04 Julai 2011

4.7 Surah al-Kafirun سُوۡرَةُ الکافِرون

(Makkiyyah; 1-6)

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ (١)
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! (1)

لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ (٢) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٣)
Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. (2) Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. (3)

وَلَآ أَنَا۟ عَابِدٌ۬ مَّا عَبَدتُّمۡ (٤) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٥)
Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. (4) Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. (5)

لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِىَ دِينِ (٦)

Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. (6)

Nama Surah

Surah ini dinamakan al-Kafirun kerana Allah swt memerintahkan Nabi Muhammad saw supaya menegaskan kepada orang-orang kafir; “Katakanlah, wahai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.”
Ia juga dinamakan al-Munabazah, al-Ikhlas dan al-Muqasyqasyah.

Berlaku khilaf (berlainan pendapat) tentang surah ini diturunkan di Mekah atau Madinah. Namun Pendapat yang terkuat adalah surah ini telah diturunkan di Mekah.

Terdapat hadith menyatakan(hadith yang tidak kuat) surah al-Kafirun ini menyamai 1/3 daripada al-Qur’an. Ada yang menyatakan ia menyamai ¼ daripada al-Qur’an.

Di dalam tafsir al-Qurtubi, ada suatu riwayat menyatakan, Rasulullah saw berkata kepada seorang sahabat yang miskin yang akan bermusafir; “Adakah kamu ingin aku ajarkan kepada mu dalam perjalanan kamu ini akan menjadikan kamu kaya?”
Sahabat menjawab ; “Bahkan ya Rasulullah”.
Kemudian Rasulullah saw pun mengajarkannya supaya membaca surah al-Ikhlas dan al-Kafirun. Apabila sahabat ini mengamalkan apa yang diajarkan oleh Rasulullah saw, beliau tidak lagi merasai kesusahan.

Namun, bukanlah tujuan utama kita mempelajari al-Qur’an untuk mendapatkan fadilat-fadilatnya. Yang paling penting (pokok)ialah pengajaran-pengajaran yang diperolehi daripada ayat-ayat tersebut.

Latarbelakang Surah/ Asbabun Nuzul

Kaum musyrikin Quraisy sentiasa tidak merasa senang dengan perkembangan dakwah Nabi saw. Pelbagai teknik telah digunakan untuk menyekat perkembangan ini.

Sebagaimana kisah dalam surah al-Lahab, bermula di bukit Safa, mereka telah memperolok-olokkan, memperlekeh-lekehkan, mempermain-mainkan, mendusta dan mempersendakan Rasulullah saw supaya dapat melemahkan semangat kaum muslimin. Sehingga sanggup menuduh Nabi saw sebagai gila(al-Hijr:6). Mereka menyatakan al-Quran itu cerita dongengan(al-Furqaan:5), tiada keistimewaan yang ada pada Nabi saw(al-Furqaan:7)

Namun dakwah Rasulullah saw tetap berjalan seperti biasa. Maka mereka mula menyiksa sesiapa sahaja yang mengikuti ajaran baru yang dibawa oleh Muhammad. Seperti kisah Bilal disiksa dan dihempap batu besar namun tetap dibibirnya melafazkan perkataan “Ahad, Ahad, Ahad”. Nampaknya hati orang mukmin adalah begitu kuat bertauhidkan hanya semata-mata kepada Allah swt.

Ibnu Hisyam menceritakan daripada Ibnu Ishaq, ‘Utbah Bin Rabi’ah salah Seorang pembesar Quraisy yang bijak dan jauh pandangannya telah bertemu dengan Rasulullah saw dan berkata; “Wahai anak saudaraku, sebagaimana kita ketahui bersama bahawa engkau adalah sedarah sedaging dengan kami, berasal dan keturunan dan baka yang mulia dan seperti yang diketahui ramai, bahawa engkau telah membawa suatu ajaran baru, memecahkan kaum puak kita di samping engkau selalu mengolok-olokkan dan memperbodohkan penyembahan berhala. Mahukah sekiranya aku tawarkan beberapa perkara, semoga engkau dapat menerima sebahagian darinya”
Maka Rasulullah saw pun berkata kepadanya; “Katakan, ya Abal-Walid, saya cuba mendengarnya.”
Maka berkatalah ‘Utbah: “Sekiranya tujuanmu membawa agama baru ini untuk mendapatkan harta kekayaan maka kami akan kumpulkan harta-harta kami untuk kamu sehingga kamu menjadi seorang yang lebih kaya-raya dan kami, sekiranya engkau bermaksud untuk mendapatkan kemuliaan maka kami sekalian bersedia bila-bila masa melantik engkau sebagai ketua kami, sekiranya engkau ingin menjadi raja, yang demikian pun kami bersedia juga untuk mempertabalkan engkau sebagai raja kami dan sekiranya segala tawaran tadi semuanya engkau tolak mentah-mentah maka yang terakhir sekali kami bersedia membelanjakan harta kekayaan kami untuk mencari tabib untuk merawat engkau hingga sembuh.”
Setelah itu Rasulullah saw menjawab dengan katanya: “Apakah sudah habis segala hasrat yang hendak dicurahkan itu?”
Jawab ‘Utbah: “Ya.”
Maka sambung Rasulullah saw, “sekiranya demikian maka dengarkanlah dariku pula”, Rasulullah saw membaca surah al-Fusilat dari ayat pertama hingga ayat ke tiga-belas, tiba-tiba ‘Uthbah meminta Rasulullah saw berhenti membacanya sebelum Baginda meneruskan ayat yang seterusnya kerana terpaku dengan ayat-ayat yang penuh ugutan itu.

‘Utbah pun kembali kepada sahabat-sahabatnya lalu ia ditanya: “Apakah pengkhabarannya,”
Jawab ‘Utbah. “Demi Sesungguhnya belum pernah aku dengar lagi barang sesuatu sepertimana aku dengar hari ini, ianya bukan sya’ir, bukan jampi, seloka, sihir dan bukan gurindam biarawan. Wahai kaum Qu raisy sekelian! dengarlah cakapku ini, berilah peluang kepada Muhammad, biarkanlah dengan usahanya itu. Demi Tuhan sesungguhnya apa yang kudengar tadi adalah suatu berita yang teristimewa. Andaikata apa yang digambarkan oleh Muhammad terhempap ke atas kamu maka tidak ada orang lain hanya Muhammad saja yang boleh melepaskan kamu, dan andaikata Muhammad boleh menonjol diri di kalangan bangsa ‘Arab maka percayalah bahawa kekuasaan kamu dan kemegahannya adalah kemegahan kamu jua.”
Jawab mereka: “Demi sesungguhnya engkau pun juga telah diperdaya oleh Muhammad dengan kelancaran lidahnya.”
Jawab ‘Utbah pula: “Apa yang kukatakan tadi adalah pendapatku tentang Muhammad dan pendapat kamu terserahlah kepada kamu sekelian.”

Al-Tabari dan lbnu Kathir serta periwayat yang lain menceritakan: Beberapa orang musyrikin termasuk di antaranya Al-Walid Bin Al-Mughirah dan Al-’As bin Wail telah datang menemui Rasulullah saw di rumahnya di mana mereka sekelian telah menawar kepada baginda hendak menyerahkan wang kekayaan mereka kepada Baginda sehingga menjadi manusia yang paling kaya di antara yang lain dan menawarkan juga untuk mengahwinkannya gadis jelitawan ‘Arab. Kedua tawaran itu meminta ditukarkan dengan satu syarat sahaja iaitu memberhentikan sikap penentangannya terhadap orang ‘Arab dan penyembahan berhala serta memberhentikan kecamannya terhadap adat tradisi yang mereka warisi dan datuk nenek terdahulu. Bila saja segala tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh Rasulullah saw dan sebagai usaha diplomatik mereka yang terakhir ialah menawarkan supaya Rasulullah saw bertolak ansur sehari menyembah berhala dan di hari yang lain pula mereka beramai- ramai menyembah Tuhan Nabi saw tetapi tawaran ini juga telah ditolak oleh Rasulullah saw. Diperjelaskan lagi dengan turunnya surah ini.

Jawatan raja memungkinkan Rasulullah saw membuat apa sahaja yang ia kehendaki dan dengan harta kekayaan Baginda dapat memajukan pergerakan Islam. Semuanya ditolak oleh Rasulullah saw. Ini sudah tentu ada sebab-sebab yang tersendiri (perlu difikirkan) mengapa Rasulullah saw bertindak sedemikian.

Al-Tabrani dan Ibn Abi Hatim mentakhrijkan hadith berikut daripada Ibn ‘Abbas; bahawa orang-orang Quraisy telah menawarkan kepada Rasulullah saw untuk memberi Baginda harta benda sehingga Baginda menjadi orang yang paling kaya di Mekah. Mereka berjanji akan mengawinkan Baginda dengan mana-mana wanita yang diingininya dengan syarat ; “Wahai Muhammad ini adalah untuk engkau dengan syarat engkau berhenti daripada mencerca tuhan-tuhan kami dan memburuk-burukkannya. Kalau engkau tidak mahu, maka sembahlah tuhan-tuhan kami selama setahun.”
Rasulullah saw menjawab; “Tunggulah sehingga aku melihat perintah Tuhanku.” Lalu Allah swt menurunkan surah ini (al-Kafirun:1-6) dan kemudian turun ayat 64 dari surah al-Zumar.

Kemudian mereka cuba berkompromi dengan Rasulullah saw dengan alasan ajaran mereka dan ajaran Muhammad adalah juga dari ajaran Nabi Ibrahim a.s.

Ibn Ishaq dan yang lain-lain telah menyebutkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa sebab turunnya surah ini ialah berikutan peristiwa di mana al-Walid bin al-Mughirah, al-‘As bin Wa’il, al-Aswad bin ‘Abd al-Muttalib dan ‘Umayyah bin Khalaf berjumpa dengan Rasulullah saw seraya berkata; “Wahai Muhammad,(begini sahajalah) kami menyembah apa yang engkau sembah dan engkau pula menyembah apa yang kami sembah. Kita sama-sama berkongsi pada setiap perkara. Sekiranya apa yang engkau bawa adalah lebih baik daripada pegangan kami, kami akan berkongsi dengan engkau mengenai perkara itu dan kami akan mengambil habuan kami daripadanya. Sekiranya pegangan kami adalah lebih baik dari pegangan engkau, maka engkau boleh berkongsi dengan kami mengenai perkara itu dan engkau masih boleh mengambil bahagian engkau daripadanya.” Lalu Allah swt menurunkan ayat ini.

Diriwayatkan pembesar-pembesar Quraisy tidak berputus asa dengan usaha mereka. Sekali lagi mereka datang beramai-ramai menemui Nabi saw mengemukakan kepada baginda apa yang pernah ditawarkan oleh ‘Utbah bin Rabi’ah dahulu, menawarkan kepadanya untuk memegang jawatan sebagai penganjur bangsa ‘Arab, kekayaan dan mengemukakan persediaan dan kesanggupan mereka untuk mencari tabib atau dukun sekiranya Nabi saw dirasuk oleh jin dan syaitan dengan syarat yang dahulu juga.

Semuanya itu dijawab oleh Rasulullah saw dengan katanya: “Sebenarnya aku ini tidak ada kena mengena dengan apa yang kamu suarakan tadi, segala apa yang aku bawa ini bukan dengan bertujuan mencari harta kekayaan dan pangkat dan kekuasaan, tetapi Tuhan telah mengutuskan aku untuk kamu sekelian di samping itu diturunkan Kitab Suci kepada aku dan Tuhan telah menyuruh aku menyampaikan berita yang menakutkan dan mengembirakan, kewajipanku Semata-mata menyampaikan apa yang telah dipertanggungjawabkan ke atasku, sekiranya kamu terima maka itu adalah habuan kamu untuk dunia dan akhirat dan kalaulah kamu tolak, tidak ada lain hanya bersabarlah sahaja sehingga Tuhan menjatuhkan hukumanNya di antara aku dan kamu sekelian.”

Setelah perbincangan berlarutan dan tawar-menawar pun berlanjutan tetapi Rasulullah saw tetap dengan pendiriannya dan sebagai kata yang terakhir dan pihak Quraisy: “Apa yang telah sampai kepengetahuan kami tentang seorang yang tinggal di Al-Yamamah bernama “Al- Rahman” dialah yang telah mengajar engkau segala-galanya ini, sesungguhnya kami tidak percaya langsung dengannya, segala-galanya telah kami usahakan setakat daya dan upaya kami dan sebagai kata yang terakhir dan kami untuk kau iaitu kami tidak akan biarkan engkau begitu sahaja, dan pilihlah antara dua; kalau tidak engkau yang membinasakan kami maka kamilah yang akan memusnahkan engkau; itu sahaja." Dengan kata-kata itu mereka pun berangkat pulang tanpa sesuatu pun yang tercapai.[ Tahzib Sirah Ibnu Hisyam dan Kitab Sirah yang lain.]

Fikrah Ayat

قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ (١)

قُلۡ - kata suruh/perintah yang wajib dilaksanakan, tidak boleh menolak sedikit pun kerana ia perintah dari Tuan kepada hamba-Nya. Walaupun pada asalnya suruhan ini kepada Rasulullah saw, ia juga merupakan suruhan kepada ummatnya. Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dan juga kepada ummatnya.

Allah swt menyuruh kita menyatakan apa? Katakanlah; يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ - “Wahai orang-orang kafir”. Kita tidak perlu menyebut perkataan kafir ini dengan perkataan yang lebih sopan. Allah swt menyuruh kita menyebutnya dengan sifat hakikinya iaitu ‘kafir’. Istilah yang paling tepat untuk digunakan adalah istilah yang telah digunakan di dalam al-Qur’an.

Melainkan jika kita berhadapan dengan situasi; ketika itu kita sedang bercakap dengan Ah Chong atau Muthu, untuk menjaga hatinya, kita menyebut perkataan ‘non Muslim’. Tetapi jika ketika itu kita sedang berbincang sesama muslim, kita perlu menyebut terus perkataan ‘kafir’ merujuk kepada orang kafir. Bukan dengan perkataan ‘non muslim’.

Kafir berasal dari perkataan ‘Kaf’, ‘Fa’, ‘Ro” yang bermakna ‘tutup’. Kaffaratul majlis bermakna memohon Allah swt menutup kesalahan-kesalahan yang berlaku semasa majlis samada secara sedar atau pun tidak. Kiffarah dosa bermakna penutup dosa. Mengapa Allah swt menggunakan perkataan ‘kafir’ untuk menggambarkan orang yang tidak beriman ini?

Manusia telah dijadikan mengikut fitrah(beriman dengan Allah swt – rujuk Muqaddimah Fi Zilalil Qur’an; asal kejadian manusia). Jika manusia berada di dalam keadaan yang sangat terdesak seperti lemas di lautan atau kapalterbang yang dinaiki menjunam jatuh, maka akan teringatlah mereka kepada Tuhan untuk berserah diri atau meminta tolong. Terbukti mereka telah menutup hati-hati mereka dari beriman kepada allah swt. Kafir sangat berlawanan dan tidak boleh sama langsung dengan orang-orang yang beriman.

Kata suruh ini juga bermaksud ia mestilah dilafazkan atau diumumkan kepada orang ramai, bukan hanya tersimpan didalam hati. Merasa bimbang sahaja tidak mencukupi. Kerisauan beserta dengan tindakan da’wahlah menyebabkan Rasulullah saw dan para sahabat ditentang dan diseksa oleh musuh. Jikalau ia hanya tersimpan didalam hati, itulah selemah-lemah iman. Sesungguhnya iman itu ialah sesuatu yang terletak di dalam hati, kena dinyatakan dengan lisan dan kemudian perlu dibuktikan dengan amal. (Rujuk al-Hujurat:14 -15). Orang yang beriman ialah mereka yang beriman dengan Allah swt dan Rasul-Nya, tidak ragu-ragu dan kemudian perlu berjihad dengan harta dan nyawanya.

Apa yang perlu kita umumkan? Kita perlu mengumumkan ayat berikut;

لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ (٢) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ )
Tidak aku sembah(verb) apa yang kamu sembah(noun).(2) Dan kamu bukan penyembah(verb) apa yang aku sembah(noun).(3)

وَلَآ أَنَا۟ عَابِدٌ۬ مَّا عَبَدتُّمۡ (٤) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ )
Aku bukan penyembah apa yang kamu sembah.(4) Bukan kamu penyembah apa yang aku sembah.(5)

Berlaku mengulangan perkataan dalam bentuk yang berbeza-beza. Wujud ‘jumlah fi’liyah’ iaitu jumlah ayat yang dimulakan dengan pebuatan. Jumlah ‘Isimiyah’ iaitu jumlah ayat yang dimulakan dengan nama. Pengulangan dalam bentuk ‘verb’ dan ‘noun’ ini memberi pemahaman yang tertentu iaitu dulu, kini dan selamanya orang kafir adalah berbeza dengan orang yang beriman dari segi aqidah dan peibadatannya. Ayat empat(4) menguatkan lagi ayat yang pertama. Manakala ayat lima(5) menguatkan lagi ayat yang ke dua.

Berlaku ‘mufassolah’ atau pemisahan yang nyata antara orang mukmin dan orang kafir. Tidak mungkin ada titik pertemuan atau kesamaan.
Zaman dulu, orang Quraisy suka menukar berhala mereka. Apabila mereka menjumpai batu yang lebih menarik, batu yang lama akan dibuang kemudian menyembah batu yang baru. Apa yang mereka sembah dahulu dan sekarang tidak akan dituruti oleh orang-orang yang beriman.

Ada riwayat menyatakan, ada terfikir oleh Rasulullah saw untuk melakukan kompromi dalam aqidah dalam dakwahnya dengan orang kafir. Moga-moga berlaku sedikit demi sedikit perubahan dalam pemikiran mereka apabila perhubungan bertambah akrab antara satu sama lain. Tetapi dengan turunnya surah ini menunjukkan Allah swt tidak membenarkan berkompromi dalam aqidah walaupun sesaat dengan orang-orang kafir.

Berkompromi dari segi perbuatan(kaedah da’wah) dibenarkan dalam dakwah Islam. Contohnya, mengikuti kawan-kawan ke tempat hiburan(tempat maksiat) dengan tujuan berdakwah(amal ma’ruf , nahi mungkar) dengan syarat kita pasti tidak akan terikut-ikut dengan tabi’at mereka. Jika ke tempat hiburan bukan untuk berdakwah, maka perbuatan itu adalah dilarang.

Maka perlu ada konsep Pemisahan(mufassolah) antara orang mukmin dan orang kafir. Pemisahan tersebut ialah pemisahan aqidah dan pemisahan syu’uriyah atau uzlah syu’uriyah. Pemisahan syu’uriyah bermaksud pemisahan perasaan di dalam hati yang berbeza di sudut pemikiran, pandangan dan penilaian. Perasaan sanubari, penilaian dan pemikiran orang mukmin adalah hasil dari sibghah(celupan) al-Quran . Sudah tentu ia sangat berbeza dengan orang kafir.

Manakala uzlah jasadiyah(tubuh) adalah dilarang dalam Islam. Ia telah dilaksanakan oleh golongan sufi. Mereka akan mengasingkan diri dari orang ramai, ke tempat yang sunyi supaya dapat beribadat dengan khusyu’ dan dapat mendekatkan diri dengan Allah swt. Ibadah seperti ini adalah tidak digalakkan. Ia adalah uzlah yang sia-sia dan bida’ah yang meruntuhkan walaupun ia penuh dengan niat yang ikhlas dan baik. Amalan bida’ah ini(pertapaan) ialah amalan yang ditiru dari kaum Nasrani.
Islam didikan Rasulullah saw adalah Islam amar makruf dan nahi mungkar, berjihad dan berdakwah.

Seorang ahli fiqh dari para tabi’in Kufah yang arif dan bijaksana, Amir As-Sya’bi telah meriwayatkan; Ada beberapa lelaki telah keluar dari Kufah dan tinggal di pinggir Bandar, beribadah di sana. Berita ini telah sampai ke pengetahuan Abdullah bin Mas’ud r.a. Lalu dia datang berjumpa mereka. Orang-orang itu gembira dengan kedatangan beliau. Tiba-tiba Ibnu Mas’ud berkata; “Apakah yang mendorong kamu berbuat begini?”
Mereka berkata; “Kami ingin lari dari hingar bingar kelam kelibut orang ramai untuk beribadat.”
Lalu kata Abdullah bin Mas’ud r.a; “Jika semua orang berbuat seperti apa yang kamu buat, siapakah yang akan memerangi musuh? Aku tidak akan tinggalkan tempat ini sehinggalah kamu pulang.”Kisah ini telah diriwayatkan oleh Syeikh ahli hadith Abdullah bin al-Mubarak.

Sebelum kedatangan Islam, Rasulullah saw beruzlah di Gua Hira’. Selepas menerima wahyu, Rasulullah saw tidak pernah lagi menuzlahkan diri dari masyarakat. Kenapa begitu? Rasulullah saw berkata; “Uzlah ummatku ialah pada qiamulailnya.” Walaupun diketika itu begitu banyak berhala-berhala di Kaabah, Baginda tidak lari dari masyarakat yang jahil itu. Keadaan yang rosak perlu diperbaiki. Mana yang baik diambil manfaatnya. Maka tinggallah Rasulullah saw di Mekkah selama 13 tahun. Sesiapa yang mengenali Allah tidak akan lari dari sesuatu dan dia tidak takut pada sesiapa pun kecuali Allah.

Kita juga perlu mengumumkan bahawa;

لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِىَ دِينِ (٦)
Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. (6)

‘Aku tak sama dengan kamu, kamu(orang kafir) tak sama dengan aku.’Seolah-olah orang mukmin di sini, manakala orang kafir berada di seberang sana. Tiada titian dan tiada jalan yang menghubungkan di antara mereka. Berlaku pemisahan aqidah dan perasaan tetapi tidak memisahkan diri dari masyarakat dan orang ramai.

Orang mukmin perlu merasai dirinya benar-benar terpisah dari jahiliyyah baik dari segi kefahaman, cara hidup dan cara bertindak iaitu satu perpisahan yang tiada titik pertemuan dan tiada kemungkinan untuk bekerjasama kecuali orang-orang yang berada dalam jahiliyyah itu berpindah dengan keseluruhan mereka ke dalam Islam.
Tanpa pemisahan seperti ini, kekeliruan, kekaburan, bermuka-muka dan tampalan-tampalan akan terus kekal. Sedangkan dakwah Islam tidak boleh ditegakkan di atas asas-asas yang lemah, malah ia tidak dapat ditegakkan melainkan di atas asas-asas yang tegas, terus-terang, berani dan jelas.

Apa yang kita dapat dari surah ini.

1. ‘Aqidah boleh dirosakkan oleh kepercayaan syirik.

2. Tiada tawar-menawar dalam urusan ‘Aqidah. Seperti amalan kongsi Raya yang melibatkan perayaan keagamaan. Kenyataan ‘semua agama adalah sama’ tidak boleh wujud kerana Islam adalah Islam. Kafir adalah tetap kafir.

3. Tiada titik pertemuan di antara orang mu’min dengan orang kafir. Konsep mufassolah atau pemisahan aqidah dan syu’uriyah(perasaan) perlu ada dalam diri setiap orang yang beriman. Situasi sekarang seperti;

 Zina, arak, judi dan riba berleluasa.
 Pecah amanah, penipuan, kroni sedang berleluasa.
 Rompakan, pembunuhan, rogol juga berleluasa.
 Kedangkalan ilmu Ad-din jelas kelihatan dimana-mana.
 Mengerjakan perkara sunat tetapi meninggalkan perkara wajib seperti menunaikan umrah tetapi meninggalkan solat wajib lima waktu semasa dalam perjalanan pergi dan balik.

Keadaan-keadaan sebegini menyerupai keadaan jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Orang mukmin yang hidup ditengah masyarakat seperti ini mestilah tidak redha disanubarinya(uzlah syu’uriah) sambil memikirkan kaedah bagaimana dapat mengubati keadaan seperti ini. Bukan mengambil pendekatan memencilkan diri dari masyarakat.
Jika hati sanubari meredhai keadaan seperti ini, bermakna ia sama seperti orang kafir yang telah menutup hatinya dengan iman.

4. Semua peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah saw atau sebelumnya akan juga akan berlaku di zaman sekarang. Jika diamat-amati, umat Islam akan disibukkan dengan tugasan-tugasan pejabat. Mesyuarat dari pagi hingga ke petang. Dihantar kursus ke sana ke sini. Ditawarkan pangkat atau jawatan yang tinggi. Diberi imbuhan yang memberangsangkan. Sehingga tidak berkesempatan untuk memikirkan Ad-din. Tidak sempat untuk memikirkan siapakah kita sebenarnya dan apakah tujuan kita dijadikan oleh Allah swt.

5. Mengapa Rasulullah saw tidak menerima tawaran-tawaran berupa pangkat, wanita dan harta kekayaan?

Sebab Pertama;
 Menggambarkan keaslian da’wah Nabi Muhammad saw.

 Da’wah Baginda tulus, ikhlas kerana Allah swt dan tiada udang di sebalik batu. Bukan sebagai batu loncatan untuk mendapatkan yang lain seperti pangkat, wanita dan kekayaan.

 Menunjukkan tiada penyakit di dalam hati Rasulullah saw. Baginda telah lali dengan ancaman dan diplomasi yang mengancam da’wahnya. Akan ada sesiapa sahaja yang cuba memasukkan jarum-jarum dan kuman-kuman was-was dan syak wasangka terhadap Islam.

 Penolakan Rasulullah saw terhadap tawaran kaum Quraisy bukan setakat di bibir dan di lidah sahaja tetapi segala-galanya adalah dari hati nuraninya. Makanan dan minuman baginda adalah mudah dan ringkas dengan erti kata yang sebenar. Keadaan penghidup annya tidak lebih dan keadaan simiskin.(Cakap sama bikin)

‘Aishah pernah meriwayatkan dalam Al-Bukhari katanya: Rasulullah telah wafat dan tidak ada suatu pun yang boleh di makan oleh yang hidup hanya sebahagian roti, aku makan separuh darinya sehingga tertinggal begitu lama.
Dalam satu hadith yang lain pula Anas r.a menceritakan di dalam Al-Bukhari katanya: “Belum pernah Rasulullah saw memakan di dalam hidangan talam hinggalah baginda wafat, dan tidak pernah memakan roti yang baik hinggalah baginda wafat.”

Cara Rasulullah saw hidup mudah dan sederhana, samada pakaian, makanan atau alat kelengkapan rumah baginda. Baginda hanya tidur di atas tikar anyaman sahaja dan belum pernah meletak tubuhnya ke atas hamparan yang lembut-lembut. Pernah di suatu hari isteri-isterinya termasuk ‘Aisyah datang beramai-ramai menemui baginda untuk mengadu hal tentang kemiskinan yang mereka rasai di samping memohon tambahan belanja rumah untuk membeli alat-alat kelengkapan persiapan dan pakaian agar mereka tidak kurang ataupun sekurang-kurangnya sama dengan perempuan sahabat. RasuluLlah terpegun dengan penuh kemarahan dan sepatah pun tidak dijawabnya. Lepas itu turunlah ayat Qur’an yang berbunyi:
Yang bermaksud:
“Hai Nabi, katakanlah isteri-isterimu, Jika kamu sekalian mengingini penghidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supayaku berikan dan mut’ah (ialah satu pemberian yang diberikan kepada perempuan yang di ceraikan menurut kesanggupan suami)
dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu sekalian menghendaki (keredhaan) Allah dan RasulNya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik di antara kamu pahala yang besar.”
- (Surah al-Ahzab 33:28 — 29)

Rasulullah saw pun membaca dua potongan ayat ini dan memberi peluang untuk mereka membuat pilihan antara penghidupan di samping Rasulullah saw atau dengan segala kemudahan, maka dipilihnya penghidupan di samping Rasulullah saw (tafsir Ibnu Kathir dan yang lain).

Apakah dengan ini masih terdapat lagi kepala-kepala dan akal-akal yang masih sangsi terhadap keNabiannya. Dengan Segala keterangan tadi masih terdapat orang yang cuba menuduh dan mengatakan bahawa da’wah Rasulullah saw itu bertujuan untuk mencari dan mencapai pangkat yang lebih tinggi dan kekayaan serta kesenangan dunia.

Sebab Ke Dua;
 Matlamat tidak menghalalkan cara. Sebenamya syari’ah Islamiyyah telahpun menyediakan jalan-jalan dan cara-cara seperti mana disediakan tujuan dan matlamat. Tidak boleh mengambil sebarang jalan untuk mencapai matlamat, kecuali jalannya dan mengikut jalan dan liku-liku yang telah digariskan. Tujuan dan matlamat adalah sepenuhnya diasaskan oleh kebenaran dan kemuliaan.

 Di dalam suasana yang tertentu penda’wah Islamiyyah mesti berkorban, berjihad dan menggadaikan nyawa kerana jalan dan saranan perjuangan mereka tidak boleh dibelok-belokkan mengikut sekehendak hati. sekiranya menempuh halangan dan rintangan maka di kala itu ia mestilah menggunakan kebijaksanaannya dalam memperkemaskan diri untuk berjihad, mengorbankan segala harta dan jiwa raga demi da’wah Islamiyyah. Kebijaksanaan ertinya meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya.

Ibnu al-Jauzi mensifatkan uzlah jasadiyah adalah kerja orang pengecut. Mereka yang berani ialah mereka yang belajar dan mengajarkannya kepada orang lain.

Talhah bin Ubaidillah al-Quraisyi r.a(sahabat yang dijamin masuk syurga) berkata; "Cukup menjadi keaiban kepada seseorang bila dia hanya duduk-duduk sahaja di rumah."

Imam al-Ghazali berkata; "Ketahuilah, mana-mana orang yang hanya duduk di rumahnya, walau di mana pun dia berada sebenarnya tidak dapat tidak telah melakukan kemungkaran. Sedangkan di luar sana masih ramai manusia yang jahil tentang agama."

Wallahu’alam.

2 ulasan:

  1. Ketika Rasulullah Saw. menantang berbagai keyakinan bathil dan pemikiran rusak kaum musyrikin Mekkah dengan Islam, Beliau dan para Sahabat ra. menghadapi kesukaran dari tangan-tangan kuffar. Tapi Beliau menjalani berbagai kesulitan itu dengan keteguhan dan meneruskan pekerjaannya.

    BalasPadam
  2. Jazakallahhu khoir. Di atas perkongsian ini.

    BalasPadam