuh. Semuanya ini menyarankan bahawa segala peristiwa yang berlaku kepada kelompok Muslimin di setiap tempat adalah wasilah untuk mentarbiyah mereka.
Marilah kita mentadabbur ayat al-Qur’an dalam surah al-Mumtahanah (60:4) yang menceritakan kisah Nabi Ibrahim as dan pengikut-pengikutnya.
“Sesungguhnya terdapat contoh teladan yang baik untuk kamu pada Ibrahim dan mereka yang bersama dengannya ketika mereka berkata kepada kaum mereka: Sesungguhnya kami berlepas diri dari kamu dari sembahan-sembahan yang kamu sembah selain dari Allah. Kami kafir dengan agama kamu. Dan kini jelaslah wujud permusuhan dan kebencian antara kami dan kamu untuk selama-lamanya sehingga kamu beriman kepada Allah Yang Tunggal ……….”
Apabila orang beriman merenung ayat ini, dia akan sedar tentang salasilah keturunannya begitu tua dan juga ujian-ujian yang ditempuh oleh moyangnya, Nabi Ibrahim as. Begitu juga ketika zaman Nabi Muhammad saw dan para sahabat; ujian yang `pattern'-nya sama juga berlaku sehingga mereka perlu berhijrah ke Madinah. Ia juga akan dihadapi oleh golongan Mu'minin hingga ke hari kiamat; dan ia bukanlah sesuatu taklif yang menyusahkan kaum Mu’minin.
Ayat di atas menjelaskan terputusnya hubungan di antara Nabi Ibrahim as dan pengikut-pengikutnya dengan kaumnya apabila aqidah berbeza. Tiada kompromi dalam hal `aqidah dan `ibadah. Inilah keputusan muktamad dan pemisahan yang tegas. Orang yang beriman dilarang mengadakan hubungan mesra dengan mereka yang menentang Allah dan Rasul-Nya walaupun keluarganya sendiri. Generasi para sahabat telah membuktikannya; `Abu Ubaidah ra telah membunuh bapanya pada hari peperangan Badar, Abu Bakar as-Siddiq ra telah berazam membunuh anaknya Abdul Rahman; `Umar, Hamzah, `Ali dan `Ubaydah dan al-Harith r.anhum telah membunuh anggota-anggota kerabat dan keluarga mereka sendiri.
Al-Qur’an menerangkan satu prinsip yang kukuh yang menjadi asas pendirian orang-orang Mu’min. Ia menjadi neraca keimanan di dalam jiwa mereka. Allah tidak menyediakan dua hati pada seseorang manusia. Dan manusia tidak mungkin menyimpan dua kasih dalam satu hati, iaitu kasih kepada Allah dan Rasul-Nya dan kasih kepada musuh Allah dan Rasul-Nya. Kedua-duanya tidak mungkin bertemu. Tali hubungan darah dan kerabat terputus di perbatasan keimanan. Tali perhubungan itu hanya boleh dipelihara jika tiada perseteruan/persengketaan yang memudaratkan `aqidah Islam. Bersahabat baik dengan ibu-bapa yang musyrikin memang disuruh Allah jika tiada gangguan atau penentangan terhadap `aqidah. Kita juga diminta menyampaikan Islam agar hati mereka yang tertutup dengan hidayah Allah dapat terbuka.
Bila kita memahami dan merasai peristiwa-peristiwa yang telah dilalui oleh para-anbiya dan umatnya; juga yang berlaku kepada Nabi Muhammad saw dan para sahabat; maka golongan mu'minin tidak akan berasa keseorangan. Mereka akan memahami fiqh da’wah/jihad/muamalat; jalan keluar pada permasalahan yang dihadapi; harga yang perlu dibayar dalam perjuangan `aqidah Islam dan juga sikap yang perlu ada ketika diberi ujian. Jika difahami kesemuanya, InsyaAllah mereka akan istiqamah dalam perjuangan.
Persoalannya, apakah kita sudah memulakan langkah untuk membaca dan memahami al-Qur'an; seterusnya dapat merasai kisah-kisah/peristiwa-peristiwa yang telah diceritakan oleh al-Qur’an yang berulang-kali. Sesungguhnya hati yang hidup ialah bagi mereka yang menyambut seruan al-Qur'an; manakala golongan manusia yang mati ialah bilamana hati mereka mati dan tidak mahu mendengar peringatan dari al-Qur'an. Firman Allah dalam Surah Yaasin, ayat 23 .
"Supaya dia memberi peringatan kepada orang yang hidup hati nuraninya, dan supaya terlaksana keputusan (`azab) ke atas orang-orang kafir."