Surah Madaniyyah(110:1-3)
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan(1)
وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا
Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai(2)
فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا
Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat(3)
Nama Surah dan Kelebihannya
Surah ini dinamakan surah an-Nasr kerana surah ini dibuka dan dimulakan dengan firman Allah (bermaksud) : “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan”. Dinamakan al-Futuh bermaksud pembukaan atau kemenangan sempena kota Makkah al-Mukarramah berjaya dibuka dan dikuasai. Juga dikenali sebagai surah al-Tawdi’ , yakni bermakna perpisahan /selamat tinggal
Surah al-Nasr menyamai satu perempat al-Qur’an. Dari Hadis yang dikeluarkan oleh al-Nasa’I daripada `Ubaidullah Ibn `Abdullah Ibn `Utbah berkata: Ibn `Abbas telah berkata kepadaku: “Wahai Ibn `Utbah, adakah kamu mengetahui surah yang terakhir diturunkan di dalam al-Qur’an? Aku menjawab: “Ya! iaitu surah al-Nasr.” Beliau berkata: “Benar katamu itu”.
Latarbelakang surah
Di dalam surah al-Nasr, Allah menjelaskan bahawa agama golongan kafir akan lenyap. Allah akan memberikan kemenangan dan kejayaan selepas ujian dan halangan (Surah al-Lahab menceritakan banyak halangan yang akan dilalui dalam berdakwah).
Surah yang pendek ini membawa berita gembira kepada Rasulullah saw iaitu berita ketibaan pertolongan dari Allah dan kemenangan membuka negeri Makkah dan sambutan berduyun-duyun memeluk agama Allah. Ia juga memberi arahan kepada Rasulullah saw supaya bertawajjuh kepada Allah dengan tasbih, tahmid dan istighfar ketika berita-berita yang mengembirakan itu menjadi kenyataan.
Surah ini juga membayangkan ajal Rasulullah saw. Tugas Nabi Muhammad saw telah sempurna. Dari Ibn `Abbas, ujar al-Imam al Bukhari: `Umar al-Khattab ra telah memasukkan aku ke dalam kumpulan tokoh-tokoh peperangan Badar (sedangkan Ibn `Abbas adalah jauh lebih muda berbanding tokoh berkenaan). Sesetengah mereka seolah-olah tidak setuju dalam hati mereka, lalu berkata: "Mengapa dimasukkan budak ini bersama kami dan kami juga ada anak-anak yang sebaya dengannya? Jawab `Umar: "Dia dari budak-budak yang kamu kenal. "Pada suatu hari `Umar menjemput mereka, lalu dia masukkan aku bersama mereka untuk memperlihatkan kebolehanku kepada mereka, lalu dia berkata: "Apa pendapat kamu tentang maksud firman Allah `Azzawajalla:
إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ : Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan
Jawab setengah mereka. "Allah menyuruh kita bertahmid dan beristighfar kepada-Nya apabila ia menolong dan memberi kemenangan kepada kita." Lalu `Umar berkata kepadaku: "Adakah pendapat engkau begitu juga, wahai Ibn `Abbas? Jawabku: " Tidak" Lalu dia terus bertanya: "Apakah pendapat engkau?" Jawabku: "Itulah ajal Rasulullah saw yang diberitahu Allah kepadanya. Firman Allah: `Apabila tiba pertolongan Allah dan kemenangan', maka itulah alamat ajal engkau. Oleh itu hendaklah engkau bertasbih memuji Tuhanmu dan beristighfar memohon keampunan-Nya, sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat." Kata `Umar ibn al-Khattab: "Aku tidak mengetahui maksud ayat ini melainkan apa yang dikatakan engkau." (Riwayat al-Bukhari)
Imam Ahmad, Baihaqi dan al-Nasa'i meriwayatkan daripada Ibn `Abbas bahawa beliau berkata: Ketika diturunkan ayat (maksudnya): "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan," Nabi saw telah berkata "Nampaknya sampailah sudah ta'ziah awal bagiku". Berikutan dengan itu Nabi saw telah diwafatkan oleh Allah swt pada tahun berkenaan.
Waktu Turun Surah
Secara ijma’, surah ini adalah merupakan surah Madaniyah. Tiada khilaf dalam hal ini. Namun begitu terdapat dua pendapat samada ia diturunkan selepas atau sebelum pembukaan kota Makkah (Fathu Makkah). Kota Mekah telah dibuka pada bulan Ramadhan tahun ke-8 Hijrah
Pendapat pertama: Selepas pembukaan Kota Mekah
Surah ini diturunkan pada tahun ke-10 Hijrah. Diriwayatkan bahawa Baginda saw hidup selepas penurunan surah ini selama 70 hari. Oleh yang demikian surah ini dinamakan sebagai surah `selamat tinggal’ (al-Tawdi’)
Ibn `Umar berkata: Surah ini telah diturunkan di Mina semasa Hajj al-Wada’. Menurut riwayat, ketika Nabi saw menerima ayat-ayat tersebut, maka bersabdalah beliau “ Jiwaku telah memberitahukan kepadaku dan ajalku telah menghampiriku”. Kemudian diturunkan ayat (bermaksud): “Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu” (al-Maidah 5:3). Begitu juga dari riwayat dua orang Hafiz iaitu Abu Bakar al-Bazzar dan al-Baihaqi daripada Ibn `Umar berkata: “ Surah ini (al-Nasr) diturunkan kepada Nabi saw pada pertengahan hari Tasyrik. Maka Baginda faham itu adalah tanda pamitan (selamat tinggal) atau al-Wada’. Rasulullah saw terus menunggang untanya al-Qaswa’ dan berangkat. Kemudian Baginda berkhutbah kepada orang ramai dengan khutbah yang masyhur. Khutbah tersebut dikenali sebagai khutbah Hajj al-Wada’Pendapat kedua: Surah ini diturunkan sebelum pembukaan kota Mekah.
Surah ini diturunkan untuk mengembirakan nabi. Ini adalah janji Allah kepada Nabi untuk membantu Baginda mengalahkan penduduk Mekah; serta membuka kota Mekah. Dari segi nahu bahasa arab, walaupun kalimah “جَآءَ” adalah fi’il madhi (past tense) tapi maksud ayat ini adalah `present/future tense’. Bila ada kalimah إِذَا didepannya, maka إِذَا جَآءَ bermakna `apabila datang’. Ini menunjukkan keadaan yang akan berlaku di masa hadapan dan bukannya keadaan yang telah berlaku. Perkhabaran ini menunjukkan mukjizat Nabi saw dan tanda nubuwwah Baginda sebagai seorang Rasulullah.
Fikrah Ayat
(إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ (1
Apabila datangnya pertolongan Allah dan kemenangan (1)
Batas keupayaan manusia adalah terhad. Allah swt memberi kemenangan dan memperkenan doa Nabi saw. Pertolongan dan kemenangan datang dari Allah pada masa yang ditentukan-Nya dan dalam bentuk yang dikehendaki-Nya. Jangan kita berputus asa, kemenangan dan kejayaan akan tiba walaupun sekuat mana musuh Islam.
Fathu Makkah’ berlaku 2 tahun selepas perjanjian Hudaibiyah. Dalam perjanjian ini, kedua pihak (kafir Quraisy dan Islam) berjanji untuk menghentikan peperangan selama 10 tahun. Namun, pihak Quraisy telah mengkhianati perjanjian dengan menolong sekutunya Banu Bakar menyerang Banu Khuza’ah. Pengkhianatan puak Quraisyh ada kaitannya dengan tanggapan mereka terhadap Kaum Muslimin yang dianggap lemah selepas peperangan di Mu’tah. Ini adalah sebab utama berlakunya `Ghazwah Fathu Makkah’. Pada hakikatnya, kesemua ini adalah perancangan dan pertolongan dari Allah swt.Al-Quran menggunakan perkataan `Fath’ yang bermaksud `buka’. Di dalam Islam tiada konsep penjajahan atau penaklukan. Pembukaan Negara-negara Islam dipanggil sebagai `futuhat Islamiyah'. Bila sesuatu negeri tidak Islam, sebenarnya negeri itu ditutup untuk menerima hidayah. Oleh itu, Islam datang bukanlah untuk menawan negeri tersebut, tetapi menyampaikan da’wah dan Islam. Diberi tiga (3) pilihan; samada menerima Islam atau bayar jizyah atau perang sehingga kuasa yang menghalang hidayah kalah. Kemudian terpulang kepada rakyat itu memilih samada ingin memeluk Islam atau tidak – La iqra ha fi ad-din.Bukhari dan Muslim di dalam kitab sahih masing-masing meriwayatkan daripada Ibn 'Abbas: "Sesungguhnya Rasulullah saw telah berkata di hari pembukaan Kota Mekah. Sesungguhnya tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Mekah, tetapi yang ada ialah jihad dan niat, sekiranya kamu dipanggil untuk berjihad, maka sahutlah seruan jihad tersebut".
وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا
Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai (2)
Ertinya, bahawa engkau (Muhammad) melihat ramai dari kalangan bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain menganut agama Islam yang engkau bawa secara beramai-ramai. Sedangkan sebelum ini di peringkat awal Islam yang masuk Islam hanya individu, seorang ataupun berdua. Namun akhirnya semua qabilah di semenanjung Arab memeluk agama Allah.
Kesukaran orang kafir Quraisy dan orang di semenanjung Arab menerima Islam mempunyai perkaitan dengan peristiwa tentera bergajah.
Bila tentera bergajah menyerang Makkah, Allah datangkan burung memusnahkan tentera bergajah. Cerita pelik ini tersebar di seluruh semenanjung Tanah Arab dan tahun tersebut dinamakan Tahun Gajah. Peperangan tersebut sebenarnya di antara Habsyah dan Arab kerana kaum Quraisy adalah ketua bagi kabilah-kabilah Arab. Bila burung Ababil menolong tolong kaum Quraisy, maka tertanamlah di dalam pemikiran orang Arab bahawa benarnya kaum Quraisy ini. Tiba-tiba Nabi Muhammad saw datang dan mengatakan bahawa kaum Quraishy ini tidak betul, maka Orang Arab tidak boleh menerimanya.
Ujar Ibn Kathir dalam tafsirnya: Yang dimaksudkan dengan kemenangan di dalam surah ini ialah kemenangan membuka Kota Makkah. Setelah itu, qabilah-qabilah arab itu pun memeluk agama Allah sepuak demi sepuak. Dalam masa tidak sampai dua tahun selepas itu, seluruh Semenanjung Arab beriman kepada agama Allah. Tiada qabilah melainkan semuanya mengisytiharkan keislaman mereka.
Menurut riwayat al-Imam Bukhari dalam Sahihnya dari `Amr ibn Salamah katanya: Sebaik sahaja terbuka negeri Makkah, setiap kaum segera menemui Rasulullah saw menyatakan keislaman mereka. Qabilah-qabilah Arab sebelum itu memang menunggu-nunggu terbukanya Kota Makkah untuk menyatakan keislaman mereka. Kata mereka "Biarkan dia (Muhammad) dengan kaumnya, jika dia dapat menundukkan kaumnya, maka itulah tanda dia seorang Nabi."
Walaupun jumhur ulama' dan ramai ulama kalam berpendapat bahawa iman `muqallid' adalah sah dan sempurna ketika kemasukan beramai-ramai ke dalam agama Islam semasa pembukaan Kota Makkah, tetapi darjat di sisi Allah adalah berbeza berbanding dengan angkatan pelopor Islam di kalangan para Muhajirin dan Ansar. Angkatan ini secara langsung bergantung kepada Allah; perjuangan semata-mata ikhlas dan tidak bercampur dengan maksud-maksud lain. Berjuang ketika susah dan bilangan sedikit; dan ini tidak sama dengan mereka yang membelanjakan harta dan berperang dengan penyokong yang ramai. Firman Allah dalam surah al-Hadid (57:10)
لَا يَسۡتَوِى مِنكُم مَّنۡ أَنفَقَ مِن قَبۡلِ ٱلۡفَتۡحِ وَقَـٰتَلَۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَعۡظَمُ دَرَجَةً۬ مِّنَ ٱلَّذِينَ أَنفَقُواْ مِنۢ بَعۡدُ وَقَـٰتَلُواْۚ وَكُلاًّ۬ وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلۡحُسۡنَىٰۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٌ۬
Tidaklah sama darjat di antara kamu yang telah membelanja (untuk Sabilullah) sebelum kemenangan (menguasai negeri Makkah) dan turut berperang. Mereka lebih tinggi darjatnya dari orang-orang yang telah membelanja selepas itu dan turut berperang. Allah telah menjanjikan kepada masing-masing balasan yang sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang dilakukan kamu.
Dalam satu aspek yang lain pula, antara pengajaran yang dapat diperolehi dari sikap Qabilah-qabilah arab yang bersikap tunggu dan lihat sebelum masuk islam, maka kita mendapati sikap ini juga wujud dalam masyarakat Islam. Terdapat segolongan manusia yang sukar untuk menerima sesuatu perkara yang `tidak nampak' walaupun ada perkaitan dengan agama. Apabila ia berlaku di depan mata barulah mempercayainya. Tidak ramai seperti Saiyidina Abu Bakar ra. Ramai manusia yang inginkan bukti atau menunggu perkara ajaib ataupun mukjizat berlaku, baru ingin percaya dan beriman. Adakah perlu kita menunggu sehingga Tsunami berlaku seperti di Aceh, dan bilamana kita melihat masjid tidak dihanyutkan dan kekal tegak di bumi walaupun dilanda tsunami, maka baru kita rasa kagum dan takjub dan berkata " benarlah Islam". Bagaimana jika sebaliknya berlaku ? Bagi orang beriman, al-Qur'an adalah mukjizat Allah. Suruhan dan tegahannya hendaklah dipatuhi tanpa soal
فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا
“Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat “
Ayat ini menerangkan perintah Allah dalam meraikan kemenangan/kejayaan. Iaitu dengan bersyukur, bertasbih, memuji Allah, meminta ampun dan bertaubat kepada-Nya. Ini adalah adab sopan Nabi Muhammad saw di sepanjang hidupnya. Ketika mendapat pertolongan dari Allah membuka Kota Makkah, beliau lupakan kesukaan mendapat kemenangan dan terus membongkok di atas untanya, kerana bersyukur kepada Allah. Beliau dapat memasuki kembali negeri Makkah yang penduduknya telah menyakitinya, mengusirnya, memeranginya dan menentang dakwahnya dengan penuh kedegilan.
Bertasbih dan bertahmid atas ni'mat Allah yang telah menjadikan Nabi dan para sahabat sebagai pemegang amanah dan pembela agama-Nya. Juga atas rahmat Allah ke atas seluruh umat manusia dengan mengurniakan kemenangan kepada Rasul-Nya membuka Makkah dan sambutan besar-besaran dari orang ramai yang memeluk agama-Nya.
Pohonlah juga kepada Allah swt keampunan untuk dirimu dengan penuh rasa tawaddu' dan rasa sesal kerana kecuaian diri, juga sebagai pengajaran untuk umatmu. Mengikut Sayyid Qutb rahimullah, maksud Istighfar di saat kemenangan dan kehilangan kesabaran adalah:
Beristighfar terhadap pelbagai perasaan bangga, angkuh, sombong yang berkecamuk dalam hati di saat-saat mabuk kemenangan setelah sekian lama berjuang.
Beristighfar terhadap perasaan-perasaan tidak sabar, perasaan terkilan, kerana lambatnya Allah menunaikan janji memberi bantuan dan pertolongan. Perasaan gentar dan takut dalam saat-saat menghadapi perjuangan yang lama; perasaan kepenatan dalam berjuang. Ingatlah firman Allah dalam Surah al-Baqarah :214.
أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَأۡتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلِكُمۖ مَّسَّتۡہُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ ۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌ۬ (٢١٤
"Adakah kamu mengira bahawa kamu akan memasuki Syurga, sedangkan kamu belum menerima dugaan seperti orang-orang Mu'min yang terdahulu dari kamu? Mereka telah ditimpa kesusahan dan kesengsaraan dan mereka telah digoncangkan (dengan pelbagai ujian) sehingga Rasul dan orang-orang Mu'min yang ada bersamanya pernah bersungut: Bilakah tibanya pertolongan dari Allah? Lalu dijawab: Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat"
Sikap yang seperti ini memerlukan istighfar. Beristighfar kerana tidak cukup bersyukur kepada Allah yang sentiasa melimpahkan ni'mat dan rahmat-Nya yang tidak putus-putus. Daya upaya manusia sentiasa terbatas, sedangkan ni'mat dan anugerah Allah sentiasa melimpah-ruah. Firman Allah dalam surah an-Nahl:18
وَإِن تَعُدُّواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَآۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (١٨
"Andainya kamu membilang ni'mat Allah, nescaya kamu tidak berdaya mengiranya"
Beristighfar agar tidak melakukan perbuatan-perbuatan zalim terhadap musuh-musuh yang kalah. Orang yang menang hendaklah menyedari bahawa Allah-lah yang memberi kekuatan kepadanya bagi mengalahkan musuh. Sedangkan ia lemah dan tidak berupaya. Kemenangan yang dicapai adalah kemenangan dari kurnia-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan