إِنَّ هَـٰذِهِۦۤ أُمَّتُكُمۡ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ وَأَنَا۟ رَبُّڪُمۡ فَٱعۡبُدُونِ (٩٢)
“Dan sesungguhnya umat (para anbia') ini adalah umat kamu iaitu umat yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu. Oleh itu sembahlah Aku." - Surah al-Anbia' 21:92
‘Ini’ merujuk kepada Nabi-nabi yang di jelaskan didalam surah Anbia’ ayat 48 hinggalah ayat 91, mengisahkan peristiwa-peristiwa beberapa orang Nabi dengan babak-babak kisah yang pendek. Kisah Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s serta perbezaan di antara Taurat dan Al-Qur'an; Kisah Nabi Ibrahim dengan berhala-berhala kaumnya; Kisah anak-anak Nabi Ibrahim (Nabi Ismail as dan Nabi Isyaq as) dan cucunya (Nabi Ya'kub as); Kisah Nabi Lut dan kaumnya yang mengamalkan homoseks dan bagaimana Allah merahmati Nabi Lut as dan menyelamatkannya; Kisah Allah memperkenankan doa Nabi Nuh as dan menyelamatkannya dari malapetaka yang membinasakan kaum dan keluarganya; Kisah-kisah berkenaan kelebihan-kelebihan Nabi Daud dan Nabi Sulaiman as; Kisah kesabaran Nabi Ayyub as; Kisah Para Anbiya' yang terkenal sabar seperti Nabi Ismail as, Nabi Idris as dan Nabi Zulkifli as; Kisah Nabi Yunus as dan ujian yang ditempuhnya; Kisah Nabi Zakaria as dan Rahmat Allah kepadanya dengan mengurniakan anak ketika usianya tua iatu NabiYahya as.
‘Kamu’ merujuk kepada kita semua. Kita dan para Rasul-rasul sebelum ini disatukan oleh ‘aqidah. Ini diterangkan pada ayat ke-92; Allah menerangkan bahawa umat Anbia' adalah umat kamu. Para Rasul menyeru ke arah kesatuan `Aqidah dan kesatuan jalan menuju Allah, di sepanjang zaman seolah-olah mereka merupakan satu umat walaupun zaman dan tempat mereka berjauhan. Itulah umat yang satu di muka bumi dan Tuhan Yang Maha Esa di langit. Tiada Tuhan selain Allah dan Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.
“Angkatan manusia yang mulia yang bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat lama itu menghadapi - seperti yang tergambar di bawah bayangan Al-Qur'an - keadaan-keadaan yang serupa, krisis-krisis yang serupa dan pengalaman-pengalaman yang serupa di sepanjang zaman di berbagai-bagai tempat dan di kalangan berbagai-bagai kaum.
Angkatan ini menghadapi kesesatan, kebutaan, kezaliman, hawa nafsu yang liar, penindasan, kekejaman, ancaman dan pengusiran, tetapi ia terus mara menyusuri jalannya dengan langkah-langkah yang tetap, dengan hati nurani yang tenteram, dengan kepercayaan dan harapan yang penuh terhadap pertolongan Allah dengan hati yang menunggu-nunggu di setiap saat ketibaan janji Allah yang benar.” ......Sayyid Qutb
Apabila kita meneliti kisah-kisah yang diceritakan oleh Allah swt di dalam al-Quran, kita akan nampak sesuatu yang hendak dipaparkan sebagai satu tasawur atau paradigma Islam. Iaitu bagaimana Allah mengurniakan Rahmat dan pemeliharaan-Nya terhadap para Rasul-Nya. Begitu juga dengan akibat-akibat yang telah menimpa umat-umat yang mendustakan para Rasul setelah disampaikan kepada mereka penerangan-penerangan yang jelas. Dikisahkan jua beberapa ujian Allah terhadap para Rasul sama ada berbentuk kesenangan dan kesusahan dan bagaimana mereka telah menempuh ujian itu.
Kemudian umat Nabi Muhammad saw juga akan menghadapi ‘pattern’ yang sama. Apa yang akan dihadapi? Umat Nabi Muhammad saw akan menghadapi krisis yang serupa, pengalaman yang sama, walaupun di tempat yang berbeza dan dengan kaum yang berbeza, tutur bahasa juga berbeza tetapi masalah yang dihadapi adalah dalam bentuk yang serupa.
Sewaktu Rasulullah saw menerima wahyu yang pertama di gua Hira’, isterinya Khadijah membawa Baginda berjumpa dengan anak saudaranya bernama Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abd al-‘Uzza yang telah memeluk agama Nasrani. Beliau pernah menulis kitab-kitab suci dalam bahasa Ibri dan al-Injil dalam bahasa Hebrew dengan izin Allah.
Khadijah berkata; “Wahai anak saudaraku, cubalah kau dengar perihal dari saudaramu ini.” Jawab Waraqah; “Apakah gerangan wahai saudaraku?” Rasulullah saw pun menceritakan apa yang telah berlaku ke atasnya di gua Hira’.
Lantas Waraqah berkata; “ Itulah dia malaikat yang telah mendatangi Musa a.s, kalaulah daku ini masih muda, dan kalaulah daku masih hidup ke saat kau dihalau keluar oleh kaum kau.”Rasulullah saw bertanya; “Apakah aku ini akan dihalau keluar oleh mereka?”
Jawab Waraqah; “Ya, memang, tidak pernah datang seorang manusia seperti kau ini dengan bawaannya, malah kesemuanya ditentang, kalaulah daku sempat sampai ke hari-hari kau itu pasti akan ku bantu kau sepenuhnya,” Tidak berapa lama selepas itu Waraqah pun meninggal dunia.
Bagaimana Waraqah dengan yakin itu adalah malaikat, bukan hantu atau jin? Bagaimana Waraqah dapat menjangkakan bahawa Rasulullah saw akan ditentang dan diusir keluar dari kaumnya?
Beliau adalah penulis kitab suci dan al-Injil. Perkara yang sama telah berlaku kepada Rasul-Rasul sebelumnya. Sepatutnya kita kena faham bahawa ‘pattern’ kehidupan orng Islam adalah sama seperti ini. Penentangan dan siksaan pasti akan berlaku. Kalau tidak berlaku adalah suatu keganjilan. Tentu kita tidak melakukan suatu yang betul. Kita telah mengelak dari melakukan suatu perkara yang sepatutnya kita buat. Umat Islam sebelum dan selepas zaman Rasulullah saw semuanya ditentang kerana mereka bekerja menyebarkan Islam. Melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar.
Ramai juga yang takut untuk melaksanakan tugas ini kerana takut dipulaukan, takut digugurkan dari jawatan, takut dimarahi, takut itu dan takut ini. Natijahnya, dunia tidak akan berubah.
Kisah Nabi Musa a.s dikejar oleh Bani Israel dan Fir’aun yang berada di belakangnya. Ketika itu keimanan umatnya belum begitu mantap tetapi masih tetap mengikut arahannya. Mereka bertanya; “Wahai Musa, engkau hendak bawa kami ke mana?” Sampai di tepi persisiran pantai, mereka bertanya lagi; “Eh! Betul ke kau ni?”Nabi Musa a.s pun menjawab dengan yakin; “Bersama aku Allah yang menunjuk jalan.” Kemudian wahyu terus turun kepada beliau supaya memukul tongkatnya ke atas pasir. Laut pun terbelah. Nabi Musa a.s dan pengikutnya terselamat dengan pertolongan Allah swt.
Kisah Nabi Ibrahim a.s yang telah dimasukkan ke dalam api yang marak membakar. Di ketika itu beliau yakin Allah pasti menolongnya dan tidak akan mati terbakar. Beliau merasakan di dalam api itulah tempat yang paling selamat berbanding di luar sana.
Kisah Saidina ‘Ali r.a yang tidur di atas katil Nabi saw. Sebelum beliau ditinggalkan oleh Rasulullah saw, Baginda berpesan; “Kamu tidurlah di sini. Apabila kamu bangun, sampaikanlah kembali semua harta-harta simpanan yang telah diamanahkan kepadaku kepada tuan-tuan yang hak. Kita jumpa di Madinah.”Mendengarkan perkataan Rasulullah saw bahawa mereka akan berjumpa di Madinah, maka yakinlah dia bahawa ia akan selamat dan hidup. Beliau pernah berkata; “Aku tidak pernah tidur dengan aman dan tenteram melainkan pada malam itu.”
Dalam surah Ibrahim ayat 13 hingga 14, Allah swt berfirman:
وَقَالَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ لِرُسُلِهِمۡ لَنُخۡرِجَنَّڪُم مِّنۡ أَرۡضِنَآ أَوۡ لَتَعُودُنَّ فِى مِلَّتِنَاۖ فَأَوۡحَىٰٓ إِلَيۡہِمۡ رَبُّہُمۡ لَنُہۡلِكَنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ (١٣) وَلَنُسۡڪِنَنَّكُمُ ٱلۡأَرۡضَ مِنۢ بَعۡدِهِمۡۚ ذَٲلِكَ لِمَنۡ خَافَ مَقَامِى وَخَافَ وَعِيدِ (١٤)
“Orang-orang kafir berkata kepada Rasul-rasul mereka; ‘Kami sungguh-sungguh akan mengusir kamu dari negeri kami atau kamu kembali kepada agama kami.’ Maka Tuhan mewahyukan kepada mereka; ‘Kami pasti akan membinasakan orang-orang yang zalim itu.(13) dan Kami pasti akan menempatkan kamu di negeri-negeri itu sesudah mereka. Yang demikian itu (adalah untuk) orang-orang yang takut (akan menghadap) ke hadirat-Ku dan takut kepada ancaman-Ku.”
Semasa ayat ini diturunkan, orang-orang kafir masih belum dihancurkan oleh Allah. Sahabat Nabi Muhammad saw ketika itu merasai mereka juga akan menghadapi situasi yang sama. Mereka akan dihalau dari Mekah. Kemudian orang-orang kafir itu akan dihancurkan. Umat Islam akan menggantikan tempat mereka dan mencapai kemenangan. Ini akan hanya berlaku kepada orang yang takut kepada ancaman Allah dan takut untuk menghadap kepada-Nya.
Kesimpulannya, kita mestilah meyakini bahawa:
1. Setiap orang Islam yang melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar pasti akan menghadapi tentangan, ancaman, dan sikap yang sama terhadap mereka sebagaimana telah berlaku terhadap Rasul-rasul dan kaumnya yang terdahulu.
2. Nasib kesudahan yang sama akan berlaku kepada orang kafir dan orang Muslim. Orang kafir akan musnah dan orang Muslim akan menggantikan mereka dan akan mencapai kemenangan.
3. Apabila orang Muslim menerima tekanan yang semakin dasyat, ini menunjukkan pertolongan Allah semakin hampir.
4. Sekiranya tiada tentangan dan kecaman yang berlaku, ini menunjukkan orang Muslim sudah tidak melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan. Maka tiada kemenangan untuk orang Islam.
5. Sudah menjadi sunnahtullah, Allah tidak akan memberi kemenangan kepada orang-orang yang tidak bersih.
6. Orang Islam mestilah yakin dengan hati nurani yang tenteram, hati yang penuh pengharapan dan menunggu-nunggu terhadap pertolongan Allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan